Halaman

Jumaat, 26 Oktober 2012

Salam Aidil Adha

Salam AIDIL ADHA kepada semua pembaca sekelian. Semuga amalan korban yang dilakukan diterima Allah ....

Cuti dua hari dari kayuhan ....

         

Selasa, 23 Oktober 2012

Satun ........ bahagian 2

.... sambungan kayuhan ke Satun ............

Perayaan Khatu masih berterusan dan belum selesai apabila aku memasuki semula pekan Satun pada jam 1.00 petang. Kelihatan penganut yang mengambil bahagian memasuki kedai perniagaan untuk memberi restu kepada peniaga dengan dibayar sedikit sumbangan. Pemilik kedai meletakkan meja diluar kedai sebagai tanda mereka memerlukan khidmat.
Aku berhenti disebuah restoren Melayu bersebelahan Masjid Besar (Central Mosque) atau Masjid Mambang. Masjid ini agak baru dan moden, tetapi tidak ramai jemaah yang datang solat Zohor sebentar tadi. Aku melihat tiga masjid besar di pekan ini. Disepanjang perjalan tadi memang terlihat banyak masjid, ada kalanya jarak tidak sampai 1 km antara nya.
Bernasib baik kerana salah seorang pekerja restoren boleh berbahasa Melayu. Jika tidak mungkina akan kelaparan atau minta dengan tunjuk tunjuk. 
Aku memesan nasi goreng dan sup tulang. Sedap tetapi tersangat pedas dan masam. Nasi goreng memang cukup ramuan termasuk udang, ayam, lada, sayur dan hirisan timun. Timun dan kacang panjang cecah sambal percuma. Air ... aku minum air kosong yang disediakan. Semuanya 100 (neung roy) Baht. Beberapa jenis bubur juga disediakan tetapi semuanya tidak perkenan dengan selera aku.
Ketika aku menjamu selera, ada orang lelaki membelek basikal klasik yang aku letakkan diluar kedai tetapi tidak kepas dari pandangan. Ah...  habis lah aku, itu yang terlintas dikepala. Agaknya basikal jenis ini memang kurang atau tiada kelihatan disini. Dia adalah orang kedua membuat demikian. Sebentar tadi semasa aku menyaksikan perayaan di Pusat Keadilan, perkara sama berlaku. Siap tanya aku dalam bahasa Thai, jenuh aku cuba terangkan aku tidak boleh berbahasa Thai. "mai dai puut pa sa thai krap ...."
Berkayuh perlahan keliling pekan selepas makan dan secara tidak sengaja terjumpa 'Satun National Museum'. Sebaik aku meletakkan basikal aku diperhatikan oleh seseorang dari verenda bangunan. Tidak tahu samada dia pengawal bangunan tersebut atau kakitangan museum. Dia memakai pakaian preman sahaja.  Sebaik aku hendak melangkah menaiki tangga orang yang memerhatikan aku datang dan berkata sesuatu dalam bahasa Thai. Sepatah haram pun aku tidak faham. Aku cuma menganggok bila melihat pintu utama bangunan dimangga dan dibahagian bawah ada tertulis dalam bahasa antarabangsa, museum hanya dibuka dari hari Rabu hingga Ahad sahaja. Hari ini tutup.
Didalam peta yang terdapat di tourist information aku melihat Kuden Mansion dan tercari cari dimana. Rupanya ia adalah bangunan yang sama yang dijadikan Museum Satun. Bangunan ini asalnya ialah 'Istana Tengku Kudin' Sultan Kedah. Patutlah bentuk bangunan ini macam selalu tengok saja. Banyak bangunan serupa rekabentuk di Alor Setar.


Berehat agak lama dan aku meneruskan kayuhan Route 406 kearah Hat Yai. Dalam hati, aku ingatkan simpang untuk ke sempadan 22 km dari Pekan Satun. Bukan untuk pulang tetapi teringin untuk pergi ke Pak Bara tetapi tidak tahu dimana simpang dan berapakah jauhnya dari Satun.
Di pekan kecil Chalung (mengingatkan aku kepada pekan Changlun di Kedah kerana nama yang hampir sama) aku ternampak papan tanda simpang ke Pakbara. Malangnya tiada jarak dinyatakan. Aku memasuki laluan Route 416 ke La-ngu (laut ?) dan Tha-Phea tetapi berpatah balik setelah hampir 10 km. Langit semakin gelap dan aku risau kalau hujan akan turun. Tidak membawa pakaian selain yang dipakai di badan. Pak Bara adalah pusat peranginan ditepi laut Andaman terletak hampir 20 km lagi.
Singgah di Pekan Chalung untuk menghilangkan haus dan duduk di kerusi yang disediakan sambil memerhatikan aktiviti di pekan ini. Pekannya kecil tetapi agak lengkap. Apabila jam hampir 4.00 petang aku meneruskan kayuhan pulang. Aku sampai di sempadan sebelum jam 5.00 petang dan menukar pakaian untuk memandu pulang.
Rasanya aku akan datang membuat kayuhan lagi ke sini. Pagi tadi aku menghantar SMS kepada seorang rakan. Dia amat berhajat untuk berkayuh kesana dan perlukan teman. Mungkin dalam masa terdekat selepas hari raya korban.
Sampai di Sungai Petani 8.00 malam. Tekejut isteri aku kerana dia ingatkan aku akan bermalam di Satun.

Statistik :
    Mula ............... 9.20 pagi Wang Kelian
    Tamat ............. 5.00 petang
    Jarak ............... 113 km
    Cuaca .............. Redup/Hujan
    Laluan ............. Wang Kelian - Cha Lung - Satun - Tam Malang
   Odometer 2012 : 04022   

Isnin, 22 Oktober 2012

Satun ... (Setul Mambang Segera),Thailand

Rancangan kayuhan hari ini dibuat petang kelmarin. Walaupun sudah agak lama aku bercadang untuk melakukan kayuhan ke Satun tetapi tercari cari masa yang sesuai dan menunggu-nunggu jika ada kawan yang ingin ikut serta. Ramai yang aku tanya berminat untuk ikut serta tetapi tidak seorang pun memberikan kata putus. Jadi macam biasa le ... kayuh seorang saje.
Rancangan banyak kali tertangguh kerana aku tidak pasti keadaan jalan ke sana sehingga berjumpa dengan En. Shokri Hashim yang sering kesana samada dengan geng bikers atau dengan familinya. Menurutnya jalan amat baik sekali dan lansung tiada bukit. Aku bayangkan jalan dipenuhi dengan hutan tebal dikiri dan kana jalan. Betapa silapnya aku.
Bertolak dari Sungai Petani sebaik selesai solat subuh dan sampai ke Wang Kelian pada jam 8.30 pagi. Langit kelihatan diselubungi awan gelap. Semasa melalui Changlun dan Chuping hujan rintik rintik. Walau begitu aku teruskan perjalanan dan bercadang jika hujan turun, aku tetap akan ke Satun tetapi dengan kereta.
Seorang pegawai kastam di komplek pintu masuk CIQ menegur aku dan agak terkejut bila aku nyatakan aku hendak berkayuh ke Satun. Proses memasuki Thailand sangat senang dan mudah dan kedua dua pintu masuk Malaysia-Thailand berhampiran antara satu sama lain. Tidak seperti di lain lain tempat seperti Padang Besar, Bukit Kayu Hitam dan Betong. Aku isi sendiri embarkation card. Kalau di Bukit Kayu Hitam atau di Betong ada meja untuk mengisi borang dan dikenakan bayaran RM2.00.
Sebaik memasuki Thailand, papan tanda menunjukkan Satun 40km. Aku melepasi kedua-dua imigresen pada jam 9.20 pagi dan  menjangkakan akan sampai ke Pekan Satun sebelum jam 11.00 pagi. Jalan sedikit berbukit sejauh hampir 2 km. Setelah melepasi banjaran gunung menjadi sempadan Malaysia Thailand iaitu Sankalakhiri, aku terpegun dengan keadaan jalan Route 4183. Luas, licin (smooth), teguh, bersih dan tiada sebiji lubang atau rekahan dipermukaan jalan. Kalau boleh aku buat pesamaan macam pipi bayi ... sori ... macam pipi anak dara sunti. Memang teruja berkayuh disini. Boleh mencapai kelajuan lebih dari kelajuan maksima pada kayuhan di jalan jalan raya di Malaysia.
Malam tadi sebelum tidur aku membayangkan jalan yang sempit dengan kereta yang banyak dan dipandu laju, apa akan terjadi jika aku terlibat dalam kemalangan jalan raya. Sebaliknya dengan jalan yang begitu sempurna, luas dan pemandu amat berhemah. Apabila memotong mereka memberikan ruang yang begitu luas antara basikal dengan kenderaan mereka. Motorsikal pun begitu juga.
Lagi kejutan apabila aku memasuki laluan Route 406 dari Hat Yai ke Satun. Laluan ini boleh dikira sebagai 'highway'. Ruang untuk motorsikal dan basikal begitu luas aku lansung tidak bimbang dengan kenderaan yang dipandu laju dari belakang. Permukaan begitu baik sekali. Tidak keterlaluan jika dikatan amat jauh lebih baik dari apa yang disediakan oleh PLUS. Satu lagi keistimewaan tiada tol yang dikenakan. Basikal pula dibenarkan melalui lebuh raya ini.
Berhenti disuatu tempat selepas pekan Chalung untuk melihat pertanding suara burung. Dipenuhi oleh orang orang yang mempunyai perwatakan dan rupa seperti orang kita. Walau tidak banyak burung burung yang dipertandingkan tetapi nampak agak meriah dengan khemah yang didirikan dan ramai penonton yang datang. Sekali lagi kagum melihat reka bentuk sangkar burung yang digantung menempatkan burung kesayangan pemiliknya.
Aku memasuki Pekan Satun 15 minit sebelum jam 11.00 pagi. Bermakna aku mengambil masa selama 1 jam 30 minit untuk berkayuh sejauh 40 km. Aku disambut dengan tarian dan mercun. Semua kenderaan dari kedua dua hala berhenti atau diperlahankan untuk memberi laluan basikal aku. Melawak saja ... sebenarnya aku bernasib baik kerana kaum Budha, lebih lebih lagi kaum cina menyambut hari terakhir perayaan Dewi Sungai (kalau tidak silap) atau Khatu yang dimulakan dua minggu lalu. Sepanjang tempoh tersebut penganutnya mengamalkan tidak memakan sebarang daging termasuk ikan. Mereka hanya memakan sayuran (vegeterian) untuk memperolehi kesihatan yang baik dan ketenangan hati.
Memang sudah lama tidak melihat perayaan seperti itu. Terdapat perarakan di seluruh Pekan. Pelbagai jenis ragam yang dapat disaksikan termasuk perarakan kereta berhias membawa wanita berpakaian seperti dewi yang diraikan, tarian naga, singa, yang membayar niat dengan mencucuk pipi menggunakan besi dan sebagainya. Aku berada di dewan tempat perakan berkumpul dan tersenyum sendirian bila melihat nama bangunan tersebut iaitu 'Pusat Keadilan', macam selalu dengar sahaja. Semua penganut yang mengambil bahagian berpakaian putih tanpa berkasut.


Setelah puas melihat perayaan tersebut aku berkayuh perlahan lahan sekiling pekan. Banyak bangunan di pekan ini terdiri dari bangunan lama dan kebanyakkan kedai dipunyai oleh orang cina. Beberapa kedai yang dipunyai oleh orang melayu yang kebanyakkan menjual pakaian dan kedai makan. Hanya terdapat sebuah pasaraya dipekan ini iaitu 'Big C' yang terletak di laluan utama. Terdapat sebuah hotel lima tingkat dan lagi satu yang masih dalam pembinaan tidak jauh dari pasar besar. Pasar basah boleh dijumpai dengan mengikut deria bau. Dari jarak 100 meter sudah mencium bau ikan dan sampah sarap.
Aku meneruskan kayuhan kearah pantai untuk melihat jeti yang membolehkan kita mengambil jalan laut ke Kuala Perlis atau Langkawi. Terminal feri terletak di kawasan hutan bakau yang dinamakan Tam Malang. Tiada hadiah untuk meneka asal usul nama tersebut. Jaraknya hampir 7 km dari pekan Satun. Sekumpulan Mat Saleh sedang menunggu kenderaan untuk membawa mereka ke Bangkok melalui penerbangan dari Hat Yai. Terdengar perbualan, mereka akan menghadiri pesta pantai 'full moon' di Pataya. Feri ke Langkawi akan berlepas pada jam 12.30 tengah hari tetapi tiada orang naik bot lagi (jam aku menunjukkan 12.30 tengah hari tetapi feri masih ada di jeti .... terlupa waktu disini lewat satu jam)


Berpatah balik ke Satun untuk makan tengah hari.

sila lihat Bahagian 2 ..........

Statistik :
    Mula ............... 9.20 pagi dari Wang Kelian
    Tamat ............. 5.00 pagi
    Jarak ............... 113 km
    Cuaca .............. Redup/Hujan
    Laluan ............. Wang Kelian - Cha Lung - Satun - Tam Malang
   Odometer 2012 : 04022   
      

Sabtu, 20 Oktober 2012

Elakkan kayuhan hari Sabtu

Hari sabtu adalah cuti hujung minggu yang umum di Sungai Petani. Bagi kakitangan awam cuti hujung minggu bermula pada hari jumaat dan bekerja semual pada hari ahad. Manakala kakitangan swasta dan pula mula bercuti pada hari sabtu dan bekerja semula pada hari isnin. Bermaksud pada hari jumaat setengah penduduk Sungai Petani bercuti hujung minggu dan setengah akan bekerja pada hari ahad. Bermakna hari sabtu semua iaitu kakitangan awam dan swasta akan bercuti serentak. Kini ramai mereka yang bekerja di Pualau Pinang menetap di Sungai Petani membuatkan majoriti mereka yang bercuti minggu pada sabtu dan shad bertambah ramai.
Bagi pengayuh sendirian seperti aku, hari yang paling ramai cyclist di jalan sekitar bandar Sungai Petani adalah hari sabtu. Bagai yang sering aku nyatakan aku bukannya anti-social atau loner bila berkayuh. Memang tidak selesa berkayuh berkumpulan atau berkelab, jauh sekali untuk berlumba. Apatah lagi berasak-asak merebut laluan pada kayuhan jamboree atau fun ride. Pada umur ini, kemenangan atau hadiah tiada membawa apa makna. Yang penting menjaga kesihatan dan merasa seronok bila berkayuh.
Sebaik memasuki lencongan barat, ...aku tidak mengikut peraturan betul sebaliknya melintasi atau menyeberangi laluan jalan dua lorong, sepatutnya aku melintasi pada persimpangan lampu isyarat di Taman Nilam .... aku ternampak seorang rider dibelakang. Aku terus berkayuh tanpa menunggu rider yang besar kemungkinan yang tidak aku kenali. 
Dia berada bersebelahan dengan aku sebaik pendakian jambatan sungai Sungai Petani (dua kali sungai) dan bila aku menoleh kearahnya, ada beberapa kali aku berjumpa. Dia tinggal di taman berhampiran dengan Tol Sungai Petani Selatan. Soalan cepumas .... "kayuh kemana?" Aku menjawap hanya sekitar kawasan ini sahaja walaupun aku telah merancang untuk pergi lebih jauh dari apa yang katakan. Dia pula berkayuh ke Tanjung Dawai.
Berbual tentang topik umum sehingga persimpangan ke Semeling. Mencungap juga aku mengikut kelajuannya. Pada mulanya aku tidak perasaan bahawa beberapa kali menjeling ke arah roadbike aku, dan pula aku tidak terfikir apa apa. Semuanya jelas bila melepasi jambatan Sungai Merbok atau titi Semeling bila dia terus berkayuh meninggalkan aku dibelakang tanpa sebarang ucapan.
Bila difikirkan, baru perasan .... dia tidak mempelawa aku berkayuh bersama ke Tanjung Dawai. Bukan aku hendak pergi sangat kerana aku merancang untuk ke Jeniang. Dia juga tidak mengucapkan apa apa ketika berpecah seperti yang sering rider lain lakukan. Ucapan yang sering disebut adalah "saya pergi dahulu atau jumpa lagi" atau kalau sesama Islam diiringi dengan ucapan assalamualaikum.
Memang dia tidak mahu berkayuh dengan aku kerana basikal aku hanya roadbike klasik yang sudah tidak berharga berbanding dengan roadbikes yang ditunggangnya yang pada anggaran aku berharga tidak kurang tujuh atau lapan ribu. Pakaian aku pun biasa sahaja, tiada kasut 'clip' seperti yang dipakainya. Mungkin dia berfikir kalau aku ikut dia akan melambatkan kayuhannya. Apa orang politik sekarang kata... 'jadi liabiliti pula'. Lagi pun mungkin orang berumur seperti aku tidak akan dapat menyainginya.
Aku pun tidak mahu berkayuh dengan orang seperti itu. Untuk mengelakkan bertemu dengan orang orang ini, mungkin aku elakkan kayuhan pada hari sabtu pada masa masa akan datang .............
Memeruskan kayuhan ke Jeniang dengan menyimpan perasaan. Aku sudah lupa berapa lama masa yang diambil untuk sampai tetapi aku ada cara lain. Aku akan berkayuh dan akan berpatah semula setelah dua jam berkayuh. Dengan cara ini aku akan sampai kerumah lebih kurang tengah hari untuk mengelakkan panas terik matahari.
Mujur aku sampai 20 minit sebelum masa yang aku tetapkan. Sempat singgah untuk sarapan sebelum meneruskan perjalanan pulang. 

Statistik :
   Mula ............... 07.50pagi
   Tamat ............. 12.10 pagi
   Jarak ............... 92 km
   Cuaca .............. Redup
   Laluan ............. Bedong - Gurun - Jeniang
   Odometer 2012 : 03909   
         

Khamis, 18 Oktober 2012

Bukit Semarak - diliputi awan !

Tidak mahu berbasikal pagi ini. Kayuhan kelmarin hampir 80 km membuktikan kaki ini boleh bertahan lagi tanpa sebarang masalah. Aku sangat yakin dan percaya kekuatan kaki kerana aku membuat pendakian Bukit Semarak hari sebelumnya.
Namun aku masih belum yakin aku cukup kuat untuk membuat panjatan menegak melalui bawah talian TNB. Berika sedikit masa lagi mungkin satu atau dua panjatan lagi aku akan berani melakukan.
Sebaik bukit kelihatan dari kereta, aku melihat setengah bahagian atas bukit diliputi awan dan kabus tebal. Jarang ini berlaku. Mungkin ini disebabkan hujan pada awal  pagi tadi. Aku menyesal tidak membawa kamera kompact bersama. Rasa ingin berpatah balik untuk mengambil tetapi kemudian aku teringat handphone. Walaupun gambar tidak begitu elok tapi boleh digunakan dalam kes sebegini. Memang aku jarang sekali menggunakan kamera pada handphone untuk mengambil gambar. Kes membayar pada peralatan yang tidak atau jarang digunakan.
Aku membayangkan bagaimana keadaan semasa laluan kawasan yang diselubungi awan tersebut nanti. Semasa aku membuat pendakian aku berselisih dengan pemanjat kira kira 100 meter dari tempat mula. Rasanya tiada lagi orang diatas sana. Semakin tinggi aku diatas bukit, awan yang menyelubungi bukit semakin menipis dan berkurangan. Apabila sampai dipertengahan bukit tiada lagi kesan awan dan kabus ....
    

Rabu, 17 Oktober 2012

Terpegun melihat KUIN ...

Pada mulanya aku hanya ingin berkayuh pendek sahaja pagi ini, mungkin mengikuti lencongan timur dan kemudian melalui lencongan barat untuk pulang ke rumah. Aku kemudian merubah fikiran untuk ke Sidam Kiri melalui Jalan Kuala Ketil dan ingin memasuki ke kampung Olak Madu untuk meninjau suasana di kampung tersebut. Bulan hadapan ada rancangan untuk berbasikal ke sana membuat kerja kerja amal berkaitan dengan kesihatan. Beberapa ahli panel penasihat klinik kesihatan Bakar Arang telah bersetuju untuk membuat kayuhan. Tarikh dan masa akan ditetapkan selepas raya haji nanti.
Setelah hampir dengan persimpangan ke Sidam Kiri aku sekali lagi menukar fikiran dan terus ke Kuala Ketil. Aku ingin menebus kesilapan minggu kepas yang mana membelok ke Bukit Selambau. Kali ini aku terus menghala ke Kulim melalui Padang Serai. Sebahagian jalan telah diturap tetapi kebanyakkan yang lain masih agak teruk dirosakkan lori pasir melebihi muatan.
Setelah melepasi kawasan perindustrian Kuala Ketil aku terpaksa memperlahankan kayuhan basikal sehingga terpaksa memberhentikan basikal. Aku terpeseno dengan bangunan bangunan yang masih lagi dalam pembinaan tetapi sudah mula menampakkan apa yang akan terhasil apabila siap sedikit masa lagi.
Apabila siap ia akan memjadi satu mercu tanda disebelah selatan negeri Kedah ini. Ini adalah pusat pengajian tinggi yang ke tiga disebelah selatan disamping UiTM di Merbok dan AIMST di Semeling. KUIN atau Kolej Universiti Insaniah yang pada kini masih beroperasi dari tempat asal di Alor Setar akan menjadi kebanggaan Negeri Kedah.


Kebelakangan ini masih terbaca di dalam akhbar yang sedikit sebanyak membuat orang tertanya tanya tentang IPT milik kerjaan negeri ini. Isu beberapa pelajar mengadakan demonstrasi kerana tindakan disiplin yang diambil oleh pihak IPT. Juga isu tentang kolej universiti ini akan di swastakan atau diambil alih yang dibangkitkan oleh bekas menteri besar.
Walau apa pun aku terpesona dengan landscaping yang disediakan. Terdapat kawasan tasek disebelah hadapan dan beberapa pokok kelapa sawit yang menjadi dinding kepada lalulintas. Kawasan hijau yang agak luas di hadapan kampus dan bangunan utama. Bangunan mempunyai ciri ciri banguanan Islam. Semua ini akan memberikan suasana yang sesuai untuk pembelajaran penuntut. Pernah seorang rakan kayuhan berbangsa cina memberi komen bahawa tempat ini mempunyai 'fung shi' yang baik.
Sama sama kita tunggu apabila keseluruhan komplek ini siap kelak.
Aku rasakan kayuhan pagi tidak begitu memenatkan walaupun jalan Kuala Ketil Padang Serai berombak ombak. Dapat melaluinya tanpa sebarang masalah. Mungkin otot kedua belah kaki sudah menjadi kuat setelah membuat dua kali berjogging di Bukit Taman Semarak. Aku berharap dapat sampai ke Pinang Tunggal untuk sarapan dengan 'roti canai bom' sebelum kedai tutup.
Agak malang nasib bila melihat dari jauh tuan punya gerai kedai sedang mengemaskan pekakasan masak roti. Bila aku tanya, banyak kedai tutup pagi ini menyebabkan roti canainya habis cepat. Ah ... sarapan roti ban sahaja.

Statistik :
   Mula ............... 07.45pagi
   Tamat ............. 11.10 pagi
   Jarak ............... 76 km
   Cuaca .............. Redup
   Laluan ............. Kuala Ketil - Padang Serai - Pinang Tunggal
   Odometer 2012 : 03817    
          

Selasa, 16 Oktober 2012

Bukit Semarak

Kayuh atau tidak kayuh ..... Kayuh atau tidak kayuh .... cuaca nampak muram saje hari ini. Walau hati berkata hujan tidak akan turun tetapi aku tidak mahu mengambil risiko. Tetapi aku sudah empat lima hari tidak membuat aktiviti senaman ... badan pun rasa semacam.
Akhirnya aku mengambil keputusan untuk berjogging di Bukit Semarak. Dapat menguatkan otot kaki dan peha.



Sabtu, 13 Oktober 2012

Wang Klian ..

Mengikuti rombongan orang orang kampung Seberang Tok Soh, Pinang Tunggal membuat lawatan ke Wang Kelian dan Gua Kelam, Perlis. Kiranya aku menjadi ketua rombongan lah ..
Semasa bas berhenti distesyen minyak di jalan Alor Setar - Kangar kelihatan sepasang suami isteri berhenti mengisi angin tayar mtb mereka. Basikal mereka nampak OK juga. Maksud aku agak mahal. Nampak seronok mereka berkayuh tetapi hanya memakai pakaian sukan biasa tanpa helmet. Mengikut pengayuh basikal perempuan, mereka berkayuh mengikut jalan dalam iaitu jalanan bendang sebab itu tidak memakai pakaian basikal.
Banyak juga kedai yang menjual basikal di Arked Pekan Sehari Wang Kelian, hanya basikal biasa, basikal secondhand dari Jepun, basikal untuk kanak kanak dan beberapa mountain bikes lower end. Firasat aku ialah basikal ini untuk pelanggan dari negara jiran kerana harganya lebih kurang harga di Malaysia sahaja. Aku berminat mencari beberapa spare part tetapi hampa. Kebanyakkan kedai basikal menjual complete bikes sahaja.


Jumaat, 12 Oktober 2012

Lupa tentang Bukit Semarak

Cuaca pagi ini agak tidak meyakinkan untuk membuat kayuhan. Entah macam mana terfikir untuk berjogging memanjat Bukit Semarak. Hampir lupa tentangnya. 
Kali terakhir aku kesini adalah seminggu selepas hari raya puasa yang lalu dan tiga empat bulan sebelum itu. Elok juga aku mengambil keputusan untuk kembali melakukan aktiviti alternatif kepada kayuhan.
Memang agak payah untuk memulakan semula aktiviti yang telah lama ditinggalkan. Betis terasa lengguh pada panjatan 200 meter pertama. bagai tidak larat untuk meneruskan. Semangat mengatasi. Berjaya meneruskan pendakian tanpa berhenti walau setapak pun. Peluh mula membasahi kepala muka dan badan hingga lembab baju. Terasa pedih mata apabila peluh melilih mamasuki mata. Rasa masin bila ada peluh memasuki mulut.
Berselisih dengan beberapa kenalan lama yang sering berjogging di bukit ini. Bertanya khabar dengan mereka dan soalan biasa ditanya.
Aku kagumn dengan beberapa remaja yang turut melakukan aktiviti sihat ini. Mereka begitu bersopan dan menghulurkan tangan untuk berjabat. Memang diajar disekolah bagi mereka menghormati orang tua. Mereka turut mencium tangan. Ooi .. peluh la, rasa masin tak.



Rabu, 10 Oktober 2012

Lori pasir ....

Silap percaturan semasa kayuhan pagi ini. Dari awal aku merancang untuk ke Kuala Ketil dan kemudian balik ke Pinang Tunggal melalui Merbau Pulas dan Padang Serai. Tetapi entah kenapa aku  menukar haluan ke Bukit Selambau apabila sampai di persimpangan Kuala Ketil. Memang sudah agak lama tidak melalui laluan ini. Masih awal untuk singgah sarapan pagi, mungkin aku akan singgah di Bukit Selambau atau kalau masih boleh bertahan akan singgah di Sungai Lalang.
Sebaik memasuki laluan Kuala Ketil - Jeniang, dibelakang aku terdapat deretan lori pasir. Tiada masalah kerana jalan ini agak luas. Walau kadang kala perasaan aku terbakar juga kerana lori ini memotong terlalu hampir dan kerap kali tanpa memperlahankan lori. Aku sedar aku telah silap jalan tetapi tidak mahu berpatah balik untuk rancangan asal.
Setiap dua tiga minit ada sahaja lori yang memotong.  Sekarang jalan semakin mengecil sehinggalah pekan Bukit Selambau. Memang sakit jiwa dibuatnya. Aku berkayuh disebelah tepi yang boleh. Ah ... sabar je lah.
Lega rasa hati bila nampak simpang ke Sungai Lalang dua km selepas pekan Bukit Selambau. Aku mengharapkan lari pasir akan berkurangan kerana kawasan pengorekkan pasir di sepanjang Sungai Muda menghala ke Pekan Jeniang. Betapa silapnya aku. Lori dari arah Kuala Ketil dan dari arah Jeniang memasuki dan menggunakan jalan ini untuk ke Sungai  Petani. Bunyi enjin yang kuat dari lori ketika membuat pendakian bukit kawasan perindusterian berat Bukit Selambau membuatkan hilang keseronokkan berkayuh.
Aku mencari tempat berhenti untuk menenangkan fikiran dan singgah di sebuah gerai makan berhadapan dengan Kilang Asia Wood. Dahulu pada tahun 90 an kilang ini beroperasi di kawasan perindustrian Sungai Petani dan telah dipindahkan ke sini ke rana pencemaran. Masih ada juga kilang kilang kecil yang enggan berpindah hingga kini.
Tiada pelanggan digerai tersebut hanya tuan gerai bersama isterinya. Nampak teruja dan seronok si isteri apabila ada orang singgah digerainya. Terus bertanya dari mana, kemana, seorang sahaja ke (macam selalu dengar frasa ni ....), jauh, panas, peluh, kuat .... dan entah apa lagi. Jenuh juga menjawap sebelum akhirnya aku ditanya minum dan makan apa.  
Apabila minuman aku dihantar, suaminya duduk dihadapan aku untuk makan nasi. Dia berkata jalan sebelum Taman Seri Bayu Sungai Lalang rosak teruk sepanjang hampir 5 kilometer. Memang tidak boleh dilalui oleh basikal seperti aku kerana batu batu batu. Kalau aku ingin juga melalui jalan tersebut kena 'tanggung basikal' disepanjang jalan yang rosak. Dia menyatakan lori lori pasir yang tidak berhenti melalui jalan ini yang menyebabkan kerosakkan. Lori tersebut membawa muatan berlebihan. Mengikutnya lagi pihak berkuasa JPJ tidak dapat berbuat apa apa kerana tonto dan masalah lain.
Aku menjadi serba salah. Ada dua pilihan. Pertama teruskan dan mungkin aku terpaksa menolak atau mengangkat basikal pada kawasan jalan rosak tersebut. Kedua berpatah balik mengikut jalan yang aku datang tadi. Ketika melayani fikiran, si isteri mengesyorkan aku membelok ke laluan Petani Para. Ah ... ada dua tiga kali melalui jalan ini dan terus ke Taman Kelisa. Aku berterima kasih dan meneruskan perjalanan. Simpang jalan ini tidak sampai dua kilometer dari gerai yang aku singgahi. Jalan ini sunyi dan hampir 10 km kurang dari 10 biji kenderaan melaluinya.

Statistik :
   Mula ............... 07.35pagi
   Tamat ............. 11.10 pagi
   Jarak ............... 75 km
   Cuaca .............. Redup
   Laluan ............. Kuala Ketil - Bukit Selambau - Taman Kelisa
   Odometer 2012 : 03741    
          

Ahad, 7 Oktober 2012

Ladang Kelulut Madu

Rasa bosan pulak dok dirumah pagi Ahad. Selalunya aku akan melakukan aktiviti kayuhan. Awal pagi tadi selepas subuh aku terkejut kerana ada orang memberi salam diluar. Tidak pernah menerima pengunjung seawal ini dimasa lalu. Mesti ada hal mustahak. Aku keluar mendapatkan dan sepasang suami isteri meminta untuk berjumpa dengan anak no.3 aku. 
Pada awalnya aku ingatkan orang tersebut ingin meminta bantuan kerana masalah kerosakkan kereta atau motor tetapi mendengar perbualan mereka dari dalam rumah, mereka bertanyakan tentang anak lelaki mereka yang berkawan rapat dengan anak aku. Anaknya tidak pulang kerumah hingga pagi ini  sejak keluar selepas senja semalam. Beg pakaian juga tiada didalam bilik.
Dalam hatiku berfikir apa yang hendak dirisaukan, anak lelaki dan sudah bekerja pula. Mungkin ia telah pulang ke tempat kerja di RMAF Kepala Batas Alor Setar. Kemudian baru keluar cerita sebenar apabila mendengar keresahan ibu bapanya. Anak tersebut bercinta dengan seorang janda beranak dua yang berumur 10 tahun lebih tua. Janda tersebut bekerja di pusat snooker dan mereka sedang merancang untuk bernikrah. Kes keluarga tidak merestui hubungan tersebut, mesti ada sebab dan alasannya.
Aku membawa keluar mtb dengan rancangan untuk berkayuh di rekreasi Tupah dan muzium merbok. Hujan lebat awal pagi menyebabkan jalan menuju ke kawasan rekreasi Tupah di penuhi dengan slut tanah merah. Baru setengah jalan aku mengambil keputusan untuk berpatah balik. Bahagian belakang baju mula terasa basah dan bila aku raba terasa bahagian tersebut dipenuhi lumpur percikan dari tayar basikal. Kebelakangan  ini banyak kawasan dikiri kanan jalan ke kawasan rekreasi ini dibersihkan untuk tujuan perladangan. Bila hujan turun hakisan akan membawa tanah lumpur memenuhi jalan.
Sebelum memasuki jalan ke muzium arkeologi aku menerima panggilan telefon dari seorang kawan di Pinang Tunggal. Sebelum memulakan kayuhan tadi dia menghantar SMS menyatakan seorang kenalan meninggal dunia hari ini. Dia menelifon untuk membetulkan SMS yang dihantar kerana tersilap. Orang yang dinyatakan dalam SMS masih hidup sihat walafiat tetapi orang dimaksudkan mempunyai nama yang sama.
Aku meneruskan kayuhan dan ingin sampai cepat kerana cuaca kelihatan tidak begitu baik. Takut hujan akan turun diatas bukit nanti. Sebelum sampai di muzium aku melihat papan tanda ternakan kelulut madu dan bercadang untuk singgah dalam perjalanan turun sebentar nanti.
Aku memerhatikan keliling ladang tetapi tidak kelihatan tuan punya atau pekerja ladang. Tidak mahu menceroboh pula jadi aku memerhatikan dari luar sahaja dan mengambil beberapa keping gambar.
Selama aku sering berkayuh ke muzium ini aku melihat kotak kotak didalam kebun di jalan ke muzium ini. Selama ini aku ingatkan ladang ternakan lebah madu seperti yang banyak dilihat di Cameron Highland. Ini kali pertama aku melihat ladang ini lebih terkejut lagi kerana ia bukan ladanag ternakan lebah tetapi kelulut. Tidak pula aku tahu kelulut juga mempunyai madu dan boleh diternak.
Teringin betul untuk mendapatkan keterangan lanjut dari pemilik. Sebentar tadi aku membuat semakan dalam internet untuk mendapat maklumat lanjut.
Semasa dikampung dahulu aku sering melihat kelulut ini membuat sarang di lubang lubang papan dan tiang rumah, juga pada pokok pokok yang terdapat disekeliling rumah. Pokok yang terdapat banyak kelulut adalah pokok rambutan. Aku sering bermain main dengan kelulut dan lilin sarang nya. Kelulut tidak menyengat cuma ia akan hinggap dibadan atau dirambut.
Tidak menyangka pula kelulut adalah keluarga labah yang sangat di takuti kerana sengatan yang bisa. Kelulut atau trigona jauh lebih kecil dari labah. Seperti madu labah, madu kelulut mempunyai khasiat tersendiri. Kelulut juga membuat sarang di dalam tanah.
Oh ... ada kampung sebelah dari kampung aku di Negeri Sembilan bernama Kampung Bukit Kelulut. Mungkin bukit disana banyak kelulut tetapi tidak ada pulak ladang ternakan kelulut madu.

Statistik :
   Mula ............... 08.20pagi
   Tamat ............. 10.50 pagi 
   Jarak ............... 45 km
   Cuaca .............. Redup
   Laluan ............. Lencongan Barat - lencongan Timur
   Odometer 2012 : 03666    
      

Sabtu, 6 Oktober 2012

... rosaklah ana punya program .....

Awal pagi sebelum subuh hujan turun dengan lebat. Aku terjaga/tersebar kerana bunyi deruan hujan yang nyaring dan lantang.  Banyak kali juga jadi begitu sejak dua tiga minggu kebelakangan ini. Dalam antara sedar kerana mata masih pejam, aku berkata .... "rosaklah ana punya program ..... '. Aku terus tertidur dan terjaga semula apabila terdengar azan subuh.
Pada mulanya berat juga untuk keluar berkayuh pagi ini. Walau hujan telah lama berhenti dan matahari mula keluar, tetapi langit diatas masih diselubungi awan hitam. Kemungkinan hujan akan turun semula. Itu bisikan hati malas ..... walau aku tahu awan tersebut akan berlalu menjelang tengah hari.
Bukan takut kena hujan atau basah tetapi percikan air yang akan mengotorkan pakaian dan basikal. Lagi sifat malas nak susah sedikit.
Rancangan kayuhan pagi ini ialah ke Alor Setar lebih kurang 120 km pergi balik. Sudah lama tidak mengikuti laluan ini walau pada minggu lepas aku berkayuh hingga ke pekan Guar Cempedak dan membelok ke Yan. Oleh kerana cuaca kurang elok aku akan membuat kayuhan pendek sahaja.
Tidak dijangka sama sekali, sebaik melepasi Kampung Teluk menuju ke rintik rintik hujan mulai turun. Tiada tempat hendak berteduh sipanjang jalan lencongan ini. Aku pederaskan kayuhan dan berasa lega kerana rintik rintik hujan mulai berkurangan dan berhenti sama sekali 5 minit kemudian.

Statistik :
Mula ............... 08.20pagi
Tamat ............. 09.50 pagi 
Jarak ............... 35 km
Cuaca .............. Mendong
Laluan ............. Lencongan Barat - lencongan Timur
Odometer 2012 : 03621    
      

Khamis, 4 Oktober 2012

BORR

Pagi ini berkayuh menghala ke selatan melalui route N1 ke Butterworth. Niat hati untuk terus ke Jalan Lingkaran Luar Butterworth (Outer Ring Road) dan terus ke Jambatan Pulau Pinang. Nampak cuaca kurang baik kerana banyak awan hitam di langit tetapi aku menjangkakan hujan tidak akan turun. Diharapkan langit akan cerah seketika nanti.
Sempat memberi salam kepada Pak Syeikh yang meniaga akhbar di tepi jalan Taman Sri Pinang di hujung gerai jualan lemang Pak Teh. Aku kenal dia sejak berkawan dengan beberapa orang yang terlibat dengan perusahaan lemang tersebut dan sering singgah untuk mengeratkan siratul rahim. Selepas raya puasa ini adalah pula orang meniaga nasi lemak bersebelahan dengan pondok jualan surat khabar Pak Syeikh. Elok juga la ... orang yang berhenti membeli surat khabar mungkin akan membeli nasi lemak. Jualan nasi lemak diusahakan oleh seorang sahabat juga iaitu En Rahman Mustafa.
Jalan lencongan untuk pembinaan meluaskan jambatan yang sempit sebelum sampai ke jambatan Merdeka telah hampir siap dan mungkin akan dibuka minggu hadapan. Ini adalah jambatan yang sempit terakhir di laluan ini. Aku risau juga apabila melalui jambatan ini. Apabila siap dibesarkan akan lebih selamat. Herannya mengapa tidak dibuat sekali semasa pembesaran jambatan Merdeka dahulu.
Pernah dahulu aku menulis tentang kenderaan yang sering mengikut jalan sebelah kiri melawan arus terutama motorsikal. Begitu susah bagi mereka untuk menyeberang jalan. Ia mengganggu kenderaan lain terutama basikal. Sebelum sampai ke jambatan merdeka tadi sebuah motor keluar dari sebelah kiri dan dengan laju menyeberang terlalu hampir dengan basikal aku. Aku menjerit .... buka untuk memarahinya tetapi kerana rasa agak terkejut dan membantah. Tahu apa jadi .... dia berhenti disebelah jalan dan memarahi aku semula. Tidak mahu uu aku ntuk memburukkan keadaan aku terus berlalu.
Lima tahun lalu adik bongsu aku tinggal di kuarters Pengkalan Tentera Udara Butterworth. Kami sekeluarga sering menziarahinya kadang kala setiap dua bulan. Walau ketika itu aku sudah mula berjinak dengan aktiviti berbasikal, tetapi tidak pernah sampai ke sini mengayuh basikal. Walau terlintas dikepala beberapa kali tetapi tidak pernah menjadi kenyataan. Kini rasa begitu dekat sekali, hanya mengambil masa satu jam dari Sungai Petani berbanding 30 minit dengan kereta.
Kini adik bangsu aku telah berpindah ke Subang. Kawasan perumahan atau kuarter pegawai tentera tersebut kini telah dirobohkan dan dibersihkan. Akan dibina dengan kuarters yang baru yang lebih canggih dan moden.
Aku memasuki Jalan Lingkaran Luar dan sebelum sampai TOL pertama hujan mulai turun. Ingatkan untuk menyeberangi jalan ke sebelah sana untuk berteduh dikawasan R&R bersebelahan stesyen minyak Shell. tetapi aku meneruskan kayuhan. Tiada pilihan dan tiada tempat berteduh. Aku sempat sampai di bawah jejantas persimpangan bangunan Penang Port sebelum baju basah.
Terdapat seorang tua sedang tidur nyenyak dibawah jambatan. Basikalnya di letakkan bersebelahan. Tidak pasti dia sedar ada orang lain disitu. Terlalu letih agaknya. Bukan gelandangan. Aku berehat lebih dari 15 minit dan apabila hujan berhenti aku meneruskan kayuhan pulang. Membatalkan rancangan awal untuk terus ke arah Jambatan Pulau Pinang. Manalah tahu takut hujan lagi.
 

Statistik :
Mula ............... 07.30pagi
Tamat ............. 11.00 pagi
Jarak ............... 72 km
Cuaca .............. Redup
Laluan ............. Tikam Batu - Kepala Batas - Butterworth
Odometer 2012 : 03578

Isnin, 1 Oktober 2012

Mati berbasikal ...........?

Diucapkan takziah kepada keluarga arwah .. dan alfatihah ...... sebentar tadi terbaca pada muka depan sebuah akhbar. Macam ada yang tidak kena dengan tajuk gambar.


Simpati kepada keluarga arwah. Kira orang kampung aku juga lah ...
Bagi kita cyclist semua semuga mendapat iktibar dari tragedi tersebut. Saudara kita pergi dalam usia muda ketika mengambil bahagian dalam 'Kejohanan Lumba Basikal Bukit Universiti Putra Malaysia (UPM) 2012' akibat serangan sakit jantung. Penganjur enggan  mengulas lanjut tentang kejadian tersebut.