Dari lencongan barat menghala ke Sungai Pasir aku mengayuh ke Simpang Batu Lintang dan terus ke Tikam Batu. Terpaksa mengelakkan lopak-lopak air ditepi jalan ini kerana tidak mahu terkena percikan air lumpur dari tayar basikal aku. Malam tadi hujan tuun agak lebat dan jalan masih belum kering lagi. Jalan ini 5 km lebih jauh dari jalan utama dan ianya berbukit, dan kayuhan lebih menyeronokkan. Aku tidak jemu menimati pemandangan sawah padi dan bukit walaupun telah banyak kali melalui jalan ini.
Dari Pekan Tikam Batu aku menghala ke Kota Kuala Muda. Kena berhati hati melalui jalan ini kerana kenderaan disini dipandu agak lagu kerana jalan rata dan lurus. Aku menyeberangi jambatan Kuala Muda dan meneruskan kayuhan ke Kuala Muda sebelah Penang. Jalan ini menyusuri Sunagi Muda. Dahulu sungai tersebut tidak kelihatan kecuali apabila menghampiri kuala, tetapi kini amat jelas kelihatan dari jalan yang aku ikuti. Ini disebabkan projek 'tebatan banjir' sedang berjalan dan tebing sungai dibersihkan, pokok ditebang dan tanah diratakan untuk menambak tebing sungai. Rumah dikampung tepi sungai ini banyak yang diubahsuai menjadi lebih besar, selesa dan cantik. Mungkin wang pampasan pengambilan tanah projek tebatan banjir tersebut.
Projek tebatan banjir ini menelan belanja berjuta ringgit dan bermula dua tahun lalu. Setakat aku menetap di Sungai Petani hampir dua puloh tahun, banjir besar berlaku dua kali dan beberapa kali banjir kecil yang tidak mendatang bahaya. Adakah berbaloi membelanjakan wang rakyat sebanyak itu untuk menyelamatkan penduduk dari banjir. Aku rasa perbelanjaan dapat dijimatkan dengan mendalamkan dan meluruskan sungai tersebut. Air banjir mungkin akan dapat mengalir dengan pantas ke laut dan menghalang dari banjir berlaku. Ini pendapat aku sahaja.....
Aku membelok mengikuti jalan kecil ditepi Sungai Muda di Pulau Mertajam. Jalan tar ini hanya boleh dilalui kenderaan 4 wheel drive dan motorsikal. Banyak tempat dimana jalan telah rosak dan berlubang. Tidak menjadi masalah pada mountain bike. Air sungai 'sebak' sebaik sahaja menghampiri kuala.
Aku menolak basikal aku di pelantar nelayan di kuala sungai. Banyak bot disana, bila aku bersembang dengan seorang nelayan, ia mengatakan kebanyakan nelayan tidak kelaut hari ini kerana cuaca buruk dan langit kelam. Dihujung pelantar kayu, jauh dari jalan masuk sekumpulan nelayan berkumpul. Mereka kelihatan resah dan mamandang kearah aku bila aku berlegar legar berhampiran mereka. Aku mengesaki mereka sedang melakukan sesuatu dan tidak mahu diganggu.
Aku perhatikan kebanyakkan nelayan disini mempunyai badan kurus dan muka cengkong, cakap dan berjalan pun tidak betul. Aku tidak mahu membuat kesimpulan tetapi dari berita yang aku tengok dan baca, kebanyakkan nelayan ini menggunakan dadah apabila berada ditengah laut. Tiada orang nampak dan peduli. Ramai yang berulang alik di jeti tersebut walaupun tidak kelaut.
Tempat jualan ikan 'bisik' lengang, tiada orang lansung. Selalunya waktu ini lebih kurang 09.30 pagi, ianya dipenuhi oleh pembeli dan penjual ikan. Aku berhenti di sebuah gerai makan dan memesan gulai ikan bawal yang nampak sangat enak. Harga nasi, sepiring ikan bawal (kerat dua), sayur, milo dan air kosong kurang dari lima ringgit. Semasa makan aku diganggu oleh seekor kucing yang mengiau minta ikan, mula seekor tetapi bila aku beri ikan, datang lima enam ekor kucing lain dibawah meja aku. Tuan kedai, seorang gadis merungut pada kucing-kucing tersebut. Katanya baru sahaja sebentar tadi diberi makanan. Aku teringat kepada peminta sedekah dinegara dunia ketiga. Bila seorang diberi sedekah, yang lain akan datang berkerumun.
Setelah mengisi perut aku menyusuri pantai melalui jalan kecil di celah-celah rumah penduduk. Sepanjang pantai telah ditambak dengan batu menghalang ombak terutama tsunami seperti yang berlaku pada tahun 2004 lalu. Benteng batu tersebut telah ditumbuhi rumput dan dipenuhi pasir. Terdapat hanya beberapa orang sedang berada di pantai. Aku pernah lihat beberapa tahun lepas, apabila air laut surut terdapat puluhan orang berada di pantai mengutip siput yang terdapat di dalam pasir. Keadaan ketika itu seperti pesta. Oh.. ya Bandar Goerge Town hanya kelihatan samar samar sahaja kerana keadaan cuaca yang berkabus/berjerubu.
Di suatu kawasan lapang bertar bersebelahan dengan Masjid Kuala Muda, kelihatan sekumpulan anak muda melayu lelaki dan perempuan sedang melakukan senam-robik (atau menari) diiringi lagu dari sistem stereo yang agak kuat bunyinya. Kali terakhir aku berkayuh disini dua tahun lepas, pada hujung minggu kawasan ini dipenuhi orang yang datang mendengar dan menghadiri sarahan agama di masjid tersebut. Sekarang semuanya telah berubah.
Aku hampir tidak perasan aku telah memasuki jalan utama Kuala Muda menghala balik ke Penaga/Tikam Batu. Pembangunan yang berlaku termasuk balai bomba dan penyelamat, Taman Desa Kuala Muda dan lain lain membuatkan aku keliru dan ingatkan telah mengikut jalan lain. Hentian tempat menunggu bas baru dan cantik belaka dan dilabelkan nama jalan. Aku terus menghala ke Bumbung Lima untuk pulang ke Tikam Batu dan seterusnya ke Sungai Petani.
Statistik :
Mula : .............. 7.30 pagi
Tamat : ............ 11.30 pagi
Jarak : ............. 54.6 km
Cuaca : ............ Hujan
Route : ............ Lencongan Barat - Sungai Pasir - Simpor - Tikam Batu - Kuala Muda
Tiada ulasan:
Catat Ulasan