Halaman

Sabtu, 28 September 2013

Seperti Sang Kancil berlumba dengan Siput

Kayuhan ke selatan arah Kepala Batas Pulau Pinang pagi ini mengingatkan aku cerita yang aku dengar masa sekolah rendah 50 tahun lalu. Mungkin dalam darjah satu atau dua. Kemudian apabila pandai membaca, perpustakkan kecil sekolah menyediakan buku cerita rakyat dan cerita berkenaan binatang untuk dibaca oleh murid. Ingat, masa itu tiada komputer atau TV, hendak memiliki radio pun susah!
Pasti semua pernah mendengar atau membaca cerita 'Arnab berlumba dengan Kura-Kura'. Rasanya cerita ini paling banyak diceritakan hingga ke hari ini dan kini diadaptasi untuk animasi. Tujuan adalah untuk dijadikan tauladan kepada anak anak kecil. Satu lagi cerita ialah 'Sang Kancil berlumba dengan Siput'. Kurang sedikit mendapat publisiti.
Kenapa aku terkenangkan cerita kanak kanak ini? 
Dihadapan aku kira kira 150 meter kelihatan seorang pengayuh basikal. Apa lagi aku 'pulun' dan dalam masa agak singkat dapat memotongnya. Sap sap sui (bahasa Cina ... entah betul entah tidak) yang bermaksud 'senang sahaja'. Nun ... dihadapan ada seorang lagi pengayuh basikal, kali ini perempuan. mak cik. Misi adalah untuk memotong. Dengan kelajuan rb hampir dua tiga kali ganda dari basikal ala chopper nya, sekejap sahaja dapat mendahuluinya. 
Baru nak rilek kejap ada lagi pengayuh, kali ini bangla pula dengan basikal kegemaran mereka yang ada gear tetapi tanpa absorber. Depan lagi ada apek berseluar pendek kayuh bersahaja, dari jauh sudah tercium bau curutnya yang tidak pernah meninggalkan bibir sejak dinyalakan. Depan ada lagi .... ada lagi.... ada lagi. Hai .. bila nak habis nih.  
Ini yang aku maksudkan 'seperti sang kancil berlumba dengan siput'. Bukan berlumba dengan seekor siput tetapi banyak siput disepanjang sungai.... semuanya nampak serupa. Bila memotong seekor, ada lagi seekor di hadapan..... tidak putus putus. Patutlah sang kancil mati keletihan. 
Bagus juga, masih ramai yang mengunakan basikal sebagai kenderaan untuk ke destinasi berdekatan. Sekarang ini harga bahan bakar meningkat dan akan meningkat lagi. Bagi pengayuh solo seperti aku kehadiran ramai pengayuh basikal dijalanan sesuatu yang menyeronokkan juga.
Adakah aku menyesal membuat kayuhan pagi ini? Semasa keluar dari rumah, matahari sudah menyinar. Hati kecil berkata "hujan tidak akan turun pagi ini berbanding pagi kelmarin". Beberapa kilometer dari rumah sudah ada tompok tompok awan melindungi cahaya matahari. Dalam tempuh satu jam keseluruhan langit sudah diliputi oleh awan. Ketika itu aku sudah berada lebih 30 km. Alhamdulillah ... sejuk tetapi besar kemungkinan aku akan basah kuyup sebelum sampai pulang ke rumah.
Aku terpaksa pendekkan masa dengan tidak berlengah lengah melihat apa yang menarik dikiri kanan laluan. Juga pendekkan waktu rehat sarapan pagi. Nun jauh di bukit bersebelahan Tikam Batu sudah kelihatan putih kelabu menandakan hujan mulai turun dengan lebat.
Dapat tempat berteduh rumah pengawal loji pembersihan air Piang Tunggal. Menghabiskan masa lebih satu jam menantikan hujan reda. Hanya basah sedikit sahaja apabila sampai kerumah.....

Statistik : 
    Mula ............... 8.00 pagi.
    Tamat ............  12.00 pagi
    Jarak ............... 61 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Kepala Batas - Tasik Gelugor
   Odometer 2013 : 03663

Khamis, 26 September 2013

Panas ......

Sejak beberapa hari kebelakangan ini cuaca agak panas walaupun cahaya matahari tidak berapa terik. Panasnya hingga mencucuk dan menembusi kulit. Lebih lagi kalau bahagian kulit yang tidak ditutupi pakaian seperti lengan dan muka.
Sebelum memulakan kayuhan aku sempat meninjau keadaan cuaca hari ini yang disiarkan dalam webpage Yahoo untuk kawasan Kedah. Cuaca sekitar jam 7.30 pagi ialah 32 darjah dan akan meningkat kepada 36 darjah untuk hari ini. Langit dijangka mendong tetapi panas.
Jika diikutkan aku tidak mahu membuat kayuhan pagi ini kerana kelmarin sudah dapat dos mencukupi sejauh 60 km, tetapi aku ingin menguji barangan yang aku ganti iaitu 'hub' untuk kedua dua tayar. Ujian statik dikedai basikal selepas pemasangan roda berpusing agak lancar, tidak tersekat sekat atau berputar lebih lama berbanding dengan hub asal. 
Mungkin agaknya masih letih kerana kayuhan kelmarin kerana aku hanya mampu mencatatkan peningkatan kelajuan kayuhan sekitar 20% sahaja. Adakah peratus peningkatan kelajuan akan bertambah jika aku menggunakan hub baru yang lebih mahal. Semakin lama berkayuh semakin kurang peratusnya, besar kemungkin kerana keletihan. Walau apa pun tengok sahaja beberapa bulan nanti. Kalau ada wang lebih mungkin aku akan tukar lain.
Baru satu jam berkayuh sudah mula terasa bahang kepanasan. Keadaan diburukkan lagi kerana aku mengikuti laluan kawasan sawah padi di Lembah Bujang. Di kiri kanan jalan ialah bendang yang baru dituai dan akan ditanam semula untuk kali kedua tahun ini. Aku memaksa diri untuk berpatah balik kerana ingin sahaja meneruskan kayuhan ke Tanjung Dawai.
Peluh masih mengalir laju terutama dibahagian muka masa aku singgah untuk sarapan di gerai kesukaan aku di persimpangan Kampung Bendang Dalam, Merbuk. Keadaan peluh tersebut membuatkan aku ditegur oleh gadis penjaga kedai yang sudah mesra dengan kehadiran digerai tersebut. Beredar sebaik sahaja selesai sarapan kerana tidak mahu cuaca panas terik semasa kayuhan pulang nanti.

Statistik : 
    Mula ............... 8.00 pagi.
    Tamat ............  10.15 pagi
    Jarak ............... 43 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Segantang Garam - Merbuk
   Odometer 2013 : 03602

Rabu, 25 September 2013

Buatan orang ..........! ?

'Frust' .... perkataan yang selalu digunakan oleh muda mudi di zaman 80'an dulu. Terlintas dikepala bila aku hendak uodate blog untuk kayuhan pagi tadi. Semasa kayuhan berbagai cerita dan idea yang datang tetapi tiada peluang untuk mencatatkan atau merekodkan. Bila tiba dirumah semua idea tersebut terlupa. Jenuh juga cuba memikirkan apakah yang hendak dicatatkan.
Pada mulanya aku terasa berat hati untuk melakukan kayuhan. Selesa dan seronok pula berehat tanpa berbuat apa apa selama dua pagi yang lalu. Tetapi aku kuatkan semangat. Berita mengenai seorang kawan rapat yang di'wad'kan di hospital Metro Sungai Petani awal pagi kelmarin memberi suntikan semangat untuk melakukan kayuhan pagi ini. Aku dapat tahu yang dia dimasukkan ke hospital melalui 'facebook'.
Aku merancang untuk melawat beliau selesai kayuhan. Harapkan dia belum discharge lagi. Dalam perjalanan tadi aku singgah di lokasi jualan Lemang Pak Teh untuk bertanya kepada kawan kawan disana kalau ada berita baru mengenai rakan tersebut.
Pada mulanya aku ber rcadang untuk berkayuh setakat jam 9.00 pagi dan berpatah pulang tidak kira dimana aku sampai. Aku mengubah fikiran apabila hampir sampai ke Telok Air Tawar pada waktu yang ditetapkan dan meneruskan kayuhan hingga ke persimpangan BORR. Masih awal dan rasanya aku boleh sampai ke rumah sebelum jam 11.00 pagi termasuk waktu 'kecederaan'.
Berbeza dibandingkan dengan kayuhan pada Ahad lau bersama Juan, aku tidak berhenti rehat untuk sarapan dan mengisi perut sehingga berkayuh lebih dari 2 jam. Inilah yang biasa aku lakukan apabila berkayuh seorang diri. Aku berhenti disebuah gerai berhampiran Jambatan Merdeka disebelah Kedah. Seronok juga menjamu selera dengan nasi lemak dan menjamu mata melihat sawah bendang yang baru dibajak untuk ditanam semula.
Aku tidak berehat lama dirumah, selalunya berehat menunggu suhu badan betul betul sejuk sebelum memasuki bilik air untuk mandi. Kali ini semua aku cut short. Ada dua 'task' yang perlu dilakukan. Pertama untuk ke kedai basikal Soon Lee, Taman Intan untuk menukar 'hub' basikal mountain yang diubahsuai menjadi 'touring bikes'. Hub yang datang sekali dengan rim, spoke dan tayar tidak begitu berkualiti.  Ia tidak lancar dan pergerakan agak perlahan. Aku membuat beberapa pertanyaan untuk membeli set baru tetapi harga mencapai lebih RM400.00. Jalan murah adalah untuk menggunakan semula hub yang dipasang pada rim 26 inci lama yang aku gunakan sebelum ini.
Ada sedikit masalah. Rim baru hanya mempunyai 32 spokes berbanding dengan rim lama dengan 36 spokes. Bolehke tinggalkan empat lubang kosong pada hub yang lama. Tidak menjadi masalah, tetapi masalah besar ialah apabila hendak memasang spokes kepada rim. Mengikut SK Juan, tidak mengapa cuma memerlukan seorang yang agak pakar.

Kelebihan hospital swasta berbanding hospital kerajaan ialah tiada masa untuk melawat. Boleh datang bila bila masa sahaja. Walau kadang kadang doktor membuat pemeriksaan, pelawat boleh berada berdekatan. Aku terpaksa menalifon seseorang untuk memastikan kawan yang aku hendak lawat masih berada diwad. Cuai sungguh aku. Apabila masuk ke wad, aku hanya melihat pada papan utama yang mencatatkan nama pesakit dan nombor bilik. Tiada pun nama kawan aku dicatatkan disitu. Aku keluar dan mencari ditingkat 2, tetapi tingkat ini hanya menempatkan orang yang parah dan tenat sahaja (ICU). Aku turun semula ke tingkat 1 dan mencari dari bilik ke bilik.
Pelik juga bila pihak hospital tidak dapat men'diagnos' penyakit kawan tersebut. Semua ujian termasuk x-ray telah dilakukan. Doktor suruh berehat sementara ujian lain dilakukan. Mungkin ada kena mengena dengan saraf agaknya dan doktor ada mencadangakan untuk mendapat rawatan lanjut dihospital pakar di Pulau Pinang pula.
Penyakit yang dialami ialah kesejukkan melampau dibahagian bawah lutut hingga sukar untuk tidur malam. Sejuk seperti meletakkan ketulan ais pada kedua belah kaki. Kesejukkan akan berkurangan jika bergerak atau berjalan. Lain lain anggota badan normal sahaja. Selera makan ok.....


Habih tu kalau hospital kata tidak sakit apa apa, kesimpulan ? buatan orang ke .....

Statistik : 
    Mula ............... 8.00 pagi.
    Tamat ............  10.50 pagi
    Jarak ............... 63 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Bagan Ajam
   Odometer 2013 : 03559

Isnin, 23 September 2013

Kurang 3 km .....

Pelawaan dari SK Juan semasa bersembang di kedai basikal Taman Intan pada pada jumaat dua hari lalu untuk berkayuh ke Baling. Katanya ada lebih kurang enam orang berminat untuk membuat kayuhan tersebut pada pagi Ahad. Aku tanya kenapa hari ahad kerana kebiasaannya dia akan ke church pada sebelah paginya. Oh ... mereka pun boleh 'miss' juga untuk ke gereja.
Petang sebelum hari kayuhan aku menerima panggilan telefon dari Juan menyuruh aku mengunggu di hentian bas hadapan kilang Sharp Roxy pada jam 7.30 pagi. Seingat aku kayuhan akan bermula pada jam 7.00 pagi semasa dia membuat pelawaan. 
Aku sedang bersiap sedia apabila menerima panggilan telefon sekali lagi mengatakan kayuhan ke Baling dibatalkan kerana semua yang sepatutnya pergi menarik diri tetapi Juan masih berminat untuk berkayuh bersama aku. Mengikutnya mungkin kami akan ke Yan. Kira kira lima minit kemudian Juan mengetuk pintu pagar rumah aku,
Ramai dijalanan pagi ini. Sebaik keluar dari rumah dua orang rider memotong kami tanpa sebarang teguran. Ingakan 'terror' sangat mereka. Sebaik mendapat rentak kayuhan aku dan Juan mendahului mereka tetapi kali ini Juan menegur mereka bertanyakan arah mana mereka berkayuh. Mereka akan berkayuh kearah selatan menuju ke Butterworth manakala kami akan kearah bertentangan menuju ke Yan.
Di awal lencongan barat memotong seorang rider yang memakan buah pear sambil berkayuh. Tidak serius agaknya. Dipersimpang jetty Semeling sekumpulan lima atau enam cyclist sedang berhenti, mungkin menunggu rakan lain sampai. Diseberang jambatan dihentian bas lencongan Semeling terdapat satu lagi kumpulan berhenti disana. Kali ini Juan mengajak aku singgah sebentar kerana dia mengenali seseorang dari kumpulan tersebut. Mengikut kawan Juan, mereka akan berkayuh ke Gunung Jerai.
Juan pada mulanya ingin singgah di Kedai Basikal di pekan Yan Kecil tetapi kedai masih belum dibuka kerana masih awal. Dia kemudian mengajak aku berkayuh ke pekan Sungai Limau seperti yang aku cadangkan sebelum sampai ke Yan tadi.
Walaupun sudah singgah sarapan pagi di Yan sebentar tadi, kami berhenti untuk berehat di sebuah kedai makan di pekan Sungai Limau. Bukan apa..... untuk melihat aktiviti di pekan kecil ini. Kebetulan pagi Ahad ada pekan sehari atau pasar minggu disepanjang jalan pekan ini. Agak sibuk juga dengan segala jenis jualan dan produk kampung yang dibawa keluar untuk dijual. Kesian, orang ramai terpaksa meletakkan kereta dan berjalan kaki agak jauh dari tapak pasar minggu.

Aku mengajak Juan mengikut jalan ditengah bendang dari Sungai Limau ke Teroi. Kedua dua kami belum pernah mengikut jalan ini dan terpaksa menahan seorang penunggang motorsikal bertanyakan kemanakan jalan ini akan sampai. Aku tahu kami tidak akan sesat kerana berpandukan Gunung Jerai diarah selatan. Kalau terus mengikut arah ke gunung tersebut kami akan sampai ke Guar Cempedak. Seronok melalui jalan kampung dan bendang ini, redup, rata dan jarang ada kereta walaupun motorsikal agak banyak juga.
Apabila sampai ke jalan Yan-Guar Cempedak kami membelok sekali lagi memasuki kawasan sawah padi dan perkampungan di kaki Gunung Jerai sehingga sampai ke lokasi jalan untuk naik ke gunung. Singgah di sebuah gerai di tepi jalan menuju ke Gurun. Ummph .... sungai enak rasanya air kelapa yang baru dikupas yang boleh didapati disepanjang jalan.
Apabila sampai semula ke Taman Intan, Juan mengatakan bahawa jarak kayuhan pagi ini ialah 100 km mengikut meter basikalnya, tetapi hanya 97 km pada meter basikal aku. Jarak kayuhan Juan lebih sedikit kerana dia bermula dari rumah di Taman Bastari, Bakar Arang. Jarak aku kurang 3 km dari paras 100 km. Seronok dan puas walaupun panas terik melampau pada tengah hari tadi.

Statistik : 
    Mula ............... 7.30 pagi.
    Tamat ............  1.00 petang
    Jarak ............... 97 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Merbuk - Yan - Sungai Limau
   Odometer 2013 : 03496

Jumaat, 13 September 2013

Lencongan ....






Statistik : 
    Mula ............... 8.00 pagi.
    Tamat ............  10.20 pagi
    Jarak ............... 42 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Lencongan barat
   Odometer 2013 : 03399

Khamis, 12 September 2013

Semua naik ..... basikal

Wah ... nyenyak sungguh aku tidur malam tadi kerana melakukan kayuhan pendek jelajah kampung petang semalam. Walaupun basikal penuh dengan lumpur dan slut tetapi seronok dan berasa puas dapat mengeluarkan peluh dan melonggarkan sendi tulang empat kerat. Jalan kampung yang aku lalui penuh dengan air dan lumpur. Langit agak kelam dengan awan hitam tetapi hanya terasa rintik rintik hujan. 
Pagi ini cahaya matahari keluar awal berbanding dengan empat lima hari lalu. Ketika itu boleh dikatakan hujan turun setiap pagi bermula dari sebelah malam. Aku tidak melepaskan peluang untuk keluar berbasikal walaupun aku tahu jalan masih lembab dan berair. Jenuhlah nanti untuk mencuci baju dan seluar yang terkena percikan air dari tayar gerek.
Kerana terlalu teruja untuk bekayuh aku terlupa bahawa hari ini ada program dengan panel penasihat klinik kesihatan Bakar Arang. Empat lima kali kayuhan terganggu kerana berhenti untuk menjawap panggilan telepon dari kakitangan klinik dan rakan panel bertanyakan tentang lawatan ke klinik desa dibawah tadbir klinik Bakar Arang. Terpaksa memberi alasan dan sedikit temberang mengapa aku tidak dapat menyertai lawatan tersebut.
Pagi kelmarin setelah selesai mengambil insuran dan road tax kereta ketiga iaitu Proton Tiara aku singgah untuk bersembang dengan SK Juan yang berada di kedai basikal Taman Intan. Biasanya kalau dia tidak berkayuh dia akan berada disana menghabiskan masa. Samada bersembang atau duduk bersahaja atau kadang kala membuat kerja membaiki basikal sendiri.
Rasanya sejak akhir akhir ini dia sedikit berubah kerana setiap percakapan mengenai basikal atau kayuhan dia sering memuji diri sendiri. Semasa aku singgah dia sedang mencuci rim basikal berjenama yang tidak menggunakan tiub dalam ('tubeless'). Aku katakan tidak perlu untuk mengunakan jenis tersebut kerana jenis kayuhan yang dilakukan. Ia sering mendatangkan masalah kerana lebih kerap mengalami kebocoran. Satu lagi aku nyatakan bahawa kesukaran mendapatkan tayar gantian. Bukan banyak kedai menjual tayar jenis ini. Tetapi ia bertegas mengatakan jenis ini membolehkan kelajuan maksima. Tidak dapat disaingi oleh rider lain.
Dua tiga bulan lalu apabila aku menukar mountain bikes kepada touring bikes ia mencadangkan cara untuk menukar brake untuk disesuaikan dengan tayar dari 26 inci ke saiz 29 inci (700 x 28 mm). Aku tidak pedulikan cadangan tersebut dan membuat mengikut cara sendiri. Minggu lalu dia datang kerumah untuk melihat apa modifikasi yang aku lakukan dan dia menyatakan untuk membuat cara tersebut. Saiz tayar yang pada mulanya dikatakan lebih sesuai iaitu 700 x 28 juga ditukar kepada saiz yang aku gunakan iaitu 700 x 23c.
Dia begitu berbangga kerana pada usia mencecah 78 tahun masih mampu berkayuh dan sering menceritakan tidak dapat disaingi oleh rider yang jauh lebih muda darinya. Dia juga begitu berbangga kerana sering menjadi tumpuan pemberita akhbar sebelum bermula jamboree basikal kerana menjadi peserta paling tua menyertai. Mengikutnya sudah lima enam kali dia keluar dalam akhbar cina.
Aku sekadar berkayuh untuk kesihatan dan untuk leisure dan pleasure menggunakan basikal basic.
Cakap pasal insuran kereta aku terkejut apabila quotation (sebutharga) third party untuk kereta 1.1 litre meningkat hampir RM50.00 berbanding dengan harga tahun lalu. Biasanya premium akan menurun setiap tahun tetapi tidak begitu sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Aku mencari alternatif  syarikat insuran lain dan dan rasa beruntung kerana mendapat harga yang hampir serupa dengan jumlah yang dibayar sebelumnya. Apalah .... menyusahkan orang ramai sahaja. Harga petrol pun baru naik dari RM1.90 kepada RM2.10 setiap liter seminggu lalu. Tidak lama lagi harga barangan dan servis akan turut naik. Semua naik.
Aku pun naik .... naik basikal.

Statistik : 
    Mula ............... 8.00 pagi.
    Tamat ............  10.20 pagi
    Jarak ............... 50 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Lencongan barat
   Odometer 2013 : 03357

Jumaat, 6 September 2013

Antara hujan

Letih menunggu musim hujan berlalu, rasanya lama lagi musim hujan akan berhenti. Pihak kerajaan mengarahkan anggota keselamatan terutama PGA untuk bersedia dan mengaktifkan bilik gerakan sebagai menghadapi kemungkinan musim banjir yang mungkin akan melanda dalam masa terdekat. 
Bila mendapat peluang aku tidak melepaskan untuk berkayuh walaupun kadangkala terperangkap dalam hujan. Tetapi aku tidak mahu mengambil risiko dan hanya membuat kayuhan pendek dan tidak melebihi dua tiga jam. 
Bukan hendak berbangga tetapi tahap kesihatan aku akhir akhir ini amatlah baik, mungkin kerana kesan kayuhan yang kerap dilakukan. Betul itu semua anugerah Allah tetapi sebagai insan kita perlu melakukan sesuatau agar kesihatan kita terjaga. Kenapa aku bangkit perkara ini, pada musim hujan ini aku perhatikan ramai orang yang diserang selsema dan demam termasuk ahli keluarga aku sendiri. Terpaksa keluar wang untuk perubatan di klinik dan membeli ubat. Dalam rumah aku seorang yang tidak mengalami apa masalah. Alhamdulillah.

Statistik : 
    Mula ............... 8.05 pagi.
    Tamat ............  9.40 pagi
    Jarak ............... 42 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Lencongan barat
   Odometer 2013 : 03307

        

Isnin, 2 September 2013

Lencongan Barat

Sekali lagi kayuhan pendek. Tidak pasti dengan cuaca hari ini. Kelmarin hujan turun dengan lebat dikawasan sekitar Sungai Petani tetapi tidak di kawasan rumah aku. Hujan biasa je ....
Beberapa rumah sahabat aku dimasukki air dan ari pagi tadi bertungkus lumus membersihkan lumpur dan slut akibat banjir. Beberapa kerugian juga dialami. Kawasan teruk terlibat adalah di Kampung Bukit dan Kampung Teluk Wang di Sungai Pasir.
Terpaksa membuat kayuhan pendek kerana aku dan beberapa rakan akan ke Alor Setar pada lewat pagi untuk menghadiri perjumpaan sambutan Hari Raya. Tidak boleh lah berkayuh jauh, nanti lewat pulak. Satu lagi sebab walaupun cukup masa untuk kayuhan selama dua jam, aku tidak mahu badan petih sangat. Tidak selasa pula perjalanan dan tidak bermaya semasa menghadiri program nanti.


Statistik : 
    Mula ............... 8.00 pagi.
    Tamat ............  9.20 pagi
    Jarak ............... 28 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Lencongan barat
   Odometer 2013 : 03265