Halaman

Sabtu, 30 Januari 2010

Bukit Pinang Tunggal

Semalam belum pun hilang letih dan lengoh setelah membuat kayuhan ke Rekreasi Tupah, Zaidi dari Pinang Tunggal telefon ajak join kayuhan pagi Sabtu di kawasan Bukit Pinang Tunggal. Sebenarnya dia telepon pasal hal lain, bila selesai hal dia kata beberapa orang kawannya akan ikut kayuhan.
Aku mula dari rumah pada jam 0725 pagi dan tiba sebelum masa yang dijanjikan iaitu pukul 08.00 pagi dengan jarak kayuhan hampir 10km. Semasa sampai ke rumah  Zaidi tiga orang kawan sekerjanya telah pun berada diluar tetapi Zaidi masih belum siap lagi. Dua lagi rakannya dari Alor Setar sampai 15 minit kemudian. Bertolak menuju ke kedai Dahlan dimana tiga rider lain menunggu pada jam 0820 pagi.
Sebelum memulakan kayuhan kami dijamu dengan pisang berangan yang segar dan besar. Satu biji sudah mencukupi untuk mengisi perut. Kesemua ada 10 orang rider dalam kayuhan hari ini. Aku agak risau juga kerana basikal aku menggunakan tayar kecil 26 x 1.25 iaitu hanya esuai untuk kayuhan jalan raya. Yang lain menggunakan tayar off-road mountain. Nanti kalau tak boleh aku patah balik je. Route atau trek tidak ditetapkan dan Dahlan Md Nor dilantik sebagai leader.
Kayuhan dimulakan pada jam 0835. Dari tempat berkumpul mengikut jalan Pinang Tunggal ke Taman Kempas. Membelok masuk ke kanan selepas 800 meter menuju ke Sorkam. Jalan agak teruk, berlobang, pecah, banyak batu dan tidak rata, Jalan ini rosak kerana lori yang menghantar pasir ke kawasan pengumpulan tidak jauh dari jalan kereta api. Bagi penduduk tempatan tempat ini lebih dikenali sebagai kilang komunis. Tak tahu lah macam mana asal usul nama ini. 
Selepas pendakian di kawasan kilang, ladang getah dan melepasi jerat cina, jalan menurun hingga ke Lencongan Timur. Sebelum persimpangan Lencongan Timur kami membelok kekanan ke kawasan Sorkam. Aku belum pernah mengikuti jalan ini. Peleringkat awal jalan ini adalah ladang kelapa sawit dan kemudian sawah padi. Jalan sepanjang lebih kurang 6 km adalah jalan mini tar dan keadaan tidak berapa elok. Terpaksa berhati hati takut masuk lubang. Beberapa tempat direnang tali besar diatas jalan bertujuan untuk memperlahan kenderaan yang lalu.
Cuaca yang cerah dan masih belum panas menyeronok kayuhan di kawasan ini. Kayuhan peringkat ini terbahagi kepada tiga kumpulan. Kumpulan yang pertama seramai lima orang mendahului kayuhan, kumpulan ini orang muda dan season rider, aku termasuk dalam kumpulan kedua seramai tiga orang lebih kurang tiga minit dibelakang kumpulan pertama dan kumpulan akhir terdiri dari dua orang rider. Salah seorang dari kumpulan ketiga ini adalah orang baru. Baru berjinak mengayuh. 
Berhenti rehat selama lima minit di persimpangan jalan di Pantai Perai sebelum menuruskan kayuhan mendaki Bukit Pinang Tunggal. Sekali lagi aku minta kepastian dari Dahlan dan Zaidi samada basikal aku dengan tayar kecil boleh buat pendakian atau tidak. Mereka meyakinkan aku.
Dua orang rider tidak berjaya membuat pendakian bukit tersebut kerana kurang latihan dan terpaksa menolak basikal hingga keatas. Setelah berehat, kami meneruskan kayuhan. Kali ini kumpulan dipecahkan kepada dua. Kumpulan pertama akan meneruskan pendakian terus keatas puncak bukit manakala kumpulan kedua akan mengikut jalan pintas yang tiada pendakian. Semasa aku sampai ke pertengahan jalan turun, kumpulan pertama telah sampai menunggu rider lain untuk meneeruskan penurunan hingga kejalan yang diikuti pada peringkatg mula, iaitu kawasan kilang komunis. Selepas melintasi jalan kereta api, membelok ke kiri dan membuat dua pendakian. Dua rider baru tidak berupaya membuat pendakian.
Kami menamatkan kayuhan di rumah Zaidi di Taman Pinang Tunggal. Aku sempat bersembang dengan kenalan lama, Suhaimi yang tinggal di Taman yang sama. Bila sampai di rumah Zaidi makanan, minuman dan air sejuk telah disediakan.
Bertolak balik jam 10.45 pagi. Cuaca sudah mulai panas,


Statistik kayuhan
Mula :       7.25 pagi
Tamat :     11.15 pagi
Jarak :       48 km
Kawasan :  Pinang Tunggal
Jumlah peserta :  10 orang

.

Jumaat, 29 Januari 2010

Pekan Semeling

Hari ini aku buat sesuatu diluar kebiasaan, jarang aku buat kayuhan pada hari Jumaat tetapi hari ini aku buat pengecualian. Mungkin kerana aku sudah beberapa hari tidak buat kayuhan kerana kesibukan dan juga kerana cuaca yang tidak menentu disebelah petang
Mulakan kayuhan pada jam 07.15 pagi walaupun masih gelap dan cuaca agak sejuk menuju ke Pekan Semeling melalui Lencongan Barat. Cadangan aku ialah untuk ke Rekreasi Tupah melalui Pekan Semeling. Semasa menuruni jambatan Sungai Merbok, terlintas dihati untuk menulis sedikit mengenai Pekan Semeling. Mungkin aku akan buat sedikit penyelidikan dalam internet, walaupun cara terbaik ialah dengan menemu ramah penduduk tempatan. Aku tak kenal siapa. Tentu banyak cerita yang menarik dan banyak rahsia tentang pekan kecil ini.
Tiga tahun semasa aku bekerja di Alor Setar, aku melalui pekan Semeling ini setiap pagi dan petang sehingga jalan baru Bedong-Merbok siap pada awal 2007.
Sebelum jambatan yang merintasi Sungai Merbok dibina pada pertengahan tahun 1990 an, jalan ke Pekan Semeling dari Sungai Petani ialah melalui pekan Bedong. Perjalanan ketika itu mengambil masa lebih dari 45 minit dengan kereta bebanding kurang dari 10 minit sekarang. Pekan Semeling terletak  lebih kurang setengah kilometer kedalam dari jalan utama (jalan lama) Bedong ke Merbok. Boleh dibayangkan ketika itu Pekan Semeling tidak dikunjungi oleh orang yang melalui jal;an tersebut.
Keadaan berubah bila jambatan Sungai Merbok siap. Kenderaan menuju ke Merbok, Singkir dan seterusnya ke Tanjung Dawai atau Ke Yan dan Alor Setar akan melalui pekan ini.  Jarak  perjalanan dipendekkan lebih dari 20 km. Oleh kerana satu satunya jalan ialah melalui tengah pekan ini dan jalan ini agak sempit, lebih lagi dengan kenderaan yang diletakkan di kiri dan kanan jalan, keadaan akan menjadi sesak pada waktu pagi dan petang semasa orang pergi dan balik kerja.
Terdapat kurang dari 50 unit kedai di pekan ini, separuh dari bilangan ini adalah kedai pre-war yang dibina sebelum tahun 1960an dan yang selebihnya kedai yang baru dibina. Kebanyakkan adalah yang dipunyai oleh Masyarakat Cina, hanya terdapat satu atau dua kedai kepunyaan orang Melayu yang menjual makanan. Seperti pekan kecil yang lain, kedai kedai disini menjual barangan keperluan harian untuk penduduk tempatan. Kini terdapat satu klinik persendirian yang baru dibuka.
Di tengah pekan terdapat satu tokong orang cina. Tokong tersebut agak besar dan agak menarik. Disebelah pagi didapati ramai pengunjung. Sebuah Masjid terletak di hujung pekan ini. Sekolah kebangsaan Cina yang kecil cukup untuk menampung bilangan penduduk cina di pekan ini terletak selepas masjid, manakala sekolah Kebangsaan Semeling selepas simpang dan berhadapan dengan jalan utama Bedong-Merbok.
Kawasan Semeling mempunyai beberapa Taman Perumahan yang terletak di belakang pekan. Sekitar pekan ini terdapat banyak perkampongan orang Melayu.
Kemajuan yang paling ketara ialah terdapat dua institusi Pengajian Tinggi dan satu kolej berhampiran dengan pekan Semeling ini. Universiti Instutute Teknologi Mara (UiTM)  terletak hanya dua kilometer dari pekan di jalan menghala ke Merbok. Manakala Asian Institute of Medical Science and Technology, AIMST terletak lebih kurnag tiga kilometer di jalan menghala ke Bedong. Maktab Rendah Sain Mara pula terletak lebih 5 kilometer di belakang UiTM di jalan menghala ke Segantang Garam.
Namun kehadiran pusat-pusat pengajian ini tidak membangunkan pekan kecil ini. Jalan baru yang lebih besar dari Bedong ke Merbok memburukkan keadaan. Tiada lagi kenderaan yang melalui pekan ini, tiada lagi kesesakkan sebelah pagi atau petang yang dialami, tiada hiruk pikuk bunyi enjin dan hon yang dibunyikan dan peniaga tidak lagi sesibuk dahulu. Tiada pembinaan kedai baru, tidak lagi taman perumahan baru atau apa pembangunan dapat dirasai oleh penduduk tempatan.


Statistk kayuhan :
Mula :     0715 pagi
Tamat :    1945 pagi
Jarak :      42 km
Cuaca :    Nyaman
Jumlah peserta :  solo


Rabu, 27 Januari 2010

Bercuti ke Medan Indonesia

Sejak kelmarin badan aku tak selesa dan kepala rasa berat. Mula mula aku ingatkan badan letih kerana percutian di Medan Indonesia mulai hari Khamis 21 Jan hingga 24 Jan 2010. Semasa disana saya banyak merayau (berjalan kaki) merata pekan. Nyata badan rasa letih dan lemah kerana sudah lebih lima hari tidak membuat kayuhan. Ingin buat kayuhan sebelah petang tetapi sejak dua petang yang lalu hujan turun. Terbantut hasrat kayuhan.
Aku sentiasa membawa kamera digital kemana saja aku pergi di Kota Medan, manalah tau kalau ada gambar gambar yang menarik boleh di abadikan, terutama berkaitan dengan basikal dan khasnya basikal mountain atau road bike. Pelik juga kerana sepanjang empat hari di Medan,  tak nampak lansung kumpulan atau orang perseorangan mengayuh mountain atau road bikes. Pada mula aku ingatkan mungkin tidak rider di sebabkan pekan Medan yang memang sibuk dan sesak dengan kereta dan kenderaan lain. Kalau mengayuh basikal keliling bandar memang akan mendatangkan masalah dan sukar.
Pada hari Sabtu 23 Jan dan Ahad 24 Jan 2010, aku dan famili ke kawasan luar pekan Medan. Sepanjang perjalanan  aku sentiasa memerhatikan kalau ada orang mengayuh basikal. Selama empat atau lima jam perjalanan, tidak juga kelihatan sesiapa mengayuh basikal macam yang kita lihat di Malaysia, walaupun kedua dua hari tersebut adalah hari lipur (cuti). Teringat semasa aku datang dua tahun yang lepas pada tahun 2008, aku menyewa kereta untuk ke Parapat, Danau Toba. Sepanjang perjalan dari Medan ke Danau Toba melalui Pematang Siantar dan perjalanan pulang ke Medan melalui Kabanjahe dan Brastagi selama hampir 6 jam juga tidak kelihatan orang menaiki basikal. Aku bayangkan betapa seronoknya kerana keadaan jalan yang berliku-liku,  berbukit, pemandangan yang indah dan mengasyikan, dipenuhi pokok disepanjang jalan dan keadaan cuaca yang jauh lebih sejuk dan nyaman dari cuaca di Malaysia.
Sebaliknya terdapat ratusan (mungkin ribuan) basikal di Bandaraya Medan tetapi dalam bentuk lain. Kebanyakkan basikal dalam bentuk beca roda tiga digunakan sebagai punca pendapatan untuk menyara hidup keluarga. Bayangkan kalau pengayuh beca yang mencari rezeki dengan mengayuh beca dari mula matahari terbit hingga tengah malam diberi mountain atau road-bikes dan berkayuh bersama kita. Agaknya kita mungkin tidak berupaya untuk menandingi mereka dari segi kekuatan dan ketahanan.
Basikal yang diubahsuai juga menjadi satu sistem pengangkutan untuk membawa barangan perniagaan sebagai alternatif kepada lori atau pickup truk. Barangan akan dimuatkan dan dihantar menggunakan tenaga kayuhan. Aku agak terharu atas kegigihan mereka mencari rezeki halal.
Ada juga basikal yang digunakan sebagai kenderaan untuk pergi dari satu tempat kesatu tempat lain. Tetapi tidak banyak kelihatan. Lagi satu aku kagum ialah semasa aku berjalan terdapat satu jalan dimana sepanjang jalan tersebut terdapat semua kedai menjual barangan yang sama. Jalan tersebut menempatkan tidak kurang dari 20 unit kedai basikal besebelahan satu sama lain. Hakikatnya keadaan sebegini terdapat di merata bandar Medan. Kedai yang menjual barangan atau produk yang sama ditempatkan disatu kawasan.
Alangkah seronoknya kalau aku boleh bawa basikal aku kesini. Boleh aku jelajah seluruh kawasan Medan yang luas ini lebih jauh dan dapat melihat, menikmati dan mempelajari kehidupan rakyat disini. Mungkin satu hari nanti niat aku akan tercapai kerana basikal boleh dibawa melalui feri dari Pulau Pinang ke Belawan dan kemudian mengayuh ke Medan.
Aku tidak sabar untuk membuat kayuhan apabila kembali ke Malaysia nanti.


Sabtu, 16 Januari 2010

Pantai Merdeka

Bila aku keluar dari rumah tepat jam 7.00 pagi, hari masih gelap. Malang juga lampu cateye belakang tidak menyala kerana bateri lemah. Ingat aku tidak pernah tukar bateri sejak beli lebih kurang tiga tahun lepas. Risau juga bila melalui jalan yang agak gelap. Nasib baik juga kerana hari ini Sabtu dan tidak banyak kereta di jalan kerana cuti hujung minggu. Cuaca waktu pagi amat sejuk dan aku bernasib baik kerana memakai pakaian lengan panjang dan agak tebal. 
Aku sepatutnya menunggu di Taman Rhu, Sungai Petani tetapi geng yang hendak buat kayihan masih tidak telipon, jadi aku ambil keputusan untuk pergi ke Pinang Tunggal dan join mereka disana. Bila aku hampir sampai barulah aku terima talipon beritahu yang mereka akan bergerak sekarang. Semasa aku parking basikal entah macam mana basikal rebah. Patah screw untuk letak botol air dan pam angin. Tak kan lah aku nak tinggalkan botol air dengan perjalanan yang jauh. Member ajak aku ke kedai basikalnya untuk menggantikan screw yang patah.
Mula bertolak jam 7.45 pagi menuju ke Simpang Pinang Tunggal dan Jalan Butterworth-Alor Setar. Dari situ mengikuti jalan ke Pantai Merdeka melalui Pekan Tikam Batu. Disepanjang perjalanan ke Kota Kuala Muda kayuhan agak laju mencapai kelajuan 28km/j disesetengah tempat.  Dari Kota Kuala Muda kami mengambil jalan tengah ke Pantai Merdeka. Ada tiga jalan, yang pertama melalui tepi Masjid Kota Kuala Muda, yang kedua melalui depan sekolah Kota Kuala Muda dan yang ketiga melalui kampong tepi sungai terus ke Pulau Sayak dan kemudian belok ke kanan ke Pantai Merdeka.
Jalan yang kami ikuti dari Kota Kuala Muda tidak banyak kereta. Tetapi keseronokkan kami sekejap sahaja kerana berbelas belas biji lori angkut tanah juga mengikuti jalan tersebut untuk mengisi muatan tanah dari Bukit Pulau Sayak. Kayuhan sedikit terganggu kerana lori tanah ini tidak peduli sangat kepada kenderaan lain, lebih lagi kepada basikal. Walaupun kayuhan fasa ini kurang laju tetapi kami berjaya sampai ke Pantai Merdeka dalam tempoh kurang satu jam.
Ahli kayuhan sempat bergambar di mercu tanda 'Selamat Datang ke Pantai Merdeka' yang baru siap dipasang. Aku ingat hanya aku seorang yang berminat untuk mengabadikan kayuhan basikal hari ini melalui gambar, tetapi kemudian setiap orang mengeluarkan handphone untuk mengambil gambar beramai ramai. Kemudian kami terus ke gerai untuk berehat dan menghilangkan dahaga.
Tidak sampai pun sepuluh minit kami berehat sambil bersembang tentang perkara berkaitan dengan cadangan tempat kayuhan yang akan kami pergi, muncul seorang rider. Aku terus menjemput dia untuk menyertai kami minum. Dia memperkenalkan diri sebagai Ismail dari Kelab Cinta Sayang Sungai Petani dan akan menyambut hari jadi yang ke 65 dua bulan lagi. Aku kagum melihat raut wajah yang season dan bertenaga. Dia menerangkan sebelum mengayuh ke Pantai Merdeka dia berkayuh bersama isterinya yang kemudian berpatah balik. Dia menyandang beg dibelakang untuk botol air dan paip sedutan air ke depan.
Belum sempat memulakan perbualan kelihatan dua orang cyclist melalui jalan tempat kami minum. Aku juga melambaikan tangan menjemput mereka meyertai kami berehat. Aku terkejut juga kerana salah seorang dari mereka adalah kenalan lama yang tinggal di taman berhampiran dengan taman aku. Ibrahim seperti aku adalah bekas anggotan Tentera Laut Diraja Malaysia dan kini bekerja si Sharp Roxy yang terletak di Taman Industri Bakar Arang Sungai Petani. Kawannya bekerja di Maxis Sungai Petani dan tinggal si Taman Sejati Indah. Aku tak perasan namanya. Bezanya mereka berdua dengan kami ialah basikal yang digunakan. Mereka berdua menggunakan road-bike. Mereka membuat kayuhan ke Dewan Mellinium Kepala Batas, Pulau Pianng untuk menyertai kayuhan anjuran IPD Kepada Batas, tetapi kumpulan tersebut telah berlepas dan mereka terus ke Pantai Merdeka dimana kumpulan seramai 150 orang peserta kayuhan anjuran IPD akan berkumpul.
Seperti biasa bila pengayuh basikal berkumpul, perbualan akan berkisar kepada kayuhan, jambori yang baru lepas dan yang akan datang. Macam macam cerita yang aku dengar, jalan teruk lah, penganur tidak cekap, post tutup sebelum peserta habis sampai, tak cukup air dan makanan dan berbagai lagi perkara aku aku biasa dengar bila ada jambori seperti itu. Itu sebab lah aku tidak berapa berminat untuk menyertai mana kumpulan kayuhan yang besar. Aku lebih senang membuat kayuhan dalam kumpulan kecil seperti pagi ini dan kadang lebih seornok membuat kayuhan solo.
Kami meninggalkan mereka setelah membuat bayaran minuman untuk semua. Kami jadi host atau tuan rumah kerana sampai dahulu. Bertolah balik jam 9.30 pagi dan aku jangkakan akan sampai kerumah pada jam 10.30 pagi. Aku terpaksa balik awal kerana AJK Jiran Wanita KRT Taman Intan mengadakan dan menganjurkan memasak bubur Asyura. Sebagai Pengerusi KRT aku kena hadir untuk memeriahkan lagi aktiviti menyediakan bubur Asyura. Aktiviti tersebut dibuat bersama dengan Wanita UMNO Taman Intan.
Aku sampai di rumah pada jam 10.45 pagi, tersasar 15 minnit dari jangkaan. Salah satu sebab ialah semasa perjalanan balik angin bertiup agak kencang dan jalan juga agak sibuk. Kumpulan kayuhan pagi ini berjanji akan bersama membuat kayuhan. Antara tempat yang dirancang ialah Gunung Jerai, Cameron Highland, Bukit Frazier dan Perlis.




Statistik
  Mula :        7.00 pagi
  Tamat :       10.45 pagi
  Jarak :        66.2 KM
  Cuaca :       Cerah dan Panas. Anging Kencang pada lewat pagi
  Jalan :         Rata kecuali bukit sebelum Pantai Merdeka
  Pasukan :   Zaidi Ismail, Amran Mohd Noh, Dahlan Mohd Noh, aku dan seorang remaja (tidak ingat nama)

  

Jumaat, 15 Januari 2010

Frame GT terpakai

Hari ini Jumaat. Kebiasaan aku tak kayuh pada hari Jumaat kecuali kalau memang dah lama tak kayuh. Kalau kayuh pun, aku hadkan jarak dan masa supaya sampai kerumah jam 10.00 pagi. Tetapi hari ini aku nak relax aje. Mula syok juga duduk dirumah menghadap screen laptop aku, tengok forex. Setelah satu jam aku mula jadi boring sebab urusniaga hari ini tidak menjadi. Tidak tahu apa pasal matawang Yen jatuh begitu banyak berbanding dengan US Dollar. Aku tutup urusniaga selepas kerugian agak banyak ikut standard aku.
Aku start kereta dan keluar dari rumah, tanpa tujuan. Dalam perjalanan aku bercadang untuk ke rumah kawan sekayuhan. Aku pasti dia ada di rumah kerana waktu ini dia sudah balik dari kayuhan. Bila aku sampai di rumahnya, aku lihat dia sedang sibuk memasang basikal road-bike kepunyaan kawan kami. Road bike tu dibeli secondhand di Bagan (Butterworth) dengan harga lebih kurang RM400.00 sahaja. Murah ke.... road bike ini menggunakan steel frame. Sekarang ni nak bagi perelok dengan menukar barangan seperti tayar, brake, saddle dan lain lain.
Tuan punya basikal yang aku kenali bernama John (orang cina berugama Kritian) umur lebih kurang 45 tahun dan tinggal satu taman dengan aku. Dia sudah ada sebiji basikal mountain. Dia beli road-bike hanya untuk seronok sahaja kerana orang lain ada road-bike. Sebenarnya dia baru sahaja berjinak jinak dengan basikal lebih kurang enam bulan yang lalu, tetapi kini mampu atau dapat mengatasi orang lama dari segi endurance dan kelajuan kayuhan.
Aku kenal dia enam bulan lalu semasa aku berbual dengan Juan dihadapan rumah. Dia sedang berjogging. Kami bertegur sapa dan terus berbual. Dia menghidapi penyakit jantung dan doktor menasihatkan untuk melakukan senaman. Kami menasihati beliau untuk bersama mengayuh basikal sambil menceritakan kebaikan berbasikal, tempat dan laluan serta keseronokkan lain.
Aku tidak berapa yakin yang dia akan mengikut nasihat kami, selang dua hari aku terima kunjungan John dengan basikal mountain yang baru dibelinya. Sejak hari itu kami sering membuat kayuhan bersama. Pada mulanya kami buat kayuhan dekat sahaja tidak melebihi dua atau tiga puluh kilometer. Selepas dua bulan dia pula yang mengajak aku membuat kayuhan yang lebih jauh.
Perubahan ketara pada John selepas tiga bulan ialah dia nampak lebih bertenaga, lebih banyak bersembang dan lebih kelihatan gembira berbanding dengan sebelum berbasikal. Pada mula dia membeli basikal jenis Releigh Tourer (entry level) berharga RM900.00 dengan disc brake. Tak sampai dua minggu, dia mula komplain dan buat beberapa perubahan pada basikal tersebut. Aku secara berjenaka mengatakan kepadanya yang aku pasti dia akan membeli basikal lain selepas tiga bulan.
Masin juga mulut aku kerana tidak sampai bulan yang ketiga, dia mengajak aku ke kedai basikal di Pekan Lama Sungai Petani dan membeli frame GT secondhand berharga RM110.00, Dia menukar barangan dari basikal pertamanya dan dalam tempuh dua hari merasa bagitu seronok dengan basikal yang 'baru' dipasang. Kini enam bulan selepas aku berjaya mengajak dia berbasikal sudah pon memiliki roadbike. Aku teringin juga nak memiliki sebiji roadbike, tapi buat masa ni aku masih setia dengan Scott Reflex aku.
P.s. - Hari ini kawasan utara termasuk Sungai Petani mengalami gerhana matahari mulai jam 3.00petang hingga 5.45 petang. Aku cuba melihat gerhana matahari tersebut menggunakan takungan air, tetapi tidak berapa jelas. Aku tiada peralatan yang sesuai untuk melihat gerhana matahari hari ini. Aku telah beberapa kali melihat phenomena ini.


Khamis, 14 Januari 2010

Hujan petang .................

Petang ni aku buat kayuhan susulan mengikuti trek/route yang sama seperti hari sebelumnya. Bila mulakan kayuhan aku perasan yang cuaca kurang baik, terdapat banyak awan hitam yang agak tebal dan kemungkinan hujan akan turun. Aku bertekad untuk meneruskan juga kayuhan kerana sebelum ini banyak kali terjadi bila tak kayuh tidak jadi hujan, mungkin turun di tempat lain.
Dengan cuaca yang agak redup dan ketiadaan angin, kayuhan agak laju, melebihi avarage speed. Aku sangat bangga dan syok. Walaupun basikal Scot aku dah lebih lima tahun, masih mampu mencecah speed agak laju. Teringat aku minggu lepas semasa aku berada di Kangar Perlis, kenalan baru bernama Nizam yang mahu menjual basikal Jamis 15.5" bertanya berapa average speed selalu aku buat. Dia macam tak percaya bila aku kata average speed aku 24km/j, sebab walaupun usianya dekat 20 tahun muda dia hanya mampu setakat 15km/j. Salah satu sebab dia hendak jual basikal Mountain yang dibeli enam bulan lepas.
Tengah syok kayuh dan hanya baru 8 km dari rumah, hujan mulai turun. Aku terpaksa lajukan kayuhan untuk mencari tempat berteduh di gerai jualan tepi jalan sebelum jambatan Sungai Merbok. Aku tidak mahu basah kuyup pula nanti. Sebaik saja dapat tempat berteduh di salah sebuah gerai, hujan turun dengan lebat. Nasib baik tuan punya kedai sedang bersiap mengemas barang untuk balik kerumah. Tuan gerai berniaga 'satar ikan', tak perasan pula selama ini, walaupun aku kerap melalui jalan ini. Mungkin semasa aku lalu dia sudah habis buat jualan. Teringin juga aku nak merasa satar ikannya. Walaupun satar ikan ini berasal dari Terengganu, tetapi peniaga ini berasal dari Kelantan. Dia mula berniaga pada bulan November 2009 bila berhenti kerja.
Bila hujan reda, aku tidak meneruskan kayuhan seperti yang dirancang. Aku berpatah balik kerumah, kata orang muda sekarang, dah hilang steam. Semasa kayuhan balik, aku nampak dua rider berasingan disebelah jalan bertentangan. Angkat tangan je tanda satu geng. Tak kenal pon.

Statistik
   Mula :              5.45 petang
   Tamat :            6.30 petang
   Berhenti :         15 min (hujan)
   Jarak :             15 km
   Cuaca :            Redup dan hujan
   Jalan :              Landai
   Kayuhan :        Solo

P.s. semasa menaip entry blog ni dapat panggilan telepon dari salah seorang geng dari Pinang Tunggal, ajak buat kayuhan ke Pantai Merdeka pada hari Sabtu 16 Jan 2010, mula jam 7.30 pagi. Aku setuju untuk joint dan akan tunggu mereka di Taman Rhu.
       

Rabu, 13 Januari 2010

Nira Nipah

Bila aku sudah bersiap sedia untuk memulakan kayuhan, jam telah menunjukkan pukul 5.45 petang. Niat hati nak mulakan kayuhan awal sedikit, tetapi cuaca masih amat panas. Jadi terpaksa aku tunggu cuaca sejuk sedikit sebelum memulakan kayuhan. Tetapi bila memulakan kayuhan, angin pula bertuip agak kencang. Aku tekadkan jugak kerana sudah memang hendak buat kayuhan petang ini. Larat atau tidak, itu bergantung le. Mungkin aku kena gunakan tenaga yang lebih dan kelajuan yang pelahan sedikit dari biasa.
Aku becadang untuk mengikut jalan yang agak mencabar sedikit untuk menghilangkan rasa lengoh betis. Dengan masa lebih kurang 1 jam sebelum hari malam aku ikut jalan melalui pekan Semeling ke pekan Merbok. Kemudian berpatah balik melalui jalan baru.
Banyak juga kereta di jalan Lencongan Barat kerana waktu orang balik kerja. Aku risau juga bila nanti melalui jembatan Sungai Merbok ke pekan Semeling. Diatas jambatan tersebut jalan agak sempit. Agaknya pihak JKR tidak membuat kajian tepat semasa membina jembatan kerana sepatutnya jembatan tersebut di bina lebih luas atau dibina dua hala. Tak kisah lah, kena tempuh juga le jalan ni. Dengan angin yang agak kencang kelajuan kayuhan kurang sehingga 4km/j dari kelajuan biasa.
Seperti aku pernah catatkan, dahulu aku sering menukar gear atau speed bila melalui jalan yang agak berbukit seperti jalan dari pekan Semeling ke UiTM Merbok. Kelajuan masa dahulu kurang dari 15km/j. Sekarang mungkin dah biasa, aku tidak lagi perlu menukar gear rendah, kayuhan dengan top gear dan kelajuan purata 20km/j. Aku berharap stamina aku dapat dikekalkan sedemikian di masa depan. Jalan ini kurang kenderaan kerana pemandu lebih suka mengikuti jalan baru yang lebih lebar kecuali kenderaan yang datang dari arah Bidong.
Selepas UiTM aku masuk ke simpang mengikuti jalan ke Segantang Garam. Yang syoknye jalan ini ialah selepas pendakian 1:50 jalan sejauh 100 meter jalan menurun hingga ke traffic light MRSM Merbok. Aku melencong kekiri masuk  kejalan baru Merbok ke Semeling. Jalan ini rata sepanjang 8 km, aku dapat mencecah kelajuan 36km/j walau angin bertiup kencang. Sekali lagi hati tidak berapa selesa bila melalui jalan menghala ke jembatan Sungai Merbok kerana jalan yang agak sempit dan kenderaan yang agak banyak.
Selepas menyeberangi Sungai Merbok, aku berhenti di gerai tepi jalan untuk menghilangkan dahaga. Ada dua gerai disebelah kiri dan satu seberang jalan yang menjual air Nira Nipah dengan harga RM2.50. Aku berhenti di gerai hujung yang menjual air nira dengan harga RM2.00. Tuan punya memilih bungkusan sebelah bawah kerana lebih sejuk, katanya. Aku terus buka dan minum sampai habis. Walaupun rasa agak payau tetapi aku dah biasa minum air nira samada nira nipah, nira nyior atau nira kabung (atau dipanggil nira anau di Negeri Sembilan). Dua tahun yang lepas harga sebungkus air nira hanya RM1.50 sahaja. Semua penjual berkata nira yang dijual adalah nira Jerai dan pure, tidak dicampur. Entah betul entah tidak. 
Sebaik sahaja habis sebungkus air nira, aku terus mengayuhan balik, melanggar traffic light persimpangan Sungai Jagung. Maksud nya sepatutnya berhenti kerana lampu merah, tetapi aku redah aje kerana tiada kereta yang datang dari arah lampu hijau. Jangan Tiru Aksi Ini...... Ada lagi 8 km sebelum sampai kerumah dan waktu dah dekat pukul tujuh malam. Semasa melalui jalan Lencongan Barat, angin yang tadi bertuip kencang kini bertiup perlahan dan suhu mula menurun. Sampai dirumah sempat  lagi aku teguk 1 liter air. Esok mungkin aku ulangan lagi laluan ini.

Statistik :
   Mula  :  5.50 petang
   Tamat :  7.15 petang
   Berhenti : 10 minit 
   Jarak : 30 km
   Cuaca : Panas
   Jalan : mula berbukit kemudian mendatar
   Kayuhan : Solo
    

Khamis, 7 Januari 2010

Kolam Air Taman Kempas

Petang ini cuaca redup dan agak mendung. Sesuai juga untuk membuat kayuhan untuk menegang urat dan otot. Sebelum keluar buat kayuhan aku tutup semua akaun trading forex sebab keadaan pasaran yang agak tidak menentu pada masa ini iaitu pada awal tahun dan berita ekonomi Amerika yang agak tidak menentu. Takut semasa ketiadaan depan komputer, pasaran kearah lain. Dua tiga hari ni aku mengalami kerugiaan yang agak banyak.
Aku bercadang untuk buat kayuhan ke Bukit Taman Kempas.  Walaupun jarak tak berapa jauh iaitu 15 km saja, tetapi pendakian agak memenatkan. Boleh membuatkan otot kejang. Ketinggian bukit lebih kurang 90 meter dari aras laut. Di puncak bukit tersebut terletak dua kolam pengimbang air berkapasiti 4 juta gelen setiap satu yang menyimpan air di pam dari Loji Pembersihan Air Pinang Tunggal untuk dibekalkan ke kawasan Kuala Muda. Juga didalam kawasan kolam terdapat juga pemancar Celcom dan Maxis.
Pendakian bermula dari traffic light persimpangan Taman Seri Gedong dan Lencongan Barat menghala ke Pinang Tunggal. Kenderaan banyak berhenti di kedua dua belah jalan untuk membeli sayur sayur dan buah buahan di gerai yang dibuka dari pagi hingga ke malam. Pendakian ini sejauh 300 meter dengan kecerunan lebih kurang 10 darjah. Setelah memasuki simpang Taman Kempas Fasa 1, pendakian diteruskan sejauh 400 meter dengan kecuraman melebihi 20 darjah. Boleh rehatkan otot yang lenguh apabila jalan menurun sejauh 150 meter dan mendaki semula sejauh 150 meter. Kemudian jalan menurun semula untuk 200 meter dimana selepas itu pendakian bukit bermula. Untuk 200 meter pertama kecuraman melebihi 15 darjah dan untuk 300 meter terakhir kecuraman meningkat melebih 30 darjah. Disini kelajuan yang aku catatkan kurang dari 10km/j.
Sampai dipuncak bukit aku berehat sebentar. Pemandangan disini amatlah mengasyikkan. Di sebelah utara kelihatan Bandar Sungai Petani yang dipenuhi dengan kawasan perumahan dan kawasan komersial. Sebelah timur kelihatan banjaran bukit bukau yang merentangi dari utara ke selatan. Disebelah selatan pula kelihatan kawasab Seberang Perai Utara yang dipenuhi dengan saewah padai an akhir sekali disebelah barat kelihatan Pulau Pinang dan laut di sekitarnya.
Lokasi ini adalah salah satu lokasi favourite yang kerap aku lawati kalau aku buat kayuhan solo. Selain dari udara yang nyaman diatas bukit ini, pemandangan disini amat indah terutama sebelah petang apabila matahari akan terbenam.
Aku terpaksa turun menolak basikal di tempat yang paling curam kerana brek basikal tak berapa baik. Basikal aku masih menggunakan V-Brake bukan disc brake. Walaupun boleh tunggang semasa menurun tetapi aku takut kalau brake mengalami masalah. Pejalanan balik mengikuti jalan yang sama.

Statistik
   Mula :   5.45 petang
   Tamat :  6.40 petang
   Jarak :  15 km
   Keadaan : Jalan biasa dan bukit
   Cuaca :  Mendong
      

Rabu, 6 Januari 2010

Roadbikes ......

Dua tiga hari kebelakangan ini aku tidak dapat membuat kayuhan basikal. Cuaca tidak berapa bagus tapi hujan hanya sekejap sekejap sahaja.
Pagi tadi Juan datang kerumah jam 8.30 pagi. Pada mulanya aku ingat dia hendak ajak aku kayuh basikal, tetapi rupanya dia baru balik dari kayuhan solo pergi balik ke UiTM Semeling, lebih kurang 30 km. Dia nak tunjuk basikal 'baru'nya. Basikal roadbike yang dibawa tu bukanlah basikal baru tetapi basikal baru siap dipasang.  Mula mula dia beli frame steel dengan harga RM60.00, kemudian barang barang lain dibeli berperingkat peringkat hingga siap. Makan masa satu bulan juga. Cat kuning pun di sembur sendiri.
Ini yang aku kagum tentang member aku ni. Sejak kenal dan berkawan dengan dia, sudah berapa biji basikal di pasang cara ini. Bila tak puas hati, dia jual, kadangkala rugi pun tak mengapa. Pentingnya hati puas dan inilah cara menghabiskan masa. Untuk rekod beliau telah berumur 75 tahun tetapi masih aktif berbasikal. Tenaga dan staminanya kadangkala orang muda nak hambat pun susah. Setakat ini dia mempunyai lima biji basikal yang dikayuh secara bergilir gilir mengikut trek.
Aku tertarik juga dengan road bike yang diperaga dan bercita cita untuk memiliki satu dalam masa terdekat. Seronok juga bila membayangkan kayuhan melebihi 40km/j. Buat masa ini aku guna Scott yang boleh juga mencapai average 30km/j.
    

Ahad, 3 Januari 2010

Batu Lintang Tikam batu

Badan dah mula rasa tak berapa bertenaga sebab tidak buat kayuhan semenjak dua hari lepas. Walau dah agak lewat, aku kuatkan semangat  dan mulakan kayuhan pada 8.30 pagi. Disebabkan telah biasa, waktu ini aku agak lambat dan rasa lain macam je. Tu semua perasaan je, sebab kalau fikirkan tiada bezanya mula kayuhan pukul 6.30 atau pukul 9.00 pagi. Mungkin suasana dan cuaca sejuk dan panas je.
Dari Lencongan Barat aku ambil kearah selatan memasuki jalan Sungai Pasir terus ke persimpangan Batu Lintang. Tak banyak kenderaan kat jalan raya sebab hari ini adalah hari mula kesekolahan untuk Negeri Kedah. Disepanjang jalan tak banyak aktiviti yang aku perhatikan. Beberapa gerai jualan kueh dan nasi lemak lengang je. Mungkin pelanggan dah berkurangan sebab waktu dah dekat pukul 9.00 pagi.
Dari simpang Batu Lintang aku teruskan kayuhan ke arah Tikam Batu. Suasana nyaman, disebelah kanan jalan kelihatan sawah padi yang menghijau dan sebelah kiri jalan bukit. Laluan ini ada juga pendakian tetapi tidak berapa tinggi. Dulu bila mula mula berbasikal, terasa penat juga bila melalui jalan ini dan sering menukar gear tetapi sekarang ni dah tak perlu.
Bila sampai ke Pekan Tikam Batu, suasana kelihatan agak sibuk. Kelihatan banyak kenderaan dan orang yang ramai di tapak pasar pagi. Kedai kedai disepanjang jalan ke Kuala Muda/Pantai Merdeka baru dibuka dan kenderaan agak sibuk dan perlahan. Aku masih belum mengetahui asal usul nama pekan ini. Mungkin aku kena secara serius bertanya pada penduduk tempatan macam mana dapat nama ini. Kadangkala aku teringat cerita King Author, cerita lagenda orang Inggeris yang berjaya mencabut pedang yang tertanam didalam batu.
Terdapat beberapa sekolah disepanjang jalan yang memulakan hari persekolahan. Ramai juga ibu bapa kelihatan diperkarangan sekolah, tak tahu le untuk apa sebab pendaftaran telah dibuat sebelum sekolah dibuka.
Aku berpatah balik se Sungai Petani melalui jalan utama N1 Butterworh Alor Setar. Hairan juga tiada nampak rider lain. Apabila sampai ke Padang Temusu baru le aku nampak seorang rider 500 meter dihadapan. Aku pun lajukan kayuhan untuk mengejar. Agak kecewa juga bila dapat menghampirinya. Aku tengok basikal kira ok gak, semua lengkap. Penunggang siap dengan beg dibelakang, dah berumur, agak dalam lingkungan 45 tetapi menghisap rokok daun sambil mengayuh basikal. Pasal apa le jadi bagini. Ramai juga member aku yang hisap rokok, tapi mereka hisap rokok sebelum dan sesudah kayuhan. Aku bagi salam dan teruskan kayuhan memasuki semula mengikuti lencongan barat untuk balik kerumah.
Aku tertanya juga sama ada member aku, Ibrahim yang baru beli basikal semalam membuat kayuhan atau tidak.  

Statistik Kayuah :

Mula               : 8.30 pagi
Tamat             : 9.35 pagi
Jarak               : 24 km
Cuaca             : Nyaman
 

Sabtu, 2 Januari 2010

Kawan Beli Basikal Terpakai

Pukul 6.30 aku dah siap nak buat kayuhan. Tapi hari masih gelap lagi. Langit nampak cerah. nak mulakan kayuhan apabila terang sedikit, lepas jam 7.10 pagi. Sempat minum pagi.
Bila ambil basikal kat belakang  rumah, tengok langit di selubungi awan hitam. Dah ada rintik rintik hujan. Sementara tunggu samada nak kayuh atau tidak, buat pemeriksaan keatas basikal, check pressure tayar, bubuh sedikit minyak pada rantai dan check brake. Langit semakin gelap dan angin mula bertuip agak kencang. Terpaksa batalkan hasrat nak kayuh basikal hari ini.
Macam biasa le langit kembali cerah jam 8.00 pagi tapi aku dah tak mau nak kayuh, tunda niat esok pagi je.
Samasa melayari akhbar dalam internet handphone berbunyi. Ibrahim ajak pergi ke Kangar Perlis untuk beli basikal terpakai. Beliau dapat melalui 'Mudah.my'. Ibrahim baru nak berjinak jinak untuk mengayuh basikal. Aku sangat seronok kalau ada member yang berminat dan akan membantu dalam apa cara sekali pun. Aku setuju untuk pergi dengan beliau, sekurang-kuangnya memberikan sokongan moral dan pendapat  samada basikal tersebut sesuai atau tidak. Kami bertolak dari Sungai Petani jam 9.30 pagi menaiki Toyota Rush Ibrahim. Kawan baik Ibrahim, ASP Mohd Noor ikut sekali.
Sampai di Kangar lebih kurang jam 11.00 pagi. Nizam, tuanpunya basikal dah tunggu kami sebaik saja memasuki pekan Kangar. Nizam membawa kami ke rumahnya di Taman Firdaus lebih kurang 2 km dari pekan. Semasa memasuki taman perumahan ini aku teringat bahawa aku ada kat sini dua minggu lepas mencari rumah sewa untuk anak perempuan yang akan membuat latihan di Hospital Besar Kangar pada bulan Februari 2010 akan datang.
Mengikut tuan punya, basikal ni baru berusia enam bulan dan tidak pernah dikayuh jauh. Jenama 'Jamis'  lengkap dengan disc brake, 7 speed, cat eye meter, helmet, tail light dan tripod. Cuma masalahnya basikal ini berukuran 15.5 inci, tak berapa sesuai dengan pengayuh yang mempunyai ketinggian melebihi 165 cm. Nizam berkata dah ramai orang datang tengok tapi semua tak jadi beli sebab rendah. Namun basikal ini sesuai dengan Ibrahin kerana ketinggi beliau kurang dari 6 kaki 5 inci. Mohd Noor sempat membuat kayuhan ke penghujung taman dan sangat berpuas hati dengan basikal tersebut.

Harga yang ditawarkan adalah sebanyak RM1,100.00. Mengikut Nizam beliau membeli basikal tersebut ada harga RM1,780.00. Kira patut le tu. Kami kemudian ke bank untuk mengeluarkan wang bayaran. Dapat discount sebanyak RM100.00. Setelah urusniaga selesai sempat juga aku minta tolong Nizam kalau ada member nak sewakan rumah. Beliau akan menghubungi member dan akan beritahu kemudian.
Mohd Noor ada  member kat Perlis ini. Orang Sungai Petani tapi mengajar di Kangar sejak 20 tahun lalu. Aku bertanya pada  Cik Azam kalau ada rumah sewa disini. Beliau berjanji akan menolong dan nampak bersungguh sungguh. Cik Azam membuat sekurang  kurang tiga panggilan bertanya tentang rumah sewa pada rakan dan kenalan di sekitar Kangar. Sebelum bertolak balik ke Sungai Petani sempat minum dengan Cik Azam  di restoren Nasi Kandar Ismail.
Semasa balik ikut jalan Arau kemudian ke Sanglang. Sampai di Pekan Alor Sungai terus mengikuti jalan Kuala Kedah. Kemudian memasuki jalan Batang Paip ke Yan. Sampai di Yan Kecil singgah di kedai basikal kerana Ibrahim hendak beli sarung tangan dan tempat letak botol air. Harga barang di kedai ini agak murah kerana kedai lama dan kos overhead yang rendah. Sekarang yang kurang atau tiada ialah pakaian atau apperal untuk kayuhan. Itu boleh beli kemudian. Buat permulaan pakai track suit pun boleh.
Semasa melalui jalan Semeling Merbuk, singgah untuk makan mee rebus digerai hadapan MRSM Merbuk jalan ke Segantang Garam.
Oh lupa nak cerita, walaupun kereta Toyota Rush dilengkapi dengan GPS, tapi Mohd Noor  bawa GPS yang baru dibeli dengan harga RM300.00. Semasa memandu Ibrahim dan Mohd Noor sibuk membuat perbandingan GPS mereka.
Ambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Ibrahim  kerana membuat keputusan yang bijak memilih aktiviti kayuhan basikal untuk beriyadah dan bersenam. Semoga akan terus berkayuh dan akan dapat bersama dengan member lain meredah jalan raya, bukit bukau, lembah dan sungai demi kesihatan.

Jumaat, 1 Januari 2010

SELAMAT TAHUN BARU 2010 - Permulaan Blog

SELAMAT TAHUN BARU 2010 kepada semua. Ini azam tahun 2010. Telah lama merancang untuk membuat blog ini, bermula pada pertengahan  tahun 2009. Idea buat blog ini datang apabila salah seorang rakan kerja semasa aku berkhidmat di syarikat air di Alor Setar.  Dia mencadangkan kepada aku membuat catatan dan rekod aktiviti kayuhan basikal yang dilakukan. 
Kandungan blog ini lebih kepada bila kayuhan dibuat, kemana, berapa jarak kayuhan, pemerhatian sepanjang kayuhan, mempromosi  tempat tersebut, sejarah, masalah dan pelbagai pekara lain.
Bukanlah niat aku hendak menyaingi blogger blogger MTB lain  yang  telah lama bergiat aktif dalam blogging, malah blog mereka dijadikan inspirasi dan rujukan kepada blog ini.
Blog ini hanyalah dijadikan sebagai catatan dan rekod untuk rujukan di masa depan. Ia mungkin berlainan dari blog MTB, cara aku sendiri. Aku tidak pentingkan iternari, watak atau penunggang basikal, laluan, topo, gradient, bukit, sungai, lurah, makanan, minuman semasa kayuhan, siapa yang ada, dan sebagainya. Aku lebih pentingkan isi artikel, perasaan, emosi, pengalaman, pengajaran, dan yang lebih penting kesoronokkan dan faedah berbasikal.Pada peringkat awal gambar gambar agak berkurangan. Walaupun orang kata sekeping  gambar menulis/mencatatkan seribu perkataan, 'a picture paint a thousand word'. Ramai yang berkata kalau ada gambar akan lebih menarik cerita dan artikel. Pendapat aku pulak lain, biarlah pembaca sendiri menggambarkan dan membayangkan cerita mengikut kehendak masing-masing. Mungkin ia akan lebih menarik lagi. 
Walau apa pun aku mengucapkan terima kasih kepada pengunjung dan pelawat blog ini. Yang baik dan pekanan dihati jadikan tauladan, perkara yang tidak elok dan tidak bekenan, abaikan sahaja. 
Aku tidak mengharapkan sebarang komen atau ulasan.