Halaman

Ahad, 21 September 2014

Pusing di Kepala Batas

Ikut hati malas untuk membuat kayuhan pagi Ahad. Lebih lagi kalau menghala ke selatan dari Sungai Petani. Tentu ramai rider di jalan pagi ini sebab belah Penang cuti hujung minggu. 
Memang betul baru sahaja sampai ke Taman Rhu sudah nampak kumpulan kumpulan pengayuh basikal menghala ke utara dan hanya aku seorang ke selatan. Ada yang mengunakan roadbike dan ada yang menggunakan mountain. Selepas itu disepanjang jalan kelihatan banyak lagi kumpulan yang berkayuh ke utara. Kemana mereka pergi ya ...... tidak larat hendak angat tangan.
Ah agaknya awal pagi tadi hujan lebat sebelah sini kerana jalan basah dan kelompok air memenuhi jalan terutama disebelah lalaun tepi. Terasa bahagian belakang seluar dan baju mulai lembab. Tidak kesah la.... balik nanti basuh. Tidak tahulah rakan rider diluar sana tetapi sebaik sampai dirumah dan menukar pakaian aku akan terus rendam. Bila aku mandi setelah badan sejuk dan keletihan hilang, aku akan basuh pakaian berbasikal tadi. Siap mandi aku akan terus jemur sendiri. Sampaikan lipat dan simpan di dalam almari aku akan buat sendiri. Pakaian harian lain dibuat oleh isteri.
Sempat pusing di pekan Kepala Batas. Agak sibuk di awal pagi kerana kebanyakkan penduduk pekan keluar untuk membeli barangan untuk dimasak. Laluan utama pekan lama Kepala Batas dipenuhi oleh penduduk cina, susah nak tengok bangsa lain. 
Singgah berbual dengan member kat Lemang Pak Teh. Mereka sedang sibuk menyiapkan untuk membakar lemang untuk hari ini. Nampak banyak juga, hampir 100 batang. Kalau tidak silap hampir 25 kg beras pulut digunakan. Biasalah pada cuti hujung minggu jualan agak tinggi dari hari biasa. Dua minggu mereka akan sibuk pula kerana perayaan Hari Raya Haji.
Bos mereka telah bertolak awal pagi tadi ke Bayan Lepas dan akan menaiki kapal terbang sebentar lagi (jam 11.00 pagi) untuk ketanah suci menunaikan ibadah haji. Beruntung dapat mengerjakan ibadah tersebut waktu usia masih muda dan dalam keadaan sihat. Kami doakan agar beliau selamat mengerjakan ibadah ke lima dan pulang dengan mendapat haji mabrur.


Statistik : 
    Mula ............... 0800
    Tamat ............  0945
    Jarak ............... 43 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Kepala Batas
   Odometer 2014 : 2190 km
      

Sabtu, 20 September 2014

Serangan sakit mata

Hampir tiga minggu tidak membuat kayuhan kerana diserang sakit mata. Menurut doktor ada jangkitan kuman dan kena makan antibiotik. Bukan main risau takut takut penyakit lain. Aku dimaklumkan sekarang ini ramai yang kena sakit mata. Menurut seorang rakan lain yang juga ada masalah dengan mata, jika terdapat tahi mata semasa bangun tidur waktu pagi .... sakit mata lah tu. Pelik juga aku merasa lega dengan penjelasan tersebut walaupun mata belum sembuh sepenuhnya.
Walau penglihatan sedikit kabur dan kadang kala terpaksa memandang lama untuk melihat, aku masih boleh memandu untuk pulang kekampung menghadiri kenduri kahwin rumah kakak ipar di Jempol, Negeri Sembilan minggu lalu.
Tidak puas hati kalau tidak berkongsi tentang menu utama kenduri tersebut. Aku berada dikawasan tempat memasak seawal 9.00 pagi hinggalah semuanya selesai lebih kurang 11.30 pagi. Yang menjadi perhatian ialah daging masak lemak cili api atau masak kuning kata setengah orang Kedah. Gulai ini menjadi menu utama kenduri di sini sejak dua menjak ini. Sudah selalu dengar kawan bercerita tentang lauk ini tetapi masih belum berpeluang menikmatinya.
Aku ingin mempelajari cara lauk ini disediakan dan dimasak, dari awal hingga lauk tersebut dihidangkan di khemah tetamu. Tidaklah berapa susah kerana ia lebih kurang sama dengan masakan daging cili api yang selalu aku buat, cuma ianya dimasukkan dengan semua keratan tulang seekor lembu dan pekakasan dalam lain. Tulang yang dipotong pendek (mendedahkan som som dan lemak) menambah kelazatan pada gulai. Gulai tersebut tidaklah pekat tetapi cair sahaja. Aku hirup kuahnya macam sup saja. Menggunakan banyak serai, santan, cili, kunyit, asam dan garam secukupnya.
Dua jam .... itu masa yang diambil untuk gulai tersebut habis. Nasib baiklah ada lauk dan gulai lain. Jika tidak, huh ... malu tuan rumah kenduri dibuatnya. Hairannya walaupun gulai jenis ini menjadi masakan utama untuk daging oleh orang disebelah sini, tidak menjemukan bila dihidangkan semasa kenduri. Tambahan pula, daging segar yang baru disembelih selepas subuh pagi tadi.
Hari ini aku teringin menguji kekuatan otot kaki memanjat muzium arkeoloji Merbok. Tiada sebarang masalah. Walaupun masih cuti sekolah, hari tereakhir sebelum sekolah dibuka semula esok, tetapi tiada murid atau orang persendirian melawat muzium setakat pagi ini. 


.... poster Jamboree Lembah Bujang pada 27 Sept
Ada terdapat beberapa perubahan dikawasan ini berbanding dengan kali terakhir aku disini. Kem hutan yang terletak disebelah kiri sebelum pintu masuk muzium telah memulakan operasi. Ada homestay yang baru dibuka disebelah kanan ladang kelulut yang terletak ditapak kem kini beroperasi juga disebelah kanan bersebelahan dengan tapak lama. Jalan naik dibesarkan sedikit.
Semasa perjalan pulang aku singgah digerai favourite dipersimpangan Kampung Bendalam Dalam. Teruja bila pekerja gerai masih ingat minuman yang selalu aku pesan bila berhenti makan disini. Rasanya lebih enam bulan tidak singgah disini.


Statistik : 
    Mula ............... 0750
    Tamat ............  1000
    Jarak ............... 42 km
    Cuaca .............. panas
    Laluan ............. Muzium Arkeologi Merbuk
   Odometer 2014 : 2147 km
      

Khamis, 4 September 2014

Kangar - Sungai Petani (pulang)

Semasa checkout hotel awal pagi, aku meminta air suam untuk diisi dalam botol, bekalan kayuhan pulang ke Sungai Petani. Aku tidak beritahu pun tetapi 'proprieter' hotel tersebut memberi komen, 'wah mau tiga untuk sampai ke Alor Setar, naik kereta pun lebih kurang 45 minit lo'. Heran macam mana dia tahu yang aku akan pulang ke arah Alor Setar. Mungkin dia tengok alamat pada buku pendaftaran masuk. Atau semasa mengambil alih pagi tadi dia ternampak sebiji basikal di parking di tingkat 1 hotel dan mengagak kepunyaan aku.
Seorang pemuda Melayu yang duduk tidak jauh dari meja pendaftaran macam terkebil kebil mendengar kata tuan punya hotel. Mungkin dia sedang menunggu rakan rakan lain turun dari bilik, banyak beg dihadapannya. Apa yang sedang difikirkan. Mungkin dia tidak percaya seorang pak cik dihadapannya berkayuh dari Sungai Petani ke Kangar.
Menunggu hujan berhenti
Keluar dari hotel hujan renyai renyai turun, mungkin sekejap sahaja dan aku terus menolak basikal kearah jalan menuju ke selatan. Semua kedai masih belum dibuka. Walaupun jalan agak sibuk dipenuhi kenderaan tetapi tiada orang awam. Masih awal. Hujan semakin lebat dan terpaksa mencari tempat berteduh. Aku mulai risau takut hujan akan lama dan akan melambat aku sampai kerumah. Sambil berehat perut aku mulai berbunyi kerana masih belum sarapan pagi.
Jangan haraplah untuk mencari kedai makan Melayu di tengah bandar Kangar. Seperti malam tadi, susah mencari kedai makan ditengah pekan, terpaksa pusing keliling. Itu pun jumpa hanya satu kedai mamak nasi kandar. Tiada pilihan. 
Aku tahu dipinggir bandar banyak kedai dan gerai makan Melayu yang menyediakan makanan kegemaran.
Nasib baik hujan yang agak lebat berhenti dalam setengah jam dan aku meneruskan perjalanan. Jalan berair dan lembab. Hujan renyai renyai. Lebih kurang dua kilometer aku berhenti untuk secawan kopi dan roti canai telur. Bekalan kayuhan sejauh 42 km ke Alor Setar dimana aku akan berhenti untuk mengisi perut semula.
Topo yang mendatar sepanjang jalan memboleh aku sampai di Alor Setar dalam masa 1 jam 40 minit, awal 80 minit dari masa yang dikatakan oleh tuan punya hotel tadi. Tidak mahu mencari gerai untuk makan, aku singgah di stesyen petronas untuk membeli air 100 plus, coklat dan roti cream. Lama juga aku duduk dikaki lima stesyen minyak tersebut. Tidak seperti stesyen Petron, kebanyakan stesyen minyak petronas tidak menyediakan kerusi meja untuk pelangan menikmati makanan dan minuman yang dijual.
Bila sudah kenyang, susah pula berkayuh seperti sebelum makan tadi. Kelajuan agak menurun dan aku terpaksa berhenti di kedai 7-Eleven Kota Sarang Semut selepas 45 minit berkayuh kerana tekak terasa amat kering dan perut pun kempes kembali. Kali ini aku membeli Coca cola dan keropok kentang untuk mengalas perut.  Aku target untuk berhenti makan tengah hari di Gurun.
Cuaca yang redup berbanding panas semasa kayuhan pergi kelmarin amatlah melegakan. Syukur. Apabila berhenti disebuah gerai tidak jauh dari jalan naik ke Gunung Jerai, selera makan tiada. Aku terpaksa mencari alternatif lain dan bernasib baik kerana berjumpa dengan gerai menjual bee hun sup. Semangkuk bee hun dan dua gelas kopi O untuk memulihkan tenaga diharapkan sempat sampai kerumah yang kurang 30 kilometer.
Malang kerana selepas 10 minit memulakan kayuhan selepas makan, hujan turun dengan agak lebat. Berteduh disebuah gerai kedai yang lama ditinggalkan. Rasanya sempat  melelapkan mata sehingga hujan berhenti 40 minit kemudian. Berkayuh semula apabila hujan berhenti tetapi terpaksa berhenti dua kali kerana hujan menjadi lebat semula. Selepas pekan Gurun aku sudah tidak kisah kalau basah sedikit kerana aku hanya ingin sampai kerumah secepat mungkin.
Kayuhan yang meletihkan dan menyeronokkan. Alhamdulillah kerana tiada sebarang masalah sepanjang perjalanan pergi dan balik. Walaupun tidak dapat memenuhi hasrat untuk ke Padang Besar tetapi amat berpuas hati dengan kayuhan ini. Adakah akan mengulangi lagi, bergantuing kepada keadaan dan masa.


Statistik : 
    Mula ............... 0720
    Tamat ............  1500
    Jarak ............... 108 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Kuala Sanglang - Air Itam - Simpang Kuala Kedah - Gurun
   Odometer 2014 : 2105 km

  p/s : mohon maaf kepada pembaca kerana kelewatan update catatan ini.

Rabu, 3 September 2014

Sungai Petani - Kangar

Berdoa selepas solat subuh untuk keselamatan perjalanan pagi ini. Sudah agak lama tidak membuat kayuhan jarak jauh seperti ini dan aku memohon untuk dielakkan berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. 
Sepatutnya kami (aku dan SK Juan) membuta kayuhan ke Songkla tetapi Juan membatalkan kerana fikiran yang tidak selesa. Aku beriya-iya untuk membuat kayuhan tersebut dan berasa agak kecewa atas pembatalan tersebut.
Mungkin kerana geram atau hendak membuktikan aku masih boleh berkayuh kemana pun seorang diri, aku mengambil keputusan untuk membuat kayuhan Sungai Petani ke Padang Besar. Rancangan ialah untuk bermalam di Pekan Padang Besa (tanpa 'r' di sebelah Thailand) dan pulang keesokkan harinya. Aku siap google hotel yang ada disana. Aku membuat border pass sehari sebelum kayuhan kesana.

Beerhenti untuk sarapan setelah dua jam berkayuh disalah sebuah gerai di Kota Sarang Semut. Dulu semasa membuat kayuhan ke Alor Setar aku sering singgah di gerai ini untuk sekeping roti canai dan secawan kopi O. Masih berniaga lagi disini tetapi sekarang sudah ada saingan digerai bersebelahan. Juga menjual benda yang sama.
Semasa bersiap untuk meneruskan perjalan aku ditegur oleh pelanggan meja bersebelahan bertanyakan dari mana dan hendak kemana kerana sampai disini agak awal. Nampak perubahan muka kedua mereka apabila aku menyatakan aku dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Padang Besar jika diizinkan Allah. Lagi kejutan apabila aku menyatakan sudah pencen dan seorang dari mereka mengatakan mestilah umur hampir 60 tahun. Masih boleh berkayuh jauh no.....
Sampai awal setengah jam di Alor Setar berbanding dengan kayuhan dua hari lepas. Seronok kerana dapat mengatasi rekod aku sendiri. tetapi berapa lamakah aku boleh bertahan kerana cuaca semakin panas dan aku jangkakan memang hari ini akan panas hingga ke petang.
Aku terpaksa berhenti pula apabila memasuki jalan ke Kangar. Kekeringan tekak. Singgah di stesyen minyak Petron yang menyediakan meja untuk minum didalam kedai. Air cond pula tu. Boleh lah menyejukkan badan.
Jalan ke Kangar memang rata tanpa sebarang pendakian lansung. Kesilapan yang aku lakukan ialah membuat kayuhan yang agak laju pada jalan yang rata ini dan ini mempercepatkan badan keletihan. Ruang atau lorong motorsikal yang luas dan kekurangan kenderaan kerana hampir tengah hari menyeronokkan kayuhan. Akhirnya aku terpaksa berhenti sebelum sampai di pekan Air Hitam kerana kehausan dan keletihan. Terkejut peniaga air minuman ditepi jalan apabila aku meminta tambah air segelas lagi. Berehat hampir setengah jam dan agak lega kerana tinggal algi 30 km ke Kangar. Mengikut perkiraan aku akan berhenti makan tengah hari di Kangar dan harap akan sampai ke Padang Besar sebelum jam 4.00 petang.
Matahari semakin terik dan cuaca panas mencucuk badan. Aku bersyukur kerana banyak pohon besar ditepi jalan yang memberi perlindungan dari panas terik walau tidak sepanjang jalan. Dahaga lagi, peliknya bila aku inginkan minuman yang boleh menghilangkan dahaga dan memberikan tenaga tiada pula gerai yang aku jumpa. Maksud aku air nyior atau sekurang kurangnya air tebu. Bila tidak mahu banyak pula gerai menjualnya.
Aku tewas lagi dan terpaksa berhenti di bus-stop lebih kurang 10 km dari Bandar Kangar. Oleh kerana terlalu panas aku terpaksa membuka baju dan merebahkan diri di pangkin konkrit berbantalkan beg pakaian. Aku mengunci basikal sebagai langkah keselamatan sekiranya terlelap. Satu yang aku kesalkan ialah bau busuk yang datang dari bangkai anjing tidak jauh dari pondok bas tersebut.
Pastinya, aku terlelap keletihan hampir satu jam disebalik bunyi bising kenderaan dari kedua dua arah. Bila sedar bau busuk kembali menusuk hidung. Aku cuba untuk tidak menghiraukan bau busuk tersebut tetapi semakin aku mencuba semakin teruk baunya. tergegas aku bersiap untuk meneruskan semual kayuhan dan sampai dipinggir bandar setengah jam kemudian. Singgah di stesyen petronas untuk membeli minuman sejuk sebelum masuk ke bandar.
Terpaksa berpuas hati dengan KFC sahaja kerana tidak jumpa restoren. Sudah terlalu lapar untuk mencari kedai makan. Semasa menikmati ayam gorang aku berfikir sudah tidak lagi berupaya untuk meneruskan kayuhan sejauh 30 km ke Padang Besar. Cuaca semakin panas dan aku kehabisan tenaga untuk meneruskan kayuhan. Rasanya sampai disini sahaja untuk kali ini.
Aku mencari hotel murah untuk bermalam dan ada beberapa hotel yang berdekatan. Aku mendaftar masuk kesebuah hotel bersebelahan restoren KFC yang menawarkan RM60.00 semalam. Ada juga bilik yang lebih murah berharga RM50.00 tanpa TV dan berkongsi bilik air di luar. Aku lihat kebersihan kira OK dan aku hanya perlu bilik untuk berehat malam nanti. Pentingnya pihak hotel membenarkan basikal disimpan diluar bilik. Oleh kerana bilik aku terletak ditingkat 2 dan tiada servis lif di hotel ini, aku berpuas hati meletakkan basikal di ruang legar tingkat 1.
Satu kejadian yang kurang menyenangkan apabila aku tersilap letak cermin mata ditepi katil semasa merehatkan badan dan ia terjatuh ke lantar dan patah dua. Peliknya sedikit pun tidak risau dan sebelah petang aku turun mencari gam di kedai hardware berhampiran.
Aku rasa kecewa kerana tidak dapat menjamu selera yang aku inginkan. Aku berjalan kaki keliling bandar Kangar yang seperti dilanggar garuda selepas matahari terbenam. Tiada kedai atau restoren atau gerai menjuala makanan. Akhir terjumpa sebuah kedai mamak Nasi Kandar dan walaupun tidak berapa minat tetapi aku tiada pilihan. Tidak dapat menghabiskan sepinggan nasi dan lauknya seperti lebihan dari tengah hari tadi. Aku mencari restoren tom yam yang menyediakan makanan panas.
Sebenarnya restoren yang aku cari terletak diluar kawasan bandar, Banyak terdapat restoren masakan panas di jalan utama ke Beseri atau ke Kuala Perlis atau ke Sanglang. Aku malas untuk membawa turun basikal dan malas berkayuh lagi untuk malam ini. Biasa kalau dirumah aku jarang makan nasi pada sebelah malam.
Tidur awal sebagai persediaan untuk kayuhan pulang esok......


Statistik : 
    Mula ............... 0725
    Tamat ............  1430
    Jarak ............... 109 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Gurun - Simpang Kuala Kedah - Air Hitam - Kangar
   Odometer 2014 : 1997 km
      


Isnin, 1 September 2014

Ke Alor Setar

Nak buat entry dalam blog ini pun masih belum ada mood lagi kerana masih berehat dari kayuhan sebentar tadi. Ada sedikit masa terluang selepas melayari internet dan sebelum terlupa baik aku masukkan sedikit maklumat sebelum terlupa. Yang lain akan dikemaskini bila ada masa nanti.
Ok kita sambung.
Sebaik memasuki jalan lencongan barat aku melihat berapa orang  berkayuh dihadapan dan belakang, Tidak sangka pula salah seorang menegur aku dari belakang dan tidak sangka pula beliau adalah salah seorang dari kumpulan yang aku ikut semasa kayuhan pada minggu lepas ke Baling dan Sik. Dia bertanyakan kemana arah aku, dan aku menjawap hanya pusing keliling jalan lencongan. Kalau tidak silap dia hendak ke Gurun dan seterusnya kalau jumpa rakan rakan lain akan berkayuh ke Gunung Jerai. Aku menyuruhnya pergi dahulu kerana aku tahu dia agak laju dengan roadbikesnya.
Tidak sangka pula ramai roadbikers dijalanan hari ini. Kemudian aku teringat cuti dinegeri jiran Pulau Pinang sempena hari kemerdekaan Malaysia ke 57 yang jatuh pada hari Ahad.
Semalam sebelum lelap di bilik tidur, aku merancang rancang untuk berkayuh ke Alor Setar. Lama sudah aku tidak kesana. Rasanya aku mampu melakukan walaupun agak lama tidak membuat kayuhan jauh. Lagi pun jalannya tidak lah berbukit seperti laluan dari Parit Panjang ke Baling dan ke Sik pada minggu lalu. Dengan jarak hampir 120 km pergi balik ia akan memberi latihan yang mantap.
Bukan apa, aku merancang untuk membuat kayuhan ke Songhkla dari Bukit Kayu Hitam dan latihan kayuhan hari ini akan memberikan aku stamina sebagai persediaan keyuhan tersebut.
Aku mengambil masa hampir dua jam setengah untuk sampai ke kawasan Tandoop Kuala Kedah. Ada dua sebab kenapa aku tidak mahu memasuki benadar Alor Setar. Pertama kerana kuota sejauh 60 km telah dicapai di kawasan lampu isyarat tol Alor Setar selatan. Ada hampir 4 km sebelum ke pusat bandar. Kedua tidak mahu tersangkut didalam kesesakkan lalu lintas yang hanya akan melambatkan kayuhan. Aku beredar di kawasan perniagaan tandoop dan Alor Setar mall.
Aku teragak agak mencari gerai yang sesuai untuk mengisi perut kerana sejak memulakan kayuhan dari rumah pagi tadi aku tidak singgah untuk makan. Dalam deretan gerai yang aku jumpa aku singgah di sebuah gerai yang agak terpencil dan ada dua pekerja perempuan setengah umur. Nampak lauk yang dijual agak menyelerakan. Sebaik turun basikal, biasalah ... 'makan ke?' dan salah seorang pekerja terus mencapai pinggan untuk mengisi nasi. Lauk bubuh sendiri. Aku memesan kopi paket yang banyak tergantung tersusun dinding gerai.
Hampir setengah jam aku berehat dan rasa cukup untuk mendapkan makanan yang aku ambil sebentar tadi. Tidak mahu pula perut menjadi berat kerana makanan masih belum hadam sepenuhnya. Bila aku hendak bayar, tidaklah rasa tekejut besar apabila harga yang dibayar sebanyak RM6.00 untuk sepinggan nasi, seekor ikan temenung kecil dan sebelah telur asin. Dalam hati aku, mengalahkan restoren nasi kandar mamak. Berbagai perkara yang bermain dikepala aku meningatkan harga makanan tersebut.
Semasa makan tadi aku mendengar kedua pekerja berbual dimana salah salah seorang yang berkemungkinan besar adalah pekerja menceritakan pergi ke kareoke malam sebelum bersama keluarga (termasuk anak yang masih kecil) dan pulang sehingga lewat tengah malam. Malam hari kebangsaan..... katanya.
Tepat jam 11.00 aku memulakan perjalanan pulang. Terasa lambat dan tidak bertenaga lansung. Kelajuan kayuhan tidak lebih 20km/j. Aku bercadang untuk berhenti di pekan Kota Sarang Semut untuk memulihkan tenaga. Hanya 18 km dari mula dan belum pun sampai satu jam berkayuh. Tetapi terpaksa. Aku teringat kata seorang kawan pada kayuhan minggu lalu apabila dia memberikan aku sedikit minumam coca cola sejuk. "Untuk memulihkan tenaga" katanya. Terus aku membeli sebotol coca cola sejuk.
Air Nira
Pastinya aku merasakan lebih bertenaga dan kayuhan aku kembali seperti biasa. Walaupun cuaca mulai panas terik dan penuh mengalir dari ubun kepala membasahi muka dan badan aku masih dapat meneruskan kayuhan. Aku berhenti untuk kali kedua kerana tidak tahan dengan gerai air nira selepas jalan ke Gunung Jerai. Memang sudah lama tidak merasakan kesejukkan air nira yang rasa masam memasuki badan yang tengah panas. Harga sekarang jauh lebih mahal dari dulu (dua tahun lepas) iaitu meningkat kepada RM3.00 sebungkus berbading RM2.00.
Oleh kerana panas agak keterlaluan, tekak aku menjadi kering dan tidak lagi sanggup menahan dahaga, aku berhenti sekali lagi dihadapan kawasan perindustrian Sungai lalang untuk semangkuk cendol. Selalunya aku akan meminta 'kurang manis' tetapi kali ini aku diam sahaja. Aku perlukan sedikit gula tambahan untuk menambahkan tenaga. Hanya kurang 10 km sebelum sampai kerumah.
Puas hati membuat kayuhan ini. Tidak apa yang diherankan kalau mengambil masa dua jam setengah semasa pergi dan hampir 4 jam ketika pulang. Tiga kali berhenti rehat sudah hampir 45 minit dan kayuhan agak perlahan ketika panas terik menjadikan masa pulang agak panjang. Besar kemungkinan aku akan ulangi lagi kayuhan seperti ini.


Statistik : 
    Mula ............... 0750
    Tamat ............  1420
    Jarak ............... 121 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Semeling - Bedong - Alor Setar
   Odometer 2014 : 1988 km