Halaman

Rabu, 30 November 2011

Berpatah balik

Kerosakkan RB siap diperbaiki petang kelmarin. Beberapa bahagian pada roda belakang yang rosak terpaksa ditukar, Aku pergi mengambilnya dari kedai basikal Taman Delima. Tidak dapat membuat ujian kerana hujan dan terus membawa pulang. Tengok pada apa yang telah diganti, nampak OK saje. 
Barangan yang diganti termasuk hub set (depan dan belakang) dan cassete spocket. Cassette yang lam hanya mempunyai 6 speed manakala yang baru ada 8 speed. Untuk menggantikan hub, semua jejari (spokes) depan dan belakang dibuka dan dipasang semula.
Aku rasa sedikit kelainan apabila memulakan kayuhan rb pada jam 8.00 pagi. Belum sempat aku menguji sepenuhnya aku merasakan pusingan roda belakang menjadi berat. Apabila turun memeriksa aku dapati tayar belakang telah kempes (flat). Nasib baik kerana aku hanya berada lebih kurang 1 km dari rumah. 
Walaupun aku ada membawa tiub dalam, tools untuk membuka tayar dan pam, aku tidak mahu menukar tayar sebaliknya aku menolak basikal untuk pulang kerumah. Mood untuk meneruskan kayuhan sudah hilang. Lagi pun masih dekat dengan rumah. Masa itulah ramai cylist yang lalu di jalan lencongan tersebut. Ramai juga yang menegur.
Mengapa mesti kita bersikap atau berfikiran buruk sangka kepada orang lain, padahal kita tidak tahu apa sebenarnya yang difikirkan oleh orang tersebut. Ketika aku menolak basikal (tonton kata orang Kedah) kelihatan kebanyakkan orang yang lalu melihat dengan satu macam perasaan. Seolah olah tidak langsung simpati pada keadaan tersebut. Tiada siapa yang ingin bertanyakan apakah masalah atau tanya atau cakap apa sahaja sebagai mungkin dapat mengurangkan bebanan orang yang menanggung. Mungkin aku silap tafsir atau terlalu terperasan.  
Sesampai dirumah aku terus membuka roda yang punctured (pancit) untuk menukar tiub. Punca kebocoran pada tayar ialah salah satu spoke yang dipasang terkeluar lebih dan ianya mencucuk tiub basikal apabila melalui bonggol. Sebelum menggantikan tiub baru aku mengambil masa untuk mengasah mana spoke yang berlebihan dan tajam menggunakan kikir besi. Bila berpuas hati barulah aku memasang kembali roda tersebut
Tidak sabar rasanya untuk meneruskan kayuhan tetapi hari sudah tinggi, mungkin esok sahaja.
  

Selasa, 29 November 2011

Kolam T8

Hanya ingin buat kayuhan pendek sahaja hari ini dan singgah menjengah member member. Walaupun bercadang untuk kayuhan jarak dekat tetapi akan membuat beberapa pendakian bukit untuk mengeluarkan peluh dan menegangkan otot otot kaki.
Tiada masalah pada pendakian pertama iaitu Bukit Taman Kempas setinggi hampir 100 meter dari paras laut (above sea level). Jalan pada peringkat kedua dari Taman Kempar Fasa III ke kawasan kolam pengimbang bekalan air, laluan kini dipenuhi dengan dahan pokok menyelubungi jalan. Tidak pasti tugas atau tanggungjawap siapa untuk menyelenggara kawasan ini dari semak samun, samada majlis perbandaran atau pemaju taman. Bukan apa takut ada anjing anjing liar berkeliaran dikawasan tersebut. 
Oleh kerana jalan ini jarang atau kurang digunakan oleh orang awam, ia menjadi kawasan buangan sampah bahan bahan binaan seperti batu bata, simen, konkrit, kayu dan paip yang dipecahkan dari rumah yang membuat pengubahsuaian atau tambahan. Terdapat juga sampah tidak boleh dikitar semula dari bengkel dan kilang kecil. Walaupun ada tempat pembuangan sampah yang disediakan oleh pihak kerajaan, tetapi kebanyakkan kontraktor membuang di tempat terpencil untuk mengurangkan kos pengangkutan.
Apa yang dikesalkan bahan yang dibuangkan mungkin berbahaya kepada alam sekitar dan lebih lebih lagi kepada orang awam terutama kanak yang mungkin datang bermain atau beriyadah disekitar kawasan tersebut. Sampah sarap dibuang tanpa memikirkan orang lain, ianya dibuang terlalu hampir dengan jalan dan banyak tempat dibuang diatas jalan. Ia menghalang jalan dan laluan. Pihak berekuasa terpaksa menggunakan jentolak untuk membersihkan longgokan samapah dan bahan buangan tersebut.
Ahh ... banyak air mengalir didalam longkang dari kolam pengimbang diatas bukit. Agaknya kolam telah penuh dan air melimpah keluar. Biasanya pada waktu ini pekerja loji yang membekalkan air ke kolam tersebut telah sampai untuk memantau keadaan dan mengambil langkah seperti mengurangkan bilangan pam air beroperasi supaya tiada pembaziran limpahan air keluar dari kolam.
Pendakian akhir dan yang paling mencabar. Disinilah peluh badan akan mencurah (bohong la) membasahi pakaian. Yang agak kurang selesa peluh dari atas kepala dan celah rambut yang turun melalui muka dan mata. Susah untuk mengelap peluh ketika berusaha keras untuk membuat pendakian.
Sampai diatas bukit, kelihatan beberapa orang pekerja sedang membuat penyelenggaan kawasan iaitu kontraktor mesin rumput di kolam tersebut. Aku kenal seorang dua dari mereka dan berkayuh kearah mereka. Mereka agak terkejut kerana tidak mengenali aku berpakaian sukan dengan helmet, mereka menyangkakan aku pengawal keselamatan yang menjaga kolam tersebut. Kerana tidak mahu mengganggu kerja, aku berbual sebentar sahaja dan turun semula dari atas bukit.
Aku membuat beberapa pendakian kecil di bukit tanah perkuburan orang cina (jerat cina). Kawasan bukit ini cerah dan tidak terdapat sebarang pokok besar. Pemandangan dari atas bukit amat cantik, kemana sahaja dihalakan nampak sceneri yang memukau. Patutlah orang Cina membuat kubur diatas bukit, agaknya roh orang mati menjadi tenang melihat persekitaran yang indah. Satu persoalan kenapa kita ada perasaan takut apabila berseorangan ditanah perkuburan orang Islam tetapi tiada terasa apa apa ketika berada di kawasan perkuburan orang Cina?
Selepas menjamu selera, menghilang haus dahaga dan lapar apabila turun dibawah, aku menuju ke Kampung Jawa ditepi Sungai Muda. Sekali lagi aku dihidangkan dengan pemandangan yang begitu mengasyikkan. Hamparan sawah padi dengan pokok pokok padi yang sedang subur menghijau, suasana kampung dan pemandangan dari tebing Sungai Muda.



Sempat singgah menjengok kawan kawan lama untuk bertanya khabar.

Statistik
   Mula ............... 8.00 pagi
   Tamat ............. 10.00 pagi
   Jarak ............... 31 km
   Cuaca .............. Redup
   Laluan ............ T8 Taman Semarak - Kampung Jawa - Pinang Tunggal
   

Ahad, 27 November 2011

Maal Hijrah 1433

01 Muharram - Salam Maal Hijrah 1433


Tiada kayuhan pagi ini walau ada jemputan oleh SK Juan untuk berkayuh ke Baling sejauh 120 km pergi balik. Kali terakhir berkayuh ke Pekan Baling hampir dua tahun lalu. Teringin sangat aku mengulangi sekali lagi, mungkin bukan hari ini bersama sama mereka.
Kerosakkan RB masih belum dibaiki. Bukanlah rosak teruk tetapi ada sedikit bunyi dari sealed bearing roda belakang. Bearing housing rosak. Untuk membaiki kena tukar hub dan cassette spocket.
Cuaca nampak cerah, mungkin hujan akan turun pada sebelah petang nanti. Di pantai timur dua negeri Kelantan dan Terengganu dilanda banjir. Ramai penduduk yang masih berada dipusat pemindahan.
Ada jemputan kenduri kahwin lagi hari ini.

p/s - pada sebelah petang aku sempat bertanyakan tentang kayuhan ke Baling. Mereka tidak jadi ke Baling sebaliknya ke Lata Bukit Hijau dan balik melalui Labu Besar dan Padang Serai. Kurang 20 km dari rancangan awal.
    

Sabtu, 26 November 2011

mtb vs fixie .... turun bukit

Ingatkan tiada apa yang seronok atau kelainan tentang kayuhan pagi. Tetapi aku silap, ada sesuatu yang menyeronokkan dan membuatkan aku berasa puas. Ia boleh dijadikan kenangan dan boleh diabadikan di dalam blog ini. Pada awalnya aku hanya ingin berkayuh sekejap sahaja kerana kena balik awal sedikit. Perlu berada distesyen keretapi Sungai Petani pada jam 11.30 pagi, anak aku akan sampai menaiki keretapi dari Kangar. Kemudian akan menghadiri kenduri kahwin seorang kawan di Laguna Resort. Kawan ini juga berasal dari Negeri Sembilan dan menetap di taman yang sama.
Rekreasi Tupah menjadi destinasi kali ini. Tidak pasti pula akan meneruskan pendakian kayuhan ke muzium sebagaimana lazimnya. Ia bergantung kepada mood. Aku rasa badan tidak begitu bertenaga kerana semasa menyeberangi Titi Semeling kelajuan pendakian jauh lebih rendah dari biasa.
Tiada apa yang special semasa pendakian melalui rekreasi Tupah. Hairan kerana tiada kenderaan samada yang masuk atau keluar. Dua tiga remaja sedang mandi di kolam empangan sungai. Wah ... tentu sejuk air sungai pada waktu ini.
Kenapa pagi ini ramai pula yang menyambut kedatangan aku? Mereka berada di kiri kanan jalan, tanpa bergerak sambil memerhatikan aku mengayuh basikal. Apabila menghampiri, mereka bertempiaran lari memanjat pokok dan bergayut dan melompat dari dahan ke dahan. Memang ada perasaan takut kepada haiwan yang berekor panjang ini, mana lah tahu kalau mereka serentak menyerang. Memang gerun dibuatnya. Rasanya tidak kurang dari tiga puluh ekor kesemuanya. Agaknya monyet monyet tersebut tahu sempena hujung minggu dan cuti sekolah ini ramai pengunjung akan datang berkelah dikawasan ini sebentar lagi. Murah rezeki dan kenyang perut kerana banyak makanan yang berlebihan akan ditinggalkan.
Sebaik sampai di penghujung pendakian kelihatan tiga remaja Cina dengan 'fixie' dan seorang dengan mtb. Mereka sedang bersiap untuk turun. Kagum mereka boleh membuat pendakian dengan fixie. Teringat masa aku mula berkayuh disini tiga tahun lalu, hampir habis nyawa untuk menamatkan pendakian.
Aku tidak berhenti untuk berehat tetapi terus menyertai mereka untuk perjalanan turun. Aku mengekori dibelakang, Bukan aku kenal pun. Kali pertama aku berkayuh dengan fixie, kononnya untuk melihat bagaimana kayuhan mereka menuruni bukit ini. Kelihatan mereka bertiga kelam kabut cuba mengawal fixie tersebut manakala rakan yang menggunakan mtb telah jauh dihadapan.
Ini kelemahan fixie, mungkin remaja tersebut bertenaga semasa membuat pendakian tanpa perlu menukar gear seperti mtb atau rb tetapi semasa menuruni bukit, machine mereka jadi perlahan kerana pengayuh tidak mampu mengayuh mengikut kelajuan putaran roda. Bila kayuhan pelahan, fixie bergerak perlahan. Sedangkan basikal biasa yang menggunakan freewheel hidup hanya membiarkan daya graviti membuat kerja menolak basikal menuruni bukit tanpa perlu mengayuh.
Agak bosan mengekori mereka dan terus memecut menuruni bukit meninggalkan fixie fixie jauh dibelakang. Mereka berusaha bersungguh sungguh cuba memintas basikal aku. Disini aku mendapat kepuasan dan keseronokkan berkayuh hari ini. Bagus untuk ego. Menghampiri persimpangan jalan masuk aku memperlahankan kelajuan menunggu mereka sampai. Kemudian aku membelok ke arah Merbok.
Masih berbelah bahagi samada untuk membuat pendakian ke muzium atau terus pulang. Rasa rugi dan rasa tidak lengkap pula kalau tidak, kerana pendakian hanya memakan masa kurang 10 minit. Dalam masa mencari jawapan apa yang patut dilakukan aku telah sampai di Pekan Merbok dan terus membelok ke arah muzium.
Lega apabila sampai ke pintu masuk muzium. Kedengaran lagu berkumandangan dari kawasan letak kereta. Aku tahu lagu yang sedang dimainkan. Poco poco oleh penyanyi Indonesia Yopie Latul. Dengan perasaan ingin tahu berkayuh kearah muzik tersebut dan melihat sekumpulan remaja sedang melakukan tarian mengikut irama lagu tersebut. Kelihatan sebiji kenderaan pacuan empat roda berada disana dengan beberapa unit speaker besar. Tidak tahu pula dari mana kumpulan ini datang. Yangf Pasti kenderaan pacuan empat roda tersebut dipunyai oleh agensi kerajaan. Kesemua ahli kumpulan yang menari adalah lelaki manakala dua wanita menjadi instruktor tarian atau senaman. Hairan. Apa dia orang ini tidak baca suratkabar ape...  melakukan tarian poco poco tersebut telah difatwakan haram ....
Kalau perlu melakukan senaman tersebut, tidak usahlah dilakukan ditempat awam sebegini. Bukankah lebih baik dan sesuai dilakukan ditempat terasing jauh dari pandangan masyarakat. Tidak akan timbul perasaan tidak puass hati atau sebarang prasangka atau syak wasangka. Sebentar lagi akan ramai pengunjung datang ke muzium ini. Aku hanya sekadar menggelengkan kepala dan meneruskan perjalanan turun dari muzium.


Aku cuba memikirkan alasan kenapa gerai yang menjadi persinggahan tetap melepaskan lapar dan dahaga apabila berkayuh di laluan ini ditutup. Belum sempat aku mendapatkan jawapan kelihatan banyak khemah disalah sebuah rumah tidak jauh dari gerai tersebut. Ahhhh .... ada kenduri rupanya. Mungkin rumah kenduri tersebut kepunyaan tuan kedai atau rumah saudara mara atau sekurang kurang rumah jiran. Tuan punya kedai serta pekerjanya kena berada dirumah kenduri atas sifat kerjasama, berjiran dan hormat.
Kena mencari gerai lain untuk sarapan sebelum kayuhan pulang sejauh 20 km lagi.

Statistik
   Mula .............. 7.50 pagi
   Tamat ............ 10.30 pagi
   jarak .............. 49 km
   Cuaca ............ Redup
   Laluan ........... Semeling - Rekreasi Tupah - Muzium Arkeologi
    

Khamis, 24 November 2011

Menyorok di Guak Cempedak

Sedang syok menjamu selera di gerai ikan bakar yang terletak di jalan menghala ke Yan tidak jauh dari persimpangan jalan utama ke Alor Setar, aku mendengar perbualan pekerja gerai tersebut. Seorang dari mereka menyuruh rakannya untuk 'menyorok' sebelum pelanggan bertambah ramai. Waktu itu 10 minit sebelum jam 10.00 pagi dan aku telah berkayuh hampir dua jam dan meter pada basikal menunjukkan aku berada 45 km dari rumah.
Aku sampai di Yan 40 minit lalu tetapi masih terlalu awal untuk bersarapan. Masih banyak tenaga dan semangkuk oat yang menjadi menu tetap setiap pagi masih memenuhi perut. Aku teruskan kayuhan dan memang berniat untuk menggantikan tenaga di Pekan Guar. Aku melihat gerai gerai di Pekan Yan yang sering aku langgani dari atas basikal dan kelihatan ramai pelanggan sedang menikmati makanan.
Di Pekan Yan Kecil, kedai kedai baru dibuka untuk memulakan perniagaan. Kedai basikal berhampiran persimpangan Sungai Limau telah dibuka tetapi tauke kedai tidak kelihatan, mungkin sedang menikmati sarapan kerana masih belum ada pelanggan. Gudang basikal Sin Boon Seng di Teroi nampaknya agak sibuk kerana baru memulakan pernigaan untuk hari ini. Dibahagian luar kedai kedai basikal kini banyak mempamirkan basikal 'fixie' yang berwarna warni kerana menjadi trend dan kegemaran anak anak remaja.
Aku memberhentikan basikal untuk mengambil gambar Gunung Jerai dari belah utara, tetapi tidak berjaya memasukkan keseluruhan gambar gunung kedalam screen. Kamera kompak Lumix / Panasonic yang aku gunakan mempunyai  28 mm 'wide angle' masih tidak memadai, mungkin aku kena berada di lokasi 5 atau 8 km di belakang berhampiran Pekan Sungai Limau untuk mengambil gambar yang dihajatkan.
Apabila sampai di Pekan Guar Cempedak aku hairan kenapa tidak ada pasar minggu hari ini. Pasar minggu di pekan ini memang agak besar dan dikunjungi ramai orang dan menjadikan jalan sesak. Rupanya tersilap hari, aku ingatkan hari ini Rabu, hari pasar minggu diadakan. Terlewat satu hari. Jika ada pasar minggu, ingin juga aku membeli kueh muih yang banyak dijual untuk sarapan pagi.
Jadi aku singgah disalah sebuah gerai Majlis Bandaran Guar untuk merehatkan badan selepas dua jam
berkayuh dan 'menyorok'. Sejak aku berhenti kerja jarang sekali aku mendengar perkataan tersebut. Menyorok, kalau tidak silap aku hanya di gunakan disebelah utara (tidak tahu samada orang Melayu Pulau Pinng juga menggunakannya) bermaksud makan dan minum pagi. Ia masih digunakan secara meluas di kampung kampung dan ditempat dimana pastinya orang yang berbual sememangnya orang orang Kedah. Maklumlah di pekan pekan kini banyak terdapat orang orang dari lain negeri berkerja dan bermastautin."Dah menyorok ke atau menyorok apa pagi ni?"
Semasa kayuhan balik melalui jalan persektuuan Alor Setar Sungai Petani, aku mendapat ilham untuk mengumpulkan semua data data kayuhan disepanjang tahun ini dan mencatatkan kedalam blog ini. Data termasuk kekerapan kayuhan, jarak, masa yang diambil, destinasi dan rekod seperti jarak paling jauh, laluan paling mencabar dari segi kesusahan, laluan paling kerap, laluan yang paling disukai dan lain lain. Diharapkan aku akan dapat menyiapkan dan memasuk kedalam blog sebaik sahaja tahun baru bermula.
Berhampiran kaki Gunung Jerai aku sempat pekena nira nipah di gerai tepi jalan. Disini hampir kesemua gerai yang didirikan menjual nira nipah. Kata orang nira nipah ini boleh menyejukkan badan. Nira yang paling enak (best) disebelah utara adalah dari Daerah Yan. Nira yang aku beli adalah stok semalam kerana ia disimpan didalam bekas ice dan keseluruhan telah beku. Stok yang fresh atau stok baru hari ini masih belum sampai. Kerana ingin sangat hendakkan minum nira, beli juga lah. Satu bungkus 1/2 liter berharga RM2.00.
Dahulu aku takut takut juga untuk minum nira nipah ini. Rasanya terlalu manis dan semestinya kandungan gula tinggi. Takut pula kena kencing manis.  Tetapi ramai orang mengatakan gula dalam nira adalah gula semula jadi tidak sama seperti kandungan gula putih yang dibeli dipasaran. Ada yang menyatakan ia tidak menyebabkan kencing manis. Rasanya perlu buat penyelidikan lanjut
Sebaik melalui Pekan Sungai Lalang aku ternampak khemah khemah yang telah kosong kerana kedatangan TPM pagi tadi. Pilihan raya sudah hampir agaknya. Patutlah sebentar tadi banyak kelihatan kereta peronda polis di kedua dua hala jalan. Siren kereta polis kedengaran tidak henti henti.
Masih ada ruang untuk pekena semangkuk cendol di bandar Sungai Petani menghilangkan dahaga belum selamat sampai ke rumah. Cendol ini paling sedap di Sungai Petani.

Statistik
  Mula ................. 7.55 pagi
  Tamat ............... 12. 15 tengah hari
  Jarak ................ 79.5 km
  Cuaca ............... panas
  Laluan .............. Semeling - Merbuk - Yan - Guar Cempedak - Gurun - Sg Petani.
    

Selasa, 22 November 2011

Headset rosak ....

Pagi tadi sudah siap sedia untuk berkayuh kerana cuaca nampak nyaman sekali. Lagi pun kelmarin tidak kemana kerana keletihan dari kayuhan hari sebelumnya masih belum hilang lagi. Pada umur macam ini rasanya tidak perlulah membuat kayuhan setiap hari. Kalau dapat dua atau tiga kali seminggu cukup lah....
Bila aku memeriksa mtb sebelum memulakan kayuhan aku dapati handle terasa berat dan tersekat sekat apabila dipusingkan. Macam ada yang tersangkut. Ingatkan masalah pada fork, tetapi fork tersebut boleh dikira baru. Aku batalkan sahaja kayuhan dan menunggu kedai basikal buka pada jam 09.00 pagi sebentar lagi.
Kerosakkan mula dirasai semasa aku menuruni Gunung Jerai pada kayuhan bulan lepas. Memang tidak menjejaskan prestasi kayuhan atau mendatangkan apa masalah tetapi agak tidak seronok ketika membelok.

P/s :
Aku sangat berbangga dan bergembira keatas kemenangan pasukan bolasepak Harimau Muda yang memenangi Sukan SEA di Jakarta Indonesia malam tadi. Kedudukkan seri 1 - 1 setelah tamat masa tambahan dan sepakan penalti memberikan pasukan Harimau Muda kemenangan yang sangat bermakna untuk semua rakyat Malaysia.
Harimau Muda menang perlawanan tersebut sebaik sahaja memasuki SGBK, sebelum permainan dimulakan. Apa tidaknya dengan segala macam ragam, kerenah dan layanan buruk yang diterima dari penganjur dan dari penyokong fanatik pasukan lawan, masih mampu memberikan persembahan yang membawa kemenangan. Tahniah sekali lagi.
   

Ahad, 20 November 2011

Buang Lemak ...... Kampung Selamat

Kayuhan buang lemak kerana semalam menghadiri tiga 'Walimatul Urus' satu di Laguna Resort. satu di perkarangan Masjid Taman Intan dan pada sebelah malam di Hotel Sri Malaysia.  Apa yang dapat dirumuskan ialah kebelakangan ini terdapat kecenderongan kenduri dibuat bukan di rumah pengantin. Trend ini mula ketara pada tahun ini, sekurang kurangnya di Sungai Petani. Mungkin di tempat lain sudah lama menjadi kebiasaan.
Walau apa pun aku terlalu kerinduaan kenduri masa dulu dulu. Tidak besar mana dan tidak semewah sekarang tetapi hebat dan betul betul meriah. Jemputan tidak ramai tetapi semua penduduk kampung akan hadir.
Bukan banyak sangat makan nasi minyak atau lauk lauk kenduri tetapi aku risau pada 'ramuan' yang ditambah untuk megenakkan makanan. Kalau aku pening kepala apabila balik dari kenduri, pasti makanan telah dicampurkan dengan bahan bahan perasa.
Kayuhan pagi ini lebih kepada untuk mengembalikan kesihatan badan selepas menjamu selera dengan makanan kenduri. Minta minta semoga toksik yang terkumpul dapat dikeluarkan atau dibakar melalui aktiviti senaman. Tetapi pada hujung minggu nanti ada pula kenduri lain yang kena hadiri. Kadangkala aku berterima kasih kerana tidak dijemput mnghadiri kenduri.




Statistik
   Mula ............. 7.30 pagi
   Tamat ........... 11.15 pagi
   Jarak ............. 69 km
   Cuaca ........... Redup
   Laluan .......... Pinang Tunggal - Sidam Kiri - Padang Serai - Kampung Selamat
                           - Pinang Tunggal PP

Sabtu, 19 November 2011

Dah mula dah ......

Cuti sekolah untuk tahun 2011 bermula pada hari Khamis 17 November di Kedah dan Jumaat 18 November di lain lain tempat. Serentak dengan itu mulalah kenduri kahwin.
Nak kayuh basikal pada hujung minggu menjadi agak sukar kerana menunaikan hajat saudara mara dan sahabat handai yang menjemput ke kenduri mereka. Boleh juga membuat kayuhan pendek pada awal pagi dan kemudian pergi kenduri.

Selasa, 15 November 2011

Kampung Sungkap Para ....

Pada beberapa kayuhan melalui route ini aku terfikir berhajat benar untuk memasuki simpang ke Kampung Sungkap Para. Aku sering tertanya tanya bagaimanakah keadaan dan suasana kampung tersebut, berapa banyak rumah dan apakah pekerjaan kampung. Adakah rumah rumah kampung tersebut setara dengan kampung yang ada disekitar Kuala Muda.
Kenapa aku begitu beriya iya ingin tahu adalah kerana kampung tersebut begitu jauh sekali dari perkampungan lain. Papan tanda Sekolah Kebangsaan Sungkap Para menunjukkan jarak dari simpang ialah 4 km. Adakah kampung tersebut mendapat kemudahan asas seperti bekalan air, bekalan elektrik dan telefon (internet)?
Aku beranikan hati memasuki jalan tar kecil melalui ladang kelapa sawit dan kemudian ladang getah. Wah ... jalan tersebut berbukit bukit seperti kebiasaan jalan didalam ladang ladang tetapi bukit tidak terlalu tinggi. Malah jalan tersebut sangat ideal untuk kayuhan basikal kerana menghilangkan kebosanan kayuhan. Tidak banyak kenderaan melalui jalan yang aku ikuti kecuali satu dua motorsikal anak anak remaja.
Aku menjadi perhatian oleh para pekerja dalam ladang tersebut. Penoreh getah berhenti sebentar dari menoreh dan memerhatikan aku berkayuh masuk ke kawasan mereka. Apa yang mereka fikirkan  agaknya. Yang lain mengangkat tangan. 
Setelah hampir 10 minit aku sampai ke kampung yang ingin aku lawati. Terkejut? Memang sebagaimana aku bayangkan. Tiga orang kanak kanak yang sedang bermain basikal menegur aku dengan budi bahasa yang boleh menghilangkan rasa letih badan. Mesra, hormat dan penuh keikhlasan. Aku bertanya apa yang ada dihadapan, mereka kata tiada jalan kena berpatah balik apabila sampai di kuil hindu dan sekolah rendah.
Kebanyakkan rumah adalah kepunyaan orang Melayu ... habih tu kuil hindu disebelah dewan UMNO dan sekolah rendah tu mai mana? Rasanya kuil tersebut dibina untuk pekerja pekerja ladang getah dan sawit yang kebanyakkan berbangsa India. Dimana masjid atau sekurang kurangnya surau untuk kampung tersebut. Mungkin disebelah dalam gamaknya.... jauh dari jalan utama!
Aku tidak turun dari basikal tetapi berlegar legar di kawasan kampung, melihat sekitar sekolah, rumah, padang permainan dan meninjau kalau ada gerai menjual makanan. Sekolah rendah hanya mempunyai enam bilik darjah.
Aku berpatah balik dan bersedia untuk membuat beberapa pendakian sebelum sampai ke jalan utama.
Kesimpulan aku memang seronok melalui jalan tersebut. Perasaan takut yang di alami pada permulaan kayuhan hilang perlahan lahan dan bertukar kepada perasaan seronok dan berpuas hati. tiada sebarang kekesalan. Pastinya aku akan datang semula untuk kayuhan jalan ini. Mungkin lain kali dengan member lain supaya dapat berkongsi track ini.
Aku pulang mengambil jalan ditengah ladang sawit kepunyaan Sime Darby dan terus ke Taman Kelisa Ria dan kemudian memintas ke Taman Ria. Jalan dikawasan ini telah banyak yang rosak dan perlukan senggaraan.

Statistik
   Mula ............. 7.45 pagi
   Tamat ........... 11.15 pagi
   Jarak ............. 64 km
   Cuaca ........... Redup
   Laluan .......... Sungai Lalang - Sungkap Para - Petani Para - Sungai Petani

Jumaat, 11 November 2011

Bukit Semarak pada 6 x 1

Batalkan rancangan untuk kayuhan pagi ini, juga tidak dapat memenuhi jemputan rider yang aku jumpa di Tupah kelmarin yang mempelawa untuk kayuhan Gunung Jerai pagi ini. Untuk kayuhan Gunung Jerai hendaklah berada di kaki gunung sebelum jam 0730 pagi kerana kayuhan dimulakan pada waktu itu. Menurut yang mengajak aku kayuhan mendaki gunung pada pagi Jumaat hanya setakat muzium perhutanan sahaja, lebih kurang 90 minit. Kalau semua mengikut jadual rider akan berada semula di kaki gunung pada jam 0930 pagi.
Aku pula sudah lama tidak berjogging di Bukit Semarak dan pagi ini aku kesana untuk kali pertama selepas bulan puasa. Aku mengikut trek biasa aku dan pada satu ketika aku hampir tergelincir dan terjatuh kerana laluan yang licin dan masih basah. 
Hari ini Jumaat 11.11.11. Ada apa yang special dengan angka ini. Bagi aku ia tidak membawa apa apa makna, hanya satu set angka sahaja. Lain lah 11.09. Tetapi ramai pasangan tidak mengira berebut rebut mengadakan hari perkahwinan sempena tarikh tersebut.

Khamis, 10 November 2011

tiga pendakian .....

Kesinambungan kayuhan ke Bukit Taman Kempas kelmarin, pagi ini cuaca amat cerah. Tiada nampak pokok pokok hujan untuk hati ini. Apakah mungkin musim hujan yang berlaku lebih satu bulan sudah tamat atau mungkin berhenti sekejap. Tetapi mengikut ramalan cuaca hujan akan berterusan sehingga akhir bulan dan persiapan untuk menghdapi bencana banjir telah dibuat dinegeri negeri yang berisiko dilanda banjir.
Dipersimpangan MRSM Merbok aku membelok ke kanan kearah UiTM kerana ada bukit yang sederhana tinggi, tiada banyak masalah. Aku sendiri agak terkejut dengan kebolehan melepasi bukit tersebut dengan agak senang berbanding dengan kayuhan sebelum ini.
Seterusnya aku ke Rekreasi Tupah. Banyak lokasi dimana jalan dipenuhi dengan tanah dan pasir halus yang dibawa oleh air hujan dari bukit. Disepanjang menyusuri sungai Tupah, desiran air sungai melalui bongkah bongkah batu agak kuat kedengaran kerana air sungai yang agak penuh pada musim hujan ini.
Dipertengahan pendakian aku terbau sesuatu yang kurang menyeronokkan. Bau tahi binatang yang baru dilanggar tayar kenderaan. Aku ingat tahi lembu tetapi tompokan yang agak kecil, kecil lagi dari najis anak lembu. Mungkinkah ia najis rusa atau kijang? Pernah aku dengar terdapat binatang tersebut dikawasan ini.
Sebaik sampai pada penghabisan jalan dipintu masuk Loji Pembersihan Air Tupah aku tidak turun untuk berehat sekadar berpusing dua tiga kali untuk menghilang rasa penat dan kemudian terus turun. Perlu berhati hati kerana longgokkan pasir dan tanah halus di jalan boleh mendatangkan bahaya kepada basikal.
Sebaik sampai dipersimpangan jalan masuk aku ditegur oleh seorang rider dari Taman Ria, Sungai Petani bertanyakan samada ada sesiapa diatas bukit Tupah. Dia sedang menunggu beberapa rakan rakan yang lain yang berjanji untuk kayuhan bersama. Aku terpaksa menolak perlawaannya untuk sarapan pagi bersama di gerai di hadapan simpang ke Rekreasi Tupah kerana misi aku menawan satu lagi pendakian belum selesai.
Selepas mengucapkan selamat tinggal kepadanya aku terus ke Merbuk untuk pendakian ke Muzium Arkeologi Lembah Bujang.Aku berselisih dengan dua orang rider yang berkemungkinan rakan yang di tunggu oleh rider yang menegur dan berbual sebentar tadi. Mereka memberikan kata semangat untuk aku terus membuat pendakian.
Walau masih awal sudah terdapat beberapa buah bas di tempat letak kerata muzium. Bas membawa murid murid sekolah untuk lawatan ke muzium. Banyak sekolah yang mengadakan lawatan serta aktiviti perkelahan, camping dan kem kem jati diri untuk murid sekolah pada akhir musim persekolahan. Sekolah akan ditutup untuk penggal akhir minggu hadapan.
Aku singgah digerai biasa untuk sarapan pagi selepas hampir dua jam berkayuh.

Statistik
   Mula .............. 8.00 pagi
   Tamat ............ 10.30 pagi
   Jarak ............. 48 km
   Cuaca ............ Panasa
   Laluan ........... Semeling - Tupah - Muzium Merbok
   

Rabu, 9 November 2011

Alternatif kepada Penadol ...

Sejak hari Raya Haji tiga hari lalu, cuaca berubah lagi. Kalau selama hampir tiga minggu sebelum ini hujan turun pada setiap petang, kini telah berubah pada sebelah pagi pula. Sudah empat hari hujan turun sebaik sahaja langit mula cerah. Kadang kala aku sudah siap dengan sarapan untuk kayuhan (heavy sedikit dari biasa untuk tenaga) dan telah siap dengan pakaian, tup tup ... hujan turun. Kansel.
Pagi ini juga begitu tetapi cuaca menjadi panas terik pada sebelah tengah hari dan petang. Peluang baik untuk lepaskan gian. Bukan apa .. sejak dua hari lepas badan ini rasa hendak demam aje... kepala sakit, rasa letih, mengantuk dan muka macam orang sakit kata orang rumah. Isteri aku sibuk menyuruh aku pergi membuat pemeriksaan dan mendapatkan rawatan di klinik, takut takut tekanan darah naik kerana terlalu banyak gulai dan rebusan daging korban.
Pada hari Isnin iaitu hari raya korban kedua, masjid taman aku menyembelih lapan ekor lembu korban. Walaupun hujan lebat pada pagi tersebut, upucara korban tetap berjalan lancar. Kerjasama penduduk setempat amatlah membanggakan dan kesemua lembu lembu korban dapat diuruskan dalam masa dua jam. Daging dan tulang siap di potong, diagih kepada orang yang membuat ibadah korban dan yang lain dibungkus untuk diagihkan. Tahun ini ada pembaharuan kecil apabila mesin pemotong lektrik digunakan untuk memotong tulang. Kerja menjadi lebih pantas. Aku sendiri berasa amat berpuas hati dapat memberikan sumbangan tenaga membantu dalam kerja kerja korban tersebut.
Sebahagian daging dan tulang lembu lembu tersebut dimasak diperkarangan masjid untuk dijamu kepada orang yang menyumbangkan tenaga serta penduduk. Disini kena berhati hati kerana tiada yang mengawal berapa banyak yang diambil untuk dimakan, tiada siapa pula yang hendak dimalukan kerana semua berbuat demikian. Terpulang kepada individu berapa banyak yang diambil untuk dimakan.
Apabila diserang sakit sakit badan dan kepala, aku terus menyalahkan apa yang aku makan pada upucara korban tersebut. Aku memang liat untuk makan ubat ubatan, aku lebih percaya kepada senaman untuk memulihkan kesihatan, melainkan jika ia tidak boleh sembuh.
Rasanya lebih setengah tahun aku tidak menbuat kayuhan pendakian di Bukit Taman Kempas. Walau tingginya tidak melebihi 120 meter tetapi pendakian agak mecabar. Cukup untuk membuatkan peluh membasahi baju dan membuatkan otot otot betis dan peha kejang. Ada satu pendakian yang begitu mencabar, hinggakan kereta atau motorsikal pun kena menggunakan gear paling rendah.
Aku mengambil kesempatan untuk berehat apabila tiba diatas bukit, menikmati pemadangan disekitar.

Statistik
   Mula ............ 5.30 petang
   Tamat ........... 6.40 petang
   Jarak ............. 15 km
   Cuaca ........... Panas
   Laluan .......... Bukit Taman Kempas
    

Sabtu, 5 November 2011

Kayuh hari mantai ....

Selepas hujan lebat petang semalam aku keluar untuk membeli barangan untuk persiapan hari raya Aidil Adha  yang jatuh pada Ahad 06 Nov 2011 nanti. Rasanya semua yang diperlukan oleh orang rumah semua aku sudah beli kecuali santan dan kelapa untuk buat kerisik. Barangan tersebut elok dibeli lewat supaya masih segar apabila masa untuk memasak.
Persiapan untuk Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban tidaklah seperti persediaan untuk Hari Raya Puasa. Alah kadar sahaja. Sedia yang penting sahaja seperti rendang, ketupat nasi (nasi himpit), kek barang sebiji dan satu dua kueh biasa. Lemang ada orang yang masakkan (maksudnya beli sahaja lah). Itu sahaja. Mungkin sedikit biskut dan gula gula jika ada kanak kanak datang ziarah. Kebiasaan pada Hari Raya Haji jarang kanak kanak datang untuk kutip duit sedekah kecuali seorang dua sahaja.
Pagi kelmarin juga aku mendapat surat dari AJK Masjid Kariah Taman Intan mengenai Perlantikan Sebagai Petugas Program Ibadat Qurban dan Aqiqah 1432H. Masjid Taman Intan seperti tahun tahun sebelumnya akan menyembelih sebanyak lapan (8) ekor lembu pada tahun ini. Program ini akan diadakan pada hari Isnin 07 Nov 2011. Daging korban akan diagihkan manakala seekor lembu akan dimasak dan dibuat kenduri untuk penduduk Taman Intan. 
Memandangkan dua hari iaitu esok (Hari Raya Haji) dan lusa (korban) aku tidak berpeluang untuk membuat kayuhan, aku mengambil peluang untuk melakukan kayuhan pagi ini. Tidak bercadang untuk pergi jauh, mungkin setakat satu jam lebih. Manalah tahu kalau ada benda yang perlu dibantu di bahagian dapur. Aku ingin membuat satu pusingan besar melalui lencongan timur dan pulang melalui lencongan barat.
Lewat memulakan kayuhan kerana aku terpaksa membaiki kebocoran pada tayar hadapan. Balik dari kayuhan Kuala Muda dua hari lepas aku dapati tayar hadapan kempes, habis angin keluar. Mujur tidak kerana paku atau kaca, cuma injap angin yang perlu diketatkan. Selamat satu tayar spare.
Kayuhan berjalan lancar sehinggalah selepas persimpangan Jalan Kuala Ketil. Satu lorong jalan ditutup kerana kerja kerja senggaraan. Jalan dikorek untuk digantikan dengan lapisan baru. Aku terpaksa memerah tenaga mengayuh laju dari biasa kerana tidak mahu menggangu kereta dibelakang. Kereta biasa boleh memotong hanya risau kepada kenderaan besar seperti lori trailer dan bus. Nasib baik hanya untuk 1 km kalau tidak mencungap juga dibuatnya.
Ingatkan kontraktor atau JKR tidak melakukan atau dilarang melakukan kerja kerja membaiki jalan sehari sebelum hari hari perayaan. Penutupan jalan atau lencongan akan mengganggu kelancaran kenderaan yang meningkat pada hari perayaan. 

Statistik
   Mula .............. 8.10 pagi
   Tamat ............ 9.25 pagi
   Jarak ............. 33 km
   Cuaca ............ Redup
   Laluan ........... Lencongan Timur - Lencongan Barat
    

Khamis, 3 November 2011

Pasar bisik Kuala Muda

Memang aku sampai pada masa peak iaitu pada 9.30 pagi. Di muara sungai terdapat berpuluh bot nelayan sedang 'parking' dan pekerja bertali arus memunggah hasil tangkapan ke pusat jualan. Hasil tangkapan dimasukkan kedalam bakul sederhana besar (anggaran 10 kg) kerana ia senang untuk dijual. Mereka berebut rebut untuk menurunkan tangkapan supaya dapat dijual segera. Takut pembeli semua sudah mendapat apa yang diperluakan. Nampak gayanya tangkapan hari ini banyak dari biasa.


Di pusat jualan tidak sangat kedengaran riuh rendah. Ingat tak masa sekolah dahulu, jika murid murid bisang dalam kelas, guru akan marah dan sering berkata 'bising macam dalam pasar' ....... Berbeza disini, keadaan tidak berapa bising walaupun orang ramai menjalankan aktiviti menjual dan membeli.
Setelah puas menjamu mata melihat gelagat nelayan sebagai penjual dan pembeli (kebanyakkan peniaga kecil dan peraih) aku ke tepi pantai untuk melihat lebih dekat hasil tangkapan nelayan di atas bot. Kebanyakkan hasil tangkapan adalah ikan temenung (ikan kembung) dan udang.
Pada awalnya aku ingin bersarapan digerai yang agak jauh dari pusat jualan tetapi tidak dapat mengelak apabila melihat lauk pauk yang di pamirkan disalah sebuah gerai di tepi pantai berhampiran pusat jualan tersebut. Banyak jenis lauk yang dijual (orang Kedah kata banyak mata ..) dan yang menarik perhatian aku ialah gulai ikan sembilang. Seketul RM3.00. Boleh tahan harga, mungkin sebab dekat sumber.
Sementara aku berehat setelah menghabiskan satu pinggan nasi lauk ikan sembilang, seorang pelanggan datang untuk makan. Aku nampak dia mengambil dua ketul kepala ikan sembilang dan beberapa jenis lauk lain. Yang menarik penglihatan aku ialah bungkusan yang dibawa bersama iaitu satu bungkus air nira nipah. Terliur aku dibuatnya sambil memerhatikan jika ada gerai berdekatan yang menjual air nira nipah. Teringin sangat aku menghilangkan dahaga dengan nira nipah.


Statistik.
   Mula ............ 7.45 pagi
   Tamat .......... 11.15 pagi
   Jarak ............ 71 km
   Cuaca .......... nyaman
   Laluan ......... Tikam Batu - Kota Kuala Muda - Pantai Merdeka - Pulau Sayak - Kuala Muda
     

Rabu, 2 November 2011

a quickie ....?

Pernah atau tidak anda berasa seperti bersalah atau tidak sedap perut kerana sudah beberapa hari tidak mengayuh basikal. Aku sering berasa begitu jika sudah beberapa hari tidak berkayuh. Kenapa begitu? Mungkin kita membelanjakan banyak wang atau 'hard earn money' untuk membeli basikal, perkakasan, kelengkapan dan pakaian tetapi tidak menggunakannya seperti sepatutnya.
Sekarang setiap petang hujan akan turun disertai dengan petir dan guruh. Pun begitu cuaca pada sebelah pagi selalunya baik dan sesuai untuk melakukan aktiviti berbasikal. Cuma kekadang aku teringin untuk berjogging di Bukit Semarak agak tidak kesampaian kerana laluan yang licin dan lecak.
Jadi pagi ini aku bercadang berkayuh ke Yan.
Petang kelmarin aku melayan SK Juan mengikutnya untuk 'shopping spree' membeli barangan basikal. Dia datang ke rumah aku dan mengajak aku menemani ke beberapa kedai basikal di Gurun dan Yan. Bukan berbasikal tetapi kami pergi dengan Nissan Extra kesayangannya.
Kedai basikal pertama kami singgah adalah di Gurun. Dia memesan 'semanggang' atau fork untuk roadbikes. Bukan keerana fork basikalnya rosak atau tidak bagus tetapi mungkin dia mempunyai wang lebih. Sengaja membeli untuk disimpan, nanti kalau diperlukan atau ada rakan yang memerlukan. Sempat aku tumpang membeli beberapa kelengkapan pakaian.
Kemudian kami singgah di pengedar basikal di Guar Cempedak.


Statistik
   Mula .............. 8.00 pagi
   Tamat ............ 9.15 pagi
   Jarak .............. 27 km
   Cuaca ............ Redup
   Laluan ........... Lencongan Barat - Semeling - Tupah