Halaman

Ahad, 24 April 2011

Beehun Soup ... Pekan Rabu

Bandar Sungai Petani waktu pagi
Beberapa orang rider sedang duduk bersembang di Dataran Zero Sungai Petani bersebelahan Menara Jam sambil menunggu yang lain sampai. Kayuhan akan bermula pada jam 7.30 pagi dan empat orang rider masih belum sampai. Kayuhan akan dimulakan tepat pada masa yang ditetapkan. Mereka yang lambat terpaksa mengikuti dibelakang. Dua rakan aku iaitu Azbeel dan Juan SK masih belum sampai. Kebanyakkan rider yang ada disitu bertanya kepada aku samada mereka akan turut serta atau tidak. Juan lambat sebab dia kerumah aku untuk berkayuh sama tetapi aku sudah keluar dari rumah.
Semasa bertolak hanya Azbel yang masih belum kelihatan. Mungkin dia tidak dapat menyertai kayuhan pagi ini. Kesemua ada 13 orang rider yang ikut serta. Rancangan awal ialah mengikuti jalan Yan - Kuala Kedah tetapi ditukar mengikuti jalan utama Sungai Petani - Alor Setar.  Semasa menghampiri Hospital Lama yang kini dijadikan Klinik Bandar seorang rider menghampir aku dan meminta aku melindungi dengan berkayuh sebelah dalam. Dia bekerja di klinik tersebut dan hari ini mengambil cuti sakit (MC) kerana ingin ikut serta. Aku nyatakan sekarang baru pukul 7.30 pagi dan mungkin rakan yang mengenalinya masih dalam perjalanan ke pejabat.
Sebelum memulakan kayuhan - Dataran Zero
Azbel menyertai kumpulan kami di traffic light Tol Sungai Petani Utara. Dia lambat sebab kena hantar anaknya kesekolah. Beberapa rider mula mendahalui kumpulan. Apabila melepasi lampu isyarat Sungai Lalang aku mendapati kumpulan dihadapan menjadi lebih besar. Bila pula rider dibelakang memotong? Apabila mendekati aku dapati tidak kurang dari enam orang rider menggunakan mountain bikes berkayuh kearah Bedong.
Seperti biasa aku rider yang terakhir apabila membuat pendakian landai di hadapan Perwaja Gurun. Aku tidak risau kerana jalan ini bukan asing lagi bagi aku. Kerap melaluinya samada berkumpulan atau solo. Group yang besar telah melepasi pekan Gurun ketika aku sampai dan dua tiga orang yang lain memperlahan kayuhan menunggu aku sampai.
Riders (sengaja tidak mahu menyatakan namanya) yang mengambil MC tadi membuat keputusan untuk membelok ke arah Yan di persimpangan pekan Guar Cempedak dan pulang sendirian melalui Pekan Yan. Aku dapat tahu kemudian bahawa dia hilang 'steam' untuk berkayuh bersama kerana petukaran laluan kayuhan. Senang kata dia merajuk kerana terpaksa mengikuti jalan di hadapan tempat ia bekerja, takut ada rakan sepejabat yang nampak dan pecah tembelang MC nya.
Selepas 90 minit berkayuh hanya tinggal Azbeel, Juan dan aku. Yang lain telah jauh dihadapan. Sempat Azbeel memberikan komen bahawa kesoronokkan berkayuh bersama dalam satu kumpulan hilang kerana adanya sikap ingin mendahului, berlumba dan menunjukkan kekuatan antara satu sama lain. Kami bertiga berhenti untuk mengisi perut di medan selera disebelah kiri pekan Kota Sarang Semut.
Semasa makan, Juan mengajak aku untuk berkayuh kesini lagi di masa terdekat, makan dan kemudian pulang semula ke Sungai Petani. Rasa hairan juga mengapa dia berkata demikian. Makanan yang dijual bukanlah sedap sangat pun. Biasa saje. Kemudian baru aku sedar yang dia amat tertarik dan seronok melihat tuan kedai, seorang wanita betudung mempunyai wajah yang amat manis dan perwatakan menyenangkan. Kata Juan lagi mukanya perfect, gebu dan putih melepak. Aku pasti dia telah menjadi isteri orang. Dia seolah tahu yang dia diperhatikan dan apabila datang untuk mengambil wang memberikan senyuman manis yang sukar dilupakan.
William menunggu kami berhampiran lampu isyarat pekan Simpang Kuala. Yang lain telah sampai dan menunggu kami di gerai bahagian bawah pekan Rabu Alor Setar. Ketika sampai mereka semua telah siap makan. Aku masih kenyang dengan roti canai dan teh ais di Kota Sarang Semut sebentar tadi tetapi William berkata aku akan menyesal jika tidak mencuba beehon soup gerai tersebut. Mahu tidak mahu aku memesan semangkuk, boleh laaa ......
Pekan Rabu, Alor Setar
Sementara berbual, aku menalifon Ramlan Bidin di Loji Air Pelubang. Bila di beritahu aku berada di Pekan Rabu,  dia ingin berjumpa. Dia agak terkejut apabila aku katakan aku datang dengan 15 orang lain mengayuh basikal dari Sungai Petani. Dia mempelawa aku datang ke Pelubang dimasa terdekat dan mungkin boleh  membuat kayuhan bersama.
Vice dan sepit udang antik - Kota Sarang Semut
Kami bersiap untuk memulakan kayuhan pulang ke Sungai Petani sebelum jam 11.00 pagi setelah berada di Alor Setar hampir 30 minit. Aku menyuruh Juan memberitahu kepada ahli kumpulan agar tidak menunggu kerana kami akan singgah di beberapa tempat untuk mencari alat ganti basikal.
Aku mulai rasa basikal aku agak perlahan dan berat dan agak jauh ditinggalkan oleh Juan. Semasa berhenti menghilangkan dahaga di Guar Cempedak, aku memeriksa tayar dan dapati tayar depan kekurangan angin. Aku mengambil tiub spare dan peralatan lain untuk menukar tiub tetapi atas nasihat Juan mengepam angin tayar tersebut. Juan mencadangkan untuk menukar tiub apabila sampai di kedai basikal di Gurun. Malangnya kedai basikal tersebut tutup pada hari Ahad. Rasanya boleh sampai ke Sungai Petani tanpa perlu menukar tiub.
Walaupun telah beberapa kali membuat kayuhan jarak jauh dengan Azbeel dan Juan, ini kali pertama aku melihat Azbeel kehabisan tenaga dan hampir tidak berdaya meneruskan kayuhan di Sungai Lalang. Dia terlalu lemah dan perlukan makanan seperti buahan dan roti. Cuaca terlalu panas ketika itu. Sebaliknya aku masih bertenaga dan boleh meneruskan kayuhan. Kami singgah di sebuah gerai di hadapan Sekolah Menengah Teknik Sungai Petani. Kebetulan gerai tersebut menjual beberapa jenis buah buahan yang siap dipotong. Kami berehat hampir setengah jam sebelum menghabiskan baki 5km kayuhan kerumah.
Satu kayuhan yang amat bermakna bagi aku dan rakan yang lain. Walau kami berpecah dengan ahli kumpulan tetapi yang penting dapat nikmat dan keseronokkan dari kayuha tersebut. Kami perlukan kayuhan sebegini sekurang-kurangnya sekali setiap bulan.

Statistik
   Mula .............. 7.30 pagi
   Tamat ............ 2.30 petang
   Jarak ............. 127 km
   Cuaca ............ tersangat la panas
   Laluan ........... Sg Petani - Gurun - Guar Cempedak - Kota Sarang Semut - Simpang Kuala - Alor Setar

Sabtu, 23 April 2011

Jemputan ke Alor Setar

Petang tadi aku mendapat SMS dari Azbeel untuk kayuhan ke Alor Setar esok Ahad 24 April 2011. Kayuah akan bermula pada jam 7.30 pagi dari 'clock tower Sungai Petani'. Jarak kayuhan melebihi 120 km menyusuri jalan persekutuan N1 melalui Gurun, Guar Cempedak, Kota Sarang Semut, Simpang Empat dan Simpang Kuala. Aku pernah sekali bekayuh tetapi hanya sampai ke Kota Sarang Semut menggunakan mountain bike.
Kebetulan. Aku memang bercadang untuk membuat kayuhan ke Alor Setar dalam masa terdekat ini. Ingin mencuba dengan roadbikes pula. Tetapi aku merancang untuk membuat pendakian Gunung Jerai pada tarikh tersebut. Begitu lama tidak membuat pendakian gunung dan rasanya basikal mtb Scott di belakang rumah tu begitu lama diabaikan. Mana tidaknya. Kini terpaut dengan roadbikes classics.
Kenalah aku batalkan hasrat untuk kayuhan ke gunung dan akan mengikuti kumpulan roadbikes ke Alor Setar. Bukan selalu mendapat peluang ini. Dalam masa melayan fikiran tentang kayuhan tersebut seorang rakan lain menelifon bertanyakan samada aku akan ikut serta atau tidak. Dia tidak begitu teruja untuk mengikuti kumpulan tersebut kerana beberapa masalah peribadi dengan salah seorang cyclist kumpulan itu. Perselisihan faham juga berpunca dari kayuhan basikal, saling menyalahi satu dengan lain tentang sikap, attitude, prasangka, syak wasangka, ego dan macam macam lagi. Peliknya mereka semua sudah berumur seperti aku atau lebih tua tetapi perangai mengalahkan kanak kanak.
Aku cuba meyakinkan rakan tersebut bahawa tidak perlu mengikuti mereka. Aku cadangakan sebelum kayuhan bermula, beritahu sesiapa berkenaan bahawa kayuhan ini adalah kayuhan bebas, tidak perlu bersama dalam kumpulan. Sesiapa yang kuat dan mempunyai mesin yang boleh pergi laju, bolehlah berkayuh dahulu dihadapan dan tidak perlu menunggu yang lain. Ibaratkan kayuhan ini berasing cuma secara kebetulan bermula dan berakhir ditempat yang sama dan melalui jalan yang sama dan tidak kenal antara satu dengan lain.
Apapun  kayuh sendiri ..... letih sendiri .... syok sendiri .... sihat sendiri.

p/s : pagi tadi aku membuat pemeriksaan kesihatan. Tumpuan aku adalah kandungan gula yang agak tinggi beberapa bulan kebelakangan ini. Aku berasa lega kerana ia telah turun ke paras normal manakala tekanan darah pada 125/80 sahaja. Aku gembira kerana aktiviti kayuhan dan berjogging yang aku lakukan selama ini memberi manfaat kepada kesihatan badan.
      

Jumaat, 22 April 2011

LTLB 07/2-11

Dua SCOTT
Sebaik sahaja keluar dari rumah memulakan kayuhan, aku berselisih dengan William di Taman Emas Suria. Dia berkayuh agak laju dan aku hanya sempat mengangkat tangan. Dia dalam perjalanan pulang. Masih awal, agaknya dia keluar sebelum pukul 7.00 pagi. Ingatkan dia seorang, rupanya John ada jauh dibelakang.
Aku kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh kedua dua mereka. William berusia lebih 61 tahun masih bertenaga dan boleh menandingi rakan rakan yang jauh lebih muda. Dia akan keluar berkayuh setiap hari tidak kurang 20 km walaupun seorang diri. Dia akan sampai kerumah sebelum jam 08.00 pagi untuk memulakan perniagaan pada jam 9.00 pagi.
Petang kelmarin ketika makan 'Koteow Kerang', peniaga gerai dudok bersembang dengan aku ketika tiada pelanggan. Dia juga peminat berbasikal dan baru membaiki roadbikes classics. Dia akan berkayuh disebelah pagi kerena berniaga disebelah petang hingga ke malam.
Dia bertanyakan samada mendapat jemputan untuk kayuhan 200 km pada hari pekerja (labour day) 01 Mei nanti. Aku adalah mendengar rancangan tersebut tetapi tiada pula jemputan. Sesiapa yang berminat boleh serta. Hanya datang ketempat permulaan. Tiada pendaftaran diperlukan. Tiada baju jersey atau goodies lain untuk peserta. Cuma sedikit bayaran dikenakan untuk makanan dan minuman dan minyak untuk kereta marshall. Tidak pula dinyatakan jenis basikal yang perlu digunakan.
Terus terang aku nyatakan tidak berminat untuk menyertai. Jarak kayuhan bukan dekat. Jalan baru 'hinterland' dari Baling ke Durian Burung yang bersempadan dengan Thailand.  Jalan tersebut berbukit dan tidak banyak pokok dikiri kanan. Khabarnya 60 km tiada liputan handphone. Jika apa terjadi sukar untuk menghubungi bantuan.
Walaupun aku pernah membuat kayuhan jauh iaitu hampir 160 km, aku tidak sanggup ikut serta kali ini kerana keadaan cuaca kini, terlalu panas. Kayuhan akan mengambil masa sekurang kurangnya lapanjam termasuk masa berhenti rehat  dan lain lain. Jika bertolak awal pagi belum pasti akan sampai ke rumah sebelum maghrib.
Malam tadi lepas balik dari Masjid member lama telefon mengatakan Md Zain Abdullah eksiden. Dia baru habis kerja sebagai pengawal keselamatan dan keluar dari tempat kerja pada jam 8.00 malam. Sebaik sahaja memasuki jalan utama dia terlanggar seorang Bangla yang sedang mengayuh basikal tanpa lampu. Dia terjatuh dan mengalami sedikit kecederaan. Md Zain adalah rakan kongsi aku mengerjakan tanaman nanas di Kampung Seberang Tok Soh.

Statistik
   Mula ............... 7.40 pagi
   Tamat .............. 8.50 pagi
   Jarak ............... 33 km
   Cuaca ............. cerah
   Laluan ............ Jalan lencongan Timur - Lencongan Barat
   

Khamis, 21 April 2011

Berbiking ....?

Sambil berehat dirumah setelah melakukan jogging di Bukit Semarak pagi ini aku meninjau laman 'facebook'. Terbaca catatan seorang rakan yang agak unik. Aku buat copy n' paste untuk masukkan kedalam blog ini.


Bukan apa, hanya sekadar untuk kenangan dari rakan rakan. Menariknya term yang digunakan iaitu 'berbiking' pertama kali aku jumpa. Berbiking dimaksudkan berbasikal atau boleh juga dimaksudkan dengan tidak sengaja bermotorsikal. Harap jangan ada orang lain pula yang akan menggunakan nanti. Rosak bahasa Melayu. Tetapi kita semua tahu tentang bahasa dan ayat yang digunakan oleh orang sekarang terutama oleh anak muda di dalam facebook dan SMS ... boleh ke dimaafkan.
Tidak ramai orang yang berjogging di bukit hari ini. Mungkin kerana malam tadi hujan lebat. Jalan lembab dan lecah. Agak licin. Kena berhati dan cermat terutama ketika menuruni bukit. Nasib baik juga jalan di bukit tersebut baru diperbaiki.

Selasa, 19 April 2011

Tanjung Dawai

Lega rasa badan apabila selamat pulang dari kayuhan pagi ini. Cuaca yang tidak menentu  dua tiga hari yang lepas membuatkan badan rasa lemah dan sakit kepala menyerang pada sebelah malamnya. Jadi, pagi ini walaupun ada perkara yang perlu dibereskan aku memaksa diri untuk membuat kayuhan basikal. Tujuan kayuhan untuk mengeluarkan peluh dibadan.
Hari ini aku bercadang untuk ke Tanjung Dawai. Kali terakhir ke sini adalah pada pada bulan Februari lalu semasa perayaan Tahun Baru Cina. Ketika melalui kawasan sawah padi aku melihat banyak aktiviti permulaan musim kebendang. Banyak sawah telah dibajak menggunakan traktor. Ramai petani berada dibendang membuat kerja kerja termasuk meracun batas, meratakan tanah dan ada juga yang sedang menabur benih.
Ah.. betapa senangnya petani sekarang. Dari mula turun kesawah menggunakan bajak, membenih, membaja gunakan mesin, menuai gunakan harvester. Masa aku kecil dahulu semua kerja dilakukan menggunakan kederat dan tulang empat kerat. Itu sebabnya dahulu kaum petani hanya mampu mengerjakan bendang hanya sekali setahun.
Menuai padi cara tradisional
Apa yang paling aku teringat ialah ketika arwah ibu kesayangan memasak beras baru, iaitu beras dari padi yang pertama dituai untuk tahun itu. Padi yang baru dituai dileraikan dengan kaki (boleh juga dibanting), dianginkan mengunakan nyiru untuk mengasingkan yang berisi, dijemur dan ditumbok menggunakan lesong kaki untuk mendapatkan beras baru. Masih jelas diingatkan bau harum dan aroma nasi yang dimasak menggunakan dapur kayu api. Asap haba kepanasan naik keatas ketika nasi disenduk dari periuk. Masa itu lauk apa pun sedap, selalunya gulai ikan air tawar masak lemak cili padi berserta sedikit sayuran. Semua ahli keluarga akan bersila beramai ramai untuk makan tengah hari. Wah... tetapi kini ia hanya tinggal kenangan.
Satu lagi kenangan yang tidak boleh aku lupakan pada akhir musim menuai. Ketika padi hampir habis dituai, masih ada yang tinggal yang baru menyulur keluar dari batang. Padi yang masih hijau dituai menggunakan tangan dan akan dibuat emping. Empat atau lima keluarga akan terlibat mengemping. Aktiviti mengemping biasanya bermula pada waktu malam hingga awal pagi.
Padi yang hijau direndam dan dibuang airnya. Padi tersebut dipanaskan di dalam kuali. Apabila sebutir atau dua bertih terjadi, padi panas akan dimasukkan ke dalam lesung kaki dan ditumbuk segera  dengan cepat sehingga menjadi emping. Kemudian emping akan ditampi menggunakan nyiru.
Cara yang paling aku suka makan emping ialah dengan santan kelapa tua (bukan yang masak) yang dicampurkan gula kabung. Emping juga enak dimakan dengan menggaulkan dengan kelapa parut dan gula.
Keseronokkan mengemping bukan sahaja kepada aktiviti tersebut tetapi ia menjadi temasya dimana anak anak remaja lelaki dan perempuan bergaul bebas sehingga selesai di dini hari. Kadang kala  remaja yang rumah mereka agak jauh turut serta untuk tujuan bersosial dan mengintai ngintai anak dara yang turut serta mengemping. Seperti yang lagu karangan Pak Ngah dinanyikan oleh Noraniza Idris.
Adakah kita nampak lagi kanak kanak bermain diatas bendang pada waktu petang sambil meniup seruling yang dibuat dari batang padi. Sekarang paling hampir ialah kanak kanak bermain layang layang dan memancing ikan puyu di tali air bendang.
Dahulu basikal adalah pengangkut utama untuk petani. Basikal digunakan untuk berulang alik ke bendang. Ketika musim menuai tiba basikal digunakan untuk mengangkut padi balik ke rumah.
Walau apa pun itulah yang dipanggil kemajuan dan terpaksa mengorbankan beberapa ciri dan cara hidup lama.

Statistik
   Mula ............. .. 7.40 pagi
   Tamat .............. 10.40 pagi
   Jarak ................ 59 km
   Cuaca ............... panas
   Laluan .............. Semeling - Merbuk - Singkir - Tanjung Dawai
      

Isnin, 18 April 2011

Konvensyen Panel Penasihat

Hujung minggu lepas aku tidak dapat membuat kayuhan kerana berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri Konvensyen Panel Penasihat Klinik Kesihatan. Konvensyen dwi tahunan ini mengumpulkan wakil panel penasihat dari seluruh negara diadakan bertujuan untuk berkongsi idea dan pengalaman aktiviti yang dijalankan ditempat masing masing. Konvensyen berlangsung selama dua hari dan ianya dirasmikan oleh Menteri Kesihatan.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui atau samar samar tentang objektif penubuhan panel penasihat untuk klinik kesihatan. Ia menjadi saluran komunikasi dua hala antara masyarakat dengan kakitangan klinik dan menggalakkan penglibatan masyarakat dalam mencapai matlamat 'kesihatan untuk semua'. Ahli panel dipilih dari kalangan masyarakat yang berpengaruh dan menjalankan tugas secara sukarela.
Berkayuh adalah satu aktiviti senaman untuk kesihatan. Namun disepanjang pembentangan oral tentang aktiviti yang dilakukan tiada mana mana  klinik yang menganjurkan berbasikal sebagai aktiviti kesihatan. Kebanyakkan mengadakan senamrobik, tarian poco-poco yang kini sedang hangat diperkatakan kerana dianggap haram atau mengadakan gym. Mungkin dimasa hadapan ada panel penasihat yang dapat menganjurkan aktiviti berbasikal untuk masyarakat sebagai aktiviti.
Walaupun tidak berkayuh tetapi aku tidak berhenti dari menerangkan segala kebaikan dan kelebihan melakukan aktiviti berbasikal kepada setiap kawan baru yang aku temui semasa konvensyen. Ramai yang seolah tidak percaya bila aku bercerita tentang kekerapan, jarak kayuhan, masa yang diambil dan tempat tempat yang dilalui.
Sehari sebelum bertolak ke KL aku mendapat pelawaan melalui SMS untuk kayuhan ke Lata Bukit Hijau di Daerah Baling. Tidak jauh. Hampir 90 km pergi dan balik tetapi 4km sebelum sampai ke lata tersebut jalannya berbukit. Memang sudah lama aku tidak mengunjungi tempat tersebut. Kali terakhir aku membawa keluarga berkelah lebih sepuluh tahun yang lalu. Insyaallah aku akan mengayuh kesana dalam masa terdekat.
sebahagian pemandangan lata Bukit Hijau

Khamis, 14 April 2011

Bertam

Semasa perjalan pulang kayuhan amal sabtu lalu, terdapat bunyi yang tidak menyenangkan dari basikal aku. Otai basikal menyatakan datang dari rantai yang mungkin perlu ditukar kerana ia telah kendur. Aku percaya cakap mereka dan menunggu masa lapang sedikit untuk melakukan di kedai basikal Taman Intan.
Sementara menunggu masa sesuai untuk membaiki basikal, aku melakukan aktiviti berjogging di Bukit Semarak. Dua pagi aku kesana. Petang kelmarin aku membawa ke kedai basikal untuk menukar rantai. Mengikut makanik ia bukannya seperti yang dijangkakan. Kerana rantai masih dalam keadaan baik. Beberapa peralatan lain diperiksan dan tidak berjumpa sebarang masalah. Dia menyuruh aku mengayuh untuk menentukan samada bunyi tersebut masih ada. Aku membuat kayuhan hampir 6 km dan pelik bunyi trersebut telah tiada sama sekali.
Pagi ini aku merancang untuk berkayuh melalui jalan lencongan timur kemudian mengambil jalan ke Gurun dan berpatah balik. Tetapi sebelum aku memasuki jalan lencongan timur aku menukar haluan dan terus keselatan menuju ke Kepala Batas dan Bertam.
Aku singgah disebuah  gerai minuman di Taman Kempas untuk pekena roti canai telur dan milo O. Cuma ada dua tiga pelanggan disana. Mereka duduk pada berlainan  meja dan berbual mengenai kecurian lembu yang sedang berleluasa di kampung. Aku hanya memasang telinga dan memberi tumpuan kepada cerita mereka.


Apa yang aku dengar, orang yang bercerita dahulu mempunyai banyak lembu yang diternak secara tradisi iaitu membiarkan lembu mencari makan disekitar kampung dan ladang getah atau kelapa sawit. Lembu lembu tersebut akan pulang waktu petang dan dimasukkan ke dalam kandang. Kadangkala lembu lembu tersebut tidak masuk kekandang tetapi tidur di tepi jalan berhampiran penternak. Dahulu tiada kejadian kehilangan lembu berlaku tetapi kini banyak lembu lembu telah dicuri. Bukan sahaja lembu yang berkeliaran di tepi jalan malah lembu yang disimpan di dalam kawasan berpagar atau didalam kandang tidak terlepas dari dicuri.
Pencuri boleh mencuri seekor lembu dalam masa tidak sampai 10 minit, iaitu belum sempat penternak tahu apa yang berlaku. Pencuri tersebut boleh memasukkan seekor atau dua ekor lembu dalam but kereta 'Proton Aeroback'. Mereka kini lebih cekap dengan adanya telefon bimbit dimana rakan mereka boleh mengawasi keadaan dan memberi amaran jika perlu.
Mengikut cerita pelanggan tersebut pencuri lembu kini menggunakan ubat bius atau ubat pelali yang disumpit pada haiwan tersebut. Kerja mereka akan menjadi mudah apabila lembu tersebut pengsan. Mereka tidak fikirkan halal haram. Pembeli daging yang menjadi mangsa.
Kekecewaan orang yang bercerita amat ketara. Menurutnya untuk membesarkan seekor anak lembu mengambil masa dua tahun setengah dan hingga tiga tahun sebelum lembu boleh dijual.  Ketika berangan-angan untuk menjual lembu, lembu tersebut dicuri.  Kini dia telah menjual semua lembu lembunya kerana kekecewaan tersebut.
Kadang kala dia melihat seseorang bermotosikal berlegar legar dikawasan kampung dengan membawa sangkar untuk memikat burung. Sebenarnya mereka ini membuat tinjauan dimana kawasan ada lembu sebelum menjalankan operasi.
Itu lah pasal banyak kali aku membuat kayuhan disekeliling kampung tiada lagi nampak lembu lembu berkeliaran ditepi tepi jalan. Mungkin ramai orang berasa serik dan kecewa untuk menternak lembu.
Aku tinggalkan mereka yang terus bersembang mengenai kecurian lembu. Apabila menghabiskan roti telur aku ingin terus beredar. Sebenarnya aku tidak tahan dengan asap rokok daun yang tidak berhenti henti. Kayuhan berpuluh kilometer menjadi sia sia bila menghisap asap yang dihembus keluar atau menjadi 'secondary smokers'.

Statistik
   Mula ............ 7.50 pagi
   Tamat ........... 10.00 pagi
   Jarak ............ 46 km
   Cuaca ........... panas 
   Laluan .......... Kepala Batas - Bertam - Paya Keladi - Pinang Tunggal

Sabtu, 9 April 2011

Charity Ride .....Kayuhan Amal

Adik Mohd 
Maklumat kayuhan pagi ini agak lambat diterima. Aku hanya dapat tahu pada petang kelmarin bahawa ia adalah 'charity ride' atau 'kayuhan amal' bertujuan untuk mengutip derma. Wang kutipan akan diserahkan untuk pembiayaan kos operation Adik Mohd Arif Aizuddin (foto) yang mengidap bengkak buah pinggang dan saraf kencing abnormal. Difahamkan penyakit tersebut adalah semula jadi iaitu semenjak lahir. Kos operation melebihi 10K.
Aku agak resah apabila memulakan kayuhan bersama Azbel Singh dari Taman Intan. Walaupun aku menjangkakan kami boleh sampai ke tempat berkumpul di Stesyen Petronas Jalan Kuala Ketil dalam masa setengah jam tetapi apabila memasuki persimpangan Taman Astana menuju ke Taipan Square, aku merasakan akan tiba lambat 10 minit. Tidak perasan jarak dari rumah melebihi 15km. Aku yakin kayuhan akan bermula lewat dari masa yang dirancang. Ini menjadi kelaziman pada aktiviti sebegini.
Hampir semua telah bersedia untuk memulakan kayuhan pada jam 7.45 pagi. Penganjur memberikan taklimat tentang tujuan kayuhan serta laluan yang akan diambil. Semua rider dinasihatkan untuk mengambil langkah keselamatan apabila berkayuh, jangan bergerak dalam kumpulan besar atau ramai, mengayuh dalam dua barisan, jangan terlalu rapat antara pengayuh depan dan belakang serta beberapa tips lain. Ikut dan patuh kepada arahan marshal. Berkayuh pada kemampuan sendiri dan  jangan berlumba.
Minuman ringan akan dibekalkan disepanjang perjalanan dan boleh didapati dari kenderaan marshal. Pengusaha Stesyen Minyak Petronas bermurah hati mendermakan air minuman kepada riders. Tabung untuk kutipan diedarkan kepada riders semasa ucapan.
Kumpulan ini akan disertai oleh kumpulan biker dari Baling, Kulim, Alor Setar (?) dan kumpulan dari Pulau Pinang. Semuanya akan berkumpul dan bergerak serentak ke Pekan Sungai Kob. Kayuhan akan melalui Sidam Kiri, Sungai Karangan, Labu Besar dan Sungai Kob. Sebelum memulakan kayuhan doa dibacakan untuk memohon keselamatan dan kesejahteraan semasa kayuhan.
Kumpulan dari Sungai Petani seramai hampir 70 orang bergerak serentak. Sambutan amatlah menggalakkan dan diluar jangkaan. Pada akhir  kayuhan apabila semua kumpulan berkumpul sebelum kerumah adik Mohd Arif ternyata kumpulan dari Sungai Petani adalah kumpulan yang paling besar.
Sememangnya seronok berkayuh beramai ramai. Perasaan kesepakatan, kerjasama, kegembiraan, kesefahaman dan sehati sejiwa nyata sekali tanpa mengira usia dan kaum. Rasa gagah dan penting apabila kenderaan lain seperti kereta, lori, bus dan motorsikal terpaksa memperlahan dan memberi laluan kepada riders dengan kawalan marshall dan outriders.
Dalam keseronokkan itu ada juga yang tidak beberapa sedap dipandang. Ada individu yang cuba menunjukkan kehebatan dan kemegahan dengan peralatan yang digunakan. Mereka mengayuh laju dihadapan mendahului kumpulan sehinggakan ada yang tersalah laluan. Maklumlah marshall dan  pengawal lalu lintas belum sampai untuk mengarahkan jalan yang perlu diikuti. Ada yang terlajak sehingga terpaksa kenderaan bantuan mencari dan membawa ke kumpulan asal. Ada juga yang terlalu kehadapan sehingga tidak sedar bahawa kumpulan berhenti untuk bergabung dengan lain lain riders dari kumpulan lain. Aku tidak tahu samada hendak marah atau tertawa dengan kelakuan mereka atau .... buat lah apa yang difikirkan perlu.
Ramai lagi kat depan sana tu .....
Laluan kayuhan disepanjang kawasan pertanian dan ladang agak mengasyikan. Aku dan Azbel berada di kelompok pertengahan tidak berapa jauh dari kumpulan dihadapan. Kadang kala apabila menoleh kebelakang kami tidak nampak rider lain dan menyangkakan kami adalah rider paling last. Rupanya ramai lagi yang berada dibelakang. Jalan disini tidak berapa bagus kerana banyak yang rosak dan merekah. Agak sukar apabila menggunakan roadbikes.
Azbel dan Juan tidak berhenti henti menyatakan bahawa mereka sepatutnya membawa single speed roadbikes. Ini kerana laluan tidaklah mempunyai bukit bukit yang tinggi atau panjang. Terdapat beberapa riders yang menggunakan single speed roadbike. Terdapat juga ramai yang menggunakan 'fixie' oleh kumpulan dari Kulim.
Setelah semua kumpulan sampai rider bertolak ke arah Pekan Sungai Kob dan sekali lagi berkumpul di Stesyen Petronas Sg. Kob. Apa yang dapat diperhatikan terdapat beberapa jenis riders yang berada disitu.
Pertama, kumpulan paling ramai adalah hardcore rider yang berpakaian lengkap dengan atire berbasikal. Kedua kalangan kumpulan yang pertama tetapi berpakaian yang sama iaitu baju yang seragam dengan nama kelab mereka.Kumpulan ketiga adalah mereka yang menggunakan moutain atau roadbikes. Kumpulan  keempat mereka yang yang menggunakan roadbikes classics dan akhir mereka yang menggunakan basikal 'fixie'.
apa hal plak ni.....
Oh tidak lupa rider dari kaum hawa yang berjumlah hampir 20 orang. Mereka menjadi penyeri dan penyejuk pada kayuhan ini. Dan kumpulan kanak kanak dan remaja. Syabas kepada mereka.
Ada seorang rider yang membawa bayinya didalam tempat khas yang ditarik dengan basikalnya. Jika dinegara barat dia akan ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah. Apa yang dilakukan amat membahayakan bayi tersebut. Walau betapa canggih rekaan 'carriage' yang di buat menggunakan bahan yang kuat, adakah ia mampu memberi 100% keselamatan. Diharapkan dia tidak melakukan kayuhan sebegini selalu.  Bayangkan jika basikalnya dilanggar dari belakang atau mengalami kerosakkan atau tidak sempat mengelakkan sesuatu dihadapan. Nyawa anaknya menjadi pertarungan. Aku tidak dapat menghayati tujuan sebenar dia berbuat demikian.
Penganjur membuat persiapan akhir sebelum bertolak kerumah pesakit yang terletak lebih kurang 1 km dari situ. Dalam perjalanan aku terdengar beberapa orang awam bertanyakan kenapa begitu ramai pengayuh basikal, hendak kemana dan kenapa.
Sebahagian dari rider bergambar dengan Adik Arif dan bapanya
Bayangkan seramai 150 orang riders dengan basikal masing masing berada di kawasan rumah adik Mohd Arif. Riuh rendah dan bising dengan pergerakkan. Harapkan ia tidak menganggu ketenteraman penduduk di taman tersebut.
Pihak penganjur dan tuan rumah menyediakan jamuan ringkas dengan pisang, karipap dan air mineral. Wang yang dikumpulkan diserahkan kepada bapa adik Mohd Arif dalam suasana ringkas. Beliau begitu terharu, gembira dan sebak dengan bantuan serta sumbangan yang diterima. Beliau juga sama sekali tidak menyangka tentang sambutan yang diberikan dan bilangan riders yang datang.
Berminat dengan 5D
Sebagai usaha untuk menambah wang, seorang rider telah melelong sebuah basikal antik berusia lebih 40 tahun yang berjenama 'Releigh' dengan no. plate dari Municipal Council Goerge Town. Bidaan dimulakan dengan harga RM500.00. Tidak pasti siapa yang berjaya pada bidaan tersebut dan berapakah harga ditawarkan.
Semua mendoakan agar adik Mohd Arif mendapat rawatan yang paling elok dan mendoakan semuga operation tersebut nanti berjaya dan semoga cepat sembuh. Juga ramai yang memberikan sokongan moral serta nasihat kepada bapa adik Mohd Arif supaya bersabar dalam menempuh dugaan seumpama ini.
Aku terbaca satu komen di dalam facebook bahawa usaha yang dilakukan hari ini telah membawa taraf pengayuh basikal ke mertabat yang tinggi. Mereka bukan hanya mementingkan keseronokkan, hiburan, excitement atau berbelanja ribuan ringgit untuk berbasikal tetapi mereka sedia bergabung memberi bantuan dan pertolongan kepada yang memerlukan pada bila bila masa. Tanpa mengira jumlah bantuan yang dihulurkan, ia akan dapat meringankan bebanan dan kesulitan yang ditanggung oleh yang memerlukan. Kehadiran mereka amat besar ertinya kerana ia menunjukkan sokongan moral dan emosional kepada tuan rumah yang tidak berhenti henti mengucapkan terima kasih kepada semua. Ini adalah satu satunya peristiwa yang akan diingati dan dikenang sepanjang hayat.
Aku dan rakan lain terus pulang tanpa makan tengah hari di Nasi Ayam Periuk Besar Sungai Kob. Walaupun letih dan panas tetapi kepuasan dan perasaan bangga tersemat didalam hati.

Statistik
   Mula .............. 7.00 pagi
   Tamat ............. 2.00 petang
   Jarak ............... 105 km
   Cuaca ............. Panas
   Laluan ............ Taipan Square - Sidam Kiri - Sg Karangan - Sg Kob
      

Khamis, 7 April 2011

Kayuhan ke Candi

Dua hari lepas aku terima call dari seorang rakan bahawa geng basikal dari Lagenda Height akan membuat kayuhan ke Kulim pada Sabtu 09 Mac 2011. Penyertaan terbuka kepada sesiapa yang berminat. Tiada sebarang bayaran dikenakan dan semua perbelanjaan adalah 'sendirian berhad'. Ia hanyalah aktiviti kayuhan biasa sahaja. Kayuhan ini anjuran Cikgu Rahim dari Kelab Kanu Negeri Kedah.
Sesiapa yang berminat diminta berkumpul di Stesyen Petronas bersebelahan Tai Pan Square, Jalan Kuala Ketil. Kayuhan dijangka akan bermula tepat jam 07.30 pagi. Tidak pula dibutirkan jalan yang akan dilalui tetapi besar kemungkinan akan melalui Jalan Sidam Kiri. Juga tidak pula dinyatakan jenis basikal yang akan digunakan.
Rasa teringin juga untuk turut serta untuk berkenalan dengan geng basikal yang lain. Ingin juga mengetahui dan melihat gelagat riders lain. Aku mengajak Juan ikut serta dan dia menyatakan akan membawa basikal roadbikes classics, sama seperti roadbikes aku. Kalau agak tidak boleh ngam atau tidak boleh 'masuk ghu' kami berdua akan membuat kayuhan ke Baling.
Sebelum ini aku pernah membuat tiga empat kali kayuhan secara solo ke Kulim melalui Pinang Tunggal, Padang Serai dan Kulim Hi Tech park. Rasanya tidak lah berapa jauh, mungkin lebih kurang 100 km pergi balik. Sama jaraknya dengan kayuhan ke Malau pada Ahad lepas.
Pagi ini aku membuat kayuhan praktis dan pergi mendaki ke muzuim arkeologi Lembah Bujang di Merbok. Tidak pasti kenapa aku merasa agak bertenaga pada kayuhan kali ini dan dapat sampai ke Pekan Merbok awal sedikit dari masa yang biasa aku buat. Bila sampai ke kawasan muzium tiada pengunjung yang berada disana. Kelihatan kakitangan muzium membuat kerja kerja membersihkan kawasan. Pengawal yang berada di pondok pintu utama tidak ambil kisah aku memasuki kawasan tersebut. Agaknya pengawal tersebut tahu riders yang naik tidak bertujuan untuk masuk melawat muzium.
Aku tidak menghabiskan masa yang lama diatas dan turun selepas mengurangkan degupan penapasan. Satu perkara lagi, aku tidak berhenti untuk sarapan di gerai kesukaan aku seperti yang selalu aku buat. Aku terus pulang dan sarapan di gerai berhampiran rumah aku.
Agaknya kayuhan ini kurang meletihkan mungkin disebabkan kedua dua tayar roadbikes baru ditukar. Aku agak teruja untuk kayuhan hari Sabtu nanti.

Statistik
   Mula ............. 7.45 pagi
   Tamat ........... 9.25 pagi
   Jarak ............ 35 km
   Cuaca ........... Redup 
   Laluan .......... Lencongan Barat - Merbok - Muzium Arkeologi
 

Selasa, 5 April 2011

Jogging je ari ni ...

Datang awal ke kaki bukit dari biasa kerana sekarang tanah cerah semakin awal. Sekarang matahari bergerak dari hemisfera selatan ke utara menyebabkan siang lebih awal. Semasa sampai tempat parking masih banyak kenderaan ada disana bermakna ramai lagi sedang melakukan aktiviti berjalan dan berjogging.
Memang aku merancang untuk berjogging pagi ini. Tidak teruja langsung untuk membuat kayuhan, Mungkin kerana dos lebih pada kayuhan Ahad lepas. Benar juga kata seorang otai, jangan 'over', takut menjadi 'cemuih'.
Apabila menghabiskan pendakian peringkat pertama, aku mulakan berjogging untuk pendakian rendah seterusnya menuruni bukit sehingga sampai ke tempat bermula. Disepanjang jalan banyak terdapat kertas penanda jalan yang ditaburkan oleh HHH Sungai Petani. Mungkin ahli kelab berjogging pada hari sebelumnya kerana tidak berjumpa sesiapa sepanjang perjalanan. Juga tidak banyak kenderaan di letakkan di bawah seperti kebiasaan.
HHH (Hash House Harrier) Sungai Petani kini telah berusia hampir 34 tahun. Ia adalah  sebuah kelab dimana ahli melakukan aktiviti larian dan sosial. Ahli kumpulan ini terdiri lelaki dan perempuan dari pelbagai peringkat umur yang mempunyai minat dan kesedaran mengenai kesihatan yang sama. Kumpulan ini akan membuat larian sekurang kurangnya sekali seminggu di lokasi berbeza.
Difahamkan mereka mempunyai kod etika yang agak tegas ketika membuat larian seperti tidak merosakkan apa apa disepanjang jalan dan tidak boleh membuang sampah dimerata tempat. Tetapi yang peliknya mereka menaburkan atau meletakkan banyak kertas (foto) disepanjang laluan larian mereka.
Aku berjumpa banyak muka muka yang aku kenal, sempat betegur bertanya khabar. Tetapi kalau dah berjogging, sihat la kan. Kebanyakkan mereka berkumpulan dan bersembang mesra antara mereka.  Aku seperti biasa seronok secara solo. Tak kuasa hendak menunggu yang sampai lewat, ada yang laju dan ada yang pelahan, ada nak ikut jalan dekat atau jalan jauh, ikut sebelah selatan ada pula gemar sebelah utara, ada yang hendak berhenti sembang lama dengan kenalan lain yang ditemui dan berbagai kerenah lagi.
Puas berjogging apabila baju yang dipakai dibasahi peluh.

.... ada yang cuba membuat pendakian dengan MTB
    

Ahad, 3 April 2011

Speed Kill .................


"Kelajuan bukan sahaja membunuh nyawa tetapi juga membunuh mood dan keseronokkan"

Tag line 'kelajuan membunuh' untuk kempen keselamatan jalan raya oleh kerajaan Malaysia yang digunakan pada poster, bill board, iklan dalam akhbar serta iklan visual dalam TV memang 100% tepat. Kelajuan adalah penyumbang terbesar kemalangan jalan raya saban hari dan tahun. Pun bagitu, amatlah susah untuk mendidik dan menyedarkan pemandu di negara kita supaya mematuhi had laju yang di tetapkan atau dihadkan. Apabila pihak berwajib mengenakan saman dan menyenaraihitamkan pesalah, banyak pula bantahan serta kata yang kurang enak didengar.
Kayuhan pagi ini bermula tepat pada jam 7.00 pagi dari rendevouz point di Stesyen Petronas Jalan Kuala Ketil seperti yang dirancang (well..... mungkin lewat satu minit atau jam aku cepat satu minit?), memberikan mood yang baik, kumpulan kecil seramai lima orang adalah ideal dan melalui jalan yang amat menyeronokkan dan mengasyikkan. Kata penganjur jalan yang akan dilalui redup dan kurang kenderaan selain dari contour yang berbukit bukit. Sebaik sahaja melintasi jalan lencongan timur menghala ke Kuala Ketil, pengayuh disajikan dengan pemandangan kebun getah dan kelapa sawit dikedua dua belah jalan. Cuaca yang sejuk dan nyaman menambah keseronakkan berkayuh. Cuaca pagi ini seolah olah mengalukan kayuhan kami kerana telah hampir seminggu hujan turun.
'setengah' Pekan Malau - waktu pagi
Malang dan sedihnya keadaan dan senario yang begitu dirosakkan oleh sikap ego sesetengah rider. Mereka memecut dengan laju meninggalkan rider yang kurang bertenaga jauh dibelakang. Pada mula ingatkan mereka hanya ingin memanaskan badan dan melonggoarkan otot-otot badan. Tetapi ia berterusan sehingga ke penamat kayuhan.
Ok.. mereka tidaklah meninggalkan rider yang lambat sama sekali. Mereka akan berhenti dipersimpangan jalan atau ditempat yang mungkin mengelirukan dan menunggu sehingga orang yang terakhir sampai. Sebaik sahaja kayuhan bermula semula, mereka kembali memecut meninggalkan dengan jarak yang agak jauh.
Persolannya, adakah ini adil, apa gunanya berkayuh berkumpulan atau mengajak orang lain ikut serta. Pilih sahaja geng atau rider yang mampu memecut laju untuk kayuhan tersebut. Usah diajak yang lemah atau yang masih baru ikut serta.
Pendapat aku sekiranya merancang untuk membuat kayuhan bersama, sepatutnya semua dalam kumpulan berkayuh bersama-sama. Sama laju, sama perlahan dan sama berhenti. Bukannya ada orang yang mendahului dengan jarak berkilometer dan yang dibelakang ketinggalkan. Kesihan rider yang dibelakang mencuba sedaya upaya untuk mengejar pengayuh dihadapan. Kayuhan berkumpulan sepatutnya juga membolehkan semua peserta menikmati pemandangan, memerhati aktiviti disepanjang jalan sambil berbincang, berkongsi dan bertukar fikiran tentang kayuhan yang dilakukan.
Disinilah 'mood dan keseronokkan' berkayuh berkumpulan dibunuh oleh kelajuan. Bayangkan apa yang difikirkan oleh yang pengayuh yang paling last, yang jauh ketinggalan dibelakang sehinggakan bayangan atau kelibat rakan rakan lain tidak lagi kelihatan. Tentunya dia tidak berasa seronok, tidak lagi gembira, kecewa dan give-up untuk meneruskan kayuhan. Tentunya dia akan mengalami 'inferiority complexs' dan berasa bersalah kerana membuatkan kumpulan dihadapan berhenti untuk menunggu dia sampai. Dia akan berfikiran kumpulan yang laju akan hilang keseronakkan kerana terpaksa berhenti beberapa kali. Case yang paling teruk ialah orang yang paling dibelakang akan menolak pelawaan kayuhan berkumpulan seperti dimasa akan datang.
Aku amat tidak bersetuju dengan cara sebegini. Aku dapati seorang rider begitu bermegah untuk mendahalui kumpulan dari mula sampai keakhir. Dia tidak memberi peluang kepada orang lain untuk memotong dan menunjukkan kelebihan ketika berkayuh. Walaupun ia mempunyai karektor yang baik, pandai mengambil hati kawan dan sering memberi kerjasama dan pertolongan tetapi ianya berubah ketika berkayuh. Sama seperti yang sering kita dengar mengenai sikap pemandu dijalan raya.

Statistik 
   Mula ......... 7.00 pagi
   Tamat ........ 12.00 tengah hari
   Jarak ......... 106 km
   Cuaca ........ redup
   Laluan ....... Kuala Ketil - Malau - Labu Besar - Sungai Karangan - Sungai Petani
      

Sabtu, 2 April 2011

Pemanas Badan

Esok Ahad 03 April 2011, geng Bakar Arang merancang untuk membuat kayuhan roadbikes ke Malau melalui Kuala Ketil (route 67) dan Lata Bukit Hijau (route K19). Akan melalui Labu Besar, Sungai Karangan dan Sidam untuk pulang ke Sungai Petani. Jaraknya keseluruhan adalah lebih kurang 100 km.
Setahu aku ada dua tempat bernama Malau di Kedah. Satu terletak di Jitra dan satu lagi di Daerah Baling. Malau di Jitra terletak tidak jauh dari lebuhraya PLUS dan kita boleh sampai kesana dengan mengambil simpang pertama selepas tol Bandar Darulaman. Ia hanyalah sebuah kampung kecil berasaskan pertanian.
Manakala Malau di Baling adalah sebuah pekan kecil yang mempunyai tidak lebih dari 30 unit kedai. Ia menjadi pekan untuk kawasan ladang kelapa sawit disekelilingnya. Lata Bukit Hijau terletak hanya beberapa kilometer dari Pekan Malau. Kawasan rekreasi ini menjaddi tumpuan pengunjung terutama pada hujung minggu dan cuti am. Dari sini ada jalan untuk ke Kulim atau Mahang diselatan.
Pak Malau - yang ini aku tidak tahu dimana. Cuma ingat sedikit sahaja cerita filem hitam putih yang sering ditayangkan di TV. Kalau tidak salah ingatan filem bertajuk 'Sri Mersing' lakonan Nordin Ahmad. Dialog yang mashyur dari filem tersebut adalah :
.... Kajang Pak Malau Kajang Berlipat
     Kajang Saya Menumpang Lalu
     Dagang Pak Malau Dagang Bertempat
     Dagang Saya Musafir Lalu .........
Kayuhan akan bermula pada jam 07.00 pagi dari stesyen minyak Petronas di Kampung Raja Sungai Petani. Kebanyakkan peserta adalah geng yang berkayuh ke Selama pada bulan Februari yang lalu. Kayuhan sengaja dipendekkan kerana musim hujan.
Kelmarin, semasa memeriksa roadbikes sebagai persediaan kayuhan ke Malau nanti, aku dapati tayar depan kurang memuaskan dan terdapat rekahan di beberapa tempat. Walaupun ia masih elok dan selamat digunakan, aku berasa tidak selesa, mana lah tahu kalau ia akan 'puncture' semasa membuat kayuhan jauh. Aku mengambil keputusan untuk mengantinya. Aku bercadang untuk membuat kayuhan pemanas badan sebagai persediaan untuk esok sebelum menukar tayar depan roadbikes aku. Lagi pun kedai basikal Soon Lee di Taman Intan dibuka pada jam 9.30 pagi.
Pada kayuhan pagi ini aku mengenakan pakaian biasa saja iaitu seluar trek dan baju T lengan panjang. Aku tidak mahu kelihatan terlalu 'pro' bila pergi ke kedai basikal nanti dan juga semasa singgah minum pagi digerai roti canai. Apa pulak kata kenalan dan rakan. Pada umur macam aku ni, agak kurang sopan berpakaian seluar dan baju yang ketat di tempat sendiri. 
Persoalannya. Setakat manakah kesan atau 'to what extent' pakaian mempengaruhi kayuhan? Kalau kayuhan dilakukan sebagai hobi atau senaman, rasanya tiada etika dan dress code berpakaian diperlukan. Selagi pakaian tersebut tidak mendatangkan bahaya kepada pemakai. Contohnya tersangkut pada crank, pedal, rantai atau mana bahagian yang bergerak semasa berkayuh.
Seluar panjang - ia dituntut bagi kita yang beragama Islam untuk menutup aurat. Jangan tolak seluar yang mempunyai padding kerana ia membantu kita sekiranya membuat kayuhan lasak dan jauh. Selalu juga kita lihat ada yang mengenakan seluar pendek sebagai lapisan luar untuk menyorokkan bonjol besar dibahagian depan.
Baju panjang - untuk melindungan kulit lengan dari menjadi hitam akibat terdedah pada cahaya matahari? Oh jangan lupa kasut yang sesuai, stocking serta sarung tangan dan helmet untuk keselamatan. Kasut clip, bukan untuk amature.
Pernah seorang rakan yang tidak berminat dalam aktiviti kayuhan bertanya, berapa kos pakaian yang dikenakan oleh seseorang riders. Bergantung. Mula dari atas. Helmet boleh mencecah ratusan ringgit. Spectacles (sunglasses) pula mencecah puluhan atau lebih. Baju hampir satu ratus. Begitu juga seluar. Glove atau sarong tangan juga puluhan ringgit. Kasut, paling koman dua atau tiga ratus. Stocking hanya berbelas ringgit. Optional, beg gantung belakang untuk air minuman, tools dan barangan kecil boleh mencecah lebih satu ratus. Seluar dalam ?? Jumlah semua hampir tujuh lapan ratus. Kira biasa lah. Mungkin ada atau banyak lagi assesori pakaian yang aku tinggalkan.
Setakat manakah pakaian menghalang dan membantutkan kelajuan kayuhan. Perlukan kita mengenakan pakaian seperti pelumba professional dalam tournement peringkat dunia. Berapa kuat rintangan angin semasa kayuhan jika baju atau seluar yang dipakai agak 'baggy'? Adakah ia akan memperlahan kelajuan basikal? Berapa kurangnya?
Lu fikir lah sendiri ......
Terpulanglah. Yang penting adalah niat kita. Jangan terikut ikut dengan fashion orang lain hinggakan kita berhabisan ratusan ringgit. Jangan menunjuk atau untuk dipuji. Kenakan pakaian yang kita rasa paling selesa, comfortable, seronok, puashati dan menyukai. Koleksi atau bilangan, ini untuk artis sahaja. Akhirnya mestikah kita menjadi pengiklan produk percuma.

Statistik
   Mula ............... 8.10 pagi
   Tamat ............. 9.25 pagi
   Jarak ............... 30 km
   Cuaca ............. mendung
   Laluan ............ Lencongan Barat - Semeling - Sungai Batu

Jumaat, 1 April 2011

Aku tidak setuju ......

Aku rasa membuat keputusan betul kerana tidak pergi berkayuh pagi ini. Walaupun aku sudah bersiap awal dan semalam membuat pemeriksaan dan senggaraan mudah pada roadbikes, tetapi aku batalkan rancangan untuk berkayuh. Sebaliknya aku pergi membuat pendakian bukit di Taman Semarak. Sebaik sahaja aku sampai dirumah langit menjadi gelap dan hujan mulai turun. Jika aku teruskan rancangan untuk membuat kayuhan, aku akan kena hujan sekali lagi seperti kayuhan pada hari Selasa 29 Mac  lepas.
Pada mulanya aku sangat tidak bersetuju dengan gambar kartun disebelah. Apa tidaknya, ia meletakkan berbasikal sebagai senaman ringan sahaja, sama taraf dengan melakukan kerja kerja menanam pokok bunga dan berjalan kaki. Yang paling aku tidak setuju berkayuh diletakkan di bawah bermain boling padang, main golf atau bermain bola lisut.
Semua cyclers tahu bahawa berbasikal terutama  menggunakan mtb atau roadbikes adalah lebih teruk dari berjalan atau bermain golf.
Mungkin bandingan dibuat berdasarkan jumlah kalori yang dibakar semasa senaman untuk tempuh masa tertentu. Kayuhan yang dimaksudkan adalah kayuhan santai disekitar taman permainan (park) atau disekitar taman perumahan untuk jarak kurang dari 10 kilometer dan mengambil masa kurang dari 30 minit.
Tetapi bila aku membuat pendakian dan berjogging bukit pagi tadi aku berubah fikiran. Aku dapati lebih banyak mengeluarkan peluh sehingga membasahi baju dan seluar berbanding dengan membuat kayuhan basikal. Degupan jantung lebih pantas terutama apabila membuat pendakian pada tempat yang menegak. Otot betis dan peha berasa kejang dan kadang kala tidak lagi mampu meneruskan perjalanan atau larian.
Sememangnya berjogging atau berenang patut dikatogorikan pada senaman 'vigorous' berbanding dengan berbasikal. Tetapi pergerakkan berbasikal melibatkan keseluruhan badan dan otot otot, terutama bahagian peha dan betis. Otot otot lengan dan siku juga memainkan peranan penting untuk kawalan basikal dan badan. Bahagian belakang pula banyak digerakkan dan menerima banyak hentakkan dan gegaran.
Ini tidak bermakna aku berhenti dari membuat kayuhan. Kayuhan ada keistimewaannya dan kelebihan tersendiri yang tidak ada pada senaman atau aktiviti lain. Aku sering mengatakan kepada rakan dan sahabat, yang penting kita melakukan aktiviti senaman sekurang-kurang tiga empat kali seminggu. Tidak kira lah apa jenis sukan.