Halaman

Khamis, 25 Ogos 2011

tidur dalam semak ......

Minggu lepas aku membaca satu artikel yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian, Ia mengenai catatan seorang penulis mengenai pengalaman malam Ramadhan. Kalau tengok timeline, penulis tersebut seangkatan dengan aku. Penulis menceritakan bagaimana mereka menghabiskan malam Ramdahan semasa keluarga sedang menunaikan solat tarawih. Beliau menceritakan tentang main sorok sorok dan mengenai seorang kawan yang tertidur diatas pokok.
Membaca rencana tersebut mengingatkan aku kepada pengalaman yang serupa yang berlaku kepada diri aku sendiri. Juga berlaku pada malam bulan Ramadhan ketika keluarga yang lain menunaikan solat sunat tarawikh. Aku pula tertidur didalam semak diatas timbunan lalang kering yang sangat menyeronokkan.
Kalau aku tidak dapat menggunakan basikal kerana lambat atau kerana orang lain perlu menggunakan basikal, aku akan kesurau untuk berjumpa dengan kawan kawan sebaya lain. Kami tidak naik atau masuk ke surau mengerjakan solat, tetapi akan sepakat untuk bermain diluar suaru. Kami telah mencari kata sepakat tentang apa yang akan dimainkan untuk malam tersebut.
Permainan yang paling digemari ialah 'sentry', Ia memerlukan ramai orang dan dibahagikan kepada dua kumpulan. Permainan ini sama seperti filem combat atau 'war game'. Tidak perlu pakaian seragam atau senapang. Satu kumpulan akan menyurok manakala satu kumpulan lagi akan mencari. Kumpulan yang mencari perlu berhati hati kerana mereka juga boleh di 'tembak dan mati' dan dikira kalah. Anggota mana mana kumpulan akan dikira mati apabila dia dilihat atau dijumpai dan namanya disebut oleh anggota kumpulan yang lain. Kumpulan yang kematian semua anggotanya dikira kalah dan permainan set baru akan dimulakan dengan kumpulan yang kalah mencari.
Kebanyakkan pemain mempunyai tempat bersembunyi yang digemari termasuk dalam bilik air, dibawah surau, disebalik tiang atau pokok atau dimana sahaja yang difikirkan sesuai. Juga mereka boleh mengubah tempat untuk mengelakkan dikesan.
Aku lebih suka menyorok dalam semak dikeliling kawasan surau. Menyorok dalam semak atau lalang lebih susah untuk dijumpai. Bila menyorok dalam semak semak aku tidak langsung memikirkan keselamatan.  Tidak terfikir tentang binatang bisa seperti ular, lipan jengking dsb. Agaknya binatang tersebut takut kepada kami dan habis cabut lari ketika kami sedang bermain. Ketika menyuruk dalam semak, semua tidak menggunakan lampu suluh. Lampu suluh menjadi macam gadjet untuk orang dewasa sahaja. Walau murah tetapi jarang anak anak memilikinya.
Kalau tempat menyorok itu sukar di jumpai oleh pihak musuh aku akan terus duduk disitu sehingga anggota kumpulan datang memanggil. Ia berlaku jika permainan tamat. Jika tidak aku tidak akan keluar. Disinilah kadang kala boleh tertidur. Tetapi walau terlena, kami seolah tahu bila hendak bangun. Kalau keadaan menjadi senyap sunyi bermakna jemaah telah selesai sembahyang dan sedang menikmati juadah yang dibawa dari rumah untuk dimakan bersama. Setiap keluarga akan membawa juadah berbuka puasa yang memang dibuat lebih dan diasingkan untuk dibawa ke surau. Ketika itu mana yang terlena akan bangun dan perlahan tumpang semangkuk.
Mungkin kerana kehidupan susah ketika itu maka tidak ada banyak baju atau seluar untuk diganti. Jadi seluar dan baju yang dipakai tadi semasa bermain akan digunakan untuk malam esok. Bayangkan dengan bau peluh dan miang dari pokok dan lalang. Bila balik kerumah kami biasanya akan terus tidur tanpa menyalin pakaian atau mandi. Macam mana nak mandi kalau perigi  terletak 100 meter dari rumah dan keadaan gelap gulita. Masa bermain tidak langsung merasa takut tetapi bila hendak pergi ke perigi, huhh seram tengkok...
Ada juga kawan yang tercedera terkena duri atau tunggul kayu, selalunya tidak akan memberitahu ibu bapa. Mana nak bagi tahu ... alamatnya malam besok tidak boleh keluar rumah la..
Oh ya surau kampung aku diberi nama Surau Tengku Muhriz. Masa itu aku tidak tahu siapa dan apa kaitan dengan nama surau. Tunku Muhriz di tabalkan Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke sebelas pada Dec 2008, menggantikan Tunku Jaafar Ibni Almahrum Tunaku Abdul Rahman, baru aku faham serba sedikit sebanyak. Tuanku Muhriz adalah anakanda ke sembilan Tengku Munawir dan adalah cucu kepada Yang DiPertuan Agong yang pertama Tuanku Abdul Rahman.
    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan