Halaman

Khamis, 29 Julai 2010

Kayuhan Pagi

Beberapa hari kebelakangan in aku agak sibuk dan tidak dapat membuat kayuhan. Betapa rasa bersalah dan kekurangan pada hari hari sebegitu. Kelmarin aku berkesempatan bersembang panjang dengan seorang pesara guru yang tinggal dihujung lorong rumah aku. Kebiasaan berbual dengan  orang tua/lama akan menyentuh soal kesihatan. Aku melihat satu bekas hamper plastic dipenuhi dengan pelbagai jenis ubat ubatan. Kami juga bersembang pasal pesara dan orang tua lain yang menghidapi pelbagai penyakit.
Aku bertekad untuk tidak mengambil mudah/enteng tentang senaman dan excercise demi menjaga kesihatan diri.
Pagi ini aku keluar agak lewat kerana pada awalnya langit dipenuhi dengan awan hujan tetapi isteri aku meyakinkan yang hujan tidak akan turun sebelah pagi. Isteri aku mengingatkan aku tidak pergi jauh dan balik awal. Kami kena pergi ke Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang untuk menjemput anak yang akan sampai dari Perancis pada jam 12.00 tengah hari. Sementara aku membuat kayuhan isteri aku memasak gulai masak lemak cili padi ayam kampung kegemaran anak kami. Dia baru sahaja menghabiskan degree dalan bidang kejuruteraan dan akan menyambung master pada bulan September nanti.
Hanya berkayuh sejauh 23km pagi ini. 

Sementara menunggu isteri aku selesai memasak aku membaca akhbar dan melihat rencana dibawah mengenai kehidupan Universiti di China. Aku sendiri banyak mempunyai cerita di kampus dan mungkin disuatu hari nanti akan menulisnya.


Statistik :
  Mula : ................... 7.45 pagi
  Tamat : .................. 8.40 pagi
  Jarak : ................... 22 km
  Cuaca : .................. Cerah, tidak berapa panas
  Route : ................ Lencongan Barat
.

Sabtu, 24 Julai 2010

Langkawi oh Langkawi


Walaupun aku tidak buat 'kayuhan' seperti biasa yang aku lakukan pada hujung minggu, tetapi semenjak duamenjak harga petrol naik 5 sen, aku banyak berbasikal setiap hari. Isteri aku dah naik cemuih... Apa tidaknya, kadangkala sampai empat kali keluar menaiki basikal. Pergi ke bank naik basikal,  membeli barang dapur naik basikal, pergi ke pasar naik basikal, minum pagi naik basikal dan lain lain. Satu trip pergi dan balik hampir 7km. Ditambah kayuhan santai pada sebelah petang hampir 20km mengelilingi bandar dan taman perumahan.
Kini aku shopping di mini market dekat taman perumahan aku sahaja, senang... naik basikal. Barang yang dibeli hanya keperluan sahaja. Seperti yang pernah aku katakan dahulu, kalau ke Super atau Hyper market mesti terpedaya, terliur dan tidak dapat mengelak dari membeli barang yang tidak perlu. Harap aku boleh kekalkan keadaan ini atau setidak tidaknya kurang bilangan ke Supermarket.
Aku berasa amat tenang dan seronok pagi ini ketika aku ke bandar untuk menyelesaikan urusan peribadi termasuk membuat pemindahan wang, ke pejabat SADA untuk membayar bil air, pejabat telekom. Tidak perlu berpusing untuk mencari tempat parking kereta, tidak risau samaada kupon bayaran letak kereta mencukupi, tidak perlu berjalan jauh dari tempat parking. Aku membawa basikal aku terus kepintu masuk premis.
Semasa berurusan dengan bank yang mengambil masa yang agak lama, aku terkejut dan panik kerana basikal yang aku letakkan ditepi bangunan tidak lagi kelihatan. Aku bangun meninggalkan pegawai bank dan terus meluru keluar. Aku merasa lega kerana basikal tersebut dialih oleh Pengawal Syarikat Security untuk memboleh ia meletakkan van membawa duit berhampiran dengan bangunan bank tersebut. Aku tidak membawa kunci basikal.
Apabila segala urusan selesai, aku meronda merata bandar dan berbual dengan beberapa taukeh kedai yang aku kenali. Seronok.
Beberapa orang rakan telah mengajak aku menyertai kayuhan Langkawi International Mountain Bikes Challenge seawal bulan Mac lalu. Aku memberi pelbagai alasan dan melewatkan menghantar borang pendaftaran. Kini pendaftaran sudah ditutup. Bila aku tengok rencana dalam surat khabar hari  ini, nyesal pula tidak ikut serta........


Khamis, 22 Julai 2010

Pantai Merdeka


Pintu Gerbang Ke Pantai Merdeka
Kali terakhir aku membuat kayuhan ke Pantai Merdeka hampir enam bulan yang lalu iaitu ada 16 Januari 2010 bersama geng Pinang Tunggal. Selepas itu ada juga beberapa kali melalui jalan ini tetapi hanya sampai di Pulau Sayak, Kota Kuala Muda atau ke Kuala Muda dan Penaga.
Semasa aku membuat pendakian bukit sebelum sampai ke Pantai Mereka, aku nampak beberapa orang cyclist sedang membuat kayuhan balik. Semua nampak muda muda dan mengayuh agak laju. Adakah mereka tidak bekerja hari ini atau cuti atau bekerja syif malam. Hanya sempat mengangkat tangan dan aku membunyikan loceng basikal.
Kubu diPantai Merdeka
Banyak sekali perubahan yang dibuat disatu satunya kawasan peranginan pantai disebelah utara sebelah tanah besar. Merdeka Beach Resort tersergam indah dengan hiasan luar yang menarik. Kawasan pantai bersih, laluan perjalan kaki luas dan kenderaan tidak dibenarkan masuk kekawasan tepi pantai kecuali disebelah hujung berhampiran dengan 'Kubu Pantai Merdeka'.
Tempat makan  baru telah dibuka dan kebanyakkan peniaga telah berpindah ke tempat yang lebih selesa dan tersusun. Tapak perniagaan lama telah dikosongkan dan agaknya akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada bangunan dan projek lain. Yang aku tidak faham ialah penggunaan bahasa untuk nama gerai makanan  - 'Sea View Food Paradise'?. Siapakah pengunjung dan pelanggan, Mat Salleh, mungkin seorang dua yang datang kerana ingin tahu sahaja. Orang Jepun, Korea, Singapore, Arab ? entahlah. Kalau hendak  atau perlu guna pun, mungkin dalam tulisan kecil dibawah tulisan bahasa kebangsaan. Begitu juga dengan nama resort.... janggal ke kalau guna 'Pantai (beach) Merdeka Resort'.


Kesimpulan: Pantai Merdeka mampu menarik pelancong dan pengunjung dan mampu dijual sebagai salah satu destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa. Mungkin banyak lagi yang perlu dilakukan seperti pakej perlancongan, kemudahan dan penginapan.

Selepas relax di Pantai Merdeka hampir 15 minit, aku menyusuri jalan simpang sebelah kiri sebaik saja meninggalkan Pantai Merdeka. Aku tidak tahu apa sebenarnya yang ada disana, mungkin rumah nelayan atau penduduk dikampung itu dan berapa jauh dari jalan utama. Kawasan yang aku tuju sebenarnya adalah disebelah belakang Pantai Merdeka yang dipisahkan oleh sebuah bukit. Aku terkejut apabila melihat kawasan ternakan udang yang begitu luas. Tidak pasti siapa yang punya, tetapi signboard dipersimpangan jalan menyatakan syarikat swasta. Pintu masuk ditutup dan orang luar tidak dibenarkan masuk, aku cuba mengintai pandang dari jalan sambil mengayuh basikal.
Di penghujung jalan terdapat beberapa unit rumah nelayan dan sekali lagi aku terkejut kerana terdapat tempat membersihkan kerang disalah satu pelantar atau jeti. Kuantiti kerang yang dibersihkan melebihi 1 ton dan aku melihat mesin yang digunakan untuk membuang sampah dan kulit kerang yang tidak berisi agak moden. Terdapat juga sistem conveyer untuk menaikkan beg beg kerang keatas lori. Mengikut seorang pekerja disitu, kerang yang diproses disini mempunyai mutu yang lebih baik dan bersaiz besar dari kerang yang dikeluarkan di Juru Penang. Kawasan ternakan kerang disebelah hulu tempat pemprosessan mempunyai kualiti slut dan kawasan bakau yang lebih baik.
Pemandangan dari sini juga agak menarik. Gunung Jerai kelihatan begitu menarik dan gagah dibelakang Sungai Merbok. Aku menghabiskan masa lebihkurang 15 minit bersiar siar dipersisiran tebing sungai dicelah celah rumah nelayan disitu. Aku berpendapat mutu kehidupan nelayan disini agak baik kerana kelihatan rumah yang lengkap dengan pekakasan asas termasuk kenderaan motorsikal dan kereta. Terdapat beberapa papan tanda usahawan dan pengeluar produk makanan yang dibantu oleh kerajaan.


Selepas aku keluar dari situ aku memasuki pula simpang ke Teluk Nipah. Terdapat kem Latihan PLKN beberapa meter dari simpang masuk. Di Teluk Nipah terdapat tidak kurang dari 20 unit rumah nelayan. Walau terdapat beberapa gerai makan di tepi pantai tetapi aku kecewa kerana tiada satu pun yang menjalankan perniagaan. Sememangnya aku sudah berasa lapar dan dahaga setelah hampir dua jam berkayuh.
Aku melepaskan rasa dahaga dan lapas disebuah gerai tidak jauh dari pantai. Gerai tersebut dilanggani oleh orang tua tua yang menghabiskan masa bersembang sambil menghisap rokok daun. Aku tersentak bila kerana berasakan harga makanan dan minuman yang melebihi jangkaan, kerana ditempat lain aku mungkin hanya perlu bayar 75%. Tidak mengapalah, tetapi mungkin aku kan mencari tempat lain bila aku berada dikawasan ini nanti.
Perjalanan balik tidak seperti selalu kerana cuaca tidak panas dan tiada angin kencang bertiup. Teringat pengajian geografi semasa di sekolah menengah dulu, bayu (angin) laut akan bertiup kencang bila suhu daratan tinggi.

Statsitik

Mula : ................ 7.55 pagi
Tamat : .............. 12.00 pagi
Jarak : ................ 68 km
Cuaca : .............. Cerah, tidak berapa panas
Route : ............... Lencongan Barat - Tikam Batu - Kota Kuala Muda - Pantai Merdeka.
.

Jumaat, 16 Julai 2010

Harga Minyak .......


'Pengurangan subsidi (bukan barang naik...!)'
Pagi Jumaat biasanya aku berehat dirumah, tetapi bila melihat muka depan surat khabar hari ini 16 Jul 2010 yang memaparkan kenaikan harga bahan api dan gula, aku  terus bersiap untuk mengayuh basikal. Malas hendak teruskan baca surat khabar yang menyiarkan belbagai alasan dan kebaikan kenaikan harga bahan api dan gula tersebut.
Cara aku protes dan melepaskan rasa tidak setuju dengan langkah kenaikan tersebut adalah dengan mengayuh basikal. Aku mendapat tahu berita kenaikan harga tersebut dari Tok Imam Masjid yang menghebahkan selepas solat Maghrib petang kelmarin.
Tidak tahulah samada orang ramai berpusu ke stesyen minyak untuk mengisi tangki minyak kereta atau motor dan kekedai untuk membeli gula sebelum kenaikan harga berkuat kuasa pada hari ini. Ini menjadi kebiasaan masyarakat kita. Kalau dikira penjimatan untuk satu tangki penuh untuk kereta biasa lebihkurang RM2.50, tetapi amaun yang dibelanjakan untuk pergi kestesyen minyak dan kemudian beratur menunggu giliran selama lebih 15minit mungkin lebih dari penjimatan yang diperolehi.
Apa pun alasan kenaikan teresebut, ada baik dan buruknya. Kalau pengurangan subsidi boleh menjana lebih wang untuk negara dan wang tersebut digunakan untuk keperluan rakyat, ia adalah langkah yang baik. Jangan pula wang lebihan tersebut digunakan tanpa berhemah.

Setiap kali ada kenaikan harga bahan api, aku sering menyuarakan kepada rakan kenalan untuk mengubah cara hidup.

1.  Kurangkan Mengunakan Kereta

    Pasangan suami isteri beberapa orang jiran aku mempunyai kereta sendiri. Mereka sering keluar memandu kereta berseorangan dengan urusan masing masing. Aku pasti mereka boleh mengatur supaya urusan  dilakukan bersama.
     Apa yang aku perhatikan pergi ke Masjid yang jaraknya kurang 500 meter dari rumah pun menaiki kereta berasingan. Apa yang membuat mereka menaiki kereta berasingan adalah waktu pergi yang tidak sama. Jarak yang begitu dekat tidak perlu menggunakan kereta, lebih banyak kebaikkan dengan hanya berjalan kaki.

2.   Cara Memandu
     Untuk orang muda dan yang masih berhati muda, ubah cara kita memandu supaya dapat mengurangkan penggunaan bahan bakar. Tidak perlu memecut laju apabila lampu isyarat bertukar dari merah ke hijau, atau memandu melebihi hadlaju yang ditetapkan. Tidak perlu menunjukkan kereta siapa yang lebih hebat atau berkuasa. Tidak perlu berlagak sebagai Alex Yong atau Karam Singh.
     Kita sering memandu melebihi 160km/j di lebuhraya, memotong semua kenderaan lain dihadapan tetapi terpaksa memperlahankan kereta kerana ada kerata perlahan memotong lori atau bas di lorong laju dan kereta yang kita potong tadi berada dibelakang. Apabila sampai di tol untuk membuat bayaran, kita terpaksa beratur, dan memandang dengan  geram kereta yang dipandu perlahan yang dipotong tadi berlalu tanpa beratur di lorong touch n go atau lorong smart tag.

3.   Car Pool
     Untuk pekerja yang bertugas di tempat sama atau berhampiran, perkongsian kereta adalah langkah yang paling bijak. Kos bahan bakar dapat dikurang sehingga 75% jika empat orang berkongsi.

4.    Alternatif lain
      Penggunaan kenderaan lain seperti motorsikal dan basikal adalah alternatif yang perlu diberi perhatian sewajarnya.

Aku berkayuh ke Taman Rekreasi Tupah melalui Pekan Semeling. Kelebihan jalan ini adalah keadaan kontour jalan yang berbukit memboleh otot kaki longgar. Semasa menghampiri UiTM Merbuk aku melihat John megayuh dari arah bertentangan. Aku menegurnya dan tidak menyangka dia berpatah balik dan mengajak aku mengayuh bersamanya. Aku terpaksa menolak kerana dia menggunakan roadbike. Aku terus ke penghujung taman rekreasi mendaki bukit dijalan tersebut tanpa menukar gear. Aku menggunakan gear yang paling kecil (tinggi?) sepanjang kayuhan ini.
Air sungai agak penuh. Pengunjung bersama keluarga dan anak anak datang seawal 8.30 pagi menempah tempat yang paling sesuai. Air sungai sangat  jernih dan sejuk. Aku tidak berhenti minum tetapi terus pulang kerumah kerana isteri aku memasak nasi lemak dengan sambal kegemaran aku.


Statsitik

Mula : ................... 7.45 pagi
Tamat : .................. 09.40 pagi
Jarak : ................... 38.60 km
Cuaca : .................. Cerah, tidak berapa panas
Route : .................. Lencongan Barat, Semeling, Tupah

.

Rabu, 14 Julai 2010

Lepas Gian


Juan datang kerumah jam 7.00 pagi ketika aku tengah sarapan pagi. Biasalah, dia mengajak aku membuat kayuhan. Semasa aku berbual dengannya diluar pagar, lengit keliling kelihatan amat gelap. Aku agak keberatan untuk membuat kayuhan dan Juan kata dia pun tidak mahu membuat kayuhan dan akan pergi kekedai kopi. Tetapi langit kembali cerah dan matahari mula kelihatan disebelah timur. Aku segera mengeluarkan basikal dan menalipon Juan mengajaknya pergi. Juan rupanya meneruskan kayuhan dan hampir sampai ke Merbok. Aku juga ingin ke Tupah tetapi terpaksa membatalkan kerana disebelah Utara amat langit amat gelap. Aku hanya akan mengikuti lencongan barat dan timur.
Sejak dua hari lepas aku telah merancang untuk membuat kayuhan hari ini kerana hujung minggu ini agak sibuk. Apa tidak hari Sabtu, setiap hari sabtu isteri aku memaksa aku menghantarnya untuk melawat anak aku yang sedang menjalankan Program Khidmat Negara PLKN di Kem Belia Baling. Anak ketiga aku masuk PLKN mulai 20 Jun 2010 hingga pertengahan bulan Ogos nanti. Ini bermakna setiap pagi Sabtu aku kena hantar ibunya melawatnya. 
Kadang kala kami melawat tidak sampai pun satu jam. Cuma hendak melepaskan rindu. Apa barang makanan yang dibawa tidak disentuh oleh anak kami kerana mengikutnya makanan yang disediakan oleh Kem PLKN lebih dari mencukupi.
Dari empat orang yang dianugerahkan Tuhan, kini hanya seorang yang ada dirumah. Itu pun kerana ia masih kecil dan berumur 11 tahun.
Yang sulung baru sahaja menghabiskan pengajian di Uni Sumatera Utara, Indonesia dan kini berada di Hospital Kangar Perlis untuk membuat praktikal. Yang no.2 pula sedang belajar di France dalam  bidang Engineering. Yang ketiga pula di PLKN.
Hari Ahad yang lepas pun agak sibuk untuk membuat kayuhan kerana terpaksa je JPJ Alor Setar untuk menguruskan pertukaran lesen memandu Indonesia anak sulung. Lesen tersebut diperolehi semasa menuntut di universiti.  Proses menukar lesen ini agak mudah tetapi bila aku membuat pertanyaan di JPJ Sungai Petani mereka tidak tahu caranya an terpaksa merujuk kepada JPJ Seberang Jaya.

Semasa aku tengah berkayuh selepas 30 minit, isteri aku menelipon untuk memberi tahu bahawa ada orang meninggal di Taman Intan. Kerana aku telah hampir separuh jalan aku teruskan kayuhan dan akan terus pergi menziarah apabila sampai kerumah nanti.
Bulan ini dua kenalan aku meninggal dunia. Ini menambahkan azam aku untuk terus menjadikan aktiviti berbasikal sebagai perisai untuk mengelakkan diri dari diserangkan penyakit, dengan izin Allah.

Statistik :

   Mula : .............. 8.20 pagi
   Tamat : ............ 9.45 pagi
   Jarak : .............  32 km
   Cuaca : ............ Mendong
   Route : ............Lencongan Barat - Lencongan Timur
.

Khamis, 8 Julai 2010

Tiga Bukit

Pada mulanya aku merancang untuk berkayuh ke Tanjung Dawai tetapi berubah fikiran apabila langit kelihatan cerah. Aku membayangkan hari akan panas terik. Aku bercadang untuk mengayuh ke Tupah dan kemudian ke Muzium Merbok dan perjalanan balik nanti akan melayan bukit Jalan Segantang Garam di belakang UiTM Merbok.
Tiada apa yang istimewa untuk  kayuhan hari ini. Sepatutnya aku membuat kayuhan kelmarin 07 Jul, tetapi apabila aku selesai minum dan sarapan pagi, hati berbelah bagi. Tambahan pula kepala terasa berat kerana menonton perlawanan bolasepak Piala Dunia pperingkat separuh akhir antara Uruguay vs Belanda yang bermula jam 2.30 pagi. Aku batalkan hasrat untuk membuat kayuhan. 

Pemergian Seorang Kawan Lama
Sambil berehat membaca akhbar harian dan melayari internet aku menerima panggilan telifon dari rakan syarikat bekas aku bekerja dahulu memaklumkan bahawa seorang sahabat lama kembali ke Rahmahtullah sebentar tadi. Hari Isnin, dua hari lepas aku menziarahi nya di Putra Medical Centre, Alor Setar dan keadaannya pada masa itu agak stabil. Walaupun tidak mahu makan, tidak bercakap semenjak beberapa hari kebelakangan ini, tetapi matanya masih aktif. Aku bayangkan beliau masih kenal siapa yang menziarahi dari gerak matanya.
Walaupun beliau mempunyai penyakit sejak beberapa tahun kebelakangan ini tetapi punca utama beliau dimasukkan ke Hospital Sultanah Baiyah Alor Setar sebulan yang lalu ialah kerana tekanan jiwa. Anak perempuan beliau yang baru sahaja mendirikan rumah tangga pada bulan March 2010 telah  meninggal dunia pada 07 Mei 2010, akibat mengandung diluar rahim. Anak bongsunya itu adalah anak kesayangan nya. Arwah bagai tidak dapat menerima hakikat anak kesayangannya itu telah tiada dan sering termenung. Akibatnya arwah mendapat serangan stroke minor.
Mengikut cerita isterinya, arwah enggan memakan ubat dan tidak  mahu ke hospital. Areah sering menyebut untuk bersama anak kesayangan yang baru meninggal.
Sepanjang aku kenal, arwah adalah seorang 'workaholic', amat kuat bekerja dan berusaha bersungguh sungguh untuk mendapatkan ilmu untuk berjaya dalam kerjanya. Sanggup tidur ditempat kerja. Arwah juga seorang bekas anggota TLDM seperti aku.
Semoga Allah memberikan Rahmat kepada roh Saudara Ramlan Bin Abdul Majid. Amin.
Mungkin itulah sebab aku tidak jadi membuat kayuhan pagi kelmarin kerana untuk menziarahi arwah.

Matakucing Rosak
Paparan meter 'cateye' basikal aku kosong bila aku memulakan kayuhan. Tiada sebarang bacaan yang dicatatkan. Aku mencabutnya dan mengetok ngetok dengan harapan ia akan pulih, manalah tahu kalau baterinya tidak kena contact, aku juga memeriksa pickupnya yang dipasang pada fork dan jejari. Tidak boleh juga. Kerosakkan berlaku selepas kayuhan ke Kuala Muda dan ketika itu hujan. Mungkin air hujan memasuki meter tersebut. Ah.... kalau tidak OK terpaksalah beli meter baru.
Aku teruskan kayuhan tanpa meter. Rasa amat janggal kerana aku memang sudah menjadi habit bila mengayuh melihat meter untuk menentukan berapakah kelajuan, jarak dan masa.
Nasib baik kerana bila aku berhenti rehat dan menjamu selera, aku jemur basikal di bawah cahaya matahari. Semasa memulakan kayuhan meter tersebut kembali berfungsi. Tetapi semua data terutama 'odometer' terpadam dan start bacaan baru.

Kesihan Juan
Sebaik sampai di penghujung jalan Tupah aku terus berpatah balik dan mengayuh ke Merbok. Tujuan aku ialah untuk membuat kayuhan bukit yang kedua selepas bukit Tupah. Apabila sampai dipertengahan jalan aku melihat seseorang menolak basikal turun dari muzium. Walaupun aku belum nampak rupa wajah tetapi dari jauh aku tahu dia adalah Juan.
Tayar depan roadbikes nya bocor, mungkin terkena batu halus. Aku menawarkan untuk menukar tayar tersebut tetapi dia bertegas hendak membawa kekedai basikal di Pekan Mebok. Aku temankan dia menolak basikal sejauh dua kilometer.
Setelah tayar siap ditukar, kami menjamu selera di gerai di Pekan Merbok dan terus mengayuh balik melalui jalan Batu Hampar. Di persimpangan lampu isyarat Jalan Segantang Garam, Juan mengajak aku mendaki bukit di belakang UiTM. Boleh tahan juga tingginya. Bukit ini aku menlengkapkan kayuhan aku untuk tiga Bukit.
Sebaik sahaja kami memasuki Taman Intan dari Lencongan Barat, sekali lagi tayar roadbikes Juan bocor. Kali ini tayar belakang pula. Tidak tahu mana silapnya dua kebocoran dalam satu hari. Terpaksa menolak hampir 2 km kerana tayar spare telah digunakan awal tadi. Kesihan Juan..... kena mandi bunga kot.

Statistik :

   Mula : .............. 7.30 pagi
   Tamat : ............ 10.45 pagi
   Jarak : ............. 52 km
   Cuaca : ............ Panas
   Route : ............Lencongan Barat - Semeling - Rekreasi Tupah - Merbok - Muzium Arkeologi

.

Ahad, 4 Julai 2010

Kuala Muda


Dari lencongan barat menghala ke Sungai Pasir aku mengayuh ke Simpang Batu Lintang dan terus ke Tikam Batu. Terpaksa mengelakkan lopak-lopak air ditepi jalan ini kerana tidak mahu terkena percikan air lumpur dari tayar basikal aku. Malam tadi hujan tuun agak lebat dan jalan masih belum kering lagi. Jalan ini 5 km lebih jauh dari jalan utama dan ianya berbukit, dan kayuhan lebih menyeronokkan. Aku tidak jemu menimati pemandangan sawah padi dan bukit walaupun telah banyak kali melalui jalan ini.
Dari Pekan Tikam Batu aku menghala ke Kota Kuala Muda. Kena berhati hati melalui jalan ini kerana kenderaan disini dipandu agak lagu kerana jalan rata dan lurus. Aku menyeberangi jambatan Kuala Muda dan meneruskan kayuhan ke Kuala Muda sebelah Penang. Jalan ini menyusuri Sunagi Muda. Dahulu sungai tersebut tidak kelihatan kecuali apabila menghampiri kuala, tetapi kini amat jelas kelihatan dari jalan yang aku ikuti. Ini disebabkan projek 'tebatan banjir' sedang berjalan dan tebing sungai dibersihkan, pokok ditebang dan tanah diratakan untuk menambak tebing sungai. Rumah dikampung tepi sungai ini banyak yang diubahsuai menjadi lebih besar, selesa dan cantik. Mungkin wang pampasan pengambilan tanah projek tebatan banjir tersebut.
Projek tebatan banjir ini menelan belanja berjuta ringgit dan bermula dua tahun lalu. Setakat aku menetap di Sungai Petani hampir dua puloh tahun, banjir besar berlaku dua kali dan beberapa kali banjir kecil yang tidak mendatang bahaya. Adakah berbaloi membelanjakan wang rakyat sebanyak itu untuk menyelamatkan penduduk dari banjir. Aku rasa perbelanjaan dapat dijimatkan dengan mendalamkan dan  meluruskan sungai tersebut. Air banjir mungkin akan dapat mengalir dengan pantas ke laut dan menghalang dari banjir berlaku. Ini pendapat aku sahaja.....
Aku membelok mengikuti jalan kecil ditepi Sungai Muda di Pulau Mertajam. Jalan tar ini hanya boleh dilalui kenderaan 4 wheel drive dan motorsikal. Banyak tempat dimana jalan telah rosak dan berlubang. Tidak menjadi masalah pada mountain bike. Air sungai 'sebak' sebaik sahaja menghampiri kuala.
Aku menolak basikal aku di pelantar nelayan di kuala sungai. Banyak bot disana, bila aku bersembang dengan seorang nelayan, ia mengatakan kebanyakan nelayan tidak kelaut hari ini kerana cuaca buruk dan langit kelam. Dihujung pelantar kayu, jauh dari jalan masuk sekumpulan nelayan berkumpul. Mereka kelihatan resah dan mamandang kearah aku bila aku berlegar legar berhampiran mereka. Aku mengesaki mereka sedang melakukan sesuatu dan tidak mahu diganggu.
Aku perhatikan kebanyakkan nelayan disini mempunyai badan kurus dan muka cengkong, cakap dan berjalan pun tidak betul. Aku tidak mahu membuat kesimpulan tetapi dari berita yang aku tengok dan baca, kebanyakkan nelayan ini menggunakan dadah apabila berada ditengah laut. Tiada orang nampak dan peduli. Ramai yang berulang alik di jeti tersebut walaupun tidak kelaut.
Tempat jualan ikan 'bisik' lengang, tiada orang lansung. Selalunya waktu ini lebih kurang 09.30 pagi, ianya dipenuhi oleh pembeli dan penjual ikan. Aku berhenti di sebuah gerai makan dan memesan gulai ikan bawal yang nampak sangat enak. Harga nasi, sepiring ikan bawal (kerat dua), sayur, milo dan air kosong kurang dari lima ringgit. Semasa makan aku diganggu oleh seekor kucing yang mengiau minta ikan, mula seekor tetapi bila aku beri ikan, datang lima enam ekor kucing lain dibawah meja aku. Tuan kedai, seorang gadis merungut pada kucing-kucing tersebut. Katanya baru sahaja sebentar tadi diberi makanan. Aku teringat kepada peminta sedekah dinegara dunia ketiga. Bila seorang diberi sedekah, yang lain akan datang berkerumun.
Setelah mengisi perut aku menyusuri pantai melalui jalan kecil di celah-celah rumah penduduk. Sepanjang pantai telah ditambak dengan batu menghalang ombak terutama tsunami seperti yang berlaku pada tahun 2004 lalu. Benteng batu tersebut telah ditumbuhi rumput dan dipenuhi pasir. Terdapat hanya beberapa orang sedang berada di pantai. Aku pernah lihat beberapa tahun lepas, apabila air laut surut terdapat puluhan orang berada di pantai mengutip siput yang terdapat di dalam pasir. Keadaan ketika itu seperti pesta. Oh.. ya Bandar Goerge Town hanya kelihatan samar samar sahaja kerana keadaan cuaca yang berkabus/berjerubu.
Di suatu kawasan lapang bertar bersebelahan dengan Masjid Kuala Muda, kelihatan sekumpulan anak muda melayu lelaki dan perempuan sedang melakukan senam-robik (atau menari) diiringi lagu dari sistem stereo yang agak kuat bunyinya. Kali terakhir aku berkayuh disini dua tahun lepas, pada hujung minggu kawasan ini dipenuhi orang yang datang mendengar dan menghadiri sarahan agama di masjid tersebut. Sekarang semuanya telah berubah.
Aku hampir tidak perasan aku telah memasuki jalan utama Kuala Muda menghala balik ke Penaga/Tikam Batu. Pembangunan yang berlaku termasuk balai bomba dan penyelamat, Taman Desa Kuala Muda dan lain lain membuatkan aku keliru dan ingatkan telah mengikut jalan lain.  Hentian tempat menunggu bas baru dan cantik belaka dan dilabelkan nama jalan. Aku terus menghala ke Bumbung Lima untuk pulang ke Tikam Batu dan seterusnya ke Sungai Petani.


Statistik :

   Mula : .............. 7.30 pagi
   Tamat : ............ 11.30 pagi
   Jarak : .............  54.6 km
   Cuaca : ............ Hujan
   Route : ............ Lencongan Barat - Sungai Pasir - Simpor - Tikam Batu - Kuala Muda