Halaman

Khamis, 15 September 2011

Ke kebun naik basikal ...

Cuaca pagi ini sungguh ceria dan nyaman selepas beberapa hari hujan. Walaupun beberapa tempat di negeri jiran Perlis mengalami banjir, ia tidaklah berapa teruk seperti musim hujan yang lalu. Tidak ramai yang dipindahkan dan yang berpindah pun hanya untuk satu dua hari sahaja.  
Aku mengambil keputusan untuk berkayuh ke kebun pagi ini. Aku mengusahakan sedikit tanaman cendawan tiram kelabu bersama seorang rakan untuk mengisi masa. Setakat ini hasilnya Alhamdulillah ... mungkin dalam masa terdekat kami akan menambah bilangan atau kuantiti untuk menampung permintaan. Bangsal yang sedia ada mampu menampung tiga kali ganda kuantiti yang kami usahakan kini. Setakat ini segala usaha kami lakukan sendiri tanpa perlu mengupah pekerja.
hasil pertama ..
Usaha kami ini juga mendapat sokongan dari Pertubuhan Peladang Kawasan yang berjanji akan membantu dan membesarkan lagi perusahaan tersebut. Soalan cepumas yang diutarakan kepada kami adalah kami sanggup atau mampu mengusahakan. Jawapan kami mudah... usaha dahulu, jika tidak mampu gajikan pembantu.
Projek tanaman cendawan ini kami usahakan tanpa ilmu,  pengalaman atau tanpa menghadiri mana mana kursus dan latihan. Sedikit ilmu yang kami gunakan diperolehi dari rakan rakan dan pengusaha cendawan di sekitar Sungai Petani. Kami membuat beberapa lawatan ke bangsal cendawan dan dari penerangan dan perbualan dengan pemilik kami yakin boleh meneruskan projek tersebut. Yang paling banyak membantu adalah kemudahan internet. Pelbagai maklumat dan penerangan diperolehi darinya.
Projek tanaman cendawan ini tidaklah susah. Malah ianya lebih selesa kerana tidak perlu berjemur dibawah panas matahari di ladang seperti mengusahakan tanaman lain. Tidak ada kerja berat seperti menyiram air, meracun atau membaja. Tiada pagar diperlukan kerana ianya didalam bangunan. Tidak banyak musuh termasuk binantang liar seperti kera, babi, lembu atau kambing yang merosakkan tanaman.
Bukanlah aku hendak mencari publisiti dengan merekodakan didalam blog basikal ini, tetapi sedikit sebanyak usaha ini mendatangkan hasil lumayan dan berfaedah. Ia juga menjejaskan sedikit sebanyak aktiviti kayuhan.
Itu sebabnya aku berhasrat untuk menggunakan basikal untuk ke tempat projek cendawan. Ia hanya mengambil masa kurang dari 30 minit untuk sampai. Dengan cara ini aku dapat dua manafaat, berkayuh dan berkerja.
Agak risau berkayuh melalui jalan Taman Kempas ke Pinang Tunggal kerana bilangan kenderaan yang banyak melalui jalan ini. Jalan ini menghubungkan selatan Negeri Kedah dan Utara Negeri Pulau Pinang dengan Sungai Petani dan utara Kedah. Kehadiran lori lori besar mengangkut pasir sungai dan tanah memburukkan lagi keadaan. Umum tahu lori tersebut mementingkan masa mereka dan kurang prihatin kepada pengguna lain. Lori dipandu laju dan kadangkala dengan muatan lebih yang mendatangkan bahaya kepada kenderaan lain.


Statistik
   Mula .............. 7.15 pagi
   Sampai .......... 7.45 pagi
   Jarak .............. 28 km
   Cuaca ............. panas
   Laluan ............ Taman Kempas - Pinang Tunggal

Tiada ulasan:

Catat Ulasan