Halaman

Khamis, 28 November 2013

Sepuluh hari tidak kayuh

Lega ...


Statistik : 
    Mula ............... 8.15 pagi
    Tamat ............  9.30 pagi
    Jarak ............... 33 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Lencongan Barat - Lencongan Timur
   Odometer 2013 : 04679
       

Isnin, 18 November 2013

Jalan rosak lagi

Pagi semalam langit dipenuhi oleh awan hujan dan aku membatalkan rancangan untuk membuat kayuhan. Elok juga kalau hujan turun kerana sudah tiga hari aku melakukan kayuhan dan hujan tidak memberikan alasan untuk tidak keluar berkayuh. Walaupun larat tetapi badan perlu rehat juga. Kalau ada peluang, esoknya boleh disambung lagi.
Sampai tengah hari pun hujan tidak jadi turun. Langit kembali cerah dan menjadi gelap semula pada sebelah petang. Memberikan aku kesempatan untuk berjumpa dengan rakan rakan di Taman Rhu. Kebetulan ada kenduri dan tuan rumah memang menunggu aku datang kesini untuk mengundang aku ke majlis tersebut. Rezeki. Jika aku keluar bekayuh pada sebelah paginya, tidak mungkin aku akan dapat bersama kenduri tahlil dan doa selamat yang diadakan.
Sejak akhir ini cuaca telah berubah dari hujan sebelah pagi kepada hujan sebelah petang atau malam. Mungkinkah perubahan ini disebabkan oleh keadaan cuaca yang membawa taufan yang paling besar dan ganas yang pernah direkodkan iaitu 'taufan Haiyan'. Bagi pengayuh basikal seperti aku, fenomena perubahan hujan ini memberikan peluang untuk kayuhan sebelah pagi.
Aku tidak tahu sebab keghairahan untuk membuat kayuhan yang kerap sekarang ini. Mungkinkah aku ingin menamatkan tahun 2013 dengan kuota jarak kayuhan minima 5,000 km. Kalau dilihat catatan odometer kini tidak berapa banyak lagi, rasanya sebelum akhir bulan Nov ini aku akan dapat mencapai angka 5,000 km, itu pun kalau tidak ada hal penting. 
Risau juga apabila melalui 'underpass' selepas Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani ke arah Aman Jaya kerana keadaan jalan semakin teruk. Lebih banyak jalan yang rosak dan berlubang lubang. Sebentar tadi aku melihat jentera membaiki jalan berada berhampiran persimpangan Taman Astana untuk melakukan kerja kerja pembaikan permukaan jalan lencongan timur menghala selatan.
Semasa berpatah balik aku tidak dapat merasakan kesal melihat standard kerja pembaikan jalan yang baru disiapkan. Bahagian ini selepas hosiptal hingga ke Taman Bayan baru sahaja diturap semula tetapi sudah ada beberapa tempat yang membengkak dan pecah semula. Tidak sampai satu bulan disiapkan, jentera dan kerja kerja masih dijalankan dibahagian lain.......!

Statistik : 
    Mula ............... 8.05 pagi
    Tamat ............  9.50 pagi
    Jarak ............... 42 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Lencongan Timur (pergi-balik)
   Odometer 2013 : 04646
       

Sabtu, 16 November 2013

Padang Serai ... ropewalk

Sesuatu yang membanggakan ialah ramai yang bergiat dengan aktiviti berbasikal di kawasan Sungai Petani / Kuala Muda. Ini terbukti berikutan dengan 'Sirkit ke empat Harian Metro Mountain Bike Grand Prix' yang berlan pada Sabtu 09 Nov 2013. Acara mendapat sambutan hangat dari kelab kelab basikal seluruh negara dan hampir kesemua kelab basikal dan orang perseorangan di kawasan Sungai Petani menyertai. Acara dimulakan di tapak Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Merbuk melalui kawasan bukit bukau, lembah, sungai, kebun, dusun, bendang dan hutan rimba.
Menurut seorang rakan yang mendapat kedudukan 50 peserta pertama menyudahkan kayuhan (lebih 1,500 peserta mengambil bahagian), trek atau laluan ini diantara trek yang paling seronok yang pernah disertai. Trek ini seimbang, tidak terlalu banyak laluan perkampungan, taman perumahan dan pekan dan trek off-road tidak begitu sukar ditempuhi. Sungai yang dilintasi di kawasan Rekreasi Tupah memecahkan monotoni dan menyeronokkan.
Dia mengharapkan agar trek atau laluan ini dijadikan salah satu venue atau lokasi untuk jamboree basikal dimasa hadapan. Selain dapat menunjulkan dan menengahkan kawasan ini untuk dijadikan salah satu destinasi pelancongan dan percutian, ia boleh dijadikan tarikan kepada peminat basikal seluruh negara untuk beriyadah. 
Aku tidak berapa terkilan kerana tidak turut serta kerana sudah lama 'menggantung' basikal gunung. Bahkan kini aku tidak lagi mempunyai mountain bikes kerana aku telah convert menjadi touring  bikes. Pada mula ingin juga aku turut serta menjadi penonton, melihat kawan kawan dan geng basikal sambil memberi peransang tetapi malang aku terpaksa balik ke Negeri Sembilan (Felda Raja Alias). Mungkin lain tahun sahaja.
Kalau dilihat bahagian sukan akhbar Harian Metro beberapa minggu sebelum acara diadakan, hampir setiap hari surat khabar tersebut memberikan liputan beserta lapuran untuk kelab kelab basikal dan orang perseorangan yang berdaftar untuk mengambil bahagian sirkit tersebut. Ini diteruskan satu minggu selepas program berlansung. Tumpang gembira melihat gambar kawan kawan disiarkan dalam akhbar. Bukan senang nak masuk surat khabar.
Biasalah ... hujung minggu terdapat ramai rider berada dijalan hari ini. Ada yang berkayuh seorangan seperti aku tetapi ramai yang berkayuh berkumpulan. Pagi ini ramai juga rider wanita diatas jalan. Seronok melihat semakin ramai kaum hawa menyertai aktiviti ini. Selalunya sering dilihat kaum hawa akan mengayuh mengekori suami ... (agaknya) tetapi sebentar tadi terlihat mereka berkayuh sesama sendiri. Nasib baik aku tidak buat U-turn mengikut mereka ...... ha ha..
Ingin singgah di pasar 'ropewalk' pekan Padang Serai untuk melihat apa yang dijual, tetapi membatalkan hasrat kerana pernah sekali singgah disana beberapa bulan lalu. Tiada apa yang menarik dan kebanyakkan menjual barangan yang tidak diperlukan.
Singgah di rumah Md Noor di Taman Serai Wangi tetapi dia tiada dirumah. Aku meneruskan kayuhan pulang dan singgah untuk sarapan roti canai di Pekan Pinang Tunggal.

Statistik : 
    Mula ............... 8.05 pagi
    Tamat ............  10.50 pagi
    Jarak ............... 58 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Bandar Puteri - Sidam Kiri - Padang Serai - Pinang Tunggal
   Odometer 2013 : 04604
       

Jumaat, 15 November 2013

Pelawaan kayuhan ke Danok .....

Bagai peribahasa 'pucuk dicita, ulam mendatang......' Aku singgah di kedai basikal D'Nia di Taman Seraya Pinang Tunggal untuk bertanya khabar dan update cerita dengan tuan punya kedai. Sebenarnya aku ingin bertanyakan tentang jamboree basikal yang disertai pada Sabtu 09 Nov lalu yang diadakan di Merbuk, Kuala Muda anjuran akhbar Harian Metro. Kedai basikal tersebut adalah pusat Kelab Basikal D'nia dengan tuan kedai menjadi tunggak utama kelab tersebut.
Aku dipelawa untuk menyertai mereka berkayuh ke Bukit Kayu Hitam dengan jarak hampir 120 km sehala. Tanpa berfikir panjang aku menerima pelawaan tersebut kerana aku memang merancang untuk melakukan kayuhan melalui route yang dirancang. Aku merancang untuk melakukan kayuhan solo tetapi kalau ramai mungkin lebih seronok. Lebih lagi dikalangan kawan dan kenalan.
Kayuhan tersebut dirancang pada hujung bulan ini, mungkin pada hari Sabtu 30hb. Akan bermalam di Danok dan berkayuh pulang pada keesokkan hari. Kesian juga beberapa ahli kelab tersebut tidak dapat ikut serta kerana mereka adalah anggota pasukan keselamatan yang memerlukan kelulusan khas untuk ke negara jiran.
Mengikut penganjur, kayuhan tidak akan berterusan tetapi akan berhenti henti untuk menikmati pemandangan dan melihat perkara perkara yang menarik disepanjang laluan. Berhenti rehat secukupnya bila perlu kerana tiada apa yang hendak dikejar atau untuk cepat sampai. Sebelah petang dan malam adalah mencukupi untuk ronda di pekan Danok.
Beberapa kali aku membuat kayuhan ke Hatyai dan Songkhla, aku memandu dan meninggalkan kereta di Bukit Kayu Hitam. Kali ini aku akan berkayuh dari rumah. Ini baru betul. Kalau ikut aku teruskan sahaja kayuhan sehingga ke Hatyai yang hanya tambahan sejaih 60 km. Ini betul betul akan menguji keupayaan berkayuh basikal dan akan menjadi sesuatu yang dibanggakan dan tidak mudah dilupakan.
Kebanyakkan rider yang berhasrat turut serta akan menggunakan mountain bikes. Aku sendiri dalam dilema basikal mana yang akan digunakan. Roadbike atau touring bike? Aku ingin melihat kemampuan geng mtb menghadapai 'endurance' dijalan raya.
Jadi atau tidak, kalau keadaan mengizinkan, aku akan tetap membuat kayuhan tersebut walau seorang diri. 

Statistik : 
    Mula ............... 8.15 pagi
    Tamat ............  9.30 pagi
    Jarak ............... 33 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Lencongan Barat - Timur
   Odometer 2013 : 04546
       

Khamis, 14 November 2013

Lahar Minyak

Rancangan untuk membuat seberapa banyak 'kayuhan petang' tidak kesampaian berikutan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu. Kini waktu hujan seakan akan berpindah turun pada sebelah petang setelah beberapa minggu turun pada sebelah pagi. Semuanya ketentuan Ilahi dan kita terpaksa akur, tidak berdaya berbuat apa apa. 
Hanya dapat dua kali membuat kayuhan petang dan hari ini terpaksa menilai kembali rancangan yang telah dibuat. Kayuhan pagi seperti dulu dulu. Keluar awal sedikit dari biasa dan menuju ke Kota Kuala Muda melalui Batu Lintang dan Tikam Batu. Apabila menyeberangi Sungai Muda aku tidak mengikuti laluan biasa ke Bumbung Lima melalui Pematang Permaisuri tetapi berkayuh terus ke arah Penanga dan membelok ke kiri melalui Lahar Minyak untuk ke Bumbung Lima dan kembali ke Sungai Petani.
Jarak kayuhan hari ini sekitar 50km dengan tempoh lebih sedikit dari 2 jam tetapi terasa agak jauh dan lama. Jika dibandingkan dengan jarak kayuhan di lencongan Timur pergi balik yang selalu aku buat, tidak banyak bezanya tetapi laluan tersebut terasa dekat dan cepat. Mungkin ini ada kaitan dengan keadaan biasa dan jarang ditempuh.
Walaupun hari ini hari bekerja berselisih dengan dua rider yang berkayuh dari Kota Kuala Muda atau mungkin dari Pantai Merdeka dan dua rider dari arah Kepala Batas menuju ke Kota Kuala Muda. Dua rider pertama mengangkat tangan kepada aku dan aku kepada mereka tetapi dua rider terkemudian tidak memberikan sebarang response.
Oh ... kelmarin dalam berita disiarkan upucara pengenalan logo baru Le Tour de Langkawi 2014. Nampak kemas. Aku seronok bila melihat laluan dan tarikh perlumbaan akan diadakan. Stage 2 yang akan diadakan pada 28 Februari 2014 akan bermula di Sungai Petani dan tamat di Taiping, Perak.
Tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan permulaan perlumbaan tersebut. Bukan senang hendak menyaksikan. Tahun lalu LTdL tidak lalu di Sungai Petani.


Statistik : 
    Mula ............... 7.55 pagi
    Tamat ............  10.05 pagi
    Jarak ............... 50 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Batu Lintang - Tikam Batu - Lahar Minyak
   Odometer 2013 : 04513
       

Selasa, 12 November 2013

Kayuhan petang

Lebih satu minggu tidak berkayuh. Cuaca dan hal hal lain.  Musim hujan masih belum reda dan masih tiada tanda tanda berakhir pada masa terdekat ini. Beberapa negara jiran dilanda taufan Haiyan dan paling teruk negara Filipina dengan angka korban yang tinggi. Apabila taufan tersebut reda ketika melanda Vietnam satu lagi taupan tropikal bakal melanda Filipina pula.
Hujan yang menimpa negara kita ini tiada dapat dibandingkan dengan taufan yang melanda jiran jiran kita. Aku hanya tidak dapat berbasikal sedangkan mereka disana kehilangan nayawa, harta benda, tempat tinggal, serta l.ain lain. Penyakit pula bakal melanda.
Cuaca mendong sahaja ketika keluar berkayuh dan menjadi gelap kerana hendak hujan. Tidak perlu pergi jauh, cukup untuk melonggarkan otot otot dan badan. 
Dua hari berehat setelah pulang dari Seremban pada malam Ahad lalu. Balik untuk majlis 'walimatul urus' abang di Felda Raja Alias, Jempol Negeri Sembilan pada hari Jumaat. Berjumpa ramai kenalan lama serta sanak saudara ketika majlis. Ramai antara kawan lama yang lebih 30 tahun tidak berjumpa. Berbaloi dibanding dengan perbelanjaan minyak (sekarang dah naik), tol dan makan.
Paling seronok, ramai kenalan yang mengatakan aku kelihatan sihat, tegap dan lebih bergaya berbanding dengan rakan seangkatan dan mereka yang lebih muda. Ini semua adalah kerana aktiviti kayuhan yang ceburi. Aku sendiri mengakui apabila aku tidak merasakan keletihan atau menghadapi sebarang masalah memandu kereta hampir 600 km sehala.


Statistik : 
    Mula ............... 5.45 petang
    Tamat ............  6.35 petang
    Jarak ............... 22 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Lencongan Baratk
   Odometer 2013 : 04463


Selasa, 5 November 2013

Brakes shoes .... (getah breaks)

Sesuatu yang sengaja aku tinggal dalam blog kayuhan pergi dan balik ke Betong Thailand ialah kelalaian membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap keadaan basikal. Banyak perkara yang perlu dipastikan berada didalam keadaan baik untuk kayuhan jauh. Manalah tahu kalau mengalami kerosakkan apa apa bahagian basikal di tempat jauh dari pekan (out of nowhere), memang menyusahkan dan menyulitkan. Kalau tayar pancit mungkin kita ada bawa spare, tetapi kalau bahagian lain jarang rider membawa spare atau peralatan yang boleh membantu membaiki kerosakkan tersebut.
Sejak aku memperolehi basikal rb yang diberikan oleh seorang kawan, tidak pernah menukar getah brake atau brakeshoe. Masih berkesan apabila diperlukan, basikal terhenti jika membuat emergency brake, tetapi dengan usia yang entah berapa lama ia sepatutnya telah ditukar lama dahulu.
Bila aku membersihkan basikal, agak kotor kerana meredah air hujan dijalanan, aku melihat keadaan brake. MasyaAllah ... hampir licin dan haus. Sikit lagi sampai besi. Tidak boleh dibayangkan bagaimana aku menuruni Gunung Inas yang curam semasa pulang dari Betong dua hari lalu. Memanglah berhati hati giler, memastikan basikal bergerak tidak lebih dari 35 atau 40 km/j menurun tanpa perlu kayuhan.
Apa yang merisaukan ialah keadaan jalan yang tidak rata, merekah dan pecah disepanjang jalan turun. Bergetar badan apabila melalui jalan sedemikian. Mana hendak difikirkan kereta yang datang laju dari belakang. Apa terjadi jika brake gagal berfungsi.
Nasib baik laluan turun tersebut tidak jauh, selamat sampai dibawah tanpa insiden yang tidak diingini.
Sukar juga hendak mencari gantian seperti sedia ada. Lebih lagi kalau hendak cepat. Ada, tetapi kena rayau banyak tempat dan ambil sedikit masa.
Kebetulan ada spare brake baru SARS buatan Taiwan untuk basikal MTB dan aku cuba memasang kepada set Shimano 105. Boleh pasang dan boleh digunakan. Malah ia lebih mencengkam kerana hampir 20mm lebih panjang dari brakeshoe asal. Kalau dapat berfungsi dengan baik tidak perlulah mencari brakeshoe Shimano asal.
Aku hanya ada satu set brakeshoe ini dan dipasang dibahagian roda belakang, tempat yang penting. Kalau sesuai aku akan beli untuk brake tayar hadapan dimasa terdekat ini.
Kalau difikirkan lagi, berapa kerapkah kita menggunakan brake untuk basikal rb berbanding dengan mtb. Lebih lagi kalau dikayuh kurang dari 30km/j. Rasanya sikit sangat. Set brakeshoe boleh bertahan lebih 10 tahun atau kayuhan lebih 20,000 km ..... agak agak sahaja.
Pernah dulu aku bertikam lidah dengan SK Juan tentang brake basikal. Dia menyuruh aku memasang 'disc-brake' untuk basikal mtb yang aku convert menjadi 'touring bikes'. Aku enggan memasang discbrake dengan alasan yang disc brake tidak diperlukan kerana keadaan kayuhan basikal jenis itu. Lain lah kalau kita membuat kayuhan off-road menggunakan mountain bike atau downhill bikes. Tidak praktikal, satu pembaziran dan hanya syok sendiri sahaja.
Remaja mengayuh 'fixie' tidak perlukan brake hinggalah disyaratkan untuk memasang satu brake dibahagian tayar depan oleh pihak berkuasa. Tiada masalah pun.
Petang tadi aku berkayuh keliling bandar Sungai Petani untuk menguji brakeshoe yang baru dipasang. Nyata lebih meyakinkan apabila brake digunakan. Pergi tidak jauh, setakat 8 km sahaja dan jarak ini tidak dimasukkan kedalam statistik kayuhan blog ini.

    

Ahad, 3 November 2013

Betong - Sungai Petani (inward)

Naik semula ke bilik hotel untuk mengemaskan pakaian dan check-out. Sebentar tadi aku turun mencari tempat untuk brekfast di atas pasar basah pekan Betong. Tiada kedai muslim dibuka, mungkin kerana hari Ahad. Kalau tidak silap aku dahulu ada beberapa gerai menjual makanan melayu di tingkat atas pasar. Sebuah restoren yang menjual makanan melayu termasuk roti canai diserbu oleh pelancung Malaysia. Kalau aku masuk juga mungkin kena tunggu lebih setengah jam.
Aku bercadang untuk mengambil barangan dan berkayuh pulang. Mungkin dalam perjalan nanti akan jumpa restoren atau gerai dimana aku boleh breakfast. Dalam keadaan teruk sekali pun aku boleh breakfast di sempadan yang hanya 20 minit kayuhan.
Jangan lupa ambil balik kad pengenalan yang ditinggalkan di kaunter hotel semasa check-in kelmarin. Bahaya kalau tertinggal.
Sebaik melepasi grestoren makanan yang menjadi tumpuan pelancong Malaysia di belakang Masjid Betong, aku terdengar seseorang menegur. Walau tidak melihat orang itu aku kenal betul suara itu dan terus berhenti. Ibrahim dan tiga rakan lain baru selesai breakfast dan ingin ke market untuk membeli belah barangan atau buah tangan untuk dibawa pulang ke kedah.
Dia bertanya kenapa pulang terlalu awal dan aku menerangkan keadaan mata dan akan berkayuh perlahan lahan. Dia menyatakan akan bertolak balik pada jam 10.00 pagi nanti. Menurutnya lagi sebelum memulakan kayuhan kelmarin dia menunggu dan tertanya samada aku jadi mengikut atau tidak. Tidak sangka pula aku berkayuh sendirian. Aku menerangkan memang aku betul betul berhajat untuk berkayuh ke Betong tetapi tidak mahu mengikuti rombongannya. Sekali lagi tidak sempat berbual panjang kerana tiga rakannya yang telah meninggalkan restoren menuju ke pasar. Ini salah satu perkara yang aku tidak suka bila berkumpulan. Tidak ada rasa untuk mengenalkan diri kepada rakan kawan kita. Mana kata kata "your friend is/are my friend".
Dah berhenti dan ada pula makanan di retoren tersebut aku membuat pesanan untuk breakfast. Tidak perlu tercari cari lagi gerai makanan disepanjang jalan nanti. Roti canai telur, sebiji kuih dan teh O mungkin boleh memberi cukup tenaga untuk sampai ke Sungai Petani. Tuan punya kedai terdengar perbualan aku dengan Ibrahim  tentang mata kena sengat serangga dan dia ingat aku singgah untuk makan tengah hari di kedainya kelmarin. Patut le dia melihat aku tidak sihat, katanya.
Satu perkara, sudah banyak kali aku singgah di restoren ini setiap kali ke Betong. Tidak pernah melihat pelayan atau pekerja lelaki. Agaknya mereka ini serupa macam di Kelantan. Orang perempuan yang berniaga, lelaki membuat kerja lain. Pagi ini aku melihat seorang lelaki berumur lebih kurang aku sedang membantu mengemaskan pinggan mangkuk diatas meja. Aku mengagak dia adalah suami tuan kedai dan hari ini berada di kedai kerana cuti minggu. Tidak bekerja.
Dia tertarik dengan orang yang berkayuh dan ingin mula menceburi diri. Hampir lima minit aku menerangkan kepadanya tentang kebaikkan berbasikal sebelum berkayuh menuju kesempadan.
Bagai yang diduga tidak ramai pelancung di pos imegresen ke dua dua negara. Cepat. Cuaca pun nampak cerah dan aku tidak mahu melengahkan masa untuk kayuhan ke Baling. Sebenarnya aku ingin cepat untuk mengelakkan bertembung atau dipotong dari belakang oleh kumpulan pengayuh dari Sungai Petani walau aku tahu mereka masih belum memulakan kayuhan dan lebih setengah jam dibelakang. Pun begitu aku benar mengharapkan supaya mereka bertolak lebih lewat dari jam 10.00 pagi. Ini memberikan aku 'handicap' atau kelebihan masa untuk sampai sekurang kurangnya ke Pekan Kuala Ketil.
Sampai di Pekan Baling satu jam selepas memulakkan kayuhan di Betong. Wah .... terkejut juga boleh sampai begitu cepat. Apa tidaknya laluan menuruni sejak mula dari pos sempadan. Sebelum melepasi sempadan Perak aku tidak henti berfikir adakah mampu membuat pendakian sebelum sampai ke puncak. Tidak mahu kes menolak (tonton) basikal seperti yang aku lakukan semasa mendaki kelmarin. Dengan Izin Allah, tiada sebanrang masalah.
Aku kansel rancangan untuk mengambil beberapa foto pada tempat tempat yang menarik yang aku lihat kelmarin. Takut melambatkan perjalanan. Lain kali sahaja la bila aku berkayuh seorang diri... aku ingin lari dari kumpulan Ibrahim dan ingin sampai sejauh mana boleh sebelum dipotong.
Selepas berehat selama 10 minit di pekan Baling aku meneruskan kayuhan dan sekali lagi terkejut apabila sampai sebelum jam 12.00 tengah di pekan Kuala Ketil. Jika ditolak waktu berhenti rehat dan pendakian bukit aku boleh sampai ke Kuala Ketil tempoh 2 jam 30 minit dari pekan Betong.
Berehat agak lama di disini untuk minum air 100 plus. Kebanyakkan kedai runcit ditutup dan nasib baik ada kedai serbaguna seven eleven.
Sebentar tadi di persimpangan jalan untuk ke kedai sebanika ini aku memarahi seorang penunggang motorsikal berbangsa India yang hampir melanggar basikal aku. Dia memasuki jalan aku untuk menyebarang jalan yang dia tidak boleh masuk. Malakukan jalan songsang. Tempat untuk dia menyeberang hanya beberapa meter dihadapan. Dia diam sahaja semasa aku memarahi kerana tahu kesalahan sendiri. Isterinya yang membonceng dibelakang bersama bayi kecil juga berleter memarahi suaminya.
Nampak dah restoren KFC Kuala Ketil tetapi kerana masih awal aku bercadang untuk singgah di KFC hadapan Supermarket Econsave Bandar Puteri Jaya. Hanya lebih kurang 12 km sahaja lagi atau 30 minit kayuhan. Aku menghabiskan masa lebih satu jam berehat di KFC ini untuk menghilangkan penat dan panas badan dengan air cond restoren ini. Aku duduk menghadapi jalan besar dan memerhatikan jika terlihat kumpulan berbasikal pulang dari Betong. Lega, tidak nampak kelibat mereka.
Sebelum pulang kerumah aku singgah di kedai baiki kasut seorang kawan lama untuk menjahit kasut yang terkopek bahagian tapak selepas melepasi sempadan kelmarin. Dia berniaga tidak jauh dari Hospital Swasta Metro Sungai Petani. Duduk berbual sambil menunggu dia menghabiskan kerja menjahit kasut pelanggan yang dihantar awal dan kemudian menjahit kasut aku pula.
Seronok. Bila sampai dirumah hujan turun dengan lebatnya. Aku sungguh puas dan tidak terasa letih sangat. Aku akan berehat sehari dua sebelum berkayuh lagi. Next long trip mungkin ke Kangar dan Padang Besar Perlis.......


Statistik : 
    Mula ............... 9.05 pagi
    Tamat ............  1.00 petang
    Jarak ............... 90 km
    Cuaca .............. Panas (Hujan sebelah petang)
    Laluan ............. Sg Petani - Betong (Thailand)
   Odometer 2013 : 04441

Sabtu, 2 November 2013

Sungai Petani - Betong (outward) bahagian 2

........... / sambungan 

Baru 200 meter pendakian otot kaki mulai rasa berat. Berapa bersungguh sunguh mencuba tetapi basikal tidak mahu bergerak. Aku tidak mahu menyiksa badan dan tidak pula mahu mendatangkan mudharat kepada diri. Nanti lain yang diniatkan lain pula padah yang dapat.
Nampak kawasan teduh diseberang jalan dan dengan berhati hati menyeberangi jalan. Maklum sahajalah, kenderaan yang turun dipandu laju tanpa menekan minyak. Aku berhenti bernaung dibawah pokok untuk menghilangkan penat terutama bahagian betis dan paha. Air yang dibawa dalam botol dari rumah hampir habis. Nasib baik aku terima sedekah sebotol air mineral dari peniaga kedai di Pekan Baling sebentar tadi.
Tidak upaya.... ungkapan yang sering digunakan oleh penduduk kawasan utara. Tiga kali aku berhenti sebelum berjaya sampai ke puncak. Setiap kali aku berehat hampir lima minit sebelum berkayuh semula. Rasanya aku telah membuat kesilapan.
Dahulu kali pertama aku membuat pendakian disini aku tidak berhenti sekali pun. Tetapi masa itu aku memulakan kayuhan dari Pekan Baling. Masih banyak tenaga. Pula ada sedikit masalah pada roadbike, tidak boleh menggunakan gear paling rendah, bila aku gunakan juga, ia mengeluarkan bunyi yang merisaukan. Takut pula gear set, derailer belakang atau rantai akan rosak. Terpaksa menggunakan gear no 3 rendah untuk pendakian. Macam mana tidak letih kaki. Mungkinkah aku kena beli rb lain kalau ingin bermain dilaluan ini?
Ada juga terfikir untuk tidak meneruskan lagi pendakian ini. Mungkin berpatah balik dan berehat (tidur) di hotel Pekan Baling semalam. Hanya mainan dan bisikan syaitan. Satu perkara yang menenangkan fikiran ialah simpati atau keprihatinan beberapa pemandu kereta. Dari bunyi deruman enjin, kereta juga terpaksa menggunakan gear rendah untuk pendakian. Ada beberapa pemandu yang membunyikan hon serta melambai kearah aku. Mungkin juga mereka adalah pengayuh basikal seperti aku.
Lega bila kelihatan kawasan rehat di puncak bukit. Lepas ini tiada lagi pendakian. Aku membatalkan hasrat untuk berhenti rehat kerana tiada aktiviti di kawasan rehat ini. Tiada kenderaan berhenti kerana tiada yang berniaga di tapak yang disediakan. Kali terakhir aku disini pada awal tahun mendapati semua tandas yang disediakan tidak berfungsi.
Memasuki sempadan Negeri Perak dengan seronok kerana setelah berhempas pulas membuat pendakian kini menuruni bukit. Melepasi kem Pertahan Awam dan kemudian terpaksa membuat 'brake emegency' betul-betul di hadapan MRSM Pengkalan Hulu. Dalam imbasan aku melihat seekor serangga besar menuju kearah mata kanan dan terkejut kesakitan disengat oleh serangga tersebut. Sebaik berhenti aku merasa bagai hendak pitam dan terpaksa mencari tempat untuk duduk berehat.
Tidak pernah mengalami sebelum ini. Mungkin adalah sekali sekala serangga bisa memasuki baju atau masuk kedalam helmat dengan kesan sakit sekejap. Yang ini lain, berair mata dibuatnya. Nasib baik disengat pada kelopak mata atas.... tidak boleh dibayangkan jika ia menyengat biji mata. Boleh buta kot.
Meneruskan perjalanan setelah rasa bisa lega sedikit. Berhenti untuk makan disebuah kedai di persimpangan Felda Nenering. Selera makan terencat apabila mendengar jeritan beberapa pekerja perempuan dari bahagian dapur. Ada pekerja yang lari keluar. Tidak tahu apa puncanya, mungkin ada tikus atau ular kerana kedengaran bunyi pukulan kayu keatas lantai.
Ada kenduri besar dikampung sebelum sampai ke sempadan. Orang penting agaknya dalam kampung ini. Kelihatan deretan kereta di parking di kedua dua bahu jalan. Dari jauh macam kereta berhenti sebelum pemeriksaan unit UPP.
Tidak ramai orang di pos imegresen Malaysia atau Thailand. Masih kena bayar RM1.00 di imegresen Thailand untuk border pass. Dengar cerita mulai tahun hadapan bayaran ini akan dinaikkan kepada RM3.00 dan RM50.00 untuk passport....! betul ke ini.
Terpaksa berhenti sebaik melintasi sempadan Thailand. Nasib baik ada gerai berbumbung di perkampungan Melayu, tetapi gerai ini tidak menjalankan pernigaan. Hujan turun dengan lebatnya selama hampir 30 minit. Aku membalut 'knapsack' (beg belakang) dengan beg plastik yang memang aku bawa untuk melindung pakaian dari basah dan menghalang percikan air dan lumpur. Aku  juga membuat begitu untuk beg kecil yang digantung dibelakang basikal yang diisikan dengan tiub spare dan peralatan tools asas.
Memendekkan rondaan keliling bandar Betong untuk mencari tempat menginap malam ini kerana mata mulai terasa sakit semula. Lunch kali kedua di restoren yang sering aku makan ketika di Betong. Sup kegemaran (iaitu sup kaki lembu) sudah habis dibedal oleh pelancung dari Malaysia. Makan sup daging biasa je.... Sebelum masuk ke hotel aku membeli ubat termasuk ubat titik untuk mata dari sebuah kedai ubat Cina.
Agak terkejut apabila bangun dari tidur petang apabila mata yang kena sengat tadi tidak boleh dibuka. Walau tidak sakit atau berbisa tetapi bengkaknya amat besar. Sukar untuk melihat. Aku segera membersihkan diri dan tekad untuk mencari klinik. Bertanya kepada pekerja hotel dan ditunjukkan lokasi klinik berdekatan. Dua orang membantu menunjukkan lokasi klinik, salah seorang mahu menghantar aku menaiki motorsikal. Terima kasih. Aku berjalan kaki dengan pemandangan yang agak kabur dan kesukaran untuk melihat jauh. Klinik pertama tidak menyediakan perkhidmatan rawatan mata, staf merungut dalam bahasa Thai ... entah apa. Klinik kedua yang aku pergi berhadapan dengan Holiday Villa hotel tutup pada hari Sabtu dan Ahad.
Aku hampur kecewa dan berjalan balik kehotel untuk berehat apabila towkey peniaga kedai ubat cina (yang lain dari tempat aku beli ubat tadi) menyuruh aku ke klinik yang tidak berjauhan dengan menara jam Betong. Dia menyatakan klinik akan dibuka semula pada jam 6.00 petang (7.00 malam Malaysia). Itu pasal aku tidak jumpa tadi.
Risau tidak cukup wang untuk rawatan, aku bertanya kos perubatan sebelum doktor memberi aku suntikan dan ubat makan termasuk antibiotik. Bukan apa, takut warga asing dikenakan harga berbeza dengan warga tempatan. Lega bila doktor menyatakan kos keseluruhan hanya RM40.00. Kadar yang amat berpatutan dan lebih kurang sama harga di Malaysia.
Siap arahan makan dalam Bahasa Melayu .....
Selesai di klinik aku mencari restoren untuk makan malam sebelum balik berehat di hotel. Waiter kedai bertanya boleh ke aku makan sup tomyam campur yang aku pesan kerana dia melihat keadaan mata kanan aku yang hampir tidak boleh dibuka. Aku terangkan itu bukan disebabkan sakit mata tetapi kena sengat tebuan atau lebah.
Benar benar berharap bengkak mata akan hilang pada pagi esok hari kerana terpaksa berkayh 90 km pulang. Tidak mengambil masa lama untuk melelapkan mata setelah mengambil ubat yang diberikan oleh klinik tadi.


Sungai Petani - Betong (outward)


Seorang sahabat mempelawa mengikuti kayuh ke Betong Thailand ketika kami menunggu waktu Isyak di Masjid Taman Intan dua hari lalu. Oleh kerana masa dan tempat tidak mengizinkan, tidak dapat bercerita panjang cuma hanya sempat dinyatakan tempat berkumpul adalah di Taipan Square, Puteri Jaya. Rombongan berbasikal ke Betong akan bertolak pada jam 07.30 pagi pada Sabtu 02 November 2013. Kebetulan hari tersebut cuti am sempena Hari Deepavali yang disambut oleh kaum India beragama Hindu.
Tidak pasti aku akan turut serta kumpulan tersebut. Difahamkan setakat ini seramai 16 orang telah mengesahkan penyertaan. Dahulu aku dipelawa berkayuh dari Kangar ke Hatyai oleh kumpulan sama tetapi aku menolak.
Sepanjang malam aku tidak berhenti memikirkan tentang kayuhan ke Betong.... bukan jemputan kayuhan ke Betong. Sudah lama aku merancang untuk melakukan kayuhan ini. Walau aku pernah beberapa kali berkayuh kesana tetapi ini amat berbeza sekali. Kayuhan terdahulu adalah dari sempadan, bermakna aku memandu kereta hingga ke sempadan dan kemudian masuk ke Betong dengan basikal. Kali ini ialah sebenar kayuhan ke Betong dari Sungai Petani ...!
Aku memikirkan samada mampu atau tidak membuat pendakian Gunung Inas dari Baling ke Pangkalan Hulu Perak setelah berkayuh selama hampir tiga jam dari Sungai Petani ke Baling. Rasanya jarak pendakian tidak sampai 3 km atau lebih sedikit. Lagi pulak belum pernah menguji kemampuan roadbikes 'tua' yang aku miliki di laluan tersebut. Tiga tahun lalu aku pernah menawan laluan gunung ini menggunakan mountain bikes bersama Johari dan Syed Fadhil dari Bandar Puteri Jaya. Tiada bermasalah cuma lambat sedikit sampai berbanding dengan dua rakan yang lain. 
Walau aku sudah dapat mengagak jawapannya, aku menelifon SK Juan pada keesokkan harinya iaitu pada hari Jumaat mempelawanya untuk menyertai kayuhan tersebut. Katanya tidak dapat mengikut kayuhan tersebut ... alasan anak anak balik kerumah la .. tukang datang membaiki tangki air bocor la ... hari Ahad pergi ke gereja laa ... Semasa dia mengajak aku berkayuh ke Hatyai pada bulan Oktober lalu juga jatuh pada hari Ahad, tiada pula alasan. Geram juga hingga aku terfikir kalau dia mangajak berkayuh kemana mana dimasa depan, aku pula akan memberikan alasan tidak ikut serta.
Aku bertekad untuk pergi, dengan  atau tidak dengan SK Juan. Bukan aku tidak pernah kesana sebelum ini, samada sendiri atau berkawan. Cuma aku bertekad untuk berkayuh secara solo. Tidak mahu menyertai kelompok Ibrahim. Aku merancang untuk memulakan kayuhan dari rumah ketika mereka mula bergerak dari Taipan Square. Cuma aku mengharapkan mereka akan bergerak mengikut waktu yang ditetapkan supaya bila aku sampai mereka sudah bergerak.
Sebelah petang sehari sebelum kayuhan aku membeli sebuah beg baharu. Beg yang sering aku gunakan untuk kayuhan jarak jauh sudah agak usang dan berat. Juga bukan beg berbasikal sebenar. Tidak berapa sesuai.  Tidak sangka pula kedai di Taman Arked ada menjual beg untuk aktiviti basikal, cukup dengan padding bahagian belakang dan tali. Bilangan compatment yang mencukupi dan lebih lagi ia praktikal. Banyak juga pilihan.
Nyonya empunya kedai siap suruh aku beritahu dan recommend pada rakan lain tentang beg yang dijual dikedainya. Kalau suruh recemmend kawan mesti beri diskaun, tiada pun. Aku membeli yang bersaiz sederhana cukup untuk satu atau dua malam pakaian dengan harga RM39.00.
Bila sampai ke tempat rendevouz kelihatan kosong sahaja. Sah.... kumpulan tersebut telah bergerak mengikut jadual. Aku mengambil masa sendiri untuk berkayuh dan target untuk sampai ke Pekan Baling sebelum jam 11.00 pagi. Ini memberi masa untuk berehat sebelum cabaran kayuhan mendaki Gunung Inas.
Singgah di sebuah gerai selepas persimpangan Air Tawar ke jalan Timur Barat dan mengalas perut dengan roti canai telur. Cukup tenaga untuk kayuhan selanjutnya. Peniaga gerai roti canai tersebut menyediakan pesanan aku dahalu walaupun ada pelanggan yang sampai dan membuat pesanan lebih dahulu. Dia kehabisan bekalan mentah dan terpaksa mengambil bekalan tambahan dirumah tidak jauh dari gerai perniagaan. Rasa bersalah pula, aku tidak tahu.
Pekan Baling agak lengang semasa aku sampai kerana pasar minggu adalah pada hari Ahad. Pun begitu sudah ada beberapa peniaga yang memasang khemah untuk berniaga esok, lagi 20 jam. Aku singgah disebuah kedai runcit Melayu tidak jauh bertentangan dari Restoren KFC untuk membeli minuman sejuk. Aku tumpang bertenggong dihadapan kedai tersebut dan tidak lama kemudian tuan kedai datang berbual dengan aku. Dia rasa kagum kerana katanya memnadu kereta mengambil masa lebih dari satu jam ke Sungai Petani. Bila aku meminta diri untuk bergerak dia menghulur sebotol air mineral (penutup biru ... buka putih) sebagai sedekah dan bekalan. Terharu juga dengan peristiwa tersebut. Anak gadisn yang memerhatikan tindakan murni ayahnya mesti merasa bangga.
Oh ya... sebelum bergerak, dia memberi tahu dan mencadangkan jalan pintas yang tidak berbukit untuk sebelum pendakian Gunung Inas.... iaitu mengikut jalan lama ke Rambong. Simpang ke kiri akan berpatah semula ke Baling dan Weng, ke kanan akan memasuki jalan utama. Dia juga mencadangkan aku menggunakan jalan tersebut pada perjalanan pulang nanti. Ucapan terima kasih, semoga sedekahnya akan diterima Allah.
Betul kata peniaga kedai tersebut. Laluan jalan lama ke Rambong ini landai tidak sedikit bukit pun. Dapat mengelakkan pendakian pemula yang agak tinggi. Sayang jaraknya hanya hampir dua kilometer sahaja. Sebaik memasuki semula laluan utama, pendakian berterusan hingga ke puncak iatu dilokasi R&R Gunung Inas.

.................. bersambung /...

Statistik : 
    Mula ............... 7.35 pagi
    Tamat ............  2.05 petang
    Jarak ............... 92 km
    Cuaca .............. Panas (Hujan sebelah petang)
    Laluan ............. Sg Petani - Betong (Thailand)
   Odometer 2013 : 04321