Halaman

Jumaat, 31 Disember 2010

Kayuhan Akhir 2010

.
Hari ini hari terakhir tahun 2010 dan di istiharkan cuti umum sempena kemenangan pasukan bolasepak kebangsaan pada piala AFF Suzuki 2010. Aku juga sama bergembira dan berbangga dengan pencapaian pasukan 'Harimau Malaya' yang belum pernah memenangi piala tersebut sejak mula dipertandingkan pada 1996. Pasukan Harimau Malaya menang ke atas pasukan Indonesia dengan aggregate 4 - 2, iaitu setelah menang di Kuala Lumpur 3-0 pada 26 Disember 2010, manakala kalah di Jakarta 1-2 pada 29 Disember 2010. Walaupun kita patut meraikan kemenangan tersebut tetapi untuk diberi cuti umum..... .

"We sound like a desperate footballing nation clutching on to a small trophy and declaring it a blue ribbon. To outsiders looking in, we must appear a laughing stock. " dari Malaysia Today - 02 Jan 2011. Komen mengenai pengistiharan cuti sempena kemenangan bolasepak AFF Suzuki.

Hampir 10 hari aku tidak membuat 'kayuhan' kerana kesibukan. Minggu lepas aku menghadiri kursus selama tiga hari di Alor Setar manakala minggu ini aku ke Taiping selama tiga hari termasuk  perjalanan.
Cuaca yang kurang baik juga menghalang kayuhan, musim hujan masih belum berhenti dan negeri di pantai Timur dilanda banjir. Walau begitu sempat juga melepaskan gian dengan membuat kayuhan pendek kurang dari 15 km bila mendapat peluang dan bila cuaca mengizinkan untuk menghilangkan rasa lenguh badan.
Ketika memasuki jalan Bedong - Merbok, seorang rider muda mengajak aku ke Tupah. Niat asal aku ialah Tanjung Dawai. Aku layan juga lah memandangkan aku masih belum mendapat stamina setalah berehat agak lama. Dia berkayuh dari Taman Peruda Sungai Petani.
Member baru sahaja membeli basikal dan baru berjinak jinak. Laluan ini menjadi trek biasanya setiap hujung minggu kerana ia menyediakan laluan lanai dan berbukit. Bila ditanya kenapa tidak berkayuh  ditempat lain dia mengatakan belum ada geng dan masih belum bersedia dari segi fizikal.  Pinjam perkataan yang digunakan, masih belum 'khatam'. Aku hairan basikal 'Gaint' yang dipesan mengambil masa tiga bulan sebelum diterima. Rupanya saiz frame 20" yang digunakan amat kurang dijual dinegara kita dan perlu special order. Saiz kasutnya 12 (49) juga sukar diperolehi di sini.
Kami berehat sebentar sebelum turun untuk breakfast di gerai di hadapan simpang jalan ke Tupah. Kami berjumpa dengan tiga orang rider dari Taman Laguna Merbok yang berhenti minum sebelum naik ke rekreasi Tupah. Kemesraan adalah intanteneous walaupun belum pernah berjumpa atau bekenalan sebelum ini, hingga tidak memberi peluang aku membayar minuman yang dipesan. Mereka membeli makanan dan minuman untuk berkelah dan mandi manda di taman rekreasi Tupah.
Ketiga rider yang baru aku kenal baru mula atau memulakan semula aktivti berbasikal selepas berhenti agak lama. Bezanya mereka semua menggunakan basikal terkini dan 'high end'.  Sempat juga menceritakan pengalaman membeli alatganti (parts) menggunakan internet.  Lebih selamat membeli dari kedai basikal walaupun mahal sedikit. Mereka terkejut apabila aku mengatakan basikal 'Scott' aku berusia lebih enam tahun.
Kami bertukar nombor telepon dan berjanji akan berhubung untuk membuat kayuhan. Aku mengayuh pulang sementara mereka terus ke rekreasi Tupah.

Statistik :

   Mula ................. 7.30 pagi
   Tamat ............... 10.05
   Jarak ................. 42 km
   Cuaca ................ redup
   Laluan ............... Lencongan Barat - Semeling - Tupah

.

Sabtu, 18 Disember 2010

Merbok Kayak Challenge 2010

.
Sabtu 18 Disember 2010
Hujan turun renyai renyai semasa aku memulakan perjalan dari rumah ke Jeti Semeling bersama Cikgu Ong untuk menyertai kayuhan 'Merbok Kayak Challenge 2010'. Ini adalah program yang pertama diadakan pada skala sebegini besar yang melibatkan lebih 200 orang peserta di Negeri Kedah dan juga di Malaysia. Sambutan yang terima amatlah menggalakkan. Di saat saat akhir ramai yang memohon untuk menyertai tetapi terpaksa ditolak kerana masalah logistik seperti bilangan kayak dan makanan.
Idea untuk menganjurkan aktiviti ini adalah dari kejayaan jamboree basikal lasak (mountain bikes) yang diadakan dengan agak kerap. Sebagai percubaan, Persatuan Kenu Negeri Kedah bersama dengan  Kementerian Pelancongan Negeri Kedah dan Universiti Utara Malaysia  menganjurkan  kayuhan kayak Sungai Merbok sebagai langkah mnempromosi pelancongan eco-tourism Sungai Merbok dan kawasan perkelahan Pantai Merdeka. Juga untuk memperkenalkan semula aktiviti ini kepada masyarakat selain sebagai riyadah yang amat berfaedah.
Peserta bukan hanya datang dari Kedah tetapi dari Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Antara pasukan yang mengambil bahagian ialah UUM, Kelab Kayak Kedah, Kelab Kayak Jitra, SPCT, PKK Pulau Pinang, MPPJ, Felda Teloi, Bukit Hijau, Pinang Tunggal dan individual. Peserta lelaki dan perempuan terdiri dari semua peringkat umur, peserta paling muda berumur 11 tahun (darjah 5) manakala yang paling tua berumur 64 tahun tetapi kebanyakkan berusia 20 hingga 40 tahun.
Kayak yang digunakan kesemuanya jenis plastic samada single (10%) atau double seater (90%) dan terdapat berbagai jenis kayak yang aku sendiri tidak mengingatinya. Hairan juga kerana tidak terdapat satu pun kayak fibre.
Walaupun peserta dilepaskan satu jam lewat dari masa yang dirancang tetapi ia tidak mematah semangat peserta. Semua peserta amat teruja dan tidak sabar untuk memulakan cabaran. Semasa taklimat yang diadakan di Pantai Merdeka Beach Resort pada malam sebelumnya, peserta diberitahu program ini bukanlah untuk berlumba tetapi kayuhan santai sambil menikmati pemandangan disepanjang Sungai Merbok. Walau begitu kepada 40 orang peserta yang sampai dahulu akan diberikan hadiah sebagai insentif. Kepada yang lain yang berjaya menghabiskan kayuhan akan diberikan medal dan sijil penyertaan.
Diucapkan tahniah kepada penganjur kerana berjaya menganjurkan aktiviti ini. Walaupun terdapat beberapa kekurangan kecil seperti kelewatan bermula, ianya hanyalah sebagai satu titik untuk ditambahbaik ditambah dimasa akan datang. Oleh kerana kejayaan program ini penganjur berjanji akan mengadakan atau menjadi ianya sebagai acara tahunan. Semoga lebih ramai berpeluang menyertainya. Juga diucapkan tahniah dan terima kasih kepada urusetia dari UUM, agensi kerajaan seperti PDRM, PGA, Bomba, MPSPK, Merdeka Beach Resort dan lain lain yang memberikan  kerjasama dan sokongan menjayakan aktiviti ini.






Statistik :

   Mula .............. 10.00 pagi
   Tamat ............. 12.30 tengah hari
   Jarak .............. 18 km
   Cuaca ............. Redup
   Laluan ............ Jeti Semeling, Sungai Merbok - Pantai Merdeka

.

Rabu, 15 Disember 2010

Kayuh ......... bukan kayuh basikal

.
Misi : membawa 32 unit kayak bersama pengayuh dan jaket keselamatan yang disimpan dalam setor di Telok Nipah ke Jeti Laguna Merbok menggunakan jalan air untuk program Merbok Kayak Challenge pada Sabtu 18 Disember 2010.
Jarak : 21 km melalui jalan sungai
Anggaran tempoh : 4 ~ 5 jam
Mula : 10.45 pagi
Cuaca : Panas terik
Pit Stop : Teluk Bayu
Keadaan Sungai : melawan arus. Air surut.
Cuma hanya ada 15 orang yang akan mengayuh mudek Sungai Merbok menggunakan kayak double seater dan single seater. Bermakna hanya 7 unit kayak yang akan dikayuh atau didayung, baki sebanyak 26 unit yang lain ditarik menggunakan tiga biji boat.
Bagi mereka yang akan mengambil bahagian dalam program itu nanti, ini adalah peluang terbaik untuk berlatih dan membiasakan diri dengan keadaan sungai. Aku pasti kebanyakkan dari 200 peserta yang akan mengambil belum pernah berkayak di sungai ini termasuk aku sendiri.
Kami sepatutnya berada di Teluk Nipah sebelum jam 9.00 pagi dan akan memulakan kayuhan sebaik siap membawa keluar kayak dari setor. Tetapi adalah perubahan jadual dan penganjur mengadakan taklimat kecil di Laguna Merbok.
Aku dan Cikgu Ong memulakan kayuhan peringkat pertama dari Teluk Nipah ke Chalet Teluk Bayu  sejauh 10 km lebih awal dari yang lain kerana ini adalah kayuhan pertama bagi Cikgu Ong  dan  pula sudah hampir empat tahun tidak berkayak. Lagi pun kami berdua adalah peserta tertua dalam kumpulan ini. Agak lama juga masa yang diambil untuk menyesuaikan diri dan mempelajari semula tektik kayuhan.
Kayuhan kami agak perlahan berbanding dengan yang lain, walaupun kami berdua mempunyai stamina. Faktor yang membuatkan kami perlahan ialah kerana kamu menikmati persekitaran sungai, tebing kedua belah sungai yang dipenuhi dengan hutan bakau serta aktiviti lain termasuk aktiviti nelayan. Difahamkan hutan bakau disini adalah salah satu yang tertua didunia.
Berhenti rehat setelah dua jam berkayuh di Chalet Teluk Bayu. Hanya terdapat satu gerai makanan disana sehinggakan gerai tersebut kehabisan nasi dan lauk. Terpaksa memasak lain. Bernasib baik kerana ada buah-buahan dan dapat mengalas perut sementara menunggu nasi masak. Sementara itu  ketiga tiga bot yang  menunda kayak kayak berlalu. Kayuhan peringkat kedua dari Teluk Bayu ke Jeti Semeling sejauh 12 km bermula pada jam 1.45 tengah hari.
Kayak aku dan Cikgu Ong yang paling terakhir sampai. Kami rasa bersalah kerana membuatkan yang lain terpaksa menunggu  kami  di Jeti Semeling sebelum kayuhan peringkat akhir sejauh 3 km ke Jeti Laguna Merbok. Semua yang ada sangat understanding terhadap kami dan faham usia kami berdua. Kata kata galakkan dan peransang dari mereka amat kami hargai. Apa tidaknya, kami berjaya menghabiskan kayuhan tersebut walaupun tidak lagi mahu menghabiskan ke Jeti Laguna.
Oleh kerana kereta yang kami tumpang ditinggalkan di Teluk Nipah, kami terpaksa berpatah semula menggunakan kereta lain. Kerana keletihan kami memohon untuk tidak ikut serta. Kami ingin terus pulang kerumah. Cikgu Ong menelipon seorang rakan kami untuk datang ke Jeti Semeling dan membawa kami pulang.
Walaupun letih kami amat berpuas hati dan seronok dengan pengalaman berkayak ini. Aku bercadang untuk membawa pulang kayak yang aku beli pada tahun 2003 dahulu yang kini disimpan ditempat aku bekerja dahulu. Selepas ini aku akan gunakan untuk membuat kayuhan sendiri di Sungai Merbok ini kerana aku tidak lagi merasa takut untuk berkayuh bersendirian.
Tidak sabar untuk menunggu hari kayuhan pada 18 Disember nanti.

Selasa, 14 Disember 2010

Jogging Bukit Taman Semarak

.
Walaupun cuaca pagi ini nampak Ok tetapi aku rasa macam merajuk untuk membuat kayuhan, takut takut hujan turun. Sejak hari Sabtu tiga hari lepas hujan turun setiap pagi. Hari ini hujan turun dengan lebat pada  jam 4.00 pagi.
Bukit Taman Semarak - dari Sungai Merbok
Out of frustration aku bercadang untuk berjogging mendaki Bukit Taman Semarak. Isteri aku sudah keluar lebih awal berjogging dengan rakannya disekitar rumah kami. Mereka berjalan kaki tiga empat kilometer dan akan singgah dipasar membeli sayuran untuk dimasak tengah hari nanti. Ok jugalah macam itu. Lebih elok daripada memandu ke pasar yang letaknya tidak sampai satu kilometer dari rumah. 
Pada permulaan pendakian jalan amat lecak, dipenuhi air hujan yang masih belum kering. Ada orang yang meletakkan karpet lama dan papan kadboard yang tidak lagi digunakan menutup jalan yang dipenuhi lumpur dan air. Murni sungguh usaha dan perbuatan mereka. Seterusnya jalan tanah merah menuju ke puncak bukit amat lembab dan licin. Terpaksa berhati hati, jangan tergelincir dan jatuh.
Aku berpakaian casual sungguh semasa membuat pendakian. Aku gunakan kemeja yang dipakai hari sebelumnya kerana aku hanya memakai tidak lebih pada setengah jam. Masih bersih dan tidak berbau. Selalunya aku memakai T-shirt tanpa atau berkola. Pada pertengahan jalan aku mendengar suara yang aku kenali iaitu Cikgu Ong Ai Wei yang tinggal tidak berapa jauh dari rumah aku. Dia telah lama pencen dan kini berusia 64 tahun. Isteri telah meninggal hampir sepuloh tahun lalu kerana dan kanser (kalau aku tidak silap) dan membujang hingga  kini.
Cikgu Ong Ai Wei
Semenjak aku mengenali Cikgu Ong hampir dua puloh  tahun lalu, dia sudah pun melakukan aktiviti berjogging di Bukit Taman Semarak ini hinggalah sekarang. Walaupun dimusim hujan ini pun dia akan tetap kesana tanpa gagal. 
Kami sempat berbual selama 10 minit sebelum meneruskan pendakian dan dia pula menuruni bukit. Antara topik pasal musim hujan sekarang, jalan yang licin dan menggunakan pakaian dan kasut yang sesuai. Menurutnya beberapa hari yang lepas dia dan beberapa orang ahli HHH (Hatch Harrier House) mencari trek yang sesuai di atas bukit. Keadaan bukit yang basah menyebabkan ahli HHH tersebut tergelincir dan terjatuh. Tetapi Cikgu Ong tidak langsung menghadapi sebarang kesulitan meredah bukit dan hutan. Apa yang penting ialah kasut yang digunakan bersesuaian dengan keadaan. Cikgu Ong hanya menggunakan kasut buatan Cina yang berharga RM14.00 manakalan ahli HHH tersebut menggunakan kasut berjenama yang menjangkau harga melebihi seratus ringgit. Tapak kasut buatan Cina lebih lembut dan fleksibel manakalan kasut yang dipakai oleh ahli HHH tebal dan keras. Tidak sesuai untuk mendaki bukit.
Sebenarnya aku telah membaca blog Cikgu Ong mengenai kasut yang dipakai beberapa hari yang lepas. Dia begitu teliti dalam penulisan dan aku banyak belajar tentang berbagai hal dengan membaca blog tulisannya. Bagi mereka yang  berminat  bolehlah melayari  blog Cikgu Ong pada  'http://ourpreciouschildrenandus.blogspot.com/'. Baju dan seluar tidak penting tetapi kasut hendaklah yang bersesuaian dengan keadaan. Kasut yang aku gunakan lebih kurang sama dengan yang dipakai oleh Cikgu Ong.
Sebelum kami meneruskan haluan masing masing aku sempat mempelawa Cikgu Ong untuk bersama membuat kayuhan kayak dari Pantai Merdeka ke Jambatan Semeling esok 15 Disember 2010. Kayahan tersebut untuk membawa kayak ke Jeti Semeling untuk program 'Merbok Kayak Challenge' anjuran Pelancongan Kedah dan UUM pada hari Sabtu 18 Disember 2010. Aku akan menyertai kayuhan kayak ini kerana sudah lama aku idamkan untuk meneroka laluan ini dengan kayak tetapi tidak berani berseorangan. Ini adalah peluang terbaik aku untuk mencapai hasrat aku selama ini. Mungkin selepas ini aku akan berani membuat kayuhan bersendirian.
Aku amat teruja dan rasa tidak sabar untuk aktiviti ini.
.

Ahad, 12 Disember 2010

Masih Musim Hujan

.
Sungai Merbok di hilir jambatan Semeling
Musim hujan pada tahun ini berlarutan sehingga sekarang iaitu pertengahan bulan Disember.  Mungkin keadaan begini akan berlarutan sehingga bulan Januari 2011. Kebiasaannya sekarang ini musim panas yang bermula pada akhir bulan Oktober hinggalah bulan March dimana berlaku peningkatan suhu menjangkau normal dan berlaku musim kemarau. Air sungai akan berkurangan sehingga mendatangkan masalah kepada petani dan bekalan air minuman.
Setiap pagi dua tiga hari yang lalu aku bersedia untuk membuat kayuhan, tetapi terpaksa membatalkan kerana hujan. Rasa kecewa juga. Jika cuaca cerah sedikit disebelah petang aku akan berjogging di Bukit Taman Semarak supaya badan sentiasa dalam keadaan sihat. 
Petang tadi cuaca agak cerah selepas jam 5.00 petang. Serba salah dibuatnya kerana ada 'Sunday Matinee' yang menarik ditayangkan di RTM2 dan rancangan kegemaran aku 'Top Gear' di saluran NTV7. Atas dasar kesihatan, aku kuatkan tekad dan tinggalkan semua itu untuk membuat kayuhan petang. Kebelakangan ini memang jarang membuat kayuhan sebelah petang. Rasa janggal pula. Kayuhan sebelah pagi agak berbeza dengan kayuhan petang. Tidak perlu risau walaupun kayuhan jauh kerana mempunyai banyak masa berbanding dengan kayuhan petang dimana terpaksa membuat kayuhan malam jika lambat pulang.
Tidak pergi jauh petang ini hanya setakat 20km sahaja. Apabila sampai dipersimpagan sebelum jambatan Semeling, aku melihat semua kereta yang tadi dipandu laju berhenti. Mesti ada kemalangan dihadapan. Aku tidak nampak dimana kemalangan tersebut, mungkin diatas jambatan atau dihadapan. Aku tidak peduli dan meneruskan kayuhan menuju ke Laguna Merbok dan membuat pusingan sebelum Tol Plus Sungai Petani Utara.
Memang menjadi tabii orang kita untuk memperlahankan kereta atau berhenti jika ada kemalangan atau pelanggaran. Mereka ingin melihat dan megambil tahu kejadian tersebut, hanya setengah sahaja yang berhenti untuk menolong. Kalau dulu dulu sesetengah mereka berhenti untuk mengambil no pendaftaran kenderaan yang berlanggar atau maklumat lain agar dapat diterjemahkan dan ditafsirkan menjadi 'nombor ekor'. Nak kaya cepat. Rasanya perkara ini masih berlaku sekarang. Tidak kurang juga mereka yang mencari bahan cerita untuk teman dan kawan kawan. Yang lain hanya mahu menyibuk dan meramaikan. Curiousity. Semua tindakan ini hanya mendatangkan masalah kepada pemandu dan kenderaan lain yang mungkin perlu kedestinasi kerana pelbagai urusan.
Keadaan masih belum pulih dan bertambah teruk semasa aku melalui lokasi dalam perjalan pulang. Hati teringin juga untuk ke lokasi untuk melihat apa sebenarnya berlaku. Dengan basikal aku akan ketempat tersebut dengan senang. Aku bertindak professional dan tidak mengikut rasa hati. Aku teruskan kayuhan pulang kerumah.

Statistik :

   Mula ............. 5.40 petang
   Tamat ............ 6.25 petang
   Jarak ............. 20.65 km
   Cuaca ............ terang
   Laluan ........... Lencongan Barat
.

Khamis, 9 Disember 2010

Selamat Hari Jadi

.
Terima kasih kepada rakan rakan yang mengucapkan selamat hari jadi kepada aku melalui e-mail dan facebooks. Biasanya aku tidak ambil pusing sangat pasal tarikh lahir sendiri, keluarga atau rakan rakan. Aku ada alasan aku sendiri.
Tetapi kelmarin semasa melayari internet aku mendapat tahu bahawa 09 December setiap tahun adalah 'International Anti-Corruption Day'. Aku berasa amat berbangga kerana ianya jatuh pada tarikh yang sama dengan tarikh lahir aku.


Anti-Corruption Day is an annual event promoted by the United Nations. The goal of Anti-Corruption Day is to raise awareness about corruption and related issues, and to show people how they can fight corruption in their communities and governments. The United Nations passed a resolution to create Anti-Corruption Day in 2003. The convention was fully ratified two years later, in 2005, and it includes far-reaching commitments from signatory nations to fight corruption.

.

Selasa, 7 Disember 2010

Kayuhan Dalam Hujan

Salam Maal Hijrah 1432 kepada
semua bikers.
"Bila kali terakhir berkayuh dalam hujan?" Soalan dari seorang rakan semasa berkayuh pagi tadi.
"Semasa kayuhan Langkawi pada bulan April 2008. Sebaik feri sampai di jeti Kuah lebih kurang jam 12.00 tengah hari, hujan turun dengan lebatnya. Kerana tidak mahu melengahkan masa di jeti kami berkayuh ke Pekan Kuah untuk makan tengah hari dan solat. Kemudian terus ke Perdana Beach Resort tempat penginapan. Sepanjang jalan menuju ke resort hujan turun dengan lebat tidak henti sampai ke senja".
Aku cuba mengingati kayuhan di Langkawi bersama geng dari Jitra pada April 2008. Kami berada disana 3 hari 2 malam. Memang seronok dan menjadi satu pengalaman yang sukar dilupakan. Walaupun dapat menjelajah kebanyakkan tempat menarik di pulau tersebut tetapi tidak sempat untuk membuat pendakian Gunung Raya. Kami berjanji untuk kembali ke Langkawi tetapi hingga kini dua tahun telah berlalu masih belum kesampaian.

Kayuhan Langkawi Apr 2008. Dalam kompleks Jeti Kuah.
Petang kelmarin Dahlan mengajak aku untuk membuat kayuhan ke Pantai Merdeka pada pagi ini. Dijangkakan ramai yang akan ikut serta kerana cuti umum awal Muharram 1432. Melihatkan keadaan cuaca pada jam 6.30 pagi, memang dijangkakan hujan akan turun. Walaupun lapuran kaji cuaca yang terdapat dalam laman 'Yahoo' mengatakan hujan akan turun disebelah pagi, aku teruskan juga kayuhan ke Taman Rhu untuk berjumpa rakan lain.
Sebaik memasuki Pekan Tikam Batu, kelihatan hujan telah mulai turun di Kuala Muda dan Pantai Merdeka. Tukar kepada 'Pelan B'. Semua bersetuju untuk membuat u-turn balik ke Sungai Petani melalui Bukit Berapit Sungai Pasir dan terus ke Rekreasi Tupah. Berhenti untuk mengisi perut di Taman Pengkalan Bujang kerana dua tiga orang masih belum bersarapan pagi. Sesuatu perkara yang tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh diamalkan.
Oh... terdapat ramai riders pagi ini dalam kumpulan kecil dan solo. Seronok kerana semua memberi tindakbalas bila ditegur, malah seorang pengayuh solo membuat pusingan dan menyertai kumpulan kami untuk kayuhan ke Tupah.
Tidak menghabiskan banyak masa untuk sarapan kerana keadaan cuaca yang tidak menentu. Sebaik sahaja kami keluar dari gerai makanan, hujan mulai turun. Mencari bus-stop berdekatan dengan simpang ke Batu Hampar untuk berteduh. Setelah hampir 1 jam berteduh dan tiada tanda hujan akan berhenti atau reda, semua bersetuju untuk meneruskan kayuhan ke rekreasi Tupah yang hanya 5 km dari tempat kami berteduh. Disini adventure kayuhan dalam hujan bermula.

Lepak di hentian bus. Menunggu hujan berhenti
Semasa berteduh kami sempat berkenalan dengan lebih rapat dengan En. Ahmad yang join kumpulan kami di simpang lampu isyarat Taman Pengkalan Bujang. En Ahmad tinggal di Laguna Merbuk berusia lebih kurang 40 tahun menggunakan basikal Merida dan selalu mebuat kayuhan solo atau kumpulan kecil. Dia mencari rakan untuk membuat kayuhan jarak jauh yang mengambil masa empat atau lima hari. Kami diajak menyertai konvoi berkayak dari Jeti Semeling ke Pantai Merdeka pada 18 Disember 2010 anjuran pelancongan Negeri Kedah dan Universiti Utara Malaysia. Dia memberi no handphone Cikgu Rahim  (Laguna Enterprise) untuk mendapatkan borong penyertaan. Esok 8 Dis. 2010 akan diadakan latihan berkayak di Telok Bayu ke Pantai Merdeka pergi balik. Dijangkakan seramai 80 orang peserta akan mengambil bahagian.
Kayuhan dalam hujan mengingatkan zaman kecil waktu masih bersekolah. Kebanyakkan pelajar menggunakan basikal untuk pergi balik kesekolah. Diwaktu musim hujan sebegini, selalunya tidak menunggu lama atau tidak menunggu hujan berhenti untuk pulang. Semua pelajar akan merempuh hujan tidak kira samada hujan renyai atau hujan lebat hinggakan semua  pakaian termasuk buku basah semuanya. Hanya beberapa orang pelajar yang membawa baju hujan atau membawa payung (pelajar perempuan).
Hanya beberapa minit kayuhan cukup untuk membasahkan baju, seluar dan kasut. Air hujan dari atas, percikan air dari tayar basikal dari belakang dan hadapan, percikan air dari rempuhan takungan air diatas jalan. Kali ini tiada siapa yang menggelakkan dari merempuh air di atas jalan atau air yang mengalir. Air sungai Tupah berwarna merah akibat lumpur yang dibawa air hujan. Kami berpatah balik sebaik sahaja semua sampai diluar kawasan loji pembersihan air.
Hasrat kumpulan untuk ke Tupah tercapai walaupun terpaksa membuat kayuhan dalam hujan. Seronoook.

Statistik :

   Mula ............... 7.15 pagi
   Tamat ............. 11.10 pagi
   Rehat .............. > 1 jam. Hujan.
   Jarak ............... 58 km
   Cuaca .............. hujan
   Laluan ............. Tikam Batu - Sungai Pasir - Tupah

.

Isnin, 6 Disember 2010

Pekan Darat

Kalau hendak ikutkan rasa hati tidak mahu membuat kayuhan pagi ini tetapi aku lawan perasaan hati dan rasa malas.
Sejak beberapa hari kebelakangan cuaca tidak begitu mengizinkan untuk membuat kayuhan. Setiap pagi bila tengok saja kearah langit nampak awan hitam menyelubungi langit, rasa mungkin hujan akan turun. Tetapi awan tersebut akan berlalu, langit akan cerah dan hujan tidak akan turun. Akhirnya aku rasa macam menyesal tidak membuat kayuhan.
Walaupun tidak berkayuh, kalau cuaca dan keadaan mengizinkan, aku akan berjogging di Bukit Taman Semarak pada sebelah petang. Aktiviti ini kerap aku lakukan sejak beberapa tahun yang lalu, kemudian terhenti dalam tempoh yang agak lama dan kini aku melakukan secara berselang seli dengan kayuhan basikal. Dahulu aku melakukan aktiviti ini sekurang kurangnya empat kali seminggu.
Rasa aku mendaki bukit yang tingginya hampir 200 meter membakar sama banyak atau lebih lemak dalam badan. Kuantiti peluh keluar dari badan lebih banyak dan biasanya baju yang dipakai akan menjadi basah keseluruhan oleh peluh.
Aku menyusuri laluan ke arah Tikam Batu dan berhasrat untuk ke Butterworth. Semasa menghampiri Pekan Pematang Sintok aku seorang 'roadsters' memotong aku dari belakang. Pakaiannya sama seperti pakaian pasukan sukan Malaysia pada pertandingan antarabangsa. Pakaian dengan logo Malaysia. Mungkin dia salah seorang dari team basikal pasukan Malaysia?. Tetapi kelajuan kayuhan dibawah 30kmj.
Aku tidak jadi untuk ke Butterworth tetapi membelok ke kanan kearah Pekan Darat apabila tiba di Telok Air Tawar. Aku teruja untuk meneroka kawasan disebelah sini. Pada ingatan aku aku tidak pernah melalui jalan ini.


Seronok melihat masih banyak rumah tradisional Melayu masih dalam keadaan baik. Sesetengah rumah tersebut telah ditambah dan diubahsuai dengan menambah dinding bata dibahagian bawah rumah. Tidak kurang juga yang dibiarkan tanpa penghuni dan menjadi rosak.
Dari Pekan Darat aku menghala ke Pekan Tasik Gelugur dan kemudian berbelok ke Kampung Selamat. Disini adalah penempatan orang Cina. Jalan disini dinamakan 'Tingkat Selamat 2' dan seterusnya sehingga tingkat 12. Kebanyakkan rumah disini masih dalam bentuk asal iaitu diperbuat dari papan dan  beratap zinc. Kedai yang terdapat di kampung ini adalah kedai runcit, kedai makan, kedai memperbaiki motorsikal dan kereta. Tidak ramai yang berusursan pada waktu aku melalui kampung ini.
Ketika sampai di Pinang Tunggal (sebelah Penang) aku merasa kecewa kerana kedai roti canai 'bomb' kegemaran aku tutup. Terpaksa menahan lapar dan dahaga sekejap sehingga sampai kerumah.

Statistik :

   Mula .................... 7.45 pagi
   Tamat .................. 10.45 pagi
   Rehat ................... 20 minit
   Jarak .................... 68 km
   Cuaca .................. panas, berangin
   Laluan ................. Tikam Batu - Pematang Sintok - Pekan Darat - Tasik Gelugor -
                                       Kampung Selamat - Pinang Tunggal
.