Halaman

Ahad, 30 September 2012

Ban banjir ...

Ramai riders yang mengeluh tidak dapat melakukan aktiviti berbasikal disepanjang minggu lalu. Ini disebabkan musim hujan yang melanda daerah ini. Tiga empat hari hujan turun berterusan sepanjang hari... siang malam pagi petang. Hujan tamat sepenuhnya pada pagi sabtu. Tetapi sebentar tadi aku melihat dalam berita jam 8.00 malam Daerah Pendang di Kedah mengalami banjir dan lebih 200 orang penduduk dipindahkan.
Hari ini cuaca amat baik. Aku tidak mahu melepaskan peluang untuk membuat kayuhan. Kali terakhir aku berbasikal pada Ahad satu minggu lalu. Nasib la ada 'projek' yang dilakukan yang dapat mengeluarkan peluh dan meletihkan badan diantara masa hujan berhenti.
Aku ke Kota Kuala Muda dan kemudian ke Bumbung Lima melalui Pematang Bendahari merentasi kawasan sawah padi. Di kiri kanan kelihatan petani sedang berkerja di bendang yang baru selesai dibajak melakukan kerja persiapan sebelum benih padi ditanam. Ada juga yang mencari rezeki menjala ikan didalam tali air di tepi jalan. Sempat aku berhenti untuk melihat tetapi tidak banyak ikan yang terlekat pada jalanya. Agaknya terlalu ramai dan kerap orang menjala ikan hinggakan kehabisan ikan didalam tali air tersebut.
Apabila melintasi di bawah lebuhraya PLUS menuju ke Bumbung Lima aku macam terdengar orang memanggil nama aku. Aku melihat dan memandang sekeliling memberi tumpuan pada sebuah kedai makan ditepi jalan tetapi tidak kelihatan siapa yang aku kenal. Ah ... mungkin tersalah dengar atau mungkin ada orang yang mempunyai nama sama. Meneruskan kayuhan sambil menikmati pemandangan kawasan sawah padi. Aku juga tercari cari jalan ke Rekreasi Pantai Kamloon kerana ada signboard menunjuk ke arah tempat rekreasi tersebut. Aku tahu hanya jalan melalui pekan Bumbung Lima.
Sebentar kemudian sebuah kereta Proton Wira dipandu perlahan disebelah aku dan sekali lagi nama aku di panggil. Oh .. betullah pendengaran aku tadi. Seorang kawan, Sham (maaf aku tidak nama penuhnya) yang sudah agak lama tidak berjumpa dan berkayuh sama. Kami berbual sambil meneruskan kayuhan. Aku kemudian menyesal berbuat demikian, tidak hormat kepada kawan. Sepatutnya aku berhenti berkayuh dan sekurang kurangnya berjabat tangan. Sekiranya dia membaca blog ini, aku mohon maaf dan tidak akan melakukan perkara sedemikian dimasa akan datang. Aku mengucapkan terima kasih kerana bersusah payah memandu keretanya berjumpa, bertanya khabar dan kemudian  berpatah kembali.
Aku membelok kekiri ke arah Sungai Muda. Dari Kota Kuala Muda tadi aku teringin untuk berkayuh diatas 'ban tebatan banjir' yang hampir siap. Rasa boleh dilalui kerana kelihatan beberapa biji motorsikal berada diatas ban tersebut. Rasanya tidak lama lagi kenderaan kecil terutama motorsikal dan basikal akan boleh melalui ban tersebut pada kedua dua belah Sungai Muda. Mungkin akan ada yang akan menganjurkan 'Kayuhan Tebing' menyusuri sungai.
Walau terpaksa mengurangkan kelajuan tidak melebihi 15km/j tetapi rasa seronok. Jalan masih berbatu merah dan banyak lecak kerana hujan yang beterusan beberapa hari lalu. Pernah aku dengar bahawa ban ini akan diturap dan ditar. Sama sama kita tunggu dan lihat.
Selain dari pemandangan yang menarik, pelbagai aktiviti yang dapat dilihat, petani yang melakukan kerja dibendang, penanam sayur bekerja diladang, orang mengail atau memancing ikan, pekerja mengambil buah kelapa sawit, penjala ikan dan anak anak muda yang menunggang motorsikal tanpa haluan. Aku tertarik dengan satu keluarga yang mengerjakan bendang. Si ibu dan bapa memarahi anak kecil yang masih belum bersekolah kerana bermain air dan lumpur di dalam bendang yang sedang dikerjakan.
Aku melalui bawah jambatan kereta api berkembar dan pulang melalui Pinang Tunggal. Sempat singgah di tempat kerja dahulu untuk bertanya khabar dengan rakan sekerja dahulu.
 
Statistik :
Mula ............... 08.20pagi
Tamat ............. 11.00 pagi
Jarak ............... 51 km
Cuaca .............. Panas
Laluan ............. Kota Kuala Muda - Bumbung Lima - Pinang Tunggal
Odometer 2012 : 03506
         

Ahad, 23 September 2012

Sudah dapat rentak ?

Sejak mula ramadhan dua bulan lalu, aku tidak sama sekali behenti berkayuh. Walau pun pendek ia memadai untuk menjaga kesihatan sepanjang bulan puasa. Selepas ramadhan aku cuba melakukan aktiviti tersebut sekerap mungkin, tetapi nyata tidak dapat memenuhi kehendak. Ada banyak halangan dan masalah. Cuaca yang tidak menentu kadangkala hujan  waktu pagi, masalah kesihatan (batuk) yang beterusan hampir satu minggu dan ada perkara yang perlu dibereskan.
Walau dapat membuat kayuhan kebanyakkan hanyalah kayuhan pendek sahaja. Tiga kayuhan terakhir termasuk kayuhan pagi ini sedikit sebanyak menjadi titik permulaan semula rentak kayuhan dulu dulu. Aku berjaya melakukan kayuhan 'mid-range' pagi ini membuat satu pusingan melalui Guar Cempedak.
Berselisih dengan satu kumpulan roadbikers di jalan Guar Cempedak - Yan. Colourful. Lupa aku hari ini Ahad sehingga bertemu dengan kumpulan ini kerana dari masa memulakan kayuhan tiada bertemu dengan cyclist lain. Sepatutnya lebih ramai yang berada dijalanan.
Dua jam setengah berkayuh tanpa henti. Herannya aku tidak merasa lapar atau haus. Bercadang untuk berhenti di gerai mak cik yang membuat roti canai di pekan Merbuk, tetapi gerai tersebut tutup. Terpaksa singgah di gerai persimpangan Bendang Dalam.
Kayuh lagi esok ... tengok dulu. Hilangkan penat dulu. 
 
Statistik :
Mula ............... 07.40pagi
Tamat ............. 11.20 pagi
Jarak ............... 78 km
Cuaca .............. Redup
Laluan ............. Gurun - Guar Cempedak - Yan - Merbok
Odometer 2012 : 03455
   

Selasa, 18 September 2012

Roti canai bom

Roti canai bom Pinang Tunggal ... kena dua keping
Rancangan awal untuk berkayuh ke Kuala Ketil. Cuaca agak bagiuh .... tetapi mengubah fikiran untuk ke selatan ke Kepala Batas dan kemudian pulang melalui Pinang Tunggal. Aku teringat janji kepada diri sendiri beberapa hari lepas apabila melihat jambatan lintasan kereta api Pinang Tunggal sudah mula digunakan. Aku ingin berkayuh keatas jambatan tersebut. Nampak dari jauh agak tinggi, rasanya mencunggap juga untuk sampai keatas.
Kenderaan di jalan menuju Tikam Batu sudah agak berkurangan kerana waktu bekerja sudah bermula. Selamat sedikit rasanya. Walau ada laluan motorsikal yang boleh di ikut, tetapi sering ada kereta yang menggunakan laluan tersebut untuk memotong kenderaan yang mengikut kelajuan yang ditetapkan. Bila ini berlaku aku akan menyumpah didalam hati bila kenderaan yang melakukan kesalahan tersebut terlalu hampir dengan basikal aku. Ada doakan agar ada polis dihadapan dan menyaman kenderaan tersebut atau tayar kereta tersebut pancit terkena paku.
Melalui pekan Kepala Batas dan terus ke Bertam. Singgah di pusat bandar Bertam yang masih tidak ramai orang, Kemudian terus ke Pinang Tunggal melalui Bertam Perdana dan Paya Keladi. Membuat pendakian jambatan lintasan kereta api dan terus ke gerai kegemaran di sebelah sini.
Aku selalu datang ke kedai ini sekurang kurangnya dua kali sebulan. Selalunya dengan bekas rakan tempat kerja. Kalau untuk datang seorang diri agak jauh, lebih kurang 14 km dari rumah. Tidak berbaloi. Jarang aku singgah jika berbasikal. Aku mula datang kesini ketika masih bekerja. Dari tempat kerja hanya 2 km sahaja.
Apa yang seronoknya ialah sebaik sampai aku akan terus mencari meja kosong dan terus duduk. Sebentar kemudian sampai minuman dan makanan tanpa perlu membuat pesanan. Tuan kedai tahu apa minuman kesukaan dan yang akan aku pesan. Pernah beberapa kali aku menukar minuman tetapi kali berikutnya apabila aku datang dia akan ingat apa yang aku pesan kali terakhir. Menakjubkan. Dia ingat minuman kebanyakkan pelanggan.
Roti canai bom? Tidak banyak restoren atau gerai roti canai yang menjual roti ini di Sungai Petani, yang mana ada tidak dapat menandingi yang dijual disini, mengikut selera aku. Pada sesiapa yang jarang atau belum pernah makan roti canai bom ini, aku akan cuba menerangkan serba sedikit. Tiada bezanya dengan roti canai biasa, cuma ia kecil lebih kurang 100 mm diameter dan agak tebal. Itu sebabnya ia mengambil masa untuk dimasak.
Bezanya hanya pada bentuk. Tidak seperti roti canai biasa yang leper atau empat segi, roti bom bulat. Setelah adunan ditebar, ia dilipat memanjang seperti tali atau hose getah dan kemudian dibentuk lilitan. Goreng seperti biasa. Roti ini tidak boleh dibuat roti telur, roti sadin atauroti pisang.
Aku pulang melalui jalan keretapi lama yang melintasi Sungai Muda. Rasanya jalan ini akan ditutup lebih kurang satu tahun lagi apabila laluan berkembar siap. Aku mengabadikan dengan mengambil beberapa keping gambar.

Statistik :
Mula ............... 07.50pagi
Tamat ............. 10.40 pagi
Jarak ............... 49 km
Cuaca .............. Jerubu
Laluan ............. Kepala Batas - Bertam - Pinang Tunggal
Odometer 2012 : 03377


Ahad, 16 September 2012

Terkandas dalam hujan

Cuaca nampak macam OK je ... tiada tanda tanda hujan akan turun. Namun matahari masih malu untuk menunjukkan diri. Sebaik memasuki lencongan barat, tiupan angin yang sederhana membuatkan bulu roma badan mencacak naik. Bukan apa ... sejuk. Anggaran suhu ketika itu sekitar 20 darjah. Nasib baik aku memakai baju lengan panjang dan agak tebal.
Langit redup, awan macam muram sahaja dan aku teringat hari ini kita menyambut Hari Malaysia. Tiada rasa apa apa pun, mungkin ada sambutan di Sabah dan Sarawak. Kenderaan begitu kurang dijalan kerana cuti umum. Masih belum nampak sesiapa (rider) dijalan.






Tidak menghabiskan banyak masa di Pekan Tanjung Dawai kerana awan hitam makin menebal dan berarak perlahan kearah darat. Silap nanti aku terperangkap dalam hujan. Terus menuju ke jalan pulang, tidak laju hanya kayuhan biasa saje. Kalau nasib baik sempat sampai sebelum hujan turun kalau tidak berhenti berteduh dimana mana.
Sempat sampai di Pekan Merbuk dan berhenti sarapan digerai yang terletak di persimpangan Kampung Bendang Dalam. Sempat aku habiskan sebungkus nasi lemak dan kopi O. Terkejut aku bila aku diminta bayaran RM1.10, iaitu RM0.50 untuk kopi O dan RM0.60 untuk sebungkus nasi lemask. Betul ke ni? Sah apabila merujuk kepada tuan punya kedai.
Tidak pasti perasaan aku ketika membayar, malu ke atau tekejut ke. Aku terus mengenakan sarong tangan dan helmet dan membawa basikal keluar dari kawasan gerai. Baru sahaja bergerak beberapa meter, aku berhenti dan berpatah semula memasuki gerai tadi. Hujan dahhhh turunnn ... (pinjam dialog P.Ramlee dalam filem Pendekar Bujang Lapok). Aku duduk semula ditempat tadi dan bekas minuman dan bungkus nasi lemak masih belum dibersihkan dari meja.
Aku berteduh hampir 90 minit di gerai tersebut menanti hujan berhenti. Sempat melelapkan mata diatas kerusi. Hujan masih turun renyai renyai semasa kayuhan pulang.

Statistik :
Mula ............... 07.40pagi
Tamat ............. 11.40 pagi
Jarak ............... 62 km
Cuaca .............. Hujan (1 jam 30 minit)
Laluan ............. Tanjung Dawai
Odometer 2012 : 03328

Rabu, 12 September 2012

Ke Gurun

Seronok melihat projek menaiktaraf landasan keretaapi berkembar mula menampakkan progress. Bermula dari bandar Sungai Petani jejantas dipenghujung jalan Badlishah telah siap dan telah digunakan sepenuhnya. Ia melegakan pengguna jalan raya yang memasuki bandar dari sebelah utara kerana tidak perlu lagi bersesak dan bergerak perlahan di lencongan sementara. Hanya beberapa kemudahan lain yang masih dalam proses disiapkan seperti persimpangan lampu isyarat dan memperkemaskan jalan.
Siapnya jambatan ini sedikit sebanyak menukar sedikit wajah bandar. Bagi aku ia kelihatan lebih berbentuk 'metropolitan' dan banyak kemudahan sampingan diperbaiki. Jalan dilebarkan dan boleh menampung tiga lorong kenderaan. Jalan bata di hadapan Dataran Zero di perbaiki dan dibersarkan dan jalan diturap semula.
Disepanjang kayuhan menuju ke utara (hee .. he ... setakat Gurun sahaja) kebanyakkan projek melibatkan lintasan jalan utama siap dan telah digunakan. Aku tiba di pekan Gurun melalui jalan pintas Modenas. Tidak dapat mengelakkan diri dari melalui jejantas baru pekan Gurun dan mengambil kesempatan mengambil beberapa shot gambar. Ketika berada diatas jambatan aku berselisih dengan seorang cyclist (mtb) menuju kearah bertentangan. Rasanya kenal. Mungkin dia tidak perasan aku.
Rasanya keadaan pekan Gurun juga berubah sedikit. Tiada lagi kesesakkan pada lampu isyarat simpang tiga pertemuan jalan Jeniang. Lampu isyarat telah dipindahkan lebih kurang 200 meter dihadapan balai polis.
Kelihatan empat orang cyclist wanita 'amoi' baru memulakan kayuhan selepas menjamu selera di restoren. Aku berkayuh pulang dan membelok di Pekan Bedong menuju ke Semeling. Tidak berhenti sarapan dimana mana kerana tenaga masih mencukupi untuk sampai kerumah.






Statistik :
Mula ............... 07.40pagi
Tamat ............. 10.10 pagi
Jarak ............... 55 km
Cuaca .............. Panas
Laluan ............. Sg Lalang - Gurun
Odometer 2012 : 03266
           

Isnin, 10 September 2012

Selepas batuk

Perubahan cuaca dewasa ini terlalu mendadak, ada ketika hujan turun berlarutan dari awal pagi hingga lewat petang dan keesokkannya panas terik.
Aku sihat sahaja seminggu lepas tetapi diserang batuk yang agak teruk apabila balik dari mesyuarat panel di Alor Setar. Puncanya mungkin kerana aku minum air sirap ice ketika makan pada jamuan hari raya yang diadakan selepas mesyuarat.
Selain batuk badan pun jadi tidak sihat kerana keterlaluan menanggung batuk. Selalunya walau batuk masih boleh membuat kayuhan yang akhirnya menjadi penawar kepada penyakit tersebut. Tetapi tidak kali ini. Badan terus menjadi lemah dan selera makan pun berkurangan. 
Bila berjumpa dengan doktor pada jamuan hari raya panel penasihat klinik kesihatan Bakar Arang pada 06 Sept, doktor menasihatkan supaya berehat sahaja. Menurutnya batuk menjadi wabak ketika ini dan ramai yang datang untuk mendapat rawatan. Ubat ubata yang diberikan tidak berupaya untuk menghilangkan batuk, hanya menjaga pengambilan makanan dan banyak minum air akan dapat mengurangkan.
Bagai dikatakan badan menjadi lemah dan sudah hampir sembilan hari tidak membuat sebarang aktiviti senaman. Hari ini aku bertekad untuk memulakan aktiviti kayuhan apabila batuk mulai reda. Hanya kayuhan pendek dan singkat terdaya aku lakukan. Kalau diikutkan aku ingin pergi dua kali ganda jarak yang aku buat pagi ini. Tetapi aku biarkan badan menjadi biasa dahulu.

Statistik :
Mula ............... 07.45 pagi
Tamat .............. 09.10 pagi
Jarak ............... 33 km
Cuaca .............. Panas
Laluan ............. Lencongan Barat - Lencongan Timur
Odometer 2012 : 03211
           

Sabtu, 1 September 2012

Kayuhan sambil beraya

Genap dua minggu ramadhan berakhir. Semua aktiviti kembali normal kepada kebanyakkan rakyat Malaysia. Namun bagitu disana sini masih terdapat rumah terbuka dan majlis jamuan hari raya dan masih ada suasana kunjung mengunjungi. Hujung ini ini adalah long weekend kerana cuti umum hari kemerdekaan. Pertengahan bulan nanti satu lagi cuti umum sempena hari Malaysia pada 16 Sept.
Aktiviti berbasikal sekarang sudah in full gear. Aku sendiri pun sudah empat hari berturut turut membuat kayuhan. Jika tidak kerana jamuan hari raya anjuran rukun tetangga esok Ahad 02 Sept, mungkin akan dapat teruskan kayuhan untuk satu minggu. Pada hari Khamis 06 Sept nanti nanti gilirin panel penasihat klinik kesihatan Bakar Arang pula mengadakan majlis jamuan hari raya. Tergendala juga aktiviti kayuhan. Aku terlibat secara lansung sebagai salah seorang penganjur pada kedua dua majlis tersebut.
Ini adalah tanggungjawap sosial yang tidak dapat kita elakkan. Masyarakat Melayu tidak dapat mengelakkan dari majlis walimatulurus termasuk kenduri kesyukuran, keraian, majlis perkahwinan dan kearalan (kematian). Terpaksa melapangkan masa atau membatalkan aktiviti lain untuk perkara tersebut.
Kelmarin semasa keluar masjid setelah selesai solat Jumaat bertembong dengan seorang rakan hardcore roadbiker dan tiada hadiah untuk meneka apa yang kami bualkan. Tentulah tentang kayuhan. Dia baru memulakan semula aktiviti berbasikal pagi kelmarin dengan kayuhan ke Pantai Merdeka.
Pagi ini aku ke Padang Serai melalui Bandar Puteri Jaya dan Sidam untuk ke rumah seorang sahabat dan bekas rakan kerja, Md Noor Salleh. Sudah padang niat sebelum memulakan kayuhan. Sudah lama aku tidak kesana, mungkin hampir satu tahun. Harapkan dia ada dirumah kerana dia seorang yang selalu sibuk dengan aktiviti hujung minggu termasuk memancing. Jika dia tiada dirumah aku akan teruskan perjalanan pulang. Tak kuasa hendak menalifon dahulu.
Jika niat atau nawaitu kita baik, apa yang dirancangkan akan menjadi. Kayuhan hampir 35 km ke rumah beliau tidak sia sia kerana sebaik aku sampai dihadapan rumahnya dia sedang membuat kerja membersihkan di hadapan rumah. Dia terus berhenti dari membuat kerja dan kami bersembang hampir 90 minit, mengemaskini cerita dan bertukar tukar khabar. Teh O panas dan ketupat palas dengan serunding ikan memang enak kerana kami makan di luar rumah, ditengah kawasan lapang yang baru dibersihkan.
Aku sangat teringin untuk berbual lebih lama tetapi hari semakin panas dan aku ada panggilan kenduri majlis perkahwinan untuk dihadiri tengah hari nanti. Ada lagi 25 km kayuhan untuk sampai kerumah.

Statistik :
Mula ............... 08.30 pagi
Tamat .............. 11.45 pagi
Jarak ............... 58 km
Cuaca .............. Panas
Laluan ............. Sidam - Padang Serai - Pinang Tunggal
Odometer 2012 : 03178