Halaman

Selasa, 31 Januari 2012

2 pusingan .....

Hendak berkayuh jauh tetapi enggan untuk ikut jalan jauh ... apa entah. Cara paling mudah untuk menyelesaikan masalah ini ialah dengan membuat dua pusing lencongan barat dan timur di Sungai Petani. Sejak petang aku membuat rancangan dan sebelum tidur aku seolah 'berniat' untuk menyempurnakan cadangan tersebut.
Cakap pasal tidur .... walaupun masuk tidur awal tetapi dikejutkan pada jam 11.30 malam oleh dentuman mercun dan bunyi syrikkkk bunga api. Ianya berterusan hingga hampir jam 1.00 pagi. Kaum Cina menyambut malam yang ke 9 tahun baru dan malam tadi mereka sembahyang kepada salah satu tuhan mereka dengan membakar colok dan membakar bunga api.
Sebenarnya ia satu idea yang amat praltikal. Kenapa perlu berkayuh jauh sehingga ke Baling atau Sik untuk pergi hingga 100 km atau lebih kalau sememangnya untuk menyihatkan badan. Sama juga kalau kita berkayuh tiga atau empat pusingan pada jalan yang sama dan masih dapat pergi jarak yang sama. Jalan yang aku ikut hari ini mempunyai jarak 32 km satu pusingan, jadi kalau membuat empat pusingan akan dapat 128 km.
Kelebihan? banyak juga kalau difikirkan. Jika menghadapi sebarang masalah kita tidak jauh dari rumah. Jika ada kerosakkan kita boleh menolak basikal ke kedai basikal berhampiran. Kalau kerosakkan teruk sangat, telipon sahaja rakan atau ahli keluarga, tanpa mengambil masa lama mereka akan sampai. Jika tidak larat atau merasa letih ... well dengan pantas boleh pulang ke rumah. Kelebihan yang paling ketara ialah, semasa mengelilingi jalan tidak terasa begitu jauh.
Kayuhan ini boleh  dilakukan seorang diri.
Kekurangan? cemuih atau jemu melihat sceneri atau pemandangan yang sama. Berapa ramai yang menikmati pemandangan dikiri atau kanan jalan semasa berkayuh? Kebanyakkan hanya untuk sampai kedestinasi yang dituju tanpa mempedulikan apa yang ada disepanjang jalan.
Jadi hari ini aku membuat dua pusingan dengan pusingan kedua mengikuti arah bertentangan. Lain kali aku akan membuat tiga dan empat pusingan yang boleh menyamai kayuhan pergi balik Sungai Petani - Baling atau Sungai Petani - Sik atau Sungai Petani - Alor Setar.

Statistik
   Mula ............. 8.10 pagi
   Tamat ........... 11.15 pagi
   Jarak ............. 63 km
   Cuaca ........... Redup
   Laluan .......... Lencongan Timur - Lencongan Barat - Lencongan Barat -
                            Lencongan Timur
  Odometer 2012 : 00588
   

Isnin, 30 Januari 2012

basikal vs kancil

Aku cuba merongkai kemalangan yang berlaku terhadap persediaan pelumba basikal kebangsaan yang menjalani latihan kelmarin. Simpati penuh dan ucapan takziah kepada mereka yang terlibat dalam kemalangan tersebut. 


Inilah yang selama ini menjadi igauan dan mimpi ngeri apabila membuat kayuhan dijalan raya lebih lagi jika pada waktu puncak dimana terdapat banyak kereta dijalan. Ngeri kerana kadangkala mereka sengaja buat tidak nampak ada pengguna lain yang mempunyai hak untuk berada dijalan raya. Mereka seolah olah berkata ... 'kau orang tidak bayar roadtax, ketepi.... aku nak lalu'. Ramai pemandu yang terlalu hampir dengan penunggang basikal hingga terasa kuasa tarikan udara kenderaan mereka.
Ada juga pemandu yang terlalu berhati hati dengan membunyikan hon berkali kali walaupun basikal dikayuh dibahagian lorong yang betul. Apabila berlaku tragedi kemalangan sebegini siapakah yang harus dipersalahkan. Kedua dua pihak akan menuding jari antara satu dengan yang lain.
Pendapat aku bahawa sikap dan kelakuan pemandu Malaysia sudah terlalu sukar untuk diubah. Tidak kira dia pemandu lelaki atau perempuan, pemandu baru atau sudah berpuluh tahun, tidak mengira usia, bangsa, pegawai kerajaan atau orang biasa, kaya atau miskin, ustaz ke, tuan haji ke, dibandar atau dikota, motorsikal atau kereta atau kenderaan awam semuanya sama sahaja. Bila berada dijalan raya memegang steering atau handle motor, orang lain kena ketepi. Ketika itu merekalah yang paling hendak cepat, yang paling cekap memandu, yang paling laju.
Kadar kemalangan jalanraya dinegara kita adalah salah satu yang paling tinggi didunia. Lihat sahaja statistik kematian pada op sikap pada perayaan tahun baru cina. Memanglah orang Malaysia suka mencipta nama dan bebangga apabila mencapai tahap tertinggi atau dapat memecahkan apa rekod atau menjadi juara tetapi rekod seperti kemalangan sepatutnya tidak perlu dimasukkan.
Sebaliknya kita yang mengayuh basikal juga ada yang bersikap dan berlagak seolah olah mempunyai hak sama seperti kenderaan berenjin. Mereka kadang kala kayuh bersaingan dan ada pula yang berbual seolah oleh tiada kenderaan lain. Ok... ramai yang memasang lampu merah dibelakang yang berkelip kelip tetapi ia tidak memadai kerana agak sukar dilihat pada waktu siang.
Perangai pengayuh basikal juga berubah apabila berkumpulan. Lebih lebih lagi kalau ada program kayuhan. Adanya pihak beruniform mengawal dan mengarahkan lalu lintas dan marshall membuatkan mereka berasa lebih gah dan sombong. Kenderaan lain mesti memberi laluan kepada mereka.
Satu perkara yang mesti diambil berat oleh pengayuh basikal adalah kegagalan pemandu kenderaan berenjin mengagak kelajuaan basikal kita. Apa mereka ingat speed basikal kita sama dengan speed Pakistan jual karpet ke? Kadang kala mereka memotong untuk membelok di simpang membuatkan kita terpaksa membuat brek emergency. Ada pula yang keluar simpang tidak berhenti atau tidak memperlahankan kenderaan dan menyebabkan basikal terpaksa mengelakkan mereka dengan memasuki tengah jalan.
Hah ... macam macam perkara yang kalau hendak dicatatkan disini akan mengambil ruang panjang. Aku bersyukur kerana setakat hampir 9 tahun melibatkan diri dalam aktiviti berbasikal ini tiada lagi mengalami kemalangan dengan kenderaan lain. Mohon pada Tuhan semoga dijauhkan dari malapetaka sedemikian.

 

Ahad, 29 Januari 2012

Tukar haluan

Terpaksa mengubah rancangan untuk ke Tanjung Dawai kerana tiupan angin kencang. Cuaca yang redup dan sejuk memangnya menyeronokkan untuk kayuhan melalui kawasan bendang dan tepi laut, tetapi terpaksa dikorbankan untuk kali ini kerana kayuhan menjadi berat dan pelahan kerana melawan arah tiupan angin timur.
Dari jauh kelihatan banyak kereta berhenti dihadapan Hospital Sultan Abdul Halim, mesti kemalangan teruk. Nasib baik kemalangan dihadapan hospital jadi senanglah orang yang terlibat mendapat rawatan. Kelihatan ramai pasukan beruniform menggunakan bendera merah mengarahkan lalulintas untuk memperlahankan kereta dan mengikut laluan yang diarahkan. 
Sebaik sampai dipintu masuk ke hospital tidak kelihatan satu kenderaan pun di tempat parking dan banyak khemah didirikan. Oh ... bukan eksiden. Mungkin ada VVIP yang datang untuk membuat program dihospital tersebut. Macam mana orang ramai tidak tahu. Banyak bendera lambang Negeri Kedah digantung pada tiang lampu ditengah jalan. Baru kelihatan papan tanda dan banner mengatakan bahawa Diraja sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah akan membuat lawatan rasmi ke hospital sebentar lagi. Sultan Kedah sendiri tidak datang tetapi Tuanku Toh Puan Bendahara yang akan melawat hospital tersebut.
Kesihan juga pesakit dan pelawat terpaksa meletakkan kereta jauh untuk pergi mendapatkan rawatan dihospital. Ada yang terpaksa meletakkan kenderaan lebih satu kilometer di bahu jalan ke komplek mahkamah. Bagi yang mendapatkan rawatan pesakit luar atau untuk mendapatkan ubat itdak menjadi masalah tetapi kalau yang sakit teruk bagaimana hendak pergi ke kawasan kecemasan.
Betul kata kawan aku. Jalan lencongan timur dari hospital ke persimpangan jalan Kuala Ketil telah diturap dengan baik dan elok menjadikan kayuhan begitu lancar. Jarak jalan yang telah dibaikpulih hampir 8 km. Beza jalan lencongan barat dan lencongan timur ialah kelebaran. Jalan lencongan barat disediakan ruang untuk laluan motor tetapi tidak di jalan lencongan timur. Walaupun jalan sudah diturap dan selesa tetapi pengayuh basikal seperti aku terpaksa berebut ruang dengan kenderaan lain. Kadang kala ada kereta yang memotong terlalu hampir menyebabkan degupan jantung terhenti sebentar kerana terkejut.
Apabila melintasi titi (jambatan) Sungai Kong Kedah di Pantai Perai aku melihat kereta seorang kawan dihadapan bunglonya berharga RM200K (tanah sendiri) yang behampir 90% siap tetapi masih belum dihuni. Sudah lama tidak berjumpa dengannya kerana dia seolah olah menghilangkan diri. Kawan rapatnya mengatakan dia sering bersikap dan berkelakuan begitu ketika menghadapai sebarang masalah. Menyepi diri dan tidak mahu berjumpa dengan dan yang paling dikesali tidak mahu menjawab panggilan telipon. Adakah dia tidak tahu jika berkongsi masalah dengan rakan dan sahabat karib akan dapat mengurangkan beban yang ditanggung.
Sempat berbual dengannya hampir satu jam dan mendengar apa masalah yang dihadapi. Sebagai seorang kontraktor dia menyatakan kesusahan mendapatkan kerja dengan keadaan sekarang. Dia amat kekurangan modal untuk menampung kos perbelanjaan pengajiaan anak anak serta perbelanjaan harian. Masalah ini bukan terpencil tetapi kebanyakkan kontraktor dimana mana pun menghadapi masalah sama.
Tersentak dari konsentrasi apabila terdengar seseorang 'kelui' (memanggil) menyuruh aku singgah minum disalah sebuah kedai makan di Kampung Pinang Tunggal. Aku menoleh dan melihat salah seorang rakan yang pernah bekerja bersama aku dahulu. Dia singgah di kampung untuk menziarahi orang tuanya. Persahabatan kami kira baik dan aku sering berjumpa dengannya, kadang kala aku pergi ke gerai kasutnya yang terletak di Taman Pengkalan Lebai Man, tidak jauh dari hospital swasta Metro.
Dia tidak sabar menyampaikan berita gembira kepada aku. Pada suku ketiga tahun lalu kontrak dia dengan syarikat kami bekerja dahulu telah menamatkan kontraknya tanpa sebarang pampasan. Dia telah bekerja sejak tahun 1991. Setelah mendapat pandangan dan nasihat dari rakan rakan termasuk aku sendiri, dia telah membuat aduan ke pejabat buruh. Hari ini dia dipanggil oleh pejabat buruh untuk menandatangani surat dan mengambil cheque pampasan dari wakil syarikat.
Dia belanja aku satu pinggan nasi ayam kerana tolong beri nasihat. Macam tahu tahu sahaja, pada masa itu perut sudah meracau kerana lapar. Aku tidak berhenti minum sejak memulakan kayuhan pagi. Aku menasihatkan dia untuk membelanjakan wang tersebut dengan bijak. Aku juga menyuruh dia menghebahkan perkara ini kepada rakan rakan lain yang telah ditamatkan kontrak sebelum ini tanpa dibayar sebarang pampasan.

Statistik
   Mula ............. 8.10 pagi
   Tamat ........... 11.00 pagi
   Jarak ............. 51 km
   Cuaca ........... Redup, berangin
   Laluan .......... Lencongan Barat - Jalan Kuala ketil - Sidam Kiri - Pinang Tunggal
   Odometer 2012 : 00525
     

Sabtu, 28 Januari 2012

kayuh tak jadi .....

Aku selalu rasa bersalah kalau dua tiga hari berturut turut tidak membuat kayuhan atau senaman. Bukan itu sahaja jika tiada aktivit, aku tiada modal untuk entry blog ini. Rasa tidak seronok atau tidak selesa kalau tidak menulis blog untuk beberapa hari.
Petang kelmarin aku mengemaskan luar rumah, membersihkan daun-daun kering dan membuang sampah yang ditinggalkan oleh orang yang datang menziarahi jiran pada perayaan Tahun Baru Cina. Aku menyumpah nyumpah kepada mereka yang tidak bertanggungjawap, dengan tiada rasa bersalah membuang tin tin dan botol minuman. Bukan setakat itu mereka juga membuang tisu tisu, bekas makanan, pembungkus gula gual dan ada kala lampin bayi pun dibuang dibahu jalan di depan rumah. 
Sambil itu aku berangan angan kemana hendak berkayuh pagi esoknya. Rasanya aku hendak mengikuti jalan NI Sungai Petani - Alor Setar. Sudah agak lama tidak mengikuti jalan tersebut walaupun dua minggu lepas aku mengikuti jalan dari Guar Cempedak - Sungai Petani.
Sebenarnya sejak kayuhan terakhir pada hari Khamis lalu badan aku terasa lemah dan agak letih. Aku rasa tidak begitu berminat untuk membuat kayuhan. Bila membuka pintu rumah kelihatan cuaca mendong dan angin bertiup kencang. Lega kerana tidak perlu membuat kayuhan pagi ini.
Aku cuba mencari jawapan kenapa badan tidak begitu sihat sejak pulang dari Seremban sempena cuti panjang Tahun Baru Cina. Oh agaknya aku makan banyak sangat buah durian, manggis dan pulasan. Kebetulan musim buah buahan di kampung sekarang ini.
Pada mesyuarat panel penasihat klinik kesihatan pada awal bulan Januari, ada dibincangkan masalah kesihatan masyarakat Malaysia masakini. Masalah utama adalah diabetik. Mesyuarat diberitahu oleh doktor bahawa kebanyakkan buah-buahan yang terdapat di Malaysia mempunyai kandungan gula yang amat tinggi berbanding dengan buah buahan import. Kesemua buah buahan seperti rambutan, langsat, dokong, ciku, nangka, cempedak dan lain lain terlalu manis dan ia boleh menyebabkan penyakit diabetik.
Kebanyakkan dari kita tidak dapat menahan nafsu apabila berdepan dengan buah buahan tempatan. Kalau jumpa durian tidak akan puas dengan hanya merasa dua tiga ulas, selalunya kita hanya akan berhenti makan apabila angin keluar dari mulut ... cendawa. Sering aku dengar kawan atau sahabat yang dimasukkan ke hospital kerana makan terlalu banyak durian.
     

Khamis, 26 Januari 2012

Merbau Pulas

SK Juan datang kerumah lewat petang kelmarin hampir masuk waktu maghrib. Mesti ada hal. Menurutnya dalam perjalanan balik dari makan malam. Dia menghadapi masalah mencari tempat makan pada musim perayaan ini. Kebanyakkan restoren cina masih lagi ditutup dan jika ada yang berniaga, dipenuhi dengan pelanggan. Terpaksa beratur dan menunggu masa lama. Pula harga makanan yang dijual lebih mahal dari hari biasa.
Cara paling senang ialah pergi ke restoren nasi kandar yang tidak pernah tutup walau apa keadaan. Juan mengatakan sudah jemu makanan mamak kerana tiga empat hari makan di restoren mamak. Ini lah nasib bujang tua.
Dia mengajak aku berkayuh dan tepat jam 8.00 pagi dia sudah berada dihadapan rumah. Tiada rancangan untuk ke destinasi tertentu, kayuh dahulu dan tentukan arah tuju kemudian. Ikut sedap hati. Kami mengikuti jalan Pinang Tunggal untuk ke Kuala Ketil melalui Pekan Padang Serai. Jalan dari Pekan Sungai Seluang hingga ke Kuala Ketil berbukit bukit (tidak kurang dari 8 pendakian kecil). Ia amat menyeronokkan.
SK Juan tetiba berhenti di hadapan tapak pembinaan universiti KUIN di Kuala Ketil. Dia terpegun melihat pemandangan disebelah jalan dan menyuruh aku berhenti. Terdapat kolam air yang dikeliling pokok kelapa sawit yang sudah tinggi. Kawasan pokok kelapa sawit tersebut dipenuhi dengan rumput yang dijaga rapi seperti padang. Juan bertanya bangunan apa yang sedang dibina. Bila aku mengatakan ialah adalah Kampus KUIN dengan spontan dia menyatakan suasana seperti inilah yang boleh merangsang minda untuk belajar.
Banyak kedai makan yang masih ditutup sempena perayaan Tahun Baru Cina. Sekolah masih belum dibuka manakala kedai kepunyaan orang cina masih bercuti.

Statistik
   Mula .............. 8.00 pagi
   Tamat ............ 11.30 pagi
   Jarak .............. 69 km
   Cuaca ............. Nyaman
   Laluan ............ Pinang Tunggal - Padang Serai - Merbau Pulas - Kuala Ketil
   Odometer 2012 : 00474
    

Isnin, 23 Januari 2012

Bukit Tangga, Jelebu

" .... GONG XI FA CAI .... "
kepada semua rakan dan rakyat Malaysia berbangsa Cina


Sempena cuti sekolah selama 1 minggu kerana sambutan Tahun Baru Cina, Gong Xi Fa Chai kepada kaum Cina, famili mengajak balik ke kampung untuk menziarahi keluarga disana. Bagus juga kerana kali terakhir aku balik adalah semasa Hari Raya Puasa yang lepas. Walau begitu anak anak bergilir balik untuk menziarahi nenek yang sudah melebihi 85 tahun.
Secara melawak menyuruh anak aku memandu kereta balik ke Seremban dan aku pulang sehari dua lebih awal menaiki basikal .........! Memang sudah lama aku berhasrat untuk menjadikan ini kenyataan. Dahulu tidak boleh melakukannya kerana anak masih kecil dan mereka tidak layak memandu  kereta tetapi kini dua dari mereka telah memperolehi lesen memandu.
Isteri aku membantah ... biasa lah tu tapi rasanya boleh dipujuk. Masalah utama adalah peningkatan jumlah kenderaan di jalan waktu cuti perayaan ini. Melihat berita di TV atau di akhbar cukup menakutkan dengan jalan semuanya sesak teruk. Lebuhraya menghala ke utara dari Kuala Lumpur bagaikan lumpuh dan ada yang tersangkut lebih dua belas jam bagi perjalanan yang biasanya hanya memerlukan tiga atau empat jam.
Dimana mana terdapat kesesakan jalan. Bandar Sungai Petani yang selalunya tidak menghadapi sebarang masalah tiba menjadi sibuk dan sesak. Tiba suasana bertukar dari aman dan easy going menjadi kelam kabut hinggakan bantuan poils diperlukan pada setiap simpang walaupun ada lampu isyarat. Penduduk Sungai Petani yang tidak biasa dengan keadaan sebegini mengeluh dan tidak menyangka sama sekali mereka berdepan dengan kesesakkan teruk.
Perayaan sekarang menjadi begitu hebat disebabkan cuti panjang. kaum yang tidak menyambut perayaan tersebut menggunakan kesempatan untuk pulang kekampung halaman dan ramai yang mengambil kesempatan untuk pergi bercuti.
Walau tidak berpeluang untuk berkayuh pulang ke Seremban kali ini, aku yakin dalam masa terdekat ini akan dapat merealisasikan impian tersebut. Sebaliknya aku membawa mtb bersama, ada dua tiga tempat yang ingin aku berkayuh. Pertama jalan Bukit Putus Kuala Pilah, kedua ke Bukit Tangga Jelebu dan ketiga untuk sampai ke puncak Gunung Telapak Buruk. Gunung  ini adalah yang tertinggi di Negeri Sembilan dan hampir sama paras dengan Gunung Jerai di Kedah. Aku rasakan tiada masalah untuk sampai ke atas jika jalannya elok.
Untuk kali ini aku akan mengikut jalan Bukit Tangga untuk sampai ke Kuala Kelawang. Oleh kerana sebelum ini aku tidak pernah berkayuh disini sukar untuk menganggarkan ketinggian dan kesukaran kayuhan. Jalan ini sering digunakan pada siri Le Tour de Langkawi, jadi rasanya tidak begitu teruk. Ramai yang melihat aku bersedia di pekan Pantai merasakan terkejut dan seolah tidak percaya aku boleh sampai ke destinasi.
Peringkat awal perjalanan sejauh 5 km agak landai dan pendakian sejauh 5 km selanjutnya hingga ke kawasan paling tinggi jalan tidaklah begitu mencabar. Kayuhan Gunug Inas Baling lebih tinggi dan lebih panjang. Apa yang menyeronokkan ialah cuaca ketika itu. Kebanyakkan kawasan masih diseliputi kabus tebal dan suhu agak rendah.
Jalan Bukit Tangga ini dahulu sempit dan penuh dengan selekoh selekoh yang berbahaya. Pendakian amat curam pada sesetengah tempat. Ia sesuai pada ketika itu kerana kerana masih tidak laju dan jumlahnya tidak banyak. Dengan pembangunan pesat dan peningkatan jumlah kenderaan jalan tersebut tidak lagi sesuai dan perlu diperbesarkan dan selekoh perlu dikurangkan.
Pembinaan untuk memperbaiki jalan tersebut dimulakan pada tahun 2002 dan tamat pada 2006. Ia menelan belanja hampitr 50 juta ringgit. Kini ia menjadi lebih selamat dan memendekkan masa perjalanan dari Kuala Kelawang ke Seremban.
Hampir 90 minit kemudian aku sampai ke Pekan Kuala Kelawang. Keseluruhan pekan sunyi kerana hampir kesemua kedai tutup sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang jatuh pada hari ini. Aku berkayuh secara zig-zag dari satu jalan ke jalan lain dan dari satu lorong ke lorong lain. Jalan dipenuhi kereta dikiri kanan tetapi semua statik tidak bergerak ditempat parking. Agaknya semua kaum keluarga balik.
Beberapa lokasi menarik disekitar pekan juga tidak dapat dilawati kerana ditutup. aku hanya sempat melihat kawasan luar sahaja. Singgah untuk sarapan pagi disebuah gerai dipinggir bandar untuk melepaskan haus dan lapar perut. Tuan punya kedai terkejut kerana ingatkan aku berkayuh dari Sungai Petani. Dia juga terpinga pinga kerana aku bertutur dialek negori. Lama juga ambil masa untuk menerangkan asal usul.
Sempat bertanyakan dimanakah jalan ke Gunung Telapak Buruk. Isteri tuan kedai secara serius menegur aku yang gunung tersebut tinggi untuk sampai dengan mengayuh basikal. Kalau kereta atau motorsikal boleh naik hingga ke atas, basikal mtb aku pun boleh. Mengikut tuan kedai banyak tempat memancing disungai yang mengalir dari kawasan gunung. OK ... hari ini cukup untuk naik turun jalan Bukit Tangga dan singgah di Taman Rekreasi Jeram Toi dalam perjalanan pulang sebentar nanti.
Menurut papan tanda, Jeran Toi ini ditemui oleh seorang Pegawai Inggeris pada tahun 1895 dan asal nama adalah sempena nama Tok Batin Toi yang pernah menangkis serangan puak Rawa dari Sumatera  yang menyerang Jelebu. Jeram Toi mempunyai tujuh tingkat air terjun dari sungai yang mengalir dari Puncak Gunung Telapak Buruk. Tempat ini menjadi kawasan rekreasi utama disepanjang jalan ini dan dipenuhi pengunjung pada hujung minggu dan cuti am.
Di lain masa aku akan berkayuh ke Kuala Pilah melalui Pekan Kuala Kelawang ini.

Statistik
   Mula .............. 8.00 pagi
   Tamat ............. 12.00 tengah hari
   Jarak ............... 45 km
   Cuaca ............. Panas
   Laluan ............ Pantai (Seremban) - Kuala Kelawang (Jelebu)
   Odometer 2012 : 00405
   

Sabtu, 21 Januari 2012

Bukit Semarak

Setiap kali aku berhajat untuk berjogging di bukit ini, ada saja halangan. Selalunya hujan pagi dan menjadi merbahaya, takut tergelincir kerana jalan licin. Kali terakhir aku ke sini pada tahun lalu, satu tahun berlalu ! Sebenarnya pada Disember lalu. Tidak sampai satu bulan pun.
Perkara pertama yang terlihat adalah jalan mendaki bukit. Dari tempat parking kereta kelihatan jalan dari bawah hingga keatas lebih besar dan rata. Semua lobang yang dibentuk oleh laluan air semasa hujan telah dibaiki dan diratakan. Memang tidak menjadi masalah untuk membuat pendakian. 
Setiap tahun jalan yang digunakan oleh orang ramai yang membuat aktiviti berjalan kaki dan berjogging akan di ratakan dan dibersihkan menggunakan jentolak. Ia dilakukan oleh individu yang sama setiap tahun. Aku tidak pernah tahu atau kenal siapa tetapi rasanya dia adalah orang yang aktif melakukan aktiviti ini. Aku mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih bagi pihak semua yang menggunakan jalan ini.
Dahulu pernah diletakkan tong seperti tong kutipan derma yang terdapat masjid atau surau diletakkan dilaluan utama. Tujuan ialah untuk membolehkan sesiapa yang ingin menderma untuk menampung kos atau perbelanjaan jentolak tersebut. Rasanya sambutan tidak begitu menggalakkan. Hanya sedikit sahaja kutipan yang diperolehi. Kemudian dari itu tiada lagi tong derma diletakkan.Semua kos ditanggung oleh individu tersebut.
Aku sampai agak lewat, semua muka muka yang tegar yang datang kesini setiap hari telah pulang. Walau bagitu masih ramai yang baru sampai tetapi mereka ini adlah yang datang sekali sekala. Ramai juga remaja yang datang.
Kenapa setiap kali aku kesini aku ada sikap dan sifat berlumba? Aku akan cuba untuk memotong orang yang dihadapan walau pun aku terpaksa menggunakan banyak tenaga dan tercungap cungap. Selalunya apabila dapat mendahulu aku akan merasakan satu macam kepuasan. Aku seperti hendak mereka tahu walau sudah berusia hampir 60 tahun aku masih mampu dan juga boleh mendahului mereka.
Satu lagi sikap buruk adalah aku berasa begitu megah dan bangga kerana mengikuti jalan menegak untuk sampai ke atas bukit manakala orang lain mengikuti jalan biasa. Aku sedar sikap tersebut adalah tidak baik. Kesihatan yang membolehkan aku boleh melakukan aktiviti tersebut adalah anugerah Tuhan dan mesti bersyukur terhadap pemberiaan tersebut. Sepatutnya aku patut berdoa untuk anugerah kesihatan tersebut juga diberikan kepada orang lain yang yang melakukan aktiviti senaman ini.
Laluan ini sangat kurang dilalui oleh pendaki kerana laluan mula dipenuhi oleh anak anak pokok dan rumput. Apa yang aku risaukan ialah tempat berpijak yang agak licin. Tangga tanah tempat berpijak perlu diperbaiki untuk memudahkan pendakian dan tidak mendatangkan bahaya.
Terlupa pula untuk memeriksa kedua belah kaki jika ada pacat yang berjaya hinggap untuk menghisap darah aku. Baru dua hari lepas aku kena mengeluarkan hampir satu tabung darah untuk pemeriksaan kesihatan. Bukan aku marah paacat pacat tersebut mengambil sedikit darah ku. Mungkin ada manafaatnya. Pernah dahulu empat atau lima ekor pacat melekat pada satu masa. Pacat menghisap tidak sebanyak lintah.
Semasa membaca akhbar hari ini, anak menyuruh aku memeriksa kaki kalau berdarah. Bila aku tanya kenapa dia menyatakan bahawa ada seekor pacat didalam bilik air. Agaknya pacat tersebut terlekat di stocking dan belum sempat untuk menjalankan tugasnya.


Rabu, 18 Januari 2012

Gulai Sembilang

Entah mengapa aku teringat dan teringin untuk makan nasi lauk gulai ikan sembilang digerai berhampiran tempat pendaratan ikan dan pasar bisik Kuala Muda. Bukan setakat menikmati makanan tetapi seronok melihat aktiviti para nelayan, peraih dan pembeli ikan disana. Aku pastikan aku sampai lebih kurang jam 10.00 pagi ketika nelayan pulang dari laut dan mendaratkan ikan dan hasil tangkapan.

Bila aku kemeja lauk pauk yang dijual aku merasa kecewa kerana tiada gulai sembilang hari ini. Mahu tidak mahu aku memesan lauk ikan lain sebagai ganti. Aku duduk dimeja tepi menghadap kuala sungai untuk mendapat pemandangan 1st class kalau disamakan seperti dalam panggung. Aku tidak mahu pandangan aku di 'block' oleh apa apa. Aku ingin melihat aktiviti yang sedang rancak berlaku disekitar.


Statistik
   Mula ............. 8.05 pagi
   Tamat ........... 11.30 tengah hari
   Jarak ............. 69 km
   Cuaca ............ Panas
   Laluan .......... Tikam Batu - Kota Kuala Muda - Pantai Merdeka - Kuala Muda
   Odometer 2012 : 00382

Isnin, 16 Januari 2012

Masalah Sosial Remaja

Tiada masalah untuk sampai ke kawasan kolam air Bukit Taman Kempas walaupun pendakian terakhir agak menegak. Kelihatan sebuah lori dan pekerja sedang mengemaskan barang dan menutup pintu pagar kolam tersebut. Mereka agak terkejut dengan kehadiran aku disitu menaiki basikal dan mengatakan bahawa pengawal tempat itu keluar untuk membeli makanan. Mereka sedang melakukan kerja pemasangan menara komunikasi, menambahkan bilangan yang sedia ada di atas bukit tersebut. Apabila aku membuat pertanyaan menara tersebut kepunyaan P1 Wimax.
Dalam perjalan pulang aku melihat seorang remaja duduk bersendirian diatas motor skuter di tempat yang agak sunyi. Remaja tersebut berumur tidak lebih dari 14 atau 15 tahun. Dia sedang menikmati sebatang rokok dan dengan gaya sendiri memegang, menghisap dan menghembuskan asap rokok. Dia tidak langsung terganggu atau cuba menyorokkan apa yang sedang dibuat dengan kehadiran aku. 
"Anak kau tu Sin?". Teringat aku pada sebuah iklan TV belasan tahun lalu. Aku berasa kesihan kepada remaja tersebut kerana dalam usia begitu muda sudah terjebak dengan rokok. Adakah ibu bapanya tahu, besar kemungkinan tidak. Selalunya remaja pada peringkat umur begitu menghisap rokok apabila bersama rakan rakan lain. Tetapi yang ini berseorangan diri. Sudah ketagih sangat lah agaknya.
Sebelum memasuki lorong rumah, aku melihat ramai orang berkumpul ditepi Jalan Intan. Mesti ada kemalangan berlaku disana dan aku mengayuh basikal kearah tersebut. Aku melihat dua remaja terbaring ditepi jalan dan terdapat banyak serpihan badan motorsikal diatas jalan. Kemudian aku melihat seorang lagi didalam kereta, remaja ini kelihatan luka teruk dan banyak kesan darah di muka dan baju.
Kebanyakkan yang berhenti menyaksikan kemalangan tersebut adalah remaja remaja yang kebanyakkan sebaya dengan mereka yang kemalangan tersebut. Mungkin mereka mengenali satu sama lain.
Menurut seorang anggota PGA yang berada disana, dia menunggu kedatangan ambulan untuk membawa pesakit ke hospital. Difahamkan dua remaja yang terbaring ditepi jalan mengalami patah tulang. Aku mendengar orang ramai bercerita bagaimana kejadian berlaku. Sebuah motor yang membelok ke kiri dilanggar oleh motorsikal lain yang dipandu laju.
Dalam hal  ini siapa yang memasuki jalan siapa tidak penting. Ketiga tiga remaja yang terlibat dengan kemalangan tersebut tidak sepatutnya menunggang motorsikal. Mereka dibawah umur dan pasti tiada lesen memandu.
Pada setiap petang terdapat puluhan anak anak remaja belasan tahun berada di jalan jalan raya dalam taman, menunggang motorsikal seperti jalan tersebut tiada pengguna atau kenderaan lain. Mereka menunggang dalam kumpulan besar, mundar mandir tanpa sebarang haluan atau tempat yang dituju. Keselamatan mereka dan penumpang tidak di hiraukan dan sering memandu laju. Lebih kuat bunyi enjin motorsikal mereka, lebih seronok lagi.
Pelik, kemalangan sebentar tadi tidak langsung memberi sebarang keinsafan atau kesedaran kepada kumpulan remaja remaja tersebut. Apabila mereka beredar, mereka kembali dengan aksi dan lagak bermotorsikal. 
Ini lah masalah remaja masakini. Yang kita selalu nampak ialah dua perkara yang diatas, merokok dan merempit. Hakikatnya lebih banyak masalah yang tersembunyi atau tidak kelihatan. Antaranya ponteng sekolah, mencuri, ragut, ketagihan arak. menghidu gam, lari dari rumah, seksual, mengandung dan bermacam macam lagi.
Dimanakah silapnya dan siapakah yang bertanggung jawap?

Statisti
   Mula ............. 5.40 petang
   Tamat ........... 6.30 petang
   Cuaca ........... Panas
   Laluan .......... Bukit Taman Kempas
   Odometer 2012 : 00313

Sabtu, 14 Januari 2012

Bedong

Lega bila cuaca cerah pagi ini. Dua hari sebelum hujun turun waktu pagi hingga lewat petang. Ingat musim hujan sudah berlalu tetapi negeri Pahang dilanda banjir apa yang dikatakan gelombang ketiga. Pada awal tahun Negeri Johor yang terkena banjir. Kami disebelah utara terlepas dari banjir pada tahun ini.
Petang kelmarin SK Juan datang kerumah. Semenjak ke Sydney ini pertama kali singgah. Selalunya mesti ada yang hendak ditunjukkan pada aku. Sah ... dia baru sahaja balik dari kedai kimpalan untuk mempeteri besi untuk basikal stand. Menurutnya harga yang dijual dikedai hampir RM40.00 itu menyebabkan dia menciplak rekabentuk dan membuat sendiri. Tidak sampai RM5.00 termasuk upah welding.
Stand yang dibuat menggunakan paip GI (galvanise iron) berukuran 12 mm diameter dan penyokong  dari iron bar juga berukuran 12 mm. Semua barang adalah barangan terpakai yang disimpan atau dikutip dari tempat buangan sampah. Menurutnya lagi stand ini kuat dan teguh (macam pernah dengar je ..... iklan bank SC dulu dulu) dan kelebihan lain ia boleh ditanggalkan dengan mudah. Mudah untuk dimasukkan kedalam kereta untuk dibawa kemana mana.
Menurut SK Juan lagi, dua hari berturut turut dia terkena hujan kerana menjangkakan hujan tidak akan turun sebelah pagi. Kelebihan kita yang kerap melakukan aktiviti berbasikal ialah hujan tidak mendatangkan sebarang masalah kepada kesihatan walaupun usia telah melebih setengah abad.
Pada awalnya aku bercadang untuk ke Tanjung Dawai selepas membatalkan pada kayuhan minggu lepas tetapi apabila memikirkan angin timur yang boleh memperlahankan kayuhan, aku menukar rancangan untuk ke Bedong melalui Lencongan Timur. Bermakna uaku membuat tambahan 14 km berbanding melalui jalan utama N1.
Juga aku merasa teruja mengayuh dilencongan Timur dari Padang Temusu ke Aman Jaya. Kerja kerja senggaraan dan menurap jalan lencongan tersebut siap sepenuhnya. Lega bergayuh melalunya. Tidak lagi bimbang kereta dibelakang. Ingin untuk meneroka laluan lain seperti jalan kelapa sawit di belakang komplek mahkamah Sungai Petani. Jalan tersebut boleh tembus ke Taman Bayu Sungai Lalang. Agaknya lain kali kerana aku menggunakan rb.
Hairan juga kerana tidak ramai cyclist dijalan pagi ini.

Statistik
   Mula ............. 8.10 pagi
   Tamat ........... 11.00 tengah hari
   Jarak ............. 59 km
   Cuaca ............ redup
   Laluan .......... Lencongan Timur - Bedong - Merbok
   Odometer 2012 :  00297

Rabu, 11 Januari 2012

Muara Sungai Muda

Kelmarin aku beriya-iya untuk berkayuh kerana sudah dua hari berehat tetapi terpaksa dibatalkan kerana langit gelap dengan awan hitam dan hujan mulai turun renyai renyai. Hari ini keadaan cuaca lebih kurang sama seperti hari sebelumnya tetapi aku meneruskan hasrat untuk berkayuh. Aku yakin hujan tidak akan turun pagi ini.
Sejak kebelakangan ini rata rata rakan banyak mengeluh kerana angin timur yang bertiup kuat sehingga menyukarkan kayuhan. Tambahan pula kalau jalan yang dimabil melalui tepi bendang atau tepi laut. Petang kelmarin aku mengajak SK Juan untuk membuat kayuhan ke Pantai Merdeka tetapi dia menolak kerana tidak tahan dengan tiupan angin timur.
Aku membatalkan hasrat untuk ke Pantai Merdeka apabila sampai di Kota Kuala Muda. Sebaliknya aku menyeberang Jambatan Sungai Muda dan terus ke Kuala Muda Seberang Prai Utara. Sepanjang menyusur kehilir Sungai Muda dari Pematang Bendahari, kelihatan projek tabatan banjir sedang rancak berjalan. Projek tebatan banjir ini merubah sama sekali pemandangan dan scenario di kedua kedua belah tebing sungai tersebut. Selama ini walaupun kerap melalui kawasan ini tidak berapa perasan ada sungai mengalir selari dengan jalan kerana ia dilindungi oleh pokok kayu dan pokok nipah.
Pegerakkan jentera berat termasuk excavator, jentolak, jengkaut, piling, lori pengangkut pasir dan berbagai jenis kenderaan lain menjadi tebing sungai sebagai satu medan pembangunan. Aku sesekali berfikir adalah aktiviti ini akan menjejaskan ekosistem, flora dan fauna kawasan terbabit. Apapun aku jangkakan kerosakkan amat minimal jika dibanding dengan projek mega yang lain. Apabila siap nanti semuanya akan kembali seperti biasa dengan perbezaan dari segi muka bumi sahaja.
Kuala Muda juga mengalami proses pembangunan yang agak pesat dan ketara. Balai bomba dan balai polis baru tersergam indah menjadi mercu tanda penting pekan kecil di muara sungai ini. Tetapi rumah kediaman dan rumah kedai disini masih yang asal, yang diperbuat dari papan beratap zink. Seperfti di pekan lain, kebanyakkan penduduk pekan ini adalah kaum Tionghua manakala orang Melayu menjadi penghuni di pinggir pekan.
Ketika aku sampai jam baru menunjukkan 09.00 pagi. Nelayan masih belum pulang dari laut, mungkin satu jam lagi. Kawasan pasar jualan ikan atau pasar bisik masih lengang, manakala kedai makan yang terletak bersebelahan dipenuhi oleh warga mas yang menghabiskan masa berbual dengan rakan sambil menjamu selera.
Aku dipelawa minum oleh salah dari mereka walaupun tidak mengenalinya. Aku mengucapkan terima kasih dan menolak pelawan tersebut. Kenyang lagi. Masih ada nilai nilai budaya ini, malangnya hanya pada orang orang tua. Sayang sekali hanya segelintir orang muda sekarang dapat meneruskan budaya seperti itu.
Air laut tengah surut dan gigi air jauh di tengah laut. Terdapat dua tiga orang sedang berjalan di pantai, mungkin untuk mencari rezeki mengutip siput laut. Beberapa orang lelaki tua sedang rancak berbual di bawah sebatang pohon rendang di tepi laut. Nyaman dan tenteram suasana disini. Pekan disini seolah olah masih tidur dan penduduk akan bangun dalam tempuh satu jam lagi apabila nelayan pulang dari laut.
Bagaimanakah agaknya dengan rezeki nelayan tersebut hari. Harga semua jenis ikan sangat mahal di pasar pasar. Musim monsoon timur laut ini kurang ikan. Banyak ikan yang dijual tidak berapa segar.
Aku berpatah balik melalui jalan sama tetapi apabila sampai di Pematang Bendahari aku mengambil jalan ke arah Bumbung Lima dan akan pulang mengikuit jalan utama Butterworth - Alor Setar. Angin timur yang sedang membadai kadang kadang laju membuat kayuhan menjadi sukar.

Statistik
   Mula ............. 8.10 pagi
   Tamat ........... 11.00 tengah harir
   Jarak ............. 55 km
   Cuaca ............ redup
   Laluan .......... Tikam Batu - Kota Kuala Muda - Kuala Muda
   Odometer 2012 : 00238
   
  

Isnin, 9 Januari 2012

line clear ...

Aku sudah tidak tahan tidak dapat sambungan telefon dan internet sejak pagi Rabu 04 Jan 2012. Bukan rumah aku sahaja yang mengalami masalah tetapi banyak rumah rumah lain di Taman Intan mengalami masalah yang sama. Pada mula aku hendak membuat lapuran kerosakkan pada TM tetapi beberapa rumah lain telah membuat lapuran tersebut.
Mengikut orang yang membuat report, sambungan talian akan pulih pada 07 Jan 2012 tetapi sehingga pagi tadi talian masih belum diperbaiki. Aku sendiri pergi ke TM Point Sungai Petani untuk membuat pagi. Semasa aku sedang membuat lapuran, ada orang lain juga yang membuat lapuran.
Aku menerima SMS dari TM dua jam selepas membuat lapuran bahawa perkhidmatan akan pulih pada 07 Jan. Hamput punya TM sekarang sudah 09 Jan. Kalau hendak bohong buat le betul betul. Perkhidmatan hanya pulih pada jam 6.30 petang sebentar tadi.
Lega .... boleh aku terus menulis dalam blog aku.
   

Sabtu, 7 Januari 2012

Yan - Guar

Aku memotong seorang rider yang menunggang mountain bike di lencongan barat selepas persimpangan Kampung Teluk. Dia masih muda dan kelihatan sedang mencuba sedaya upaya melawan tiupan angin yang amat kencang. Bergerak perlahan sahaja dan tidak lurus. Mungkin dia bosan mengayuh sendirian atau memang disebabkan pukulan angin.  
Sebaik berada dihadapan, aku tidak sangka pula dia mendapat tenaga dan cuba menyaingi kelajuan aku. Dia hanya mampu bertahan selama lima minit dan kemudian tida lagi kelihatan. Aku membelok ke arah Titi Semeling kerana bercadang untuk ke Tanjung Dawai. Maaf bukan sombong atau tidak mahu berkawan tetapi aku ingin sampai cepat ke destinasi untuk mengelakkan cuaca panas.
Di persimpangan UiTM - Pengkalan Bujang aku melihat seorang remaja mengayuh 'fixie' berwarna merah jambu. Dia berada betul dibelakang aku sebaik sahaja melepasi lampu isyarat tersebut. Ingatkan dia hanya pergi berdekatan tetapi mengekori aku sehingga hampir lima kilometer ke pekan Merbuk. Aku sempat bertanya hendak kemana dan dia memberi tahu untuk pusing pusing sahaja. Aku tidak mahu mengajak berkayuh bersama aku kerana kini aku telah mengubah fikiran dan bercadang untuk ke Guar Cempedak melalui Tanjung Dawai/Yan.
Di pekan Singkir Darat satu kumpulan kanak kanak sekolah yang sedang berkumpul dihadapan sekolah mereka memberi sorakan peransang dan tepukan tangan kepada aku. Mereka berkumpul dengan basikal masing masing. Mungkin mereka mengadakan aktiviti berbasikal menuju ketempat rekreasi berhampiran.
Aku bercadang untuk berhenti rehat di pekan Guar Cempedak tetapi terpaksa meneruskan kayuhan hingga ke Pekan Gurun kerana banyak gerai di tutup. Sempat meninjau kaki Gunung Jerai, mana tahu kalau ada rakan yang membuat pendakian berbasikal.


Statistik
   Mula .............. 7.50 pagi
   Tamat ............ 12.00 tengah hari
   Jarak ............. 75 km
   Cuaca ............ cerah / panas
   Laluan ........... Merbuk - Yan - Guar Cempedak - Gurun
  Odometer 2012 : 00183

Khamis, 5 Januari 2012

Jamboree Bukit Birut

Sebenarnya posting ini dimasukkan setelah beberapa hari kerana talian telephone dan internet kebanyakkan rumah di Taman Intan mengalami kerosakkan. Baru aku berura ura untuk menukar streamyx kepada unifi, berlaku pula kejadian macam ini. Tawar hati. Bila sudah hilang panas hati nanti akan dipertimbangkan semula.
Tidak ingat pula apa yang hendak dicatatkan kerana telah beberapa hari berlalu.Yang jelas ramai kawan kawan datang bersembang bila aku berhenti di loji pembersihan air Pinang Tunggal. Bukan tidak selalu aku singgah apabila membuat kayuhan, tetapi mereka ingin mendengar cerita lawatan 10 hari ke Thailand dua minggu lepas.


Geng lama aku di Pinang Tunggal akan menganjurkan jamboree untuk mountain pada 11 March 2012. Penganjur jamboree ini ialah En. Dahalan Md Noor yang tinggal di Kampung Seberang Tok Soh Pinang Tunggal. Beliau mempunyai kedai basikal di Taman Seraya, Pinang Tunggal. Memang sudah lama dia merancang untuk mengadakan jamboree ini dan pernah mempelawa aku untuk menganjurkan bersama. Bukan aku tidak sudi tetapi aku agak keberatan kerana aku kini lebih tertumpu kepada kayuhan roadbikes.
Aku telah bermastautin dan bekerja di Sungai Petani lebih dua puluh tahun dan 15 tahun dari tempoh itu bekerja di Pinang Tunggal. Aku tidak tahu bukit di belakang tempat kerja aku adalah Bukit Birut. Setahu aku ia dipanggil Bukit Pinang Tunggal.
Ucapan tahniah kepada penganjur, Dahlan dari D'Nia Bikes dan geng lain termasuk Sham, Mat Isa dan Shukri. Mungkin ramai lagi dibelakang mereka diatas yang turut membantu dan memberi sumbangan untuk memastikan kejayaan aktiviti ini.
Semasa aku diberitahu tentang jamboree, mereka baru turun dari Bukit Birut untuk membuat dan mencari laluan yang sesuai. Selepas ini mereka akan membuat mapping, marking, membersih dengan menebang dan menebas pokok dilaluan, menimbus lubang, meratakan lurah, membuat jambatan pada tali air dan  berbagai kerja lagi.
Persiapan lain juga perlu diatur termasuk pemberitahuan dan iklan, penyediaan dan pengagihan borang, tempahan untuk jersey dan goodies lain, hadiah, medal dan refreshment. Penganjur juga kena berhubung dengan agensi lain seperti antara lain pasukan polis, PGA, Rela dan Kesihatan untuk bantuan dan pertolongan.
Pasti jamboree tersebut mendapat sambutan hangat memandangkan ia satu satunya jamboree yang dianjurkan di kawasan Sungai Petani. Dahulu OSK menganjurkan berberapa siri jamboree tetapi sejak dua tiga tahun kebelakangan ini ianya tidak  lagi diteruskan. Aku pernah dua kali menyertainya dan melihatkan kepada sambutan, ianya sepatutnya diteruskan.
Bukan satu perkara yang mudah untuk menganjurkan sesuatu berskala begini. Kebanyakkan peserta adalah golongan bekerja dan ramai yang terdiri dari professional (kalau tidak bagaimana hendak membeli basikal mtb yang mencecah harga belasan ribu ringgit atau lebih). Penganjur akan menghadapi berbagai kerenah dan tekanan. Semuanya mesti dipastikan lengkap dan jangan biarkan ada ruang yang boleh menimbulkan ketidakpuasan kepada peserta atau sebarang kelemahan yang jadikan kritikan dan komplen
Sungai Petani dan Daerah Kuala Muda mempunyai banyak trek dan laluan mencabar dan menyeronokkan. Memang sudah tiba masanya kelab kelab basikal di Sungai Petani berganding bahu menganjurkan jamboree berbasikal ini. Selain tujuan berriyadah dan bersukan, ia juga dapat mempromosi dan memperkenalkan Daerah Kuala Muda amnya dan Sungai Petani khasnya kepada dunia luar.
Harapkan pihak penganjur akan dapat meneruskan jamboree ini setiap tahun. Syabas sekali lagi .......


Statistik
   Mula .............. 7.50 pagi
   Tamat ............ 11.00 pagi
   Jarak .............. 45 km
   Cuaca ............. Panas
   Laluan ............ Bandar Puteri Jaya - Sidam Kiri
   Odometer 2012 : 00108

Isnin, 2 Januari 2012

Kampung Selamat

Tidak sangka sebaik melepasi persimpangan pasaraya Gaint menghala ke Butterworth, SK Juan datang dari arah belakang dan menegur. Pada mulanya aku bercadang untuk berkayuh di bypass iaitu jalan lencongan sejauh 30 km tetapi kehadiran SK Juan yang mengajak berkayuh ke Kapala Batas Pulau Pinang. Aku menurut sahaja kerana dua sebab. Pertama sudah agak lama tidak berkayuh dengan Juan dan kayuhan berteman boleh menghilangkan bosan.
SK Juan baru sahaja pulang dari menziarahi anak dan cucu di Melbourne Australia. Dia kesana pada 16 hd Disember dan pulang pada 29 hb Disember 2011. Manakala aku pula melancong ke negara jiran Thailand selama sepuluh hari dan pulang pada 26hb Disember 2011. Sejak dia pulang aku tidak berkesempatan bertemu dengan dia walaupun aku ada nampak dia dikedai basikal Taman Intan.
Sepanjang kayuhan dia banyak bercerita tentang masa dia di Australia. Menurutnya dia tidak banyak buat kayuhan disana kerana sibuk dengan anak dan cucu.
Ceritanya disambung lagi semasa breakfast kat restoren nasi kandar di Pekan Kepala Batas. Aku dengar sahaja. Aku ingin juga berkongsi dengannya tentang lawatan 10 hari aku ke negara jiran Thailand, tetapi aku diamkan sahaja kerana dia tidak memberi peluang langsung.
Selesai sarapan dia kemudian dia mengajak aku berkayuh balik ke Sungai Petani mengikut jalan Tasik Gelugor dan Kampung Selamat. Katanya dia tidak pernah melalui jalan tersebut dari arah Kepala Batas. Aku suka sahaja.
Aku risau dengan cara kayuhan nya kerana dia suka berada di tengah jalan. Ya .... kereta akan memperlahan keneraan dan akan hanya memotong bila tiada kereta dihadapan, tetapi kenapa begitu. Tidak jadi masalah jika berkayuh dibahagian tepi agar tidak menganggu kenderaan lain.
Jambatan lintasan kereta api di tengah pekan Tasik Gelugor hampir 80% siap. Jambatan tersebut agak tinggi dan akan menjadi satu cabaran untuk para pengayuh basikal. Tidak akan mendatangkan banyak masalah kepada mtb atau rb riders tetapi bagaimana pula dengan orang yang menggunakan basikal biasa termasuk warga Pakistan penjual karpet. Sering kita lihat mereka membawa sarat muatan diatas basikal.
Banyak lagi tempat seperti itu sedang dalam pembinaan. Seronok juga agaknya untuk mengayuh melalui jambatan jambatan tersebut apabila siap kelak.
Pasar pagi di Kampung Selamat hampir selesai apabila kami melalui kawasan terebut. Walau tidak ramai peniaga tetapi cukup untuk penduduk sekitar. Aku mendengar sedikit cerita tentang kewujudan kampung tersebut dari SK Juan. Ia adalah kampung baru yang diwujudkan oleh pihak pemerintah ketika itu untuk mengumpulkan kaum cina supaya tinggal dalam satu kawasan untuk tujuan keselamatan. Pihak British memberi tanah secukupnya untuk tapak rumah dan bercucuk tanam. Kini mereka yang berpindah ke kampung kampung baru amat beruntung.

Statistik
   Mula ................ 8.00 pagi
   Tamat .............. 11.15 pagi
   Jarak ............... 63 km
   Cuaca .............. Redup
   Laluan ............. Kepala Batas - Bertam - Tasek Gelugor - Kampung Selamat
                               - Pinang Tunggal
   Odometer 2012 :  00063
      

Ahad, 1 Januari 2012

Selamat Datang Tahun 2012

Sebentar tadi aku mengintai keadaan diluar dari celah tingkap rumah dan melihat masih gelap gulita. Wah ... lambat terang sekarang ni, mungkin sebab sekarang ni matahari berada jauh di selatan dan kawasan hemisfera utara mengalami musim sejuk. Aku ingin membuat kayuhan pagi ini sempena hari Ahad dan cuti tahun baru kerana pasti ramai cyclist akan berada dijalan jalan raya, di kawasan Rekreasi Tupah dan Gunung Jerai.
Betapa kecewanya kerana apabila keluar rumah pada jam 7.30 pagi melihat keseluruhan langit di kawasan Sungai Petani diselubungi awan gelap, mungkin hujan akan turun sebentar lagi. Angin timur juga bertiup kencang kerana pokok pokok terutama rumpun buloh yang aku tanam dalam kawasan rumah terlentok lentok ditiup angin. Suhu sejuk diluar. Berundur masuk ke rumah semula. Kansel kayuhan. Jika keadaan cerah sebentar nanti mungkin akan keluar kayuh juga. 
Apakah keadaan langit kelam diselubungi awan hitam tebal pada pagi hari pertama tahun baru 2012 ini menjadi petanda kepada hari hari yang mendatang. Apakah negara kita akan menyaksikan detik detik kemalapan dari segi politik dengan adanya PRU 13, kegelapan dari segi ekonomi, dari segi perundangan (kes liwat akan diputuskan satu minggu lagi), kes kes rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pelbagai lagi.
Seperti tahun tahun lalu, aku tiada mempunyai azam khas menyambut kedatangan tahun 2012, kerana aku berazam pada bila bila hari yang perlu. Bukankah hari pertama tahun baru sama dengan hari hari sebelum nya atau hari haari yang akan datang.
Azam aku setiap hari adalah untuk menjadi sihat walafiat selalu kerana jika kita sihat barulah boleh mencapai segala yang diimpikan.
Aku akan terus berbasikal dan melakukan aktiviti yang akan mendatangkan manafaat kepada kesihatan diri. Selain senaman penjagaan pemakanan adalah penting. Kedua ini penting.
Aku sempat meninjau pencapaian aktiviti berbasikal disepanjang tahun yang baru ditinggalkan. Aku mengucapkan tahniah kepada diri sendiri kerana dapat mengekalkan ritma aktiviti ini disepanjang tahun. Aku dapat mengekalkan purata sekurang kurang membuat tiga atau empat kayuhan setiap minggu kecuali pada bulan puasa atau berada diluar kawasan (out of town). Bagi aku, sekurang kurangnya jarak 30 km dan mengambil masa lebih dari 1 jam, baru boleh dikira sebagai kayuhan.
Tahun 2011 juga aku menambah kelainan dengan menggunakan roadbike sebagai alternatif kepada mountain bike yang telah aku gunakan sejak tahun 2004. Bukan hendak laju tetapi mencari dan menukar nukar selera supaya tidak jemu berkayuh. Aku juga tidak sebarang jamboree atau kayuhan lasak kerana fikirkan umur aku agak tidak berapa sesuai untuk aktiviti sedemikian. Kayuhan amal membantu anak seorang pengiat basikal pada pertengahan tahun lepas yang paling hampir dengan aktiviti kayuhan beramai ramai.
Aku juga amat berbangga kerana mencapai dan memecahkan beberapa rekod persendirian disepanjang tahun lalu. Aku secara berseorangan berkayuh ke Betong Thailand dan mendaki ke Torowong Piyamit di Selatan Thailand. Membuat kayuhan tanpa henti ke puncak Gunung Jerai dan yang paling membanggakan mengayuh melalui tiga negeri dalam satu hari iaitu Kedah, Perak dan Pulau Pinang. Kayuhan paling jauh melebihi 150 km dan masa paling lama ialah 7 jam.
Satu perkara lagi yang membanggakan diri ialah blog persendirian yang aku catatkan kegiatan berbasikal. Hit mencapai hampir 7,000 pada tahun 2011 berbanding dengan kurang dari 1,000 pada tahun sebelumnya. Mampukah aku bertahan untuk tahun tahun akan datang atau mungkin aku akan terhenti diseparuh jalan.




Kepada semua riders/cyclist diluar sana .......

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2012