Halaman

Sabtu, 31 Ogos 2013

Kayuhan Sambutan Hari Kebangsaan

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN

Jam 9.00 malam kelmarin aku melalui Jalan Ibrahim Sungai Petani dan berharap mendapati orang ramai berkumpul di Dataran Zero bersebelahan dengan jam besar. Tiada nampak apa apa persiapan seperti tahun lalu, tiada khemah didirikan, pentas, tiada lampu lampu berkelipan, tiada bendera tambahan dikibarkan kecuali bendera yang dipasang semasa sambutan hari raya yang dihadiri oleh perdana menteri dua minggu lalu. 
Tiada limpahan orang ramai, tiada kesesakan lalu lintas yang disebabkan kereta yang diparking. Kosong dan aku dapat memandu dengan lancar melepasi kawasan tersebut. Tiada sebarang sambutan sempena hari kebangsaan akan diadakan pada tengah malam ini dan juga keesokan harinya. Jika tahun tahun lalu, jika melalui jalan ini pada ketika waktu sama, ratusan kalau tidak ribuan orang akan berkumpul disana, walau tiada apa apa program. 
Orang ramai hanya berkumpul untuk suasana memperingati sambutan hari kemerdekaan. Merasakan semangat merdeka dari penjajahan dan mengambil alih kerajaan negara tercinta untuk ditadbir mengikut apa juga corak sesuai dengan kehendak rakyat jelata. Tepat pada jam 12.00 tengah malam 31 Ogos, bunga api akan dinyalakan sebagai kemuncak sambutan. Ketika itu atau beberapa jam sebelumnya ada juga program seperti kayuhan basikal oleh remaja sejauh 10 hingga 20 km bermula dan tamat di dataran zero tersebut. Paling dinantikan oleh remaja ialah konvoi motorsikal kapcai. Terdapat juga konvoi kereta yang sejenama.
Juga selalu diadakan perarakan mengelilingi bandar pada sebelah pagi tarikh 31 ogos tersebut. Perarakan selalunya disertai oleh murid murid sekolah, oleh agensi kerajaan, anggota keselamatan, badan bukan kerajaan, persatuan dan pelbagai lagi. Tahun ini tiada apa apa program dilakukan. 
Mungkin ada program kecil yang dilakukan secara kecil kecilan seperti yang aku nampak semasa membuat kayuhan. Di beberapa tempat terdapat kumpulan kecil kanak kanak kecil, mungkin pra sekolah, berkumpul untuk mengadakan perarakan kecil membawa bendera kecil bersaiz seperti yang di lekatkan pada kenderaan. 
Pada lewat pagi aku nampak banyak juga perarakan di jalan jalan utama, bukan oleh orang berjalan kaki tetapi kumpulan remaja bermotosikal. Mereka nampak begitu gembira dan seronok. Ada juga kumpulan orang dewasa dengan motorsikal berkuasa tinggi dan jenis klasik. Ada kumpulan lain yang berkereta contohnya kumpulan hampir 20 biji kereta kancil berkonvoi.
Pasti mereka kelihatan suka dan seronok bukan kerana menyambut hari kemerdekaan tetapi kerana dapat berkonvoi beramai ramai. Agaknya pihak polis tidak berapa bertegas dalam melaksanakan undang undang lalu lintas pada hari kebangsaan ini. Sekali sekala beri peluang kepada penunggang motorsikal dan pemandu kereta berseronok dijalan raya. Cuma diharapkan jangan keterlaluan sehingga boleh mendatang kemalangan dan bahaya kepada pengguna lain.
Aku sempat juga singgah di tapak jualan Lemang Pak Teh untuk bertanyakan khabar rakan rakan yang berkerja membuat lemang yang dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani akibat keracunan. Mereka masih didalam bilik ICU untuk hari ketiga. Aku doakan agar mereka cepat sembuh.

Statistik : 
    Mula ............... 7.50 pagi.
    Tamat ............  9.10 pagi
    Jarak ............... 27 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Batu Lintang - Tikam Batu
   Odometer 2013 : 03237 
        

Jumaat, 30 Ogos 2013

Keluarkan peluh

Ada rasa hendak pening kepala sedikit. Mungkin sebab sudah empat hari tidak berkayuh. Bukan tidak mahu tetapi keadaan atmosfera yang tidak mengizinkan. Beberapa hari lepas IPU di Bakar Arang Sungai Petani melepasi tahap bahaya, bacaan yang dicatatkan ialah 103. Heran dari mana datangnya jerubu. Yang pasti adalah pembakaran bendang padi kerana musim menuai baru berlalu.
Hari ini tahap jerubu paling rendah semenjak beberapa hari lalu. Hujan lebat dua petang lalu membantu memulihkan keadaan. Pagi ini aku ingin mengeluarkan peluh badan. Hanya ingin membuat kayuhan pendek sekitar dua jam.

Kepada mereka yang kecurian basikal .... boleh dijadikan contoh

Aku berkayuh ke selatan kearah Butterworth. Sudah agak dah ... jambatan selepas pekan Tikam Batu telah siap dan boleh digunakan. Bukan apa risau juga melalui lokasi pembinaan jambatan tersebut kerana lencongan sehala agak sempit dan kebanyakkan kenderaan tidak memperlahankan kenderaan walaupun nampak ada pengayuh dihadapan. Lega bila melihat jambatan telah dibuka cuma sedikit kesal kerana banyak taburan batu batu kecil di laluan motorsikal.
Aku nampak rakan rakan sedang tekun bekerja di tapak pembakaran dan penjualan Lemang Pak Teh. Semua pekerja tiak perasan aku berkayuh lalu. Aku pula tidak mahu menganggu mereka tetapi sempat memberi salam pada Pak Syeikh yang menjual surat khabar di penghujung tempat jualan lemang. Kenapa aku mencatatkan suasana tapak jualan lemang ... mendapat berita buruk mengenai satu tragedi yang berlaku disana apabila aku pulang dari kayuhan.
Tengah syok berkayuh, ditegur oleh seseorang dari dalam Toyata Hi Ace yang menuju ke Butterworth. Oleh kerana cermin van diturunkan, aku melihat dengan jelas siapa yang menegur aku. Seorang kawan dan jiran di Taman Intan iaitu John. Sepuluh minit kemudian sekali lagi aku ditegur, kali ini oleh pengayuh basikal. Seimbas aku melihat seorang lagi rakan dari Taman Intan dalam perjalanan pulang. Aku hanya kenal dia sebagai Ah Sian yang bekerja di kedai basikal Taman Intan. Eish ... tidak kerja ke hari ini.


Statistik : 
    Mula ............... 8.00 pagi.
    Tamat ............  9.50 pagi
    Jarak ............... 43 km
    Cuaca .............. Sederhana
    Laluan ............. Kepala Batas
   Odometer 2013 : 03237 
        

Ahad, 25 Ogos 2013

Felda Teloi Timur

Teragak agak semasa hendak keluar berkayuh. Langit kelihatan masih gelap tetapi bukan disebabkan awan hujan tetapi macam kabus atau jerubu. Tidak kelihatan lansung langit dan matahari juga tidak kelihatan. Berbeza dengan cuaca kelmarin. Pada waktu aku keluar pada waktu yang hampir sama, bulan dan bintang masih kelihatan walau merah matahari sudah muncul disebelah timur.
Kedua perut pula meragam, bukan sakit perut tetapi memulas. Sudah pergi ke bilik kecil lepas solat tadi.... ini lain punya hal pulak ni.
Sah jerubu akibat pembakaran. Aku terpaksa menghidu bau asap sepanjang 1 jam kayuhan.
Kalau ikut dua hal ini, aku kansel saja rancangan kayuhan walaupun sudah siap berpakaian kayuhan. Aku kuatkan semangat dan harapkan cuaca akan bertukar menjadi elok lewat pagi nanti dan perut yang meragam akan baik apabila berkayuh. Kalau tidak aku akan berpatah balik sampai takat mana pun.
Aku ingin menunaikan niat untuk berkayuh ke 'Felda Teloi Timur' yang dibuat beberapa hari lepas. Risau sedikit tentang laluan dari Bandar Puteri ke persimpangan Sidam kerana projek pembesaran jalan. Tidaklah jauh hanya setakat 3 km sahaja. Minta janganlah banyak kenderaan melalui jalan tersebut pada hari Ahad ni. 
Tiada sebarang masalah kerana macam yang aku doakan tidak banyak kereta dan lori melalui tapak projek ini dan kalau ada pun kebanyakkan kenderaan agak berhemah kerana memotong pada jarak yang selesa dan selamat.



Ada beberapa pilihan laluan untuk sampai ke destinasi yang aku rancangan. Pertama melencongan kekiri tiga km sebelum pekan Kuala Ketil melalui jalan Bukit Segintah. Kawasan ladang kelapa sawit yang akan bertemu dengan jalan utama. Selalu mengikuti jalan ini. Kedua membelok ke kiri di persimpangan lampu isyarat jalan utama Kuala Ketil - Bukit Selambau. Aku memilih untuk mengikuti jalan ke Parit Panjang iaitu membelok ke kiri lebih kurang 1 km melepasi Pekan Kuala Ketil.
Seronok melalui jalan kampung ini. Redup dan damai. Dapat melihat aktiviti penduduk yang rumah berhampiran jalan. Cuma jalan raya tidak begitu elok dan terdapat tempat yang pecah agak teruk akibat laluan lori mengangkut pasir. Sempat juga menegur beberapa pak cik yang duduk bersembang di gerai tepi jalan. Mungkin jarang pengayuh basikal melalui jalan ini kerana mereka memandang dengan begitu 'kyusuk' sekali. Apa lagi yang aku kena buat melainkan memeberi salam dan mengangkat tangan.
Disebabkan pertama kali berkayuh disini aku tertanya tanya berapa jauhkah lagi simpang ke Bukit Selambau dan simpang ke Felda Teloi. Aku sudah berkayuh hampir 40 km dan masih belum sampai lagi. Ini sudah hampir menyamai jarak kayuhan ke Jeniang yang aku buat empat hari lepas. Aku berfikir kalau masih jauh mungkin aku akan berpatah balik apabila tiba dipersimpangan Teloi Timur sahaja. Datang lain kali untuk berkayuh di penempatan peneroka.
Lega bila berfikiran begitu aku melihat simpang ke felda hanya selepas melalui selekoh dihadapan. Aku meneruskan kayuhan memasuki kawasan felda. Pemandangan yang mengalu-alukan kedatangan aku ialah pokok getah yang ditumbangkan dengan jentolak. Kedengaran bunyi 'chain-saw' memotong pendek pokok getah yang akan dihantar ke kilang papan.


Terlalu banyak signboard mengucapkan 'selamat datang' sebaik memasuki kawasan Felda Teloi ini. Pada pendapat aku elok dijarakkan, mungkin akan nampak lebih kemas dan lapang. Aku hanya ingin melalui jalan utama sahaja kerana agak kesuntukkan masa. Rumah peneroka disini tidak banyak bezanya dengan rumah yang biasa aku pergi di Negeri Sembilan.


Nyata hasil titik peluh peneroka, perit dan susah semasa mula menjadi peneroka 30 tahun dahulu kini mereka menikmati hidup yang lebih selesa dan senang. Apa tidaknya, tiada lagi kelihatan rumah rumah yang tiada berbilik yang diduduki ketika mula sampai dahulu, semuanya digantikan dengan rumah yang jauh lebih besar dan selesa dengan segala kemudahan dan kelengkapan yang sama seperti dibandar. Semua rumah mempunyai kenderaan kereta dan motor. Basikal .... jangan harap, lansung tidak kelihatan sepanjang aku berkayuh di kawasan tersebut. Hanya kanak kanak mengayuh basikal dan mereka semua berada disekolah waktu ini. Orang dewasa tidak lagi menggunakan basikal. Dulu itulah kenderaan utama mereka.
Aku singgah di kawasan pasar. Terdapat orang ramai membeli belah walaupun tidak banyak gerai berniaga. Aku membeli sedikit makanan (tiga keping apom balik dengan harga RM1.00) kerana masih belum sarapan sejak dari rumah dan kemudian mencari tempat. Sebaik aku duduk dikerusi, beberapa orang yang duduk tidak berapa jauh mempelawa aku bersama mereka. Air kopi pun ada, kata mereka. Mau tidak mau aku bergerak ke meja mereka. Bukan gerai makanan atau kedai tetapi sebuah dewan kecil yang terdapat beberapa meja dan kerusi.
Menurut salah seorang dari mereka disinilah mereka berkumpul berehat jika tiada apa kerja. Mengingatkan aku orang tua yang duduk sambil berbual menghabiskan masa yang selalu dilihat dinegara barat. Jenuh juga aku menjawap bila kumpulan tersebut bertanya dari mana aku berkayuh, pernah ke dan selalukah kesini, apa kerja sebelum ini dan berbagai soalan lagi.
Rasa tidak mahu meninggalkan perbualan dengan kumpulan ini, tetapi kayuhan pulang masih jauh lagi. Seorang yang agak muda dan agak petah bercakap menjadi 'dalang' kumpulan, jurucakap dan memberikan penerangan panjang lebar tentang perkara yang dibincangkan. Gayanya macam generasi kedua peneroka. Semasa lebih kurang 20 minit bersama mereka, isu tentang mat rempit, pengangguran anak muda, dadah, kerajaan dan sedikit tentang mengapa kawasan ini hanya ditanam getah tidak kelapa sawit. Tidak tahu sejauh mana kebenaran, menurut jurucakap kumpulan, tanaman sawit di sini tidak sesuai kerana kurang taburan hujan berbanding dengan dibahagian selatan tanah air.
Terpaksa meminta diri untuk kayuhan pulang dan tanpa dipinta mereka mencadangkan aku melalui jalan Bukit Selambau kemudian ke Bukit Lembu dan Sungai Lalang. Jalan baru lepas diturap selepas rosak teruk tahun lalu oleh lori pasir. Terima kasih pak cik & encik peneroka yang sudi mempelawa aku berehat bersama mereka. Walau begitu singkat bersama terasa macam sudah biasa dan macam sudah kenal lama.


Keseronokkan kayuhan terganggu apabila hujan turun dengan lebatnya di jalan lencongan barat kira kira 3 km sebelum sampai ke rumah. terpaksa mencari tempat berteduh dan apabila hujan reda sedikit aku redah juga walaupun basah. 
Puas ...... tidak menyesal keluar berkayuh pagi ini walaupun basah kuyup kena hujan.

Statistik : 
    Mula ............... 8.00 pagi.
    Tamat ............  12.00 tengah hari
    Jarak ............... 82 km
    Cuaca .............. Redup / hujan
    Laluan ............. Kuala Ketil - Teloi Timur - Bukit Lembu/Sungai Lalang
   Odometer 2013 : 03194 

        

Jumaat, 23 Ogos 2013

Lambaian pengayuh basikal


Jika melihat ada seseorang rider mengangkat tangannya ketika berselisih, adakah dia melambai sebagai seorang pengayuh kepada pengayuh lain. Mungkin dia tertelan ulat seperti gambar diatas? Apakah kita terlalu perasan?
Ramai gak rider dijalan pagi ini. Hari jumaat... boleh agak mereka itu samada cikgu atau penjawat awam. Melepaskan gian selepas lima hari bekerja. Tidak kurang melepaskan stress kerana banyak kerja, lebih lagi selepas cuti panjang sempena hari raya. Dah dikatakan banyak kali, selain dari menyihatkan badan, aktiviti kayuhan juga menurunkan stress atau tekanan kerja sepanjang minggu.
Apa yang ingin aku catatkan disini ialah sesetengah rider mengambil berat untuk menghormati rakan sekayuhan walaupun tidak bersama iaitu berlainan hala dan laluan. Dari jauh mereka memandang kearah rider dari arah bertentangan dengan harapan pandangan mereka dibalas. Ketika itu berlaku, tangan diangkat sebagai signal lambaian tanda persahabatan yang tidak wujud. Tidak pernah kenal atau tidak pernah jumpa sebelum ini, jauh sekali berkayuh bersama. tetapi lambaian tetap diberikan tanda perkongsian aktiviti.
Ada juga rider yang sebaliknya. Buat dak ... je. Tidak mahu mendongak kearah rider lain dan apatah lagi untuk mengangkat tangan dengan tujuan yang dinyatakan diatas. Tidak lansung pedulikan orang lain. Geram juga bila ini berlaku. Apa mereka itu fikir mereka tidak perlu berkawan dengan atau menghormati orang lain. Seolah olah mereka sahaja yang wujud ketika itu.
Kepada kumpulan pertama diucapkan tahniah kepada mereka. Sedar atau tidak, lambaian dan senyuman dari mereka sedikit sebanyak memberi perangsang untuk rakan meneruskan kayuhan, menambah kekuatan untuk pendakian bukit dan untuk terus berkayuh walaupun perjalanan masih jauh. Sedikit sebanyak mengurangkan rasa penat dan mengurangkan ketegangan otot tulang empat kerat.
Bagaimana seseorang melambai atau membalas lambaian? Ada dua cara yang aku lakukan. Pertama dengan mengangkat tangan bila jarak agak jauh seperti pada jalan dua lorong. Cara kedua ialah dengan menganggukkan kepala disusuli dengan ucapan salam bila pasti orang itu seorang Islam.

Statistik : 
    Mula ............... 8.00 pagi.
    Tamat ............  9.40 pagi
    Jarak ............... 42 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Lencongan Timur 'pergi balik'
   Odometer 2013 : 03112 

        

Rabu, 21 Ogos 2013

Kayuhan 100 km

Azam terlaksana pada kayuhan kelima selepas berehat satu bulan ramadhan. Dapat mencapai jarak psikoloji bagi aku iaitu sejauh 100 km. Pada awalnya aku tidak merancang untuk mencecah jarak tersebut, hanya untuk pergi jauh sedikit dari jarak yang aku buat dua hari lepas sejauh hampir 80 km. Semasa berkayuh aku berfikir, apa salahnya kalau aku menjangkau melepasi paras 100.
Rasanya boleh pergi jauh sedikit lagi, mungkin 120 km tetapi aku tersilap sedikit kerana memakai baju lengan pendek. Tidak mengapalah pada usia ini kalau kedua dua belah lengan hitam dibakar cahaya mentari tetapi mungkin susah sedikit menahan perit dan pedih. 
Walaupun aku membuat kayuhan jarak sederhana dua hari lalu, kayuhan ini agak sukar sedikit. Laluan yang lepas agak rata kecuali di Tanjung Jaga. Laluan pekan Gurun ke Jeniang agak berombak dan terpaksa berusaha keras mengharungi pendakian yang jauh. Ada ketika aku bertanya kepada diri sendiri bolehkah aku menamatkan kayuhan pulang nanti. Ada kalanya aku hendak berpatah balik sebelum sampai kedestinasi yang aku rancang. 
Lawaknya ada pula ketika aku ingin pergi lebih jauh. Perasaan ini datang apabila menuruni bukit.

Mengikut pengalaman lalu, jarak dari rumah ke pekan Jenianh ialah 45 km, bermakna pergi balik aku akan dapat 90 km. Aku kena menambah kayuhan sejauh 5 km kearah Sik. Bagaikan dirancang, aku berpatah balik tepat jam 10.00 pagi setelah dapat menghabiskan kayuhan sehala 50 km lebih sedikit. Seronok bukan main hinggakan terlupa untuk berhenti sarapan sejak memulakan kayuhan dari rumah.
Singgah di sebuah gerai untuk sebiji roti telur, sebutir kuih dan segelas teh O ais. Semasa melalui pekan Jeniang sebentar tadi aku mengintai kalau ada buah-buahan tempatan dijual. Aku berminat untuk membeli buah manggis. Hanya buah durian, langsat, rambai dan buah 'letup' yang dijual. Agaknya buah manggis sudah habis.
Cuaca mulai panas semasa perjalan pulang. Aku mulai merasakan terik sinaran matahari. Baru teringat yang aku tidak mengenakan helmet sejak memulakan kayuhan. Pada mulanya aku hanya ingin membogelkan kepala untuk disinari matahari pagi. Kata orang elok begitu dimana sinaran matahari ke umbun rambut akan memberikan vitamin tambahan yang diperlukan oleh kesihatan badan. Tidak tahan lagi dengan kepanasan, aku berhenti untuk mengenakan helmet.
Jalan dua lorong Gurun Jeniang memang gondol, macam digurun. Tiada pokok ditanam dibahu jalan untuk memberi perlindungan atau meredupkan jalan sejauh hampir 20 km. Kalau ada pokok rendang ditanam akan memberikan perlindungan dari sinaran matahari. Aku perhatikan pokok pokok yang ditanam di laluan pintas Modenas telah membesar dan dapat memberikan sedikit teduhan kepada penungggang basikal seperti aku. Dijangkakan setahun lagi pokok tersebut akan cukup besar dan memberikan keselesaan apabila berkayuh waktu tengah hari.
Singgah untuk menikmati semangguk cendul di pekan Bedong. Hirupan pertama terasa begitu enak dan ingin rasanya untuk memesan semangkuk lagi. Bila difikirkan ia terlalu manis, aku batalkan sahaja niat itu dan sebaliknya membeli sebotol air mineral untuk mencairkan gula yang diambil dalam cendul tersebut.
Esok tiada kayuhan kerana merehatkan badan, mungkin pada hari Sabtu nanti aku akan berkayuh ke Felda Teloi untuk melihat keadaan sana.

Statistik : 
    Mula ............... 7.40 pagi
    Tamat ............  1.00 petang
    Jarak ............... 100 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Gurun - Jeniang
   Odometer 2013 : 03070 

        

Isnin, 19 Ogos 2013

Guar - Yan

Rasanya tiga kali kayuhan sebelum ini sudah memberikan sedikit keyakinan untuk kayuhan yang lebih jauh pagi ini. Memang berniat untuk kayuhan melebihi biasa dan telah merancang untuk mengambil route Gurun - Guar - Yan. 
Ketika memulakan kayuhan kenderaan sudah agak kurang. Sekolah di Kedah telah bermula kelmarin selepas cuti raya selama dua minggu dan kebanyakkan masyarakat telah bekerja semula. Selepas perayaan hari raya, satu lagi perayaan akan diadakan pada penghujung bulan ini iaitu sambutan hari kebangsaan. 
Kelmarin aku menghadiri program kempen mengibarkan jalur gemilang anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Kuala Muda. Kansel kayuhan pagi Ahad. Sudah lah kayuhan pada hari Sabtu kena batal kerana mengunjungi sedara di Pokok Sena, kayuhan hari Ahad pun kena batal kerana kena hadir pada program kempen kibarkan jalur gemilang sempena hari kebangsaan tidak lama lagi.
Tidak ada apa yang menarik pada kayuhan pagi ini. Sebelum sampai ke pekan Gurun agak terkejut sedikit apabila ditegur dari belakang ketika tengah leka melayan kayuhan. Satu satunya rider yang aku jumpa pada kayuhan ini. Bergerak agak laju. Mungkin kerana usia yang masih agak muda. Ah.. biarkan lah.
Ketika menghampiri pekan Guar Cempedak, terlintas juga dihati untuk meneruskan kayuhan kearah Alor Setar yang jaraknya hanya tinggal 30 km. Mungkin mengambil masa lebih sedikit dari satu jam. Memang aku berhajat benar untuk berkayuh ke sana kerana kali terakhir hampir dua tahun lalu bersama kawan kawan dari Sungai Petani. 
Aku 'pass' kali ini. Ada juga perasaan 'superstitious' kerana aku telah merancang untuk mengikut rancangan laluan asal. Takut kalau menukar rancangan mungkin ada yang perkara yang tidak diingini berlaku.
Sudah lebih dua jam berkayuh tetapi masih belum berhenti untuk berehat dan sarapan. Masih ada tenaga dan bercadang untuk singgah di gerai dihadapan klinik kesihatan di Ruat. Entah mengapa aku tidak mahu singgah di tempat selalu di pekan Yan. Hampa .... kerana gerai yang aku rancang untuk singgah ditutup untuk pengubahsuaian. Aku tahu tidak ada lagi gerai sehingga pekan Singkir Darat. Larat ke melalui jalan berbukit Tanjung Jaga sebelum berjumpa kedai makanan untuk mengisi perut dan memulihkan tenaga.
Memang harga makanan di gerai atau restoren luar bandar jauh lebih murah dari di pekan. Aku minta nescafe panas, air suam dan makan satu bungku pulut inti dan sebiji roti ban kelapa. Bila aku suruh kira tuan kedai meminta RM2.20. Betul ke, aku tanya untuk kepastian. Di kedai mamak Sungai Petani pun secawan nescafe sudah RM1.60 walau ada restoren yang tidak mengcaj segelas air suam.
Puas juga kayuhan hari ini. Akan menyusul kayuhan lain jarak sederhana sebelum aku pergi tempat yang agak jauh dan perlukan overnight.


Statistik : 
    Mula ............... 8.00 pagi
    Tamat ............  11.50 pagi
    Jarak ............... 79 km
    Cuaca .............. Nyaman
    Laluan ............. Gurun - Guar - Yan - Merbuk - Semeling
   Odometer 2013 : 02970 

        

Jumaat, 16 Ogos 2013

Lencongan timur

Sebelum keluar berkayuh orang rumah mengingatkan hari ini Jumaat. Jangan pergi jauh sangat nanti letih pergi solat.
Sebelum pulang ke rumah singgah di kedai nasi kandar Taman Nilam Sari untuk pekena tosai. Dua bulan tidak makan tosai. Tidak perasan di meja hadapan ada seorang kawan yang sedang bersarapan dengan keluarganya. Bila terlihat aku hanya mengangkat tangan kepadanya kerana tidak mahu menganggu.
Sudah lebih dua tahun tidak berkayuh dengan Mohd Zaidi Ismail dan agaknya lebih satu tahun tidak berjumpa dengannya. Dahulu pada pertengahan tahun 1990'an pernah dia pernah bekerja dibawah aku sebagai 'chargeman' sebelum ia berpindah ke Celcom hingga kini. Walau tidak lagi bekerja ditempat sama kami masih berkawan dan selalu berjumpa juga.
Tidak pasti bila kali terakhir berkayuh dengannya, mungkin kayuhan ke Gunung Jerai akhir tahun 2011 atau sebelum itu.
Tidak sangka setelah habis sarapan dia datang ke meja aku meninggalkan keluarganya yang masih belum selesai. Dia memang sudah lama meninggalkan aktiviti kayuhan kerana kesibukkan dan ingin kembali aktif, tetapi perlukan masa. Menurutnya pernah mengikuti kawan berkayuh ke Teluk Bayu, Teluk Wang beberapa bulan lalu. Tidak dapat meneruskan kayuhan pulang dan terpaksa dijemput oleh isteri dengan kereta. Jaraknya tidak sampai pun 20 km.
Aku menasihatkan dia supaya tidak meninggalkan aktiviti kayuhan, banyak manafaatnya. Dia kini semakin bertambah gemuk ditempat tempat tertentu dan perlu melakukan senaman.


Statistik : 
    Mula ............... 8.00 pagi
    Tamat ............  9.40 pagi
    Jarak ............... 42 km
    Cuaca .............. Nyaman
    Laluan ............. Lencongan Timur - to & fro
   Odometer 2013 : 02891 
        

Rabu, 14 Ogos 2013

Masih proses penyesuaian ..

7.30 pagi. Aku masih menghadap laptop, melayari berita semasa dari laman web akhbar percuma. Surat khabar yang aku langgan sejak dahulu masih belum sampai, selalunya selepas jam 8.30 pagi baru dicampakkan ke porch rumah. Ikut hati aku tidak mahu lagi melanggani akhbar tetapi keluarga masih memerlukan. Mereka tidak biasa atau selesa melayari internet untuk mendapatkan berita.
Isteri aku bertanyakan samada aku jadi untuk pergi berkayuh. Aku menunggu hari cerah sedikit kerana masih lagi gelap, tidak dapat menentukan samada awan hitam dilangit akan mendatangkan hujan pagi ini. 
Pemandangan yang tidak mungkin di lihat dinegara kita
Kelmarin aku beriya-iya untuk membuat kayuhan kedua musim baru tetapi terpaksa dibatalkan kerana hujan turun. Hujan tidaklah lebat tetapi boleh basah kuyup jika berada lama dalam hujan tersebut. Tidak pasal pasal pula kena demam atau selsema.
OK ... siap menukar ke pakaian sukan. Tidak pun sampai 2 minit. Tidak seperti dahulu, kini semua kelengkapan pakaian berkayuh diletakkan disatu tempat, satu laci almari. Senang. Cuma kasut dan helmet sahaja diletakkan pada rak luar. Botol air pula atas rak di dapur. Tidak perlu keluar masuk bilik mencari pakaian.
Bila mengeluarkan basikal keluar dapati tayar basikal hadapan kempes. Ingatkan angin keluar. Apa lagi capai pam basikal tetapi gagal mengisi angin. Angin keluar dengan cepat. Wah... tentu besar bocornya. Tawar selera untuk meneruskan kayuhan tetapi aku menanggalkan roda dan tayar. Mereriksa dan tidak sebarang paku atai kawat melekat yang menyebabkan kebocoran. Bila aku rendamkan tiub basikal kedalam bekas air dapati sebahagian kecil tayar koyak.
Agaknya aku mengepam terlalu banyak angin dua hari lalu, hentakkan dilaluan yang tidak rata atau jalan rosak menyebabkan berlaku kebocoran. Mungkin juga. Mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk menukar tuib baru dan memasang semula. Dan aku meneruskan niat untuk membuat kayuhan. Ingin pergi jauh sedikit dari hari pertama.


Statistik : 
    Mula ............... 8.15 pagi
    Tamat ............  10.45 pagi
    Jarak ............... 47 km
    Cuaca .............. Nyaman
    Laluan ............. Bedong - Merbok
   Odometer 2013 : 02849 

        

Isnin, 12 Ogos 2013

Setelah berehat lama ......

Hampir terlupa untuk mengupdate blog setelah kayuhan pertama selepas bulan Ramadan pada tarikh 05 Syawal. Kali terakhir kayuhan adalah empat hari sebelum puasa bermula bermakna aku berehat hampir 38 hari. Namun ada juga kayuhan pendek dan dekat pada sebelah petang bulan puasa tetapi aku tidak mengambil kira.
Rasanya boleh juga pergi jauh tetapi aku tidak mahu untuk memaksa diri. Hanya membuat kayuhan permulaan lebih kurang 30 km mengikut laluan yang biasa. Membiasakan otot otot dan badan setelah begitu lama 'dormaint'. Tidak tahu lain lain rider telah memulakan semula aktiviti kayuhan. Sepanjang kayuhan pagi ini hanya ternampak seorang rider rb berhampiran Laguna Merbok.
Aku pulang ke Seremban pada hari pertama raya dan kembali ke Sungai Petani pada empat hari saya. Tiada program yang dirancang dan aku mengambil kesempatan untuk mengaktifkan semula aktiviti kayuhan.
Berharap pada musim kedua ini aku dapat menrealisasikan impian kayuhan 'overnight' kebeberapa tempat yang telah aku rancang selama ini, ke utara dan selatan dalam lingkungan 200 km dari rumah.


Statistik : 
    Mula ............... 8.15 pagi
    Tamat ............  9.45 pagi
    Jarak ............... 34 km
    Cuaca .............. Nyaman
    Laluan ............. Lencongan Timur - Barat
   Odometer 2013 : 02802