Halaman

Jumaat, 31 Ogos 2012

Dimana Jalur Gemilang ....?

Mungkin umur sudah menjangkau. Aku tahu ada sambutan hari kemerdekaan diadakan di dataran Zero Sungai Petani mulai jam 10.00 malam tadi, tetapi aku tidak berminat untuk pergi melihat atau meramaikan apatah lagi untuk mengambil bahagian. Pulak tu malam tadi malam jumaat, malam dimana kebiasaan ramai yang ke masjid untuk majlis ceramah agama atau pembacaan Yasin.
Baru aku perasan bilangan jemaah malam tadi kurang sedikit dari kebiasaan. Mungkinkah mereka pergi menyambut malam menjelang hari kemerdekaan. Tidak sesuai pula aku hendak memberikan komen tanpa bukti.
Bukan hanya tahun ini aku tidak ambil peduli sangat tentang sambutan hari kemerdekaan ini tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Biarlah anak anak muda pula yang mengambil tempat kita. Aku tidak lansung ingin tahu apakah aturcara jadual sambutan di dataran Zero Sungai Petani  sebelah malam tadi atau pada pagi ini. Entah kenapa rasa begitu hambar sekali sambutan hari kemerdekaan kali ini. Adakah sambutan hari raya Aidil Fitri yang belum sampai dua minggu berlalu ada kesan kepada sambutan hari kemerdekaan atau ada lain .........
Hari ketiga berturut turut membuat kayuhan. Kayuhan pendek sahaja kerana hari Jumaat. Menjangkakan ramai cyclist di jalan tetapi hanya berselisih dengan seorang sahaja di Taman Sejati. Dan satu kumpulan mungkin dalam enam orang di Laguna Merbok.
Sedih dan sayu hati kerana disepanjang laluan 30 km aku berkayuh hanya ternampak satu atau dua kereta yang memasang bendera Jalur Gemilang. Kereta agak banyak juga dijalanan tetapi tiada suasana kemerdekaan. Puas aku memerhatikan di kedua dua laluan. Tiada bendera dipasang pada motorsikal, tiada anak anak muda berkumpulan bermotorsikal seperti tahun tahun sebelum ini. Beberapa biji bas yang aku nampak tidak ada lansung memasang bendera. Jika dahulu kebanyakkan bas yang paling banyak memasang bendera .... dihadapan dibelakang serta disisi kanan dan kiri. Tidak banyak lori di jalan raya kerana cuti umum.
Ah ... dimana silapnya.

Statistik :
Mula ............... 08.30 pagi
Tamat .............. 09.45 pagi
Jarak ............... 33 km
Cuaca .............. Panas
Laluan ............. Lencongan Timur - Barat
Odometer 2012 : 03120
           

Khamis, 30 Ogos 2012

Perarakan Merdeka

Tidak berapa bersungguh sungguh untuk membuat kayuhan hari ini tetapi 'missus' beriya iya menyuruh. Dia berkata sudah lama tidak berkayuh. Lagi pun cuaca agak redup dan tidak panas. Aku rasa kelmarin dapat membuat hampir 45 km sudah mencukupi.
Ingin membuat lebih kurang 60 km dengan melalui Tikam Batu ke Kuala Muda dan kemudian pulang melalui Bumbung Lima dan Pinang Tunggal. Apabila menghampiri jambatan Kuala Muda aku melihat SK Juan dari arah bertentangan. Aku terpaksa menyeru namanya dengan nada yang agak kuat untuk menarik perhatiannya. Aku tahu seperti kebiasaan dia tidak nampak aku.
Aku berpatah untuk mendapatkan dia yang berhenti agak jauh dari tempat aku berselisih. Dia minta maaf kerana tidak perasan. Kami berbual sebentar kemudian bersetuju untuk ke Kota Kuala Muda untuk mencari sarapan.
Semasa sarapan kami terkejut apabila sekumpulan kanak kanak melalui hadapan kedai menaiki basikal sambil mengibarkan bendera Malaysia. Mereka berpakaian Baju Melayu. Dibelakang kelihatan sekumpulan kanak kanak lain berjalan kaki. Aku mencapai kamera untuk merakam gambar mereka.
Tidak berapa jauh dibelakang kelihatan kumpulan sebenar hampir tiga empat ratus orang kanak kanak bersama beberapa orang dewasa yang mengawasi lalulintas. Semua kanak kanak membawa bendera kecil dan mengibarkan. Mereka melaungkan 'Merdeka, Merdeka, Merdeka'.





Teringat masa kecil kecil dahulu. Aku juga pernah atau selalu mengambil bahagian dalam perarakan menyambut hari kemerdekaan atau hari kebangsaan. Pihak sekolah akan mengarahkan kami ke pekan untuk berarak dari padang bandaran keliling pekan beramai ramai dengan murid murid dari sekolah lain. Kemudian kami akan berkumpul di padang semula mendengar ucapan ringkas sebelum bersurai. Dua buah panggung wayang di pekan Bahau akan menayangkan wayang gambar percuma. 
Kami terpaksa berebut rebut untuk masuk kepanggung, jika tidak terpaksa berdiri atau menunggu tayangan kedua. Kedua pangung tersebut akan menyarangkan filem yang berlainan (satu panggung Rex dan satu lagi panggung Cathay) dan kalau bernasib baik dapat menonton dua filem percuma pada hari kemerdekaan tersebut.

'SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN'


Statistik :
Mula ............... 8.30 pagi
Tamat ............. 10.40 pagi
Jarak ............... 46 km
Cuaca .............. Panas
Laluan ............. Batu Lintang - Tikam Batu - Kota Kuala Muda
Odometer 2012 : 03087
           

Rabu, 29 Ogos 2012

Sekadar menghilang letih ...

Kayuhan pertama sejak hari raya yang baru 10 hari berlalu. Mengambil kesempatan mengucapkan 'Salam Eidul Fitri' kepada semua diluar sana terutama yang pembaca blog ini. Mohon kemaafan sekiranya terdapat kesalahan dan apa apa catatan yang menyentuh perasaan. 
Aku ingin memulakan aktiviti kayuhan ini lebih awal tetapi agak kesempitan masa dan cuaca pula tidak mengizinkan. Kerap hujan selepas hari pertama raya. Lagi pun apa pula kata orang nanti. Hormat juga bulan syawal ini.
Empat hari lalu aku ke Bukit Semarak untuk berjogging setelah sekian lama ditinggalkan. Hasrat hanyalah untuk persediaan memulakan aktiviti bersenam semula. Tetapi aku 'over do it'. Tiga hari aku mengalami kekejangan kedua dua belah betis dan peha. Sepatutnya aku membuat secara sedikit sedikit dan perlahan tetapi aku melakukan seperti aku tidak pernah berhenti dari berjogging di atas bukit tersebut. Hinggakan ada regular diatas sana menegur yang aku  terlalu fit apabila memotong dan mendahuluinya.
Cuaca amat sesuai kerana matahari di halang oleh awan pagi ini. Tidak begitu panas. Pada awalnya aku jangkakan hujan akan turun. Sebab itu aku memulakan kayuhan agak lewat. Tidak berniat untuk pergi jauh pada peringkat permulaan ini. Walau begitu aku ingin mencari laluan campuran landai dan berbukit. Pilihan yang susuai ialah ke Taman Rekreasi Tupah dan Muzium Arkeologi Lembah Bujang.


Statistik :
Mula ............... 8.25 pagi
Tamat ............. 11.00 pagi
Jarak ............... 44 km
Cuaca .............. Redup
Laluan ............. Rekreasi Tupah - MuziumArkeologi
Odometer 2012 : 03041
           

Sabtu, 11 Ogos 2012

Batu Lintang

Tahniah keatas diri sendiri kerana ini petang keempat berturut turut aku membuat kayuhan pada bulan ramadhan tahun ini. Sebelum ini ada juga membuat kayuhan pada waktu petang ramadhan tetapi berselang hari. Aku harap dapat meneruskan untuk beberapa hari lagi sebelum tamat ramadhan tahun ini.
Siang tadi aku berkesempatan singgah ke kedai basikal D'Nia Bikes dipunyai seorang kawan lama di Taman Seraya Pinang Tunggal. Memang sudah agak lama tidak singgah berbual bertanya khabar dan bertanyakan tentang business kedai basikalnya. Nampak bertambah maju dengan sokongan penduduk tempatan.
Perbualan banyak berkisar tentang Jamboree Birut yang dianjurkan olehnya pada bulan March yang lalu yang aku kira sangatlah berjaya terutama penganjuran kali pertama. Aku memberi semangat kepadanya untuk menjadikan jamboree tersebut acara tahunan. Orang sudah tahu.
Tidak dapat dinafikan ada beberapa perkara yang dihadapi tetapi pada keseluruhan ia berjaya dianjurkan. Hanya perkara kecil yang disungutkan oleh peserta dan akan diperbaiki dimasa akan datang.
Dia seperti aku juga merasakan perlu membuat kayuhan pada bulan puasa ini. Berbeza dengan aku dia telah beberapa kali membuat kayuhan sebelah malam kadang kala bermula hampir tengah malam dan tamat lebih jam 2.00 pagi. Mengikutnya suasana sejuk, dingin dan sunyi sepi menjadi pengalaman yang sukar dilupakan. Aku ingatkan dia mengikuti jalan raya tetapi dia dan kumpulan juga pergi offroad.

Statistik :
Mula ............... 6.05 petang
Tamat ............. 7.00 petang
Jarak ............... 21 km
Cuaca .............. Jerubu
Laluan ............. Sungai Pasir - Batu Lintang
Odometer 2012 : 02997
           

Jumaat, 10 Ogos 2012

Kayuhan petang

Kalau ikut hati tidak jadi membuat kayuhan petang ini. Tetapi aku kuatkan semangat dan cekalkan hati.  Kena tunaikan janji kepada diri sendiri untuk membuat aktiviti kayuhan walaupun pada bulan puasa.
Sebenarnya aku gembira dapat melakukan kayuhan petang ini. Bila tiba waktu berbuka aku lebih banyak minum dari memakan makanan kebiasaan termasuk nasi. Tidak merasa lapar sangat dan mampu melakukan solat tarawikh. Aku hanya mengambil sedikit nasi untuk mengisi perut apabila pulang dari masjid bimbang kalau perut berkeroncong tengah malam nanti. Kalau diikutkan boleh bertahan sehingga sahur subuh nanti.

Statistik :
Mula ............... 6.10 petang
Tamat ............. 7.00 petan
Jarak ............... 18 km
Cuaca .............. Jerubu
Laluan ............. Lencongan Barat - Lagenda Height
Odometer 2012 : 02976
     

Khamis, 9 Ogos 2012

Taman Rhu

Aku membuat ujian RBS atau gula dalam darah pagi pada kem kesihatan yang diadakan di Klinik Desa Bati Lintang pada sebelah pagi. Aku terkejut kerana paras gula dalam darah agak tinggi. Aku menyalahkan diri sendiri kerana banyak mengambil makanan yang mengandungi kandungan gula yang tinggi terutama kuih muih yang kebanyakkan hanya didapati pada bulan ramdhan. Tambahan lagi air semua manis walaupun air buah buahan. Memang memudaratkan badan jika berbuka mengikut selera atau mengikut hati.
Aku bertekad untuk membuat kayuhan pada sebelah petang untuk mengurangkan kandungan gula. Sebelum kayuhan petang kelmarin hampir satu minggu aku meninggalkan aktiviti ini. Selepas ini aku akan mencuba untuk berkayuh walaupun hanya 30 hingga 40 minit setiap kali.
Cuaca sebelah petang sejak beberapa hari kebelakangan ini redup kerana jerubu. Ingatkan jerubu telah berakhir dua tiga minggu lalu tetapi ia kembali kerana musim panas sekarang. Walau langit diselubungi oleh jerubu index pencemaran udara dibawah paras sederhana dan selamat untuk melakukan aktiviti senamam.
Angin bertiup kencang semasa aku melalui jalan lencongan barat menuju kearah selatan. Aku risau juga jika ia berterusan dan akan menyukarkan kayuhan. Aku bertekad untuk berkayuh kelokasi jualan lemang Pak Teh di Taman Rhu lebih kurang 2 km sebelum sampai ke Pekan Tikam Batu. Satu perkara lagi yang merisaukan ialah jumlah kenderaan yang agak banyak pada sebelah petang,
Aku merancang kayuhan agar sampai balik kerumah pada jam 7.00 petang untuk memberikan masa berehat, mengeringkan peluh dan menyejukkan badan sebelum membersihkan diri. Aku berhenti sekadar memberi salam kepada rakan rakan yang berniaga dan risau bagaimana hendak menyeberang jalan yang banyak kenderaan bertali arus.
Perjalanan balik jauh lebih mudah kerana jalan yang menurun. Kelajuan maksima boleh dicapai hampir 38 km/j untuk beberapa minit. Di persimpangan Sungai Pasir aku di hon oleh dari belakang, apabila menoleh aku mendapati kereta Naza Citra mempunyai carrier basikal dibumbung. Aku tahu pemandu kereta tersebut adalah seorang cyclist juga seperti aku. Aku cuba membayangkan apa yang difikirkan apabila melihat aku berkayuh pada waktu hampir berbuka puasa .....
Memang terasa badan lebih ringan dan segar setelah membuat kayuhan petang. Akan cuba meneruskan aktiviti ini di hari hari baki bulan ramadhan yang mulia ini ..

Statistik :
Mula ............... 6.10 petang
Tamat ............. 7.00 petang
Jarak ............... 17 km
Cuaca .............. Jerubu
Laluan ............. Lencongan Barat - Jalan Tikam Batu
Odometer 2012 : 02958
     

Rabu, 8 Ogos 2012

Jeti Semeling

Terasa syahdu dengan ketenangan yang menusuk jiwa apabila berkayuh melalui kawasan perkampungan di Kampung Sungai Jagung. Melalui jalan kampung tersebut apabila pulang dari kayuhan ke titi Semeling. Kenapa merasai perasaan tersebut? Teringat kampung halaman beratus batu ke selatan tanah air dan suasana yang hampir sama pada petang ramadhan menghabiskan masa ke hulu hilir manaiki basikal menunggu waktu berbuka. Peristiwa tersebut lebih 40 tahun lalu.
Masa itu masih remaja dan kebanyakkan penduduk kampung masih ramai. Masih tiada penghijrahan ke bandar bandar besar ketika pada pertengahan atau lewat 60'an. Tiada penghijrahan anak anak muda yang baru mendirikan rumah tangga ke LKTP (Felda) kerana hutan masih lagi belum dibuka pada pemerintahan perdana menteri pertama.
Suasana kampung pada waktu petang pada bulan ramdhan riuh rendah dengan semua peringkat usia keluar rumah. Tujuan? tiada cuma bertemu rakan rakan sekampung di kawasan kedai runcit, berbual bual kosong atau membeli ais dan selasih untuk air sirap waktu berbuka nanti. Hanya yang perempuan tinggal dirumah menyediakan juadah dan makanan berbuka puasa.
Tiada suasana kesibukkan, tiada berebut rebut, tiada yang berlumba lumba. Keadaan hening tanpa pencemaran bunyi kenderaan, asap dan tidak pernah perkataan jerubu ketika itu. Langit sentiasa cerah kebiruaan dan pada waktu malam dapat menikmati pemandangan ribuan bintang dilangit. Keadaan seolah olah gambar 'slow motion'.
Kayuhan petang ramadhan amat berbeza berbanding kayuhan biasa. Bukan untuk mengeluarkan peluh atau untuk memenatkan badan tetapi menjaga kesihatan. Aku perasaan ada cyclist mengekori dibelakang tetapi kemudian dia menghilangkan diri setelah 2 km.... mungkin dia memasuki kawasan kampung dan aku terus ke tepi Sungai Merbok di muzium hutan bakau. Ramai pengunjung berehat di luar restoren kawasan tersebut dan muzium telah ditutup pada jam 5.00 petang tadi.

Statistik :
Mula ............... 6.10 petang
Tamat ............. 6.55 petang
Jarak ............... 15 km
Cuaca .............. redup
Laluan ............. Lencongan Barat - Titi Semeling - Sungai Jagung
Odometer 2012 : 02941