Halaman

Ahad, 30 Disember 2012

Ramai berbasikal ....

Keluar awal sedikit dari biasa kerana cuaca kelihatan tidak begitu cerah. Takut pula hujan turun. Tidak berhajat untuk pergi jauh kerana ada kerja yang kena disiapkan sebelum tengah hari nanti. Aku merancang untuk sampai semula kerumah pada jam 10.00 pagi. Jadi aku mengambil jalan menuju ke Butterworth dan akan berpatah balik tepat jam 09.00 pagi selepas satu jam berkayuh tidak kira dimana aku sampai dan berapa jauh berkayuh. Diharapkan akan sampai tepat pada masa yang dirancang.
Pagi Ahad jalan Sungai Petani - Butterworth tidak begitu sibuk kerana disebelah sana adalah cuti hujung minggu. Sedikit risau kerana satu kilometer selepas Tikam Batu ada kerja kerja pembinaan untuk melebarkan jambatan dilakukan. Jambatan ini adalah yang akhir dilebarkan dilaluan ini. Heran kenapa tidak dilakukan sekali semasa penaikkan taraf jalan ini beberapa tahun lalu. Lencongan yang disediakan agak kecil dan takut berkongsi jalan dengan kenderaan berat seperti lori atau bas.
Ada sekatan atau pemeriksaan polis di kedua dua hala sebaik melepasi jambatan Merdeka yang menjadi sempadan antara Kedah dan Pulau Pinang. Kenderaan yang lalu tidak diperiksa rapi hanya sekadar perlahan agar dapat diperhatian oleh anggota polis bertugas. Beberapa biji motorsikal membuat U-turn, besar kemungkinan tiada lesen memandu atau cukai jalan. Kesian terpaksa mengikuti jalan alternatif lain yang mungkin lebih jauh. 
Anggota polis wanita yang sedang memeriksa kenderaan bergerak kebelakang kerana memberi aku laluan. Bukan setakat itu, sempat senyum dan mengucapkan salam pula. Baik budi bahasa. Begitulah sepatutnya penjawat awam.
Seronok berkayuh dilaluan ini. Ramai yang sedang berkayuh dikedua dua hala. Bukan cyclist seperti aku tetapi penduduk kawasan tersebut. Mereka tidak menggunakan mtb atau roadbikes tetapi basikal biasa yang satu masa dahulu menjadi pengangkutan utama untuk penduduk negara kita. Kalau diingatkan pada tahun 1960'an dulu, setiap rumah kampung atau dibandar mempunyai sekurang kurangnya satu biji basikal. Walaupun harganya tersangat lah murah berbanding sekarang, tidak semua rumah mampu memiliki.
Basikal yang aku jumpa pagi tadi tidak berbeza fungsinya dibanding dengan dahulu. Ada yang digunakan untuk membawa barangan kecil dan ringan, ada yang kepasar untuk membeli sayur sayuran, digunakan oleh remaja untuk berulang alik kesekolah dan tidak kurang yang dikayuh oleh warga emas  ke kedai untuk sarapan dan berbual dengan kawan kawan.
Rasa kesal kerana tidak mengambil gambar sebuah basikal yang menarik perhatian di Pekan Kepala Batas. Basikal diubahsuai dengan gaya kayuhan sebagai motor 'easy rider', dipasang dengan panel depan motorsikal. Pengayuh agak jauh kebelakang dan tangan yang memegang handle tegak lurus kehadapan kerana jarak daripada tempat duduk. Tidak boleh digunakan untuk kayuhan jauh lebih dari 5 km kerana agak memenatkan.
Minta maaf pakcik, mak cik, apek dan nyonya ... Terasa aku berlagak sombong pula kerana memotong basikal basikal tersebut mungkin dua atau tiga kali ganda kelajuan mereka. Sekurang kurangnya aku menegur mereka dengan senyuman sebelum memotong. Ada yang membalas teguran atau salam aku, ada yang hanya mendiamkan diri dan memberikan senyuman sahaja.
Berjaya sampai pulang kerumah pada jangkas masa yang aku rancang. Singgah untuk sarapan di sebuah restoren mamak di Taman Nilam Sari lebih kurang setengah kilometer dari rumah. Sebaik duduk terus didatangi pelayan untuk mengambil pesanan. Aku hanya meminta 'tose' tanpa minuman kerana air yang aku bawa masih belum diminum. Sementara menunggu 'tose' siap dua tiga orang pelayan lain datang bertanyakan samada aku sudah membuat pesanan. Bila aku kesini itulah makanan yang dipesan.
Hari krismas lalu aku singgah disini untuk sarapan. Ketika itu restoren dipenuhi pelanggan. Aku menunggu lebih sepuluh minit dan tiada siapa yang datang untuk mengambil pesanan makanan atau minuman. Ada pelayan dua tiga kali lalu ditepi meja tetapi macam tidak nampak aku duduk disitu.  Rasa macam invisible man pula. Kalau sibuk pun sekurang kurangnya memberitahu supaya bersabar. Selepas lebih sepuluh  minit aku blah, selera makan putus habis. 

Statistik :
    Mula ................ 7.55 pagi 
    Tamat .............. 10.00 pagi
    Jarak ............... 51 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Kepala Batas - Tawar 
    Odometer 2012 : 04344   
        

Sabtu, 29 Disember 2012

Masih diluar target ....

Salah satu kelebihan mempunyai blog, lebih lebih lagi apabila blog tersebut mendapat sambutan dari jumlah pelayar dan pengikut ialah memberikan 'tekanan' untuk penulis mengemaskinikan blog tersebut dan menbuat entry. Bagi aku jika tidak membuat entry untuk beberapa hari, hati menjadi resah dan rasa bersalah. Risau kalau pengikut dan pembaca blog ini akan tertanya tanya apabila melihat tiada catatan baru dibuat.
Tanggungjawap untuk mengemaskini dan memasukkan catatan baru menjadi penggerak untuk aku membawa basikal keluar dan melakukan kayuhan. Semasa kayuhan aku akan memikirkan apakah catatan yang akan dimasukkan kedalam blog ini.
Hari ini genap satu minggu aku tidak membuat kayuhan. Disamping balik ke kampung di Negeri Sembilan cuaca juga tidak menentu. Banyak hal juga yang perlu dibereskan. Walaupun kali atau musim ini kawasan sebelah utara tidak dilanda banjir seperti negeri negeri di pantai Timur termasuk Kelantan, Terengganu dan Pahang tetapi cuaca tidak begitu mengizinkan untuk membuat aktiviti kayuhan. Ada beberapa kenduri kahwin yang perlu dihadiri sebelum tahun 2012 menutup tirai beberapa hari lagi. Ada dua tiga lapuran yang perlu disiapkan dan dihantar.
Pagi ini aku tiada pilihan melainkan mengheret keluar roadbikes yang telah lama tergantung dibahagian belakang rumah. Meragam la pulak ... mungkin kerana sudah lebih dua bulan tidak bersama. Aku banyak gunakan basikal yang aku ubahsuai menjadi touring bikes. Tayar depan belakang kempas, mencungap nafas mengepam kedua dua tayar. Beberapa bahagian frame nampak mulai timbul tompok karat (maklumlah basikal klasik yang diperbuat dari besi), rantai dan gear kering dan perlukan gris atau pelincir, brake pula perlu diperketatkan dan paling malang ada labah labah membuat sarang.
Aku kena membuat sesuatu tentang karat pada body basikal itu sebelum ia merebak menjadi lebih teruk. Terasa seronok pula mengayuh roadbikes setelah sekian lama diabaikan. Terfikir juga untuk menggantikan klasik ini dengan yang baru, yang lebih effisyen, lebih ringan dan mungkin lebih laju. Buat masa terdekat ini aku akan terus menggunakannya.
Ramai juga cyclist di jalan hari ini tetapi kebanyakkan menaiki mtb. Herannya semua yang aku nampak di sebelah jalan bertentangan. Ha ha ... yang sehaluan mungkin jauh dihadapan, tidak dapat aku mengejar atau jauh dibelakang tidak dapat mengejar aku.......
Pada penghujung bulan Disember ini aku sudah merasakan permulaan tiupan angin timur. Kayuhan akan menjadi sedikit sukar, berat dan lambat terutama jika melalui kawasan pantai dan dikawasan bendang.
Beberapa hari sahaja lagi tahun 2013 menjelang. Aku tidak dapat mencapai target rasmi yang aku tetapkan iaitu untuk berkayuh sejauh 5,000 kilometer. Kurang hampir 700 km. Ini disebabkan kerana cuti berkayuh lebih sebulan kerana masalah kesihatan.
Perjuangan mesti diteruskan.

Statistik :
    Mula ................ 8.05 pagi 
    Tamat .............. 9.20 pagi
    Jarak ............... 33 km
    Cuaca .............. Nyaman, redup
    Laluan ............. Lencongan Barat - Timur 
   Odometer 2012 : 04293   
        

Sabtu, 22 Disember 2012

Hutan Lipur Ulu Bendol, Kuala Pilah

Aku berterima kasih kepada isteri kerana menggalakkan membawa basikal bersama untuk pulang ke kampung. Dia tahu aku akan mati akal duduk dirumah tanpa membuat sesuatu. Kalau ada basikal bolehlah membuat kayuhan untuk menghilangkan rasa bosan duduk sahaja. Lagi pun banyak lagi ruang di belakang Nisssan X-Trail aku. Ini kali ke tiga aku pulang kekampung membawa basikal.
Idea untuk kayuhan ke Ulu Bendol melalui jalan baru Bukit Putus tercetus sebaik sampai dipersimpangan Senawang sebelum memasuki lebuhraya LEKAS untuk kerumah ibu mertua. Aku terkejut kerana ibu mertua selalu menyebut nama aku sejak kebelakangan ini dan dia kelihatan sungguh gembira apabila kami muncul dihadapan rumah. Memang kami sengaja tidak memberi tahu yang kami akan pulang menjenguk.
Cuaca amat baik sekali, seolah meraikan akan rancangan anak perantauan untuk kayuhan ditempat sendiri pada pagi ini. Selepas sarapan pagi sekeping roti canai dan nescafe (terkejut sedikit bila membayar kerana harga lebih dari selalu aku bayar disebelah utara) aku menghala ke arah jalan Kuala Pilah.
Sejak mula kayuhan, hati aku tertanya tanya adakah selamat untuk mengikuti laluan ini. Sering aku terperangkap apabila memandu di jalan ini terutama pada hujung minggu dan musim perayaan.  Terlalu banyak kenderaan. Walaupun jalan baru mengantikan jalan Bukit Putus yang berliku seperti ular dipalu telah siap dan digunakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini tetapi jalan menuju ke Kuala Pilah dari Ulu Bendol masih ditahap lama. Sekarang kerja kerja menaiktaraf sedang dilakukan bagi menampung jumlah kenderaan.
Untuk pengetahuan jalan ini adalah salah satu jalan yang tersibuk keluar dari bandar Seremban selain dari Lebuh raya PLUS. Kini ramai yang menggunakan jalan ini untuk ke pantai timur temasuk ke Kuantan atau Karak. Tidak kurang juga yang menggunakan ia sebagai jalan alternative ke selatan melalui Gemas dan Segamat.
Pendakian dari arah Seremban sejauh hampir tiga kilometer tiada sebarang masalah, aku berhenti beberapa kali untuk mengambil gambar. Sampai di Hutan Lipur sebelum jam 09.00 pagi dan masih lengang. Aku berlegar dikawasan perkelahan dan agak terkejut kerana kemudahan yang disediakan. Memang jauh bezanya waktu aku kerap singgah lebih dari sepuluh tahun lalu. Terdapat kolam mandi yang agak luas. Berbeza dengan kolam mandi awam lain, air sentiasa mengalir kerana mengguna sumber air sungai.
Pada mulanya aku tidak berniat untuk singgah lama kerana aku bukan 'orang atau pencinta alam semula jadi' sangat. Sudah begitu lama aku tidak pergi ketempat perkelahan atau memasuki hutan rimba atau menjadikan taman taman rimba atau taman negara sebagai destinasi percutian. Tetapi bila aku duduk sendirian ditepi sungai yang mengalir ke taman rekreasi ini, keadaan begitu aman dan nyaman sekali. Aku menghabiskan masa lebih satu jam dan barulah aku bergerak melawat ketempat tempat lain.
Teringin juga terjun kedalam sungai untuk mandi tetapi aku tidak membawa pakaian mandi. Teringat masa kecil dan remaja dahulu menjadikan sungai tempat paling seronok beraktiviti. Aku hanya sekadar turun dipergigian sungai untuk membasuh muka dan membasahkan kepala. 'Jangan tidak' kata orang tua tua. Dibahagian hilir aku melihat tiga orang yang sudah berumur manda mandi dan bermain air seolah olah mereka masih lagi kanak kanak!
Aku berkayuh didalam kawasan ini dan mengikuti trek yang disediakan. Pengunjung lain samada berjalan kaki atau membawa kenderaan hampir ketempat perkelahan. Kebanyakkan sungai diempang menggunakan batu batu. Ini berfungsi untuk mengumpulkan air kerana air dari Gunung Angsi ini tidak begitu banyak dan membolehkan pengunjung mandi manda. Tidak tahu samada empangan kecil ini dibuat oleh pengunjung atau pihak yang menjaga kolam.
Aku mengikut trail yang membawa ke punca sumber loji rawatan air untuk bekalan air di kawasan ini. Dengan keadaan mutu fizikal air yang begitu jernih dan bersih kerana tiada sebarang aktiviti di kawasan tadahan, penduduk kawasan ini mendapat bekalan air minuman yang tidak banyak mengandungi bahan kimia. Kos rawatan air juga boleh dikatan jauh berkurangan dari loji konvensyional.
Berpatah balik ke kawasan utama dan aku ke Taman Ular Sawa. Tidak banyak ular yang dipamerkan tetapi tiada sebarang bayaran dikenakan untuk melawat. Ular yang dipamerkan bukan sahaja dari species tempatan tetapi juga dibawa dari luar negara.


Aku bertanya kepada seorang pengawal keselamatan taman ini tentang jalan atau trek ke Gunung Angsi. Aku diberitahu ada dua laluan, satu dari taman ini dan satu lagi dari jalan lama Bukit Putus. Aku berminat untuk membuat pendakian tetapi bukan untuk hari ini. Aku juga difahamkan tidak ramai pendaki kecuali pada hujung minggu atau cuti panjang. Itu pun kalau ada pelajar IPT yang membuat aktiviti. Kebanyakan pendaki awam berbangsa Cina.
Setiap pendaki dikehendaki mendaftar di pejabat perhutanan dan membayar RM5.00 sebelum membuat pendakian. Satu perkara lagi pendakian hendaklah dimulakan sebelum jam 09.00 pagi. Oh .... pelik bunyinya. Tidak pasti apa tujuan.
Mengikut pengawal tersebut, pendakian mengambil masa hampir 2 jam bagi yang kurang atau tidak biasa. Pendaki tidak dibenarkan bermalam diatas gunung dan dikehendaki turun dan keluar dari kawasan hutan lipur ini sebelum jam 07.00 malam. Aku akan membuat pendakian dimasa akan datang.
Aku risau melihat kereta bertali arus tanpa henti dikedua dua arah. Terpaksa berhati hati membuat kayuhan dalam keadaan ini. Nasib baik kerana aku hanya perlu berkayuh kurang dari 2 km sebelum membelok ke jalan lama Bukit Putus. Pendakian hanya satu kilometer dan kemudian menurun. Berehat dipuncak jalan lama sambil memerhatikan kenderaan yang sibuk di jalan baru.


Aku kehabisan minuman air dan bercadang untuk membeli minuman sejuk di kedai pertama aku jumpa. Berjumpa dengan penjual air kelapa di tepi jalan. Ini lebih baik dari air 'isotonik'. Harga sebiji kelapa lebih murah dari Sungai Petani. Hanya RM2.50. Penjual tersebut berbangsa Aceh. Agaknya sumber kelapa disini lebih dekat berbanding dengan sumber kelapa yang dibekalkan kepada peniaga di Sungai Petani.
Masa untuk makan tengah hari. Ada dua restoren mamak dalam laluan pulang, tetapi aku tidak berselera lansung. Disatu persimpangan ternampak sebuah restoren Melayu dan berbaloi menahan lapar. Hampir empat puluh jenis lauk disediakan dan aku memilih gulai ikan sembilang (keli kalau disebelah utara) salai masak lemak cili padi. Sodap....... kalau di Negeri Sembilan tidak lah sah kalau tidak pekena makanan masak lemak.
Satu yang lucu berlaku. Tuan kedai datang mengira dan meletakkan kertas tanda harga diatas meja. Kerana tidak mahu ditiup angin aku mengambil kertas tersebut dan meletakkan dibawah pinggan. Sepuluh minit kemudian dia datang untuk mengira harga makanan pelanggan berhampiran meja aku dan sekali lagi mengira harga makanan kerana dia tidak nampak kertas yang aku letakkan dibawah meja. Lucunya kiraan pertama ialah RM5.50 manakala kiraan kali kedua hanya RM5.00 sahaja. Cuba teka berapa aku bayar.
Aku puas dengan kayuhan pagi ini. Walaupun pendek tetapi amat bermakna sekali. Ianya hampir 600 km dari tempat aku bermastautin dan aku dibesarkan di kawasan ini. Ada beberapa tempat lagi yang aku ingin teroka dengan basikal. Itu episod akan datang .........

Statistik :
    Mula ............... 8.05 pagi 
    Tamat ............. 11.30 pagi
    Jarak ............... 35 km
    Cuaca .............. Nyaman, redup
    Laluan ............. Senawang - Ulu Bendol 
   Odometer 2012 : 04260   
        


Khamis, 20 Disember 2012

kayuhan pendek

Pekenan betul dengan hasil pelukis Brazil ni ...
Sepatutnya aku berehat dari kayuhan hari ini kerana esok 21 Dec aku akan pulang ke kampong untuk beberapa hari. Ada undangan walimatul urus dari salah seorang sepupu untuk majlis perkahwinan anak lelaki pertamanya. Suaminya meninggal dunia pada sebelah malam hari pertunangan anaknya tersebut. Kesempatan ini juga untuk menziarahi ibu mertua yang sudah uzur dikampong.
Aku telah merancang untuk membuat kayuhan ke Kulim kelmarin. Kayuhan yang agak jauh kerana sudah hampir setahun tidak menjelalah ke kawasan tersebut. Boleh juga menziarah dan berjumpa rakan rakan lama disana.
Tetapi rancangan tersebut terpaksa dibatalkan kerana menghadiri taklimat COMBI anjuran Pejabat Kesihatan Derah Kuala Muda. Biasalah. Notis atau jemputan dibuat sehari sebelum majlis. Boleh kalau tidak menghadiri tetapi kerana aku terlibat sebagai seorang ahli panel penasihat klinik kesihatan menjadi tanggungjawap pula untuk hadir. Mungkin ada perkara penting untuk disampaikan untuk kepentingan masyarakat di taman perumahan. 
COMBI bermaksud 'Communication for Behaviour Impact' (Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku) adalah satu program anjuran WHO untuk mengubah perangai dan tingkah laku individu seerta masyarakat bagi menangani masalah penyakit berjangkit termasuk tb, kusta dan lain lain. Di Malaysia program COMBI adalah untuk mengurangkan penyakit 'Denggi'.
Hari sebelumnya pada 18 Dec. aku kena hadir ke majlis penutupan program Kem Memperkasa Kendiri kepimpinan Jiran Muda 2012 yang diadakan di kem D'Omland, Teluk Bayu, Tikam Batu. Program ini anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Kuala Muda. KRT Taman Intan menghantar empat peserta remaja untuk mengikut program ini sebelu sessi sekolah  bermula.
Berbelah bagi samada untuk membawa basikal balik kampong atau tidak. Ada masa satu hari sebelum hari kenduri. Kalau basikal dibawa bersama boleh aku membuat kayuhan di kawasan Seremban. Paling lekeh boleh membuat kayuhan di Bukit Putus dan Peranginan Ulu Bendol. Seronok juga.
Kayuhan pagi ini dalam keadaan redup dan tidak mahu pergi jauh, setakat jalan lencongan timur dan barat. Ini memadai untuk hari ini. Tiada apa yang special. Berselelisih dengan sekumpulan enam orang roadbikers, mungkin dari Tikam Batu atau Kepala Batas.
Semasa melalui Kawasan Perindustrian Taman Ria Jaya aku teringat kepada trajedi yang berlaku di sekitar Taman Perumahan Flat Paya Nahu pada 17 Dec lalu. Ia menjadi berita hangat di dalam akhbar. Insiden yang hanya disebabkan pergaduhan kecil kumpulan anak muda pada awal pagi, melarat menjadikan pergaduhan antara geng. 
Pelbagai cerita yang didengar dan diperbesarkan menjadi cerita rusuhan dan pergaduhan kaum. Hinggakan ada yang menyebarkan cerita bahawa Daerah Kuala Muda diletakan dalam perintah berkurung. Kebanyakkan penduduk daerah ini tidak tahu atu perasan perkara ini berlaku. Perjalanan dan aktiviti harian penduduk adalah seperti biasa. Penyebaran berita dan kabar angin ini dibuat melalui SMS dan Internet.
Kayuhan melalui pinggir kawasan terlibat tidak menunjukkan sebarang petanda perkara buruk belaku. Tindakan pihak polis mengawal keadaan dan membuat tangkapan terhadap anak anak muda yang mencetuskan pergaduhan telah dibuat dan keadaan kini pulih seperti biasa.

Statistik :
    Mula ............... 8.10 pagi 
    Tamat ............. 9.30 pagi
    Jarak ............... 33 km
    Cuaca .............. Nyaman, redup
    Laluan ............. Jalan Lencongan Timur - Barat
   Odometer 2012 : 04260   
        

Isnin, 17 Disember 2012

Nak potong lengan pun tak pe .........

Langit disebelah utara diliputi awan mendung tetapi keadaan ini tidak dapat memendung niat untuk membuat kayuhan. Tawakal sajalah. Kalau hujan turun kena berhenti berteduh dan mungkin akan lambat pulang ke rumah. Tiada apa program hari ini jadi tidak mengapa kalau balik lambat.
Tiga hari lepas agak sibuk sikit. Anak saudara sekeluarga 6 orang termasuk anak anak datang ke rumah dari Kuala Lumpur. Mereka tinggal dirumah selama tiga hari dua malam. 
Aku pula ada program pada hari Sabtu 15 Dec menjaga urusan makanan untuk hari keluarga yang dibuat di Teluk Nipah, Kuala Muda. Pada hari Ahad 16 Dec, beberapa orang remaja mengambil bahagian dalam Kem Memperkasa Kendiri Jiran Muda anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional, Kuala Muda. Sebagai pengerusi KRT Taman Intan aku kena hadir pada upucara pembukaan dan penutupan pada 18 Dec nanti.
Kayuhan pagi berjalan lancar dan aku rasa begitu teruja. Aku mengikuti haluan ke utara dan kemudian ke Tanjung Dawai. Memang sudah agak lama aku tidak kesini. 
Aku masih berhati hati, takut kalau luka bekas pembedahan mengalamai kesakitan. Luka tersebut hampir pulih. Tiada masalah atau rasa pedih ketika aku melakukan kayuhan jauh seperti yang aku lakukan kelmarin. Cuma tenaga dan otot masih belum pulih sepenuhnya.
Semasa memikirkan luka tersebut aku teringat pertama kali aku membuat pembedahan 'appendix' pada tahun 1977 dahulu. Serangan bermula sebaik aku selesai menduduki kertas pertama untuk peperiksaan akhir tahun 1 di University of Southampton, England. Aku berehat dan tidur, bila sedar aku sudah tidak tentu hala. Duduk sakit, baring sakit, menonggeng, meniarap dilantai. Sekejap nak muntah, nak kencing, lepas itu nak berak. Berada dalam bilik air dalam masa yang lama. 
Sebahagian gambar yang berukuran lebih satu meter lebar
Aku tidak tahu bagaimana aku boleh berada di 'sick bay' untiversity. Bila dan siapa yang membawa aku kesana. Bila sedar aku bagai berada di tempat asing. Kesakitan sudah berkurangan kerana diberi suntikan 'pain killer'. Tidak ingat siapa yang menjaga, bila aku makan atau minum, bila aku tidur semula. Aku tidak tahu waktu, siang atau malam dan pagi atau petang, berapa lama aku telah berada disana dan penting sekali bagaimana aku akan menduduki peperiksaan akhir tahun yang akan menentukan samada aku akan dapat meneruskan ke tahun 2.
Sekali lagi aku tidak ingat bagaimana aku berada ditempat yang amat berlainan dari sick bay untuversiti. Aku yakin dan terus mengagak yang aku berada di hospital apabila melihat keadaan sekeliling dan melihat beberapa orang jururawat minah salleh berada di sekeliling katil. Seseorang cuba menerangkan sesuatu tidak pasti doktor atau pembantu atau jururawat. Tidak jelas apa yang dikatakan.
Dalam keadaan sedar dan tidak aku mendengar bahawa aku menghadapi masalah appendix dan ia telah bengkak dan bewarna biru. Mungkin akan pecah dalam masa terdekat. Jika pecah akan mendatangkan bahaya kerana ia mungkin akan memasuki saluran dan meracuni darah. Kawasan tersebut akan dijangkiti virus dan bekteria. Aku perlu dibedah segera untuk membuang appendix tersebut.
Baru perasan aku telah dipakaikan apron atau pakaian untuk pembedahan. Bila masa pula aku menanggalkan pakaian dan menyalin memakai apron nih .... Malu .. peduli apa. Aku tidak sedar pun.
Aku masih ingat dengan jelas bahawa perkataan akhir yang aku ungkapan ialah " .. I dont care if you chopped off my arm...!" (aku tidak peduli kalau anda hendak potong lengan saya) bila jururawat memberitahu bahawa mereka akan melakukan pembedahan sebentar lagi. Jururawat tersebut kemudian menyatakan bahawa aku akan disuntik anesthetic dan menyuruh aku mengira dari sepuluh hingga angka satu. Pada angka kelapan aku sudah tidak sedarkan diri.
Bila sedar sekali lagi aku terkejut apabila mendapati pakaian aku sudah disalin ke pakaian pesakit hospital. Bila masa pula jubah atau apron pembedahan ditanggalkan. Soalan pertama aku ucapkan ialah ... dimana pakaian dan selipar aku. Aku pakai selipar ke?. Aku berada dalam wad... dikiri kanan, dan dihadapan dipenuhi dengan katil katil yang dihuni oleh Mat Salleh. Aku seorang sahaja orang asing.
Bermulalah pengalaman sebagai pesakit yang jauh diperantauan. Jangan haraplah ada ahli keluarga yang akan datang menghuni kerusi dikedua dua belah katil dimana aku sedang berbaring. Tiada siapa yang akan duduk menunggu sebagaimana lazimnya pesakit yang dirawat dihospital. Tiada ahli keluarga yang tahu aku sedang terlantar dihospital sekarang. Siapa yang akan memberitahu perkara ini dan jika mereka tahu sekali pun tidak siapa yang mampu datang menziarah.
Tidak tahu berapa hari aku hari berada dikatil hospital tersebut. Tidak tahu bagaimana dengan peperiksaan yang sedang berjalan. Adakah aku terpaksa menduduki semua kertas berasingan dan seorang diri atau aku kena ulangi semula tahun 1. Tetapi yang paling merisaukan mampukan aku pulih untuk penerbangan balik ke Malaysia pada cuti musim panas dua minggu dari sekarang. Tiket sudah beli. Aku kena keluar dari asrama universiti sebelum berangkat pulang bercuti dikampung. Bagaimana dengan pakaian, buku, kelengkapan belajar lain serta stereo hi-fi.
Masa berlalu agak pantas dan tidak terasa bosan atau jemu kerana layanan dan kemudahan yang diberikan oleh pihak hospital. Aku tidak perasan tetapi sehari sebelum dibenarkan keluar dari hospital aku diberitahu, aku adalah pesakit yang paling ramai mendapat kunjungan dan pelawat. Beberapa pensyarah serta head of department datang melawat menyatakan supaya jangan risau kerana tidak dapat menduduki peperiksaan. Kawan kawan senegara dan juga kawan dari kuliah juga melawat selepas mereka menduduki kertas peperiksaan.
Kebanyakkan pesakit yang ada dalam wad tersebut amat mesra. Mereka melayan aku berbual, berjenaka dan memberi aku keutamaan ketika makan atau menggunakan kemudahan yang disediakan seperti surat khabar, radio tv dan sebagainya. Seolah olah mereka ingin menebus semula kesalahan mereka menjajah negara kita dahulu dan merompak dan mencuri kekayaan begara kita.
Kemesraan kakitangan dan pekerja hospital amat berbeza sekali berbanding tempat kita. Mereka begitu bersopan santun, bersikap professional dan berdedikasi. Layanan mesra, sama rata tanpa memilih warna kulit. Bangga dapat belaian dan sentuhan yang patut dicontohi.
Masa sebelum makan sentiasa aku nantikan. Dua tiga jam sebelum waktu makan, seorang kakitangan akan datang mengambil pesanan. "What would you like for lunch/dinner, love...?". Makanan yang dihantar sama seperti yang kita pesan. Macam dalam hotel pula.
Satu kemudahan dan diberikan ialah setiap katil disediakan dengan earphone untuk siaran radio dan TV. Tidak menganggu pesakit lain jika ingin mendengar radio atau menonton TV. Paling seronok apabila pekerja stesyen radio datang ke katil pesakit bertanya apakah pilihan lagu yang ingin disiarkan di radio.  Aku ingat lagi lagu yang aku minta iaitu 'Lucile' oleh Kenny Roger. Apabila lagu dimainkan di radio hampir semua pesakit didalam wad berkata " the radio is playing your song ...".
Peristiwa tersebut berlaku hampir 35 tahun lalu tetapi masih jelas dalam ingatan. Aku catatkan kedalam blog ini untuk berkongsi dengan pembaca dan sebagai rekod untuk aku. Aku dinaikkan ke tahun 2 bedasarkan keputusan peperiksaan satu kertas/subjek yang sempat aku duduki.
Singgah untuk breakfast digerai kesukaan aku di pinggir pekan Merbok. Hilang rasa letih dan dahaga .....

Statistik :
    Mula ............... 7.50 pagi 
    Tamat ............. 10.55 pagi
    Jarak ............... 61 km
    Cuaca .............. Nyaman, redup
    Laluan ............. Tanjung Dawai
   Odometer 2012 : 04227   
        

Khamis, 13 Disember 2012

Ringan bukan bermakna laju .....

Tiga hari aktiviti kayuhan tergendala kerana perkara yang perkara yang tidak dapat dielakkan. Kelmarin 12/12/12 adalah tarikh penting bagi ramai orang. Ramai pasangan yang mengabadikan tarikh perkahwinan mereka. Ramai juga kaum ibu yang melahirkan anak pada tarikh tersebut.
Mengikut apa yang aku baca tarikh tersebut tidaklah sehebat tarikh lain seperti 01/01/01 atau 08/08/08 atau 11/11/11. Bagi aku tarikh tersebut adalah kali terakhir aku berjumpa dengan doktor yang membedah aku tiga minggu lalu. Pemeriksaan yang dilakukan menunjukkan aku telah pulih sepenuhnya walaupun bahagian dalam akan mengambil sedikit masa lagi untuk bertaup sepenuhnya.
Pagi ini aku teruskan kayuhan menggunakan 'touring' bike. Simpan dahulu roadbike kerana membongkok untuk kayuhan roadbike mungkin akan menjejaskan luka yang baru pulih. Aku cuba kayuhan deras sedikit untuk mengembalikan prestasi seperti sebelum ini. Aku mengira dapat membuat kayuhan agak deras kerana basikal ini lebih ringan berbanding sebelumnya.
Persoalannya, bolehkah kenderaan yang ringan bergerak lebih laju dari kenderaan yang lebih berat. Berat atau ringan bukan penentu kelajuan. Kuasa atau tenaga adalah faktor utama. Kelajuan kayuhan aku tidak banyak peningkatan dibandingkan dengan penggunaan suspension fork. Kalau begitu adakah aku membuat pembaziran bertukar kepada rigid fork.
Beberapa kali kayuhan terganggu oleh panggilan telefon. Anak sulung aku memandu ke Kota Baharu, Kelantan sendirian. Pertama kali dia memandu jauh seorang diri. Aku mengizinkan kerana dia begitu yakin. Cuma menasihatkan supaya mengambil langkah langkah keselamatan. Seorang kawan yang juga dalam perjalan ke Pantai Timur bertemu dengan anak aku di R&R Grik. 
Agak mengecewakan apabila gerai roti canai kegemaran di Pinang Tunggal tidak dibuka pagi ini. Melepas selera untuk makan roti canai bom.
Esok kayuh lagi boleeeh ......

Statistik :
    Mula ............... 8.05 pagi 
    Tamat ............. 11.10 pagi
    Jarak ............... 64 km
    Cuaca .............. Nyaman
    Laluan ............. Kepala Batas - Bertam - Tasik Gelugur - Pinang Tunggal
   Odometer 2012 : 04166   

Ahad, 9 Disember 2012

Ketum Power

Ooops .... sabar. Jangan salah sangka. Baca sampai habis dulu. Bukan aku hendak mempromosi atau menggalakkan pengambilan air ketum ini tetapi untuk renungan dan kebaikan rider yang lain. 
Kayuhan pagi ini melalui Bandar Puteri Jaya untuk ke jalan Kuala Ketil. Rancangan aku ialah untuk mengambil jalan ke Sidam dan pulang ke SP melalui Pantai Prai. Ingin berkayuh jauh sedikit dari kelmarin untuk menguatkan semula otot otot dan menyegarkan badan selepas berehat lama. Semasa melalui Bandar Puteri aku teringatkan beberapa orang rakan sepengayuhan tetapi sekarang agak jarang berjumpa dan berkayuh bersama.
Semasa aku dan isteri singgah di sebuah kedai makan Cina Muslim di Taman Kempas beberapa hari lalu aku berjumpa seorang rakan dari Bandar Puteri. Terus terang, jarang aku keluar makan direstoren sejak beberapa tahun kebelakang ini tetapi selepas dimasukkan ke hospital minggu lalu, selera makan agak memilih. 
Aku hampir tidak mengenali kawan tersebut kerana berat badannya bertambah, dulu kurus sedikit. Agaknya sekarang senang hati kerana anak anak sudah membesar dan setelah berpindah dari Taman Bersatu ke Taman Bandar Puteri. Aku menegurnya dan dia kelihatan agak terkejut kerana tidak perasan yang aku sedang duduk sambil memerhatikan dia membuat pesanan.
Belum sempat dia duduk dimeja aku, pelbagai soalan yang aku tanyakan kepadanya. Tidak bagi peluang lansung. Tidak perlu tanya apakah soalan paling banyak aku ditanyakan. Dia pun begitu. Mestilah mengenai aktiviti berbasikal
Bagai tidak cukup masa untuk aku bercerita tentang pengalaman kayuhan, tempat tempat yang aku pergi dan termasuk pembedahan yang baru aku lalui.
Aku bertanyakan samada dia selalu berkayuh dengan geng gerek yang ramai di Bandar Puteri. Dia terus menyatakan tidak mencampuri mereka. Kenapa? ... kerana mereka mengambil air ketum. Mereka minum air ketum sebelum memulakan kayuhan dan membawa air tersebut semasa kayuhan. Aku terkejut kerana tidak mengetahui tentang ini. Patut la ada yang kelihatan begitu bertenaga dan mampu membuat kayuhan jauh sehingga 150 km sehari.
Tidak tahu dikawasan lain, tetapi kalau disebelah Kedah dan Perlis penggunaan air ketum ini sebagai 'booster drink' berada pada tahap yang agak membimbangkan. Penagihan air ketum dikalangan masyarakat tanpa mengira usia di kawasan utara ini amatlah teruk sekali dan memberi kesan buruk kepada kehidupan harian.
Ketum juga dipanggil pokok biak disebelah Kedah agak mudah hidup. Aku bersama rombongan pernah singgah di sebuah ladang ketum beberapa tahun lalu dan mengikut pengusaha ladang terdapat beberapa jenis pokok ketum yang boleh dibezakan dengan warna urat tengah daun ketum.
Petani dan nelayan sejak dulu menggunakan daun ketum ini untuk memberikan tenaga sebelum melakukan kerja di ladang atau sebelum turun ke laut. Daun ketum direbus dan diminum airnya atau dimakan terus. Pernah aku mencuba memakan daun muda satu ketika dahulu dan kesannya ialah kepala menjadi pening. Orang kata kena buang urat tengah daun sebelum memakan.
Kalau tidak silap aku pernah diberi minum air ketum pada tahun 60'an dahulu ketika berusia tidak lebih dari 10 tahun. Emak aku menyuruh minum air tersebut ketika hendak tidur bertujuan membunuh cacing dalam perut. memang keesokkan harinya cacing keluar dari dhubur.
Aku berterima kasih kepada Johari kerana membayarkan makanan kami dan berharap akan dapat berjumpa selalu. Juga mungkin dapat berkayuh bersama dimasa akan datang.
Disebuah gerai dihadapan Loji Pembersihan Air Hi Tech, Pinang Tunggal aku melihat beberapa orang cyclist sedang berehat dan menjamu selera. Aku berhenti kerana kenal beberapa orang dari mereka. Sempat bertukar tukar cerita sebelum meneruskan kayuhan pulang.

Statistik :
    Mula ................ 8.15 pagi 
    Tamat .............. 11.00 pagi
    Jarak ............... 48 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Bandar Puteri Jaya - Sidam - Pinang Tunggal
   Odometer 2012 : 04102   

Sabtu, 8 Disember 2012

Kuatkan semangat

Pagi ini aku terasa teruja untuk membuat kayuhan. Sebab pertama adalah kerana badan terasa sihat walaupun luka pembedahan belakang masih belum sembuh sepenuhnya. Hari sudah 18 hari pembedahan dilakukan. Benang jahitan masih belum ditanggalkan sepenuhnya tetapi luka telah nampak pulih. Sekali sekala terasa denyutan tetapi tidaklah sakit. Mungkin daging serta kulit sedang tumbuh dan bercantum. Tiga empat hari lagi doktor akan membuka semua jahitan.
Sebab kedua adalah kerana aku teruja untuk mencuba 'rigid fork dan seat' yang baru dipasang semalam. Keputusan aku muktamat untuk tidak lagi membuat kayuhan lasak atau offroad kerana fakta usia. Aku hanya tumpukan kayuhan jalan biasa untuk mengurangkan risiko kecederaan akibat terjatuh atau sebagainya. Tidak dapat dinafikan kayuhan dijalan biasa ada kalanya lebih merbahaya dari kayuhan di hutan, bukit atau paya.
Aku mengambil keputusan untuk menukar suspension fork dengan jenis 'rigid fork'. Sudah dua bulan aku membuat pesanan melalui kedai basikal Soon Lee di Taman Intan dan akhirnya sampai dua hari lalu. Aku hanya memesan rigid for yang diperbuat dari alloy tetapi yang datang diperbuat dari carbon fibre. Harganya hampir 40% lebih mahal tetapi jauh lebih ringan. Harga termasuk upah pasang sebanyak RM240.00 sahaja. Aku diberitahu rigid fork jenama RST RFM6 ini buatan Taiwan.
Aku juga menukar seat kerana yang lama sudah rosak dan mengeluarkan bunyi yang menyakitkan telinga semasa berkayuh. Agaknya seat ini sudah mencapai 'shelf life'. Seat biasa sahaja berharga RM60.00. Aku juga bertanyakan kepada tokey kedai basikal jika mempunyai tayar slick 26 x 1.0 menggantikan tayar slick 26 x 1.25 yang dipasang dibasikal. Agak sukar mendapatkan tayar saiz yang aku mahukan. Sepekara lagi aku dinasihatkan untuk tidak menggunakan tayar yang lebih kecil kerana ketiadaan suspension fork akan membuatkan hentakkan semasa melalui jalan yang tidak rata afak keras dan tidak selesa.   
Alasan kedua ini lebih kuat dan mengatasi masalah luka pembedahan. Aku ingin mengetahui sejauh mana perbezaan antara suspension fork dan rigid fork. Paling ketara ialah berat basikal semasa kayuhan. Pada kombinasi speed 3 (44 gigi) hadapan dan 6 (14 gigi) dibelakang terasa begitu ringan dan aku terpaksa menggunakan speed 7 atau 8 dibelakang. Aku tidak dapat berkayuh laju sebab masih belum begitu sihat dan telah tidak melakukan aktiviti berkayuh lebih dari 1 bulan. Kalajuan sekadar purata 26 km/j
Amat berpuas hati dan dengan ini secara rasmi aku tidak lagi mempunyai mountain bike kerana telah diubahsuai menjadi 'touring bikes'. Apa yang diperlukan selepas ini ialah memasang 'carrier' belakang untuk beg pakaian dan dengan itu aku sedia untuk menjelajah merata tempat ...... mudah mudahan menjadi kenyataan.

Statistik :
    Mula ................ 8.15 pagi 
    Tamat .............. 9.45 pagi
    Jarak ............... 32 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Bedong - Semeling
   Odometer 2012 : 04054   

Sabtu, 1 Disember 2012

Rindunya ....

Sudah hampir satu bulan aku tidak membuat kayuhan. Mungkin ramai pembaca blog ini tertanya tanya mengapa sudah lama blog ini tidak dikemaskini.
Masalah kesihatan menjadi penghalang. Pada awal bulan November aku sering mengalami sakit kepala apabila bangun dari tidur. Bukan pening kepala tetapi kepala terasa berdenyut bagaikan ada beban berat sedang dijunjung diatas kepala. Pada mulanya aku ingatkan sakit kepala biasa. Mungkin ada tersalah makan atau kesan berjemur terlalu lama. Atau mungkin kerana terlampau aktif kerana minggu sebelumnya aku membuat kayuhan ke Satun Thailand. Selain dari sakit kepala badan terasa lemah dan selera makan menurun.
Bila aku ke klinik (bukan hendak riak, tetapi aku tidak ingat bila kali terakhir aku mendapatkan khidmat rawatan diklinik, mungkin 10 atau lebih tahun lalu), doktor panel menyatakan aku dijangkiti kuman. Doktor menasihatkan aku untuk mendapatkan rawatan lanjut dari hospital pakar samada Hospital Metro atau Hospital Pantai di Bandar Amanjaya. Untuk rawatan sementara doktor memberi suntikan dan antibiotik.
Terdapat satu tumbuhan dibelakang badan aku. Ia bermula belasan tahun dahulu mungkin 15  atau 16 tahun lalu. Pada mulanya ia kecil sahaja tetapi ia semakin membesar sehingga melebihi saiz ibu jari lelaki. Ia tidak memudharatkan kepada kesihatan atau menjadi ketidak-selesaan. Cuma kekadang kelihatan agak janggal terutama ketika berada ditempat awam seperti di kolam renang.
Orang disebelah utara memanggil 'risa'. Ditempat lain aku tidak tahu. Itu pun puas aku bertanya, ramai yang tidak tahu. Ramai orang yang menghidapinya. Ada yang ditepi atau belakang telinga, di dahi, dibahagian mata, leher dan dibahagian belakang atau dipeha. Yang membezakan hanyalah saiznya. Dan ada orang yang menghidapnya, dan kemudian hilang sendiri. Ramai juga yang membuat pembedahan kecil yang mengambil tidak lebih dari 10 minit untuk membuangnya.
Dalam istilah perubatan ia dipanggil 'Sebaceous Cyst'. Ia juga dipanggil epidermal atau keratin cyst.
Dalam keadaan umur yang menjangkau usia emas, pertahanan semula jadi badan sudah semakin lemah dan berkurangan, ketumbuhan ini telah di serang dan dijangkiti kuman dan bekteria. Ini menjadi penyebab kepada sakit kepala yang dialami. Keadaan diburukkan lagi kerana sejak akhir akhir ini kandugan gula dalam darah (RBS) agak melampaui paras berjaga jaga. Jangkitan bakteria ini mungkin akan menjadi lebih buruk dan boleh mengakibatkan bahagian dalam badan akan dijangkiti dan akhirnya mendatangkan mudharat.
Membuat pembedahan di Hospital Pantai pada pagi 19 November 2012. Niat awal ke hospital tersebut hanya untuk mendapatkan khidmat nasihat dan tidak sama sekali menyangka akan terus dibedah dua jam selepas mendaftar. Boleh tahan juga harganya, hampir 5K.
Perlu banyak masa untuk luka pulih sepenuhnya tetapi menurut doktor aku boleh membuat aktiviti atau kayuhan ringan. Terpaksa membatalkan rancangan untuk ke PatBara Thailang pada pertengahan December ini. Mungkin akan dapat memulakan kayuhan semuala tahun depan ....