Halaman

Khamis, 30 Jun 2011

Peranginan Batu Hampar, Yan

Akhirnya hajat untuk berkayuh ke Peranginan Batu Hampar Yan tercapai juga. Bagi yang belum pernah kesana  ambil jalan ke Peranginan Titi Hayun dan membelok ke kanan setengah kilometer sebelum sampai ke Titi Hayun. Boleh juga mengambil jalan melalui kampung dengan membelok kekanan di tepi Pejabat Pos Yan Besar. Jalan ini kecil dan berliku liku.
Peranginan Batu Hampar lebih jauh ke dalam iaitu hampir 5 km dari Pekan Yan Besar berbanding dengan Peranginan Titi Hayun. Boleh tahan juga pendakian sebelum sampai ketempat perkelahan. Dikiri kanan jalan kecil tersebut adalah dusun buah buahan yang kebanyakkan ditanam dengan pokok durian dan sedikit pokok lain termasuk manggis dan cempedak.
Betapa hasil buah buahan menjadi begitu komersial. Memangnya buah buahan begitu berharga dan mendapat permintaan yang tinggi. Harga jualan menjadi begitu tinggi terutama bagi dusun yang mengeluarkan hasil lebih awal dari dusun dusun lain. Hasil yang dikutip oleh tuan punya dusun begitu lumayan. Ini boleh dilihat dari keadaan dusun dan kebun buah buahan. Kawasan dusun yang mana mengandungi banyak pokok buah buahan kini dipagar menggunakan pagar yang 'standard' iaitu jenis chain-link 5 kaki tinggi. Pintu masuk pula dibuat dengan besi sliding dan ada tembok konkrit pula.
Agaknya kebun yang sedemikian adalah kepunyaan orang kaya. Besar kemungkinan mereka tidak tinggal dikawasan itu. Kebun dan dusun dijaga oleh orang yang digaji. Orang kampung biasa tidak akan membazir seperti itu kerana rumah orang kampung ada didalam kebun atau dusun tersebut atau mungkin tidak jauh dari situ. Orang kaya yang mempunyai dusun memasang pagar jenis mahal kerana mereka tidak mahu hasil dusun mereka dicuri atau diambil oleh orang lain. 
Aku teringat cerita seorang kawan mengenai seorang yang 'berada' yang mempunyai dusun di Kubang Pasu Kedah. Hamba Allah tersebut singgah untuk sarapan pagi disebuah gerai dikampung kawan aku. Dia menceritakan membeli sebidang tanah yang ditanam dengan pokok buah buahan. Walaupun berasal dari kawasan tersebut tetapi kini menetap di Kuala Lumpur. Dia datang seorang diri kerana ahli keluarga yang lain tidak mahu ikut serta.
Dusun yang dibelinya 15 tahun lalu agak luas hampir 10 relong (saiz orang Kedah, tiga relong hampir bersamaan 1 hektar) tersebut ditanam dengan segala jenis pokok buahan. Sememangnya pada musim buah, makan tak habis ...... ikut kata budak budak sekarang. Boleh menjana banyak duit menjual hasil dusun tersebut. Memang seronok. Dia membina sebuah rumah kayu yang cantik didalam dusun tersebut untuk dijadikan tempat penginapan yang selesa apabila datang dari Kuala Lumpur.
Dia merasa kesal kerana sejak dia membeli dusun tersebut, anak anak tidak langsung berminat untuk datang walau sekali. Tujuan asal membeli harta tersebut adalah untuk menikmati 'quality time' bersama isteri, anak anak dan bersama saudara mara yang lain. Sedih apabila mereka tidak langsung menghargai usaha dan niatnya. Setiap kali musim buah hanya dia seorang diri yang ke dusun tersebut dan membawa balik hasil ke Kuala Lumpur.
Di Kuala Lumpur menjadi tumpuan longgokan buah buahan apabila tiba musim. Buah buah dari merata tempat di Malaysia akan dibawa dan dijual disini. Kadang kala ia lebih enak dan lebih bagus. Sebabnya jelas. Kuasa membeli orang KL adalah tinggi.
Untuk hendak makan buah buah tidak perlu menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit  membeli dusun nun jauhnya hampir satu hari perjalanan. Dengan wang kurang dari RM50.00, boleh menikmati semuanya berbanding dengan berbelanja lebih RM400.00 duit minyak kereta, tol dan makan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jitra.
Akhirnya Hamba Allah tersebut menasihatkan dan berpesan kepada kawan aku, jika ada wang lebih, pergilah melancong keluar negeri, melihat tempat orang selepas menunaikan perkara wajib. Tidak perlu membeli dusun atau tanah untuk anak anak atau keluarga.
Aku bersetuju sungguh pesanan tersebut.
Tidak ada yang istimewa terdapat di Peranginan Batu Hampar ini. Hanya terdapat beberapa bangunan wakaf yang disediakan untuk pengunjung yang datang berkelah. Oleh kerana sungai jauh dibahagian bawah, tangga dan laluan disediakan. Sungai dimana kawasan peranginan tidak banyak air. Mungkin pada petang kawasan ini dikunjungi oleh remaja untuk belepak.
Aku memberikan 'no-star rating' pada tempat ini. Aku turun kekawasan pekelahan untuk tidak lebih 10 minit untuk melihat lihat kawasan tersebut. Kecewa. Aku terus menghala ke pekan Yan kerana perut pun sudah memberi isyarat.

   
Statistik
   Mula ........... 7.30 pagi
   Tamat ......... 12.00 tengah hari
   Jarak ........... 77 km
   Cuaca .......... Redup, mendung
   Laluan ......... Lencongan Barat - Merbuk - Singkir - Yan - Batu Hampar

Selasa, 28 Jun 2011

Seri Kenangan ..... Bedong

Pada mulanya aku hanya ingin untuk merakamkan beberapa gambar Rumah Seri Kenangan Bedong dari jalan raya diluar pagar sahaja. Rumah kebajikkan ini menempatkan dan menjaga orang orang tua warga emas yang hidup sebatang kara dan tiada orang menjaga mereka walaupun sesetengah dari mereka masih mempunyai keluarga dan anak anak.
Memang orang awam tidak dibenarkan masuk kedalam  kawasan dimana orang orang tua ditempatkan. Pintu masuk utama sentiasa ditutup dan pengawal sentiasa berada di pos kawalan. Aku hanya memerhatikan dari luar tidak jauh dari pintu masuk utama.
Jam baru pukul 8.00 pagi. Kelihatan semua penghuni berada diluar bilik masing masing dengan mengadakan aktiviti senaman ringan di padang. Kebanyakkan penghuni wanita melakukan senaman secara berkumpulan, manakala beberapa penghuni lelaki bermain bola sepak di padang (dah tua-tua pun nak sepak bola juga), hanya tendang bola antara tiga empat orang mereka dan ada juga penghuni yang berjalan ke hulu hilir dihadapan bangunan kediaman mereka.
Salah seorang dari penghuni yang berjalan kaki menghampiri pagar dimana aku berdiri memerhatikan mereka. Dia berhenti betul betul dihadapan aku antara jarak 1 meter. Kami dipisahkan oleh pagar chain-link. Dia seolah olah ingin berbual dengan aku dan aku juga begitu, tetapi aku bimbang kalau ianya menyalahi peraturan. Bila dia mendapati tiada respon dia pun berlalu meneruskan aktiviti berjalan. Kemudian dia berpatah balik dan berjalan berhampiran dengan aku sekali lagi. Kali ini aku dengan perasaan kesal dan belas terus mengayuh basikal meninggalkan kawasan tersebut.
Aku membohongi diri sendiri jika aku katakan bahawa aku faham perasaan, kesunyian. kerinduaan dan perasaan mahu bebas yang dialami oleh penghuni rumah kebajikkan ini. Penghuni yang menghampiri aku sebentar tadi bukanya mahu apa apa dari aku, jauh sekali wang ringgit yang mungkin disedekahkan kepadanya. Semua itu tidak membawa apa apa makna kepada mereka kerana segala yang mereka mahukan dari makanan dan pakaian semuanya disediakan. Bahkan mereka mendapat banyak sumbangan makanan dan pakaian dari orang ramai setiap masa.
Mungkin apa yang dia mahukan hanyalah sekadar sedikit perhatian dan seseorang untuk berbual sejenak untuk melepaskan rasa bosan atau melepaskan rasa terkongkong hidup di rumah kebajikkan itu. Itu yang selalu aku dengar dari mereka yang sering dapat melawat ke sini. Betapa suka, gembira dan ceria wajah mereka apabila ada orang datang melawat mereka. Sama seperti perasaan pesakit yang terlantar di wad hospital ketika dilawat oleh keluarga atau rakan dan sahabat handai.
Lawatan hanya dibenarkan secara berkumpulan oleh NGO atau badan dan persatuan tertentu. Perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis dari pebajat di Alor Setar. Pernah suatu masa dahulu aku bagi pihak Rukun Tetangga memohon untuk menziarahi mereka sambil memberikan apa apa bantuan yang diperlukan, tetapi terpaksa dibatalkan kerana terlalu banyak birokrasi dan red tape. Belum lagi syarat dan peraturan yang dikenakan. Itu tidak boleh, ini tidak dibenarkan, ahhh .........
Kita boleh menerima hakikat bahawa rumah ini memberi perlindungan dan menjaga mereka yang miskin, tidak mempunyai ahli keluarga atau saudara mara untuk menjaga mereka tetapi agak sukar menerima hakikat setengah orang tua yang menjadi penghuni dihantar oleh anak anak mereka sendiri.
Menjemur tembakau di Sg Lalang
Sebentar tadi aku singgah di Pekan Sungai Lalang. Rasanya ini kali ketiga aku memasuki pekan kecil ini. Pertama kali untuk mencari kedai basikal membaiki kebocoran tayar basikal semasa kayuhan dan kedua ketika meghadiri program Rukun Tetangga. Oh... pernah sekali lagi lalu ketika menaiki bus dari Sungai Petani ke Alor Setar. Pekan kecil ini hanya mempunyai lebih kurang 30 unit kedai papan. Kedai baru terletak di kiri kanan jalan utama.
Dari Bedong aku menghala ke jalan yang belum pernah aku lalui sebelum ini. Ada jalan tar dihujung Pencawang Utama TNB Bedong. Tidak tahu kemana jalan tersebut akan membawa aku, kalau sesat aku akan berpatah balik. Jalan tersebut membawa menglaha jauh kedalam ladang kelapa sawit dengan jalan tanah merah. Ada sebuah perkampungan, mungkin untuk pekerja ladang. Menariknya nama kampung tersebut ialah 'Kampung Thye Eng'.
Beberapa kali aku terpaksa berpatah balik kerana sampai ke penghujung jalan. Samaada ianya kolam ternakan ikan, ladang ternakan ayam atau tebing Sungai Merbok. Akhirnya terpaksa bertanyakan kepada orang arah jalan keluar. Aku meredah ladang kelapa sawit perlahan lahan kerana jalan yang tidak rata dan berlopak. Hanya satu yang aku risaukan. Tayar basikal aku bukan tayar mountain bikes. Aku menggunakan tayar slick.
Setelah hampir 30 minit berkayuh didalam ladang sawit, aku berjaya keluar dan sampai ke kawasan sawah padi. Kerap juga berhenti untuk melihat padi yang sedang mengeluarkan buah. Terus pulang kerumah melalui Pekan Semelinng.

Statistik
   Mula ................ 7.25 pagi
   Tamat .............. 10.00 pagi
   Jarak ............... 38 km
   Cuaca .............. cerah
   Laluan ............. Lencongan Barat - Pekan Sungai Lalang - Bedong - Semeling
     

Isnin, 27 Jun 2011

petai ... oh petai

bunga petai ....
Tidak boleh hendak fikirkan tajuk yang sesuai untuk posting kali ini. Semasa dipuncak Bukit Semarak aku mengambil beberapa gambar apa sahaja yang terlintas didepan mata dengan kamera 'point and shoot' Panasonic DMC S1 Lumix yang baru dibeli. Ia menggantikan kamera Panasonic Lumix lama. Kamera tersebut masih elok tetapi screen rosak dan hanya sebahagian dari image dapat dilihat. Mengikut kata penjual kamera, ia mungkin terjatuh atau tertekan. LCD mengalami kerosakkan. Ia boleh diganti dengan screen baru tetapi kosnya hampir RM200.00, tidak berbaloi. Itu pun tidak ada gerenti atau waranty. Beli baru lebih ekonomikal.
Aku rasa begitu hambar untuk membuat kayuhan pagi ini. Mengapa? Aku sendiri tidak pasti. Hendak dikatakan overdose, tidak juga. Kerana tidak mahu berehat terlalu lama tanpa membuat aktiviti senaman, (Sabtu dan Ahad aku tidak membuat kayuhan kerana banyak perkara yang perlu dibereskan) aku pergi ke Bukit Semarak. Pendakian dan berjogging dibukit ini akan membuatkan badanku berpeluh dan mendapatkan dos kesihatan yang mencukupi.
Sebaik sahaja memulakan pendakian, aku nampak Cikgu Ong lebih kurang 500 meter jaraknya sedang menuruni bukit. Walau wajahnya masih belum kelihatan, aku dapat mengenali bentuk badan, pakaian dan cara dia berjalan. Sempat bertegur dan bersembang untuk beberapa minit. Aku bertanya kenapa dia tidak hadir pada mesyuarat AJK KRT Taman Intan petang kelmarin. Dia memberitahu pagi kelmarin dia terpaksa berlari turun dari puncak bukit selepas mendapat panggilan telefon dari anaknya yang mendapat kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Alor Setar. Tayar hadapan kereta yang dipandu anaknya meletup menyebabkan kereta berpusing tiga kali sebelum melanggar besi penghadang jalan.
Sebagai seorang ayah yang mempunyai hanya dua orang anak dia terus ke lokasi kemalangan tanpa menukar pakaian jogging. Menurutnya lagi, anaknya tidak mengalami apa kecederaan tetapi kereta mengalami kerosakkan teruk. Dia bercadang untuk membeli kereta terpakai lain kerana bengkel yang membaiki kereta tersebut mengatakan pembaikan akan mengambil masa lebih kurang tiga bulan.
Aku bukanlah seorang professional dalam fotograpi, tidak arif tentang aparture, exposure, ISO, teknik pengambilan gambar, angle dan sebagainya. Sedikit pengetahuan yang ada hanyalah cukup merakam gambar untuk dijadikan kenangan dan rujukan. Juga untuk berkongsi dengan kawan kawan jika ada yang sudi melihatnya.
Dengan kemajuan dan teknologi sekarang, gambar yang diambil menjadi lebih senang untuk disimpan secara digital. Tidak perlu dicetak, tidak perlu disusun dan dilabel dalam album dan tidak perlu rak khas dirumah. Gambar digital boleh disimpan didalam cakera padat, pendrive atau di dalam komputer. Ia boleh disunting, dibesarkan atau dikecilkan, dihantar keseluruh dunia dan pelbagai lagi.

Gambar yang aku rakamkan dengan kamera digital compact banyak dipengaruhi oleh gambar yang aku lihat didalam buku, akhbar, majallah dan dalam internet. Kebiasaan gambar yang dirakamkan melibatkan gambar tuanpunya kamera, gambar keluarga atau rakan. Juga sering merakamkan gambar tempat, pemandangan atau objek yang menarik dan boleh mengembalikan ingatan apabila melihat gambar tersebut.
Untuk menghilang penat pendakian sebentar tadi aku memperlahankan pergerakkan. Aku mengambil masa secara santai berjalan perlahan lahan sambil memerhatikan objek objek terutama bunga, daun, pokok yang boleh aku rakamkan dengan kamera baru. Tidak banyak yang dapat dirakamkan kerana aku hanya mengikuti jalan. Masih belum bersedia untuk meneroka kedalam hutan mencari objek yang menarik.
Beri sedikit masa lagi aku akan menjelajah dan meneroka hutan disekitar bukit ini untuk mengambil gambar yang menarik.

Oh berbalik kepada petai ... kebanyakkan dusun di bukit ini ditanam dengan pokok petai atau durian. Petai dan durian mendapat permintaan tinggi. Petai kini digemari oleh semua kaum di Malaysia. Orang Cina lebih banyak makan petai dari orang Melayu. Kata mereka boleh dijadikan ubat dan membuang angin dalam badan.
Aku suka petai yang dibuat sambal, dicampur dengan ikan bilis atau sotong atau udang. Masak dengan banyak bawang besar dan bubuh santan secukupnya. Kalau mahu, kulit petai juga boleh dipotong halus dan dimasukkan ke dalam sambal tersebut. Satu lagi masakan yang paling aku suka ialah memasak petai dengan tempoyak. Menjadi kegemaran orang di Kedah makan petai yang dibakar diatas bara api atau direbus terlebih dahulu sebagai alternatif memakan mentah dengan nasi.
Jika memakan mentah sebagai ulam, bersihkan mulut sebelum ke masjid untuk berjemaah. Bau petai seperti juga bau durian boleh menyebabkan makmum lain hilang konsentrasi semasa mengerjakan solat. Ustaz kata 'makruh' makan petai. Ingat kartun Lat .... Mat Salleh pengsan kerana bau nafas orang yang makan petai dan durian.
Khasiat petai .... sesiapa berminat boleh serach internet. Pelbagai rencana mengenai kandungan dan khasiat petai boleh diperolehi. Terpulanglah kepada individu.

Jumaat, 24 Jun 2011

air sungai takdo la ae....

Walaupun sekarang bukan musim kemarau tetapi air sungai  di kawasan rekreasi Tupah yang mengalir lesu dan perlahan dengan kuantiti amat kurang. Hujan turun selang hari tetapi tidak begitu lebat. Air sungai sangat jernih menampakkan bongkah bongkah batu besar didalam sungai tersebut. Kelihatan anak anak ikan bermain main di celah batu.
Setakat jam 08.30 pagi tiada pengunjung atau orang berkelah di tebing sungai. Berbeza dengan keadaan biasa, pada waktu begini sudah ramai pengunjung bersama keluarga termasuk anak mengambil tempat yang dibawah kawasan pokok teduh. Beberapa biji kereta sedang menuju ke atas untuk mengambil air mineral percuma yang disediakan percuma di luar pagar Loji Air Tupah oleh pihak JBA Kedah (kini SADA).
Bekalan air mineral ini diambil dari sedalam 300 meter ke dalam tanah. Ia di 'boring' di kawasan atas bukit di hulu loji pembersihan air. Kalau tidak silap, air dari dalam tanah tersebut tidak perlu dipam tetapi air keluar sendiri melalui konsep 'artesian well - air yang mengalir di dalam tanah pada tekanan tinggi (pressurised) akan naik kepermukaan'.
Pada peringkat awal cadangan adalah untuk mengkomersialkan iaitu membotolkan air dan dijual. Mungkin kerana kuantiti air yang boleh menjadikan projek tersebut viable (menguntungkan) tidak mencukupi ianya tidak menjadi kenyataan. Namun langkah pihak JBA ketika itu menjadikan projek amal iaitu bekalan air mineral percuma kepada orang ramai adalah murni.
Air ini jernih dan bersih, tidak dicemari dan tidak mengandungi bahan kimia. Air tidak perlu ditapis sebelum digunakan. Boleh diminum terus. Ia mengandungi banyak mineral yang baik kepada kesihatan. Ini menjadi sebab utama orang ramai datang mengambil bekalan walaupun terpaksa menggunakan kereta kerana jarak yang agak jauh dari kediaman. Dengan kereta orang ramai boleh memuatkan banyak tong air dan jika mahi boleh membawa sekurang kurangnya 200 leter air, cukup untuk dijadikan air minuman dan air memasak untuk beberapa hari.
Sebelum sampai kepenghujung jalan kelihatan beberapa pasangan berjogging dan sedang berjalan turun. Mungkin mereka pelajar dari IPTA atau IPTS berhampiran atau penduduk kawasan perumahan yang terletak selepas persimpangan jalan Merbok - Semeling. UiTM Merbok terletak lebih kurang 1km dari simpang ini manakala AIMST Universiti terletak 3 km di jalan Semeling - Bedong.
Aku tidak berhenti apabila sampai di penghujung jalan tetapi terus berpatah turun. Dalam perjalanan turun aku melihat tidak kurang dari 10 orang rider sedang menuju ke tempat yang baharu aku sampai tadi.

Destinasi seterusnya ialah pendakian bukit menuju ke muzium Arkeologi Lembah Bujang. Bukan hendak tunjuk kuat ke ... ape ke ... tetapi aku ingin menguji basikal 'Scott' yang baru diperbaiki kelmarin. Spockets lama telah rosak dan longgar. Ianya jenis lama menggunakan screw thread dan agak susah mendapatkan gantian yang sesuai, jadi terpaksa ditukar kepada yang terkini. Ini bermakna aku kena tukar shifter, hub depan dan belakang, rantai dan wheel's spokes. Aku hanya menukar cassete spockets lapan speed.  Untuk kegunaan aku ianya menukupi, aku tidak perlukan sembilan atau sepuluh speed.
Aku tidak sempat sampai kemuzium. Lebih kurang 100 meter terakhir aku bertembung dengan kawan baik SK Juan yang sedang menuruni bukit. Kami berhenti untuk bersembang dan kemudian turun untuk menjamu selera di gerai kebiasaan kami di Merbok.

Statistik
   Mula ................ 7.25 pagi
   Tamat .............. 9.50 pagi
   Jarak ............... 48 km
   Cuaca ......... .... cerah
   Laluan ............. Semeling - Tupah - Muzium Arkeologi 
    

Khamis, 23 Jun 2011

.... alah bisa

Sudah satu minggu lebih aku tidak memanjat bukit Taman Semarak dan tidak keterlaluan kalau aku rasa agak lemah sedikit semasa memulakan panjatan. Pagi ini agak ramai orang tetapi kebanyakkan mereka datang berkumpulan. Seronok melihat mereka berbual dan bergurau senda sambil beriyadah.
Boleh dikatakan 80% pendaki membelok kekanan pada point 'Y' dan 18% membelok kekiri. Laluan kekanan lebih pendek untuk sampai ke puncak, manakala laluan kiri mengambil masa lebih dua kali ganda untuk sampai. Dari puncak, pendaki boleh meneruskan atau berpatah mengikuti jalan sama.
Selebihnya pula iaitu 2% (anggaran aku), termasuklah aku mengambil pendakian menegak melalui lalaun dibawah talian kabel TNB. Laluan ini masih belum popular dikalangan pendaki kerana ia agak sukar. Ia memerlukan banyak tenaga dan kekuatan mental dan fizikal.
Semasa memulakan pendakian aku berasa tidak yakin boleh memanjat melalui jalan tersebut, tetapi apabila sampai ke permulaan aku terus memanjat tanpa memikirkan sangat tentang boleh atau tidak.
Pendakian hari ini lebih mudah, cepat dan bertenaga dari yang aku jangka. Setelah melalui jalan ini beberapa kali ia menjadi biasa, seperti kata peribahasa Melayu ...... Alah (kalah) Bisa Tegal Biasa, rasa seronok dan teruja apabila sampai ke puncak dalam masa yang singkat. Pendaki lain yang melalui jalan biasa (kiri atau kanan) mungkin belum dapat menghabiskan separuh pendakian manakala aku sudah memulakan jalan turun.
Aku membuat keputusan bahawa ini adalah jalan tetap yang akan aku lalui setiap kali aku mendaki bukit ini melainkan jika laluan tersebut licin disebabkan hujan. Trek jalan ini pun kini tidak lagi semak kerana disenggara oleh TNB. Pokok besar ditebas dan pokok kecil di mesin.
Menurut Cikgu Ong dia juga mula menggunakan laluan ini beberapa minggu yang lalu. Bahkan dia membuat dua kali panjatan. Apabila sampai diatas dia akan turun melalui jalan disebelah kanan dan bila sampai ke tempat permulaan, dia akan memanjatnya untuk kali kedua. Menurutnya ia menguatkan otot-otot pehanya.
Pada musim buah-buahan sekarang, terdapat bau durian disepanjang jalan. Ada banyak dusun durian diatas bukit dan kadang kala kalau bernasib baik tuan punya dusun akan menjual durian serta hasil tanaman lain kepada pendaki dengan harga yang agak murah. Ya lah kerja mereka senang sedikit, tidak perlu membawa turun kebawah untuk dijual.
Ramai juga pendaki membawa turun dua tiga biji buah asam gelugor yang dikutip dibawah pokok yang banyak tumbuh diatas bukit. Buat asam untuk masak. Tetapi kena dihiris dan dijemur kering dahulu. Di Kedah, asam ini banyak digunakan untuk membuat laksa. Selain durian dan asam gelugor pokok lain yang banyak ditanam ialah petai dan cempedak.
Tengah hari tadi jiran hadapan rumah aku, CK Lee menghulurkan sebiji durian yang agak besar dari pokok yang ditanam di kawasan rumahnya. Tidak tahu jenis apa tetapi isinya memang enak dan lembut. Kena dua ulas besar sudah cukup untuk menghilangkan keinginan memakan durian. Fuyo ... manis, lemak dan gebu. Sebelum itu Mr. Ho Thean Lyle pula menghantarkan buah rambutan. Sebelum senja tadi jiran sebelah rumah pula menghulurkan dua biji durian yang dibeli dari Baling. Murah rezeki keluarga hari ini. Akhirnya selesai sembahyang Maghrib dan Isyak di Masjid, ada pula orang kenduri dan membekalkan sebungkus nasi untuk dibawa pulang.
Nun ... jauh dibelakang ialah Bukit Bendera, Pulau Pinang

Isnin, 20 Jun 2011

Sungai Ular ......

Sungai Ular terletak di jalan Kulim - Serdang Bandar Bahru selepas simpang Kulim Hi Tech Park. Kenapa aku pilih untuk berkayuh kesini hari ini.  Aku bercadang untuk berjumpa geng lama yang bekerja di Loji Pembersihan Air Sungai Ular, Kulim. Masa aku masih bekerja empat thun dulu, aku datang kesini setiap minggu untuk mengawasi operasi loji. Walaupun sudah lama aku tinggalkan tetapi aku masih tetap berhubung dengan pekerja pekerja loji tersebut.
Tidak tahu pula asal usul nama Sungai Ular. Kalau tidak silap aku sungai yang mengalir dan membekalkan air untuk dirawat di loji tersebut adalah Sungai Kulim. Ia bermula dari kawasan gunung Gunung Pongsu melalui Bandar Kulim, Pekan Lunas dan berakhir di Prai. Adakah di sungai tersebut terdapat banyak ular? tidak mungkin nama sungai ular diberi kerana sungai bengkang bengkok seperti ular kerana semua sungai begitu.
Kayuhan pagi ini melalui Pinang Tunggal, Ekor Kucing, Padang Serai, Sungai Seluang, Kelang Lama dan persimpangan Jalan Serdang - Kulim. Sebelum berhenti rehat untuk minum pagi aku menalifon kawan yang berkerja di Loji Sungai Ular. Malangnya dia berada diluar kawasan. Aku batalkan rancangan untuk ke loji air dan berpatah untuk pulang selepas mengisi perut.
Pada awal tahun 1990'an, penduduk Pinang Tunggal perlu ke Bandar Sungai Petani untuk ke Kulim melalui Jalan Kuala Ketil - Sidam - Padang Serai. Kemudian pembinaan jambatan melintasi landasan kereta api memendekkan jarak melalui Pantai Prai - Sidam. Pada awal 2000'an, jambatan dibina melintasi Sungai Muda menyambungkan Pinang Tunggal Kedah dan Pinang Tunggal Pulau Pinang. Sebelum itu hanya motorsikal, basikal dan pejalan kaki boleh menyeberangi Sungai Muda dari Pekan Rabu Pinang Tunggal menggunakan titi kecil yang disambung disebelah landasan kereta api. Titi tersebut masih tidak diruntuhkan walaupun jambatan kekal telah siap.
Bandar Kulim mengalami perubahan pesat semenjak aku mula pertama kali sampai dua puluh tahun lalu. Kini bandar Kulim telah menular lebih 5 km dari pekan asal. Kawasan Kelang Lama kini menjadi pesat membangun dengan pusat komersial. Terdapat tidak kurang dari 10 persimpangan lamu isyarat di kawasan tersebut dimana dahulunya hanya terdapat satu 'round-about'.
Aku mengambil jalan pulang melalui jalan Kelang Lama menuju Pekan Lunas. Dari situ  berbelok ke kanan ke arah Naga Lilit dan Padang Serai. Walau langit masih diselubungi jerubu dan matahari tidak bersinar panas, tetapi aku sangat kehausan. Singgah di gerai menjual air tebu dan memesan dua gelas besar. Setuju atau tidak, selepas itu aku merasakan lebih bertenaga. Agaknya kandungan gula didalam air tersebut memberikan tenaga segera kepada badan kita.  Sungguh laris jualan air tebunya kerana orang tidak putus putus berhenti untuk membeli.
Peniaga gerai tersebut seorang muda yang berusia lebih kurang 30 tahun amat kagum apabila mengetahui aku berkayuh dari Sungai Petani ke Kulim dan balik. Menurutnya dia tidak mungkin boleh menghabiskan kayuhan sejauh 1 km. Apa hendak diherankan, kali terakhir dia mengayuh basikal lebh 15 tahun lalu. Dalam masa lebih kurang 10 minit ku berada digerai tersebut dia menghabis tiga batang rokok .....! Berat badannya dalam lingkungan 85 kg.
Rasanya aku ingin untuk membuat kayuhan ke Mengkuang Dam di Bukit Mertajam dalam masa terdekat melalui jalan ini.


Statistik
   Mula .............. 8.00 pagi
   Tamat ............ 12.20 tengah hari
   Jarak .............. 88 km
   Cuaca ............. mendong
   laluan ............. Pinang Tunggak - Padang Serai - Sungai Seluang - Kulim

Sabtu, 18 Jun 2011

Kayuhan langit mendung .....

Sesuatu yang boleh membunuh semangat untuk berkayuh ialah keadaan cuaca. Pagi tadi langit diselubungi oleh awan hitam tetapi aku sudah bersiap sedia untuk berkayuh. Cadangan asal adalah untuk pergi ke rekreasi Titi Hayun, Yan. Sebelum memulakan kayuhan aku membuat pemeriksaan rutin basikal dan mendapati keadaan gear belakang tidak berapa bagus. Terpaksa batalkan hasrat untuk ke Yan, takut tidak boleh membuat pendakian bukit Tanjung Jaga.
Ubah laluan dan bercadang untuk ke Tanjung Dawai. Tiada bukit yang memerlukan gear rendah dan aku boleh mengambil jalan pulang melalui jalan Sungai Pial - Sungai Derhaka dan Batu Hampar. Tentu pemandangan indah sawah bendang berlatar belakangkan banjaran Gunung Jerai.
Diatas jambatan Sungai Merbok menghala ke Pekan Semeling pada jam 07.50 pagi, aku tidak dapat menahan keinginan untuk merakamkan suasana dan pemandangan dengan camera compact Sony Cyber-shot. Langit diselubungi awan hitam dan matahari berwarna kekuningan. Aku sedar bahawa adalah berbahaya berhenti diatas jambatan tersebut terutama pada waktu pagi dengan kenderaan yang agak sibuk.
Sejak dua tiga kebelakangan ini keadaan cuaca memangnya tidak menentu. Beberapa phenomena berlaku yang menyebabkan keadaan menjadi sedemikian. Aku sudah lupa bila kali terakhir aku melihat bintang bintang memenuhi langit malam. Bulan pula bewarna kemerahan dan walaupun purnama penuh, cahayanya begitu pudar. Disebelah siang  pula cahaya matahari tidak dapat menembusi secara keseluruhan walaupun suhu amat panas.
Dua hari lepas berlaku gerhana bulan. Gerhana ini  berlaku apabila bulan memasuki bayang bayang bumi yang disuluhi oleh matahari. Di Malaysia gerhana ini dapat dilihat pada pagi Hari Khamis mulai jam 2.00 pagi hingga 5.00 pagi. Tidak ramai yang mengambil peluang untuk melihat phenomena tersebut. Aku sendiri tidak teruja untuk melihatnya kerana telah beberapa kali berbuat demikian. Kali pertama semasa disekolah rendah melihat gerhana matahari menggunakan air didalam bekas.
Keadaan cuaca yang sentiasa mendung dan diselubungi awan juga disebabkan oleh debu letupan gunung berapi (volcano) di Chile, Amerika Selatan pada 08 Jun 2011. Debu dari letupan tersebut menyelubungi langit disebelah hemisfera selatan dan menjejaskan banyak penerbangan. Negara yang paling teruk terjejas adalah di New Zealand dan Australia selain dari negara negara yang berjiran dengan Chile.
Di hemisfera utara pula, keadaan belum lagi pulih sepenuhnya dengan letupan gunung berapi di Iceland pada 15 April 2011. Debu dari gunung berapi menutupi ruang udara Eropah dan mengakibatkan semua penerbangan tergendala.
Pada 14 Jun 2011 negara dikejutkan dengan gegaran yang kuat menyebabkan bangunan tinggi di Ibu Negara dan beberapa tempat lain seperti Putra jaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak merasai gegaran. Gempa bumi berlaku dan melanda Sumatra lagi pada skala 5.6.
Bukanlah menyalahkan keadaan semasa dan bukanlah sebab perkara sebegini menjejaskan aktiviti harian, hanya sekadar membuat catatan. Walaupun perkara perkara tersebut berlaku beribu kilometer dari tempat kita tetapi kesannya tetap sampai disini. Sedikit sebanyak kehidupan kita juga akan terkena tempias.
Rancangan aku untuk ke Tanjung Dawai tidak kesampaian. Ada lagi baki 3 km untuk sampai ke Tanjung Dawai tetapi kelihatan hujan akan turun sebentar lagi. Semasa melalui kawasan bendang kelihatan titisan hujan diatas permukaan air. Aku terpaksa melajukan kayuhan kerana tiada tempat untuk berlindung sekiranya hujan menjadi lebat.
Aku singgah di sebuah pondok yang agak besar di Kampung Batu Hampar. Agak hairan kerana pondok tersebut bukanlah sebuah gerai atau kedai tetapi terdapat beberapa jug air, cawan dan dulang  yang baru digunakan. Pondok tersebut dilengkapi kipas angin siling dan TV yang digantung tinggi dan diletakkan didalam kotak diperbuat dari besi. Mungkin kerusi dan meja tidak berapa selesa kerana dibuat dari papan biasa.
Kemudian dua orang penduduk kampung yang menaiki motorsikal singgah dipondok tersebut juga untuk berteduh dari hujan. Meraka dalam perjalanan untuk mengadakan gotong royong disurau kampung tersebut sebagai persiapan menyambut Israk Mikraj pada 29 Jun nanti. Menurut mereka pondok tersebut digunakan untuk penduduk terutama generasi muda berkumpul pada waktu petang dan malam. Pondok tersebut juga dilengkapi dengan sambungan Internet percuma.Inilah satu satu keseronokkan tinggal dikampung. Komen aku adalah perkara sebegini tidak mungkin dapat diadakan di pekan atau bandar.
Seorang dari mereka menunjukkan minat pada aktiviti basikal. Walaupun telah membeli basikal tetapi belum ada kesempatan membuat kayuhan jauh. Dia agak terkejut apabila aku menceritakan sedikit pengalaman berbasikal termasuk kekerapan, jarak, tempat, kumpulan, rakan dan jenis basikal dimiliki. Dia juga susah percaya bahawa bila diberitahu umur lebih tua darinya.

Statistik
   Mula ............... 7.30 pagi
   Tamat ............. 10.00 pagi
   Jarak .............. 56 km
   Cuaca ............. mendong - hujan
   laluan ............. Semeling - Merbuk - Singkir - Tanjung Dawai

Rabu, 15 Jun 2011

Bukit Semarak .. persediaan untuk Trek Warisan

Seronok mendengar cerita Cikgu Ong tentang pengalaman pertamanya mendaki gunung Jerai pada Sabtu 11 Jun 2011 yang lalu. Dia datang kerumah petang kelmarin sebelum kerumah adiknya untuk makan malam. Sejak kematian isterinya lebih 10 tahun lalu, makan minumnya dijaga oleh adiknya yang kebetulan tinggal di taman yang sama. Seperti kebanyakkan kaum Cina yang lain makan malam mereka sebelum senja sebelum 7.00 malam. Sesuatu yang patut dijadikan contoh dan tauladan.
Dia bersama kawannya seorang wanita melakukan pendakian dari sebelah barat iaitu dari Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Merbok. Dia meletakkan kereta diluar kawasan muzium tetapi atas nasihat pengawal keselamatan mengalihkan kereta ke kawasan parking muzium. Mengikut pengawal tersebut, kereta pengunjung yang diletakkan diluar sering dicuri tayar atau bahagian lain.
Trek yang disediakan sepanjang hampir 13 kilometer dinamakan 'Jejak Warisan' bermula dari Candi Lembah Bujang dan berakhir di 'Padang Tok Sheikh' di Puncak Gunung Jerai. Terdapat peta yang diletakkan pada permulaan trek di kawasan letak kereta muzium.
Mereka melalui denai yang disediakan dan berpandukan penanda plastik berwarna kuning yang diikat atau digantung pada pokok kecil atau dahan kayu pada jarak tertentu. Walau begitu ada suatu tempat dimana mereka tersilap jalan sehingga tersesat ke ladang getah. Terpaksa berpatah balik sehingga bertemu semula penanda plastik tersebut. Mereka melintasi sungai kecil dan melintasi dua bukit kecil sebelum sampai ke puncak Gunung Jerai berhampiran dengan menara pemancar telekomunikasi. Keseluruhan perjalanan mereka mengambil masa lebih lima jam.
Cikgu Ong menunjukkan kedua dua belah kaki nya kepada aku. Kesan gigitan pacat (leeches) memenuhi bahagian atas buku lalinya. Tidak kurang dari 30 kesan gigitan dikakinya. Hujan petang sehari sebelum mereka membuat pendakian menyababkan banyak 'pacat' disepanjang jalan. Dia tidak membuat sebarang persediaan untuk menghadapai seragan pacat tersebut. Hanya setalah balik dia diberitahu supaya merendam kasut yang akan dipakai dengan air tembakau dan keringkan. Pacat tidak akan hinggap dikaki untuk menghisap darah.
Sebagai seorang pencintai alam, Cikgu Ong tidak membunuh walau seekor pun pacat yang menghisap darahnya. Dia hanya membuangnya sahaja. Menurutnya lagi dia tidak marah pacat pacat tersebut tetapi yang dia tidak tahan  kesan kegatalan pada tempat yang digigit. Hinggakan susah untuk tidur kerana menggaru lukakan. Lain kali dia tahu apa yang perlu dilakukan, bawa satu paket tembakau untuk disapukan kepada bahagian kaki. Yang penting kasut yang dipakai mestilah sesuai. Seeloknya gunakan 'army boot'.
Kerana kesuntukkan masa mereka turun menaiki van ke kaki Gunung Jerai di sebelah Gurun. Dari sini mereka menyewa teksi untuk pulang ke Muzium Arkeologi Merbuk. Sempat sampai sebelum pintu utama tempat parking muzium ditutup.
Pengalaman pertama memberikan banyak pengetahan dan pelajaran kepada mereka berdua. Selain dari perlu mengikut laluan berpandukan penanda yang diletakkan, menggunakan pakaian dan kasut yang sesuai. Tongkat juga diperlukan. Mereka membawa cebisan kertas surat kabar untuk ditaburkan sebagai penanda sekiranya tersesat jalan. Membawa makanan secukupnya yang memberi tenaga seperti nasi, pisang, coklat atau roti. Tidak lupa air minuman yang mencukupi. Ingat .... tiada kedai atau gerai makanan disepanjang laluan tersebut.  
Tetapi perkara yang penting sekali adalah kesediaan fizikal diri. Badan mestilah betul betul sihat dan kuat. Untuk maklumat, Cikgu Ong dan rakannya tidak pernah gagal membuat pendakian setiap hari di Bukit Semarak. Kadangkala dalam hujan pun mereka akan melakukan pendakian.
Itupun Cikgu Ong mengalami kekejangan otot peha. Otot pehanya masih tidak kuat untuk pendakian Gunung Jerai. Dia bernasib baik kerana rakannya  membawa 'yoko yoko' yang amat berguna untuk mengubati kekejangan otot. Ubat ubatan juga perlu dibawa bersama ketika membuat pendakian. Jangan lupa pisau atau parang kecil.
Aku memang sudah lama berangan-angan untuk mengikuti denai laluan kepuncak gunung melalui muzium. Setakat ini masih belum berkesempatan dan tiada rakan yang sanggup ikut serta. Untuk masa sekarang aku berpuas hati untuk membuat pendakian di Bukit Semarak mengikuti jalan yang luas dan selesa. Hanya mengambil masa kurang dari 40 minit untuk naik dan turun. Insyaallah aku akan ke Gunung Jerai melalui Jejak Warisan.

Isnin, 13 Jun 2011

bahaya (hazards) berbasikal

Dua hari lepas Yahoo site menyiarkan video tentang seorang penunggang basikal (Casey Neistat) disaman kerana tidak mengikuti laluan atau lorong basikal di Manhattan, Bandaraya New York. Sebagai bantahan dia dengan pertolongan seorang rakan, membuat video tentang betapa bahaya laluan khas untuk basikal yang disediakan dan memuatkan dalam 'You tube'. Dia secara sengaja dan tidak sengaja melanggar kereta, teksi dan kereta polis yang diletakkan pada laluan basikal, melanggar tong sampah, melanggar barangan perniagaan, masuk lubang, melanggar scaffolding (pembinaan) dan berbagai lagi.
Video tersebut menjadi sensasi, mendapat penonton yang ramai dan mendapat rating tinggi. Diakhir video memaparkan message bahawa dia mahu wang saman dikembalikan. Menurutnya laluan ata lorong basikal tersebut tidak selamat kepada penunggang.
Semalam 12 Jun 2011 dalam berita TV jam 8.00 malam disiarkan bantahan oleh penduduk di Mexico. Kumpulan tersebut yang terdiri dari lelaki dan perempuan mengayuh basikal berbogel sekeliling bandaraya Mexico,  ada yang memakai sedikit pakaian ditempat tertentu (bikini atau hanya seluar dalam) dan ramai juga yang mengecat badan mereka berbelang belang untuk melindungi benda benda sulit mereka. Tidak pasti apa yang dibantah kali ini tetapi pada tarikh sama tahun lepas mereka membuat bantahan atas pencemaran alam sekitar dan penginayaan terhadap haiwan. Berbogel sambil mengayuh basikal adalah perkara biasa di bandar ini.
Kayuhan aku pagi ini melalui Bandar Sungai Petani menuju ke Gurun. Aku keluar agak awal untuk mengelakkan kenderaan dijalan. Didalam bandar aku tidak begitu risau kerana kebanyakkan kenderaan dipandu agak perlahan dan terdapat banyak lampu isyart.  Dalam kesesakkan tersebut, aku teringat kepada kedua-dua cerita di atas.
Disepanjang kayuhan melalui jalan utama Sungai Petani - Alor Setar aku mengalami beberapa kesulitan dan berdepan dengan faktor faktor yang boleh menyebabkan kemalangan kepada penunggang basikal. Aku cuba mengingatkan semuanya agar aku dapat direkodkan ke dalam blog ini.
Untuk pengetahuan, laluan khas dibina untuk motorsikal dan basikal di kedua dua hala sepanjang jalan. Lorong tersebut agak luas dan boleh memuatkan satu kereta. Lorong tersebut dipisahkan dengan garis putih yang terang dan jelas. Pada jarak tertentu, tulisan 'Motorsikal Sahaja' berserta gambar motorsikal dicat dengan warna merah atau putih diatas  jalan memberitahu pengguna bahawa laluan tersebut dikhaskan kepada motorsikal. Ada juga sebahagian lokasi dimana keseluruhan lorong dicat dengan warna merah. Ini ditambah dengan signboard 'Gunakan Laluan Motorsikal' dan tanda bermula dan berakhir laluan khas tersebut.
Sebagai pengguna basikal, laluan sedemikian amatlah berguna dalam menentukan penunggang boleh berkayuh dengan selamat dan tanpa gangguan. Walau demikian penunggang sendiri mesti berhati-hati dan tidak mengambil mudah tentang keselamatan diri semasa berkayuh.
Sering motorsikal memotong terlalu hampir dengan penunggang basikal. Pada sesiapa yang berangan-angan, melayan fikiran atau terlalu menumpukan penglihatan kepada pemandangan di kiri kanan jalan, mungkin akan terkejut apabila dipotong oleh motorsikal terlalu hampir.
Pada setiap persimpangan jalan, perhatikan kenderaan yang keluar masuk. Kebanyakkan tidak memperlahankan kenderaan dan tidak mengikuti penunggang basikal dibelakang sebelum membelok. Sebaliknya terus memotong dan membelok terlalu hampir dengan penunggang basikal. Begitu juga dengan kenderaan yang keluar dari simpang tersebut. Sering mereka tidak berhenti sebagaimana peraturan dan undang-undang, untuk memberi laluan. Mungkin memikirkan basikal itu perlahan dan sempat ia keluar.
Ada juga kereta yang menggunakan laluan motorsikal tersebut untuk memotong. Ini membahayakan penuggang motorsikal atau basikal. Kadang kala bukan hanya kereta biasa tetapi van dan lori kecil juga berbuat demikian. Sikap pemandu di negara kita adalah sesuatu yang perlu diubah. Semuanya mahu cepat, semuanya hendak laju, tidak mahu ada sebarang halangan dihadapan. Semua kenderaan dihadapan mesti dipintas (overtake) walau apa atau bagaimana cara sekali pun. Pemandu dihadapan tidak boleh berada dijalan raya bila mereka memandu.
Yang paling merisaukan ialah banyak motorsikal yang dipandu bertentangan arah, menggunakan lorong tersebut tetapi dari arah bertentangan. Pernah aku alami kereta dipandu melawan arus! Betul betul aku tidak faham dan nampak rasionalnya. Mungkin mereka hendak ke destinasi berhampiran yang terletak disebelah yang sama dan tidak mahu menyeberangi atau melintasi jalan dua kali. Ada juga yang keluar dari simpang untuk membelok ke kanan dan tidak sabar menunggu sehingga boleh melintas. Mereka membelok kekanan tetapi tidak melintas dan menyusuri laluan bertentangan. Apabila cukup laju dan tiada kereta dari arah bertentangan akan memasuki jalan seolah oleh memotong kenderaan.
Dalam kes kes diatas, kita sering menyalahkan pemandu bermotor lain. Kadang kala tidak henti menyumpah seranah mereka dan ada kalanya mendoakan mereka mendapat kemalangan dihadapan sana, atau sekurang-kurangnya tayar kenderaan mereka mletup. Puas hati. Betapa berbeza keadaan di negara maju seperti Eropah, penunggang basikal diberi keistimewaan dan keutamaan apabila berada dijalan raya. Sekiranya berlaku kemalangan atau kecelakaan, penunggang basikal adalah pihak yang betul. Pemandu kenderan bermotor lain akan dipersalahkan, diambil tindakan dan disaman.
Selain itu banyak lagi bahaya lain pada laluan atau lorong tersebut. Ia termasuk kenderaan yang diletakkan (parking) terlalu keluar hingga menggunakan setengah dari laluan, terdapat lubang lubang kecil, man-hole, jalan yang rosak, berlubang atau merekah.
Paling bahaya adalah longgokan pasir atau tanah halus yang dibawa oleh air ketika hujan atau lebihan dari pembinaan struktur ditepi jalan. Pasir halus boleh menyebabkan basikal terutama roadbikes hilang kawalan dan menyebabkan kemalangan. Longgokan cermin kereta pecah boleh menyebabkan tayar mengalami kebocoran.
Terpulanglah kepada kebijaksanaan penunggang sendiri untuk mengambil langkah langkah bagi mengelakkan sebarang kemalangan berlaku. Adakah berkayuh offroad lebih selamat?

Statistik
   Mula ............ 7.15 pagi
   Tamat ......... 10.10 pagi
   Jarak ............ 56 km
   Cuaca .......... cerah
   Laluan ......... N1 - Gurun - Modenas - Perwaja
   

Ahad, 12 Jun 2011

melawat kawasan ...

Dua hari aku merancang untuk membuat kayuhan ke Kulim pada Ahad 12 Jun. Bercadang untuk melalui Pinang Tunggal, Ekor Kucing, Padang Serai, Kulim Hi Tech dan Sungai Ular. Berhajat untuk singgah menziarah kawan kawan di Loji Pembersihan Air Sungai Ular. Hampir lebih tiga tahun aku tidak kesana.
Aku bangun awal sebagai persiapan, malangnya bila aku keluar rumah pada jam 07.00 pagi, langit kelihatan gelap diliputi awan hitam. Walaupun hati aku kuat hujan tidak akan turun, aku menuggu lebih setengah jam diluar rumah. 
Sambil menunggu samada hujan akan turun atau tidak, aku memeriksa pokok cabai burung (cabai melaka atau cili padi) yang aku tanam di kawasan lapang tepi rumah. Tanam untuk kegunaan sendiri sahaja. Cabai burung ni sangat mahal harganya. Kalau dibeli dipasar biasa, RM1.00 hanya dapat 10 biji sahaja.  Kalau kira berat, harganya hampir RM25.00 sekilo. Ini di Sungai Petani, tidak tahulah ditempat lain. 
Sambil aku membersihkan bekas tanaman dari rumput rumput kecil dan memeriksa daun dan buah cabai tersebut, kedengaran dentuman bunyi petir menandakan hujan telah turun. Tetapi bukan di tempat aku. Aku batalkan sahaja rancangan kayuhan pagi ini. Pula ada beberapa perkara yang perlu aku buat termasuk menjelaskan bil, membeli insuran Jeep 4x4 dan memperbaharui cukai jalan.
Hujan tidak turun seperti dijangkakan. Petang tadi pun cuaca seperti sebelah pagi juga, langit di selubungi awan hitam. Aku tidak peduli aku mengeluarkan basikal dan menuju kearah bandar Sungai Petani. Sebaik memasuki jalan utama kelihatan kesesakkan kenderaan,
Dikawasan tempat letak kereta di hadapan menara jam ada pameran atau expo oleh karangkraf dan akbhar Sinar Harian. Tidak ramai pengunjung di sana. Aku hanya berhenti tidak lebih dari satu minit dan meninjau dari luar sahaja. Tidak ada apa yang istimewa
Dipenghujung Jalan Ibrahim, lalu lintas di kawal oleh anggota polis. Disini kesesakkan sering berlaku terlebih lagi menjelang tamat persekolahan sessi petang. Kesesakan diburukkan lagi oleh penutupan jalan utama di hadapan balai polis cawangan traffik kerana pembinaan jambatan baru untuk projek landasan berkembar KTM.
Aku menuju ke pusat komersial Taman Ria, bukan untuk membeli apa barang, cuma melihat lihat jika ada yang istimewa. Banyak kedai yang tutup kerana hari Ahad. Tidak banyak perubahan, bau busuk dari pasar semakin kuat berbanding dahulu. Bau busuk ditambah lagi oleh bau longkang dari kawasan pasar yang tidak di senggara.
Kawasan yang dipenuhi orang disini ialah kedai 'tikam ekor'. Pertaruhan akan berakhir sebentar lagi iaitu jam 6.00 petang dan ramai orang berpusus pusu membeli nomber pertaruhan. Aku nampak ada lima kedai judi di jalan tersebut.
Dari Taman Ria aku menyeberangi jalan untuk ke Lagenda Height.Di sini adalah pusaat komersial baru untuk bandar Sungai Petani dan menempatkan banyak kedai kedai yang 'up-market' termasuk restoren ala Bangsar. Aku berhenti disebuah kedai menjual kamera untuk window shopping.


Dapat juga mencapai hampir 18 km untuk kayuhan petang ini. Hujan tidak jadi turun juga.
  

Khamis, 9 Jun 2011

...... outback .. Bukit Selambau

Rasa seronok dan damai melalui kawasan yang dipenuhi dengan pokok kelapa sawit dan getah disepanjang kayuhan pagi ini. Sebaik sahaja membelok dari jalan lencongan timur menghala ke Kuala Ketil, rimbunan pohon di  kiri dan kanan jalan bagaikan payung melindungi dari panas matahari. Tidak mengapa kenderaan yang berduyun duyun dari kedua arah jalan. 
Aku seronok melalui jalan ini kerana ia berbukit bukit, tidak tinggi tetapi cukup mengasyikkan. Kadang kala terpaksa berusaha kuat untuk mendaki, bila tiba dipuncak boleh melepaskan lengoh kaki semasa menuruni bukit. Kelajuan menurun bukit boleh mencecah lebih 45 km/j. Masa ini terasa angin membadai muka dan badan. Jika baju longgar, ia akan berkibar kibar mendatangkan kesan (efek) yang sukar dilupakan.
Itulah kekayaan negara kita. Kebanyakkan tanah pertanian ditanam dengan kelapa sawit atau getah. Dua komoditi utama yang menjana ekonomi negara. Kedua dua komoditi ini pernah menjadi keluaran nombor satu negara kita di dunia. Kini tempat tersebut telah diambil alih oleh jiran jiran kita dimana mereka mempunyai keluasan tanah dan sumber tenaga manusia yang lebih murah.


Semasa anak lelaki aku yang sedang belajar di Perancis pulang untuk menghabiskan cuti pada musim panas, dia sering mengikut aku berkayuh basikal. Sebelum ini dia tidak pernah menjelajah dan meneroka kawasan seperti ini dengan basikal. Dia tidak pernah melalui kawasan ladang kelapa sawit atau ladang getah dan kawasan sawah padi. Seronok melihat dia begitu gembira dan teruja apabila membuat kayuhan tersebut.
SK Juan pernah mengatakan kepada anak aku tersebut, walaupun di Eropah menarik tetapi disini lebih cantik dengan pemandangan semula jadi yang boleh dilihat sepanjang tahun.
Tidak kurang 10 jenis kopi segera
Aku singgah disebuah gerai dikawasan perindustrian Bukit Selambau. Kawasan ini menempatkan kilang kilang yang dipindahkan dari Bandar Sungai Petani lebih 15 tahun yang lalu. Kebanyakkan kilang tersebut adalah kilang kayu kayan yang banyak mengeluarkan pencemaran berupa asap dan debu. Tidak semua kilang kilang jenis tersebut berpindah kekawasan ini.
Ketika aku singgah tiada pelanggan lain digerai tersebut. Aku melihat gerai menjual nasi dan lauk yang telah siap dimasak. Yang menarik perhatian aku adalah deratan kopi segera yang digantung bersebelahan dengan dapur membuat air minuman. Tidak kurang dari sepuluh jenis kopi segera dijual. Pelbagai jenis campuran yang boleh diperolehi.
Kopi tersebut dijual dalam bentuk paket dan dibancuh terus kedalam air panas. Kopi tersebut dikatakan boleh memulihkan tenaga. Itulah sebabnya kopi tersebut begitu laris digerai seperti ini yang dikunjungi oleh pekerja kilang pada waktu makan dan rehat. Aku sendiri jarang meminum kopi seperti ini kerana tidak begitu yakin dengan khasiatnya.
Kena dua bungkus tapai ..... aku suka
Aku tidak dapat menahan selera untuk mencuba tapai pulut yang diletakkan dihadapan aku. Walau masih pagi, sempat aku habiskan dua bungkus tapai. Sedapnya. Ia tidak berapa manis dan tidak pula tawar. Mungkin tapai tersebut telah agak lama kerana ia tidak berapa putih seperti sepatutnya. Aku bukanlah tahu atau pandai sangat tentang tapai .... tapi memang aku sangat menyukainya. Kalau saiz seperti yang dijual aku boleh habiskan hingga 10 biji. Pernah dua kali aku cuba membuat tapai sendiri tetapi masih belum menjadi. Orang kata ragi yang digunakan amatlah penting untuk membuat tapai yang enak dan manis.
Walaupun jarak kayuhan pagi ini tidak sejauh jarak kayuhan yang aku buat dua hari lepas ke Butterwork, tetapi ia mengambil masa yang lebih lama. Ini kerana jalan yang berbukit bukit jika dibandingkan dengan jalan ke Butterworth. Juga disebabkan aku berkayuh perlahan kerana menikmati pemandangan dan suasana yang amat ceria.

Statistik
   Mula ............... 7.40 pagi
   Tamat ............. 10.30 pagi
   Jarak ............... 61 km
   Cuaca .............. Cerah
   Laluan ............. Kuala Ketil - Bukit Selambau - Sungai Lalang - Sungai Petani
 

Selasa, 7 Jun 2011

Tak de duit tukar ......

Semalam sebelum tidur otak aku berkerja keras memikirkan jalan dan arah mana kayuhan esok hari. Macam macam yang difikirkan dan berbagai alasan yang dibayangkan untuk tidak mengikut laluan yang selalu dan biasa aku ikuti. Antara sebab ialah terlalu kerap, jauh atau dekat, tidak berbukit, terlalu mendatar dan sebagainya. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk ke arah selatan iaitu Butterworth. Pergi balik lebih dari 70km.
Sebaik saja melintasi sempadan Kedah ke Pulau Pinang di Jambatan Merdeka, ada sekatan jalan oleh polis. Tidak kisah lah kerana menaiki basikal. Biasanya anggota polis yang bertugas akan sekurang-kurangnya tersenyum atau menegur atau mengucapkan salam. 
Dua hari lepas semasa dalam perjalanan pergi ke rumah kenduri bersama isteri dan dua anak, aku melalui satu sekatan polis di kawasan Perindustrian Bakar Arang Sungai Petani. Aku sempat mengenakan tali pinggang keledar sebelum sampai ke lokasi roadblocks. Tidak apa yang perlu dirisaukan kerana semua OK.
Sebaik sahaja melintasi sekatan tersebut salah seorang anggota polis menyuruh aku berhenti dan menyuruh parking di tepi jalan. Dia memberitahu bahawa roadtax (cukai jalan) sudah expires. Bertarikh 27 April 2011. Bermakna sudah 1 bulan 08 hari telah tamat tempoh.
Berderau darah dibuatnya. Betul tidak perasan yang cukai jalan telah tamat tempoh. Aku ingatkan cukai jalan kereta yang aku pandu akan tamat pada hujung bulan Oktober seperti pada setiap tahun. Tetapi kali terakhir aku memperbaharui cukai jalan JPJ hanya memberi selama 6 bulan dan tamat pada bulan April kerana ada dua saman (blacklist) yang tidak dibayar.
Body language betul betul memainkan peranan. Reaksi dan riak muka yang aku tunjukkan kepada anggota polis tersebut menyelamatkan keadaan. Alasan yang aku berikan adalah yang aku terlupa untuk memasang cukai jalan yang baru kerana kesibukkan dan kerana aku ada dua lagi kereta lain yang membuatkan aku jadi konfius.
"Awak disaman kerana tidak mempamirkan cukai jalan" kata anggota polis tersebut. Aku diam sahaja, tidak mahu berkata apa apa. Aku akan menerima apa saja tindakan atau hukuman. Memang silap aku sendiri. "Ini hendak pergi kenduri ke?" sambung polis tersebut. Aku anggukkan kepala sahaja dan agak terkejut apabila dia menyuruh aku pergi. Dia menasihatkan supaya aku lebih beringat dimasa akan datang. Aku ucapkan terima kasih dan meneruskan perjalanan ke rumah kenduri tanpa cukai jalan yang sah. Aku pilih jalan lain ketika pulang, tidak mahu bertemu sekali lagi dengan sekatan jalanraya tadi.
Sebagai warga negara yang patuh pada undang-undang, aku ke JPJ Sungai Petani keesokkan hari untuk membaharui cukai jalan. Cukai jalan gagal diperbaharui kerana insuran asal tidak mencukupi enam bulan dan diarahkan supaya menambah insuran. Terpaksa pula ke pejabat insuran dan menambah bilangan hari hingga mencukupi tarikh untuk enam bulan. Pertama kali aku mengalami keadaan begini.
Setelah berehat hampir satu jam setelah tamat kayuhan sebentar tadi, aku bergegas ke JPJ Sungai Petani dan sampai pada 12.05 tengah hari. Aku mengambil nombor giliran dan terkejut besar apabila mendapat nombor 1423 sedangkan nombor yang sedang mendapat layanan ialah 1301. Aku rasa aku akan berada disini hingga pukul 3.00 petang nanti. Aku duduk disebelah seorang Cina yang telah berusia dan mula bersembang pasal pelanggan yang ramai. Dia mengeluarkan kertas nombor giliran 1387 dari poketnya dan memberi pada aku. Ini nombor asalnya dan dia mendapat nombor yang lebih awal dari rakan yang tidak mahu menunggu. Bermakna giliran aku dipendekkan hampir 36 orang.
Apabila nombor giliran aku dipanggil hanya satu kaunter yang dibuka. Kaunter lain ditutup kerana waktu makan tengah hari. Aku membayar jumlah cukai jalan tersebut dan sepatutnya mendapat baki sebanyak RM30.40 tetapi diberitahu tiada wang kecil. Aku hanya menerima RM30.00 sahaja dan disuruh menunggu sehingga ada tukaran wang kecil RM0.40. Aku terus balik tanpa menunggu baki wang tersebut tanpa berkata apa-apa dan tanpa mengucapkan terima kasih.
Ini tidak seharusnya berlaku. Ok betul.... adalah notis menyuruh pelanggan menyediakan wang secukupnya. Pejabat yang menerima wang bayaran sepatutnya menyediakan wang kecil dan wang siling secukupnya. Lebih lagi kaunter JPJ, TNB, TM, Air dan sebagainya. Tiada alasan sebaliknya. Pihak pengurusan atau pihak bertanggung jawap perlu memberi perhatian kepada perkara kecil begini untuk melancarkan lagi servis dan mengutamakan kepuasan pelanggan.

Statistik
   Mula ............... 7.30 pagi
   Tamat .............. 11.00 pagi
   Jarak ................ 77 km
   Cuaca .............. Cerah
   Laluan ............. Tikam Batu - Kepala Batas - Bagan Ajam - BORR
   

Ahad, 5 Jun 2011

Tupah

Tidak hairan aku kerana tidak menerima SMS untuk kayuhan pada weekend minggu ini. Aku pun tidak mengharapkan ada jemputan untuk berkayuh kerana pastinya hujung minggu ini amat sibuk memenuhi hajat jiran, sahabat dan kenalan untuk ke majlis kenduri.
Tidak pasti samada itu sesuatu yang bagus atau sebaliknya. Sudah tiga minggu aku tidak ikut serta kayuhan anjuran mereka. Mungkin itu sebabnya meraka tidak lagi mempelawa kali ini dan mungkin dimasa masa akan datang. Pastinya mereka ada membuat kayuhan pagi Ahad ini tetapi tidak tahu arah mana. 
Kalau aku dijemput untuk ikut serta pun, pasti tidak dapat memenuhi jemputan tersebut. Kebiasaannya mereka akan berkayuh paling kurang jarak 100km. Aku tidak boleh ikut serta kerana hari ini ada empat jemputan kenduri kahwin.
Walau tidak ikut serta, aku tetap berkayuh sendirian atau solo untuk mengekalkan kesinambungan berbasikal dan meneruskan terapi kesihatan yang aku mulakan tiga pagi yang lalu. Aku hadkan jarak kayuhan pagi ini.
Seperti yang selalu aku nyatakan didalam blog ini, aku lebih seronok kayuh bersendirian. Berbasikal adalah satu satunya sukan, hobi atau aktiviti yang boleh dilakukan secara perseorangan. Aku lebih selesa dan seronok berkayuh seorang diri. Tiada tekanan, tidak perlu menunggu sesiapa, boleh bermula atau berhenti bila sahaja, tiada kereneh rakan rakan dan pelbagai lagi. 
Tiada masalah pada pendakian ke penghujung jalan Taman Rekreasi Tupah, bahkan lebih seronok dan lebih cepat dari biasa. Tahu tahu sudah sampai. Terdapat seorang rider yang baru sampai dan nampak dalam keletihan sehingga begitu sukar ia mencari tempat sesuai meletakkan basikal. Sebaik sahaja meletak basikal dia terus duduk dan meneguk air yang dibawanya. Dari wajahnya dia kehabisan tenaga. Umurnya tidak jauh bezanya dari aku, mungkin lebih muda. Berseorangan sahaja. Aku menegur serta memberi salam dan tanpa turun dari basikal aku membuat pusingan untuk meneruskan kayuhan.
Ditapak perkelahan ada tiga orang berbangsa Cina sedang mengadakan sessi bergambar.... mungkin untuk majalah atau terbitan. Model, seorang amoi yang cun, berpakaian baju dan skirt putih pendek dan memakai sayap (wings) dibelakang. Siap bawa tangga 8 kaki tinggi untuk mendapatkan shot yang menarik berlatar belakang sungai dan hutan rimba. Kamera DSLR pun ada dua tig biji dengan tripod sekali.
Aku berkayuh kearah pekan Merbok. Pada awalnya aku ingin membuat pendakian di Muzium Arkeologi seperti selalu. Terpaksa dibatalkan kerana masalah pada cassette gear belakang masih belum diperbaiki sepenuhnya.
Di gerai roti canai kegemaran aku melihat dipenuhi dengan pelanggan. Selain dari roti canai, banyak kueh mueh, nasi lemak dan mee dijual. Kueh disini lebih enak dari tempat lain. Mungkin kerana dibuat oleh orang kampung yang pakar dalam membuat kueh. Kuih yang dijual semua dihantar oleh orang kampung.
Aku tidak singgah kerana masih awal dan mungkin akan singgah minum sebelum sampai dirumah.

Statistik :
   Mula ................  7.30 pagi
   Tamat ..............  9.15 pagi
   Jarak ................ 45km
   Cuaca ............... Panas
   Laluan .............. Lecongan Barat - Semeling - Tupah - Merbok

Sabtu, 4 Jun 2011

Hari ini lebih baik ....... Kuala Ketil

Hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini...... begitulah ungkapan yang sering kita dengar dari pakar-pakar motivasi dan para penceramah tidak kiralah penceramah agama, politik, sumber manusia serta lain  lain. Ia adalah konsep KAIZEN iaitu cara pengurusan syarikat Jepun yang kini diadaptasi kedalam kehidupan harian kita. Ia satu pemikiran positif yang amat berguna.
Aku begitu teruja dan enthusiast untuk meneruskan kayuhan hari ini. Sememangnya aku ingin pergi jauh dan lama tetapi macam dok kata lah... banyak jemputan kahwin hari ini dan esok. Walau bagaimana pun aku bercadang untuk pergi lebih jauh berbanding kayuhan hari sebelum. Aku menghala ke timur untuk ke Kuala Ketil. Kalau ikut aku ingin teruskan sehingga ke simpang Malau dan kemudian berpatah melalui Jalan Gerik - Butterworth.
Aku berpuas hati untuk sampai di Pekan Kuala Ketil dan sempat bersiar-siar keliling pekan. Tiada apa yang ada disebelah pagi. Kebanyakkan kedai masih lagi ditutup dan belum memulakan perniagaan. Yang sibuk adalah kedai dan gerai makanan.
Hari ini ada pasar minggu tetapi masih awal. Sebahagian peniaga baru sampai, sedang mendirikan khemah dan sibuk menyusun barang perniagaan. Pasar minggu (week market) adalah satu kemestiaan dimerata tempat sekarang ini. Setiap pekan ada hari hari tertentu yang menjadi pasar minggu.  Di taman taman perumahan yang kuas, ada juga pasar minggu diadakan. Boleh dikatakan setiap hari ada saja tempat atau lokasi yang mengadakan pasar minggu.
Pasar minggu memberi peluang kepada peniaga kecil kecil mencari rezeki. Pada yuran yang amat rendah dikenakan oleh pihak PBT biasanya untuk membersihkan sampah sarap selepas berakhirnya pasar tersebut.
Dimana mana pasar malam pun barangan jualan adalah sama sahaja. Semua keperluan harian dari sayur, ikan, ayam, daging hinggalah kepada pakaian, pekakasan, hardware (terhad), kuih, makanan, minuman, buah buahan dan banyak lagi.
Masa yang paling sibuk adalah sebelah pagi pada hujung minggu dan ketika baru lepas gaji. Itu masalahnya apabila membeli belah di pasar minggu, kebanyakkan pelanggan membeli lebih apa yang diperlukan. Sering dilihat jari jemari dipenuhi dengan beg plastik.
Sesuatu yang perlu diambil perhatian tenatang harga. Kita sering mengambil mudah tentang harga barangan yang dijual. Kalau pasar malam atau pasar minggu mesti murah ..... ah biar betul. Berhati hati. Kadang kala barangan yang dijual tidak bermutu atau barangan yang rosak. Timbang? Cuba cuba lah fikir sendiri.
Aku tidak berhenti dimana mana dan terus berpatah untuk pulang ke Sungai Petani. Sempat aku menelifon orang rumah untuk membeli nasi lemak kegemaran dari gerai tidak jauh dari rumah kami.

Statistik :
   Mula ................  7.30 pagi
   Tamat ..............  9.30 pagi
   Jarak ................ 51km
   Cuaca ............... OK Sebab masih pagi
   Laluan .............. Lecongan Timur - Kuala Ketil

Jumaat, 3 Jun 2011

therapi kayuhan ..

Sejak dua menjak kebelakangan ini rasa malas dan letih semasa bangun pagi. Pula, selalu terlajak tidur dan bangun agak lewat hingga hampir jam 7.00 pagi. Kalau dahulu bila lajak 6.00 pagi, isteri selalu berleter dan menggerakkan tetapi mungkin dia tahu aku perlukan lebih rehat dia tidak menggerakkan aku bangun melainkan jika terlajak melebihi 7.00 pagi.
Bukan lah teruk sangat tetapi rasa otot otot kaki sengal dan bagai tidak upaya untuk membuat kerja atau membuat senaman. Isteri aku seperri biasa membebel mengatakan aku salah makan atau badan terlalu letih kerana membuat kerja kerja seperti membersihkan kawasan rumah atau menjaga beberapa pokok tanaman di sekeliling rumah, kurang vitamin lah dan berbagai lagi sebab yang diberikan.
Isteri aku menegah aku dari membuat kayuhan dan menyuruh aku duduk sahaja dirumah dan berehat. Katanya apabila sudah hilang letih sebelah petang atau esok boleh lah berbasikal.
Perangai aku semakin ditegah semakin pula aku hendak buat. Alasan yang aku berikan mungkin kerana aku tidak membuat senaman menyebabkan otot rasa letih dan badan tidak bermaya. Pulak lagi, aku baru sahaja membeli sepasang seluar baru untuk berbasikal. Inilah masa untuk memakainya.
Keluar rumah agak lewat dan aku menggunakan mtb. Niat aku untuk menghilangkan rasa letih dan sengal otot. Ini yang dimaksudkan rawatan therapi kayuhan..... Sudah terbukti banyak penyakit yang boleh disembuhkan dengan melakukan kayuhan termasuk penyakit parkinson, sakit neurology dan pelbagai komlikasi lain. Pesakit menggunakan basikal statik dan diawasi oleh para pelatih professional.
Aku bercadang untuk berkayuh hanya lebih kurang satu jam. Isteri aku ingin menziarah jenazah seorang wanita kenalannya tidak jauh dari rumah kami. Tambahan pula hari Jumaat.
Tengah seronok melayan fikiran dan menumpukan tenaga membuat kayuhan aku ternampak seekor anjing berada di tepi jalan. Tanpa syak apa-apa aku terus berkayuh dan terkejut apabila anjing tersebut mengejar dan menyalak aku. Walaupun telah banyak kali melalui jalan ini, ini kali pertama perkara sebegini berlaku. Tidak sedikit pun aku merasa takut atau terkejut dan anjing tersebut 'give up' selepas mengejar untuk lebih 10 meters. Dari perhatian aku anjing betina yang mengejar aku mungkin melindungi anak anaknya yang sedang bersembunyi didalam semak semak ditepi jalan.
Berbeza dengan pengalaman dimana basikal aku dikejar oleh seekor kera jantan yang agak besar. Lokasi peristiwa tersebut hanya satu kilometer kehadapan dari lokasi aku dikejar anjing sebentar tadi. Ketika melalui kawasan tersebut terdapat sekumpulan kera sedang mencari makan ditepi jalan mengeledah bungkusan plastik sampah yang bertaburan di tepi jalan. Tabiat orang kita, membuang sampah merata rata. Seekor kera jantan yang dua kali ganda besar dari kera lain duduk di atas tiang penghadang jalan. Sebaik basikal aku mendekati kumpulan yang sedang berkenduri, kera jantan tersebut terjun dari tempat ia bertenggong dan mengejar kearah aku. Dia membuka mulut dengan luas menunjukkan dua taring yang tajam dengan suara yang amat garang. Aku terkejut dan mengelabah. Berderau darah dan menjadi panik. Aku berkayuh ketengah untuk keseberang jalan. Nasib baik tiada kereta dibelakang.
Sejak peristiwa tersebut aku berhati hari ketika melalui kawasan tersebut. Bukan aku seorang yang kena, cyler lain juga mengalami peristiwa sama sehinggakan kawan baik SK Juan mengelak dari melalui kawasan tersebut. Jika perlu dia akan berkayuh dari arah bertentangan. Terlintas dikepala mengapa kera atau berok tersebut berkelakuan demikian.
Apabila sampai balik kerumah aku berasa badan ringan dan rasa lemah yang di alami sebelum kayuhan hilang. Esok aku akan berkayuh lagi untuk meneruskan terapi menyihatkan badan tetapi terpaksa dipendekkan kerana mendapat lima jemputan 'walimatul urus'.

Statistik :
   Mula ................ 8.00 pagi
   Tamat ..............  9.20 pagi
   Jarak ................ 33km
   Cuaca ............... panas
   Laluan .............. Lecongan Timur - Lencongan Barat

Rabu, 1 Jun 2011

Rasa lain macam je ......

Suboh tadi hujan turun dengan lebat seawal jam 5.00 pagi. Aku pasang niat sebelum masuk tidur untuk membuat kayuhan pagi ini dan terpaksa dibatalkan. Pagi hari sebelum pun begitu juga, hujan turun. Pada sebelah petang tadi cuaca amat baik sekali dengan langit cerah dan matahari bersinar terang. Tidak mahu mensia-siakan keadaan yang begitu indah, aku mengambil keputusan untuk keluar bersiar siar dengan basikal MTB lama.
Sebaik sahaja aku membuka pintu pagar untuk memulakan kayuhan, handphone pula berbunyi. Seorang kawan ingin berjumpa. Terpaksa tangguhkan kayuhan sambil menunggu kawan tersebut datang. Mungkin membawa hajat besar kerana beriya-iya meminta aku menungg sehingga dia sampai.
Kawan ini adalah seorang pesara guru berumur lebih 65 tahun dan kematian isteri pada bulan Disember 2010 kerana stroke.
Tujuan dia ingin berjumpa adalah untuk menghantar kad jemputan kahwin. Dia menamatkan tempuh dudanya selepas enam bulan keseorangan. Walaupun ada empat orang anak tetapi tiada seorang pun yang tinggal dengannya.
Aku bertanya bagaimana reaksi anak anak bila dia berkahwin lain menggantikan arwah emak mereka. Menurutnya sebagai lelaki, tidak perlu untuk meminta izin atau kebenaran untuk berkahwin lagi selepas kematian isteri. Sekadar memberitahu anak anak tentang hajat sahaja. Seseorang itu perlukan teman hidup untuk menghabiskan sisa-sisa hidup. Kalau diharapkan anak anak untuk menjaga makan minum, agak susah kerana mereka semua ada tanggungjawap dan keluarga masing masing.
Sebelum meninggal dunia, isterinya lumpuh dan tidak boleh bangun hampir dua tahun (bed-ridden). Kawan aku ini menjaga dan merawat isterinya sehingga ke akhir hayat. Anak anak cuma balik sekejap sekejap pada cuti hujung minggu atau cuti umum. Pernah dia mengaji pembantu rumah warga Indonesia untuk menjaga isterinya, tetapi tidak lama kerana pembantu cabut lari kerana tidak sanggup menjaga orang sakit seperti isterinya. 
Dalam tempuh tersebut, pernah aku dengar desas desus bahawa sahabat ini kelihatan dengan wanita lain. Tiada komen. Hak dia. Dua tiga bulan selepas kematian isterinya ada desas desus mengatakan dia telah berkahwin lain. Sekali lagi aku tidak mahu membuat sebarang andaian. Aku diam sahaja. Hah ...... sekarang barulah jelas. Dia dan pasangan telah selamat diijabkabulkan pada 21 Mei 2011 lalu dan kenduri akan diadakan pada Sabtu 04 Jun ini.
Walau apa pun aku tumpang bergembira diatas keputusan itu dan mendoakan kebahagian. Sekurang kurangnya hidupnya akan lebih terurus dan akan menghabiskan lebih masa dirumah. Sebelum ini dia banyak menghabiskan masa dengan hobinya iaitu memancing. Tidak kira memancing di darat (maksud aku ... kolam ikan) atau dilaut. Kalau ke laut, selalunya pergi untuk beberapa hari ke pulau pulau berhampiran dengan persisiran pantai Negeri Kedah atau Pulau Pinang. Mungkin ini akan berubah apabila dia mendapat pengganti baru.
Aku berkayuh ke Supermarket Gaint yang terletak lebih kurang tiga kilometer dari rumah. Pada mulanya aku hanya ingin membeli sepaket 'Instant Quarker Oats' untuk sarapan setiap pagi. Kedai runcit berhampiran rumah sudah kehabisan stok.
Aku telah mengamalkan quakers oats sebagai sarapan setiap pagi sejak tahun 1996 apabila aku diserang penyakit jantung. Dahulu aku mencampurkan susu pekat manis kedalam oats tersebut untuk menjadi lebih enak dan sedap dimakan. Beberapa tahun kebelakangan ini aku hanya mencampurkan air panas tanpa susu atau gula. Alah bisa tegal biasa.
Satu perkara yang aku malas untuk ke Supermarket ialah walaupun pada mulanya berhajat untuk membeli satu barang, akhirnya membawa pulang lebih banyak barangan lain. Tidak kisahlah kerana mungkin barangan lain tersebut diperlukan.
Apa yang aku ingin luahkan ialah apabila terlalu banyak barangan aku terpaksa menggantung pada handle basikal. Semasa berkayuh pulang aku merasa pelik .. macam orang tu je ..... maksud aku, nampak macam pekerja Bangla atau Nepal atau Vietnam pergi shopping pada sebelah petang selepas kerja atau pada hujung minggu. Bezanya mereka selalu pergi shopping berkumpulan dan berkayuh pulang beramai ramai.
Rasa janggal dan lain amcam je pula. Cepa cepat aku pulang kerumah.