Halaman

Ahad, 29 Julai 2012

Bakar Lemak





Statistik :
   Mula ............... 6.10 petang
   Tamat ............. 6.55 petang
   Jarak ............... 14 km
   Cuaca .............. redup
   Laluan ............. keliling bandar
   Odometer 2012 : 02926

Selasa, 24 Julai 2012

Kayuhan menjamu mata .....

Aku sedang menolak basikal di pasar ramadhan di bandar Sungai Petani bersebelahan jam besar berhampiran dataran zero. Sambil memerhatikan juadah yang dijual aku terdengar perbualan dua remaja perempuan yang masih belum membuat keputusan juadah apa yang akan dibeli. Seorang darinya berkata dengan nada yang jelas kedengaran "kita jamu mata dahulu, kemudian beli".
Ayat tersebut memberi aku idea apakah tajuk posting aku hari ini. Hari kedua aku membuat kayuhan pada petang Ramadhan tahun ini. Juga bermula agak lewat pada jam 6.15 petang seperti kayuhan terdahulu tetapi nekad untuk menghabiskan sekurang kurangnya 10km seperti hari sebelumnya. Silap perancangan kerana memasuki jalan utama kerana sebaik memasuki bandar, menghadapi masalah penafasan kerana asap kenderaan. Cepat cepat mencari laluan untuk mengelakkan terus menghidu asap. Memasuki jalan dimana pasar ramadhan bandar diadakan.
Pasar ini tidak meriah seperti beberapa tahun kebelakangan dahulu. Dulu ia menjadi tumpuan kerana ianya adalah satu satunya pasar yang menjual juadah berbuka puasa di bandar ini. Kini merata tempat dan taman perumahan ada pasar ramadhan sendiri. Satu lagi masalah pasar ini ialah tempat parking yang sangat kurang. Satu satunya pasar ramadhan yang dikawal oleh polis trafik.
Berbeza dengan hari sebelumnya aku hanya berkayuh disebelah luar pasar, tidak lansung melihat apa yang dijual dan tidak nampak makanan. Sebentar tadi aku melihat dari dekat kerana berjalan menolak basikal ditengah gerai jualan. Beberapa peniaga menawarkan makanan kepada aku, tetapi aku hanya berlalu.
Semasa melalui Jalan Penghulu Him ke Kampung Teluk aku melihat banyak gerai sementara didirikan ditepi jalan menjual berbagai jenis makanan. Dimana pembeli.

Isnin, 23 Julai 2012

Bawah 10 km ...

Cuaca petang redup, nyaman dan dingin. dan tiada apa yang perlu dilakukan. Semua persiapan untuk berbuka telah dibereskan. Maksud aku apa yang patut ditolong didapur telah aku siapkan. Hal hal memasak biarkan pada orang pompuan sahaja. Kalau lama sangat kat dapur nanti, jadi tukang masak pula.
Aku mengambil keputusan untuk keluar sekejap. Rancangan awal untuk pergi berkayuh di taman taman berdekatan untuk melihat suasana petang bulan ramadhan. Melihat aktiviti penduduk sementara menunggu waktu berbuka puasa.
Jalan dipenuhi dengan remaja lelaki dan perempuan yang berkelaiaran dengan motorsikal. Mereka menunggang berkumpulan hinggakan mendatangkan masalah kepada kenderaan lain.
Pusing punya pusing sampai ke pasar ramadhan Taman Delima. Pasar ramadhan taman ini telah wujud semenjak aku berpindah ke sini lebih dua puloh tahun lalu. Cuma lokasi dipindahkan dari atas padang permainan ke jalan dihadapan rumah kedai taman ini. Sepatutnya dari mula lagi ia diletakkan di lokasi sedia ada. Kenapa di korbankan padang permainan awam untuk dijadikan tempat berniaga.
Aku tidak lansung berminat untuk singgah di pasar ini kerana tidak berminat untuk membeli apa apa. Sejak dari dahulu aku tidak suka membeli makanan juadah berbuka. Lebih seronok makanan yang disediakan dirumah. Kadang kala aku datang membeli atas permintaan anak anak membeli makanan yang berlainan seperti murtabak, kebab, ayam percik atau nasi beriyani.
Tidak berapa ramai pelanggan di pasar walaupun hanya hampir satu jam lagi untuk berbuka. Mungkin ramai yang sudah datang membeli. Di tahun tahun lepas jalan bersebelahan pasar agak sesak tetapi hari tidak beberapa banyak kenderaan yang diletakkan.
Dari sini aku terus ke jalan utama menuju ke bandar. Walau sudah lebih 6 km berkayuh, tidak sedikit pun merasa keletihan. Berhajat untuk membuat kayuhan lebih jauh tetapi masa tidak mengizinkan. Tidak mahu sampai terlalu lewat.
Selepas kayuhan ini, tiada sebarang masalah walaupun berpuasa. Setakat 10 km disebelah petang tidak menjejaskan keupayaan untuk meneruskan ibadat puasa dan solat tarawikh sebelah malam nanti. Boleh dijadikan aktiviti petang sambil menunggu waktu berbuka.

     

Rabu, 18 Julai 2012

Tiga hari lagi puasa ....

Sukar menolak temptation untuk tidak membuat kayuhan pagi ini. Cuaca redup dengan udara nyaman. Suhu diluar juga tidak panas malah boleh aku anggarkan dalam lingkungan 26 darjah sahaja. Walau begitu aku sangsi juga tetapi isteri ku menyatakan hujan tidak akan turun sebelah pagi. Pergi lah kayuh ... katanya.
Sambil melawak aku katakan hendak berkayuh Hatyai ... isteri aku melenting mengatakan awak tidak tengok ke berita yang banyak tembak menembak di sana. Tidak takut ke? Memang aku hendak sangat membuat kayuhan melintasi sempadan sekali lagi sebelum bulan puasa bermula. Berhajat untuk ke Satun. Malangnya sekarang sudah agak terlalu hampir sangat dengan bulan Ramadhan. Tangguh lepas raya sahaja.
Aku tidak perasaan ada cyclist dibelakang sebaik memasuki jalan lencongan barat menuju ke Lencongan Timur. Bila berkayuh jarang menoleh kebelakang kecuali untuk menyeberang atau melintasi jalan. Tidak seperti memandu kereta kena kerap melihat apa yang ada dibelakang.
Pernah masa mula-mula menceburi aktiviti berbasikal ini aku modified cermin depan motorsikal dan memasang dibasikal untuk membolehkan melihat belakang. Hanya diperlukan apabila menyusuri jalan raya, paling tidak diperlukan bila berkayuh off-road .... malah menjadi masalah pula. Aku pernah nampak 'mat salleh' memasang cermin kecil di sambungkan pada cermin mata. Satu idea yang amat innovatif dan teringin untuk menciplak idea tersebut. Tidak pernah berjaya atau kesampaian melakukan.
Cyclist tersebut memotong aku berhampiran traffik light Taman Nilam. Wah ... hebat sungguh, basikal roadbikes mid-ranges (anggaran RM6K keatas), attire (pakaian) melebihi 5 atau 6 ratus. Semasa dia memotong,  traffik light menjadi merah. Pada mulanya nampak macam dia hendak berhenti tetapi kemudian dia membelok ke kiri untuk membuat U-turn dan memasuki semula jalan lencongan barat. Aku pula meneruskan kayuhan walaupun lampu sudah merah .... kelakuan buruk dan merbahaya yang sering aku lakukan. Aku lakukan kerana teramat pasti tiada kereta yang datang dari arah bertentangan.
Tindakan aku itu meletakkan aku sekali lagi berada dihadapan, tetapi kali ini aku mengayuh keras untuk terus berada dihadapan. Hampir 1 km kemudian aku terdengar bunyi 'klik kluk klik kluk' dari belakang. Tahu dah.... cyclist roadbikes tadi sedang berusaha untuk mendahului aku sekali lagi. Bunyi tersebut adalah bunyi pertukaran gear roadbike nya.
Aku biarkan sahaja, tidak mahu lawan tokey pula. Maintain kelajuan. Aku menggunakan mountain bikes dan dia jauh lebih muda. Seperti orang lain, egonya mungkin akan tercabar sekiranya di tinggalkan oleh penunggang mtb yang sewajarnya jauh lebih 'inferior' dari segi kelajuan, apatah lagi yang telah lama dan ditunggang oleh veteran. Aku hanya memakai seluar trek dan t-shirt issue rukun tetangga. Nampak bukan serius berkayuh.
Pada lampu isyarat di persimpangan Gaint Supermarket sekali lagi kelihatan cyclist tersebut mengelabah, tidak mahu aku mendekati atau memotong dia sekali lagi. Dia pula mengambil tindakan melanggar lampu merah. Aku biarkan sahaja dan menjadi orang baik patuh kepada arahan lalu lintas. Tidak jauh pun dia pergi dan sekali lagi aku menghampirinya. Cuma aku memang akan membelok ke laluan sebelah kiri memasuki lencongan timur untuk ke Kuala Ketil. Cyclist tersebut terus ke selatan.
Apa ke jadahnya aku mencatatkan cerita yang tiada nilai diatas. Bukan sakit hati, cemburu atau dengki. Tidak semestinya dengan pakaian lengkap seperti untuk mengambil bahagian dalam perlumbaan bertaraf kebangsaan atau bertaraf dunia dan mempunyai basikal yang empat lima kali ganda lebih mahal dari basikal orang lain, dapat menentukan kelajuan kayuhan sentiasa boleh mendahului dan berada dihadapan orang lain. Rasanya kelajuan cyclist tersebut tidak melebihi 30km/j.
Seronok berkayuh melalui jalan yang berombak ombak. Tanpa disedari aku telah sampai ke Pekan Kuala Ketil. Membuat pusingan U dan berpatah balik. Tidak singgah untuk sarapan pun kerana aku ingin sarapan dirumah. Isteri memasak rendang ayam kampung .. masak lemak cili padi. Masak sedap sebagai sambutan kedatangan bulan ramadhan.
SK Juan memotong aku berhampiran persimpangan Taman Sejati dan kami singgah untuk minum pagi. Rosak selera yang aku simpan sejak tadi untuk sarapan dirumah. Untungnya dia bayar semua. Jarang dia beri peluang untuk aku membayar bila sarapan dengannya. Dia pulang dari kayuhan ke Bedong.
Harapka esok atau lusa aku dapat membuat satu lagi kayuhan sebelum berpuasa.

Statistik :
   Mula ............... 7.55 pagi
   Tamat ............. 10.35 pagi.
   Jarak ............... 56 km
   Cuaca .............. redup, mendong
   Laluan ............. Lencongan Timur - Kuala Ketil
   Odometer 2012 : 02968
      

Selasa, 17 Julai 2012

Se round cukup

Niat untuk berkayuh sekerap mungkin sebelum berehat untuk satu bulan. Walaupun tidak mungkin dapat buat macam 'pra-bayar' iaitu kayuh dahulu kemudian berehat tetapi hanya dapat memberikan kesihatan badan.
Jadi hari ini aku berkayuh untuk mengeluar peluh badan dan pulun untuk membuat jantung berdenyut kencang. Cukuplah kayuhan satu pusingan jalan lencongan timur dan barat sahaja. Tiada apa yang menarik yang hendak dicatatkan.

Statistik :
   Mula ............... 7.50 pagi
   Tamat ............. 9.15 pagi.
   Jarak ............... 33 km
   Cuaca .............. panas
   Laluan ............. Lencongan Timur - Barat
   Odometer 2012 : 02912

Ahad, 15 Julai 2012

Apa nak jadi pun kayuh gak

Kalau ikut catatan blog ini, sudah 10 hari tidak melakukan kayuhan. Bukan tidak mahu tetapi bannyak sangat urusan dan program yang hendak dibuat sebelum tiba bulan Ramadhan tahun  ini. Walaupun ada hari hari yang agak lapang untuk membuat kayuhan tetapi cuaca pula tidak mengizinkan. Musim hujan dan keadaan jerubu terutama pada sebelah pagi menghalang aku dari membuat kayuhan.
Bila aku mulakan kayuhan pagi ini cuaca kelihatan redup dan berkemungkinan hujan akan turun. Tetapi aku nekad untuk meneruskan kayuhan. Sudah terasa amat lama tidak melakukan aktiviti berbasikal ini. 
Tahu .... otot badan memerlukan masa untuk menyesuaikan, jadi aku kayuhan pagi hanya lebih kepada pemanas badan dan melonggarkan sendi. Tidak berhajat untuk pergi jauh tetapi mencari jalan berbukit untuk menguatkan semula otot kaki. 
Bukanlah selama 10 hari tidak berkayuh bermakna tidak lansung memegang basikal. Kerap kali juga aku membuat kayuhan pendek ke kedai untuk membeli barangan runcit atau pekan untuk membuat urusan pembayaran bil, urusan bank dan sebagainya. Kayuhan tersebut hanya sekadar pelepas rasa bersalah. Jarak kurang dari 10 kilometer pergi balik. Kayuhan tersebut lebih menyenangkan kerana memikirkan kesesakan dan kesukaran parking jika membawa kereta. Jadi aku tidak mengira itu aktiviti kayuhan dan tidak mencatatkan kedalam blog.
Bukit pertama agak rendah dan pendek iaitu dibelakang UiTM Merbok. Tiada masalah kerana ianya tidak tinggi. Kemudian kayuhan ke taman rekreasi Tupah sejauh 4 km dari jalan utama hingga penghujung jalan. Pendakian yang agak sukar sebelum akhir jalan. Sebaik memasuki jalan tersebut kelihatan dua cyclist turun. Jauh dihadapan aku melihat kelibat dua orang cyclist. Hairan bagaimana kekuatan bertambah ketika itu kerana aku bertekad untuk mengejar dan memotong mereka. Aku sangat yakin dapat melakukan kerana dari gaya kayuhan mereka aku dapat mengagak kebolehan mereka.
Sampai di akhir jalan kelihatan beberapa cyclist sedang berehat dan bersembang. Seperti biasa aku tidak berhenti rehat tetapi membuat satu pusingan dikawasan lapang tempat letak kereta untuk menghilangkan penat dan memenangkan penafasan. Terus turun dan berselisih semula dengan dua cyclist masih bertungkus lumus untuk menghabiskan pendakian.
Misi seterusnya adalah pendakian ke muzium arkealogi Merbok. Pendek tetapi agak mencabar. Kelajuan ketika mendaki sekitar 7 atau 8 km/j. Tidak mahu atau tidak perlu memaksa diri untuk sampai cepat. Aku mengambil masa sendiri untuk sampai. Melihat dua cyclist yang aku nampak ketika memasuki taman rekreasi Tupah sebentar tadi. Mereka sedang berehat menghilangkan penat. Sayang sekali mereka berdua kelihatan sedang menghisap rokok.
Masih awal dan tiada pengunjung muzium. Hanya beberapa orang pekerja sedang membersihkan kawasan. Air yang mengalir di batu hampar agak banyak dari biasa kerana musim hujan. Aku tertarik dengan notis atau memo yang digantung di pintu masuk utama. Agaknya baru dipasang kerana sebelum ini tidak kelihatan. Aku berhenti untuk membaca. Arahan dan syarat biasa seperti menjaga kebersihan, risiko, etika pakaian, kenderaan yang tidak dibenarkan masuk, masa buka dan tutup dan lain lain.
Terus turun. Perut masih agak penuh dan tidak berhenti di gerai kesukaan untuk sarapan. Semasa melalui dihadapan gerai aku menoleh kearah gerai. Ramai juga pelanggan. Dalam hati berkata mungkin pembuat roti canai tertanya mengapa aku tidak singgah.
Sebentar tadi aku kata masih kenyang untuk singgah sarapan pagi tetapi lebih kurang 1 kilometer kemudian aku tidak dapat menahan diri untuk singgah di sebuah gerai dipersimpangan Pengkalan Bujang. Takkan tiba tiba perut menjadi lapar. Ah.... aku teringat dua minggu lalu aku singgah disini semasa kayuhan pulang. Gerai ini ada 'penarik', mungkin anak gadis tuan punya atau pekerja. Cara layanan dan senyuman membuat segala penat dan letih hilang sebelum menjamah makanan.
Satu lagi kelebihan gerai ini ialah lebih banyak pilihan termasuk 'pulut dengan nyiok atau ikan tamban', mee kining, pelbagai kuih muih, nasi lemak selain dari roti canai.
Hujung minggu ini, kita akan memulakan puasa bulan Ramadhan. Harap dapat membuat satu atau dua kali kayuhan sebelum menggantung basikal untuk satu bulan.

..... SELAMAT MENJALAN IBADAH PUASA .....

Statistik :
   Mula ............... 7.50 pagi
   Tamat ............. 10.30 pagi.
   Jarak ............... 49 km
   Cuaca .............. panas
   Laluan ............ Tupah - Muzium Arkeologi
   Odometer 2012 : 02879

Rabu, 4 Julai 2012

Sangkakan panas hingga ke petang ....

Rasa letih kayuhan bersama konvoi remaja dari KRT Bakar Kapur pada 29 dan 30 Jun 2012 telah hilang. Badan mulai terasa kurang bermaya dan aku tahu telah berehat agak lama dan hari ini kena membuat kayuhan bagi mengembalikan kesihatan badan.
Bukanlah kerana letih sangat tetapi pada hari Ahad, ada mesyuarat penel penasihat disebelah petang. Mesyuarat untuk membincangkan persediaan hari panel dan pelancaran kelab diabetes peringkat Daerah Kuala Muda. 
Hari Isnin pula aku ke Baling bersama beberapa orang ahli PPK untuk membuat lawatan sambil belajar ke sebuah ladang di Kampung Binjal. Seorang ahli PPK berminat untuk menanam labu. Ladang yang dilawati kepunyaan EN Wahab Ahmad. Beliau adalah salah seorang peladang yang berjaya di kawasan ini dan telah banyak kali menerima anugerah cemerlang. Produk utama adalah tembikai yang mula diusahakan lebih 10 tahun lalu dan kini menanam pisang dan labu sebagai tambahan.
Semasa kami asyik berbual di ruang beranda, tidak perasan sudah tengah hari dan time makan. Kami dijemput isteri en Wahab masuk untuk makan tengah hari. Inilah budaya dan keistimewaan orang kampung, walau suami telah menjadi peladang yang berjaya dan hidup agak senang, tidak lupa akan budi bahasa serta adat menyambut dan melayan tetamu. Tidak perlu bertanya atau diberitahu kepada tetamu, tanpa disuruh atau diarah oleh suami, menyediakan makanan.
Wah berselera sungguh ... memang sudah lama tidak merasakan masakan kampung dengan lauk pauk 'asli' disertakan dengan ulam ulaman yang tidak pernah aku jumpa sebelum ini. Yang menjadikan ulam ulam terasa enak adalah gandingan dengan sambal pencecah. Gulai ikan kaloi yang ditangkap didalam paya ditebing sungai di masak lemak cili padi dan udang goreng. Tidak perasan dan tidak malu aku menambah satu pinggan lagi nasi.
Masa kami balik En. Wahab membekalkan beberapa biji labu dari ladangnya. Kami memberikan buah yang elok dan besar kepada rakan yang berhajat untuk menanam labu, supaya dia boleh mengambil biji labu untuk dijadikan benih.
Buah labu yang aku bawa pulang aku serahkan kepada isteri. Selesai aku berehat isteri aku menghidangkan pengat atau serawa labu. Emmm... enak dan lembut isinya.
Sudah lama tidak tidak ditimpa hujan semasa membuat kayuhan. Aku terpaksa mencari tempat berteduh untuk mengelakkan basah kuyup ditimpa hujan. Aku memendekkan kayuhan apabila melihat langit menjadi begitu gelap dan hitam dan laluan awal tadi sudah mengalami hujan. Berhenti disebuah gerai dan sempat untuk sarapan menunggu hujan reda.

Statistik :
   Mula .............. 8.00 pagi
   Tamat ............. 9.30 pagi.
   Jarak ............... 33 km
   Cuaca ............. panas / hujan
   Laluan ............ Lencongan Barat - Lencongan Timur
   Odometer 2012 : 02830