Halaman

Khamis, 4 September 2014

Kangar - Sungai Petani (pulang)

Semasa checkout hotel awal pagi, aku meminta air suam untuk diisi dalam botol, bekalan kayuhan pulang ke Sungai Petani. Aku tidak beritahu pun tetapi 'proprieter' hotel tersebut memberi komen, 'wah mau tiga untuk sampai ke Alor Setar, naik kereta pun lebih kurang 45 minit lo'. Heran macam mana dia tahu yang aku akan pulang ke arah Alor Setar. Mungkin dia tengok alamat pada buku pendaftaran masuk. Atau semasa mengambil alih pagi tadi dia ternampak sebiji basikal di parking di tingkat 1 hotel dan mengagak kepunyaan aku.
Seorang pemuda Melayu yang duduk tidak jauh dari meja pendaftaran macam terkebil kebil mendengar kata tuan punya hotel. Mungkin dia sedang menunggu rakan rakan lain turun dari bilik, banyak beg dihadapannya. Apa yang sedang difikirkan. Mungkin dia tidak percaya seorang pak cik dihadapannya berkayuh dari Sungai Petani ke Kangar.
Menunggu hujan berhenti
Keluar dari hotel hujan renyai renyai turun, mungkin sekejap sahaja dan aku terus menolak basikal kearah jalan menuju ke selatan. Semua kedai masih belum dibuka. Walaupun jalan agak sibuk dipenuhi kenderaan tetapi tiada orang awam. Masih awal. Hujan semakin lebat dan terpaksa mencari tempat berteduh. Aku mulai risau takut hujan akan lama dan akan melambat aku sampai kerumah. Sambil berehat perut aku mulai berbunyi kerana masih belum sarapan pagi.
Jangan haraplah untuk mencari kedai makan Melayu di tengah bandar Kangar. Seperti malam tadi, susah mencari kedai makan ditengah pekan, terpaksa pusing keliling. Itu pun jumpa hanya satu kedai mamak nasi kandar. Tiada pilihan. 
Aku tahu dipinggir bandar banyak kedai dan gerai makan Melayu yang menyediakan makanan kegemaran.
Nasib baik hujan yang agak lebat berhenti dalam setengah jam dan aku meneruskan perjalanan. Jalan berair dan lembab. Hujan renyai renyai. Lebih kurang dua kilometer aku berhenti untuk secawan kopi dan roti canai telur. Bekalan kayuhan sejauh 42 km ke Alor Setar dimana aku akan berhenti untuk mengisi perut semula.
Topo yang mendatar sepanjang jalan memboleh aku sampai di Alor Setar dalam masa 1 jam 40 minit, awal 80 minit dari masa yang dikatakan oleh tuan punya hotel tadi. Tidak mahu mencari gerai untuk makan, aku singgah di stesyen petronas untuk membeli air 100 plus, coklat dan roti cream. Lama juga aku duduk dikaki lima stesyen minyak tersebut. Tidak seperti stesyen Petron, kebanyakan stesyen minyak petronas tidak menyediakan kerusi meja untuk pelangan menikmati makanan dan minuman yang dijual.
Bila sudah kenyang, susah pula berkayuh seperti sebelum makan tadi. Kelajuan agak menurun dan aku terpaksa berhenti di kedai 7-Eleven Kota Sarang Semut selepas 45 minit berkayuh kerana tekak terasa amat kering dan perut pun kempes kembali. Kali ini aku membeli Coca cola dan keropok kentang untuk mengalas perut.  Aku target untuk berhenti makan tengah hari di Gurun.
Cuaca yang redup berbanding panas semasa kayuhan pergi kelmarin amatlah melegakan. Syukur. Apabila berhenti disebuah gerai tidak jauh dari jalan naik ke Gunung Jerai, selera makan tiada. Aku terpaksa mencari alternatif lain dan bernasib baik kerana berjumpa dengan gerai menjual bee hun sup. Semangkuk bee hun dan dua gelas kopi O untuk memulihkan tenaga diharapkan sempat sampai kerumah yang kurang 30 kilometer.
Malang kerana selepas 10 minit memulakan kayuhan selepas makan, hujan turun dengan agak lebat. Berteduh disebuah gerai kedai yang lama ditinggalkan. Rasanya sempat  melelapkan mata sehingga hujan berhenti 40 minit kemudian. Berkayuh semula apabila hujan berhenti tetapi terpaksa berhenti dua kali kerana hujan menjadi lebat semula. Selepas pekan Gurun aku sudah tidak kisah kalau basah sedikit kerana aku hanya ingin sampai kerumah secepat mungkin.
Kayuhan yang meletihkan dan menyeronokkan. Alhamdulillah kerana tiada sebarang masalah sepanjang perjalanan pergi dan balik. Walaupun tidak dapat memenuhi hasrat untuk ke Padang Besar tetapi amat berpuas hati dengan kayuhan ini. Adakah akan mengulangi lagi, bergantuing kepada keadaan dan masa.


Statistik : 
    Mula ............... 0720
    Tamat ............  1500
    Jarak ............... 108 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Kuala Sanglang - Air Itam - Simpang Kuala Kedah - Gurun
   Odometer 2014 : 2105 km

  p/s : mohon maaf kepada pembaca kerana kelewatan update catatan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan