Halaman

Isnin, 29 April 2013

Dua round ... mind over matter

mind over matter: 'kuasa minda untuk mengawal dan mempengaruhi badan'

Selepas solat suboh memang rasa tidak teruja lansung untuk berkayuh.... tetapi sebelah malam tadi aku sudah merancang kemana arah kayuhan hari ini. Cuaca pagi cerah tetapi agak berjerubu sedikit, bukan jerubu akibat pembakaran hutan atau pembakaran terbuka tetapi mungkin disebabkan hujan malam di tempat lain. 
Aku lawan perasaan untuk tidak berkayuh ... aku mengenakan pakaian tanpa memikirkan sangat tentang perasaan. Kalau diikutkan perasaan, tidak tahu bagaimana otot otot kaki rasa lengoh, badan rasa tidak bermaya akhirnya tidak pergi berkayuh. Aku pilih roadbike yang sudah agak lama diabaikan kerana berhasrat untuk membuat kayuhan di jalan lencongan timur barat.
Semasa merancang malam tadi aku mempunyai beberapa pilihan. Pertama adalah mengikuti jalan utama Sungai Petani Alor Setar hingga ke Pekan Guar Cempedak dan pulang melalui Yan dan Merbuk. Ada sebab kenapa ia menjadi pilihan utama. Aku tengah berangan angan untuk membuat kayuhan ke Kangar Perlis dengan jarak melebihi 100 km. Kalau jadi mungkin selepas pilihan raya ke 13 nanti. Mungkin bermalam di sana. Jadi aku perlu membuat latihan kayuhan jarak pertengahan antara 60 hingga 100 km.
Kedua aku merancang untuk ke Kulim. Jaraknya lebih kurang sam dengan jarak pilihan pertama tadi. Rasanya sudah lebih setahun tidak berkayuh kesini. Kelmarin ada 'Padang Serai MTB Mini Jamboree 2013'. Dengar cerita ada lebih kurang 1050 orang menyertai. Dianggap berjaya.
Ketiga aku ada juga memikirkan berkayuh ke Butterworth memasuki laluan BORR. Rancangan aku untuk berkayuh di Pulau Pinang dengan membawa basikal menaiki feri dari Butterworth masih belum kesampaian. Juga aku sedang merancang untuk membuat kayuhan jauh ke Taiping dalam masa terdekat .... mungkin sebelum bulan Ramadhan yang tidak lama lagi.
Pilihan terakhir adalah untuk mengikuti jalan ke timur ke Baling. Satu lagi laluan yang sudah lama tidak diikuti. Ahhhh ... konfuse aku. 
Apabila kayuhan dimulakan dan sebaik memasuki jalan lencongan barat, aku mengambil keputusan untuk membuat dua pusingan di jalan lencongan ini. Dengan jarak melebihi 60 km aku rasa memadai untuk kali ini. Lagi pun ada program untuk esok dan lusa. Tidak mahu badan letih sangat.
Aku berkayuh dua pusingan tanpa henti kecuali di persimpangan lampu isyarat yang tidak sempat dilintasi. Terfikir dan terdetik juga dihati apabila aku menyedari aku dapat melepasi 90% persimpangan lampu isyarat tanpa perlu berhenti. Seronok tetapi kadang kala bahaya juga. Bukan apa .. dalam keadaan negara sedang sibuk berkempen untuk menghadapi pilihan raya umum ke 13, apa sahaja yang berwarna akan dikaitkan dengan lambang parti yang bertading. Adakah 90% lampu hijau yang aku tempuhi semasa kayuhan hari ini akan diterjemahkan kepada keputusan PRU tersebut.
Selesai dua pusingan ... tiada merasa sebarang masalah pun. Pasti menyesal jika aku tidak melawan rasa hati tidak mahu berkayuh sebentar tadi. Nyaris aku teringin untuk membuat pusingan ketiga, tetapi perlukan 'top up'. Perut sudak kosong dan tekak sudah kering. Tidak mengapa lain kali aku akan lengkapkan tiga pusingan.

Statistik : 
    Mula ............... 7.50 pagi 
    Tamat .............  10.30 pagi
    Jarak ............... 65 km
    Cuaca .............. Nyaman
    Laluan ............. Lencongan 2 x
   Odometer 2013 : 01548
   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan