Halaman

Khamis, 11 Ogos 2011

merewel pagi petang .....

"Tak kerja lain ke.... pagi petang, siang malam asyik ndak merewel je". Masih terdengar leteran arwah ibu masa aku remaja dulu bila aku sering tiada dirumah. Aku tidak pasti sama ada orang ditempat lain tahu apa itu 'merewel'. Adakah perkataan itu wujud dalam kamus atau perbendaharaan Melayu dan apakah maksud sebenar perkataan tersebut.
Di Daerah Jempul Negeri Sembilan dan mungkin juga daerah daerah lain terutama Rembau dan Tampin, rasanya tahu apa yang dimaksudkan dengan merewel. Mengikut apa yang aku faham, merewel bermaksud 'ke hulu ke hilir/kesini sana tanpa sebarang tujuan'. Itulah yang sering dilakukan atau menjadi favourite pastime masa di kampung dahulu kala. Lebih sesuai jika menggunakan basikal keliling kampung dan pekan bersama rakan rakan.


Rewel, bunyi macam sebahagian dari basikal. Aku google dalam internet dan tidak terkejut apabila melihat banyak keputusan. Entry yang paling atas adalah basikal yang diperbuat dari logam Titanium berjenama Rewel. Ia adalah gabungan sengkatan nama tiga orang pengasas dan pembuat basikal tersebut - Renata, Werner dan Leo  dan menamakan basikal keluaran mereka Rewel. Titanium adalah bahan atau logam alternatif selain dari besi (steel), aluminium dan carbon digunakan untuk membuat frame basikal. Setakat ini basikal Rewel dikeluarkan mengikut tempahan sahaja dan bilangan pengeluaran terhad.
Pada malam bulan puasa ini, aku teringat aktiviti yang biasa dilakukan oleh budak budak dan remaja (termasuk aku) kampung pada tahun 1960'an. Masa itu tidak pernah melihat kotak TV sebenar apatah lagi menonton TV, hiburan yang paling dekat hanyalah 'transistor radio' yang baru dipekenalkan menggantikan radio jenis tube/valve. Jadi hanya budak budak baik atau yang mempunyai emak ayah yang garang sahaja yang duduk dirumah pada waktu malam bulan Ramadhan. Yang lain, apa lagi ... merewel lah!
Di kampung pada masa dulu, kami remaja hanya dapat peluang kebebasan keluar malam hanya pada bulan Ramadhan sahaja. Itu pun diatas tiket untuk ke masjid atau surau untuk solat tarawikh.
Bagi kebanyakkan remaja, aktiviti merewel bermula sebaik sahaja selesai berbuka puasa. Kena cepat taku kalau orang lain (abang) gunakan basikal dahulu. Masa itu hanya ada sebuah basikal sahaja dirumah. Rata rata orang kampung mempunyai satu basikal. Mana mana keluarga yang mempunyai lebih dari satu sudah kira senang atau kaya dari average. Kalau basikal orang lain sudah guna dulu, kenalah tumpang basikal kawan. Kadang kala satu basikal naik tiga orang. Satu duduk di belakang diatas carrier dan satu lagi dihadapan, duduk diatas galang. Senario itu sudah tidak kelihatan lagi sekarang. Walau apa cara sekali pun .... merewel tetap tidak boleh tinggal.
Destinasi pertama ialah gerai gerai yang dibuka khas pada malam bulan Ramadhan. Kebanyakkan gerai dibina sementara di persimpangan jalan atau lokasi strategik untuk perniagaan sepanjang bulan puasa sahaja. Tidak banyak pilihan makanan dan minuman yang dijual dan tiada makanan yang heavy. Kebanyakkan menjual kuih kuih biasa, tauhu sumbat, mee rojak dan mee goring. Minuman sejuk berais menjadi kegemaran.
Bukannya tujuan untuk makan minum sangat, lebih kepada lepak dengan kawan kawan. Maklumlah pada siang tadi berpuasa, tidak boleh sembang merapu tidak tentu atau ketawa terbahak bahak, takut terbatal puasa. Anihnya apa sahaja yang dijual terasa lebih enak dari biasa.
'Penyedap' adalah satu daya tarikan yang dapat menarik pelanggan yang disediakan oleh perniaga yang enterprising (berkreativiti, initiatif dan bersedia mengambil cabaran). Alah ... ia hanya satu slang yang digunakan dimana perniaga membawa anak gadis sendiri untuk membantu perniagaan. Kehadiran anak gadis ini akan membuatkan gerai tersebut sentiasa dikunjungi dan dipenuhi. Lebih lagi kalau anak gadis itu cute. Sambil jamu selera sambil jamu mata.
Kalau ada penyedap bukan setakat remaja dari kampung itu yang menjadi pelanggan tetap tetapi juga remaja dari beberapa kampung lain juga akan berkunjung disini. Maka terjadilah babak babak macam dalam wayang gambar dulu dulu. Bergaduh kerana ingin memikat anak gadis tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan