Halaman

Selasa, 30 Ogos 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI ...

Aku mengucapkan 'Selamat Hari Raya Aidil Fitri' kepada semua cyclist yang beragama Islam

OK bulan puasa telah berlalu ... dan sebulan kita berpuasa menunaikan ibadah rukun Islam yang ketiga. Kebanyakkan cyclist yang beragama Islam juga  'berpuasa' dari mengayuh basikal. Kini kita boleh memulakan aktiviti tersebut semula.

Khamis, 25 Ogos 2011

tidur dalam semak ......

Minggu lepas aku membaca satu artikel yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian, Ia mengenai catatan seorang penulis mengenai pengalaman malam Ramadhan. Kalau tengok timeline, penulis tersebut seangkatan dengan aku. Penulis menceritakan bagaimana mereka menghabiskan malam Ramdahan semasa keluarga sedang menunaikan solat tarawih. Beliau menceritakan tentang main sorok sorok dan mengenai seorang kawan yang tertidur diatas pokok.
Membaca rencana tersebut mengingatkan aku kepada pengalaman yang serupa yang berlaku kepada diri aku sendiri. Juga berlaku pada malam bulan Ramadhan ketika keluarga yang lain menunaikan solat sunat tarawikh. Aku pula tertidur didalam semak diatas timbunan lalang kering yang sangat menyeronokkan.
Kalau aku tidak dapat menggunakan basikal kerana lambat atau kerana orang lain perlu menggunakan basikal, aku akan kesurau untuk berjumpa dengan kawan kawan sebaya lain. Kami tidak naik atau masuk ke surau mengerjakan solat, tetapi akan sepakat untuk bermain diluar suaru. Kami telah mencari kata sepakat tentang apa yang akan dimainkan untuk malam tersebut.
Permainan yang paling digemari ialah 'sentry', Ia memerlukan ramai orang dan dibahagikan kepada dua kumpulan. Permainan ini sama seperti filem combat atau 'war game'. Tidak perlu pakaian seragam atau senapang. Satu kumpulan akan menyurok manakala satu kumpulan lagi akan mencari. Kumpulan yang mencari perlu berhati hati kerana mereka juga boleh di 'tembak dan mati' dan dikira kalah. Anggota mana mana kumpulan akan dikira mati apabila dia dilihat atau dijumpai dan namanya disebut oleh anggota kumpulan yang lain. Kumpulan yang kematian semua anggotanya dikira kalah dan permainan set baru akan dimulakan dengan kumpulan yang kalah mencari.
Kebanyakkan pemain mempunyai tempat bersembunyi yang digemari termasuk dalam bilik air, dibawah surau, disebalik tiang atau pokok atau dimana sahaja yang difikirkan sesuai. Juga mereka boleh mengubah tempat untuk mengelakkan dikesan.
Aku lebih suka menyorok dalam semak dikeliling kawasan surau. Menyorok dalam semak atau lalang lebih susah untuk dijumpai. Bila menyorok dalam semak semak aku tidak langsung memikirkan keselamatan.  Tidak terfikir tentang binatang bisa seperti ular, lipan jengking dsb. Agaknya binatang tersebut takut kepada kami dan habis cabut lari ketika kami sedang bermain. Ketika menyuruk dalam semak, semua tidak menggunakan lampu suluh. Lampu suluh menjadi macam gadjet untuk orang dewasa sahaja. Walau murah tetapi jarang anak anak memilikinya.
Kalau tempat menyorok itu sukar di jumpai oleh pihak musuh aku akan terus duduk disitu sehingga anggota kumpulan datang memanggil. Ia berlaku jika permainan tamat. Jika tidak aku tidak akan keluar. Disinilah kadang kala boleh tertidur. Tetapi walau terlena, kami seolah tahu bila hendak bangun. Kalau keadaan menjadi senyap sunyi bermakna jemaah telah selesai sembahyang dan sedang menikmati juadah yang dibawa dari rumah untuk dimakan bersama. Setiap keluarga akan membawa juadah berbuka puasa yang memang dibuat lebih dan diasingkan untuk dibawa ke surau. Ketika itu mana yang terlena akan bangun dan perlahan tumpang semangkuk.
Mungkin kerana kehidupan susah ketika itu maka tidak ada banyak baju atau seluar untuk diganti. Jadi seluar dan baju yang dipakai tadi semasa bermain akan digunakan untuk malam esok. Bayangkan dengan bau peluh dan miang dari pokok dan lalang. Bila balik kerumah kami biasanya akan terus tidur tanpa menyalin pakaian atau mandi. Macam mana nak mandi kalau perigi  terletak 100 meter dari rumah dan keadaan gelap gulita. Masa bermain tidak langsung merasa takut tetapi bila hendak pergi ke perigi, huhh seram tengkok...
Ada juga kawan yang tercedera terkena duri atau tunggul kayu, selalunya tidak akan memberitahu ibu bapa. Mana nak bagi tahu ... alamatnya malam besok tidak boleh keluar rumah la..
Oh ya surau kampung aku diberi nama Surau Tengku Muhriz. Masa itu aku tidak tahu siapa dan apa kaitan dengan nama surau. Tunku Muhriz di tabalkan Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke sebelas pada Dec 2008, menggantikan Tunku Jaafar Ibni Almahrum Tunaku Abdul Rahman, baru aku faham serba sedikit sebanyak. Tuanku Muhriz adalah anakanda ke sembilan Tengku Munawir dan adalah cucu kepada Yang DiPertuan Agong yang pertama Tuanku Abdul Rahman.
    

Ahad, 21 Ogos 2011

mereka berkayuh .....

Semasa melalui jalan Sungai Petani - Butterworth aku melihat dua tiga orang rider mtb sedang berkayuh laju menuju ke Sungai Petani. Aku sangkakan mereka dalam perjalanan pulang dari membuat kayuhan, Tidak beberapa lama kemudian tiba kumpulan yang melebihin 30 orang cyclist mengikuti dari belakang, dan seterusnya kumpulan kecil yang lain.
Aku tidak pasti dari mana dan hendak ke mana, aku memperlahan kereta untuk melihat jika ada kawan kawan aku yang turut serta. Kesemua rider berbangsa Cina, maklumlah bulan puasa. Seronok melihat mereka berkayuh. Walaupun cuaca agak panas hari ini, sedikit pun tidak menjejaskan kayuhan mereka. Ramai diantara mereka yang nampak keceriaan dan kegembiraan lebih lagi apabila orang ramai memerhatikan mereka. Tidak sempat mengeluarkan kamera untuk mengambil gambar.
Minggu lepas aku ada mendapat pelawaan dalam facebook untuk mengalu-alukan satu kumpulan pengayuh baikal dari negara jiran, Thailand. Mereka berkayuh dari Hatyai ke Pulau Pinang. Minta maaf tidak dapat  turut serta kerana ada beberapa hal yang perlu dilakukan.
Terasa betapa aku miss mengayuh basikal. Tidak sabar untuk mengakhiri bulan Ramadhan dan memulakan kayuhan. Itu pun kena tunggu paling kurang satu minggu selepas raya kerana akan beraya di Seremban dan Bahau Negeri Sembilan. Terifikir juga untuk membawa bersama basikal balik kampung dan bolehlah menziarahi saudara mara dan sahabat handai menaiki basikal. Eh .... apa pula kata orang kampung nanti.

Khamis, 11 Ogos 2011

merewel pagi petang .....

"Tak kerja lain ke.... pagi petang, siang malam asyik ndak merewel je". Masih terdengar leteran arwah ibu masa aku remaja dulu bila aku sering tiada dirumah. Aku tidak pasti sama ada orang ditempat lain tahu apa itu 'merewel'. Adakah perkataan itu wujud dalam kamus atau perbendaharaan Melayu dan apakah maksud sebenar perkataan tersebut.
Di Daerah Jempul Negeri Sembilan dan mungkin juga daerah daerah lain terutama Rembau dan Tampin, rasanya tahu apa yang dimaksudkan dengan merewel. Mengikut apa yang aku faham, merewel bermaksud 'ke hulu ke hilir/kesini sana tanpa sebarang tujuan'. Itulah yang sering dilakukan atau menjadi favourite pastime masa di kampung dahulu kala. Lebih sesuai jika menggunakan basikal keliling kampung dan pekan bersama rakan rakan.


Rewel, bunyi macam sebahagian dari basikal. Aku google dalam internet dan tidak terkejut apabila melihat banyak keputusan. Entry yang paling atas adalah basikal yang diperbuat dari logam Titanium berjenama Rewel. Ia adalah gabungan sengkatan nama tiga orang pengasas dan pembuat basikal tersebut - Renata, Werner dan Leo  dan menamakan basikal keluaran mereka Rewel. Titanium adalah bahan atau logam alternatif selain dari besi (steel), aluminium dan carbon digunakan untuk membuat frame basikal. Setakat ini basikal Rewel dikeluarkan mengikut tempahan sahaja dan bilangan pengeluaran terhad.
Pada malam bulan puasa ini, aku teringat aktiviti yang biasa dilakukan oleh budak budak dan remaja (termasuk aku) kampung pada tahun 1960'an. Masa itu tidak pernah melihat kotak TV sebenar apatah lagi menonton TV, hiburan yang paling dekat hanyalah 'transistor radio' yang baru dipekenalkan menggantikan radio jenis tube/valve. Jadi hanya budak budak baik atau yang mempunyai emak ayah yang garang sahaja yang duduk dirumah pada waktu malam bulan Ramadhan. Yang lain, apa lagi ... merewel lah!
Di kampung pada masa dulu, kami remaja hanya dapat peluang kebebasan keluar malam hanya pada bulan Ramadhan sahaja. Itu pun diatas tiket untuk ke masjid atau surau untuk solat tarawikh.
Bagi kebanyakkan remaja, aktiviti merewel bermula sebaik sahaja selesai berbuka puasa. Kena cepat taku kalau orang lain (abang) gunakan basikal dahulu. Masa itu hanya ada sebuah basikal sahaja dirumah. Rata rata orang kampung mempunyai satu basikal. Mana mana keluarga yang mempunyai lebih dari satu sudah kira senang atau kaya dari average. Kalau basikal orang lain sudah guna dulu, kenalah tumpang basikal kawan. Kadang kala satu basikal naik tiga orang. Satu duduk di belakang diatas carrier dan satu lagi dihadapan, duduk diatas galang. Senario itu sudah tidak kelihatan lagi sekarang. Walau apa cara sekali pun .... merewel tetap tidak boleh tinggal.
Destinasi pertama ialah gerai gerai yang dibuka khas pada malam bulan Ramadhan. Kebanyakkan gerai dibina sementara di persimpangan jalan atau lokasi strategik untuk perniagaan sepanjang bulan puasa sahaja. Tidak banyak pilihan makanan dan minuman yang dijual dan tiada makanan yang heavy. Kebanyakkan menjual kuih kuih biasa, tauhu sumbat, mee rojak dan mee goring. Minuman sejuk berais menjadi kegemaran.
Bukannya tujuan untuk makan minum sangat, lebih kepada lepak dengan kawan kawan. Maklumlah pada siang tadi berpuasa, tidak boleh sembang merapu tidak tentu atau ketawa terbahak bahak, takut terbatal puasa. Anihnya apa sahaja yang dijual terasa lebih enak dari biasa.
'Penyedap' adalah satu daya tarikan yang dapat menarik pelanggan yang disediakan oleh perniaga yang enterprising (berkreativiti, initiatif dan bersedia mengambil cabaran). Alah ... ia hanya satu slang yang digunakan dimana perniaga membawa anak gadis sendiri untuk membantu perniagaan. Kehadiran anak gadis ini akan membuatkan gerai tersebut sentiasa dikunjungi dan dipenuhi. Lebih lagi kalau anak gadis itu cute. Sambil jamu selera sambil jamu mata.
Kalau ada penyedap bukan setakat remaja dari kampung itu yang menjadi pelanggan tetap tetapi juga remaja dari beberapa kampung lain juga akan berkunjung disini. Maka terjadilah babak babak macam dalam wayang gambar dulu dulu. Bergaduh kerana ingin memikat anak gadis tersebut.


Rabu, 10 Ogos 2011

dirompak semasa berbasikal ...

Dua tiga hari kebelakangan ini kebanyakkan media termasuk akhbar dan media elektronik menyiarkan berita tentang seorang pelajar Malaysia tercedera pada rusuhan di Bandaraya London. Rusuhan yang berlaku sejak awal Ogos, bermula di London kemudian merebak ke bandar lain termasuk Birmingham dan Menchester. Rusuhan berpunca ketidakpuasan penduduk kepada kerajaan,  masalah kesempitan hidup akibat kemerosotan ekonomi. Rusuhan adalah yang terburuk sejak 20 tahun.
give me all your money ! ........
Seorang pelajar Malaysia tajaan MARA, Asyraf Hafiz Rosli keluar mengayuh basikal bersama seorang kawan  membeli makanan untuk berbuka puasa. Malang Asyraf dicederakan dan dirompak oleh sekumpulan lebih 20 orang perusuh. Beliau mengalami cedera teruk pada bahagian muka dan darah mengalir dari mulut. Kemudian handphone, dompet duit dan basikalnya  dicuri oleh orang yang berpura menolong. Kawan  yang bersamanya sempat melarikan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Video kejadian di upload dalam Youtube.
Aku bukanlah hendak komen pasal kejadian tersebut kerana pada hakikatnya tragedi sedemikian boleh berlaku dimana mana pun di dunia ini dan kepada sesiapa pun. Aku mengucapkan takziah kepada Asyraf. Semoga kejadian tersebut tidak mematahkan semangat belajar dan mendapatkan ilmu pengetahuan. Diharapkan semoga dia dapat cepat melupakan titik hitam tersebut. Hidup mesti diteruskan.
Ini mungkin satu episode malang dalam hidup Asyraf. Berada di waktu dan tempat yang salah. Tragedi yang akan menjadikan Asyraf lebih memahami erti dan realiti kehidupan terutama lagi ditempat orang. Ia akan menjadikan Asyraf lebih matang dan tentu sekali sebagai satu persediaan untuk menempuhi sebarang ranjau di masa mendatang. Dia telah menyuarakan tekad dan azam semasa dikatil hospital. Dia juga tidak akan putus semangat untuk meneruskan apa yang dikejar selama ini. Dia dengan matang sekali memaafkan pihak pihak yang melakukan dan menyebabkan kecerderaan dan mencuri barang kepunyaannya.
Apa yang diperolehi sebagai belasan walaupun dia tidak memintanya. Menjadi celebrati dalam sekelip mata atau overnight? Apa tidaknya, sejak video kejadian disiarkan dalam You tube, jutaan orang di seluruh dunia menontonnya, tidak kurang yang memberikan kata kata simpati dan kata semangat. Sesuatu yang amat diperlukan ketika mengharungi detik detik sedemikian.
Siapa yang harus disalahkan? Asyraf? Perusuh? masa? tempat? .... Ia berlaku hanyalah kerana mangsa keadaan atau victim of circumtances. Mungkin telah tersurat.
Balik ke tanah air kita, kejadian yang menimpa Asyraf mendapat liputan sensasi oleh akhbar, media elektronik dan internet.  Adakah orang peduli? Adakah kejadian tersebut lebih dasyat dari berbelas atau berpuluh kematian setiap hari akibat kemalangan yang berlaku di jalan raya negara kita. Berapa banyak kejadian bunuh yang berlaku kebelakangan ini hingga begitu ngeri apabila mayat di potong potong bagaikan memotong ayam, disumbat dalam lobang jamban, dicampak kedalam tong sampah, kedalam sungai atau kedalam hutan?
Aku kesal ada pihak pihak tertentu yang menangguh di air keruh, mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi atau kepentingan lain. Ada pihak pihak tertentu mencari publisiti murahan. Segala bantuan dan pertolongan sangatlah dihargai dan semestinya diberikan. Ada pihak yang mengeluarkan belanja sehingga RM20,000 membiayai tiket penerbangan untuk ayah, ibu dan adiknya untuk menziarahi Asyraf. Manakala ada pihak yang sedia menanti mereka di kota raya London untuk urusan selanjutnya. Syabas dan tahniah.
Tetapi adakah perlu memperagakan, mencanangkan dan menghebahkan didada akhbar dan di screen TV siapa yang menbiayai semua itu? Jika ada niat atau nawaitu lain semasa menghulurkan pertolongan, bermakna ia tidak ikhlas. Bantuan yang diberikan mempunyai ulterior motive. Menimbulkan syak wasangka dan pertanyaan.
Sebagai seorang cyclist, aku merayu kepada semua ahli kelab basikal dan individu yang mempunyai basikal supaya bersama sama mengutuk sekeras-kerasnya orang yang mencuri BASIKAL kepunyaan Asyraf Hafiz Rosli. Basikal dirampas dan dicuri semasa menunggangnya! How dare he! Kelakuan bagaikan bapak lanun. Marilah doakan semoga pencuri tersebut akan dilanggar kereta bila menggunakan basikal tersebut.          ha ha ha, he he he ......

p/s .... satu minggu kemudian pencuri ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.
  

Ahad, 7 Ogos 2011

Bekalan air terputus

Hari ini cuaca begitu cerah. Setiap orang yang akan aku jumpa akan memberikan komen tentang cuaca. "Oh... panasnya hari ini". Itulah yang sering aku dengar. Memang selama ini sejak bermula bulan puasa, langit diselubungi jerubu menjadikan cuaca berbahang tetapi sinaran matahari tidak terik. Awal pagi sebelum waktu bersahur, hujan lebat turun. Ini menyebabkan langit menjadi 'bersih' dan cahaya matahari menjadi panas terik.
Pada sebelah pagi aku bercadang untuk membuat kayuhan petang sekitar bandar Sungai Petani untuk melihat aktiviti petang Ramadhan. Sayang ..... rancangan terpaksa dibatalkan. Apabila aku pulang dari menghantar anak ke stesyen KTM Sungai Petani pada jam 4.00 petqng, didapati bekalan air SADA dirumah aku terputus. Check luar dalam, telipon jiran dan tanya jiran depan rumah semua mengatakan tiada air. SADA sedang membaiki kerosakkan paip di jalan utama Taman Intan.
Berapa lama bekalan air akan terputus tiada siapa pasti. Yang pasti isteri mula membebel bagaimana hendak memasak untuk juadah berbuka puasa. Jam 6.00 petang masih tiada tanda tanda bekalan air akan pulih. Isteri aku sudah merancang untuk membeli juadah berbuka walaupun telah menjerang air minuman menggunakan air mineral. Susah juga menahan diri dari memaki hamun SADA kerana tidak menghebahkan kerja kerja senggaraan yang dijalankan. Lebih lagi pada petang bulan puasa. Sabar aje lah ... mengikut kata anak anak remaja sekarang.
Bekalan air pulih selepas waktu berbuka setelah terputus hampir 4 jam. 
Di stesyen KTM Sungai Petani petang tadi penuh sesak dengan penumpang. Rata rata penumpang terdiri dari pelajar beberapa IPT di Perlis termasuk Unimap, UiTM, MRSM, Politeknik serta beberapa IPTA. Kereta api petang hanya mempunyai dua gerabak tetapi tikeet yang dikeluarkan melebiki dua kali ganda kapasiti coach. Itu belum diambil kira mereka yang telah menaiki tren dari Butterworth dan Bukit Mertajam. Setengah dari penumpang termasuk anak perempuan aku terpaksa berdiri hampir dua jam untuk ke Arau, Perlis.
Tren menjadi alternatif penting kepada pelajar dari Sungai Petani untuk ke Perlis kerana tambang yang murah. Hanya RM6.30 dari Sungai Petani ke Arau dan ada diskaun untuk pelajar. Sudah tambang bas lebih mahal, masa yang diambil lebih lama kerana tiada bus direct dari Sungai Petani ke Arau. Teksi pula jangan cakap le ... paling minima RM70.00.
Banyak rungutan orang ramai ialah kenapa pihak KTM tidak menambah coach tren untuk menampung kapasiti penumpang yang ramai terutama pada penghujung minggu.Perlu diingat bahawa tren ini bukan kepunyaan KTM tetapi tren dari Hatyai ke Butterworth. Tren akan sampai pada setiap tengah hari membawa penumpang dari Thailand, berhenti beberapa jam dan kemudian berpatah balik ke Hatyai. Serupa dengan tren Senandung Langkawi dari Kuala Lumpur ke Hatyai. Hanya dua koc dari Padang Besar ke Hatyai. Koc lain ditinggalkan di Padang Besar.
........  kini sudah tiada
Mungkin suasana akan berubah apabila 'double track' siap pada tahun 2013 nanti. Projek sedang rancak berjalan. Banyak jalan ditutup dan dilencongkan. Stesyen lama Sungai Petani telah dirobohkan dan kini menggunakan cabin sementara. Pembinaan stesyen baru masih belum tidak nampak kerana menumpukan kepada pembinaan landasan.
Ah ... untuk sampai ke stesyen KTM dari rumah pun mengambil masa agak lama. Bandar Sungai Petani kebelakangan ini sering mengalami kesesakkan jalan raya terutama pada hujung minggu. Ia menjadi lebih teruk dengan datangnya bulan puasa dan musim perayaan. Peliknya jalan lencongan luar dan lencongan dalam yang dibina beberapa tahun lalu tidak dapat mengurangkan kesesakkan.
Lebih senang berbasikal sahaja jika tidak membeli banyak barangan.

Sabtu, 6 Ogos 2011

...... tiada kayuhan

Selalunya aku akan membuat entry dalam blog ini bila aku melakukan kayuhan atau excercise lain. Idea untuk kandungan blog selalunya datang semasa tengah melamun. Kalau banyak idea datang, aku akan mencatatkan apa yang penting didalam handphone. Jika ada kesempatan aku akan menulis buku nota kecil yang sentiasa aku bawa bersama kemana sahaja aku pergi.
Cara begini aku tidak akan lupa. Apabila sampai kerumah selesai kayuhan aku selalunya tidak terus mencatatkan kedalam blog. Entry hanya dibuat pada sebelah malam atau kadangkala sebelah petang. Jestru peralatan seperti handphone dimana entry atau catatan ringkas boleh dilakukan.
Aku tidaklah begitu arif dalam penulisan rencana atau penulisan blog. Masih terkial kial semasa menterjemahkan apa yang difikirkan didalam otak kepada word prosessor agar ianya boleh dan seronok dibaca. Aku kagum kepada corak penulisan bersahaja sesetengah bloggers yang terlalu bersahaja tentang hal hal yang berlaku atau yang dialami.
Hari ini aku merasa tidak senang dan merasa sedikit malu dan bersalah apabila membuka laman blog sendiri. Rasa bersalah apabila melihat tarikh entry akhir yang sudah agak lama. Apakah yang difikirkan oleh rakan rakan serta pelayar internet yang mendapati tiada entry yang baru dicatatkan. Aku tidak mahu sesiapa memikirkan bulan puasa menjadi halangan kepada apa apa aktiviti yang dilakukan sebelumnya.
Aku akan cuba mencatatkan perkara berkaitan dengan aktiviti berbasikal walau tidak berkesempatan berkayuh.
     

Khamis, 4 Ogos 2011

hari ke empat

bicycle parts !!
Adakah hanya aku seorang atau semua cyclist (mtb's atau rb's) merasakan perasaan dan keadaan yang aku alami hari ini. Hari ini adalah hari keempat umat Islam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan tahun ini. Serba tidak kena terutama selepas tengah hari. Setengah pulang kerumah dari menjalani rutin harian pada sebelah pagi aku berehat seperti biasa dan menghabiskan hampir satu jam untuk melelapkan mata. Siesta tanpa makan tengah hari kerana bulan ramadhan (siesta - A rest or nap after the midday meal).
Bayangkan tidur pada awal petang yang tidak berapa tenteram. Aku sering terjaga dengan gangguan atau bunyi yang minimal. Menjadi resah dan tidak keharuan. Ah.... mungkin disebabkan cuaca. Kelmarin hujan agak lebat hingga aku basah kuyup semasa balik dari solat tarawikh. Hari ini langit cerah dan panas terik. Selalunya aku boleh tidur selama lebih satu jam tanpa mudah dikejutkan seperti hari kedua puasa. Jiran aku memanggil hampir lima minit diluar pagar rumah baru aku tersedar. Aku suka tidur di ruang tamu pada waktu siang dengan pintu utama terbuka luas.
Jiran belakang rumah menghantar sesisir pisang rastali untuk berbuka puasa. Dia bukan beragama Islam tetapi amat menghormati jiran dan sahabat yang sedang berpuasa. Dia pun bersedekah pada bulan Ramadhan ini walau tidak berpuasa.
Oleh kerana tidak boleh tidur petang aku keluar ke pekan untuk menjelaskan beberapa bil seperti bil telepon dan elektrik tetapi bila balik kerumah sekali lagi aku merasakan badan aku tidak selesa. Cuba melayari internet dan kemudian cuba membaca Al Quran digital di dalam laptop tetapi masih tidak dapat meredakan keadaan badan. Mungkin ini disebabkan aku mengalami sedikit sakit perut sebelah pagi kerana terlalu banyak minum 'fresh orange' waktu berbuka.
Aku cuba menolong isteri aku didapur hanya kena tegur sahaja kerana tidak membuat apa yang disuruh. Akhirnya sekali lagi isteri menjadi penyelamat keadaan. Dia menyuruh aku keluar dengan basikal aku. Ada kebenaran apabila dia menyatakan sudah lebih empat hari aku tidak membuat excercise, itulah sebabnya badan menjadi lemah dan serba tidak kena. Biarkan tugas menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang pompuan.
Aku menunggu sehingga cahaya matahari redup sedikit sebelum keluar. Tidak bercadang untuk pergi jauh kerana tidak pasti samada mempunyai tenaga mencukupi. Mungkin lebih sedikit dari 30 minit dan tidak lebih dari 10 kilometer sahaja. Kalau tidak menghadapi masalah mungkin petang esok aku akan pergi jauh sedikit.
Semasa berpuasa aku berpendapat lebih elok melakukan kayuhan waktu petang berbanding pagi. Jika kehausan atau dahaga pada akhir kayuhan, hanya menunggu masa pendek waktu berbuka untuk menghilangkan dahaga.
Aku berkayuh ke pasar ramadhan di Taman Delima. Pasar tersebut telah wujud ditapak yang sama lebih lima belas tahun lalu. Kebanyakkan peniaga yang sama berniaga setiap tahun. Aku boleh merasakan rasa masakan yang dijual tanpa perlu memakan. Kebelakangan ini, jalan dimana pasar ramadhan diadakan menjadi lebih sesak dengan pengunjung. Terdapat pengunjung yang tidak memikirkan orang lain dengan meletakkan kenderaan merata tempat dan menyebabkan kesesakan jalan.
Keluarga aku sudah lama tidak membeli kueh atau makanan di pasar ramadhan. Lebih enak makanan yang dimasak sendiri walaupun simple. Kadangkala makanan yang dijual nampak enak semasa kita berpuasa tetapi tidak terasa apa apa apabila dimakan waktu berbuka. Makanan dan kueh tersebut kebanyakkan disediakan pada awal pagi dan tidak lagi sesuai untuk dimakan pada waktu berbuka. Aku hanya membeli buah-buahan dan makanan yang aku pasti sesuai.
Sempat berjumpa dan berbual dengan beberapa kenalan. Aku sampai dirumah lebih kurang setengah jam sebelum waktu berbuka.

That was a good ramadhan ride ....
.... dan aku merasakan lebih segar