Halaman

Rabu, 30 Januari 2013

No. 8

Pelik je bunyi tajuk posting pagi ini. Aku melayan rb melalui jalan Lencongan Timur melepasi persimpangan jalan Kuala Ketil. Angin timur bertiup kencang menolak aku kebelakang. Jalan mana pun aku berkayuh dua tiga minggu kebelakangan ini seolah olah bertentangan dengan arah tiupan angin. Perlukan lebih tenaga untuk sampai ke destinasi.
Untuk mengalihkan tumpuan supaya jangan terlalu memikiran tentang rintangan angin timur, aku mengimbas kembali cerita seorang bekas pekerja (kiranya aku ni boss dialah) yang aku jumpa dua hari lalu. Dia masih lagi bekerja di tempat yang sama. Pada awal tahun 90'an dahulu semasa waktu rehat dia dan beberapa orang kawan lain keluar untuk sarapan digerai diluar pagar kawasan tempat kerja. Kalau tiada apa yang dibincangkan, mereka akan 'main teka nombor kereta' yang lalu lalang dihadapan gerai. Mereka hanya meneka satu nombor akhir kereta. Kadangkala mainan ini menjadi 'judi'. Setiap orang akan membuat pertaruhan kecil antara 10 hingga 50 sen.
Kalau nasib tidak baik akan bertempiaran lari menyembunyikan diri apabila melihat kereta aku masuk ke tempat kerja. Oh ... ini kerja mereka, baru sekarang aku diberitahu.
Seperti yang aku katakan aku ingin mengalihkan perhatian jadi aku ingin bermain teka nombor seperti yang dilakukan oleh kawan tersebut. Bermain seorang diri dan tidak melibatkan judi. Aku meneka angka 8, mengapa nombor tersebut aku sendiri todak pasti. Itulah nombor yang pertama terlintas dikepala. 
Orang cina menganggap angka 8 sebagai 'ong' atau mendatangkan tuah. Itu sebab mereka sanggup membayar harga yang tinggi untuk nombor pendaftaran kenderaan yang mempunyai rangkaian 8 seperti 8888 dan sebagainya. 
Masa kecil dahulu aku suka membaca komik inggeris dan ingat ada satu siri cerita superhero dimana orang jahatnya mempunyai kumpulan bernama '8'. Semua kelengkapan pejabat dan sarang mereka menggunakan rekabentuk yang melambangkan angka 8 termasuk meja dan kerusi. Setiap anggota kumpulan jahat tersebut memakai cincin yang ada angka lapan mengantikan batu atau mata cincin. Tidak ingat apa siri komik tersebut dan bagaimana jalan ceritanya.
Memang aku  bukan seorang yang pandai atau yang bagus bermain teka. Aku mengamati setiap kenderaan termasuk motorsikal dan lori. Rasanya lebih 100 biji kenderaan memotong aku hanya dua kenderaan yang mempunyai angka 8 sebagai nombor akhir dibelakang. Apalah nasib. Kalau ikut matematik (probability), satu dari 10 adalah betul jadi mesti ada 10 kenderaan dari 100 kenderaan mempunyai angka 8 dibelakang.
Bila aku berhenti bermain teka tersebut, banyak lori pengangkut tanah lalu. Kebanyakkan lori dari syarikat sama mempunyai angka 8 atau 88 di plat kenderaan. Tentukan tokey lori tersebut mengharapkan ong atau keuntungan lebih jestru menempah nombor plat yang mempunyai angka 8 ketika membeli kenderaan. Ada satu syarikat bas berpengkalan di Perak yang menempah khas nombor plat 998 bagi setiap bas yang dibeli. Syarikat ini mula beroperasi pada awal 1980 hingga sekarang.
Terperasaan menara Jabatan Hasil bersebelahan dengan Hospital Sultan Abdul Halim telah dirasmikan pada 23 Januari 2013. Pejabat Jabatan Hasil yang terletak di SP Plaza kini berpindah ke pejabat barunya.



Statistik :
    Mula ................ 8.20 pagi 
    Tamat .............. 9.40 pagi 
    Jarak ............... 33 km
    Cuaca .............. Panas, angin  
    Laluan ............. Lencongan Timur - Barat
    Odometer 2013 : 00575   

Selasa, 29 Januari 2013

Gurun

Oleh kerana angin begitu kuat menjadi rintangan kayuhan pagi ini, aku memendekan kayuhan setakat Gurun. Aku merancang untuk berkayuh melepasi pekan Guar Cempedak, mungkin sampai ke Kota Sarang Semut tetapi terpaksa membatalkan kerana angin bertiup agak kencang. Tangguhkan ke masa lain.
Disamping rintangan angin, kayuhan pagi ini lancar dan tanpa sebarang kesulitan. Kayuhan ke Gurun agak perlahan tetapi semasa pulang aku dapat rentak sebenar kelajuan.
Lebih 22 tahun menetap di Sungai Petani, dan tidak dapat mengira berapa kali melalui pekan Gurun, aku tidak perasaan pasar basah Gurun terletak betul betul dipersimpangan lampu isyarat jalan ke Jeniang. Kini lampu isyarat tersebut telah pun di tanggalkan dan dialihkan 100 meter ke arah utara. Pasar tersebut tidaklah besar tetapi memadai untuk penduduk pekan kecil tersebut. Selama ini ia dilindungi oleh penjaja kecil dihadapan pasar tersebut. Tiada tanda menunjukkan pasar terletak disitu.







Statistik :
    Mula ................ 8.00 pagi 
    Tamat .............. 10.50 pagi 
    Jarak ............... 60 km
    Cuaca .............. Panas, angin  
    Laluan ............. Semeling - Bedong - Gurun
    Odometer 2013 : 00542   

Sabtu, 26 Januari 2013

Nasi goreng kuali kecil .....

Tidak mampu berkata tidak mahu apabila melihat cuaca cerah pada awal pagi. Sebelum matahari naik sepenuhnya kelihatan juga awan hujan dilangit. tetapi awan tersebut menghilangkan diri apabila matahari muncul. Tidak berfikir panjang dan terus bersiap untuk kayuhan pagi ini.
Aku sudah merancang dua tiga hari lalu untuk menziarahi Mohd Noor Bin Salleh yang melakukan operasion kecil pada pertengahan bulan Januari 2013 lalu untuk membuang nanah dan cecair di dalam paru paru. Kenapa perlu merancang. Takut dia tiada dirumah untuk ke hospital Pantai mendapatkan rawatan susulan. Dia perlu ke hsopital untuk mencuci luka selang sehari. Tetapi hari ini aku yakin dia berada dirumah kerana hospital ditutup pada hari Sabtu kecuali untuk kes emergensi.
Aku melalui lencongan timur dan membelok memasuki jalan Kuala Ketil dan membelok ke kanan lagi untuk ke Sidam. Kerja kerja pelebaran jalan menjadi dua lorong baru bermula untuk pagi ini. Banyak juga lori trailer yang menghantar culvet yang dipasang dibeberapa sungai atau laluan air. Risau juga tentang keselamatan ketika berbasikal disini tetapi masih banyak ruang tepi untuk berkongsi jalan. Lagi pun kebanyakkan kenderaan dipandu perlahan.



Dari pekan Padang Serai, aku menuju ke Taman Serai Setia yang terletak disebelah kanan jika datang dari arah Baling. Kekiri adalah Lunas dan Kulim. Ada dua tiga taman kecil sebelum sampai ke taman yang aku tuju. Tidaklah susah sangat untuk sampai. Lebih senang jika datang dari arah Ekor Kucing.
Betul sangkaan aku, dia sedang berehat dirumah ketika aku sampai. Jemu duduk dirumah katanya. Mohd Noor kelihatan lebih sihat dan bertenaga. Kesan pebedahan masih belum pulih danluka dibiarkan tanpa jahitan untuk kerja kerja mencuci dan membiang nanah. Ketika cucian dilakukan dia diberi ubat pelali setempat untuk mengurangkan rasa sakit. Mengikutnya semua nanah dan cecair telah tiada dan luka akan ditutup dengan jahitan beberapa hari lagi. Setakat ini telah berbelanja hampir RM15,000-00. Diharapkan dia dapat membuat tuntutan insuran untuk kos perubatan ini.
Tidak berhenti minum pagi semasa kayuhan kerana aku merancang untuk melawat Mohd Noor sekejap sahaja. Akan sarapan semasa perjalanan pulang. Ada beberapa gerai menjadi pilihan disepanjang jalan pulang. Sembang punya sembang tidak perasan lebih satu jam masa berlalu. Aku bergegas bersiap untuk pulang dan dibekalkan dengan dua sisir pisang 'awak' dan jantung pisang. Gerenti sedap rebus jantung pisang cecah cili api berkicap buat lauk tengah hari nanti.
Kerana sudah agak lewat untuk sarapan, aku merancang untuk makan tengah hari terus. Berfikir apakah pilihan yang sedap samada mee hoon sup atau nasi goreng. Mungkin nasi goreng cina boleh membuka selera. Gerai mee hoon sup di Taman Kempas tutup pula hari ini dan aku terus ke Restoren Kak Wan Kuali Kecil bersebelahan Sun Supermarket Taman Kempas. Pelanggan masih belum ramai dan sebaik duduk, tokey kedai datang untuk mengambil pesanan. Rebus jantung piang ditangguhkan untuk esok......
Nasi goreng cina dan lai chee kang menjadi pilihan tengah hari ini. Nasi goreng cina (asli) dihantar dengan cili jeruk dalam bekas kecil bersama kicap dan lada sulah. Mengapa aku nyatakan secara detail. Ini adalah hidangan sampingan yang menjadi kebiasaan (tipikal) orang cina. Apa pun makanan yang dipesan, cili jeruk, kicap dan lada sulah adalah kemestian disertakan sekali.
Tokey atau tuanpunya kedai ini adalah cina muslim. Pekerja terdiri dari anak anaknya. Satu lelaki dan tiga perempuan. Isterinya (kak Wan) seorang Melayu telah meninggal dunia. Sememangnya restoren ini mendapat sambutan terutama pada waktu malam. Ia memberi peluang orang Islam merasakan dan menikmati masakan halal yang disediakan oleh orang cina. 
Nasi goreng cina dan lai chee kang yang aku makan berharga RM6.00 ringgit sahaja. 

Nasi goreng cina dihidang dalam kuali kecil


Statistik :
    Mula ................ 8.20 pagi 
    Tamat .............. 11.40 pagi 
    Jarak ............... 61 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Bandar Puteri - Sidam - Padang Serai
    Odometer 2013 : 00482   
   

Khamis, 24 Januari 2013

Cukup sampai disini ....

Cuti umum kedua pada minggu dan bulan ini. Pertama cuti sempena hari keputeraan Sultan Kedah pada Ahad lalu dan hari ini Cuti Maulidur Rasul. Yang seronok adalah kanak kanak sekolah dan tidak kurang ibu bapa yang bekerja.
Beberapa taman sekitar Taman Intan termasuk Taman Emas Suria, Taman Nilam, Taman Arked dan Taman Delima menganjurkan perarakkan sempena Maulidur Rasul. Mereka berselawat disepanjang jalan yang dilalui membawa sepanduk dan bunga manggar. Keseluruhan peserta yang mengambil bahagian dalam perarakkan tersebut adalah kanak kanak dengan orang dewasa  mengawasi lalulintas. Teringat aku semasa bersekolah dahulu. Selalu juga mengambil bahagian dalam perarakkan sempena Maulidur Rasul.

Teragak agak samada untuk melakukan kayuhan atau tidak kerana awal pagi kelihatan langit mendong.  Sekali pandang, mungkin akan hujan sebentar lagi. Musim hujan yang ramai menyangka telah berlalu kembali semula. Dua tiga hari lalu langit terus diliputi awan hujan dispanjang hari, hanya kadang kala hujan turun pada sebelah malam.
Keluar agak lewat kerana mahu memastikan hujan tidak jadi. Tidak merancang untuk pergi jauh, mungkin setakat 20 km sahaja dan dijadikan alasan untuk keluar minum pagi. Masa balik nanti boleh singgah untuk sarapan. Pelik juga semasa kayuhan asyik merancang dimana untuk singgah pagi ini. Memikirkan makanan yang selalu aku makan, rasa jemu pula. Ingin mencari kelainan tetapi dimana ya. Selera makan mula meragam sikit sejak kebelakangan ini.
Satu yang aku perasaan tidak ramai cyclist dijalan lencongan barat pagi ini memandangkan hari ini adalah cuti umum di Negeri Kedah. Hanya melihat dua orang diarah bertentangan semasa perjalanan pergi dan nampak mereka sekali lagi semasa perjalanan pulang. Agaknya mereka seperti aku juga, tidak berkayuh jauh. Dimana yang lain? Atau mungkin mereka telah selesai berkayuh dan telah pulang kerumah.

Statistik :
    Mula ................ 8.50 pagi 
    Tamat .............. 9.40 pagi 
    Jarak ............... 22 km
    Cuaca .............. Mendung
    Laluan ............. Lencongan Barat 
    Odometer 2013 : 00421   
   

Selasa, 22 Januari 2013

dan pada hari kelima ....

Teruja ... begitulah perasaan aku apabila menghabiskan kayuhan empat pagi berturut turut. Dan aku berhajat sangat untuk dapat meneruskan kayuhan setiap pagi untuk sekurang kurangnya satu minggu tanpa ada henti. Aku kira akan dapat memecahkan rekod keyuhan sendiri.
Tetapi pada hari kelima...... bila aku keluar sebaik cahaya siang mula menerangi tanah, kelihatan langit diselubungi awan hitam. Hujan turun rengai rengai pada waktu aku selalu keluar memulakan kayuhan. Jadi tiada kayuhan untuk pagi ini. Aku tidak mahu tekena hujan atau membuat kayuhan dalam hujan yang akan menjejaskan kesihatan. Minggu lalu, aku terpaksa berehat hampir satu minggu selepas berhujan masa kayuhan ke Kota Kuala Muda.
Terpaksa memulakan semula pada masa yang sesuai untuk memecahkan rekod kayuhan setiap hari tanpa henti.
Mungkin ada baiknya tidak membuat kayuhan hari ini. Memberi badan berehat secukupnya. Juga ada rancangan untuk berjumpa dengan sahabat lama.
      

Isnin, 21 Januari 2013

Sesuatu yang tidak dibanggakan ....

18 lampu isyarat. Itulah jumlah bilangan lampu isyarat yang terdapat disepanjang laluan lencongan barat dan lencongan timur Sungai Petani. Enam di lencongan barat manakala selebihnya di lencongan timur. Mengapa pula bilangan lampu isyarat atau traffic lights menjadi minat pada kayuhan pagi ini?
Apabila memasuki lencongan timur dari arah Aman Jaya aku perasan bahawa aku telah berjaya melepasi 8 persimpangan yang mempunyai lampu isyarat tanpa perlu berhenti. Agaknya tentu seronok jika aku dapat menghabiskan kayuhan pagi ini tanpa perlu berhenti dimana mana persimpangan.
Pada persimpangan lencongan barat / Penghulu Him, lampu telah merah.  Lampu susur ke pusat bandar  dan ke Sungai Jagung baru sahaja hijau. Aku tahu tiada banyak kenderaan yang mengambil jalan susur ke Sungai Jagung dan tempoh hijau hampir 45 saat. Jadi adalah selamat bagi aku meneruskan perjalanan mengikut lencongan barat. Disini aku telah dapat memendekkan masa hampir 90 saat dan telah berkayuh hampir 2 kilometer sebelum kenderaan yang berhenti tadi memotong aku.
Lampu isyarat sebelum persimpangan Semeling hanya untuk pejalan kaki menyeberang. Ia juga digunakan oleh penunggang basikal terdiri dari kanak kanak sekolah dan orang kampung. Oleh kerana ruang melintas agak besar ia juga digunakan oleh penunggang motorsikal. Wal hal tempat menyeberang sebenar untuk motorsikal hanya 100 meter dihadapan.
Lampu isyarat dipersimpangan Semeling ini selalunya agak sibuk. Kenderaan dari pusat bandar dan yang datang dari Alor Setar yang mengambil jalan lencongan untuk ke selatan dan dari selatan ke utara. Disini kena berhati hati. Nasib aku baik kerana sebaik sampai dan bersedia untuk berhenti, tiada lagi kelihatan kenderaan datang dari arah hadapan yang mempunyai hak laluan. Aku meneruskan kayuhan tanpa berhenti. Apabila hampir 50 meter melepasi persimpangan, lampu bertukar hijau.
Begitu juga dipersimpangan Laguna Merbok dan persimpangan yang paling sibuk di Tol Sungai Petani Utara. Aku berjaya melepasi kedua duanya apabila lampu hijau. Persimpangan Lot 88 lampu merah tetapi tidak ada kenderaan yang datang dari arah bandar kerana agaknya lampu isyarat disebelah IPD telah merah. Aku terus berkayuh tanpa berhenti. Tiada masalah di persimpangan IPD kerana aku membelok ke kiri memasuki lencongan timur.
Tiada masalah di persimpangan Mahkamah kerana lampu baru bertukar kuning dan berjaya meneruskan tanpa berhenti. Persimpangan Taman Kelisa / Taman Ria Jaya, aku telah melihat dari jauh lampu merah dan kerana kebiasaan mengurangkan kelajuaan basikal supaya lampu akan bertukar hijau sebaik menghampiri. Dua lagi persimpangan iaitu persimpangan Taman Kempas dan persimpangan Padang Temusu, aku berjaya melakukan tektik yang sama iaitu samada menambah kelajuan atau memperlahan kan kayuhan supaya lampu bertukar hijau apabila aku sampai.
Keseluruhan pagi ini aku berjaya melepasi kesemua 18 persimpangan berlampu isyarat tanpa perlu berhenti. Sesuatu yang jarang dapat dilakukan walaupun sebelum ini banyak kali terlintas difikiran untuk melakukannya.
Bukanlah satu pencapaian yang aku banggakan kerana kadang kala akan mendatang keburukkan kepada pengayuh. Silap hari akan berlaku kemalangan yang akan merugikan diri sendiri. Untuk keselamataan ikut sahaja arahan lampu isyarat walaupun nampak agak selamat kalau melanggar lampu merah. Mungkin pihak polis tiada ditempat tersebut, atau pihak polis tidak boleh menyaman kerana basikal bukanlah kenderaan biasa yang boleh disaman ! (oops ... mungkin aku silap).
Cukup sekali. Rasanya tidak mahu mengulangi lagi perbuatan sedemikian.

Statistik :
    Mula ............... 8.20 pagi 
    Tamat .............. 9.40 pagi 
    Jarak ............... 33 km
    Cuaca .............. Panas, berangin
    Laluan ............. Lencongan Barat - Timur
    Odometer 2013 : 00399   
   

Ahad, 20 Januari 2013

tidak suka kayuhan pagi Ahad ....

Memasuki jalan lencongan barat tepat jam 8.30 pagi. Rasa syahdu dan nyaman kerana tidak banyak kenderaan di jalan raya pagi ini. Angin timur bertiup kearah muka dan sejuk sekali.
Hari ini cuti umum di Kedah. Semua sekolah dan pejabat di tutup kerana sambutan Hari Keputeraan Sultan Kedah yang jatuh pada 20 Jan. 2013.
Beberapa tahun kebelakangan, hari keputeraan disambut pada hari Sabtu tetapi mulai tahun ini hari keputeraan ditukar kepada hari Ahad pula. Sambutan pada hari sabtu tidak memberi apa apa makna kepada rakyaat kerana sememangnya hari tersebut adalah cuti hujung minggu. Tiada terasa ada hari yang special yang disambut. Berbeza dengan sambutan pada hari Ahad. Adalah perasaan perayaan dan sambutan. Cuti tambahan kepada kanak kanak sekolah dan orang bekerja amat bermakna terutama jika kesempatan hari cuti tersebut digunakan sepenuhnya dengan membawa keluarga ketempat tempat perkelahan dan lokasi menarik diserata pelusuk negeri.
Masa aku kecil dan bersekolah dahulu, cuti seperti ini digunakan untuk mengadakan rombongan. Rombongan tersebut samada dianjurkan oleh pihak sekolah atau orang kampung. Biasanya kami akan pergi untuk mandi manda di pantai Port Dickson. Punya lah seronok. Biasanya kami tidak sabar lagi untuk terjun ke laut walau masih lagi antara 15 atau 20 kilometer jauh dari Teluk Kemang kerana bau masin air laut mulai dihidu di dalam bas rombongan.
Bila waktu pulang bas rombongan akan singgah di Pekan Diraja Seri Menanti, Kuala Pilah untuk bersuka suka di padang istana dimana diadakan pesta menyambut hari keputeraan. Pesta seperti itu sudah tiada lagi sekarang. Berbagai acara diadakan pada pesta tersebut termasuk funfair, persembahan kugiran live, joget, wayang gambar, persembahan keseniaan, expo barangan untuk dijual, judi .... (yang main lempar bola, gelung besi, senapang angin, dart dan lain lain dan mendapat hadiah anak patung dsb). Pesta ini kadang kala berlansung antara tiga hingga tujuh malam. 
Ramai cyclist di jalan raya pagi ini. Maklumlah cuti umum. Orang pertama aku jumpa memotong aku sebaik sahaja aku memasuki lencongan Semeling. Dia menggunakan roadbikes, masih muda dan berbadan agak  gempal. Berpeluh sakan semasa dia memotong aku. Tidak jauh mana sanat pun dia meninggalkan aku yang menggunakan mtb pagi ini. Dia memberi salam dan oleh kerana terkejut sedikit aku hanya menjawap 'ya' sahaja. Kemudian aku menjawap salamnya didalam hati.
Seorang rider perempuan berseorangan menuju kearah aku datang. Mungkin dalam perjalan pulang ke Sungai Petani? Kemudian ramai berkumpulan samada berkayuh sehaluan dengan aku atau kearah bertentangan. Kebanyakkan rider jauh lebih muda dari aku. Rasanya aku ternampak John dan rakannya sedang breakfast di gerai yang sering aku singgah untuk sarapan  sebelum persimpangan pekan Merbuk. Aku buat buat tidak nampak kerana tidak mahu singgah, mengganggu kayuhan pula nanti.
Berjumpa beberapa kumpulan cyclist lagi sebelum sampai ke Pekan Yan. Ada kumpulan yang sedang berehat ditepi bendang dan ada juga kumpulan yang sedang sarapan di gerai di simpang jalan ke Pantai Murni. Sememangnya aku berasa tidak seronok sangat berjumpa dengan rider rider tersebut. Macam ada perasaan 'inferiority complex' pula kerana usia dan basikal yang agak outdated. Pula .. aku berkayuh berseorangan berbanding dengan mereka yang berkumpulan. Macamlah aku ini anti-social sangat. Rasa tidak seronok berkayuh pada hari Ahad pula.
Aku meneruskan kayuhan ke Peranginan Titi Hayun. Sebaik memasuki jalan, terdapat berderet kenderaan memasuki dan menuju kearah kawasan peranginan tersebut. Wah ... awal lagi pengunjung sudah tiba untuk berkelah.
Ibu bapa sibuk membuat persiapan di tempat atau lokasi yang sesuai untuk mengadakan perkelahan. Ada yang sedang menghidupkan api menggunakan batu dan kayu yang terdapat dikeliling mereka. Agaknya untuk membakar atau memanggang ikan atau ayam yang dibawa bersama. Anak anak pula sedang bermain didalam air. 
Tempat parking mulai dipenuhi dengan kereta dan motor. Tempat parking motor dipenuhi oleh anak muda dari IPT berhampiran. Mungkin ini masa mereka menenangkan fikiran dan relax dari belajar.
Tidak lama di sini kerana masih belum sarapan. Perut pun sudah kempes dan tempat paling hampir untuk sarapan ialah di Pekan Yan. Bukan tiada gerai di kawasan tersebut tetapi makanan yang dijual tidak sesuai dengan selera orang lama seperti aku.
Tertarik dengan salah satu kawasan kediaman (?) berhampiran kawasan peranginan. Tidak tahu samada kawasan persendirian atau untuk umum. Binaan berasaskan rumah papan kampung melayu tradisi. Kawasan dijaga rapi dan kemas. Ada beberapa lagi bangunan/rumah yang baru didirikan disepanjang jalan dan dijadikan 'homestay'.

Matahari sedang memancar terik dan angin bertiup kencang, tetapi aku sudah hampir sampai ke rumah. Daun daun mati berterbangan ditiup angin. Aku tidak dapat mengagak kelajuan angin yang sedang bertiup tetapi yang dapat dirasakan ialah semakin berat kayuhan.
Esok kayuh lagi ye ....

Statistik :
    Mula ................ 8.20 pagi 
    Tamat .............. 12.05 pagi
    Jarak ............... 75 km
    Cuaca .............. Panas, berangin
    Laluan ............. Semeling - Merbuk - Yan - Titi Hayun
    Odometer 2013 : 00366   
   

Sabtu, 19 Januari 2013

Pengkalan Batu Lintang

Sudah agak lama tidak kesini. Ingin sangat melihat kalau ada ada perubahan dikawasan ini sejak kali terakhir aku datang lebih satu tahun lalu. Kalau difikirkan Pengkalan Batu Lintang ini adalah jalan penghujung kerana bila kesini terpaksa berpatah balik untuk meneruskan perjalanan. Ada dua jalan 'off-road', satu melalui kebun getah dan ladang kelapa sawit yang akan membawa ke Teluk Bayu.
Satu lagi berpatah balik lebih kurang 100 meter dan kekanan untuk menyusuri Sungai Merbok. Pagi ini aku memilih jalan ini kerana ingin rasanya menikmati laluan ditepi hutan bakau di sepanjang sungai ini. Dipengkalan, tidak banyak aktiviti kerana air surut. Hanya terdapat beberapa orang nelayan yang sedang membuat kerja kerja pembersihan pada jaring dan bot mereka. Mungkin ramai yang telah ke laut kerana bilangan bot yang tidak banyak di tambatan.
Aku tidak rasa jemu melihat pemandangan disepanjang sungai. Tenang dan damai. Ingin rasanya membawa kayak yang sudah begitu lama tidak digunakan untuk membuat kayuhan disini. Menghabiskan lebih kurang 10 minit dan beredar untuk meneruskan kayuhan.
Semakin banyak hutan bakau disepanjang sungai ini ditebang dan dibersihkan untuk tujuan pertanian. Semakin berkurangan kaawasan hutan bakau yang menjadi kawalan alam semula jadi.
Sebaik memasuki jalan dari Batu Lintang terdapat sebuat kolam udang yang agak luas yang diusahakan oleh sebuah syarikat. Keseluruhan kawasan dipagar dengan zinc dan memang tidak dapat dilihat dari luar. Orang yang lalu lalang atau menggunakan jalan tidak dapat melihat apa yang berlaku didalam kawasan tersebut. Berbeza dengan dahulu dimana hanya pagar biasa yang digunakan. Mungkin tujuan pagar zin ini untuk mengelakkan kecurian hasil ternakan udang tersebut.
Aku difahamkan bahawa walaupun kawasan hutan bakau disepanjang Sungai Merbok ini (dan juga dikedua dua belah sungai sungai lain) adalah kawasan 'reserve sungai', tetapi kawasan ini mempunyai tuan atau pemilik. Kawasan tersebut telah dibahagikan kepada lot lot dan ia menjadi hak milik orang orang tertentu. Tiada sesiapa yang boleh berbuat sesuka hati samada mengambil hasil hutan tersebut atau membangunkan kawasan tersebut untuk tujuan projek. Hinggakan hak milik ini berlanjutan ketengah sungai. Nak buat kawasan ternakan ikan dalam sangkar atau nak buat chalet ... jangan haraplah. Pasti 'tuan tuan' tanah tersebut akan datang mengambil tindakan!
Seronok menyusuri kawasan pertanian disepanjang sungai ini. Disebelah kiri dipenuhi kawasan tanaman padi Simpor. Elok subur tanaman padi disebelah sini. Kelihatan juga perempuan separuh umur berdiri ditebing tali air menghulurkan joran kail mencari rezeki. 


Sebelum sampai kerumah mendapat panggilan telefon dari seorang rakan di Loji pembersihan Air Pelubang iaitu Mohd Khir. Beliau memberitahu bahawa anak kepada seorang pekerja loji yang mengidap penyakit barah tulang telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Aku tahu sedikit sebanyak cerita kanak kanak malang tersebut iaitu anak kepada Mohd Azhar. Mohd Azhar Ismail (lebih mesra dipanggil 'Art Kapal' kerana pernah bekerja sebagai kelasi di MISC) pernah bekerja dibawah aku dahulu dan kami juga sering membuat kayuhan basikal bersama sewaktu aku berkerja di Loji pembersihan Air Pelubang. Alfatihah dan takziah diucapkan.

Statistik :
    Mula ................ 8.25 pagi 
    Tamat .............. 10.05 pagi
    Jarak ............... 35 km
    Cuaca .............. Panas, berangin
    Laluan ............. Pengkalan Batu Lintang - Tikam Batu
    Odometer 2013 : 00291   
   

Jumaat, 18 Januari 2013

Kayuhan perlu diteruskan ...

Malas hendak fikir apa yang perlu aku tulis pada kayuhan pagi ini. Biarkan kosong aje. Penting membuat kayuhan .....

Statistik :
    Mula ................ 8.15 pagi 
    Tamat .............. 9.35 pagi
    Jarak ............... 33 km
    Cuaca .............. Panas, berangin
    Laluan ............. Lencongan Timur - Barat
    Odometer 2013 : 00256   
   

Rabu, 16 Januari 2013

Skot ....

Pagi ini cuaca lebih sejuk dari yang aku alami dua hari lepas. Rasanya lebih teruk aku berhingus. Tersilap kerana aku keluar lebih awal, cahaya matahari pun masih belum lagi kelihatan. 
Aku menuju ke Merbuk dan bercadang untuk menghabiskan kayuhan di Tanjung Jaga. Pada mula aku merancang untuk sampai ke Pekan Yan tetapi aku memikirkan perjalanan balik nanti terpaksa menghadapi tiupan angin kencang, cukup setakat puncak tertinggi jalan Tanjung Jaga.
Sebelum pendakian kecil Tanjung Jaga (seorang kawan dari Kepala Batas, Pulau Pinang iaitu Rozy Ismail memanggil bukit Tanjung Jaga tersebut sebagai 'three little sisters', jangan tanya aku kenapa.) aku memotong seseorang yang menaiki mountain bikes. Dia bersahaja berkayuh. Ingatkan aku telah meninggalkan dia begitu jauh tetapi tanpa aku sedari dia berada dibelakang aku sebaik sahaja aku menghabiskan pendakian dua bukit pertama. Wah boleh tahan juga orang ini. Sekilas pandang dia kelihatan lebih tua dari aku. Bagaimana pula dia berada dibelakang aku. Mesti regular atau pengayuh tegar.
Aku mengalami sedikit masalah kerana rantai basikal tergelincir antara jejari tayar belakang. Terpaksa membaiki dahulu. Cyclist tadi pergi dahulu, kelihatan dari jauh dia tidak menghadapi masalah pada pendakian yang sukar dan memenatkan. Aku sangkakan dia akan terus berlalu tetapi menunggu aku di puncak bukit. Rasa kesal kerana aku tidak menegurnya samasa memotong dia sebentar tadi.
Apa lagi aku mengunakan kesempatan untuk berehat, untuk menghilangkan rasa penat membuat pendakian. Sembang punya sembang, dia adalah bekas anggota TLDM yang bersara kira kira 15 tahun lalu. Bila aku beritahu yang aku juga bekas, dia terus memanggil aku 'warikh'. Satu lagi perkataan ialah penggunaan 'skot' sebagai ganti nama atau bila merujuk kepada seseorang anggota lain.
Ini adalah term biasa yang digunakan antara anggota tentera. Dia juga mengenali seorang rakan sekampung bernama Yaakub Rashid di Bahau Negeri Sembilan. Mungkin mereka satu department. Aku dapat mengagak kami lebih kurang sebaya umur tetapi maaf kerana berpendapat yang dia kelihatan jauh lebih berumur dari aku.
Aku tidak mahu memanjangkan cerita kerana dia tidak begitu berminat untuk bersembang lebih lanjut tentang pengalaman semasa di TLDM dahulu. Mungkin kerana dia dari LLP (lain lain pangkat) dan aku pegawai. Hanya sempat merujuk kepada beberapa orang pegawai yang dia dan aku kenal.
Basri, itulah nama yang diberitahu aku sebelum kami berpisah. Dia meneruskan kayuhan menuju ke Yan untuk pulang ke rumahnya Guar Cempedak. Menurutnya dia kerap membuat kayuhan ke Gunung Jerai kerana jarak gunung tersebut tidak berapa jauh dari rumahnya. walau tidak sampai ke puncak.
Aku rasa terharu apabila diberitahu dia kini menduda. Ingatkan kematian isteri, tetapi rupanya dalam proses bercerai dengan isteri setelah bersama hampir 30 tahun hidup bersma. Bila aku bertanya mengapa, dia berkata pendapatan sebagai pesara anggota tentera tidak sampai RM1,500 sebulan berbanding dengan pendapatan isteri yang masih menjadi penjawat awam yang hampir RM6,000 sebulan. Si isteri menjadi ego dan sering menganggap lebih superior dari si suami. Lumrah hidup.
Semoga kami akan berjumpa semasa berkayuh lagi......

Dalam perjalanan pulang, singgah untuk sarapan pagi digerai favourite dipersimpangan jalan Bendang Dalam / Batu Hampar. Kebanyakkan kuih kuih dan nasi lemak sudah habis terjual, begitu juga dengan roti canai. Dapur roti canai telah pun dipadam dan dikemaskan. Perut terasa amat kosong dan aku tiada pilihan melainkan kena pulut dengan inti kelapa dan seekor ikan tamban masin. Ini adalah makanan tradisional orang dulu dulu ketika mereka hendak turun ke bendang atau ke kebun sebelum roti canai dan nasi lemak mula menjadi pilihan.
Memang dah lama dok perati menu ini tetapi tidak kesempatan untuk mencuba. Terus terang aku lebih suka pulut santan berintikan durian atau mangga pelam.
Sampai dirumah perut meragam, tidak mungkin pulut kelapa yang aku makan sebentar tadi. Besar kemungkinan char koay teow yang akan makan malam tadi.

Statistik :
    Mula ................ 7.50 pagi 
    Tamat .............. 10.55 pagi
    Jarak ............... 53 km
    Cuaca .............. Panas, berangin
    Laluan ............. Merbuk - Tanjung Dawai
    Odometer 2013 : 00223   
   

Isnin, 14 Januari 2013

kayuh biasa saje ..

Wah ... meleleh hingus cair. Masalah pula untuk membersihkannya kerana tidak membawa tissue dan lagi masalah kerana sedang melakukan kayuhan.
Walau keluar agak lambat untuk memulakan kayuhan tetapi suhu dijalan amat rendah sekali, mungkin sekitar 22 darjah atau kurang. Tiupan angin timur menambah kesejukkan pagi dan aku rasa pakaian biasa tidak cukup untuk menahan sejuk. Apa yang boleh dilakukan ialah untuk mengayuh laju dengan harapan kepanasan badan dapat menyaingi suhu sejuk.
Sekarang ini kawasan hemisfera utara menghampiri akhir musim luruh dan minggu hadapan akan bermula musim sejuk. Tempias perubahan cuaca ini dirasakan sedikit sebanyak terutama dinegeri sebelah utara semenanjung. Mengkiut seorang 'boss' tempat aku kerja dahulu, penduduk sebelah sini secara sedar atau tidak memang menantikan waktu waktu sebegini untuk merasakan cuaca sejuk dingin terutama pada sebelah pagi dan ketika tengah hari dimana angin timur mula bertiup kencang.
Menjelang jam 9.00 pagi semuanya kembali normal. Hingus cair tidak lagi memeleh dari hidung dan suhu badan rasa biasa semula. Angin sejuk masih bertiup sejuk dan amat terasa pada bahagian muka yang tidak tertutup.
Terfikir juga rakan rakan kita dinegara barat yang melakukan aktiviti berbasikal. Memang pada waktu begini mereka akan 'menggantung' basikal dan duduk dirumah sahaja. Selain dari kesejukkan melampau hingga keparas beku, jalan dan trek basah dan lembab, lebih bahaya jika ada salji. Bahaya untuk membuat kayuhan. Mungkin ramai yang menjadikan basikal sebagai kaedah pengangkutan ke tempat kerja tetapi mereka mengenakan pakaian yang sesuai untuk cuaca sedemikian. Selalunya jarak dari rumah ketempat kerja pun dekat sahaja.
Beruntung juga kita disini. Boleh melakukan aktiviti berbasikal ini pada bila bila masa. Pagi petang, siang atau malam sepanjang tahun. Kena hujan lebat sekali sekala pun lebih menyeronokkan. 
Aku membuat kayuhan pendek sahaja hari ini kerana sudah hampir satu minggu tidak melakukan kayuhan. 

Statistik :
    Mula ................ 8.20 pagi 
    Tamat .............. 9.35 pagi
    Jarak ............... 32 km
    Cuaca .............. Panas, berangin
    Laluan ............. Lencongan Timur - Barat
    Odometer 2013 : 00170   
   

Sabtu, 5 Januari 2013

Gerimis

Memang sengaja nak cari pasal. Langit dipenuhi awan gelap dan mengikut trend beberapa hari lalu kemungkinan hujan akan turun amatlah besar. Gelombang ketiga banjir telah tiba. Kali ini diikuti dengan  amaran bahawa akan berlaku ribut dikawasan pantai timur semenanjung.
Empat puluh minit berkayuh, rintik rintik hujan mulai terasa. Ketika itu aku hampir 20 km jauhnya dari rumah menghala ke Pantai Merdeka. Dimana tempat bertedoh bila kita memerlukan. Selalunya banyak gerai gerai kosong yang boleh digunakan ketika hujan turun begini. Terpaksa berkayuh hampir satu kilometer baru berjumpa sebuah gerai yang sesuai untuk berteduh.
Pada usia sebegini aku terpaksa mencari tempat berteduh walaupun hujan tidak begitu lebat. Mungkin hanya setakat membasahi bahagian depan seluar dan baju. Berbeza dengan waktu muda muda dahulu. Kini jika terkena hujan begini akan membuatkan aku mendapat demam selsema. Apa tidaknya, badan panas selepas kayuhan dan tiba tiba disimbahi air hujan sejuk. 
Walau sempat berteduh aku mendapat demam selsema selama tiga empat hari .......

Statistik :
    Mula ................ 8.10 pagi 
    Tamat .............. 10.30 pagi
    Jarak ............... 48 km
    Cuaca .............. Redup, Gerimis
    Laluan ............. Simpor - Tikam Batu - Kuala Muda - Pematang Bendahari
    Odometer 2013 : 00138   
   

Jumaat, 4 Januari 2013

Terlupa bawa pam basikal .....

Ada betulnya kata seorang kawan. "La ni .... sehari hujan sehari tidak". Musim hujan masih belum tamat sepenuhnya. Beberapa tempat dinegara ini masih dilanda banjir. Tiada menjadi masalah apa apa cuma kadang kala mood atau kesenimbungan aktiviti berbasikal agak sedikit tergendala. Ada baiknya berkayuh selang sehari kerana ramai yang berpendapat tidak sesuai berkayuh setiap hari. Badan perlu masa untuk rehat terutama selepas kayuhan jauh. Lagi pun akan menjadi jemu atu cemuih melalui laluan yang hampir sama setiap hari.
Hari Jumaat selalunya tidak membuat kayuhan tetapi kerana tiada kayuhan hari sebelumnya, teringin juga untuk melonggarkan otot badan. Aku gunakan tektik sama seperti kayuhan sebelum ini. Kayuh dan berpatah balik apabila cukup satu jam, tidak kira berapa jauh aku sampai.
Tanpa merancang aku keluar memulakan kayuhan mengikut rasa hati. Memasuki pekan kecil Semeling ke arah Merbuk. Aku ingin mencari jalan yang tidak rata untuk mengembalikan kekuatan fizikal. Walau jalan ini nampak rata tetapi ada pendakian jauh terutama sebelum sampai dihadapan kampus UiTM Merbok. 
Pernah dahulu ketika baru mula berjinak dengan aktiviti kayuhan melalui jalan ini. Ingatkan brake basikal jammed atau masalah mekanikal kerana basikal tidak bergerak dan terasa amat berat. Turun untuk membuat pemeriksaan, tiada apa masalah. Hanya selepas meneruskan kayuhan baru perasan sedang membuat pendakian.
Hampir tidak berdaya menamatkan kayuhan ke muzium arkeologi. Hampir sahaja aku berputus asa dan hampir berhenti dipersimpangan ke Damai Resort dan Pusat PLKN Merbuk. Terasa malu kepada diri sendiri jika berbuat demikian. Aku kuatkan semangat dan meneruskan kayuhan hingga sampai keatas.
Sebentar tadi aku perasan bahawa aku tidak membawa pam basikal. Risau juga dibuatnya. Bagaimana kalau tayar 'pancit' semasa jauh dari pekan atau rumah orang. Tayar spare ada, pam tiada. Haru bunyinya.
Pernah dengar 'Murphy's Law' - jika ada sesuatu keburukan yang boleh berlaku, ia akan berlaku. Dalam lebih lapan tahun melakukan aktiviti berbasikal hanya sekali aku pernah mengalami kebocoran tiub basikal. Kejadian di jalan pintas dari Jalan Jeniang ke Perwaja Gurun, selepas kilang Modenas. Nasib baik ada membawa tiub spare dan pam basikal. Mengambil masa hampir 10 minit untuk menukar tayar.

Statistik :
    Mula ................ 8.05 pagi 
    Tamat .............. 10.10 pagi
    Jarak ............... 38 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Muzium Arkeologi Lembah Bujang 
    Odometer 2013 : 00090   

Rabu, 2 Januari 2013

Reset ke zero ......

Memang menjadi rutin setiap kali keluar berbasikal aku akan reset semula 'tripmeter' ke kosong. Ia bertujuan untuk merekodkan berapa jauh kayuhan dibuat. Hari ini aku melakukan rutin yang sama termasuk reset 'odometer' yang mencatatkan jumlah keseluruhan atau jumlah terkumpul kayuhan yang dibuat.
Tahun ini aku bertekad untuk melepasi jumlah kayuhan melebihi 5,000 km. Berbanding dengan tahun lepas aku kekurang hampir 600 km untuk mencapai tahap ini. Bukan tidak boleh dilakukan tetapi ada sebab sebab yang tidak dapat dielakkan.
Pagi ini kayuhan pembukaan tirai 2013. Dua hari iaitu hari terakhir untuk tahun 2012 dan hari pertama untuk tahun 2013 tidak dapat melakukan kayuhan. Aku sudah merancang trek atau laluan yang akan diikuti, tetapi rancangan tersebut terpaksa dibatalkan kerana keadaan cuaca yang tidak begitu baik. Kesan musim hujan gelombang kedua.
Sebaik keluar ke jalan utama aku membuat pusingan U untuk bersembang dengan seorang rakan dari taman yang sama dalam perjalanan pulang dari membuat kayuhan. Dia selalu keluar jauh lebih awal kerana akan memulakan perniagaan jam 9.00 nanti. Biasanya dia tidak pergi jauh, cukup sekadar 20 km sahaja.
Sudah lama tidak berjumpa dengannya apatah lagi berkayuh bersama. Aku terlupa mengucapkan selamat menyambut krismas. Dia adalah seorang cina yang menganut agama Kristian.
Tiada apa yang penting disembangkan. Cuma sekadar mengucapkan hello kerana sudah agak lama tidak berbuat demikian. Dia membawa rb klasik walaupun ada rb carbonn terbaru. Dia menegur handle rb aku terlalu jauh kebawah. Oh patutlah aku rasa terlalu janggal apabila membuat pecutan. Aku perasaan handle tidak dikunci ketat beberapa bulan lalu kerana terasa ia bergerak kebawah apabila membuat tekanan semasa memerlukan kuasa untuk laju atau pendakian.
Sempat aku menceritakan pengalaman kayuhan ke Songkhla dan Satun, Thailand pada tahun 2012. Dia menunjukkan minat untuk kesana dan akan mencadangkan kepada geng kayuhannya. Aku sendiri akan berkayuh kesana dalam masa terdekat bila ada kelapangan. Kali ini aku akan bermalam disana. Aku tidak mengharapkan dia akan mempelawa aku bersama kerana kumpulan yang disertainya semuanya fast rider.
Hampir 10 minit bersembang dan aku meneruskan kayuhan ke Jalan Lencongan Barat dan memasuki jalan Kuala Ketil. Selepas pasaraya Econsave aku dapati rezab jalan sebelah kiri dikemaskan dan aku mengangak kerja kerja pembesaran jalan menjadi dua lorong baru bermula. Memang tepat pada masanya kerana pertambahan kenderaan setiap tahun. Apa yang aku harapkan ialah pihak berwajib menyediakan laluan yang sesuai untuk basikal.
Dalam perjalan pulang sempat singgah berjumpa dengan kawan kawan dibeberapa tempat berasingan. Singgah lama sedikit ditempat kerja lama di loji pembersihan air Pinang Tunggal bertanya khabar. Ada seorang pekerja yang juga kawan baik aku Md Noor Salleh, dimasukkan ke hospital kerana mengidap paru paru berair. Pada mulanya dia dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim dan kemudian dipindahkan ke Hospital Metro. Dua hari di wad ICU dan hari ini dipindahkan ke wad biasa. Aku mendoakan agar dia cepat sembuh.

Statistik :
    Mula ................ 8.15 pagi 
    Tamat .............. 11.00 pagi
    Jarak ............... 52 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Lencongan Barat - Sidam - Pinang Tunggal 
    Odometer 2013 : 00052   

Selasa, 1 Januari 2013

Selamat Datang 2013

SELAMAT DATANG 2013

Tahun 2012 menutup tirai sebentar tadi. Sebelum hari baru tahun baru bermula aku sempat 'printscreen' statistics pada blog. Ianya untuk menjadi rekod tentang catatan yang dibuat. Trend geraf menunjukkan sesuatu yang amat membanggakan. Semua diluar jangkaan. Walaupun hits jauh rendah dari kebanyakkan blog yang bukan bermotifkan dairy, tetapi memberikan kepuasan besar kepada aku. Bukan mudah untuk menentukan ia berterusan. 





Kalau menoleh aktiviti berbasikal disepanjang tahun 2012, aku amat berpuas hati.