
Aku ke Kota Kuala Muda dan kemudian ke Bumbung Lima melalui Pematang Bendahari merentasi kawasan sawah padi. Di kiri kanan kelihatan petani sedang berkerja di bendang yang baru selesai dibajak melakukan kerja persiapan sebelum benih padi ditanam. Ada juga yang mencari rezeki menjala ikan didalam tali air di tepi jalan. Sempat aku berhenti untuk melihat tetapi tidak banyak ikan yang terlekat pada jalanya. Agaknya terlalu ramai dan kerap orang menjala ikan hinggakan kehabisan ikan didalam tali air tersebut.
Apabila melintasi di bawah lebuhraya PLUS menuju ke Bumbung Lima aku macam terdengar orang memanggil nama aku. Aku melihat dan memandang sekeliling memberi tumpuan pada sebuah kedai makan ditepi jalan tetapi tidak kelihatan siapa yang aku kenal. Ah ... mungkin tersalah dengar atau mungkin ada orang yang mempunyai nama sama. Meneruskan kayuhan sambil menikmati pemandangan kawasan sawah padi. Aku juga tercari cari jalan ke Rekreasi Pantai Kamloon kerana ada signboard menunjuk ke arah tempat rekreasi tersebut. Aku tahu hanya jalan melalui pekan Bumbung Lima.
Sebentar kemudian sebuah kereta Proton Wira dipandu perlahan disebelah aku dan sekali lagi nama aku di panggil. Oh .. betullah pendengaran aku tadi. Seorang kawan, Sham (maaf aku tidak nama penuhnya) yang sudah agak lama tidak berjumpa dan berkayuh sama. Kami berbual sambil meneruskan kayuhan. Aku kemudian menyesal berbuat demikian, tidak hormat kepada kawan. Sepatutnya aku berhenti berkayuh dan sekurang kurangnya berjabat tangan. Sekiranya dia membaca blog ini, aku mohon maaf dan tidak akan melakukan perkara sedemikian dimasa akan datang. Aku mengucapkan terima kasih kerana bersusah payah memandu keretanya berjumpa, bertanya khabar dan kemudian berpatah kembali.
Aku membelok kekiri ke arah Sungai Muda. Dari Kota Kuala Muda tadi aku teringin untuk berkayuh diatas 'ban tebatan banjir' yang hampir siap. Rasa boleh dilalui kerana kelihatan beberapa biji motorsikal berada diatas ban tersebut. Rasanya tidak lama lagi kenderaan kecil terutama motorsikal dan basikal akan boleh melalui ban tersebut pada kedua dua belah Sungai Muda. Mungkin akan ada yang akan menganjurkan 'Kayuhan Tebing' menyusuri sungai.
Walau terpaksa mengurangkan kelajuan tidak melebihi 15km/j tetapi rasa seronok. Jalan masih berbatu merah dan banyak lecak kerana hujan yang beterusan beberapa hari lalu. Pernah aku dengar bahawa ban ini akan diturap dan ditar. Sama sama kita tunggu dan lihat.

Aku melalui bawah jambatan kereta api berkembar dan pulang melalui Pinang Tunggal. Sempat singgah di tempat kerja dahulu untuk bertanya khabar dengan rakan sekerja dahulu.
Statistik :
Mula ............... 08.20pagi
Tamat ............. 11.00 pagiJarak ............... 51 km
Cuaca .............. Panas
Laluan ............. Kota Kuala Muda - Bumbung Lima - Pinang Tunggal
Odometer 2012 : 03506