Halaman

Sabtu, 30 Jun 2012

Konvoi pulang dari Pantai Merdeka ..

Aku menang .... haha
Cuaca diluar nampak gelap bagai hendak hujan tetapi aku tidak kisah kerana ada misi yang mesti diselesaikan. Aku bersiap dan keluar dari rumah sebaik jam dinding berbunyi menandakan pukul 7.00 pagi. Membuat pemeriksaan tekanan angin tayar depan dan belakang roadbikes dan  menambah sedikit lagi angin dan terus keluar dari rumah untuk memlukakan kayuhan.
Kenapa terlalu awal? Biasanya aku menunggu sehingga nampak tanah sebelum memulakan kayuhan atau sekurang kurang menunggu jalanraya reda dari kenderaan pekerja yang pergi atau balik dari tempat kerja.
Destinasi pagi ini ialah Pantai Merdeka. Kesana untuk berkayuh dengan remaja yang menyertai konvoi dari KRT Bakar Kapor yang aku hantar kelmarin. Konvoi tersebut bermalam di Pantai Merdeka manakala aku pulang ke rumah. Pagi ini aku kesana untuk sekali lagi menjadi 'leader' membawa mereka pulang.
Bermakna aku membuat dua kali kayuhan ke Pantai Merdeka manakala peserta konvoi hanya sekali. Jadi aku berhak untuk mentabalkan diri sendiri sebagai pemenang untuk program ini dan berhak mendapat hadiah jika ada, sic.
Disepanjang kayuhan aku berharapkan dapat sampai sebelum mereka memulakan kayuhan. Tetapi kalau mereka telah memulakan kayuhan, aku akan bertemu dan menyertai mereka tiga atau empat kilometer sebelum Pantai Merdeka dan berpatah balik. Setiap 15 minit aku membuat pengiraan mental ETA Pantai Merdeka.
Pertengahan jalan aku melihat sebuah motorsikal polis trafik memotong aku dan beberapa minit kemudian sebuah kereta salon biasa dengan lampu amaran yang diletakkan dibumbung juga memotong. Mereka juga dalam perjalanan untuk membawa konvoi pulang. kedua dua kenderaan tersebut tidak perasan kerana basikal yang aku naiki berbeza dengan basikal mtb yang aku tunggang kelmarin.
Tiada siapa yang tahu aku akan ke Pantai Merdeka sekali lagi untuk bersama dengan konvoi mengharungi perjalanan pulang. Sengaja aku hendak membuat surprise. Semua terutama sahabat aku En. Rahim Omar menyuruh aku datang ke Dewan Bakar Kapor tempat bermula apabila konvoi sampai.
Apa salahnya aku berkayuh kembali ke Pantai Merdeka dan kemudian 'membawa' pulang konvoi. Kalau tidak dek program ini aku akan berkayuh juga pagi ini, mungkin dilaluan lain. Jadi dirasakan lebih baik aku mengambil keputusan ini. Dapat juga berkhidmat kepada remaja remaja ini dan kepada kawan kawan.
Pengiraan aku tepat kerana apabila sampai kelihatan kumpulan konvoi sedang sarapan pagi. Kesemua kelengkapan dan peralatan berkhemag telah dikemaskan dinaikkan keatas lori. Tiga biji basikal yang rosak juga dinaikkan. Konvoi akan mula bergerak sebaik semua habis sarapan. Aku berlegar legar dikalangan remaja bertanyakan adakah mereka seronok menyertai aktiviti ini.
Aku dihujani oleh soalan soalan mengenai basikal. Soalan yang paling popular ialah pengalaman aku berkayuh, jarak, destinasi, kelab, kekerapan berbasikal, jarak paling jauh atau paling lama, tragedi yang menimpa, pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan jenis jenis basikal ayang aku gunakan. Banyak juga soalan teknikal diajukan termasuk tentang gear, shifter, brakes dan meter.
Kayuhan bermula lebih setengah jam dari masa aku sampai iaitu pada jam 8.45 pagi. Sekali lagi aku membuat pemeriksaan rambang dan memberi nasihat pendek terutama semasa menuruni bukit sebaik keluar dari tapak perkhemahan.
Memang kelam kabut kerana kebanyakkan tidak dapat melepasi pendakian bukit dan terpaksa turun menolak basikal. Kekecohan bermula semasa menuruni bukit. Mereka berebut rebut untuk mendahului. Konvoi tidak lagi dalam barisan mereka. Diburukkan lagi oleh kumpulan marshal yang menonggang motorsikal kapcai. Sepatutnya mengawal dan berada dijarak yang selamat. Konvoi terpaksa diberhentikan untuk 're-grouping' dan pegawai polis pengiring memberi taklimat sekali lagi. Selepas itu keadaan menjadi lebih terkawal.
Dalam keletihan terdengar nyanyian dan sorakan dari remaja tersebut. Ungkapan dan nyanyian yang kerap didengar ialah lagu dari cerita animasi Wonderpets, 'Apa yang penting .... Kerjasama ...'
Sekali sekala terdengar jeritan 'Bakar Kapur BOLEH'. Beberapa gadis sunti yang berada ditepi jalan menjadis sasaran siulan dan teguran. Manakala remaja lelaki yang berbasikal disepanjang jalan diajak berkayuh ke Sungai Petani. Mereka memberi salam kepada golongan tua apabila bertemu.
Aku membuat pertanyaaan kenapa kayuhan pagi ini kurang bermaya dan kurang bertenaga berbanding masa datang hari sebelum. Kebanyakkan mereka tidak tidur semasa perkhemahan di pantai. Selepas bar-b-que mereka berjaga sehingga pagi, ada yang bermain bola sehingga tengah malam, memancing dan aktiviti lain.  Menurut cerita beberapa orang remaja, pada jam 3.00 pagi ada suatu perkara berlaku. Seorang gadis dilarikan dari keluarganya yang berada di pantai oleh beberapa pemuda yang menaiki motorsikal. Kesemua peserta konvoi keluar untuk memberi pertolongan dengan mengejar orang melarikan gadis yang berumur 13 tahun tersebut. Malangnya gagal untuk membantu.
Selepas kejadian tersebut kebanyakkan tidak tidur. Semasa memberi pertolongan tersebut seorang telah kehilangan 'handphone' yang ditinggalkan didalam khemah. Tidak pasti ia diambil oleh rakan peserta atau orang luar. Seorang peserta mendapat berita datuknya kembali ke rahmatullah.
Meneruskan perjalan tanpa sebarang masalah dan berhenti sekali di tempat yang sama semasa datang. Konvoi sampai ke dewan pada jam 10.40 pagi iaitu perjalanan selama 2 jam. Peserta di arahkan kedalam dewan untuk jamuan makan, bacaan doa selamat sampai dan dua orang remaja diberi peluang untuk menyampaikan ucapan mencerritakan pengalaman berkonvoi. Doa dibacakan oleh salah seorang peserta.
Aku mengucapkan tahniah kepada KRT Bakar Kapor kerana berjaya menganjurkan konvoi ini. Aku merasa bersalah kepada semua kenderaan yang terpaksa mengekori konvoi hampir 8 kilometer dari Kota Kuala Muda. Mereka tidak berpeluang untuk memotong konvoi. Sebaliknya merasa seronok sekali sekali boleh menjadi raja di jalan raya.

Statistik :
   Mula .............. 7.00 pagi
   Tamat ............. 10.40 pagi.
   Jarak ............... 67 km
   Cuaca ............. Jerubu
   Laluan ............ Pantai Merdeka - Kota Kuala Muda - Tikam Batu - Sungai Pasir -
                               Bakar Kapur
   Odometer 2012 : 02797

Jumaat, 29 Jun 2012

Konvoi Remaja ke Pantai Merdeka

Bagaimana yang dirancang oleh KRT Kampung Bakar Kapur, hari ini merupakan hari yang bersejarah bagi sesetengah remaja taman dan kampung Bakar Kapur. Bagi hampir kesemua peserta yang berdaftar untuk menyertai konvoi berbasikal sejauh lebih 30 kilometer ke Pantai Merdeka Kuala Muda, Kedah ini adalah pengalaman yang mungkin akan tersemat di ingatan mereka di sepanjang hayat.
Malam tadi aku menyemak kembali iternari rancangan konvoi dan perkhemahan tersebut. Kayuhan akan dimulakan pada jam 08.00 pagi. Walau jauh dibenak hati aku yakin masa mula akan tertangguh. Namun begitu, aku berkayuh awal dari rumah ke tempat berkumpul di Dewan Orang Ramai Bakar Kapur dan sampai 15 minit sebelum jam 08.00 pagi. Kebanyakkan peserta telah mula berkumpul. Nampak keceriaan dan semangat pada muka setiap remaja. Sesetengah dari mereka nampak macam tidak sabar untuk memulakan kayuhan.
Sebaik menyandarkan basikal pada dinding dewan, dua tiga orang datang mendekati. Aku disuruh 'menyorok' dahulu sambil menghulurkan sebungkus nasi lemak dan sebotol air mineral. Aku masih kenyang kerana telah sarapan dirumah, tetapi untuk tidak bersikap kurang ajar atau tidak menghormati tuan rumah, aku menjamah nasi lemak tersebut dengan bersila diatas simen kaki lima dewan.
Kemudian aku memeriksa basikal basikal yang akan ditunggang oleh peserta konvoi. Tekejut beruk. Apa tidaknya, sukar untuk mempercayai keadaan basikal yang diletakkan. Dari tiga puluh basikal yang diletakkan hanya enam fixie, empat mountain bike 'biasa', tiga basikal chopper biasa! dan selebihnya basikal BMX. Pun bagitu, aku memeriksa tayar depan belakang kalau perlu ditambah angin, mengoncang kalau ada screw yang longgar, memeriksa rantai dan sebagainya.
Difahamkan penganjur konvoi iaitu Pengerusi KRT Bakar Kapur En. Rahim Omar, ada 20 orang lagi memohon menyertai konvoi ini. Permohonan dibuat sehari sebelum dan masalah untuk menyediakan makanan dan tempat tinggal menyebabkan permohonan mereka terpaksa ditolak.
Dua anggota polis trafik dari PDRM Sungai Petani menggunakan motorsikal berkuasa tinggi tiba. Diikuti oleh van  Jabatan Pertahanan Awam dengan empat orang anggota. Marshal yang terdiri dari Skuad 1 Malaysia berbaju T-shirt berwarna merah mendengar taklimat dari ketua mereka. Doa dibacakan oleh Ustaz untuk keselamatan peserta konvoi. Di ikuti taklimat oleh pegawai polis trafik dan akhirnya taklimat oleh ketua marshal.
Kesemua peserta mengambil tempat dengan basikal masing masing membuat dua barisan dengan aku dihadapan sekali sebagai leader. Pertama kali diberi penghormatan seperti ini dalam aktiviti berbasikal. Selalunya aku jadi pengikut sahaja. Aku akan menetapkan tempo atau kelajuaan konvoi semasa kayuhan.
Cuaca cerah tetapi tidak berapa panas. Tiada jerubu pagi ini kerana hujan hari sebelumnya telah membersihkan udara. Tayar 32 basikal mula berputar pada jam 08.30 pagi, setengah jam lewat dari jadual. Deruman enjin motorsikal polis dan siren membuatkan semangat peserta begitu teruja. Konvoi melalui jalan Kampung Teluk dan memasuki jalan lencongan barat dan membelok ke  Sungai Pasir untuk ke Tikam Batu.
Baru 10 minit bermula aku dihampiri oleh salah seorang marshal menyuruh memperlahankan kelajuan. Aku terlupa dan terbawa-bawa! Aku bergerak mengikut kelajuan biasa iaitu 25 km/j. Melepasi tiga lampu isyarat tanpa perlu berhenti kerana polis memberi laluan kepada konvoi. Semua kenderaan lain kena berhenti. Hah ... ambik kau.
Masalah pertama yang dihadapi konvoi ialah untuk melepasi pekan Tikam Batu kerana ada pasar minggu. Terdapat ramai orang mengunjungi pasar tersebut dan kenderaan yang diletakkan dikedua dua hala jalan menyebabkan kesesakkan. Terdengar seseorang memberi semangat dengan menyebut nama aku. Sempat aku melihat dan kenal kepada orang tersebut. Dia dari Taman Sri Pinang juga seorang pengerusi KRT taman tersebut.
Marshal yang mengiringi konvoi agak berpengalaman dan tahu bila peserta keletihan dan memerlukan rehat. Perhentian pertama di Rantau Panjang Kuala Muda, kira kira 15 km dari starting point. Apabila semua sampai baru aku perasan enam biji basikal telah dinaikkan keatas lori. Ada yang mengalami kerosakkan dan ada yang tidak larat untuk menghabiskan kayuhan.
Sekumpulan remaja (lapan orang semuanya) berkayuh laju melepasi tempat konvoi berhenti rehat. Mereka menggunakan fixie dan tidak pasti dari mana. Mereka juga menuju ke Pantai Merdeka. Konvoi bergerak semula selepas berehat selama 15 minit dan tiada lagi tempat berhenti selepas ini. Kami nampak remaja yang menggunakan fixie tadi berhenti rehat.
Masalah kedua, seperti yang aku jangkakan dan nyatakan semasa memberi taklimat dua malam lalu iaitu pendakian bukit. Hanya beberapa orang sahaja yang dapat melepasi bukit tersebut dan yang lain terpaksa menolak basikal. Keadaan menjadi kelam kabut, peserta tidak lagi dalam formasi dan keadaan diburukkan lagi apabila ada marshal yang menggunakan motorsikal didapati menolak pengayuh basikal dari belakang untuk pendakian bukit. Ini agak merbahaya dan ada kemungkinan mendatangkan kemalangan.
Konvoi sampai ke destinasi pada jam 10.15 pagi setelah berkayuh selama 1 jam 45 minit termasuk waktu rehat. Sebaik sampai semua peserta keletihan dan kehausan. Tindakan pantas penganjur untuk mengadakan senaman pendek untuk menyelamatkan keadaan. Semua peserta selamat sampai tanpa sebarang perkara yang tidak diingini.
Ramai anggota marshal dan pengiring terkejut apabila aku mengucapkan selamat tinggal untuk berkayuh pulang ke Sungai Petani. Aku sempat berehat hampir 15 minit dan menjangkakan sampai sebelum tengah hari untuk persediaan solat Jumaat. Aku mengambil masa 1 jam 10 minit untuk sampai kerumah.

Statistik :
   Mula .............. 8.30 pagi
   Tamat ............. 11.40 pagi
   Jarak ............... 68 km
   Cuaca ............. Panas
   Laluan ............ Kampung Bakar Kapur - Sungai Pasira - Tikam Batu - Kota Kuala
                               Muda - Pantai     Merdeka
    Odometer 2012 : 02730
     

Rabu, 27 Jun 2012

Last minute notice ....

Aku hanya beberapa km sebelum sampai kerumah dari kayuhan pagi bila handphone dalam beg kecil yang aku gantung di handle basikal setiap kali aku berkayuh berbunyi. Beg kecil tersebut aku isi dengan handphone, compact digital kemera, kad pengenalan, wang dan buku nota bersama pencil sentiasa dibawa bersama ketika membuat kayuhan. Bergegas berhenti untuk menjawap panggilan tersebut.
Adakah patut memberitahu kena menghadiri mesyuarat 1 jam sebelum bermula! Nasib baik mesyuarat ini bukan masalah kerja tetapi untuk kerja kerja amal sahaja. Rasanya mesyuarat tersebut telah diputuskan untuk diadakan sekurang kurangnya satu atau dua minggu sebelum ini.
Aku bukanlah seorang yang cerewet sangat walau diperlakukan demikian. Ini kerja kerja amal, boleh menolak dan tidak hadir. Kebetulan aku hanya beberapa minit sahaja lagi untuk sampai kerumah dan masih hampir 40 minit lagi. Sempat berehat, sarapan dan membersihkan diri. Lokasi mesyuarat hanya 5 minit menaiki kereta. Tiada apa program disepanjang hari selepas kayuhan.
Pada sebelah malam aku dipanggil untuk menghadiri satu perjumpaan untuk program konvoi berbasikal dari Kampung Bakar Kapur ke Pantai Merdeka. Perjumpaan akan diadakan selepas Solat Isyak malam nanti. Sekali lagi pemberitahuan dibuat selepas masa makan tengah hari.
Dua mesyuarat hari ini dan notis untuk kedua duanya dibuat last minute.
Perjumpaan di Dewan Bakar Kapor di hadiri oleh peserta konvoi berbasikal yang terdiri dari remaja yang berusia antara 12 hingga 20 tahun. Aku agak terkejut kerana ada remaja yang aku sangkakan tidak lebih dari 9 tahun menyertai convoi tersebut. Bila bertanya aku diberitahu remaja tersebut belajar dalam tingkatan satu. Konvoi akan bermula pada pagi Jumaat 29 Jun 2012 jam 8.00 pagi selepas sarapan dan bacaan doa, bermalam di Pantai Merdeka dan akan berkayuh pulang selepas sarapan pagi Sabtu 30 Jun 2012. Penyampaian sijil, hadian dan cenderahati akan dibuat apabila semua peserta konvoi selamat tiba di dewan.
Program konvoi berbasikal ini adalah anjuran KRT Bakar Kapur untuk remaja  kawasan tersebut. Kebanyakkan remaja belum pernah berkayuh ke Pantai Merdeka. Walaupun mereka nampak bersemangat dan bertenaga tetapi ketiadaan persediaan awal dari segi latihan sedikit merunsingkan. Kebanyakkan remaja yang menyertai konvoi ini akan menggunakan basikal BMX dan hanya beberapa orang yang mempunyai'fixie'.
Konvoi bertujuan membentuk disiplin diri dan keperibadian jati diri remaja, menginsafi tanggungjawap sebagai anak soleh, menjana kecermelangan diri dan meningkatkan kemahiran kepimpinan dan komunikasi. Pelbagai program tambahan akan diadakan pada sebelah petang dan malam termasuk sukaneka, solat berjemaah, tazkirah dan kuiz.
Penerangan panjang lebar dibuat oleh ketua marshall yang mengiring convoi tersebut. Cara kayuhan berkumpulan, posisi dan yang penting langkah keselamatan. Peserta tidak dibenarkan menggunakan handphone, radio atau lain lain peralatan. Semua mesti mematuhi arahan dan teguran marshall untuk menentukan keselamatan semasa kayuhan.
Tiba giliran, aku menerangkan sedikti sebanyak tentang laluan yang akan ditempuhi, lokasi mana yang berbukit, mana yang agak sibuk seperti dihadapan pasar minggu pekan Tikam Batu, apa yang perlu dilakukan sekiranya terdapat kemalangan dan kerosakkan. Mengingatkan semua peserta supaya menentukan basikal dalam keadaan baik terutama brek, tayar dan paddle. Semua mesti mengambil sarapan pagi secukupnya untuk kayuhan sejauh 30 km dan akan mengambil masa hampir 2 jam.
Aku dilantik sebagai leader dan pace setter kepada kumpulan ramaja tersebut. Terus terang aku nyatakan ini pertama kali berkayuh dengan remaja. Tidak tahu apa yang jangkakan dan diharapkan. Tidak sabar rasanya untuk experience ini.

Statistik :
Mula .............. 8.05 pagi
Tamat ............. 9.20 pagi.
Jarak ............... 33 km
Laluan ............ Lencongan Barat - Lencongan Timur
Odometer 2012 : 02662

Isnin, 25 Jun 2012

Menjadi pensyarah kursus blog

Tiada kayuhan pagi ini.
Rasa bangga apabila diberi kepercayaan untuk mengendalikan khursus membuat blog untuk kakitangan klinik kesihatan Kuala Muda, Kedah. Khursus tersebut dianjurkan oleh Panel Penasihat Daerah Kuala Muda.
Aku dipanggil dan diberi penghormatan untuk berkongsi pengetahuan dan memberi ceramah kerana mereka tertarik dengan blog blog yang aku buat terutama dengan blog basikal ini dan blog panel penasihat klinik kesihatan yang kini telah memasuki tahun ketiga.

Sabtu, 23 Jun 2012

Hala Selatan

Index IPU Seberang Jaya  87
Masih berjerubu pada sebelah pagi tetapi tiada masalah untuk berkayuh.




Statistik :
   Mula .............. 7.35 pagi
   Tamat ............. 10.10 pagi.
   Jarak ............... 63 km
   Laluan ............ Tikam Batu - Kepala Batas - Bagan Ajam
   Odometer 2012 : 02629
     

Jumaat, 22 Jun 2012

Lepas gian

Empat hari tidak membuat kayuhan terasa agak lama. Bukan tidak mahu atau tidak ada masa tetapi keadaan jerubu menjadi penghalang. Walau indek bacaan dibawah paras bahaya tetapi aku tidak mahu mengambil risiko. Lain yang dicari lain pula yang didapat.
Betul IPU yang dicatatkan dibawah paras 100 tetapi kayuhan pada Ahad lalu memberi sedikit kesan pada kesihatan aku. Tekak aku terasa amat kering, walau aku minum banyak air keadaan badan jadi tidak selesa pada sebelah petang.
Pagi ini aku bergerak agak lewat menunggu keadaan jerubu berkurangan. Selalunya kabus tebal pada sebelah pagi dan menjelang jam 8.00 pagi ia menjadi cerah. Namun demikian cahaya matahari tidak dapat menembusi jerubu dan kelihatan berwarna merah. 
Tidak berhajat untuk berjayuh lama. Sekadar untuk melepaskan gian atau lebih lagi untuk menghilangkan rasa letih badan.


Statistik :
   Mula .............. 8.15 pagi
   Tamat ............. 9.30 pagi.
   Jarak ............... 27 km
   Laluan ............ Sungai Pasir - Batu Lintang - Tikam Batu
   Odometer 2012 : 02566
     

Isnin, 18 Jun 2012

Hospital Kulim

Menghantar aku sulung untuk mendaftarkan diri pada hari pertama untuk bertugas di Hospital Kulim. Kalau tidak aku mungkin akan membuat kayuhan pada hari keempat berturut turut hari ini. Sepanjang jalan keadaan jerubu amat teruk berbanding dengan beberapa hari sejak mula jerubu melanda. Walau selewat 7.30 pagi aku terpaksa mennyalakan lampu kereta kerana di beberapa tempat kadar atau paras penglihatan kurang dari 500 meter.
Hanya satu atau dua dari 10 kereta dijalan menyalakan lampu dalam keadaan sebegini. Yang lebihnya buat macam tidak endah sahaja. Menyalakan lampu kereta dalam jerubu akan membolehkan kereta dilihat oleh orang dihadapan dan dibelakang dan boleh mengelakkan sebarang kemalangan. Kalau memasang lampu bukannya akan menambah kegunaan bahanapi.
Semasa menunggu anak membuat pendaftaran berpeluang berkenalan dengan ibubapa seorang rakan anak kami. Seorang pesara kerajaan dan enam tahun lebih senior dari aku. Tiada apa yang istimewa atau tiada cerita yang seronok untuk dicatatkan hanya pemerhatiannya yang membuatkan aku rasa begitu teruja. Setelah berkenalan dan berbual dengan agak mesra, secara sponstan dia memberikan komen yang aku kelihatan begitu sihat dan bertenaga.
Dia bertanya apakah aktiviti yang aku lakukan. Hah apa lagi...... macam peluru mesin gun aku bercerita tentang aktiviti berbasikal yang aku lakukan.
Rupanya beliau baru pulih dari serangan angin ahmar beberapa bulan lalu. Kini lebih banyak memberi tumpuan tentang pemakanan dan menjaga kesihatan dengan melakukan senaman. Sayang dia hanya menggunakan basikal tanpa tayar didalam rumah. Aku masuk jarum, menasihatkan untuk membeli basikal sebenar dan keluar untuk melakukan senaman. Lebih banyak kebaikan.

     

Ahad, 17 Jun 2012

2 X lencongan timur.

Sebaik memasuki jalan arah Butterworth selepas lampu isyarat Gaint Supermarket, aku melihat tiga orang remaja ditepi jalan mengerumuni sebuah basikal. Behernti rehat agaknya. Apabila sampai salah seorang dari mereka menahan aku dan bertanya dimanakah kedai basikal yang paling dekat. Mereka berumur tidak lebih dari 16 tahun, menggunakan basikal 'BMX' dengan pakaian biasa sahaja. Aku bayangkan mereka dari kawasan ini dan mungkin ingin berkayuh ke Pantai Merdeka.
Mereka memanggil 'uncle'. Mereka ingatkan aku berbangsa cina. Bukan pertama kali berlaku, kerap sangat hinggakan sudah 'mangli'. Kalau di supermarket, ramai jurujual atau promoter barangan menggunakan gantinama uncle memanggil aku dan kemudian tersipu sipu bila menyedari kesilapan mereka. Paling kerap berlaku apabila kaum cina berbahasa cina apabila aku masuk ke kedai mereka. Agaknya ada sedikit iras muka cina.
Waktu baru jam 9.00 pagi dan aku baru mula memasuki pusingan kedua berkayuh melalui lencongan timur dan lencongan barat. Rancangan awal adalah untuk ke Butterworth melalui jalan N1 dan kemudian memasuki BORR, tetapi aku batalkan kerana keadaan jerubu masih belum pulih lagi. Mengapa tidak aku hanya membuat dua pusingan jalan lencongan timur barat dan mendapat jarak yang diperlukan.
Pada round yang pertama tadi nampak ramai juga cyclist dijalan. Satu kumpulan hampir 20 orang memasuki jalan lencongan barat dari arah selatan. Mungkin mereka akan pergi ke Tanjung Dawa. Aku boleh mengagak kerana kumpulan tersebut mengunakan basikal campuran mountain dan roadbikes. Jika mereka ingin pergi jauh mereka akan hanya menggunakan roadbikes.
Satu kilometer kemudian aku melihat empat orang wanita berhenti ditepi jalan. Mereka mengenakan pakaian berbasikal yang sama berwarna hijau muda, satu kelab. Mungkin mereka sedang menunggu ahli kelab yang lain untuk berkayuh.
Aku memberi tahu remaja bertiga kedai basikal paling dekat di jalan Bakar Arang berhadapan RHB bank. Tidak pasti kedai basikal tersebut berniaga atau tidak kerana pada hari Ahad. Tambahan lagi hari ini cuti am Negeri Kedah sempena 'Israk Mikraj'. Salah satu basikal mengalami masalah freewheel dan tidak boleh dikayuh. 
Rasa kesihan pula bila diberitahu mereka berkayuh dari Kuala Ketil. Jauh tu .... Kelmarin aku berkayuh kesana dan jaraknya hampir 20 km. Tidak apa yang boleh aku bantu. Kalau setakat tayar bocor boleh juga aku menolong membaiki kerana aku membawa peralatan untuk tujuan tersebut.
Aku tinggalkan mereka bertiga dengan harapan mereka dapat menyelesaikan masalah mereka. Mereka boleh menalifon kawan kawan atau keluarga untuk datang dengan motorsikal atau kereta membawa mereka pulang. Bayangkan kalau perkara serupa berlaku kepada aku yang sering mebuat kayuhan jauh seorang diri.
Keputusan aku membuat dua pusingan melalui jalan lencongan barat dan timur (atau jalan by-pass) adalah tepat sekali. Jumlah jarak melebihi 60 km tetapi tidak lebih dari 10 km dari bandar. Kalau ada apa terjadi seperti yang aku jumpa sebentar tadi, tidak mendatang masalah besar. Boleh menalifon ahli keluarga atau kawan kawan untuk membawa pulang atau dalam keadaan 'worst case scenario' aku boleh menolak pulang basikal atau meninggalkan basikal ditempat selamat, berjogging pulang untuk mengambil kereta.

Statistik :
   Mula .............. 7.35 pagi
   Tamat ............. 10.30 pagi.
   Jarak ............... 65 km
   Laluan ............ Lencongan Timur - Lencongan Barat  2X
   Odometer 2012 : 02539
     

Sabtu, 16 Jun 2012

Tanjung Jaga .. Yan

Agak sibuk apabila melepasi Pekan Singkir pada kayuhan pagi ini. Bukan sibuk apa, ramai pula yang berada diatas jalan pagi ini mengayuh basikal. Kena angkat tangan kepada mereka semua. Ada yang menegur sapa bertanyakan kemana dan ada yang mengajak menyertai mereka. Mungkin cuti hujung minggu panjang dengan cuti am sambutan Israk Mikraj ramai yang mengambil kesempatan berkayuh.
Laluan ini menjadi pilihan kerana jumlah kenderaan agak kurang berbanding dengan jalan utama. Juga terdapat bukit yang agak mencabar di Tanjung Jaga dimana cyclist boleh menguji kekuatan fizikal dan mental untuk melepasi. Tertama pada pendakian terakhir jika datang dari arah selatan. Apa tidaknya motorsikal kecil kapcai pun terpaksa menggunakan gear paling rendah untuk mendaki, apatah lagi lori besar  yang sarat dengan muatan.
Yang menjadi kebanggaan dan kepuasan ego ialah apabila dapat memotong lori membawa muatan berat sebelum sampai ke puncak. Itu pun ada harga yang perlu dibayar, bagai hendak putus tali perut dan terpaksa berkayuh berdiri.
Sikap kita (bercakap mengenai diri sendiri) yang tidak berapa elok ialah suka untuk hendak berlumba. Bukan untuk menunjuk nunjuk. Pantang nampak ada cyclist dihadapan, aku akan mengejar dan memotong. Berlaku dua kali pagi ini. Aku dapat melakukan kerana menggunakan roadbikes dan mereka yang aku kejar menggunakan mtb. Salah seorang darinya juga pengayuh wanita.
Banyak gerai gerai kecil beroperasi di sepanjang jalan dari Singkir ke Yan dengan bermulanya musim durian. gerai tersebut menjual durian dari dusun yang terdapat di kaki Gunung Jerai. Mereka kata di sebelah utara ini durian Singkir boleh tahan sedapnya. Aku sendiri tidak berapa arif tentang ini kerana kurang makan durian sekarang.
Sempat melihat telatah tuan punya durian dengan pemborong, agaknya sedang berunding tentang harga jualan. Pastinya pemborong nampak lebih lantang dan rias muka lebih nampak bengis apabila menawarkan harga. Belum ada pembeli kerana masih awal.
Aku terasa bagai diperhatikan oleh sekumpulan cyclist semasa membuat pendakian Tanjung Jaga. Mereka berhenti dikawasan paling atas dan memandang kearah bawah seolah olah memerhatikan aku berhempas pulas mengembeling tenaga untuk sampai kepuncak jalan. Cuma mereka tidak bertepok tangan atau bersorak memberi peransang. Bagi aku, mereka berhenti berkemungkinan tidak berupaya menghabiskan pendakian.
Satu kesulitan melalui jalan pantai ialah angin akan mula bertiup kencang selepas waktu pagi. Sekarang ini angin barat daya bertiup kencang dan memberi rintangan semasa kayuhan. Angin ini juga yang bertanggung jawap membawa jerubu yang melanda kawasan pantai barat Malaysia sekarang ini.

Statistik :
   Mula .............. 7.55 pagi
   Tamat ............. 10.30 pagi.
   Jarak ............... 63 km
   Laluan ............ Semeling - Merbok - Tanjung Dawai - Yan
   Odometer 2012 : 02474
     

Jumaat, 15 Jun 2012

Jerubu selepas hujan .... Lubuk Segintah

Langit masih gelap dari sepatutnya bila aku menjengah keluar semasa membuka pintu rumah dan pintu pagar pada jam 07.00 pagi. Walau gelap tiada pula nampak awan hujan. Aku kecewa kerana tidak dapat membuat kayuhan pagi ini dan masuk semula kedalam rumah untuk sarapan pagi.
Selesai sarapan sempat aku membuka tayar basikal hadapan kepunyaan isteri aku yang bocor kerana terkena serpihan paku atau screw. Aku membuka dan menampung kebocoran pada tiub basikal menggunakan gam 3 seconds (yang elok) dan kemudian menambah sekeping tiub pada tempat yang bocor. Menggunakan gam cepat kering ini lebih cepat dan senang dari cara tradisi. Murah dan dapat berjimat sedikit daripada menukar kepada tiub baru!
Sudah beberapa tiub basikal roadbike dan mountain bike aku baiki menggunakan gam jenis  ini dan tiada masalah setakat ini. Tidak perlu ditampal cuma pastikan gam memasuki dicelah celah tempat yang bocor. Setakat ini aku telah menggunakan kaedah ini dan telah menggunakan hampir tiga bulan dan lebih 600 km tanpa masalah. Rasanya boleh dibawa semasa membuat kayuhan sebagai alternatif kepada membawa spare tiub.
Bila selesai membaiki tiub aku dapati langit mulai cerah dan kelihatan matahari mulai memancar. Bergegas aku menukar kepada pakaian berkayuh dan keluar dari rumah. Tidak mahu membuang masa kerana hari Jumaat. Kalau lambat nanti mungkin tidak cukup masa untuk berehat sebelum ke masjid.
Aku bercadang untuk ke Pekan Kuala Ketil dan berpatah balik. Beberapa kilometer sebelum sampai kelihatan sekumpulan pengayuh basikal dari arah bertentangan. Siap dengan escort motorsikal dihadapan dan dibelakang dan sebuah kereta dibelakang. Hebat. Rider yang dihadapan sekali menyatakan sesuatu kepada aku sambil menunjuk ke arah Sungai Petani. Tidak pasti apa yang dikatakan kerana kurang jelas kedengaran. Agaknya mengajak aku menyertai mereka. Aku cuma mengangguk sambil menunjukkan aku hanya ingin ke Kuala Ketil. Hampir semua rider mengangat tangan atau sekurang kurangnya mengangguk kepada aku.
Inilah semangat kesukanan yang sepatutnya diamalkan.
Aku menukar fikiran dan tidak jadi ke Pekan Kuala Ketil. Membelok ke kiri melalui jalan pintas ke Bukit Selambau. Cadangan aku untuk berpatah balik ke Kuala Ketil apabila tiba di simpang tiga lebih kurang 6 km dihadapan. Mungkin aku akan dapat lebih sikit km. Teringin juga aku mengikut jalan ke penempatan pekerja Ladang Lubuk Segintah, tetapi tidak pasti jika ada jalan keluar. Dulu aku pernah kesini melakukan persampelan air sungai untuk mengesan jika ada pencemaran dari ladang dan kilang sawit disini.
Lebih kurang 3 km selepas simpang tiga menghala ke Kuala Ketil aku melihat simpang disebelah kanan untuk ke Ladang Lubuk Segintah. Tanpa berfikir panjang aku memasuki jalan tersebut yang membawa aku ke kuarter pekerja ladang. terdapat banyak rumah pekerja, tempat pengumpulan hasil ladang dan sebuah sekolah rendah. Tiada seorang pun kelihatan dikawasan tersebut dan aku hanya berselisih dengan sebuah lori membawa kelapa sawit disepanjang hampir 4 km jalan ladang tersebut. Dimana semua orang termasuk kanak kanak.
Aku terus pulang kerumah tanpa singgah untuk sarapan pagi. Baru berehat beberapa minit seorang kawan singgah dan menghulur dua biji durian kampung. Dia baru pulang dari kampung di Cemara, Jeniang. Ah...  musim durian datang lagi. Memang kawan aku ini selalu menghantar durian bila tiba musim. Aku hanya menjamah satu 'ulas' sebagai syarat dan yang lain dihabiskan oleh anak dan isteri aku.
Bila menonton berita TV pada sebelah malam baru aku tahu keadaan langit yang gelap pada sebelah pagi disebabkan jerubu yang mula melanda negara kita pada bulan Jun setiap tahun. Aku difahamkan kawasan utara IPU (Indek penceamaran udara) masih lagi rendah iaitu di bawah 100 dan paling teruk di Lembah Kelang.
Jerubu disebabkan pembakaran terbuka dan gambar satelite menunjukkan ia berlaku dinegara jiran. Beberapa pembakaran kawasan gambut dan ladang yang berlaku dinegara kita turut menyumbang kepada peningkatan IPU. Pihak kementerian kesihatan telah mengambil langkah menasihatkan orang ramai untuk berhati ketika jerubu dan mengeluarkan arahan untuk menutup sekolah jika keadaan bertambah buruk. Tidak tahu berapa lama keadaan ini akan berterusan dan adakah keadaan akan bertambah teruk.
Kita selalu mengharapkan langit cerah selepas hujan, tetapi kini jerubu selepas hujan.

Statistik :
   Mula .............. 7.45 pagi
   Tamat ............. 10.15 pagi.
   Jarak ............... 56 km
   Laluan ............ Puteri Jaya - Ladang Lubuk Segintah - Kuala Ketil
   Odometer 2012 : 02417
     

Sabtu, 9 Jun 2012

Kayuhan serampang dua mata ....Pantai Merdeka

Akan ke ibukota malam ini untuk tiga malam dan akan kembali pada Selasa malam. Tidak mahu melepaskan peluang untuk membuat kayuhan pagi ini memandangkan akan hanya boleh membuat kayuhan paling awal hari rabu depan.
Tidak memandu kereta ke Kuala Lumpur kerana aku pergi seorang diri. Esok Ahad 10 Jun sessi persekolahan akan bermula di Kedah selepas cuti selama dua minggu. Aku akan menaiki bas. Lebih ekonomik dari memandu seorangan.Tiket bas pergi balik lebih murah dari duit tol lebuhraya, belum kira duit petrol lagi.
Setakat ini, aku tidak boleh tidur bila menaiki kenderaan walau bagaimana cara apapun aku mencuba. Tidak kira siang atau malam. Kadang kala kerana terlalu mengantuk hanya tidur tidur ayam sahaja dan dapat melelapkan mata untuk beberapa ketika sahaja. Masalah ini bermula semenjak kecil dahulu hingga sekarang.
Aku sering cemburu kepada orang lain yang begitu senang melelapkan masa sebaik duduk didalam kereta atau bas. Siap dengan dengkuran dan air liur meleleh keluar. Tidak peduli apa yang berlaku diluar sana atau kemana kenderaan membawanya. Betapa aku berharap dapat berbuat demikian.
Aku bukan sahaja tidak boleh melelapkan mata bila menaiki kereta atau bas tetapi kenderaan lain. Pernah aku menempah tempat tidur dalam kereta api yang akhirnya merugikan sahaja kerana tidak dapat berada diatas katil tersebut lebih dari setengah jam. Akhirnya aku terpaksa turun dari katil tren dan duduk ditepi pintu memandang keluar walau dalam keadaan gelap gulita. Lebih teruk bila menaiki kapal terbang jarak jauh seperti ke Eropah hingga bebelas jam. Kelebihan menaiki kapal terbang kerana adanya inflight movie dan entertainment lain selain dari makanan dan minuman.
Dua hari lepas aku kestesyen keretapi untuk menempah tiket walaupun aku tahu tiket ke Kuala Lumpur mesti sudah habis. Tambahan pula cuti sekolah akan berakhir. Sekadar mencuba nasib. Kemudian ke stesyen bas dan agak terkejut kerana masih banyak tiket.
Kayuhan pagi ini adalah kayuhan serampang dua mata. Selain dari sebagai aktiviti senaman aku ingin meletihkan badan. Moga moga bila badan dalam keletihan dapat aku tidur didalam bas perjalanan malam nanti.
Pendakian bukit sebelum sampai ke Pantai Merdeka dapat membuatkan badan leetih. Aku tidak berhenti apabila sampai, hanya setakat memperlahan kelajuan untuk melihat sekitar tempat rekreasi tersebut. Kebetulan ada karnival jualan yang diadakan sempena dengan cuti sekolah dan akan berakhir esok.
Masih belum ada peniaga atau pengunjung di karnival tersebut. Gerai gerai masih belum dibuka, hanya beberapa orang pekerja MPSPK yang membersihkan kawasan. Tiada seorang pun cyclist berada disana walaupun aku nampak beberapa orang dijalan sebentar tadi.
Dari jauh kedengaran bunyi enjin dari udara dan kelihatan dua biji glider berenjin sedang membuat penerbangan. Seronok agaknya melakukan sukan sedemikian. Terbang diudara dengan payung terjun berenjin. 

Statistik :
   Mula .............. 7.45 pagi
   Tamat ............. 10.55 pagi.
   Jarak ............... 62 km
   Laluan ............ Tikam Batu - Kota Kuala Muda - Pantai Merdeka
   Odometer 2012 : 02361
     

Khamis, 7 Jun 2012

musim hujan

Mencari cari pagi yang tidak hujan untuk membuat kayuhan. AKu beranikan diri keluar rumah untuk berkayuh walaupun langit diatas kelam dan gelap. Apa ndak jadi pun jadilah. Biar basah ditimpa hujan. Lagi pun sudah lama tidak bermandikan hujan. Sekali sekala seronok juga. Aku tidak kira baju dan seluar basah akibat percikan air dari tayar mtb aku dan kadang kala malang apabila ada kereta yang tanpa memperdulikan orang lain melanggar air takungan dan memercikan kearah aku
Kelmarin aku beriya iya bersedia untuk membuat kayuhan tetapi hujan turun sejak dari awal pagi hingga ke malam. Hujan turun dengan lebat sekali.


Statistik :
   Mula .............. 8.10 pagi
   Tamat ............. 9.35 pagi.
   Jarak ............... 33 km
   Laluan ............ Lencongan Barat - Lencongan Timur
   Odometer 2012 : 02299
     

Sabtu, 2 Jun 2012

Kayuhan pra kenduri

Biasanya kalau badan letih selera makan akan berkurangan. Bukan fakta tetapi hanya satu kebetulan kerana terlalu banyak mengambil air untuk menghilangkan haus dan dahaga. Terlalu banyak cecair dalam badan keluar sebagai peluh. Perut akan terasa kenyang dan kurang mengambil makanan seperti nasi. Berdasarkan teori ini aku keluar membuat kayuhan walaupun ada beberapa jemputan makan kenduri kahwin hari ini.
Seperti kebiasaan banyak kenduri kahwin sempena cuti sekolah yang sedang berlansung sekarang ini. Bila bersembang dengan kawan kawan selalu keluar topik jemputan kenduri yang diterima. Ada yang mendapat sehingga 10 jemputan. Pula ada rumah kenduri yang lebih 100 km jauhnya. Bayangkan bagaimana untuk memenuhi jemputan tersebut.
Bilangan jemputan yang diterima seolah olah menjadi bagai 'kayu pengukur' kepada betapa ramainya saudara mara, sahabat handai dan kenalan kita. Mereka berbangga jika lagi banyak kad jemputan yang diterima. Mereka terasa bagaikan orang penting atau VIP jika mendapat jemputan dan ada yang memandang rendah kepada orang lain yang kurang mendapat kad jemputan.
Kalau difikirkan dari segi ekonomik, kita lebih banyak berbelanja menghadiri jamuan makan kenduri dari nilai makanan yang kita makan. Maaf bukanlah untuk merendahkan tujuan 'walimatul urus' dan hajat tuan kenduri yang memohon kehadiran kita untuk merestui majlis dan pernikahan ahli keluraga mereka. Jika rumah kenduri berdekatan dengan rumah kita, mungkin tiada perbelanjaan kenderaan terlibat, hanyalah wang sampul yang tidak sampai RM10.00 untuk suami isteri. Tetapi jika ada jemputan kenduri yang jarak mencapai 50km, bermakna 100 km pergi balik. Lagi jika ada dua tiga jemputan seperti itu bermakna kita terpaksa membelanjakan hampir RM100.00!
Menyebut tentang wang sampul atau sumbangan yang dihulurkan kepada tuan rumah yang membuat kenduri. Berapa banyakkah yang kita masukkan. Rasanya bergantung kepada tempat. Kalau disebelah utara ini, selalunya atau purata RM5.00. Ada juga yang lebih dan ada juga yang kurang dari jumlah tersebut. Bergantung kepada 'status' seseorang. Ada juga yang menghulurkan sampul kosong!
Apalah tujuan sebenar sumbangan dihulurkan. Adakah majlis kenduri kahwin menjadi terlalu komersial yang boleh mendatangkan keuntungan. Adakah para jemputan mesti menghulurkan sumbangan apabila menghadirkan diri pada majlis tersebut. Adakah tuan punya kenduri mengharapkan sangat sumbangan tersebut. Pernah aku diberitahu air muka tuan rumah berubah atau bermasam muka bila menyambut tetamu yang datang tanpa menghulurkan sumbangan.
Pendapat aku sendiri ialah kita tidak seharusnya mengharapkan apatah lagi menerima sumbangan bila kita mengadakan majlis kenduri kahwin untuk ahli keluarga kita. Betul, sumbangan yang diterima dapat mengurangkan beban belanja untuk mengadakan kenduri. Inilah punca kenduri sekarang dibuat secara besar besaran sehingga menjangkau keupayaan.
Kayuhan pagi ini tidak jauh sekadar cukup untuk meneruskan kesenambungan aktiviti. Sudah agak lama tidak melakukan aktiviti ini kerana hal hal yang tidak dapat dielakkan dan cuaca yang tidak menentu. Sekarang ini hujan kerap turun disebelah pagi.


Statistik :
   Mula .............. 7.20 pagi
   Tamat ............. 8.35 pagi.
   Jarak ............... 41 km
   Laluan ............ Muzium Arkeologi

   Odometer 2012 : 02266