Halaman

Selasa, 27 Disember 2011

Selamat pulang

Selamat sampai ke rumah malam tadi setelah mengikuti rombongan mengelilingi Thailand selama sepuluh hari. Menaiki bas ..... bukan menaiki basikal ... 
Bertolak dari padang besar pada Sabtu 17 Disember 2011 pada jam 11.00 pagi dan tiba semula di Padang Besar pada jam 4.00 petang 26 Disember 2011
Seronok? Walaupun tidak dapat membuat aktiviti kayuhan sepanjang tempoh tersebut, tetapi memberikan satu pangalaman yang sukar dilupakan. Rindu pada kayuhan sering terubat apabila melihat rider dijalan bandar bandar utama seperti di Bangkok, Cheng Mai dan Mae Sai. Tiada bezanya mereka disana dengan kita disini. Tidak begitu ramai walau dihujung minggu atau pada hari biasa.
Aku mengharapkan melihat ramai rider membuat pendakian di Bukit Peranginan Dai Tung dalam daerah Cheng Rai kerana jalan begitu elok, tahap kecuraman yang tidak begitu tinggi dan yang paling best adalah suhu yang begitu ideal sekali iaitu dibawah 20 darjah. Tetapi disepanjang perjalanan tidak kelihatan seorang pun rider.
betul ke basikal ini digunakan tentera Nazi !
Setiap pekan yang aku singgah aku akan cuba mencari kedai kedai menjual basikal, kalau kalau ada barangan yang boleh dibawa balik. Dimana kedai tersebut, yang ada kedai basikal yang menjual basikal biasa dan basikal untuk kanak kanak. Ada juga berjumpa dengan satu atau dua kedai tetapi agak kecewa juga apabila harga barangan yang dijual hampir sama atau lebih mahal dari barangan yang dijual ditempat kita.
Sebagai tanda, aku sempat membeli tiga pasang kasut berjenama 'bundle' yang masih elok di pusat bundle terbesar iaitu pasar Rong Kluea di Aranyaphathet sempadan Thailand dan Cambodia. Kiranya kalau ditempat kita setiap pasang berharga tidak kurang dari RM50.00 atau lebih tetapi aku membeli tiga pasang dengan harga 200 Bath (RM20.00). Aku cuma mahu sepasang dan yang lain akan aku hadiahkan kapada  rakan lain, itupun kalau mereka mahu memakai kasut bundle.
Tidak sabar rasanya untuk memulakan aktiviti kayuhan apabila hilang penat dan letih duduk berjam jam lamanya didalam bas.
  

Khamis, 15 Disember 2011

Radiasi dari High Tension cable ......?

Menukar aktiviti pagi ini, dari berkayuh kepada berjogging. Sudah agak lama aku tidak ke Bukit Semarak untuk berjogging dan membuat pendakian. Apa lagi naik kereta hingga ke kaki bukit. Bilangan kereta kurang dari biasa, mungkin kerana hari bekerja.
Ada sedikit perubahan, kawasan permulaan pendakian kini sudah diterangkan dari semak dan belukar. Mungkin tuan tanah akan mengusahakan tanah yang subur di kaki bukit. Sebelum ini ada penduduk yang mengusahakan ternakan ayam dan itik disebahagian tanah tersebut mungkin tanpa pengetahuan atau izin tuan tanah. Kini ternakan tersebut sudah tiada. Dengan tiada semak samun tersebut menjadikan tempat tersebut lebih selamat kepada orang orang yang berjogging. Manalah tahu kalau ada penjahat yang bersembunyi didalam semak dan menunggu untuk 'ambush' dan merompak.
Tidak jauh dari aku ada sekumpulan remaja. Riuh rendah semuanya. Maklumlah apabila ramai mereka begitu seronok. Walau apa pun, tanhian kerana melakukan aktiviti yang mendatangkan manafat kepada kesihatan. Tentu ramai lagi remaja lain yang masih berdengkor dirumah, atau yang menghabiskan masa tanpa membuat sesuatu yang berfaedah.
Pada mulanya aku hendak mengikut jalan biasa iaitu membelok kekiri untuk ke puncak bukit seperti kebanyakkan orang lain. Apa yang aku dengar dari perbualan remaja yang hanya beberapa meter dihadapan mengubah fikiran aku. Ada dua atau tiga orang yang enggan membuat pendakian menegak dibawah talian kabel TNB, mungkin kerana mereka tidak berkeyakinan mampu melakukan pendakian tersebut. Seorang yang agak senior mengatakan "Alah ... pak cik tu pun boleh, tak kan kau tidak boleh kot .." Mahu tidak mahu, mereka kesemuanya bersetuju mengikut jalan tersebut.
Kena tunjukkan kepada remaja tersebut kemampuan aku. Aku mengekori mereka dibelakang dan kadang kala memperlahan pendakian untuk memberi laluan kepada mereka. Semuanya dapat menghabiskan pendakian tanpa sebarang masalah. Setibanya di puncak mereka semua berhenti rehat, ada yang terus meneguk air yang dibawa, membuka bungkusan nasi lemak, dua tiga orang memanjat tower kabel untuk berehat diatas palang dan paling malang ada yang menghisap rokok !!!
Ah ... anak anak muda sekarang.
Melepasi pendakian tersebut aku meneruskan perjalanan walaupun ramai remaja tersebut mempelawa aku berehat dan berkongsi makanan yang dibawa. Ajak ajak ayam atau betul ni ? Terima kasih. Di jalan ada empat lima orang pendaki tegar berbangsa cina memandang aku, macam hairan je ... mungkin pelik kerana melihat aku mampu mendaki mengikut jalan menegak tersebut. Buat seketika aku menjadi bangga, rasa besar hati dan mahu terus berlagak. MasyaAllah...
Aku teringat beberapa bulan lepas semasa membuat pendakian yang sama, seorang regular berbangsa cina menyatakan supaya jangan selalu sangat mengikut jalan tersebut. Bila ditanya mengapa, dia menerangkan radiasi di bawah laluan kabel voltan tinggi TNB (275KV) sangat kuat dan boleh menjejaskan kesihatan. Hah .. aku datang untuk senaman menyihatkan badan tetapi dapat sakit pula.
Sebagai seorang jurutera elektrik, aku terkejut bila mendengar penjelasan tersebut. Aku tidak pernah memikirkan tentang keadaan tersebut. Adakah benar radiasi yang dikeluarkan oleh talian elektrik tersebut boleh menjejaskan kesihatan kita?
Kalau diperincikan, kehidupan kita sekerang tidak boleh lari dari semua jenis radiasi yang keluar dari semua jenis peralatan yang ada dirumah dan dikeliling kita. Semua peralatan elektrik yang terdapat dirumah mengeluarkan radiasi termasuk TV, Microwave oven, dapur dan cerek elektrik dan perlbagai lagi. Paling baru dan paling membimbangkan adalah radiasi yang dikeluarkan oleh 'Handphone'.
Terdapat banyak kajian, berita dan rencana tentang kesan radiasi dari handphone, itu tidak mengambil kira kecelakaan yang boleh berlaku seperti meletup dimuka dan lain lain. Ada pengguna kisah, adakah penggunaan handphone menurun atau berkurangan.
Kesimpulan, lalu didalam lingkungan radiasi dari kabel voltan tinggi tidaklah berisiko melainkan jika ianya dilakukan berterusan dan dalam tempuh masa yang lama. Jika ia benar mendatangkan masalah kesihatan, kesihan kepada pekerja yang melakukan pemasangan, senggaraan dan kerja membersihkan kawasan laluan.
      

Rabu, 14 Disember 2011

Berjalan kaki ke Alor Setar ? .....

No ... no .... no .... bukan aku yang hendak berjalan kaki ke Alor Setar. Aku lebih rela ke sana menaiki basikal  kesayangan, lebih cepat dan seronok. Aku telah melakukan kayuhan ke Alor Setar beberapa kali dan akan terus berbuat demikian jika ada keizinan .... yang hendak berjalan kaki itu orang lain yang aku jumpa dan sempat bersembang semasa kayuhan pagi tadi.
Belum sampai 1 km aku memulakan kayuhan dan dalam proses menyesuaikan rentak badan dan kayuhan, aku ditegur dari belakang oleh seorang rider. Aku cam betul suara tersebut walau tidak melihat orangnya. Aku menjawap tanpa perlu menoleh kebelakang. John dan Ong mengekori aku sebaik melepasi lampu isyarat Taman Nilam dan mereka mahu berkayuh di by-pass (lencongan). Aku pula merancang berkayuh ke Sidam melalui Pinang Tunggal. Sudah lama tidak berjumpa mereka kerana mereka kerap membuat pendek kerana perlu memulakan bisnes sebelum jam 10.00 pagi.
Pada persimpangan lampu isyarat Sungai Pasir mereka memperlahan kayuhan kerana lampu isyarat merah dan dipersimpangan Pasaraya Giants mereka berhenti sepertimana kenderaan lain. Aku pula melakukan sesuatu yang aku tahu merbahaya, melanggar lampu isyarat, tetapi mengambil 'calculated risk'. Aku meneruskan kayuhan dengan menyosori laluan yang berhenti dan tiada kenderaan. Macam pejalan kaki. Aku hormati keputusan mereka.
Di persimpangan Taman Kempas kami berpecah, aku mengambil simpang ke kanan untuk ke Pinang Tunggal manakala mereka berdua terus mengikuti lencongan timur.
Aku sengaja mencari susah! Beberapa hari lepas aku melalui jalan ini dan kerja kerja senggaraan jalan sedang dilakukan. Jalan asal dikorek dan dibubuh batu baru yang lebih tebal. Pasti kerja kerja tersebut belum siap dan mungkin mengambil masa satu minggu lagi. Memang susah mengayuh roadbike melalui keadaan tersebut, takut kalau tayar basikal boleh punctured.
Lega apabila melepasi jalan tersebut. Bukan sahaja takut tayar rosak tetapi batu batu tersebut membuat basikal terhentak hentak, mana lagi terpaksa mengikut kenderaan yang berderet deret dan yang paling teruk adalah habuk dari batu batu tersebut. Sepatutnya aku mengelakkan melalui jalan tersebut dan mencari alternatif.
Aku singgah sebentar di bangsal cendawan tiram di Kampung Seberang Tok Soh tetapi rakan yang menguruskan tanaman cendawan tiada. Jadi aku teruskan kayuhan ke Sidam dan membelok ke Jalan Kuala Ketil. Aku membelok ke Taipan Square dan Puteri Hill Park dengan tujuan meninjau kawasan tersebut secara lebih dekat. Selama ini aku hanya lalu di bahagian luar sahaja.
Bangunan kedai di Taipan Square lebih tiga puluh unit dan semua jenis dua atau tiga tingkat. Apa yang menarik perhatian scheme warna yang digunakan untuk bangunan tersebut. Terang dan berwarna warni. Setiap unit berlainan warna. Sayang hampir 90% unit kedai tersebut tutup dan tiada perniagaan dijalankan. Kalau ada hanya tinggal papan tanda nama kedai dan jenis perniagaan. Agak ada perniagaan perenah dijalankan dan terpaksa ditutup kerana tiada sambutan atau pelanggan.
Memang diakui, tidak banyak kenderaan yang melalui jalan tersebut. Itu sebabnya kedai kedai disana tidak boleh hidup .... mungkin keadaan akan berubah beberapa tahun lagi. Beberapa unit kedai telah dijadikan bangunan perusahaan burung walit. Terdapat satu kawasan 'Taipan Baazar' tetapi menjadi gajah putih. Tiada siapa yang berniaga disana.
Aku berkayuh kekawasan perumahan Puteri Hill Park untuk melihat unit unit kediaman. Pertama kali. Kawasan tersebut masih dalam pembinaan. Menariknya cara pemaju membuat papan tanda seperti tapak sekolah, tapak kolej, tapak rekreasi, tapak pasar dan sebagainya. Aku ke kawasan hijau yang mempunyai sebuah tasik dan melihat ramai orang berada disana. Mereka sedang membuat kerja kerja gotong royong membersihkan kawasan tersebut.
Disinilah aku nampak seorang yang sedang melakukan exercise dengan berjalan kaki. Dari cara dia berjalan aku dapat mengagak dia serius melakukan aktiviti berjalan kaki. Aku sengaja menunggu dia menghampiri dan menegur.

Statistik
   Mula .............. 7.45 pagi
   Tamat ............ 10.50 pagi
   Jarak ............. 56 km
   Cuaca ............ Panas
   Laluan ........... Pinang Tunggal - Sidam Kiri - Bandar Puteri

Selasa, 13 Disember 2011

Futsal KRT Taman Intan

Tiada kayuhan pagi kelmarin dan pagi hari ini.
Pagi ini aku terlibat dengan pertandingan futsal remaja Taman Intan. Bukan terlibat secara langsung tetapi sebagai pengerusi KRT aku kena berada dari mula hingga tamat pertandingan. Nampaknya aku seorang sahaja wakil dari AJK KRT, yang lain sibuk dengan hal masing masing agaknya. 
Ada dua orang AJK wanita singgah untuk meninjau keadaan. Mereka dalam perjalanan pulang dari membeli sayur untuk di masak hari ini dari pasar pagi yang terletak di antara bangunan kedai Taman Intan. Mereka sekadar bertanya dan berbual pendek dengan aku sebelum pulang ke rumah.
Pertandingan diadakan di padang bersebelahan Dewan Orang Ramai Seri Intan. Bukanlah gelanggang futsal sebenar yang selalu kita lihat, berbumbung, ada jaring untuk menghalang bola keluar dari kawasan dan luas yang standard. Permainan diatas padang simen serbaguna. Ia bersaiz kecil sedikit tetapi memadai untuk permainan bola sepak futsal, lima orang setiap pasukan. Padang bola sebenar terletak bersebelahan tetapi keadaan padang yang banyak batu mungkin merbahaya kepada pemain.
KRT Taman Intan memang mengadakan pertandingan futsal disini setiap tahun. Kebiasaan pada cuti panjang sekolah selepas semua peperiksaan utama seperti UPSR, PMR dan SPM berlangsung. Tidak mahu mengganggu pelajaran remaja dan tidak mahu pula emak ayah mereka nanti marah pula dengan KRT. Tahun ini penganjuran agak lewat disebabkan musim hujan.
Sambutan selalunya menggalakkan. Terdapat enam pasukan remaja yang mengambil bahagian. Semua pemain sangat bersemangat dan tiba lebih awal dari masa sepak mula. Aku menegur sebahagian dari mereka kerana tidak membawa kasut sukan dan menyuruh mereka pulang untuk mengambil kasut. Keselamatan semasa bermain perlu dititik beratkan. Alasan mereka bermain diatas padang simen tidak perlu kasut.
Sepatutnya ada dua pasukan remaja perempuan yang menyertai pertandingan ini tetapi mereka terpaksa menarik diri kerana beberapa pemain tidak dapat bersama. Tahun lepas pasukan remaja perempuan ini menyertai pertandingan ini.
Aku disana untuk memastikan semua berjalan lancar dari segi peraturan, kelengkapan dan paling penting ialah penyediaan makanan dan minuman untuk pemain. Aku membawa dua pek air mineral dan memesan 40 bungkus nasi lemak untuk pemain. Bola yang digunakan adalah bola yang digunakan pada tahun lepas. Ternyata bola tersebut berkualiti rendah kerana kulitnya mula tertanggal sebelum pertandingan berakhir.
Pertandingan dilakukan secara kalah mati. Setiap permainan selama 20 minit dengan 2 minit masa rehat. Walau hanya enam pasukan mengambil bahagian, pertandingan tamat selepas jam 12.00 tengah hari. Ini kerana ada dua game yang berakhir dengan seri dan masa tambahan 5 minit diberikan. Satu game ditenntukan dengan sepakan penalti.
Aku seronok melihat remaja remaja ini dapat menghabiskan masa cuti sekolah dengan berguna. Kelihatan mereka sungguh gembira dan bermain dengan penuh semangat. Pada mulanya agak sukar untuk mengumpulkan mereka dan mengajak mereka melakukan aktiviti sebegini. Jika mereka dapat dibentuk dan di ajak membuat aktiviti berfaedah akan dapat menghindarkan kegiatan tidak sihat.
Ada beberapa ibu bapa yang datang melihat anak anak mereka bermain bola dan masing masing nampak berpuas hati dengan aktiviti ini. Walaupun tidak menyatakan terima kasih kepada KRT yang menganjurkan aktiviti ini, ibu bapa remaja tersebut pastinya gembira dengan program ini.
Aku sedikit kesal kerana tidak sempat menyediakan hadiah pertandingan ini. Walau bagaimana pun hadiah  berbentuk medal akan diberika sebelum hujung tahun. Kenapa hujung tahun? Minggu hadapan mereka akan membuat permainan futsal secara liga dan dijangka berakhir sebelum hujunng bulan. Pemenang liga akan dihadiahkan dengan piala pusingan. Hadiah serta sijil penyertaan akan diserahkan pada pertandigan akhir liga.





Esok aku akan pasti berkayuh dengan basikal aku. Hanya mempunyai dua kali berkayuh sahaja lagi sebelum mengambil cuti panjang berkayuh. Pada hujung minggu nanti aku akan mengikuti rombongan membuat lawatan ke Thailand selama 10 hari. Rombongan lawatan tersebut akan bertolak pada pagi Sabtu 17 Disember 2011 dean dijangka pulang pada 26 Disember 2011.
   

Isnin, 12 Disember 2011

sembang sembang .....

Pagi tadi semasa berada di stesyen minyak Petronas Taman Nilam di Lencongan Barat aku bertemu dengan seorang rider mtb. Dia sedang mengisi angin mountain bikenya dan aku pula membuat pemeriksaan tekanan angin pada tayar SUV. Aku terasa ingin menegur kerana dia betul betul berada disebelah aku. 
Aku bertanya kenapa berkayuh seorang sahaja walaupun aku sendiri lebih suka berkayuh sendirian. Dia menjawap kerana dia berkerja syif, dan agak sukar mencari teman kayuhan pada pagi hari bekerja. Dia pula bertanya, "Abang kayuh juga ke?"
Biasanya begitulah, kita lebih senang memulakan perbualan dengan orang yang tidak kita kenali sekiranya mempunyai sesuatu persamaan. Tidak kiralah persamaan dari segi apa contohnya politik, kegemaran, hobi, makanan atau lain lain. Dalam kes ini, kami sama sama meminati aktiviti berbasikal. Perbualan tidak semestinya untuk berkenalan atau untuk menjadi sahabat, mungkin ini kali pertama dan terakhir bertemu. Jika ada berpeluang bertemu semula mungkin tidak ingat lagi yang kita pernah bertemu.
Menurutnya dia tinggal di Taman Kempas dan baru saja bergiat dalam aktiviti basikal ini. Basikalnya boleh tahan juga, kira lebih sedikit dari 'entry level'. Dari pemakaian seluar, jersey, helmet, kasut dan glove, boleh dikatakan dia serius berbasikal, walaupun mungkin atas pengaruh rakan. Menurutnya masih belum lagi dapat mengikuti mana mana jambori atau kayuhan jarak jauh. Paling jauh pernah berkayuh Tupah iaitu hampir 20 km dari Taman Kempas.
Dia bertanyakan nama aku. Walaupun aku pasti tidak akan berjumpa atau berkayuh dengannya, aku memberikan nama ringkas dan sebagai pemanis mulut aku mengatakan berharap dapat berjumpa dengan lagi sebelum memberi salam selamat tinggal kepadanya.
      

Ahad, 11 Disember 2011

Masjid Lama Pengkalan Kakap

Sebaik keluar dari perkarangan rumah untuk memulakan kayuhan, muka dan badan terasa sejuk dingin ditiup angin pagi. Sejuknya sampai ketulang. Kena teruskan juga kayuhan. Walau pun cuaca kurang elok dengan langit mendung, tetapi aku agak hujan tidak akan turun pada sebelah pagi.
Gerhana penuh 10 Dis 2011 mulai 7.45 mlm
Malam tadi aku berpeluang menyaksikan gerhana bulan. Bulan mengambang penuh. Pada mula lebih kurang jam 7.45 malam terdapat banyak tompokan awan hitam yang melindungi bulan. Aku berkata melepaslah peluang untuk menyaksikan phenomena gerhana bulan, tetapi awan tersebut hilang menjelang jam 8.00 malam. Ketika itu gerhana baru bermula dan boleh dilihat dengan jelas tanpa menggunakan sebarang 'visual aid' seperti telescope.
Pada masa itu aku berada di Lot 88, sebuah pusat komersial yang baru dibuka di Sungai Petani berhampiran Tol Sungai Petani Utara kerana menghadiri jamuan makan malam hujung tahun anjuran KRT Taman Intan. Ia diadakan sebagai tanda terima kasih kepada AJK KRT Taman Intan kerana menjalankan kerrja kerja sukarela melaksanakan aktiviti untuk penduduk setempat di sepanjang tahun. Jamuan diadakan di Restoren Masakan Itali, masakan saja cara Itali tetapi restoren dipunyai oleh rakyat tempatan. Kedengaran rungutan kecil ahli AJK mengatakan makanan biasa saje.
Sementara menunggu kehadiran semua AJK, sempat aku menyaksikan fasa pertama gerhana. Aku mengambil sedikit masa setiap 15 minit untuk melihat fasa fasa gerhana tersebut. Ianya tamat pada jam 10.45 malam.
Seperti kelmarin, hari ini ramai cyclist di jalan. Sebaik memasuki jalan lencongan Barat angin mula bertiup kencang hingga kayuhan terjejas, menjadi perlahan dan kadang kala terhuyung hayang. Kelajuan menjadi berat dan jauh lebih perlahan dari biasa. Aku memilih jalan dalam melalui Pekan Semeling untuk mengelakkan tiupan angin.
Apabila sampai ke penghujung jalan Rekreasi Tupah beberapa orang rider telah berada disana sedang berehat dan menghilangkan penat. Aku seperti biasa tidak berhenti tetapi terus berlalu turun. Destinasi seterusnya pendakian ke Muzium Arkeologi Merbuk. Terdapat beberapa kumpulan yang sedang melakukan kerja membersihkan kawasan. Aku rasa mereka ini secara sukarela datang bergotong royong. Satu kumpulan seramai 10 orang terdiri dari pemuda Cina dan kumpulan lain terdiri dari pemuda Melayu. Tahniah.
Aku meneroka kawasan belakang Pekan Merbok dan memasuki Kampung Hilir Merbuk. Sebaik memasuki kampung ini terdapat pintu gerbang besar dipasang di tengah jalan mengucapkan Selamat Datang. Disebelah belakang pula ucapan terima kasih.
Kebanyakkan jalan jalan kecil kampung disini mempunyai nama jalan dengan nama bunga. Kampung ini mempunyai kemudahan yang lengkap seperti tempat permainan kanak kanak, dewan, perpustakaan serta lain lain. Beruntung penduduk kampung mendapat kemudahan seperti ini.
Orang orang yang aku temui dijalan juga nampak begitu peramah. Mereka memberi senyuman dan menegur sapa apabila berselihih atau mengangkat tangan bila melihat aku. Seorang makcik begitu beriya iya disamping sangat mesra menjawap pertanyaan aku untuk menunjukkan jalan.
Masjid Lama Pengkalan Kakap, Merbuk
Secara tidak dirancang atau 'unconciously' aku memberhentikan basikal apabila ternampak bangunan lama ini. Aku memerhatikan dihadapan dan dibelakang jalan jika ada terdapat papantanda dan menjumpainya tersorok dicelah daun pokok yang rendang. Aku mengeluarkan kamera kompak dan mengambil beberapa shot gambar dari jalan.
Pernah dua kali aku mengayuh basikal melalui jalan ini dari arah bertentangan, tetapi aku tidak perasan ianya bangunan  masjid lama kerana bersebelahan terdapat sebuah masjid baru. Aku sering ternampak sebuah papan tanda menunjukkan arah masjid lama ini di Kampung Batu Hampar tidak berapa jauh dari sini. Aku ingatkan masjid ini terletak dikampung tersebut dan sering bercadang untuk melawat.
Menurut papan kenyataan yang terletak di luar, masjid ini didirikan disekitar tahun 1800. Ia adalah masjid tertua di kawasan ini dan didirikan oleh seorang tukang tempatan bernama Tukang Tok Man dan diawasi oleh Penghulu Hj. Md Salleh. Masjid ini sering dikunjung oleh Sultan Kedah TM Sultan Abdul Hamid iaitu Sultan Kedah yang ke -25 apabila beliau melawat kawasan ini.
Masjid ini telah dibaikpulih pada tahun 1994 oleh Jabatan Muzium dan Intikuiti. Setakat hari ini aku sedih kerana keadaan masjid tersebut terbiar, kawasan keliling tidak dibersihkan, pintu utama terbuka luas membolehkan binatang ternakan masuk. Bumbung juga didapati rosak dengan beberapa keping atap genting telah hilang atau jatuh. Lantai juga mula terdapat tompokan tahi burung dan kelawar.
Diharapkan pihak pihak bertanggungjawap dapat mengambil langkah segera sebelum kerosakkan lebih teruk kepada masjid ini.




Statistik
  Mula ................ 7.40 pagi
  Tamat ............... 10.45 pagi
  Jarak ................ 55 km
  Cuaca ............... redup dan berangin
  Laluan .............. Semeling - Rekreasi Tupah - Muzium Arkeologi - Kampung Hilir
                                Merbuk
    

Sabtu, 10 Disember 2011

Angin Timur

Oleh kerana masa tidak mengizinkan genap satu minggu tidak membuat kayuhan. Badan pun sudah mula rasa sengal sengal kerana otot otot sudah lama direhatkan. Apa lagi, capai basikal dan kayuh ....
Hari ini ramai cyclist dijalan, ada yang berkumpulan dan ramai juga yang bersendirian seperti aku. Ada yang menggunakan mtb dan ada juga yang menggunakan rb. Bangga aku melihat ramai rakyat Malaysia kini sedar betapa pentingnya menjaga kesihatan. Basikal menyediakan alternatif sukan yang begitu penting. Murah, mudah dan seronok.
Sebaik memasuki lencongan timur dari arah Sungai Petani Utara, satu lorong jalan ditutup untuk kerja kerja senggaraan. Dibelakang aku ada sebiji lori trailer panjang, deruan enjin cukup menggerunkan. Satu perkara aku seronok lori tersebut tidak membunyikan hon langsung tetapi mengikut kelajuan basikal aku dari jarak yang selamat. Juga tidak cuba memotong walaupun ada ruang. Jarang juga pemandu bagini. Berbeza sungguh dengan pemandu lori tanah atau pasir yang sering bersikap kurang ajar.
Punya lah pulun kerana tidak mahu mengganggu lori tersebut yang dibelakangnya sudah terdapat deretan kereta yang agak panjang. Paling laju aku boleh kayuh hanyalah 38 km/j. Akhirnya aku terpaksa mengalah dan masuk ke laluan yang ditutup. Aku  membuat keputusan begini walaupun sedar ada kemungkinan tayar basikal akan pancit kerana batu kecil dan halus pada bahagian jalan yang sedang disenggarakan.
Apabila memasuki jalan lencongan barat, kayuhan menjadi perlahan. Bukan disebabkan keletihan kerana baru hampir 1 jam berkayuh tetapi tipuan angin yang kencang dan kuat. Memang pada waktu ini iaitu penghujung tahun hingga ke bulan Mac, angin akan bertiup kencang. Orang Kedah kata 'Angin Timur'. Angin ini selalunya kering dan empat bulan bila angin ini bertiup kawasan utara akan mengalami cuaca kering dengan hujan yang sedikit. Tetapi tahun ini agak berbeza, walau pun angin timur bertiup, musim hujan masih belum berakhir.
Kalau difikirkan angin timur bermakna angin yang bertiup dari arah pantai timur iaitu dari Laut Cina Selatan. Angin yang pada mulanya lembab akan kehilangan kelembaban apabila melintasi banjaran Titiwangsa dan tiba disebelah pantai barat dengan agak kering.
Seronoknya apabila angin ini bertiup suhu akan menjadi sejuk. Sering aku akan menutup 'air-cond' kereta dan membuka semua tingkap kereta untuk menikmati udara sejuk yang dibawa oleh angin timur ini. Aku sering beranggapan Kedah mendapat tempias musim sejuk (winter) yang sedang berlaku di hemisfera utara.

Statistik
   Mula ............... 7.45 pagi
   Tamat .............. 9.05 pagi
   Jarak ............... 33 km
   Cuaca .............. Nyaman
   Laluan ............. Lencongan Barat - Lencongan Timur
    

Sabtu, 3 Disember 2011

Sungai Dua, Seberang Prai

Tidak tahu kenapa aku terasa hendak mencari rakan berkayuh hari ini. Seawal jam 7.00 pagi aku menalifon SK Juan tetapi agak kecewa apabila mendengar nada suaranya. Suara baru bangun tidur. Sah, apabila dia menolak pelawaan berkayuh ke Butterworth.
Sebenarnya aku sanggup menunggu dia bersiap walaupun terpaksa memulakan kayuhan agak lewat. Tetapi apabila dia beriya menolak pelawaan tersebut aku mengambil keputusan untuk berkayuh sendirian. Kali terakhir berkayuh dengan SK Juan ialah pada bulan lepas iaitu kayuhan ke Sik - Parit Panjang dan Kuala Ketil. Minggu lepas dia mengajak aku berkayuh ke Baling tetapi aku menolak kerana rb rosak. Mungkin ia hendak balas dendam kerana tidak menyertai dia minggu lepas?
RB aku kini telah dibaikpulih sepenuhnya dan pagi ini aku ingin membawanya ke Butterworth. Harap tiada masalah kali ini. Bukan apa, sedikit phobia kerana dua kali terakhir membuat kayuhan jauh menggunakan rb, aku menghadapi masalah kerosakkan. Pagi ini terasa kelainan atau lebih tepat lagi lebih ringan dari biasa. Sememangnya jika alatganti yang digunakan agak 'high end' semestinya ada perbezaan dari segi performance.
Aku berselisih dengan satu kumpulan hampir 20 orang penunggang 'fixie' disempadan Kedah/Pulau Pinang. Mungkin dari Kepala Batas atau Butterworth. Kebanyakkan golongan remaja. Apa yang seronok ialah warna warna cerah dan garang basikal mereka. Agaknya mereka menuju ke Pantai Merdeka.
Sudah beberapa kali aku teringin untuk berhenti dipintu masuk utama Pengkalan Udara TUDM Butterworth untuk mengambil gambar basikal aku berlatar belakangkan jet pejuang yang dipamirkan. Dahulu dipamirkan jenis 'Tebuan' tetapi kini jet F5 (kalau tidak silap)
Selalunya aku tidak mahu berhenti ketika sedang syok berkayuh, tetapi pagi ini masih awal dan mungkin hari terbaik untuk menyempurnakan hajat. Puas hati apabila mengambil beberapa keping gambar.
Aku meneruskan kayuhan kearah Butterworth. Entah apa yang membuatkan aku menukar fikiran dan membatalkan cadangan. Aku ingin ke Sungai Dua melalui Lebuhraya BORR. Risau juga kerana bagaikan melakukan satu kesalahan apabila berbasikal melalui lebuhraya ini. Sebenarnya tiada sekatan untuk basikal seperti lebihraya utama lain. Cuma perlu berhati hati kerana kenderaan dipandu agak laju. Aku tidak mahu menjadi ini sebagai habit.

Pekan Sungai Dua masih belum dibuka. Terdapat banyak kedai kedai baru dengan rekabentuk yang moden dan comtemporary. Teringin juga aku meneruskan kayuhan ke Empangan Mengkuang di Bukit Mertajam, tetapi mungkin lain kali kerana hari ini ada dua jemputan kenduri.

Statistik
   Mula ............... 7.30 pagi
   Tamat ............. 10.50 pagi
   Jarak ............... 70 km
   Cuaca .............. Panas
   Laluan ............. Tikam Batu - Bagan Ajam - Sungai Dua - Kepala Batas
   

Khamis, 1 Disember 2011

Gotong royong

Tiada kayuhan pagi kerana aku terlibat dalam gotong royong membersihkan kawasan klinik kesihatan Bakar Arang yang berhampiran Taman Intan. Gotong royong ini adalah anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bakar Arang, Sungai Petani Kedah.
Panel penasihat adalah satu badan dimana ahli ahli dilantik dari orang orang awam yang tinggal di kawasan operasi klinik tersebut. Ahli panel ini menjadi penyambung komunikasi diantara klinik dan orang awam. Panel penasihat juga bertanggung jawap memberikan apa apa maklumat tentang pencegahan penyakit dan menyampaikan maklumat. Fungsi panel penasihat agak berlainan dengan pelawat hospital.
Hampir dua tahun melibatkan diri didalam panel penasihat ini.