Halaman

Ahad, 29 April 2012

Eksiden di Bedong

Berehat agak lama selepas kayuhan Gunung Jerai. Lima hari. Walaupun ada membuat pendakian di Bukit Semarak dua hari lepas. Dalam pada itu aku ada juga berkayuh jarak dekat ke bandar dan taman. Kayuhan ini lebih pada utuk menghabiskan masa pada sebelah petang sambil meninjau dan menikmati suasana kesibukkan bandar Sungai Petani. Kadang kala membeli satu dua barang kecil keperluan dapur.
Sebenarnya otot peha sebelah kiri mengalami sedikit kekejangan. Ia bermula hampir satu minggu lalu dan tidak tahu apa puncanya. Terasa memcocok bila ia menyerang tetapi tidaklah sangat. Malas untuk pergi mendapatkan rawatan tetapi adalah mengambil beberapa biji 'penadol extend'. Lega sekejap dan kemudian kekejangan datang semula terutama apabila aku duduk berlunjur di ruang tamu rumah. 
Kalau sakit otot ini tidak berkurangan aku bercadang untuk pergi urut. Seorang kawan tidak jauh dari rumah aku pandai mengurut otot yang mengalami kekajangan. Dia adalah pesara guru P.E (latihan jasmani) dan banyak membantu apabila murid murid mengalami masalah semasa berlatih dan bersukan.
Tidak tahu samada perasaan aku sahaja atau betul, tetapi aku merasa peha tersebut lega sebaik menghabiskan pendakian di Bukit Semarak dua hari lepas. 
Sebaik sahaja aku menutup semula pintu pagar rumah untuk memulakan kayuhan aku mendengar deringan telipon rumah. Isteri aku memanggil aku mengatakan ada panggilan dari kampung. Aku diberitahu bahawa Khalid suami kepada sepupu yang tinggal di Kampung Serting Ilir meninggal dunia di hospital Kuala Pilah. Dia seorang pegawai polis dan masih ada beberapa tahun lagi sebelllum bersara. Anak saudara yang menelipon aku tidak pasti punca kematian tetapi dia sihat pada sebelah siang hari sebelumnya ketika melansungkan majlis pertunangan anak sulungnya.
Aku mengirim salam kepada semua ahli keluarga termasuk emak saudara dan meminta maaf kerana tidak dapat pulang. Kalau pulang pun akan mengambil masa hampir enam jam. Aku mendoakan semuga rohnya dicucuri rahmat dan menyedekahkan Al Fatihah.
Semasa kayuhan aku mengimbas kenangan Allahyarham. Seorang yang periang dan mudah mesra. Senang berbual. Apa yang menakjubkan aku ialah kerajinannya. Tidak membuang masa, ada sahaja benda yang dilakukan. Dia membina sendiri rumah banglo besar di tengah bendang ditapak rumah lama rumah emak saudara aku. Bukan sahaja boleh melakukan kerja kerja memasang batu bata, lantai, bumbung tetapi pendawaian letrik dan pemasangan paip air juga dilakukan sendiri.
Aku hanya mengagak. Kematian mengejut mungkin serangan sakit jantung. Tidak dinafikan badannya sedikit gempal tetapi apa yang pasti ialah tekanan kerja atau 'stress'. Kali terakhir aku berjumpa dengannya, dia pernah menyatakan kesibukkan dan pressure tugas harian sebagai seorang anggota polis. Tiada masa untuknya melepaskan stress dan tekanan kerja seperti apa yang kita lakukan.
Memikirkan perkara tersebut, aku bersyukur kerana mempunyai dan diberi peluang untuk melakukan aktiviti berbasikal, berjogging dan lain lain. Mudah-mudahan aktiviti ini menghalang serangan mengejut penyakit yang menjadi pembunuh No.1 di negara ini. Bertambah tekad aku untuk meneruskan aktiviti yang aku lakukan.
Sebaik melepasi simpang ke Bukit Selambau di Sungai Lalang, kedengaran siren ambulan datang dari arah Sungai Petani. Mungkin ada orang sakit. Rupanya ada kemalangan tidak jauh di persimpangan ke Pekan Bedong. Seorang warga emas yang menunggang motorsikal melanggar atau dilanggar oleh kereta dari arah selatan. Pakcik tersebut melawan arus dari arah bertentangan tetapi mengikuti jalan sebelah kiri. Aku sering protes kepada penunggang motorsikal yang melakukan aksi sebegini.
Aku ingin pergilebih jauh tetapi aku ingin menghabiskan kerja kerja membersihkan frame roadbike sebelum dihantar untuk dicat.

Statistik :
   Mula .............. 7.35 pagi
   Tamat ............ 9.40 pagi.
   Jarak .............. 45 km
   Laluan ........... Lencongan Timur - Sg Lalang - Bedong - Semeling
   Odometer 2012 : 02014
         

Isnin, 23 April 2012

Gunung Jerai .... peluh adalah tangisan lemak

Jangan tanya bila kali terakhir aku berkayuh ke Gunung Jerai. Aku sudah lupa. Pastinya apa yang aku ingat tidak pernah berkayuh selepas raya puasa tahun lepas dan lebih pasti tidak lagi untuk tahun 2012 ini. Entah kenapa sejak awal bulan ini aku teringat untuk ke gunung bila aku berkayuh melalui di jalan Gurun - Guar Cempedak beberapa kali akhir akhir ini.
Senja kelmarin aku ditanya kemana berkayuh pada hujung minggu yang baru lepas. Aku keluar membeli keow teow kerang digerai seorang kawan yang juga aktif berkayuh. Tidak kemana kerana ada beberapa hal yang tidak membolehkan berbuat kayuhan. Spontan aku nyatakan bahawa aku akan ke Gunung Jerai pagi esok. Aku tahu dia tidak akan menyertai kerana sibuk dengan urusan perniagan.
Dari mula sudah ada yang tidak kena. Sementara menunggu nescafe O sejuk sedikit aku keluar untuk memasukkan basikal kedalam kereta. Terkedu melihat tayar belakang kempes. Semua angin telah habis keluar. Aku mengambil pam kaki dan mengisi semula sambil membelek tayar kalau ada paku atau kaca. Tiada pula. Aku tinggalkan untuk beberapa minit dan nampak elok sahaja. Angin tidak berkurangan. Tidak puas hati aku membuka tayar untuk membuat pemeriksaan. Ah ... ada dawai kokot (stapler) melekat pada tiub.
Terpaksalah mengganti tiub. Apabila siap aku lihat tayar yang baru ditukar kempes pula. Nasib baik belum dipasang pada basikal. Bila aku buka aku lihat bocor agak besar berhampiran dengan injap angin. Tidak pasti tiub tersebut memang sudah risak masa aku membeli atau rosak ketika aku memasang sebentar tadi. Hati mula nak baran. Ingat hendak batalkan sahaja kayuhan ke gunung pagi ini. Tenangkan fikiran dan sabar. Ganti semula tiub. Kali ini tiada masalah. Masih awal lagi dan aku teruskan rancangan.
Semasa aku sedang memasang basikal kelihatan beberapa orang wanita Melayu sedang memulakan pendakian dan lalu berhampiran dengan aku. Mereka memandang kearah aku. Apa yang mereka fikirkan, mungkin mereka berfikir "orang tua ni larat ke kayuh digunung ni?" Aku pula berfikir "Wah hebat mereka ni, nampak bertenaga dengan pakaian yang lengkap, asessori dan basikal pun nampak above entry, biarkan mereka pergi dahulu nanti aku potong mereka".
Rasa kecewa sikit kerana belum pun aku siap untuk memulakan pendakian, kelihatan wanita tadi turun dan pergi ke kaki gunung. habis jauh pun mungkin pendakian pertama tidak sampai 1 km. Tidak mengapa, mula acah acah dulu, bila sudah biasa nanti kayuh naik sampai ke puncak.
Sepanjang kayuhan, aku mengira ngira kelajuan dan jarak, juga mengagak boleh ke tidak sampai diatas. Aku seolah tidak ingat lagi selekoh dan batu batu penanda jarak. Memang sudah lama aku tidak mendaki Gunung Jerai ini. Belum pun menghabiskan pendakian 1 km pertama, peluh menitis dari umbun kepala dan muka. Peluh dibadan lengan dan kaki tidak perasaan kerana ianya diserap oleh baju dan seluar.
Aku teringat satu posting yang dibuat dalam facebook oleh rakan sekayuhan, sekeping gambar lelaki tanpa baju yang berpeluh. Caption gambar "sweat is fat crying". Mungkin benar apa yang dikatakan. Peluh yang keluar dari badan ketika mendaki Gunung Jerai ini  bukan sikit.
Dua hari lepas aku menonton Majallah 3 tentang portal yang mengambil upah membawa barang ke Gunung Kinabalu, bila berhenti dia menyebut "panat sangat, hentik dulu". Aku terpaksa berhenti di km6 kerana terlalu letih. Kalau dahulu aku boleh menghabiskan kayuhan tanpa berhenti tetapi kali ini terpaksa mengaku kalah. Berehat hampir 5 minit sebelum meneruskan perjalanan. Syahdu, nyaman. damai dan tenteram menikmati suasana hutan rimba tebal di pergunungan ini.
Dimana cyclist gunung pagi ini. Macam tahu tahu sahaja, seminit kemudian terdengar deruan tayar basikal menuruni bukit dengan laju. Terpaksa bergegas ketepi jalan. Mana tahu breknya gagal berfungsi, nyaiya dibuatnya. Beberapa minit kemudian dua orang lagi rider turun tetapi salah seorang mempunyai masalah dengan basikalnya kerana keluar bunyi yang kuat dan nyaring. Sebuah kereta (karavan) negara luar, mungkin Switzerland kerana lambang tanda campur berwarna merah yang ditampal dihadapan. Pemandu menghulurkan tangan keluar tingkap kearah aku.
Berjaya juga sampai diatas, walau penat tetapi hati ku puas. Lewat sampai sedikit dari biasa dan aku tidak sanggup untuk meneruskan ke puncak gunung. Langit pula diselubungi awan gelap. Dalam hati aku berdoa, tolong jangan hujan dahulu supaya sempat aku turun ke kaki gunung.
Semasa turun (tidak berkayuh, hanya gunakan tarikan graviti) berselisih dengan seorang rider yang nampak berhempas pulas mendaki, kemudian berjumpa dengan tiga orang rider yang berhenti rehat, dua orang lagi berasingan dan akhir seorang rider berbadan gempal sedang berpegang kepada sebuah kereta yang dipandu seorang wanita.  Mungkin isterinya. Rupanya ramai juga yang membuat kayuhan hari ini. Mungkin mereka datang lewat sikit.
Aku menunjukkan muka masam tanda tidak setuju dengan apa yang sedang dilakukan oleh rider tersebut. Bukan sahaja mendatang bahaya pada diri sendiri, tetapi juga kepada pemandu kereta dan paling teruk mendatangkan bahaya kepada kenderaan lain. Kalau sudah tidak larat untuk berkayuh, ada dua pilihan. Berpatah balik ke kaki gunung atau pilihan kedua, naikkan basikal kedalam kereta terus ke atas. Perbuatan tersebut mengundang kemalangan. Perkataan 'bodoh' keluar dari mulut aku tetapi agak perlahan. Tidak tahu samada dia dengar atau tidak.
Tidak mahu berjanji tetapi aku pasti membuat kayuhan Gunung Jerai dengan lebih kerap lagi  dimasa akan datang.

Statistik :
   Mula .............. 8.15 pagi
   Tamat ............ 11.00 pagi
   Jarak .............. 24 km
   Laluan ........... Gunung Jerai
   Odometer 2012 : 01969
        

Khamis, 19 April 2012

Mengkuang Dam PBA

Semasa aku mula melakukan aktiviti kayuhan hampir 10 tahun lalu, pernah seorang kawan menyatakan berbasikal terlalu lama boleh menjejaskan kesuburan kaum lelaki. Dia mendapat maklumat tersebut dari majalah perubatan. Mengikut kawan tersebut bilangan sperma atau 'sperm count' akan berkurangan dan akan menjejaskan peluang mendapat anak.
Aku katakan kepadanya aku sudah tutup kilang. Jadi kalau betul apa yang dinyatakan itu tidak akan menjejaskan aku. Kalau umur sudah mencecah lebih 56 tahun ada anak kecil, susah juga. Ramai yang akan beranggapan bela anak cucu.
Kelmarin disiarkan lapuran kajian kesan berbasikal mengatakan penemuan baru bahawa kaum wanita juga berisiko jika berkayuh lebih 16 km seminggu. Berbeza dengan kesan pada kaum lelaki, kaum wanita akan kehilangan nafsu seks kerana tekanan pada tubuh semasa membongkok mengayuh basikal.
Kita biarkan kaum hawa sendiri membuat rumusan. Mungkin fakta yang dialu alukan dan dinanti nantikan oleh kaum lelaki. Ada can tambah lagi satu ......
Hampir empat jam setengah berkayuh tanpa merasa sinaran dan panas matahari. Cuaca mendong sepanjang hari dan aku bernasib baik kerana dalam perjalanan pulang, rintik rintik hujan mula jatuk ke muka dan kepala. Sedikit sahaja, tidak cukup untuk membasahi muka dan juga tidak perlu mencari tempat berteduh. Aku meneruskan kayuhan dan bagai yang aku jangkakan rinntik rintik hujan berhenti.
Macam mana dan mengapa aku memilih jalan ke Bukit Mertajam dan seterusnya Tasik (empangan) Mengkuang tidak berapa pasti. Pernah dahulu aku cuba ke  tasik ini tetapi dua kilometer sebelum sampai tersilap ambil jalan dan berkesudahan di bandar Bukit Mertajam. Aku sepatutnya tidak memasuki simpang ke kanan tetapi jalan terus. Kerana tidak mahu berpatah balik aku meronda ronda di bandar dan terus pulang.
Kayuhan pagi tadi dari Kepala Batas aku berkayuh mengikut arah jalan ke Bukit Mertajam, membelok Lahar Yooi dan belok ke kanan di Padang Menora. Dipersimpangan Kampung Pelet membelok ke kiri dan melintasi di bawah BKE (Butterworth Kulim Expressway) dan sampai ke Tasik Mengkuang. Pekan Kulim hanya 15 km dari Tasik Mengkuang.
Tidak mahu sesat walaupun aku yakin jalan yang aku ikut betul aku bertanya kepada seorang pakcik yang kebetulan membersihkan kawasan rumahnya berhampiran jalan. Aku agak kecewa kerana tidak dibenarkan masuk mengayuh basikal walau aku memberi alasan untuk sekejap sahaja. Kakitangan PBA bertugas mengarahkan aku meninggalkan basikal disebelah kiri pintu masuk dengan motorsikal lain. Hanya kereta dibenarkan masuk.
Tidak mahu untuk mencetuskan apa yang tidak seronok aku akur dan pergi ke kawasan parking motorsikal. No way aku hendak tinggalkan basikal kesayangan disitu untuk pergi ke kawasan tasik. Rasanya selamat tetapi aku tidak mahu mengambil risiko. Semua orang yang datang kesini bertujuan untuk beriyadah bukan untuk melarikan basikal. Tetapi untuk sampai aku perlu berjalan kaki hampir 500 meter. Aku duduk berehat dan mengeluarkan bungkusan nasi lemak yang aku beli sebelum sampai ke tasik ini. Aku juga membawa beberapa biji pisang dari rumah (bini suruh..) dan menikmati makanan disini sambil memerhatikan beberapa orang berjogging diatas empangan.
Pada mulanya aku bercadang untuk pulang melalui jalan lain tetapi teringat untuk menziarahi seorang kenalan dari kampung yang juga saudara bau bau bacang. Dia tinggal di Taman Guar Perahu. Tidak bernasib baik kerana dia tiada dirumah. Mengikut anaknya dia pergi menziarahi orang mati. Anaknya tidak percaya aku saudara jauh dan berbasikal dari Sungai Petani.
Menjalankan tugasan kayuhan pulang ke Sungai Petani hampir 35 km mengikut jalan yang sama yang diikuti tadi.

Statistik :
   Mula .............. 7.30 pagi
   Tamat ............ 11.40 pagi
   Jarak .............. 85 km
   Laluan ........... Tikam Batu - Kepala Batas - Ara Kuda- Empangan Mengkuang
   Odometer 2012 : 01945
        

Isnin, 16 April 2012

Berjumpa dengan lelaki telanjang ......

'So totally exhausted' memang keletihan habis sebaik sampai di rumah. Lima km lagi aku terasa amat tidak larat lagi, tekak kering habis. Bila hendak sampai. Tidak balik terus tetapi singgah di kedai runcit tidak jauh dari rumah untuk membeli sebotol air 100 plus. Kononnya untuk memulihkan tenaga dan yang penting untuk menghilangkan dahaga.
Biasanya bila balik dari kayuhan aku akan berehat sambil pekena teh O panas yang disediakan oleh isteri. Memang menjadi kebiasaan begitu. Boleh habis satu jug (lebih kurang 4 cawan besar) dan bila sudah hilang letih, barulah ke bilik mandi. Membasuh pakaian bebasikal sebelum mandi. Satu lagi kebiasaan membasuh semua pakaian termasuk stocking dan glove sendiri. Kadang kala seronok juga bila isteri yang tolong.
Tetapi hari ini memang tidak larat dan terpaksa tidur dahulu hampir satu jam. Tangguhkan makan nasi tengah hari. Bila terjaga tidur baru pergi mandi dan makan nasi. Peluh masih tidak berhenti mengalir keluar. Macam tahu tahu sahaja, isteri aku buat sup ayam berempah. Dapat menambah tenaga dan mengurangkan keletihan.
Rasanya punca aku begitu letih sekali (selain dari usia semakin tua) adalah kurang exercise. Kali terakhir berkayuh ialah satu minggu lalu. Walau ada membuat kayuhan pendek seperti pergi ke kedai dan bersiar siar ke pekan, jarak kurang dari 10 km. Bukan tidak mahu atau malas tetapi dua tiga pagi pada minggu lepas hujan turun dan kemudian ada beberapa perkara yang perlu dilakukan.
Puas. Semasa membeli air di kedai runcit, berjumpa dengan seorang rakan yang juga melakukan aktiviti berbasikal. Dia menjalankan perniagaan gerai dan hanya dapat melakukan kayuhan sekali seminggu. Pun bagitu mempunyai tiga biji basikal. Dia terkejut juga bila aku katakan balik dari Guar Cempedak melalui Yan seorang diri.
Pagi kelmarin aku sudah siap sedia dengan pakaian berkayuh sebaik sahaja selesai menunai solat subuh, kononya untuk pergi 50 atau 60 km. Kena menghadiri mesyuarat pada jam 10.00 pagi dan satu lagi pada sebelah petang. Bila langit mulai cerah kelihatan awan hujan menyelubungi seluruh langit. Aku keluar masuk rumah sambil melihat ke langit. Minta pendapat kedua dari isteri dan akhirnya aku batalkan rancangan dan mengantung semula basikal.
Aku telah merancang untuk ke Gunung Jerai pagi ini. Memang sudah lama tidak kesana. Tetapi kerana keghairahan untuk berkayuh aku terlupa dan terus keluar berkayuh ke lencongan barat. Tidak mengapa. Dua hari dari sekarang aku merancang untuk kesana. Atau hari yang paling sesuai adalah pada hujung minggu dimana ramai rider berada disana. Tidaklah sunyi sangat kayuh seorang diri.
Gambar hiasan .. lebih kurang macam inilah
Semasa melalui kampung Sungai Badong, Singkir aku tergamam sedikit apabila seorang lelaki dalam usia lingkongan 30'an keluar secara tiba tiba dari dalam belukar diseberang jalan tidak jauh dari basikal aku. Badan nya kurus dan tiada nampak lemak berlebihan. Dia seolah mencari sesuatu dan dalam masa singkat berpatah semula ke arah semak dan menguak nguakan tumbuhan kecil dengan tangannya.
Apa yang membuatkan aku terperanjat. Takut. Tidak sama sekali. Aku terkejut beruk kerana lelaki tersebut 'stark naked' - telanjang bulat tanpa seutas benang dibadan. Tidak terfikir bahawa dia sedang melakukan apa apa perkara tidak elok didalam belukar tersebut atau dia cuba hendak menakutkan orang lalu lalang terutama kaum wanita. Bukan seorang 'flasher' atau 'stripper' macam kita selalu tonton dalam wayang barat.
Melihat dia walau sepintas lalu, aku tahu dia tidak waras atau lebih tepat lagi lelaki tersebut GILA. Kalau ada pembaca wanita yang berkayuh di kawasan tersebut aku nasihatkan supaya berhati hati. Apa yang dikesalkan tempat berlaku kejadian tersebut tidak jauh dari banyak rumah kampung dan lebih membimbangkan tidak jauh dari sebuah sekolah menengah kebangsaan. Bayangkan apa terjadi kepada aku berlaku kepada remaja perempuan ketika mereka dalam perjalan pergi atau pulang ke sekolah! Tidak ke haru biru dibuatnya
Aku mencapai kamera digital yang sentiasa ada bersama semasa membuat kayuhan untuk mengambil gambar lelaki tersebut tetapi membatalkan  niat. Aku sendiri terasa malu dengan keadaannya.
Pasti orang gila itu dari kampung berdekatan. Mengapa tiada tindakan diambil untuk menangkapnya dan menghantar ke tempat sepatutnya iaitu hospital bahagia. Kesian kepadanya. Tidak tahu dimana dia bermalam, entah makan dengan sempurna atau tidak, mandi apatah lagi tiada berpakaian. Apa penduduk kampung dan ahli jawatan kuasa kampung buat apa? Dimana saudara mara dan sahabat handai?
Semasa pendaki terakhir bukit Tanjung Jaga iaitu bukit yang agak tinggi, aku terlupa menukar gear rendah awal awal. Aku hanya menukar apabila memulakan pendakian. Sidikit masalah timbul dimana kegagalan gear turun sepenuhnya. Tidak mahu turun dari basikal dan tidak mahu gagal berkayuh sehingga habis pendakian, aku teruskan kayuhan. Nasib baik berjaya tetapi punyalah letih. Mungkin inilah sebab aku merasakan terlalu letih apabila sampai dirumah.

Statistik :
   Mula .............. 7.40 pagi
   Tamat ............ 11.40 tengah hari
   Jarak ............. 79 km
   Laluan ........... Semeling - Merbuk - Yan - Guar Cempedak - Gurun
   Odometer 2012 : 01860
        

Khamis, 12 April 2012

Hujan turun lagi

Hampir lima hari tidak membuat kayuhan. Selepas 'excitement' semalam iaitu kejadian gempa bumi di pantai barat Sumatera pada jam 4.40 petang dan cuti umum sempena pertabalan Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, Sultan Kedah sebagai Yang Di Pertuan Agung yang ke 14, aku membuat rancangan untuk kayuhan hari ini.
Pelan A ialah kayuhan ke Pantai Merdeka. Singggah di Kuala Muda untuk melihat kesan kesan gempa bumi dan tsunami jika ada. Kalau tiada akan singgah untuk menjamu selera 'gulai ikan sembilang' digerai di tepi kuala sungai sebelum meneruskan perjalanan ke Pantai Merdeka. Segala amaran tsunami ditarik balik sebelum jam 9.00 malam.
Pelan B. Memandang ada beberapa urusan di sebelah petang, dua pusingan di jalan lencongan timur dan barat sejauh 65km amatlah memadai. Tidak berapa jauh rumah dan tidak berapa letih untuk membereskan urusan tersebut.
Sebaik sedar dari tidur jam 6.00 pagi, kedengaran hujan sedang turun dengan agak lebat. Ah .... tidak dapat lagi membuat kayuhan pagi ini. Dalam hati tertanya apakah hujan sejak dari tengah malam akibat dari gempa bumi yang berlaku.
Nampak gaya hujan akan turun sepanjang hari. Tidak mengapa, masih banyak masa lain untuk berkayuh.
   

Rabu, 11 April 2012

Gempa bumi ....

Mengapa aku masukkan kejadian gempa bumi yang berlaku petang tadi didalam blog. Tiada kaitan langsung dengan kayuhan basikal.
Tetapi ini adalah satu pengalaman yang belum pernah aku alami sepanjang hayat. Aku mahu berkongsi sedikit pengalaman dan ingin merekodkan supaya tidak lupa. Itu kalau blog ini dapat dikekalkan sehingga tempuh masa yang lama. Atau mungkin jika ada kesempatan semua catatan ini dibukukan secara digital atau lain lain.
Aku masih ingat lagi gempa bumi yang berlaku pada Dec 2004, hampir lapan tahun lalu. Ketika itu ada saudara mara datang berkunjung ke rumah kerana menghadiri majlis perkahwinan di Sungai Petani. Tidak langsung tahu perasan berlaku gempa dan tsunami melanda di pantai Kuala Muda sehingga mendengar dan melihat ambulan berulang alik. Ramai orang kata mereka merasakan gegaran gempa tersebut. Hanya selepas menonton berita perdana baru mengetahui tentang kejadian tersebut.
Petang tadi aku masih berbaring di lantai ruang tamu, tempat favourite untuk tidur petang. Aku tidak suka tidur sofa kerana lebih suka tapak keras diatas karpet. Walau tidak lagi tidur tetapi tidak pula jaga sepenuhnya. Seperti di awang awangan, antara tidur dengan jaga. Tiba tiba aku merasakan lantai rumah beralun alun dan berombak ombak. Pada mulanya perlahan dan semakin kuat dan laju. Ia berlarutan hampir dua minit. Aku melihat jam dan waktu itu 4.40 petang.
Teruknya pening kepala aku ... itulah yang difikirkan ketika itu. Tidak langsung memikirkan atau membayangkan perkara lain. Aku memerhatikan jam dinding, lampu, almari, kipas dan segala benda lain yang nampak dari tempat aku berbaring untuk melihat kalau benda benda tersebut bergoyang. Tidak pula begegar.
Semasa mengalami pergerakan dibawah, entah apa yang aku fikirkan, perasaan yang tidak dapat aku bayangkan. Walau tidak kuat tetapi aku seolah olah dibuai oleh pergerakkan lantai rumah. Untuk mengatakan seperti dialun ombak agak keterlaluan kerana aku pernah dilanda ombak besar sehingga 15 meter semasa pelayaran pulang dari Korea dan Jepun pada tahun 1982 dahulu.
Anak lelaki aku yang sedang melayari internet di bilik bersebelahan tergegas keluar untuk memberitahu ahli keluarga lain tentang gegaran yang dialami. Dia menyatakan air minuman didalam jug berombak ombak dan dia juga turut merasakan gegaran.
Tidak pasti apa yang berlaku aku memasang TV untuk melihat jika ada berita mengenai gegaran tersebut. Masa itu aku sudah membuat kesimpulan bahawa pasti ada gempa bumi berlaku. Tiada apa berita mengenai disiarkan.
Anak bongsu aku membuka facebook dan menyatakan banyak lapuran didalam facebook mengenai gegaran tersebut. Seorang rakannya yang sedang berada di Central Square Sungai Petani menceritakan bahawa orang ramai berlari keluar dari shopping mall tersebut. Ada yang mengirim gambar menunjukkan jalan yang mendap dan merekah berhampiran Central Square.
Jam lima petang barulah berita mengenai kejadian gempa berlaku di pantai barat Sumatera disiarkan. kekautan gempa melebihi 8.5 Skala Ritcher jauh lebih rendah dari gegaran yang berlaku pada tahun 2004 yang menyebabkan tsunami dan mengambil lebih 250 ribu nyawa. Walau tidak sekuat tetapi gegaran terasa di merata tempat. Mereka yang bekerja di bangunan tinggi dan yang tinggal dirumah pangsa (flat) merasakan gegaran tersebut. Menurut berita dan internet, gegaran dapat dirasakan sehingga Terengganu dan lain lain tempat di Pantai Timur, Malaysia.
Ini adalah kali pertama aku merasa gegaran gempa bumi.
    

Selasa, 10 April 2012

MPSPK Fun Ride

Mendapat jemputan melalui facebook dari beberapa rakan untuk menyertai Fun Ride for Health anjuran Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah MPSPK. Kayuhan tersebut akan diadakan di Tanjung Dawai pada Sabtu 28 April 2012 mulai jam 8.30 pagi.
Kayuhan ini terbuka kepada semua peringkat umur lelaki dan perempuan dan tanpa mengira jenis basikal yang digunakan. Aku berfikir, bagus juga sekali sekala menyertai kayuhan berkumpulan ini. Bukan untuk berseronok sangat tetapi untuk melihat telatah peserta peserta.
Aku sempat berjumpa dengan SK Juan yang baru pulang dari membuat kayuhan ke Merbok dan mengajak dia menyertai kayuhan tersebut. Dia bersetuju dan aku akan mengambil dan memberikan borang penyertaan kepadanya.
Lewat pagi aku singgah di kedai Basikal 'Dnia Bikes' di Taman Seraya Pinang Tunggal, salah seorang yang menjemput aku menyertai program tersebut bertujuan mengambil borang penyertaan. Aku diberitahu dia adalah seorang AJK program tersebut, dijemput kerana dia adalah penganjur 'Jamboree Bukit Birut' yang baru berlalu. Menurut Dahlan, ini kali pertama MPSPK menganjur program kayuhan seperti ini. Banyak perkara yang mereka tidak tahu dan memerlukan individu yang berpengalaman untuk membantu menjayakan.
Aktiviti kayuhan berkumpulan menjadi begitu popular akhir akhir ini. Sering kita baca dalam akhbar tentang program dan aktiviti yang dilakukan diseluruh negara. Tidak kiralah apa tujuan termasuk program kesihatan, social dan politik.
Laluan untuk kayuhan 'fun ride for health Tanjung Dawai 2012' masih belum diputuskan lagi. Ramai yang berminat menyertai beranggapan bahawa kayuhan akan bermula dari Bandar Sungai Petani ke Tanjung Dawai dan kemudian berpatah balik. Betapa mereka silap. Semua peserta akan berkumpul di tapak expo Tanjung Dawai. Kayuhan akan dimulakan dan ditamatkan ditempat sama. Jamuan makan dan acara cabutan bertuah akan dilakukan selepas kayuhan.
Apabila mendapat tahu maklumat tersebut, tawar hati untuk menyertai. Semua peserta terpaksa dihantar ke Tanjung Dawai dengan kenderaan dan dijemput pulang! Satu pembaziran sumber. Jika kayuhan bermula di Tanjung Dawai, peserta akan berpatah balik ke Lembah Bujang untuk mendapat jarak 45 km.
Kalau aku jadi menyertai program tersebut, rasanya aku akan berkayuh ke Tanjung Dawai, sertai program dan berkayuh pulang. Mungkin akan dapat membuat 100 km. Walau apa pun masih ada satu minggu lagi untuk membuat keputusan sebelum tarikh tutup penyertaan pada 19 April.

Sabtu, 7 April 2012

Jeniang - Kuala Ketil

Berjaya melakukan .... sebelum sampai kerumah melihat odometer pada basikal dan mendapati aku dapat mencapai melebihi tahap 100 km pada kayuhan hari ini. Dua kayuhan sebelum ini aku dapati hampir sampai ke jarak ini tetapi kekurangan sedikit. Aku panggil ini jarak 'psikologikal'.
Tidak merancang untuk melakukan atau membuat kayuhan melebihi 100 km setiap kali keluar berkayuh, tetapi ia berlaku dan terjadi tanpa disedari. Agaknya sudah jadi semacam satu kelaziman. Kalau kita melakukan sesuatu perkara, bila diulangi, akan mencuba untuk mencapai tahap yang dicapai sebelumnya.
Jarak psikologikal yang aku tetapkan adalah mengikut keupayaan aku sendiri. Orang lain mungkin punyai kuantiti berbeza. Banyak blogs atau facebooks yang aku layari mendapati ada jarak yang mereka seronok berkayuh melebihi 150 km. Terpulanglah. Jarak extreme tersebut kebanyakkan hanya untuk mereka yang mengayuh roadbikes sahaja. Ada juga yang mengayuh mtb pada jarak tersebut.
Beberapa tahun lalu seorang kawan yang bercita cita mengelilingi semenanjung Malaysia menaiki basikal pernah memberitahu, sebagai persediaan untuk melakukan kayuhan tersebut yang lebih 2,000 km ialah untuk membuat latihan yang mencukupi. Latihan kayuhan hendaklah dibuat setiap hari dan jarak paling minima adalah 100 km sehari. Dia mempelawa aku ikut serta tetapi aku menolak kerana beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan. Tidak pasti samada dia berjaya melakukan kayuhan tersebut atau tidak. Kami lost contact tiga tahun lalu.
Disitulah aku menetapkan bahawa tahap psikologikal kayuhan aku. Tiga angka itu penting. Bagi aku kayuhan dibawah nilai tersebut adalah kayuhan rutin dan lebih dari itu adalah 'extreme' yang jarang dapat aku lakukan. Sebut pasal tiga angka atau 'three digit' teringat soalan yang tidak dapat aku jawap ketika diajukan. Bukan tiga digit yang dijual di kedai ekor tu. Kumpulan pelajar baru yang menjalankan orientasi di sekolah asrama penuh ditanya bapa siapa yang bergaji empat digit sebulan ? Tahun 1970'an gaji empat digit satu angka yang amat besar. Boleh kira taraf datuk atau paling kurang pangkat pengarah.
Kayuhan 100 km memberikan satu kepuasan. Walau memenatkan dan letih kerana mengambil masa paling minima 5 jam termasuk masa berhenti mengisi perut dan menghilangkan haus, cuaca yang panas menjelang tengah hari mejejaskan tempuh kayuhan.
Apabila menghampiri penamat, aku berfikir jika diarahkan atau dipaksa mengikuti semula jalan yang dilalui tadi, rasanya tidak sanggup melakukannya. Bila sudah letih tempat yang dilalui terasa amat jauh.
Pemandangan sebaik sahaja memasuki lencongan barat

Sedikit coretan kayuhan tadi. Tiada sebarang masalah semasa melalui lencong barat ke Sungai Lalang, seterusnya ke Bedong dan Gurun melalui jalan Modenas. Selisih dengan empat orang rider di Bedong, mereka menghala ke selatan, mungkin geng dari perwaja steel. Seorang lone rider (seperti aku) memotong dipendakian hadapan Perwaja Steel. Dia memberi salam dan terus berlalu dengan rb nya.
Jalan ke Jeniang agak berombak (berbukit bukit rendah) tetapi dengan adanya laluan motorsikal dan basikal tidaklah terasa sebarang masalah. Beberapa lokasi kelajuan dibawah 20 kmj kerana pendakian agak tinggi dan panjang. Sekali sekala rythm kayuhan terganggu oleh motorsikal yang melalui lorong aku dari arah bertentangan.
Semasa memasuki jalan Jeniang ini aku menilai beberapa pilihan 'option'. Aku boleh berkayuh ke Sik atau dekat sedikit ke Batu 5 Sik dan berkayuh pulang melalui jalan sama. Ini untuk mengelakkan jalan ke Bukit Selambau yang sempit dan sibuk dengan lori lori pasir. Kedua, aku boleh membelok ke kiri untuk ke arah Jenun (belum pernah berkayuh melalui jalan ini....) dan pulang melalui pekan Guar Cempedak dan ketiga mengikut rancangan asal untuk melakukan satu pusingan besar melalui Bukit Selambau dan Kuala Ketil. Aku membuat keputusan mengikut pelan asal.
Phobia juga sebaik memasuki jalan Jeniang ke Bukit Selambau/ Kuala Ketil. Pertama kerana jalan satu lorong agak sempit dan kedua aku tahu sejak dahulu jalan ini banyak digunakan oleh lori pasir. Oleh kerana jalan ini banyak selekoh dan agak berbukit, kelajuan lori pasir ini agak pelahan dan sepanjang kayuhan dijalan ini tiada perkara yang tidak diingini berlaku. Lori lori pasir ini memotong basikal aku pada jarak yang selesa dan pelahan jika ada kenderaan datang dari arah bertentangan. Yang merisaukan adalah kelajuan lori lori kosong datang dari arah hadapan untuk trip mengisi muatan lain.
Kehadiran begitu banyak lori pasir muatan berat pada tempuh yang lama memberi kesan buruk pada struktur jalan. Permukaan jalan banyak yang pecah dan merekah, tidak kurang juga lubang lubang yang agak dalam. Tumpuan mestilah ke bawah untuk mengelakkan lubang lubang, jika tidak mahu ditimpa kemalangan. Banyak tempat dimana aku terpaksa merempuh jalan yang tidak rata dan rasa macam memegang power drill untuk memecahkan simen. Bergegar rasa seluruh badan walaupun absorber mtb berkeadaan baik.
Mengapa anggota polis tidak menahan basikal aku? Sebelum menyeberangi Sungai Muda di belakang pekan Kuala Ketil terdapat sekatan jalan raya. Banyak kenderaan beratur menunggu giliran untuk diperiksa dan aku mencelah diantara kenderaan tersebut melepasi pemeriksaan. Anggota polis tersebut tidak sedikit pun memberi perhatian kepada pengayuh basikal seperti aku. Pengayuh basikal lebih lengkap dari segi keselamatan dari sesetengah penunggang motorsikal.
Walau makan roti canai telur dan milo kosong di restoren di pekan Bukit Selambau, aku rasa kurang tenaga. Berhenti di gerai menjual buah buahan selepas simpang Kuala Jerong untuk membeli sesikat pisang berangan. Aku lebih suka 'pisang awak' tetapi pembantu kedai berbangsa Indonesia mengatakan sudah habis dijual. Aku telan lima biji pisang berangan sebelum meneruskan perjalanan pulang. Bertenaga untuk menghabiskan lebih kurang 20 km lagi. Singgah di Gaint Sungai Petani untuk pekena dua ketul ayam KFC.

Statistik :
   Mula .............. 7.10 pagi
   Tamat ............ 12.00 tengah hari
   Jarak ............. 102 km
   Laluan ........... Gurun - Jeniang - Bukit Selambau - Kuala Ketil
   Odometer 2012 : 01781
        

Selasa, 3 April 2012

Sungai Ular, Kulim

Satu lagi kayuhan jarak jauh selepas kayuhan ke Sungai Limau, Yan. Kayuhan hari ini juga ke sungai tetapi ke Sungai Ular, Kulim. Selepas kayuhan dua hari lepas aku lebih bersedia mentally dan secara fizikal. Bangun awal dari biasa kerana teruja untuk berkayuh hinggakan isteri bertanya kemana hari ini.
Aku rasa tidak menjadi masalah untuk menghabis jarak hampir 100 km. Boleh dikatakan jalan ke Kulim agak rata kecuali sedikit pendakian di Kulim Hi Tech park sebelum sampai ke Politeknik Kulim.
Pada kedua kayuhan lepas aku benar berharap dapat membuat jarak 100 km, tetapi malang kayuhan ke Sungai Limau kurang 11 km dan  lagi malang kayuhan ke Sungai Ular kurang hanya 1 (Satu) km ke angka 100. Bukan membuat azam atau 'bench mark' untuk mencapai angka tersebut, tetapi aku akan menjadi seronok dan bangga kalau beberapa kayuhan rutin dapat mencapai angka tersebut. Jika lebih seronok!
Agak resah dan bimbang melalui jalan Taman Kempas ke Pinang Tunggal. Jalan agak sempit dan banyak kenderaan yang lalu pada waktu pagi begini. Jalan ini menjadi jalan pintas ke Kulim dan Seberang Perai utara semenjak jambatan merentasi sungai Muda siap dibina beberapa tahun lalu. Terpaksa berkayuh hampir dengan bahu jalan untuk tidak menganggu kenderaan lain. Dalam pada itu banyak juga pemandu yang kurang prihatin kepada basikal dan memotong terlalu hampir walau ruang jalan luas. Tidak pasal pasal kena sumpah seranah walau pemandu tersebut tidak mendengarnya.
Kereta api barang dari utara baru sahaja lalu, tidak perlu berhenti dan aku mencelah diantara deretan kereta yang berhenti di lintasan Pinang Tunggal. Perkara ini akan menjadi sejarah  dalam tempuh setahun lagi apabila landasan berkembar siap pada tahun 2013. Satu jejantas dibina untuk kenderaan melintasi landasan kereta api. Jejantas ini agak tinggi dan akan menjadi satu lokasi kayuhan yang mungkin menyeronokkan.
Walaupun begitu banyak kali melalui jalan ini dengan kereta atau basikal, aku tidak jemu dengan pemandangan yang dihidangkan. Sawah padi di Kampung Lembah Raja, kebun sayuran yang didalam bendang di Ekor Kucing, ladang kelapa sawit, ladang getah dan sawah padi lagi sebelum Pekan Padang Serai. Cuaca pagi ini membantu menambah keseronokkan berkayuh dan aku sampai ke destinasi kurang dari dua jam dengan jarak 50 km.
Lebih kurang seminggu lepas aku berpeluang berjumpa dengan kawan kawan lama (bekas staf) yang berkerja di Loji Sungai Ular. Kami berjumpa di Loji Pelubang sempena sambutan Hari Air Sedunia pada 24 Mac. Mereka menjemput aku ke tempat kerja mereka dan aku berjanji akan mengayuh basikal ke loji tersebut dalam masa terdekat. Kayuhan pagi ini untuk menunaikan janji ini. Kali terakhir aku berkayuh kesana lebih satu tahun lalu.
Menghabiskan lebih satu jam bersembang bersama mereka. Mulanya bersembang di loji dan kemudian kami ke gerai lebih kurang 1 km jauhnya untuk menghilangkan dahaga. Nampak muka muka yang aku kenal semasa aku bertugas disana dahulu dan seorang dari mereka duduk satu meja dengan kami.
Sebelum pulang aku bertanyakan jalan mana yang senang untuk balik ke Sungai Petani. Aku tidak mahu mengikuti jalan yang aku datang tadi. Aku diberitahu untuk melalu Pekan Lunas - Padang Serai. Lebih cepat dan selesa. Bila  sampai ke Pekan Padang Serai aku melihat jam dan rasanya tidak banyak bezanya dari masa melalui jalan Kulim Hi Tech.
Hari ini walaupun mendong tetapi suhu sangat panas.Terpaksa berhenti dibeberapa tempat untuk membeli minuman sebelum sampai ke rumah. Oh ... hari ini tiada berjumpa seorang rider pun dijalan.

Statistik :
   Mula .............. 7.15 pagi
   Tamat ............ 12.30 tengah hari
   Jarak ............. 99 km
   Cuaca ............ Mendong     
   Laluan ........... Pinang Tunggal - Padang Serai - Sungai Seluang - Kulim Hi Tech
                              Park - Sungai Ular
   Odometer 2012 : 01679
         

Ahad, 1 April 2012

Ke Sungai Limau Dalam, Yan

Tidak perasan pun hari ini 'April Fool'. Jadi kalau begitu, kayuhan pagi ini bolehlah dipanggil kayuhan april fool. Bila sedar dari tidur, aku merasa lega kerana tiada petunjuk hujan akan turun walaupun pada mulanya aku melihat langit dipenuhi dengan awan hitam.  Memang agak kemaruk sedikit kerana sudah 8 hari tidak membuat kayuhan.
Sebaik hari mulai cerah aku keluar dengan rb menuju ke lencongan barat. Sebelum tidur aku telah membuat rancangan untuk ke Yan dan pulang melalui Guar Cempedak dan Gurun. Dapat membuat 70 km hari sudah cukup rasanya. 
Aku mengubah fikiran sebaik sahaja menamatkan pendakian bukit Tanjung Jaga. Walau telah banyak kali melalui route ini aku belum pernah mengikuti laluan ke Kuala Kedah melalui Sungai Limau. Walaupun jalan memang flat, aku sengaja mengelakkan kerana tiupan angin selalu amat kencang disepanjang jalan sehingga ke Kuala Kedah. Aku tidak berniat untuk ke Kuala Kedah walaupun hanya sekitar 60 km dari Sungai Petani kerana ada komitmen pada sebelah petang nanti. 
2 km sebelum Pekan Yan Kecil seorang rider menegur dari belakang. Dia berkayuh dari Semeling untuk ke Guar dan Gurun. Nampak fit dan punyai basikal yang above entry level. Aku ingatkan dia ingin terus mengayuh laju selepas menegur tetapi mengajak aku berkayuh bersama dengan kelajuan hampir 30 km/j. Aku layan saja kerana aku tahu aku akan membelok ke kiri apabila sampai di persimpangan lampu isyarat Pekan Yan Kecil.
Sebaik memasuki jalan Dulang Kecil, deruan angin laut menyambut kayuhan. Terpaksa menggunakan tenaga yang lebih untuk meneruskan perjalanan. Jalan baru diturap dan seperti biasa tidak banyak kenderaan melalui jalan ini. Ruang untuk motorsikal/basikal juga agak baik. Sesekali kayuhan aku diganggu oleh motorsikal yang datang dari arah bertentangan menggunakan hala jalan aku. Naik angin juga. Aku sengaja membuat kayuhan dengan tunduk kebawah dan seolah olah tidak melihat mereka. Aku hanya mengelak apabila hampir dengan mereka. Selalunya mereka akan masuk ke kawasan rumput bahu jalan.
Kebanyakkan bendang baru selesai dibajak dan menunggu untuk menabur benih. Musim membajak bendang pada akhir bulan Mac dan September. Kelihatan petani berada didalam bendang untuk membetulkan aliran air atau batas batas. Suatu pemandangan yang menarik perhatian aku ialah melihat puluhan burung mengikuti belakang sebuah traktor yang sedang membajak sawah. Burung tersebut mencari anak anak ikan atau katak di kawasan yang baru dibajak. Ianya agak jauh ketengah dan aku tidak dapat mengambil gambar.
Ada pasar minggu dilaluan sebelum sampai di Pekan Sungai Limau. Aku memperlahankan kayuhan dan melihat jualan dipasar tersebut. Kira besar juga dan ramai peniaga mencari rezeki di pasar minggu ini.  Aku membeli beberapa jenis kuih tradisi kegemaran dan berkayuh mencari tempat sesuai untuk menikmati kuih tersebut.
Aku duduk ditepi bendang menghadapi Selat Melaka. Tidak nampak laut dari tempat aku berehat tetapi Pulau Bidan jelas kelihatan dihadapan aku. Di celah-celah pokok kelihatan struktur jambatan yang dibina menghubungkan ke Pulau Bidan. Sehingga kini jambatan tersebut tidak dibuka untuk laluan awam. Ah... seronok menikmati makanan dan minuman di tepi bendang. Teringat masa aku dikampung masa kecil kecil dahulu. Berhenti lebih dari masa sepatutnya dan bergegas untuk berkayuh pulang.
Suatu perkara tentang kayuhan pagi ini, aku dapati masih banyak tempat yang masih aku terokai dilaluan ini. Dimasa akan datang aku akan habiskan lebih banyakj masa disini mengikuti laluan kecil di tepi bendang, kampung dan tepi laut.

Statistik :
   Mula ............. 7.15 pagi
   Tamat ............ 12.00 tengah hari
   Jarak ............. 89 km
   Cuaca ............ panas     
   Laluan ........... Merbok - Yan - Sungai Limau
   Odometer 2012 : 01580