Halaman

Jumaat, 29 Ogos 2014

Tak sakit pinggang ?

Tengah syok melayan kayuhan pulang berhampiran Taman Mutiara apabila aku ditegur oleh dua orang rider dari belakang. Apabila menoleh kelihatan kedua rider berbangsa cina menyaingi kelajuan aku. Rasanya juga dalam perjalanan pulang. Mungkin aku kelihatan lebih tua dia bertanya samada ok atau tidak. Pelik je bunyi soalan.
Pentingnya dia mahu menegur dan bersembang dengan rider yang tidak dikenali, berlainan bangsa dan berbeza umur. Hanya kerana aktiviti, kegemaran dan minat yang sama.  Sesetengah rider lansung tidak peduli kepada orang lain, samada semasa berselisih atau memotong. Sombong ke apa?
Kami berkayuh bersama hampir lima kilometer sebelum mereka berdua membelok kearah Taman Perdana (bersebelahan Taman Keladi).
Salah seorang yang agak peramah mengatakan bahawa basikal roadbike classic yang aku tunggang ada  kebaikan. Tidak sakit pinggang. Roadbike baru sekarang ini menyebabkan sakit pinggang. Aku tidak memberikan apa apa komen kerana ini pertama kali mendengar kenyataan ini. Tidak tahu sejauh mana kebenarannya. Adakah ini fakta atau pengalaman dia sendiri. Kena buat selidikan.
Walau apa pun aku masih berpuas hati berkayuh dengan roadbikes klassik ini. Kadang kala ada juga terlintas dihati untuk menukar dengan yang baru, yang lebih canggih dan sistem yang up to date. 
Singgah di Kedai Nasi Kandar Taman Nilam untuk sarapan pagi sebelum pulang kerumah.


Statistik : 
    Mula ............... 0810
    Tamat ............  1000
    Jarak ............... 43 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Jalan lencongan timur (pergi balik)
   Odometer 2014 : 1867 km
      

Isnin, 25 Ogos 2014

Hanya 70%

Tidak tahu kenapa aku menerima pelawaan seorang kenalan untuk mengikut mereka membuat kayuhan pagi ini. Aku hanya diberitahu tentang kayuhan ini melalui SMS malam sebelumnya. Mengikut pesanan ringkas yang dihantar jarak kayuhan ini hampir 160 km dan akan mengambil masa lebih 6 atau 7 jam. Jika ingin meyertai dikehendaki berkumpul di dataran zero Sungai Petani sebelum jam 7.20 pagi.
Aku mengenali ramai yang akan menyertai kayuhan tersebut. Aku memohon izin kepada mereka untuk mengikuti kayuhan tersebut untuk hanya separuh jalan dan akan pulang sendirian. Tiada halangan oleh kumpulan tersebut.

Menunggu rakan yang mengalami kebocoran tayar




Statistik : 
    Mula ............... 0730
    Tamat ............  1310
    Jarak ............... 102 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Kuala Ketil  - Parit Panjang - Kg Lalang - Sik
   Odometer 2014 : 1824 km
     

Khamis, 21 Ogos 2014

Padang Serai

Banyak sangat laluan yang ingin diikuti. Tidak dapat membuat keputusan jalan mana hendak pergi pada kayuhan pagi ini. Akhirnya aku membuat keputusan untuk lalu di Bandar Puteri dan kemudian ke Sidam Kanan dan pulang melalui pekan Padang Serai.
Kayuhan agak santai. tiada apa yang menarik untuk dicatatkan. Aku puas menikmati kehijauan ladang kelapa sawit, ladang getah dan akhirnya bendang sawah padi.
Agak kecewa apabila singgah di gerai Pinang Tunggal (belah Pulau Pinang) ianya sudah dikemaskan untuk ditutup. Ai ... baru jam 10.00 pagi sudah habis. Mungkin buat sedikit hari ni kerana ada hal lain.


Statistik : 
    Mula ............... 0800
    Tamat ............  1020
    Jarak ............... 53 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Sidam - Padang Serai
   Odometer 2014 : 1722 km
      

Ahad, 17 Ogos 2014

Bukit Semarak .....

Sejak awal hati berbelah bagi samada membuat kayuhan atau tidak. Malam tadi aku menghabiskan sedikit masa melihat gambar yang aku ambil semasa kayuhan yang lepas. Teringin pula hendak berkayuh ketempat tempat yang pernah aku lawatai dahulu. Tetapi entah macam mana hati tergerak untuk membuat pendakian di bukit Semarak. Tidak ingat bila kali terakhir aku kesana.
Seperti biasa masa memulakan pendakian kelihatan masih ramai orang membuat pendakian dan ramai juga yang sedang menuruni bukit. Ramai yang aku kenali, biasa aku lihat ketika aku bergiat cergas pada aktiviti memanjat bukit ini. Muka-muka lama masih lagi kelihatan. Rasanya mereka juga masih mengingati dan kenal aku. Aku menegur hampir semua yang aku jumpa, tindak balas yang diterima amatlah menyeronokkan.
Satu perkara yang dilihat ialah ramai yang menggunakan tongkat, samada yang dibuat sendiri dari kayu atau buluh dan yang lain mengunakan tongkat jenis aluminium. Nampak gayanya macam boleh dilipat atau dimasukkan menjadi pendek. Aku sendiri menggunakan tongkat yang diperbuat dari buloh madu, lubang kecil sahaja. Tongkat ini boleh digunakan sebagai penyokong ketika menurun bukit dan juga apabila mendaki. Menstabilkan badan terutama bagi yang veteran. Tongkat juga boleh dijadikan senjata jika terdesak.
Bukit ini dahulu dipenuhi dengan hutan rimba tetapi kini menjadi kawasan pertanian. Hampir keseluruhan kawasan telah ditanam dengan pokok seperti petai, cempedak dan durian. Sekarang semakin banyak tanah dibersihkan untuk tanaman berbanding dengan beberapa tahun lalu. Timbul persoalan samada tanah ini diteroka tanpa hakmilik. Paling terserlah, ada sesetengah kawasan bukit ini kini tidak lagi boleh dimasuki atau dilalui oleh pendaki. Ada signboard atau amaran melarang kawasan dicerobohi dengan notis yang agak unik...... kawasan tersebut juga telah dipagar.
Tiada masalah sampai kepuncak dan mengikut laluan rutin yang selalu aku buat dahulu. Otot kaki dan peha rasa macam biasa sahaja, mungkin disebabkan kayuhan basikal yang aku buat sebelum ini. Sesetengah laluan kini cerah kerana banyak pokok besar telah ditebang. Rasanya semakin ramai orang datang kesini melihat kesan laluan. Ada juga beberapa trek baru yang dibuat tetapi untuk kali ini aku akan mengikut trek lama sahaja.

Nampak OK je... bila panjat baru tau ...

Berehat sebentar sebelum turun semula. Baru aku teringat kenapa aku berhenti membuat aktiviti disini. Aku mengalami sakit lutut dan amat risau jika ia melarat. Tidak ingat bila pulak lutut tersebut pulih. Apa yang pasti aku kena berhati dan tidak melampaui (overdo) bila membuat aktiviti pendakian bukit ini. 
       

Rabu, 13 Ogos 2014

Kayuhan hantu !.....

Pada mulanya merancang untuk membuat kayuhan pagi ... untuk kayuhan jauh sedikit dari biasa, tetapi diluar sana kelihatan jalan agak lembab dan ada tompokan air membuat aku menukar fikiran. Langit masih diselubungi awan hitam walaupun aku tahu hujan tidak akan turun lagi untuk siang ini. Balik ke masa biasa iaitu sebelah petang untuk melakukan kayuhan.
Sebelah pagi aku menelifon SK Juan untuk bertanya khabar dan pergi minum pagi, tetapi dia keluar membuat kayuhan ke Kepala Batas, PP. Aku kerumahnya sebaik dia menghabiskan kayuhan.
Antara lain yang dibincangkan ialah kayuhan ke Songkhla, Thailand pada bulan September nanti. Aku sudah bersedia dan memang belum pernah keluar untuk tahun ini. SK Juan mencadangkan untuk memulakan kayuhan dari Bukit Kayu Hitam terus ke Songkhla dan bermalam disana. Keesokkan harinya membuat rondaan di kawasan tersebut termasuk mengelilingi tasik sebelum pulang ke Hatyai dan bermalam. Pulang ke sempadan pada hari ketiga.
Dia juga berbual dengan panjang lebar tentang kayuhan 'round island Penang' pada Ahad 17 Ogos nanti. Dia serta beberapa orang lagi dari Sungai Petani pada mulanya amat berminat untuk turut serta kayuhan keliling pulau yang diadakan setiap tahun. Kalau tidak silap aku, sudah tiga atau empat kali dia ikut serta tetapi kali ini dia tidak sempat mendaftar diri. Pendaftaran untuk menyertai kayuhan kali ini dibuat secara on-line berbanding mengisi borang sebagaimana tahun tahun sebelumnya. Pendaftaran ditutup apabila bilangan penyertaan mencapai 3000 peserta.
Dia mengajak aku membuat kayuhan hantu ... menyertai kayuhan tersebut tanpa mendaftar! Tumpang seronok kayuhan beramai ramai dan tumpung semangkuk melalui jalan yang biasanya sibuk tetapi dikawal oleh anggota polis dan pasukan keselamatan ketika program kayuhan. Tidak perlu berhenti disepanjang lampu isyarat, disimpang atau ditempat untuk membelok samada kanan atau kiri.
Pengayuh hantu tidak berhak untuk mendapat air minuman dan makanan yang disediakan oleh penganjur ditempat tempat tertentu disepanjang jalan. Tiada bekalan makan tengahhari, tiada cabutan bertuah atau lain lain yang disediakan untuk peserta yang membuat bayaran.
Aku kata tidak perlu, boleh berkayuh kesana pada bila bila masa walaupun susah sedikit kerana terpaksa mengikuti arahan lalu lintas biasa. Jarak kayuhan sejauh 84 km tidak menjadi masalah.
Tidak sabar untuk menunggu Juan memberi keputusan bila akan membuat kayuhan ke Thailand nanti.


Statistik : 
    Mula ............... 1730
    Tamat ............  1840
    Jarak ............... 27 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Jalan Lencongan Barat
   Odometer 2014 : 1669 km
      

Isnin, 11 Ogos 2014

Mesin padi ado laie ....

Kayuhan petang ini tergendala sedikit kerana tidak tahu mengapa aku ingin melihat mesin jentuai padi beroperasi. Ada dua tiga orang ditepi jalan juga memerhatikan mesin tersebut memuntahkan isi kedalam lori yang menunggu di tepi bendang. Agaknya mereka adalah tuanpunya sawah padi.
Memang selalu aku melihat mesin ini beroperasi sejak dulu lagi tetapi tidak pernah berhenti melihat lebih dari sepuluh minit seperti apa yang dibuat petang ini. Selalunya melihat dari dalam kereta sahaja.
Masa aku kecil kecil dikampung dah dahulu, tiada terfikir tentang 'natang nih'. Seluruh petani hanya menggunakan tuai tangan atau sabit. Tuai tangan kerja lambat dan selalunya dilakukan secara bergotong royong. Manakala sabit pula agak cepat kerana memotong batang yang agak banyak. Tuai tangan mempunyai kelebihan kerana padi yang masih bertangkai dibawa  pulang ke rumah, disimpan dan apabila semua padi dibendang siap dituai barulah kerja melerai buah padi dari tangkai dilakukan.
Kalau pakai sabit kena pukul padi didalam bendang. Ianya lebih cepat dan hanya padi sahaja dibawa pulang kerumah.
Dahulu, pada tahun 50'an dan 60'an petani dikampung menanam padi hanya untuk kegunaan sendiri, jarang dijual. Hasil padi satu musim cukup untuk makan setahun. Padi hanya dijemur untuk dijadikan beras menggunakan lesong tangan atau lesong kaki apabila bekalan beras dalam tempayan berkurangan.
Beberapa perkara yang tidak dapat aku lupakan ialah membuat serunai dari batang padi, menuai padi muda (yang lambat masak) untuk dibuat emping. Ingat lagi tak lagu Noorazlina Idris tentang malam mengemping.......!! bagitulah keadaannya.


Teringat pula lagu yang dinyanyikan oleh Ito Blues Gang pada awal 80'an dahulu, 'apo nak di kato'. Tetapi yang dimaksudkan mesin padi dalam lagu tersebut bukan mesin tuai tetapi mesin proses padi menjadi beras !!.



Statistik : 
    Mula ............... 1735
    Tamat ............  1845
    Jarak ............... 27 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Jalan Lencongan Barat
   Odometer 2014 : 1642 km
      

Sabtu, 9 Ogos 2014

Jem ... tanpa roti

Dua tiga petang tidak dapat melakukan kayuhan kerana cuaca tidak mengizinkan. Pada hari rabu lepas hujan turun dengan lebat sejak pagi. Walau berhenti menjelang tengah hari tetapi langit gelap hingga ke petang membuatkan hilang mood untuk beriyadah.
Petang kelmarin pula ada mesyuarat AJK KRT Taman Intan untuk membincangkan tentang jamuan hari raya yang akan diadakan dua minggu dari sekarang. Petang esok pula ada mesyuarat panel penasihat klinik kesihatan Bakar Arang juga akan membincangkan jamuan hari raya yang akan diadakan pada 14 Ogos nanti. Terpaksa mencari masa yang terluang untuk meneruskan aktiviti kayuhan.
Cuaca petang ini juga tidak berapa baik dan aku harapkan dapat menamatkan kayuhan sebelum hujan bermula. Buat masa sekarang aku tidak lagi memilih laluan laluan berbeza setiap kali keluar berkayuh. Aku lebih senang membuat pusingan pergi balik jalan lencongan barat yang memberi aku jarak lebih 30 km. Tiada masalah jika berulang alik jalan yang sama. Kalau difikirkan, ramai orang yang berjogging keliling padang atau kawasan taman hingga lebih sepuluh kali pusingan. Tiada sebarang masalah. Pentingnya bersenam.
Satu perkara lagi jalan lencongan barat mempunyai kelebihan berbanding dengan lencongan timur. Sepanjang lebih 15 km, jalan dilengkapi lorong laluan motorsikal yang juga boleh digunakan basikal. Terasa lebih selamat dengan adanya lorong tersebut. Maklumlah masa keluar itu waktu puncak penggunaan jalan tersebut. Pengguna balik dari tempat kerja. Di persimpangan lampu isyarat berhampiran tol Sg Petani utara, kenderaan terpaksa berbaris lebih setengah kilometer. Dengar cerita masa perayaan hari raya yang baru lalu jem hingga ke persimpangan lampu isyarat Laguna Merbok. Siapa kata bandar Sungai Petanuki tidak sibuk?
Tiada berjumpa rider petang ini, mungkin kebanyakkan membuat kayuhan pagi kerana hari Ahad.
Esok pagi bercadang untuk membuat pendakian bukit Semarak. Memang sudah begitu lama aku tidak kesana. Bagaimanakah keadaan sekarang. Masih ramaikah pengunjung setiap pagi dan petang. Dan bagaimana pula dengan trek laluan.


Statistik : 
    Mula ............... 1735
    Tamat ............  1900
    Jarak ............... 32 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Jalan Lencongan Barat
   Odometer 2014 : 1615 km
      

Selasa, 5 Ogos 2014

Senaman petang lebih baik ?

Berjaya membuat kayuhan untuk hari keempat berturut turut. Kayuhan petang. Cuaca tidak begitu panas kerana kesan jerubu masih belum hilang sepenuhnya. Bila lalu dikawasan bendang, terdapat petani membuat pembakaran jerami dan batang padi yang telah dituai untuk persediaan tanaman semula. Adakah ini yang menyebabkan keadaan atmosfera kawasan Sungai Petani ini berjerubu sekarang ni?
Walau kayuhan pendek, ia amat memuaskan. Aku amat yakin dengan diri sekarang. Apa yang merisaukan adalah takut tidak dapat meneruskan kesenambungan kayuhan setiap petang. Ada rancangan yang tengah diatur yang mungkin tidak membolehkan aku membuat kayuhan.
Pernah aku dengar ceramah seorang Ustaz yang mengatakan membuat aktiviti senaman pada sebelah petang adalah lebih baik. Terdapat nas atau hadis atau kitab para ulama yang menyatakan ini. Sejauh mana kebenaran ini aku masih mencari. Ini lebih kepada mereka yang menghidapi penyakit kencing manis. Mengikut ustaz tersebut pada sebelah pagi kandungan gula dalam badan tidak dapat dikurangkan kerana proses ..... entahlah aku pun tidak ingat. Juga tengah cari rakaman ceramah tersebut. Harap ada sesiapa diluar sana yang dapat memberikan pengesahan tentang ini.
Pada kayuhan tadi hanya melihat seorang rider dari arah bertentangan. Ada juga nampak dua tiga orang rider dihadapan tetapi bila aku menghampiri mereka adalah pekerja dari negara lain yang dalam perjalanan pulang dari tapak bekerja.
Seseorang membunyikan hon kereta dibelakang. Apabila menoleh kelihatan SK Juan dalam kereta Nissan. Entah dari mana. Ingatkan dia akan menunggu aku di salah sebuah gerai makanan dihadapan tetapi tidak kelihatan. Mungkin kerena hari semakin senja.


Statistik : 
    Mula ............... 1735
    Tamat ............  1845
    Jarak ............... 27 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Jalan Lencongan Barat
   Odometer 2014 : 1583 km
              

Isnin, 4 Ogos 2014

Kayuhan hari ini lebih baik dari semalam ......

Kayuhan petang sebentar tadi untuk hari ketiga berturut turut. Teringat pula lagu lagu zaman muda muda dulu ... knock three time dan three times a lady. Cuaca masih berjerubu tetapi tidaklah serius, rasanya IPU dibawah 40, tidak menjejaskan penafasan.
Aku rancang untuk pergi ke arah Semeling tetapi memandangkan kenderaan masih lagi ditahap yang tinggi aku mengelakkan laluan tersebu dan terus menghala ke Sungai Lalang dan seterusnya membelok kearah Gurun. Tidaklah sampai ke sana tetapi amat berpuas hati hanya setakat Bedong dan membuat pusingan U. Boleh cover lebih 30 km.
Kayuhan hari ini lebih baik dari semalam ..... macam selalu dengar je frasa ni. Memang ia selalu digunakan oleh penceramah motivasi dan ustaz dalam ceramah kuliah agama. Tenaga hampir pulih sepenuhnya dan aku sangat yakin aku sudah mampu beraksi seperti sebelum bulan puasa. 
Cakap pasal bilangan kereta dijalanan pada musim perayaan, sehingga sekarang kawan kawan yang aku jumpa bertanyakan macam mana keadaan jalan semasa pulang kekampung beraya baru baru ini. 
Aku bernasib baik, ketika kebanyakkan orang yang pulang berhari raya mengambil masa sehingga 12 jam untuk sampai kedestinasi yang biasanya diambil setengah masa tersebut, aku yang turun ke selatan tiada apa perubahan. Malahan rasanya bertambah selesa dan cepat kerana tidak banyak kenderaan yang turun.
Begitu juga ketika pulang ke utara. Jalan hala utara kosong dan kesihan sungguh mereka kearah selatan yang terpaksa terhincut hincut. Alhamdullillah ... itulah yang aku ucapkan apabila selamat sampai kerumah pulang dari beraya di kampung.


Statistik : 
    Mula ............... 1735
    Tamat ............  1900
    Jarak ............... 33 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Jalan Lencongan Barat - Bedong
   Odometer 2014 : 1556 km
              

Ahad, 3 Ogos 2014

Proses menguatkan stamina

Masih sangsi dengan kemampuan berkayuh selepas berehat panjang pada bulan ramadhan dan bulan sebelumnya. Aku berhenti awal kerana persediaan walimatul urus anak sulung perempuan yang telah diadakan pada 07 Julai 2014. Kalau dikirakan hampir 2 bulan tiada membuat kayuhan tetapi bila ada kelapngan sempat juga mencuri curi masa terluang berkayuh.
Petang ini kali kedua memulakan kayuhan. Terasa lebih betenaga berbanding semalam. Boleh gak kayuh lebih laju dari hari pertama. Kira kira boleh capai speed seperti biasa. Otot kaki pun kurang sakit atau lengoh. Cuma ada permasaalah ketika membuat pendakian walaupun rendah. Speed boleh turun hingga 50%.
Rasa seronok pula berkayuh sebelah petang. Walau kesempitan masa, kayuhan lebih kurang satu jam mencukupi buat masa sekarang. Yang penting aku senang tidur dan lena sebaik masuk bilik.



Statistik : 
    Mula ............... 1730
    Tamat ............  1845
    Jarak ............... 27 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Jalan Lencongan Barat (pergi balik)
   Odometer 2014 : 1523 km
              

Sabtu, 2 Ogos 2014

25km yang perlahan .......

Hari ini aku berpeluang menamatkan tempuh rehat yang agak lama. Satu bulan berpuasa dan enam hari cuti rehat sempena raya dan badan sudah mula mahukan dilonggarkan. Keluar agak lewat kerana aku tahu tidak akan dapat pergi jauh. Kayuhan petang harin lebih kerana desakan perasaan untuk memulakan semula aktiviti kayuhan.
Tau tak, basikal pun sudah dipenuhi dengan sarang labah labah. Tayar pula hampir kempes tiada angin lansung. Hanya sempat untuk membersihkan sarang labah labah sahaja dan mengepam angin dikedua dua tayar. Bahagian lain yang dipenuhi habuk, lain kali sahajalah cuci. Sengaja tidak mahu memeriksa part yang bergerak ada cukup gris atau tidak. Kalau hendak lakukan semua itu jawapnya akan lambat le keluar memulakan kayuhan.
Memang susah untuk otot kaki menyesuaikan rentak kayuhan kerana memang agak lama direhatkan. Susah untuk mencapai speed 25km/j dan lagi susah jika terdapat pendakian kecil seperti di jalan Tikam Batu - Simpor.
Berangan angan untuk membuat kayuhan lelaki sebenar (... maaf terjemahan dari bahasa Inggeris!) dalam masa terdekat ini. Ini sudah lama terlintas tetapi masih tidak dapat direalisasikan.
Biasanya hardcore rider akan memulakan kayuhan selepas berpuasa dan berhari raya dengan tajuk 'kayuhan pecah lemak' tetapi bagi aku mungkin kayuhan membuang gula. Rasanya pada bulan puasa dan hari raya lalu tidak lah banyak mengambil makanan berlemak termasuk dagin merah tetapi lebih banyak makanan yang agak manis seperti kueh mueh traditional dan ayer minuman manis. Bulan puasalah masanya untuk merasa keuh muih traditional yang dijual di bazar ramadhan.
Harapkan dapat mengurangkan kandungan gula dalam badan selepas  ini. Kena kawal pengambilan makanan dan minuman.
Pelik, terbalik pula. Bulan ramadhan sepatutnya pengambilan makanan dikawal.
Keadaan jerubu yang melanda negara sekarang sedikit membantu kayuhan petang ini. Cahaya matahari tidak mampu menembusi jerubu yang menutupi langit dan ini memberikan keselesaan berkayuh. Baru jam 6.30 petang dah nampak macam sudah malam. Sebaik sampai kerumah hujan renyai mulai turun.
Ok esok dan hari hari seterusnya dalam minggu ini aku berjanji melakukan kayuhan pendek untuk memberi peluang bagi otot dan tulang menyesuaikan dengan kayuhan.


Statistik : 
    Mula ............... 1720
    Tamat ............  1845
    Jarak ............... 25 km
    Cuaca .............. Jerubu
    Laluan ............. Sungai Pasir - Simpor
   Odometer 2014 : 1496 km