Halaman

Sabtu, 20 Februari 2010

Kayuhan Santai Pantai Kamloon



'Near Yet Far', begitulah selalunya. Kerap kali bila melalui lebuhraya PLUS arah selatan dari Sungai Petani kita melihatnya disebelah kiri lebuhraya, tetapi aku belum pernah kesana. Pusat Rekreasi Pantai Kamloon nampak indah dengan tasik, tempat berihat, gazebo dan paling menarik laluan jalan kaki diperbuat dari kayu dengan hiasan pasu bunga. Hari ini aku mengayuh keselatan melalui Pekan Tikam Batu. Setelah melintasi Jambatan Merdeka, membelok kekiri ke Pekan Bumbung Lima ke Taman Rekreasi Pantai Kamloon. Pusat rekreasi ini terletak bersebelahan tebing Sungai Muda.
Oh ya.. Jambatan Merdeka yang merintasi Sungai Muda telah menjadi dua hala semenjak akhir tahun 2009. Ucapan tahniah kepada pihak JKR yang membina satu lagi jambatan bersebelahan jambatan asal dengan mengekalkan rekabentuk asal jambatan lama. Sekali gus menampakkan keharmonian. Bagi pemandu yang tidak biasa melalui jalan ini, tidak akan perasan jambatan ini dibina dalam dua fasa.
Pekan Bumbung Lima masih lagi belum memulakan perniagaan semasa aku melalui, hanya beberapa kedai yang dibuka iaitu kedai makan dan pasar kecil menjual ikan. Tiada apa yang menarik tentang kedai kedai di pekan kecil ini, kebanyakkan kedai adalah campuran bata dan papan dan beratapkan zink. Beberapa gerai perniagaan baru terletak dipenghujung pekan disebelah depan rumah pam JPS Bumbung Lima. Rumah pam ini mendapat persijilan ISO 14001 dan bertulisan Jawi.
Masih tiada orang semasa aku sampai ke pusat rekreasi tersebut. Aku membuat kayuhan diatas jambatan kayu menjelajahi pusat tersebut. Dengan tasik tasik dan pokok pokok kecil ditebing tasik tersebut, pemandangan dan suasana memang damai dan menenangkan. Tetapi deruman kenderaan di lebuhraya PLUS yang merosakkan sedikit ketenangan tempat ini. Aku menjangkakan pada sebelah petang dan malam, tempat ini akan dipenuhi oleh pengunjung.
Aku menghabiskan lebih setengah jam disini dan mengayuh menyusuri tebing Sungai Muda hingga sampai semula ke pekan Bumbung Lima. Seperti tau tau saja, perut mula berbunyi dan aku berhenti untuk mengisi perut di sebuah kedai yang menjual pelbagai kueh mueh. Secawan Milo O kosong, sebungkus nasi lemak dan sekeping apam lenggang berharga RM1.60 cukup mengenyangkan. Penduduk cina di pekan tersebut ramai membeli kueh di kedai tersebut dan ternampak kemesraan pengunjung kedai tersebut.
Aku membelok ke Jalan Paya Keladi - Padang Serai dan terus ke Pinang Tunggal. Semasa kayuhan dijalan tersebut aku sempat mengekori dua orang cyclist. Mereka agak perlahan  Semasa memotong aku memberi salam, aku tergamam apabila salah seorang dari mereka terkejut dan melatah dan hampir jatuh dari basikal. Aku minta maaf dan terus berlalu meninggalkan mereka. Walaupun angin mula bertiup kencang, aku berupaya membuat kelajuaan purata 28km/j.
Dari sini aku membelok ke Sungai Petani dan berhenti minum sekali lagi di Taman Kempas. Aku terserempak dengan geng basikal Pinang Tunggal dan berhenti minum sambil berbual hampir satu jam. Mereka mencadangkan kayuhan ke Pantai Merdeka esok Ahad 21 Feb 2010.
  Statistik Kayuhan
   Kayuhan :          Solo
   Mula :                7.25 pagi
   Tamat :              11.15 pagi
   Jarak kayuhan : 54 km
   Berhenti rehat :  35 minit di rekreasi Pantai Kamloom
                              minum  10 minit
                              santai dengan geng Pinang Tunggal  : 50 minit
   Topograpi :         jalan mendatar, tiada bukit

Tiada ulasan:

Catat Ulasan