Halaman

Jumaat, 30 April 2010

Jelajah Malaysia 2010


Hari ini Stage 4 Jelajah Malaysia 2010 dari Auto-city, Juru, Pulau Pinang ke Sungai Petani sejauh 93.1km melalui Kepala Batas, Bertam, Padang Serai, Merbau Pulas dan Kuala Ketil. Kayuhan tamat di Dataran Zero Sungai Petani bersebelahan Menara Jam.
Pada mulanya aku ingatkan pelumba akan menamatkan Stage 4 ini pada sebelah petang  seperti mana tahun 2009. Aku set alarm pada handphone aku pukul 3.30 petang, nasib baik Zaidi telefon aku pada jam 9.30 pagi. Aku bergegas ke Bandar Sungai Petani dan parking kereta agak jauh agar senang apabila selesai nanti. Aku pasti Bandar Sungai Petani akan menjadi sesak kerana jalan utama du hadapan dataran akan ditutup. Aku tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan event seperti ini.
Kawasan Dataran Sungai Petani memang bersesuaian dibina disini. Terletak dihadapan komplek pentadbiran Kuala Muda yang menempatkan Pejabat Daerah, Pejabat Tanah, Bangunan JKR serta lain lain agensi kerajaan. Dahulu Mahkamah juga didalam komplek ini tetapi telah dipindahkan ke Aman Jaya. Pejabat Majlis Perbandaran Sungai Petani pula terletak di komplek Sungai Petani Plaza bersama dengan Jabatan Hasil. Bangunan OCBC Bank yang dibina bercirikan Moorish Architecture menjadi pasangan kepada Menara Jam Sungai Petani. Disini terletaknya tarikan Bandar Sungai Petani. Mungkin penduduk tempatan tidak menyedari keindahan bandar ini, lagi mungkin tidak ramai yang tahu sejarah Menara Jam.
Kawasan dataran ini telah di transform untuk menjadi venue perlumbaan basikal ini. Banner dipasang pada tiang tiang lampu, stage didirikan menempatkan kerusi untuk tetamu dan stage untuk penyampaian hadiah didirikan bersebelahan khemah tetamu. Jalan ditutup mulai jam 0830 pagi, menjadikan kesulitan kepada pemandu yang terpaksa membuat de tour ke belakang bandar. Peniaga kedai disepanjang jalan dan peniaga gerai ditpak perniagaan bersebelahan komplek pentadbiran didapati tiada pelanggan untuk tempoh acara ini berlansung. Terpaksalah berkorban setahun sekali.
Sambil menunggu pelumba sampai aku duduk di gerai dihadapan Bank Simpanan Nasional. Teh yang aku order terasa macam air gula, tiada rasa teh dan susu langsung. Tekak rasa loya. Adakah peniaga mengambil kesempatan kehadiran ramai orang untuk meraih untung atau memang inilah standard minuman gerai tersebut. Aku terpaksa begegas di lori Milo yang menyediakan minuman percuma untuk menghilangkan rasa loya.
Ada beberapa pertunjukkan diadakan seperti demostrasi Tea Kwan Do dan Karate untuk orang reamai, tetapi tidak begitu mendapat sambutan. Sekali sekala EmCee mengemaskini maklumat di mana pelumba berada ketika itu dan ETA (estimated time of arrival). Aku juga mendapat maklumat dengan mencuri dengar walkie-talkie anggota polis.Kelihatan beberapa pelumba berkeliran lengkap berpakaian sukan dan berehat disekitar kawasan penamat. Mungkin mereka tidak mengambil bahagian atau mengalami masalah dan berpecah dan sampai ke Sungai Petani dahulu.
Pelumba mulai sampai pada jam 11.06 pagi. Kerana aku mengambil gambar aku tidak sempat menyaksikan mereka melintasi garis penamat. Juga kerana kelajuan yang amat pantas tidak sempat melihat dengan jelas para pelumba tersebut. Dalam masa tidak sampai 3 minit semua pelumba sampai. Aku difahamkan hanya 81 orang pelumba mengambil bahagian dan beberapa pelumba lain tidak turut serta.
Pasukan bomba terus memancutkan air kepada pelumba untuk menghilangkan panas badan. Pelumba yang mendahului dan beberapa pelumba yang dipilih secara rawak di panggil untuk menjalani ujian 'anti-doping' iaitu ujian dadah. Itu sebab keputusan rasmi hanya diketahui lebih 20 minit kemudian.
Sementara menunggu keputusan dan penyampaian hadiah, aku meronda kawasan pelumba berkumpul. Aku hanya ingin melihat basikal yang digunakan. Memang ikut aku tidak boleh beli basikal yang sedemikian. Sesetengah nama basikal pun tidak pernah aku tengok.
Aku berbangga kerana kebanyakkan pelumba adalah anak melayu kita. Aku syok menengok anak muda kita yang menceburkan diri dalam sukan ini. Banyak kemajuan yang telah dicapai. Beberapa tahun dulu kita hanya mendengar orang luar memenangi setiap pertandingan lumba basikal yang diadakan dinegara ini, apatah lagi untuk mendengar anak muda kita memenangi sebarang pelumbaan dan kejohanan yang diadakan di luar negara. Keadaan kini berubah. Anak negara ini telah berjaya memenangi perlumbaan kejohanan yang diadakan di dalam dan di luar negara. Sukan berbasikal juga kini mendapat tempat dikalangan professional dan amature. Peningkatan penggunaan basikal oleh orang ramai juga meningkat. Di merata tempat terdapat kelab basikal tumbuh bagaikan cendawan. Banyak jamboree, kayuhan beramai untuk keseronokkan dan untuk amal diadakan dimerata tempat setiap bulan. Ini adalah perkembangan yang mengalakkan.
Agak sedih juga tidak ramai orang yang datang ketempat tamat perlumbaan Jelajah Malaysia Stage 4 ini. Aku sempat bertanyakan kepada seorang pegawai Jelajah Malaysia, beliau menyalahkan penganjur tempatan tetapi aku berkeras menyatakan kurangnya pendedahan dan sebaran dalam media cetak dan media elektronik atau dalam program pelancongan tempatan. Terus terang aku katakan aku sangat berbangga Sungai Petani dijadikan salah satu tempat permulaan dan perhentiaan perlumbaan ini. Mungkin penduduk Alor Setar merasa cemburu pada situasi ini, kerana esok stage 5 dari Sungai Petani ke Perlis tanpa berhenti di Alor Setar. Diharapkan pihak penganjur tempatan dapat mempertimbangkan kurangnya kehadiran orang ramai ini untuk acara seperti ini.
Diharapkan Sungai Petani akan terus dijadikan dan dimasukkan kedalam kalender Jelajah Malaysia di tahun tahun akan datang. Dahulu perlumbaan Le Tour De Langkawi menjadikan Bandar Sungai Petani sebagai laluan, tetapi dua tahun kebelakangan ini tidak lagi. Jadi sekurang-kurangnya perlumbaan Jelajah Malaysia ini dapat menjadikan Sungai Petani sebagai laluan di dalam peta perlumbaan basikal semula.
Pembinaan Dataran Sungai Petani yang siap beberapa tahun yang lalu tidak sia-sia atau membazir. Ini dijadikan pentas untuk acara perlumbaan sebagini. Aku mengharapkan agar majlis tempatan dapat meningkatkan tahap keindahan tempat ini. Mungkin perkara yang pertama mesti dilakukan ialah untuk membaikpulih jam pada menara yang terdapat di tengah jalan utama dihadapan Dataran ini. Adalah amat memalukan bila pelumba, anggota bantuan dan orang luar melihat jam tersebut rosak. Sedangkan majlis mampu mengadakan sambutan acara yang boleh dikira bertaraf antarabangsa disiini. Mungkin kos senggaraan mahal atau alatganti sukar atau sudah tidak boleh didapati atau tiada pakar tempatan, tetapi ia boleh dilaksanakan.
Banyak juga gambar yang aku ambil dan aku sertakan beberapa gambar sahaja untuk dikongsi.









KEPUTUSAN
Juara Stage 4                          :  Suhardi Hassan (WLP)  2:06:36
Juara Keseluruhan (Masa)  : David McCan (GNT)
Juara Keselurhan (Point)    : Lange Malcolm (MED)
Raja Bukit (Jersey Merah)  : Mat Nur (Indonesia)

Jersey Putih (Juara Asia)      : Amir Mustaffa Rusli
Jersey Biru (Juara Malaysia : Amir Mustaffa Rusli

Esok aku pasti akan menyaksikan permulaan Stage 5 Jelajah Malaysia 2010 iaitu stage terakhir  dari Sungai Petani ke Kuala Perlis sejauh 195km. Perlumbaan akan bermula pada jam 1000 pagi dari Dataran Zero Sungai Petani.


Isnin, 26 April 2010

Kayuhan ke Titi Hayun, Yan


Kayuhan pagi ini lebih kepada kayuhan paksaan. Kenapa. Selalunya aku membuat kayuhan serius samaada pada pagi Sabtu atau Ahad, hari lain aku membuat kayuhan dibawah jarak 20km sekitar bandar Sungai Petani sahaja. Pada hari Sabtu 24hb April aku tidak dapat kayuhan kerana aku ke pameran TLDM yang diadakan di Pekan Lumut sempena dengan Hari TLDM yang jatuh pada 27hb April setiap tahun. Manakala hari berikutnya pula aku ada hal yang perlu dibereskan. Tujuan aku ke Lumut adalah untuk melihat dan memperbaharui ingatan kepada perkhidmatan yang aku sertai 30 tahun yang lalu.
Semasa melalui jalan dari Changkat Jering ke Lumut melalui Bukit Gantang, Trong, Pantai Remis dan Segari, aku membayangkan alangkah seronoknya jika aku dapat membuat kayuhan basikal. Jarak antara Changkat Jering ke Lumut lebih kurang 80km adalah ideal untuk kayuhan satu hari. Bermalam di pekan peranginan Lumut sebelum berpatah balik. Jalan yang dilalui kini telah dinaiktaraf dan selesa. Ada laluan sebelah tepi untuk motorsikal dan basikal. Tidak berapa panas kerana terdapat banyak pokok dikiri dan kanan jalan. Tidak banyak berbukit dan jika ada tidaklah berapa tinggi. 
Disepanjang jalan banyak pemandangan menarik yang boleh dinikmati termasuk bentuk rumah perak yang agak unik. Banyak rumah moden didirikan menandakan ekonomi penduduk kini telah meningkat. Banyak kedai didirikan dan taman perumahan baru telah dan sedang dibina. Aktiviti pertanian termasuk ternakair banyak dilihat disepanjang jalan. Paling ketara pelabuhan Lumut agak sibuk dengan aktiviti termasuk dockyard yang membina dan membaiki kapal dagang.
Pekan Lumut mengalami transformasi yang mengkagumkan. Terdapat gerai dan kedai yang dibina berasaskan pelancongan dibina. Bila menyusuri kedai dan gerai ayng terdapat di Pekan Lumut terasa seperti berada di suatu tempat pelancangan yang mempunyai kelainan dibandingkan dengan lain lain tempat di negara kita. Pekan dijaga dengan bersih dan kemas, gerai tepi jalan tidak dibenarkan, kebanyakkan kedai diberi wajah baru dan terdapat semua jenis barangan yang diperlukan oleh pelancong.
Jeti ke Pangkor lebih besar dari dahulu dan ini menyenangkan pergerakkan pelancong yang hendak ke Pangkor dan yang balik. Tempat tempahan tiket tidak lagi tersorok. Tempat dijaga oleh pekerja supaya pelancong tidak tersesat. Pada hujung minggu feri lebih kerap dari biasa. Yang tidak seronoknya ialah tambang feri sekarang ialah RM10.00 untuk dewasa sehala berbanding dengan RM4.00 empat tahun yang lalu. Sempat juga aku bertanyakan samada basikal dibenarkan dibawa dengan feri ke Pulau Pangkor. Aku berhajat juga untuk membuat kayuhan di Pulau Pangkor. Keadaan pulau yang berbukit dan tempat peranginan yang menarik sudah tentu akan memberi satu pengalaman kayuhan basikal yang tidak mudah dilupakan.
Lumut Water Front adalah tempat santai bagi pengunjung. Terdapat laluan sepanjang melebihi 3km sepanjang pantai. Terdapat banyak tempat berehat dan taman permainan untuk kanak kanak. Laluan dan tempat berihat dilindungi oleh pokok rhu yang rendang menahan dari panas terik matahari. Banyak hotel dibina disepanjang pantai tersebut. Oh ya... Pekan Lumut juga kini mempunyai sekurang kurangnya dua hotel mnewah bertaraf lima bintang. Mungkin ianya untuk businessman yang berurusan dengan Markas TLDM dan Pelabuhan Lumut.
Apabila selesai melihat pameran TLDM di Pekan Lumut, aku bercadang mencari seorang rakan lama yang sebaya dengan aku. Dia juga satu kampung dengan aku dan kami berada di dalam satu darjah selama enam tahun. Dia bersara dari TLDM sejak 13 tahun dan kini menetap di Manjung kerana membeli rumah di sana. Aku tiada alamat rumahnya, hanya berpandukan arahan yang diberikan oleh seorang rakan lain. Taman yang pertama aku masuki selepas Pekan Lumut dan bertanya kepada orang yang pertama aku jumpa menemukan aku kepada kawan aku. Kali terakhir aku bertemu keluarganya ialah pada tahun 1981 di Johor Bahru sebelum aku berpindah ke Lumut. Bagai kata orang, kalau niat tu baik, akan termakbul juga. Aku menghabiskan masa selama dua jam bersama kawan lama tersebut sebelum bertolak pulang ke Sungai Petani.
Mungkin aku akan kesini dengan basikal aku dalam masa terdekat dan bermalam di Pulau Pangkor.

OK, berbalik semula pada kayuhan pagi ini, aku agak terkejut apabila ditegur dari belakang oleh Juan dan John, kawan yang selalu membuat kayuhan bersama. Kedua dua menggunakan roadbike. Mereka berdua kayuh bersama aku sejauh 10km sebelum berpatah balik. Manakala aku teruskan kayuhan ke Yan. Juan sempat memberi komen mengatakan aku kelihatan lebih bertenaga dan kuat dan nampak lebih fit sekarang. Kayuhan aku lebih mantap dan laju. Aku berjaya maintain kayuhan pada kelajuan purata 28km/j pada jalan lencongan Semeling.
Walaupun sudah kerap membuat kayuhan ke Gunugn Jerai tetapi aku masih menghadapi masalah apabila membuat pendakian pada bukit terakhir di Tanjung Jaga. Walaupun berjaya membuat pendakian, tetapi agak letih juga.
Sebelum sampai ke Titi Hayun aku perhatikan banyak chalet yang siap dibina dan menawarkan tempat penginapan kepada pelancong. Chalet yang baru kebanyakkan dibina menggunakan kayu. Oleh kerana hari ini hari bekerja, tiada orang lansung di kawasan rekreasi. Tempat perkelahan ini dijaga kebersihanan. Air sungai amat sedikit dan tidak mengalir. Mungkin ini sebat tidak ramai pelancong berada disini.
Semasa pulang aku singgah untuk mengisi perut di pekan Yan sambil berihat di Taman Persisiran Sungai Pekan Yan. Aku menyesal juga kerana tidak memakai baju lengan panjang kerana cuaca panas semasa melalui Lencongan Semeling. Aku juga kehabisan bekalan air yang aku bawa dan terpaksa membeli dua botol air sebelum sampai kerumah.

 

Statistik :
Mula : ....................... 7.25 pagi
Tamat : ..................... 11.15 pagi
Jarak : ....................... 62.5 km
Cuaca : ..................... cerah
Angin : ..................... kencang selepas jam 10.00
Route : ..................... Sg Petani - Merbok - Singkir - Tanjung Jaga - Yan Besar - Titi Hayun

Sabtu, 17 April 2010

Kayuhan Rutin - Gunung Jerai


Setakat hari ini aku masih lagi mampu menunaikan azam untuk menjadikan kayuhan Gunung Jerai sebagai kayuhan rutin, setakat hari ini aku berjaya untuk membuat kayuhan setiap dua minggu. Kayuhan Gunung Jerai adalah kayuhan terbaik untuk stamina, ketahanan mental, kesabaran, kesihatan dan lain lain. Lebih banyak peluh dikeluarkan disini berbanding kayuhan tempat lain walaupun jarak kayuhan cuma 12km.
Dari sudut keselamatan, kayuhan disini tidak diganggu oleh kenderaan lain, hanya sekali sekala apabila ada kereta turun atau naik ke resort. Bunyi kenderaan boleh didengar dua tiga minit sebelumnya, dan kenderaan membunyikan hon jika terdapat selekoh atau semasa pendakian.
Kayuhan Gunung Jerai memanglah menyeronokkan. Cuma jangan 'over do it' atau terlalu kerap membuat kayuhan disini kerana mungkin akan menjadi bosan pula. Ini pesan orang yang telah lama dan lebih awal membuat kayuhan.
Pada mulanya aku berasa sangsi  pada kayuhan pagi ini kerana kemungkinan jalan lembab dan basah. Hujan turun jam 0300 pagi tadi. Kalau jalan lembab, mungkin tidak berapa selamat semasa membuat penurunan nanti. Tetapi sangkaan itu ternyata meleset kerana keadaan jalan yang kering.
Sepatutnya aku membuat kayuhan di Pelubang pada hari ini.  Kawan aku Ramlan telah mengenalpasti laluan kayuhan yang agak menarik kerana ia melibatkan jalan biasa, jalan dusun yang berbukit dan diakhiri di tapak perkelahan Bukit Wang. Sayangnya kayuhan terpaksa dibatalkan kerana perkara yang tidak dapat dielakkan. Salah satu sebab dikenal pasti ialah last minute planning. Rancangan tersebut terpaksa dipinda ke tarikh lain.
Hari ini kedai basikal Pekan Betong Thailand menganjurkan kayuhan disekitar daerah Betong. Kayuhan yang kebanyakkan melalui bukit bukau, ladang kelapa sawit dan ladang getah dengan jarak lebih kurang 50km. Aku diberitahu dan dipelawa oleh tuanpunya kedai basikal 'Betong Mountain bike' semasa aku membeli alatganti basikal pada 28 Mac 2010. Terus terang aku katakan tidak dapat menyertai kayuhan tersebut. Pada masa itu penyertaan sudah melebihi 50 orang, kebanyakkan cyclist dari Malaysia.  Aku difahamkan trek ini amat menarik dan mencabar untuk hardcore mountain bikers. Mungkin lain kali aku akan turut serta.
Hari ini 17 April 2010 juga adalah hari Penamaan Calon untuk Pilihan Raya Kecil Hulu Selango. Pilihan Raya ini diadakan kerana kematian Ahli Parlimen Hulu Selangor Dr. Zainal Abidin Ahmad kerana mengalami kerana mengalami barah otak (brain cancer). Beliau meninggal dunia pada 25 Mac 2010. Beliau adalah Ahli Parlimen dari PKR yang menang tipis (majority 328) pada pilihan raya ke 12 pada Mac 2008. Tarikh pengundian adalah pada 25 April 2010. Adakah PKR mampu mempertahankan kerusi yang BN kata diberi pinjam, sama sama lah kita nantikan. Terdapat empat calon untuk pillihanraya ini iaitu PKR, BN (MIC) dan dua calon bebas.
Berita Harian hari ini menyiarkan berita warga Iran menyeludup dadah jenis Opium (candu)  seberat 2.9kg menggunakan Mountain Bikes. Candu tersebut dimasukkan kedalam rangka (frame) basikal. Sebanyak empat basikal digunakan. Sepatutnya mereka berjaya tetapi gagal kerana tidak menuntut basikal tersebut dari pihak kastam. Basikal ditinggalkan selama tiga bulan dan mendatangkan syak oleh pihak berwajib. Ini berita yang amat tidak disenangi oleh bikers semua. Mungkin dimasa akan datang agak sukar bagi penggemar mountain bikes  menyeberangi sempadan negara untuk membuat kayuhan di tempat atau negara orang.


Bukan hendak kata aku kagum dengan usaha mereka, tetapi daya kreativiti memasukkan dadah kedalam rangka basikal dan membawa masuk dengan kapal terbang di KLIA yang membuatkan aku berfikir apakah lagi cara yang dilakukan untuk membawa masuk dadah ke negara ini. Apakah mereka akan berjaya jika basikal tersebut dituntut mengikut cara biasa. Fikirkan sendiri.
Petang ini aku kena hadir mesyuarat Agong Persatuan Penghuni Taman Intan, Sungai Petani  untuk tahun 2010. Aku telah bergiat dalam persatuan ini sejak mula berpindah kesini dan memegang jawatan AJK. Dulu pernah dilantik sebagai Pengerusi untuk dua tahun tetapi menyerahkan semula kepada pengasas nya yang kini seorang lawyer kerana kesibukkan kerja. Persatuan ini berfungsi sebagai watchdog kepada sebarang masalah di taman ini.
Aku turun agak awal dari kebiasaan kerana cuaca tidak begitu bagus, langit diselubungi awan gelap (awan hujan) dan mungkin hujan akan turun bila bila masa saja.  Malam semalam hujan turun dan  ini juga menyebabkan tidak ramai yang membuat kayuhan pagi ini. Aku cuma berjumpa dengan seorang  rider yang turun dan seorang naik. Pejalan kaki juga tidak ramai, aku jangka kurang dari 20 orang. Tiada aktiviti di Taman Rekerasi Sungai Teroi, pintu utama masih lagi tutup bila aku sampai. Apabila sampai dipuncak, aku melihat Pak Ya sudah ada disana dan sedaang berihat sebelum memulakan kayuhan untuk turun.
Tunggu kedatangan aku lagi dua minggu dari sekarang.

Statistik :
   Mula : ................ 8.15 pagi
   Tamat : .............. 10.30 pagi
   Cuaca : .............. mendong

.

Ahad, 11 April 2010

Kayuhan Sungai Ular Kulim


Aku telah merancang kayuhan ini sejak beberapa hari yang lepas. Kebelakangan ini sering hujan disebelah petang setelah agak lama mengalami kemarau. Tidak banyak peluang untuk membuat kayuhan. Aku hanya membuat kayuhan disekitar bandar Sungai Petani. Aku juga gunakan kesempatan tersebut untuk melawat rumah kawan kawan yang mempunyai minat yang sama, untuk bertukar fikiran dan idea mengenai basikal dan trek kayuhan.
Aku mulakan kayuhan tepat jam 0730 pagi. Sebaik sahaja melepasi Supermarket Giant menghala ke Butterworth aku ternampak seorang kenalan mengalami kebocoran tayar kereta. Aku berhenti untuk menghulurkan pertolongan tetapi beliau menolak kerana tidak mahu menganggu kayuhan aku.
Aku terjumpa dengan Ibrahim (bekas anggota TLDM dan kini bekerja di Kilang Sharp Roxy, Kawasan Perindistrian Bakar Arang). Beliau mengayuh ke Sidam untuk membuat kayuhan bersama rakan rakan lain yang menunggu disana. Menurut Ibrahim, kawan kawannya baru berjinak jinak  dengan basikal. Oleh kerana kami menghala jalan yang sama, sempat membuat kayuhan bersama hampir 12km. Kami berpecah apabila sampai di Pinang Tunggal dimana Ibrahim melencong ke Sidam melalui Pantai Perai. Aku pula meneruskan kayuhan ke Pinang Tunggal, sebelah Penang dan membelok ke Padang Serai melalui Ekor Kucing.
Dulu semasa aku masih bekerja aku melalui jalan ini sekurang kurangnya sekali seminggu untuk ke Loji Pembersihan Air Sungai Ular yang terletak dijalan menghala ke Serdang dan Bandar Baru. Dengan kereta perjalanan mengambil masa hanya 40 minit tetapi dengan basikal mengambil masa hampir dua jam.
Pekan Padang Serai agak sibuk diwaktu pagi kerana pasar pagi dijalan utama sebelum pekan, manakala pasar minggu baru sahaja bermula di tapak stesyen bus jalan menghala ke Lunas. Pasar minggu ini akan menjadi sibuk menjelang tengah hari dan petang. Pekan Padang Serai hanya sederhana besar seperti  Lunas dan  Kuala Ketil, tetapi agak sibuk kerana lokasinya yang terletak dijalan utama ke Tasik Gelugor dan Bukit Mertajam.
Dari Padang Serai aku mengayuh kearah Lunas tetapi membelok ke Sungai Seluang. Setelah melepasi pekan Sungai Seluang aku membelok memasuki BKE (Butterworth Kulim Expressway) dan memasuki jalan ke Kulim Hi Tech Park. Setakat ini jalan agak rata tanpa berbukit hinggalah sampai ke Kilang Wafer Silterra. Terdapat sedikit pendakian hingga ke simpang Politeknik Kulim.
Apabila sampai di simpang tiga Kulim-Serdang, aku berhenti di gerai roti canai kegemaran aku yang sering aku kunjungi sejak 7 ~ 8 tahun lalu. Kebiasaannya gerai ini dipenuhi pelanggan pada terutama hari Ahad. Kadangkala roti canai habis sebelum jam 1000 pagi. Malangnya hari ini gerai ini tutup. Dari kesan dan keadaan, gerai ini telah agak lama tidak menjalankan perniagaan. Aku diberitahu oleh seorang rakan , gerai ini ditutup lebih satu bulan lalu kerana isteri tuan punya kedai mengalami penyakit di perut.
Aku kemudian ke gerai lebih kurang 100 meter jalan ke Kulim. Disana aku  melihat seorang rakan  sedang minum dan terus duduk. Aku memesan segelas milo dan segelas air kosong. Kemudian aku mengambil sebungkus nasi lemak dan apabila membuka untuk menjamah aku mendapati dua helai rambut pada sambal nasi lemak tersebut. Bila diadukan kepada peniaga gerai, seorang perempuan pertengahan umur, dia mengambil bungkusan tersebut dan terus memasukkan kedalam tong sampah. Aku terus bersembang dengan kawan hinggalah tiba masa untuk aku meneruskan kayuhan pulang.
Yang menjadi persoalan ialah tentang ragam atau budibahasa atau etika peniaga tersebut. Apabila berlaku perkara seperti itu, tidak dia berasa bersalah. Adakah dia terus berdiam diri dan meneruskan kerja. Sekurang kurangnya dia patut memohon maaf kepada pelanggan, dan seeloknya bertanya adakah pelanggan mahu makanan tersebut diganti. Aku tahu hak pelanggan tetapi tidak menggunakan, aku boleh mengadukan kepada Pejabat Kesihatan tetapi aku tidak mahu memanjangkan isu. Mungkin akan ada pelanggan lain mengalami situasi yang sama. Aku mungkin tidak akan mengunjungi gerai ini lagi.
Aku tidak memasuki pekan Kulim semasa perjalanan pulang tetapi memasuki taman Selasih dan menuju ke Sungai Seluang. Hari sudah agak panas dan aku berhenti di pasar minggu Padang Serai untuk menghilangkan dahaga. Terkejut penjual air tebu apabila aku memesan satu lagi sebaik sahaja gelas air tebu pertama habis dan memesan lagi gelas yang ketiga. Sebelum sampai kerumah aku terpaksa berhenti lagi untuk minum, kali ini air soya pula.
Pengajaran penting semasa membuat kayuhan jarak jauh sebegini ialah menjaga kandungan air dalam badan. Minum seberapa banyak dan seberapa kerap yang boleh untuk menghalang dehydration yang akan menyebabkan badan menjadi panas dan kemungkinan demam.


Statistik
   Mula :................. 0730 pagi
   Tamat : ............... 1230 tengahari
    Jarak : ............... 86 km
   Cuaca : .............. Panas
   Route : .............. Sg Petani - Pinang Tunggal - Padang Serai - Sungai Seluang -  Hi Tech Park - Sungai Ular - BACK

.

Sabtu, 3 April 2010

Gunung Jerai lagi............


Tiga empat orang geng dari Pinang Tunggal beriya iya hendak buat kayuhan Gunung Jerai, apabila aku sampai ke kaki gunung sebelum jam 0800 pagi, tiada kelihatan seorang pun. Aku menalifon salah seorang dari mereka dan tidak terkejut bila dia menyatakan terpaksa batalkan rancangan. Bagi aku tidak menjadi apa apa, kerana aku tetap akan membuat kayuhan walaupun seorang diri. Sebab itu lah aku gunakan tag-line 'kayuh sorang je' untuk blog aku ini. 
Baru 2km keatas aku dapat call dari Johari. Tidak sangka pula dia pun naik juga, aku rasa bersalah sebab tidak mengajak dia sekali untuk kayuhan ini. Syed Fuad pun ada sekali. Aku kata jumpa diatas nanti. Aku teruskan kayuhan dan bercadang untuk menunggu di muzium perhutanan nanti. Sepanjang jalan naik, aku tidak berjumpa dengan rider lain, mungkin kerana masih awal. Sempat menegur dan ditegur oleh orang yang berjalan kaki mendaki gunung. Kebanyakkan perjalan kaki hanya naik tiga empat kilometer sahaja, jarang yang sampai kepuncak. Jalan masih basah dan lembab kerana hujan sebelah petang dua tiga hari yang lepas. Seorang rider memotong aku dengan kayuhan yang bertenaga, tidak sempat melihat wajahnya dengan jelas. Mungkin akan berjumpa diatas nanti. Apa yang pasti beliau sudah berumur, mungkin lebih tua dari aku.
Aku tidak banyak berhenti cuma sesekejap sahaja untuk menghilangkan kekebasan pada lutut dan pangkal peha. Pit stop pertama aku ialah di muzium perhutanan. Dari situ aku terdengar bunyi bising dari tempat perkelahan Sungai Teroi. Mungkin ramai yang menjalankan aktiviti riadah disana. Aku tersentak apabila seorang kanak berusia tidak lebih tiga tahun memberi salam. Aku melihat keluarganya memasang khemah diatas sebuah wakaf kayu disitu. Bagus lah begitu.
Tidak lama aku menunggu, kawan lain mulai sampai dan kami meneruskan kayuhan ke puncak. Sebaik sahaja sampai kepuncak aku dapati dua orang rider lain sedang minum digerai. Belum pun aku order minuman beberapa orang yang lain mulai sampai dan gerai yang mempunyai kerusi meja yang terhad tiba tiba penuh. Rider yang lain tu pernah aku jumpa pada kayuhan terakhir dua minggu lepas.
Dua gadis remaja juga berada disitu dan dengan seronok mereka mengeluarkan semua roti yang ada dalam beg galas mereka dan menyerahkan kepada kami untuk dikongsi, baiknya hati. Semoga Allah murahkan rezeki mereka dan keluarga mereka.  Mereka berdua berjalan kaki dari bawah sejauh 10 km. Mereka masih belajar dalam tingkatan enam. Tabik.
Walaupun setengah dari mereka belum pernah berjumpa atau bekenalan, kemesraan dan suasana digerai tersebut amatlah ceria dan gembira. Riuh rendah jadinya apabila semua berebut-rebut menceritakan pengalaman masing masing mendaki Gunung Jerai ini. Sempat juga aku tolong mempromosi  kayuhan Betong kepada yang lain yang akan diadakan pada 17hb April 2010 nanti. Aku beritahu mereka tempat berkumpul di Pekan Baling, waktu mula kayuhan, jenis trek dan waktu tamat. Ramai juga yang belum pernah ke Betong berminat untuk mengambil bahagian. Aku juga menerangkan bagaimana hendak kesana, apa yang perlu, bagaimana melalui komplek imegresen dan kastam kedua dua negera. Sempat juga sembang tentang kedai basikal Betong, harga dan barang yang terdapat disana.
Kali ini minum bayar sendiri. Hendak belanja pun kerana terlalu ramai. Tetapi semua yang ada nampak senang dengan keputusan tersebut. Aku kira pada hujung minggu beginilah tuan punya kedai mendapat rezeki lebih sedikit dari hari biasa. Cuma nak komen gerai tersebut perlu menambah bilangan kerusi meja dan barangan makanan yang dijual. Ia akan menjadikan gerai itu sebagai lokasi rehat dan rawat untuk pengayuh basikal yang setiap masa makin bertambah bilangan.
Aku adalah orang yang paling akhir sekali sampai ke kaki gunung. Yang lain sampai awal 15 minit dari aku. Aku pernah nyatakan bahawa aku tidak berani turun laju. Kelajuan maksima aku hanyalah 30km/j sahaja. Semasa menuruni terdapat dua kumpulan lain sedang melakukan pendakian, kumpulan pertama sedang berehat di kawasan muzium perhutanan manakala satu kumpulan lain baru memulakan pendakian. Waktu sudahpun 11.30 pagi. Mesti sampai kepuncak lepas jam 1.30 tengah hari. Tidak mengapa lah kerana keadaan yang sejuk dan nyaman di atas sana.
Satu perbezaan kali ini ialah resort Gunung Jerai tidak lagi membenarkan pengayuh basikal memasuki kawasan resort. Hanya mereka yang menginap di hotel sahaja yang dibenarkan masuk. Mungkin ada perkara yang tidak diingini berlaku atau mungkin penghuni hotel tidak senang dengan kehadiran basikal.
Walaupun telah lama sampai Johari menunggu aku untuk mengucapkan terima kasih sebelum balik. Beliau meminta untuk menghubungi Ramlan di Jitra agar mengatur kayuhan sebelah sana. Ada rancangan untuk mengadakan kayuhan di jalan baru dari Durian Burong dekat sempadan Thailand hingga ke Baling dengan jarak melebihi 150km sehala. Akan diberitahu kelak jika ada perkembangan baru.



Statistik :
   Mula : .................. 0800 pagi
   Tamat : .................11.30 pagi
   Jarak : .................. biasa
   Cuaca : ................ Nyaman

.