Halaman

Rabu, 30 Jun 2010

Lagi Kebaikan Berbasikal


Aku ingin berkongsi dengan rakan rakan lain tentang kebaikan berbasikal. Tidak perlu aku komen apa apa kerana artikel tersebut menerangkan segalanya. Mungkin masa lima minit yang disyorkan terlalu singkat. 
 

Selasa, 29 Jun 2010

BOOR - Butterworth Outer Ring Road


Bukit Bendera dan Komtar dibelakang aku .....
Kayuhan kelmarin 28 Jun 2010 melalui lencongan timur dan barat Sungai Petani mengingatkan aku pada hutang untuk berkayuh di jalan baru BORR. Sebelum tidor malam tadi aku dah pasang niat untuk membuat kayuhan yang telah lama tertangguh. Cuaca pagi ini pun bagus dan kayuhan kelmarin menjadi pemanas badan dan melonggarkan otot untuk kayuhan yang lebih kurang dua kali ganda dari jarak kelmarin.
Jalan utama N1 Sungai Petani/Butterworth sememangnya sibuk disebelah pagi kerana orang pergi bekerja. Aku tidak berapa risaukan kereta atau lori tetapi amat berhati hati dan risau dengan motorsikal.  Kebanyakkan motorsikal ditunggang laju dan terlalu hampir dengan basikal apabila memotong.  Tidak boleh salahkan mereka, mungkin mereka mengejar masa untuk sampai ketempat kerja sebelum jam 8.00 pagi.  Pengguna basikal seperti aku kena berhati hati  supaya tidak berlaku  perkara buruk.  Jalan dari Tikam Batu ke sempadan Pulau Pinang iaitu sehingga ke Jambatan Merdeka agak sempit berbanding dengan lokasi lain. Disini kenalah memberi tumpuan lebih semasa membuat kayuhan.
Sebaik sahaja aku menghampiri Pekan Bumbung Lima sudah kelihatan Bukit Bendera, Pulau Pinang. Aku  memasuki lebuhraya BORR dengan perasaan yang serba salah. Adakah basikal dibenarkan kerana sepanjang jalan hanya aku sebiji basikal sahaja. Sebuah motorsikal peronda lebuhraya  sedang meronda,  dia pandang  kearah aku dan buat tidak tahu sahaja.  Kira OK lah tu, maksud aku tidak menjadi kesalahan mengayuh basikal di jalan ini. Melepasi tol melalui lorong motorsikal, nasib baik tidak kena bayaran tol.  Disuatu tempat aku melihat seorang anggota polis traffic sedang memasang kamera perangkap had laju. Kelajuan lebuhraya ini hanyalah 90kmj sahaja. Aku rasa polis ini akan balik tersenyum kerana sepanjang kayuhan aku di jalan ini, kenderaan termasuk lori memang dipandu laju. Pulak tu kamera dipasang ditempat yang terselindung, tidak mudak dilihat melainkan kenderaan dipandu perlahan. Tidak akan ada amaran lampu dari kereta dari arah bertentangan seperti biasa yang kita lihat apabila ada speedtrap atau sekatan jalanraya.
Aku selalu juga melalui jalan ini tetapi menggunakan kereta. Ia amat berbeza kerana dengan menaiki kereta hanya dapat melihat kiri dan kanan secara sepintas. Dengan basikal baru dapat melihat tempat tempat yang aku tidak tahu wujud di sekitar Butterworth. Pelabuhan Pulau Pinang, Stesyen Janakuasa, Kawasan Perindustrian, Bengkel KTM, Jambatan kereta api yang boleh berpusing, Dockyard membaiki Feri,  Jambatgan Pulau Pinang dan bermacam lagi.
Berhenti makan di sebuah  gerai di 'Pantai Bersih'. Aku tertarik dengan suasana dan pemandangan pantai dan Pulau Pinang. Kerana  terlalu seronok aku berehat lebih dari setengah jam. Kena mulakan kayuhan awal kerana cuaca tengahari akan panas terik. Biasanya angin di kawasana tepi laut akan bertiup kencang dan akan melambatkan kayuhan.
Oh ya... di Butterworth dan di Pulau Pinang memang terdapat ramai orang mengayuh basikal. Semuanya mengayuh agak perlahan dan aku memotong semua basikal tersebut. Apa tidaknya mereka menggunakan basikal lama jenis besi untuk berniaga, membawa barangan seperti karpet, kuih, roti dan ada juga membawa penumpang.
Aku pasti akan membuat kayuhan disini lagi.

Statistik :
   Mula : .............. 7.25 pagi
   Tamat : ............ 11.30 pagi
   Jarak : ............. 74.6 km
   Cuaca : ............ Panas
   Route : ............ Tikam Batu - Kepala Batas - Telok Air Tawar - Bagan Ajam - BOOR (Prai)


-------------------------------------------------------------------------------------------


Aku ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada tiga orang rakan sepadang kita yang menfaatkan basikal untuk tujuan amal. Selain dari menggunakan basikal untuk tujuan riyadah dan sosial, basikal mountain juga digunakan untuk tujuan murni seperti apa yang dilakukan oleh mereka.


Marilah kita mendoakan agar misi mereka berjaya dan dapat mengutip dana untuk meyiapkan masjid tersebut.


.

Isnin, 28 Jun 2010

Gantian


Lencongan Timur berhampiran 
Hospital Abdul Halim SP
Kayuhan pagi ini adalah untuk menggantikan kayuhan tidak jadi ke Gunung Jerai kelmarin 27 Jun 2010. Pada mulanya aku tidak berapa berminat untuk membuat kayuhan kerana aku kena pergi membeli parts/alat ganti  untuk membaiki kerosakkan pada 'clutch pump' Jeep Rocsta aku. Oleh kerana kedai spare parts kereta hanya akan mula dibuka pada jam 0900 pagi, aku ada  masa lebih kurang dua jam lagi. Lebih baik gunakan masa tersebut dengan cara yang berfaedah. Lagipun pagi ini tiada siaran ulangan perlawanan bolasepak piala dunia yang sedang berlansung di Afrika Selatan. Perlawanan bolasepak piala dunia kini memasuki pusingan kedua iaitu pusingan kalah mati. Tiga bulan sebelum perlawanan piala dunia aku mengambil bahagian dalam satu 'survey' dimana aku meletakkan pasukan Argentina sebagai pemenang.
Minggu lepas aku memulakan kayuhan mengikuti lencongan barat dan menamatkan melalui lencongan timur, pagi ini aku terbalikkan. Harapan cara ini akan mengurangkan jemu kerana terlalu kerap melalui jalan yang sama. Ah... yang penting adalah 'exercise', tidak kiralah berapa kerap kita melalui jalan yang sama, pemandangan yang serupa atau suasana yang stereotype.
Kelmarin aku sepatutnya membuat kayuhan Gunung Jerai bersama Juan, John serta beberapa orang lagi. Apabila aku memasuki lencongan Semeling menuju ke Bedong, clutch pump Rocsta aku gagal berfungsi. Aku pernah mengalami kerosakkan ini beberapa kali sebelum ini. Aku tidak dapat meneruskan perjalanan ke Gunung Jerai dan terpaksa berpatah balik. Tambahan pula, hari Ahad, tiada worksyop buka. Aku memandu perlahan menggunakan gear 2 sampai kerumah. Aku berjaya membuat timing pada setiap traffic light tanpa berhenti, kerana kalau berhenti enjin akan mati.

Bila sampai kepersimpangan Jalan Kuala Ketil, aku teringat tentang kayuhan ke Butterworth yang telah lama aku rancang. Sepatutnya aku kayuh di sana bila ada peluang seperti ini. Aku teringin untuk membuat kayuhan di Lebuhraya BORR (Butterworth Outer Ring Road) yang dibuka pada tahun lepas. Lebuhraya tersebut bermula dari persimpangan Sungai Dua hingga ke Kawasan Perindustrian Prai melalui tepi pantai. Mengikut kawan, basikal boleh menggunakan Lebuhraya tersebut. Aku ingin membuat kayuhan sebelum pihak lebuhraya tidak lagi membenarkan basikal menggunakan jalan tersebut. Jarak dari Sungai Petani adalah lebih kurang 30km sehala. Aku dengar ramai yang berkayuh di jalan tersebut terutama pada hujung minggu dan sebelah malam. Mungkin aku akan dapat tunaikan rancangan aku dalam minggu ini.


Statistik :
   Mula : .............. 7.45 pagi
   Tamat : ............ 9.10 pagi
   Jarak : ............. 32 km
   Cuaca : ............ mendong
   Route : ............ Lencongan Timur - Lencongan Barat

.

Selasa, 22 Jun 2010

Tanjung Jaga, Yan


Hari aku tinggal seorang saja dirumah. Aku lihat cuaca tidak berapa cerah pagi ini dan kelmarin hujan turun hampir satu hari. Mungkin hujan akan berterusan hari ini. Tidak ada apa kerja yang kena buat pagi ini kecuali untuk memilih baju koperasi pada sebelah tengahari. Jadi aku tekad untuk membuat kayuhan  kerana kayuhan akhir aku adalah pada hari Sabtu lepas. Rancangan aku  mudah saja,  mulakan kayuhan pada jam 7.30 pagi dan berpatah balik tepat jam 09.00 pagi, tidak kira sampai mana pun dan akan berada semula dirumah pada jam 10.30 pagi.
Pada awal kayuhan tiada masalah kerana cuaca pun amat nyaman sehingga sampai ke Tanjung Jaga. Sepanjang jalan selepas Pekan Merbok kelihatan motorsikal yang membawa raga berisi durian keluar dari kebun/dusun di atas bukit menuju ke gerai-gerai sementara yang didirikan disepanjang jalan. Beberapa kali aku ingin untuk berhenti membeli sebiji dua durian tetapi aku ingin habiskan kayuhan dahulu.
Sampai ke destinasi iaitu bukit terakhir Tanjung Jaga kurang 10 minit dari masa yang aku jangkakan. Agaknya kekerapan membuat kayuhan akhir ini membuatkan aku sampai awal sedikit dari jangkaan. Juga tiada masalah membuat pendakian tiga bukit kecil di jalan ini. Bukit akhir yang paling mencabar. Tiga kali percubaan yang berasingan baru berjaya. Apa tidaknya, lori yang penuh muatan terpaksa menggunakan gear paling rendah untuk pendakian bukit ini. Pernah aku lihat orang-orang muda hanya mampu berkayuh sampai dipertengahan bukit sahaja.
Air Bukit
Gambar sebelah yang diambil ditepi jalan Tanjung Jaga menuju ke Merbok  menunjukkan air dari bukit yang mengalir tanpa henti. Punca air tersebut  dibuat elok dengan batu konkrit dan paip PVC. Selalunya ramai orang bergilir gilir mengambil air disini menggunakan tong plastic dan membawa balik kerumah untuk kegunaan memasak dan minuman. Mungkin masih awal dan mungkin hari ini hari bekerja. Aku pernah dengar orang datang dari jauh seperti Pekan Sungai Petani dan Pekan Yan mangambil air ini.
Dari segi kandungan, memangnya air  ini bebas dari bahan kimia yang lazim digunakan di loji rawatan atau loji pembersihan air. Tiada kapur, tawas, fluorida dan yang orang ramai khuatir kandungan klorin. Sebaliknya kandungan bakteria dan kuman yang merbahaya kepada manusia  didalam air ini boleh dipersoalkan. Tidak diketahui samada air tersebut tercemar oleh bahan kimia dari racun dan pesticide yang digunakan di dusun dan kebun yang berada dilaluan air tersebut yang mungkin meresap kedalam tanah. Juga pencemaran bakteria dari najis binatang, unggas dan juga manusia.
Pernah dilapurkan didalam akhbar beberapa tahun yang lepas bahawa air yang diambil dari sini tercemar oleh virus yang terdapat dalam intestine haiwan termasuk manusia dan menyebabkan penyakit berjangkit. Pihak Jabatan Kesihatan  membuat persampelan dan ujian parameter kandungan air tersebut mendapati air tercemar oleh e-coli dan coliform. Dari mana punca bakteria tersebut tidak dapat dipastikan.
Jabatan Kesihatan atau pihak berwajib lain perlu meletakkan papan tanda amaran memberitahu orang ramai tentang risiko menggunakan air tersebut. Orang ramai perlu diberitahu tentang faktor keselamatan menggunakan air yang tidak dirawat. Jangan berpendapat setiap air yang datang dari gunung melalui hutan itu bersih dan tidak tercemar. Tambahan pula kebanyakkan kawasan tadahan air tersebut kini diterokai untuk dijadikan dusun dan ladang.
Menjadi kelaziman orang ramai, dimana terdapat sumber air bukit seperti jalan jalan baru, orang akan mengambil dan menggunakan air tersebut. Persepsi dan anggapan oranng ramai adalah air tersebut lebih selamat dari air yang dibekalkan oleh kerajaan dan air tersebut mempunyai lebih khasiat yang baik untuk badan.
Semasa berpatah balik aku melihat awan hitam pekat di sebelah Tanjung Dawai, Dalam hatiku pasti hujan akan turun sebentar lagi. Sebaik saja melepasi Singir Darat, hujan mulai turun. Sebelum jumpa tempat berteduh aku telah basah kuyup.  Mahu sahaja aku teruskan kayuhan dalam hujan, cuma takut  kena deman atau selsema. Pasti seronok berhujan seperti masa masa kecil dahulu. Aku berteduh disebuah gerai jualan buah buahan sementara yang tidak lagi digunakan  hampir 15 minit sehingga hujan reda.
Gerai Jual Durian - tempat berteduh dari hujan
Jalan masih dipenuhi air semasa hujan berhenti. Terpaksa meredah lopak dan tompok air tersebut dan kadang kala ada pemandu kereta yang tidak berhati perut meredah air terlalu laju dan terlalu hampir menyebabkan air terpercik ke badan aku. Sabar saje lah. Sampai dirumah aku terus merendam semua pakaian termasuk kasut dan helmet.
Hari ini ada dua jemputan untuk kayuhan bersama. Dahlan menelipon sebaik sahaja aku sampai kerumah dari kayuhan ke Tanjung Jaga. Dia mengingatkan dan menjumput aku untuk menyertai kayuhan di Cameron Highland pada 17 Jun 2010. Aku minta tempuh dua tiga hari sebelum memberi jawapan. Hati aku berbelah bagi samada pergi atau tidak kerana keadaan basikal. Aku kena check semula tayar mountain dalam simpanan samada masih elok atau tidak. Fork depan pun tidak berapa elok dan perlu ditukar.
Juan pula telipon pada sebelah malam mengajak aku membuat kayuhan Gunung Jerai pada hari Ahad 27hb Jun 2010 nanti. Walaupun aku telah memenuhi kuota bilangan kayuhan gunung untuk bulan ini aku rasa tiada masalah untuk join Juan dan geng. Tidak lama selepas itu Amran pula menelifon juga mengajak aku menyertai kayuhan di Cameron Highland. Kalau aku ikut serta mungkin aku akan ajak  kawan lama Ramlan dari Pelubang dan Johari dari Bandar Puteri sertai sekali.

Statistik :
   Mula : ................ 0740 pagi
   Tamat : ...............10.30 pagi
   Jarak : ............... 49 km
   Cuaca : .............. hujan
   Route : .............. Lencongan barat - Lencongan Semeling - Merbok - Tanjung Jaga
                          

Ahad, 20 Jun 2010

Basikal Modified

.
Aku tertarik dengan basikal yang diubahsuai untuk mengharungi banjir yang disiarkan dalam Berita Harian bertarikh 20 Jun 2010. Banjir ini berlaku di Selatan China sejak beberapa hari yang lalu. Bertita TV3 jam 8.00 malam, melapurkan jumlah korban banjir tersebut melebihi 120 orang tidak termasuk 80 orang yang hilang.


Nampaknya kawan kita dalam gambar rilek je mengayuh basikalnya diatas air. Mana dia dapat idea untuk membuat pengubahsuaian tersebut. Biasanya kita melihat crank basikal digunakan pada bot dalam tasik yang ada bentuk itik atau sebagainya. Yang dalam gambar ini berbeza sedikit. Agaknya pelampung dan besi tambahan boleh dibuka semula selepas mengharungi air?
-  Boleh ke kayuhan dibuat dalam air sungai yang  mempunyai arus ?
-  Bagaimana kipas dan pelampung dilekatkan ?
-  Pelampung jenis apa yang dipasang ?

Kalau sesiapa ada idea bagaimana rekabentuk basikal ini boleh le kongsi bersama. Teringin juga untuk membuat satu. Gunanya,  jika bosan kerana terlalu kerap membuat kayuhan diloksai yang sama, off-road dan on-road, boleh lah kayuh di sungai atau laut pula untuk ubah selera. Satu kelainan.
Juga mungkin boleh digunakan untuk pergi memancing?


.

Sabtu, 19 Jun 2010

Gunung Jerai


Tiga Lapis Jalan - Gunung Jerai
Pagi ini kena kayuh juga  buat kayuhan Gunung Jerai kerana ini kali pertama untuk bulan Jun. Kerana kesibukkan dan musim cuti sekolah, aku tidak dapat buat kayuhan pada minggu lepas.
Pada mula aku cuba mencari alasan untuk tidak pergi membuat kayuhan ke gunung, dua tiga kali aku keluar melihat  cuaca dan langit dan berharap nampak awan hujan. Memang nampak banyak awan hujan dan kemungkinan hujan akan turun. Dalam masa sama aku berkata pada diri aku dari pengalaman lepas hujan tidak akan turun pagi ini. Lagi pun kalau hujan apabila sampai di sana baru lah aku akan kansel kayuhan. Satu lagi alasan ialah otot  peha aku masih rasa sakit dan tegang kerana kayuhan dua hari lepas. Aku tidak berkesempatan untuk memasukkan kedalam blog kerana masalah sambungan streamyx.
Semasa aku bersiap untuk pergi, Juan datang kerumah dan mengajak aku kayuh ke Tanjung Dawai. Satu lagi cobaan untuk menggagalkan kayuhan gunung pada minggu ini. Aku rasa serba salah juga kerana tidak dapat berkayuh bersama Juan. Ini membuatkan aku berasa lebih nekad untuk membuat kayuhan ke gunung. Juan membawa basikal roadbike lain pula kali ini. Kesihan pula melihat dia meneruskan kayuhan seorang diri.
Tidak ramai yang membuat kayuhan di Gunung Jerai hari ini. Tak tahu kenapa, Mungkin orang lain juga beranggapan seperti aku yang menjangkakan hujan akan turun. Selain aku ada seorang yang sedang membuat kayuhan naik semasa aku menurunkan dan memasang basikal. Biasanya waktu ini setiap  hari Sabtu sudah ramai yang berkumpul ditempat parking untuk memulakan kayuhan dan sudah ramai pula yang telah memulakan kayuhan. Walaupun terdapat banyak kereta tetapi kebanyakan mereka berjogging atau berjalan kaki. Juga terdapat satu agensi kerajaan yang membuat aktiviti untuk kakitanganya di puncak gunung.
Seperti biasa aku mengayuh perlahan-lahan mengikut kudrat aku, tidak berhenti sehingga ke km6. Aku berhenti rehat di pondok No.4 dan bersembang dengan pengayuh yang naik awal. Seorang guru dari Jalan Jenun Guar Cempedak. Aku belum pernah melihatnya sebelum ini. Melihat dari basikalnya, akui rasa dia baru membuat kayuhan gunung ini. Menurutnya sehari lepas ia datang membuat kayuhan tetapi tidak sampai keatas. Hari ini juga dia hanya sampai setakat ini sahaja iaitu 6 km sahaja. Aku meneruskan kayuhan selepas berehat selama 10 minit.
Self Potrait - Courtesy of Parabolic Mirror
Semasa meneruskan pendakian, Pak Ya dan seorang lagi sedang turun, wah... awalnya sampai. Aku tidak berehat lama apabila sampai dipuncak kerana langit agak mendong dan berpatah balik selepas menghilangkan dahaga. Dua 'pengayuh luar' sedang membuat pendakian. Mat Salleh ini mungkin 'penduduk tempatan' yang bekerja di kilang di negeri ini.  Lihat gayanya macam sudah biasa buat kayuhan di gunung. Aku berhenti dibeberapa tempat untuk mengambil beberapa keping gambar. Satu perubahan yang amat dibanggkan ialah pemasangan beberapa unit 'cermin parabola'  yang membolehkan kenderaan yang turun naik melalui selekoh tajam dapat dilihat selain papan tanda membunyikan hon kenderaan. Ini membantu dari segi keselamatan pengguna jalan yang berliku ini.
Salah sebuah kenderaan agensi kerajaan yang mengadakan aktiviti di puncak gunug berhenti untuk mengulurkan sebotol air 'Revive' kepada aku, terima kasih diucapkan.


Statistik :
  Mula : ............. 7.30 pagi
  Tamat : ............ 11.00 pagi
  Jarak : .............. 22 km
  Cuaca : ............ Mendong
  Route : ............ kaki gunung - resort



Kayuhan Sungai Lalang - 17 Jun 2010

Entry ini dibuat bersama entry hari ini kerana aku tidak dapat mengakses internet pada 17 Jun 2010.

Pada awalnya rancangan route aku ialah Jalan Kuala Ketil - Sidam - Pinang Tunggal yang merangkumi jarak sejauh lebih kurang 50 km. Tetapi apabila sampai ke simpang Sidam/Kulim aku batalkan rancangan dan meneruskan kayuhan sehingga ke Ladang Kuala Muda (Ladang Bousted). Kali terakhir aku mengikuti jalan ini ialah pada bulan Ogos 2008 dimana aku mengalami kemalangan jatuh dari basikal yang menyebabkan tulang rawan pada bahu sebelah kiri patah dan luka pada kulit bahagian rusuk kiri. Empat bulan aku tidak dapat melakukan aktiviti kayuhan.
Sesiapa nak buat Aqiqah ?
Jalan ini amat sunyi, tidak banyak kenderaan menggunakannya. Tidak heran lah dibeberapa tempat lembu berehat ditepi jalan. Aku terpaksa menggelakkan banyak 'periuk api' dan kadang terpaksa menutup hidung untuk menahan bau kencing lembu. Beberapa tempat terutaman di ladang Kuala Muda terdapat jalan yang rosak teruk, mungkin disebabkan lori lebih muatan. Tiada masalah untuk basikal. Selain dari tempat tersebut, jalan OK dan amat menyeronokkan.


Statistik :
  Mula : ............. 7.30 pagi
  Tamat : ............ 10.45 pagi
  Jarak : .............. 58 km
  Cuaca : ............ Mendong
  Route : ............ Ladang Kuala Muda - Ladang Patani Para - Sungai Lalang - Sungai Petani

.

Selasa, 15 Jun 2010

KKK - Kayuhan Kurangkan Kolesterol


Tiada lagi jemputan kenduri kahwin pada hujung minggu ini. Dengar masih ada lagi satu dua kenduri pada hujung minggu ini tetapi bagai kata orang Kedah 'tak kena'. Semasa musim kenduri ini banyak daging, nasi minyak dan makanan yang mempunyai kolesterol tinggi yang ditelan, jadi sekarang ini semua sudah selesai tibalah masa untuk mengurangkan kolesterol, lemak, kalori yang terkumpul dalam badan. Tujuan  untuk mengurangkan ia menjadi mudharat dan penyakit atau badan menjadi gemuk.  Aku seperti orang lain juga tidak dapat menahan dugaan makanan nasi minyak dan daging yang dihidangkan.
Kelebihan kita yang melakukan aktiviti bersukan termasuk berbasikal ialah dapat mengurangkan kandungan kolesterol, lemak dan kalori yang bertambah semasa musim kenduri. Fikirkan pula orang yang tidak melakukan apa apa aktiviti bersukan!. Aku sering menasihatkan kawan lain supaya melakukan aktiviti senaman, tidak kiralah apa pun, apa pun keadaan atau bila masa pun. Pilih senaman yang paling sesuai dengan keadaan, bajet, masa dan keupayaan kita. Kalau boleh senaman yang tidak memerlukan masa, tempat, pekakasan, orang lain dan lain lain.
Sekarang kena keluarkan/turunkan basikal, bersihkan, buat pemeriksaan, tambah gris dan pelincir, pam angin, uji brake dan servis apa yang patut untuk memulakan kayuhan semula.
Aku berasa seronok apabila seorang lagi kawan aku iaitu Shukri Hashim, berusia hampir 50 tahun, tinggal bersebelahan dengan taman perumahan tempat aku, baru membeli basikal mountain. Walaupun basikal kira 'entry level' berharga kurang dari 1K, tetapi memadai sebagai permulaan. Buat masa ini dia hanya berkayuh seorang diri, tidak mahu join sesiapa atau pengayuh lain, mungkin kerana tidak mempunyai pengalaman, ketahanan atau keupayaan untuk bersama orang lain. Dia berupaya menghabiskan jarak kayuhan 20km pada hujung minggu. Bagi dia masa dan peluang, pasti dia akan menyertai kumpulan pengayuh lain.
Semasa aku berada dikampung hujung minggu lepas, aku terperasan seorang saudara aku kini lebih 'kuat' / banyak beribadat dari dulu. Bila aku tanya isterinya, ramai kawan-kawan saudara aku ini telah meninggal akibat pelbagai penyakit. Ramai yang tidak sempat mencecah usia 60 tahun. Alhamdulillah, kerana banyak beribadat, takut tidak cukup amalan atau pahala jika mengikuti jejak kawannya, tetapi senaman juga tidak boleh diambil ringan, atau tidak dilakukan sama sekali. Bagitu juga dengan makanan,  berpada pada dan pilih makanan, berpantang tetapi jangan pantang jumpa. Ibadat adalah bekalan kita ke alam akhirat, manakala bersenam berkemungkinan dapat memanjangkan usia seseorang dengan izin Allah.

Pagi ini aku rasa berbelah bagi untuk membuat kayuhan kerana langit kelihatan mendong dan gelap, mungkin hujan akan turun, mungkin tidak. Setelah sarapan pagi dengan makanan kebiasaan aku iaitu secawan nescafe dan semangkuk 'quaker oat' aku bersiap dan bertolak membuat kayuhan solo. Kerana berehat dan tidak berkayuh hampir satu minggu dan penat memandu yang masih belum hilang sepenuhnya, agak sukar  bagi otot otot kaki menyesuaikan kejangan dan menjadi longgar. Sepatutnya kena lakukan senaman ringan dulu sebelum memulakan kayuhan tetapi rasanya tidak perlu kerana kayuhan ini senaman juga. Sebaik sahaja memasuki lencongan barat, aku mula mendapat semula rhythm/ rentak kayuhan.
Semasa sampai ke persimpangan lampu isyarat ke Penghulu Him, aku diekori oleh John yang sampai dari belakang. Dia menggunakan roadbikes dan kayuhanya agak laju. Kami mengayuh bersama hampir tiga kilometer dan berpecah. John mengayuh kearah Lencongan Semeling dan aku meneruskan kayuhan menghala ke Lagenda Height. John kata dia tidak dapat bersama kerana hendak lekas pulang kerana ada kerja.
Dipersimpangan lampu isyarat ke Sungai Layar, aku nampak Juan bersama kawanya sedang mengayuh pulang dari arah Semeling. Kami hanya sempat mengangkat tangan. Aku, John dan Juan sering membuat kayuhan bersama, tetapi pagi ini kami mengayuh berasingan, aneh berjumpa. Aku juga ditegur oleh Syed Fuad di lampu isyarat Kawasan Perindustrian Taman Ria. Dia dalam perjalanan pergi ketempat kerja. Sudah lama juga tidak berkayuh dengannya dan aku hutang satu janji dengan dia, iaitu untuk membuat kayuhan ke hat Yai, Thailand.
Oh.. hari ini dari awal pagi hingga jam 3.00 petang nampaknya akses streamyx  di Sungai Petani agak baik dan memuaskan. Adakah ia akan berterusan, sama sama lah kita nantikan.

Statistik :
   Mula : .............. 7.30 pagi
   Tamat : ............ 9.00 pagi
   Jarak : ............. 32 km
   Cuaca : ............ mendong
   Route : ............ Lencongan Barat - Lencongan Timur

.

Ahad, 13 Jun 2010

Balik Kampung


Phew..... hari ini selamat pulang dari kampung. Hampir seminggu tidak jengok blog sebab tidak bawak komputer ke kampung. Nak guna komputer anak menakan tidak seronok pula rasanya. Jadi biarkan sahaja tapi terasa rindu pula sebab lama tidak buka komputer. Bila sampai saja dirumah, on komputer dahulu sebelum mengemaskan dan mengeluarkan barang dari kereta. Banyak juga e-mail dan message dalam facebook. Inilah cara hidup masa kini. Aku juga tidak sempat untuk mengemaskinikan laman blog aku yang masih terbengkalai. Keadaan dan kelajuan internet masih belum pulih lagi.
Aku beritahu rakan rakan dalam facebook bahawa aku akan balik kampung sempena cuti sekolah ini. Ada yang rakan bertanyakan secara berseloroh samada aku berkayuh kekampung. Bukan kali ini. Insyaallah mungkin disatu hari nanti aku akan sampaikan hajt untuk membuat kayuhan ke kampung.
Dari dulu lagi aku memang becita cita untuk membuat kayuhan jarak jauh. Apabila aku terbaca berita ada orang mengayuh basikal, aku sering berangan angan dan bercita cita untuk mengikuti jejak mereka.
Semasa aku memandu ke arah Kuala Kelawang dari Bandar Baru Serting, aku melihat sekumpulan empat orang pengayuh basikal sedang menuruni bukit kearah Pekan Batu Kikir. Tidak tahulah sampai kemana mereka akan pergi kerana ada beberapa pekan sebelum sampai termasuklah Pekan Pelangai dan Simpang Pertang. Aku memperlahan kereta sambil memerhatikan pengayuh basikal tersebut.
Dari Kuala Kelawang menghala ke Seremban pula aku melihat sekumpulan tidak kurang dari lima belas orang sedang membuat kayuhan mendaki Bukit Tangga. Pendakian ini agak tinggi dan boleh di bandingkan dengan Jalan Baling ke Pengkalan Hulu melalui Gunung Inas. Jalan ini beberapa kali menjadi laluan Le Tour de Langkawi beberapa tahun yang lalu.
Tahun lepas aku balik seorang diri kerana masa itu bukan musim cuti sekolah. Aku membawa basikal aku sekali. Seronok sungguh membuat kayuhan. Pada hari kedua iaitu setelah melepaskan penat memandu dan mendapat rehat dan tidur secukupnya, aku mulakan kayuhan seawal 6.30 pagi. Dari Bahau aku membuat kayuhan melalui Kampung Jambu Lapan, Kuala Jempol, Terusan, Bukit Tempurung, Kuala Kepis, Dioh, Senaling dan ke Pekan Kuala Pilah. Setelah berehat dan mengisi perut aku mengayuh mengikuti jalan ke Batu Kikir. Jalan ini juga boleh ke Karak dan Kuantan. Dari Batu Kikir aku melalui jalan Kampung Bukit Kerdas, Gajah Mati, Serting Ilir, Lonek, Kuala Sialang dan sampai semula ke Kuala Jempol dan Bahau. 
Dua kilometer dari Pekan Batu Kikir arah ke Bahau, aku melihat Rumah Pendita Za'ba yang dijadikan muzium lengang sahaja. Tiada pengunjung. Masa itu aku tidak sempat singgah untuk melihat barangan yang dipamirkan. Mungkin dilain masa aku akan datang kesini.
Kayuhan sebelah pagi merangkumi jarak 65 km. Apabila sampai kerumah peninggalan arwah emak aku, aku tidak merasakan letih. Disebelah petang aku sekali lagi aku membuat kayuhan. Kali ini aku menghala ke Felda Serting dari Pekan Bahau. Perjalan ini tidak berapa jauh tetapi jalan berbukit bukit. Aku singgah dirumah kakak aku di Felda Serting 4 yang sekarang ini dikenali dengan nama baru iaitu Felda Raja Alias dan rumah abang di Felda Serting 3 (Felda Raja Alias 3). Aku masih kurang pasti siapakah Raja Alias. Aku akan buat semakan dalam internet nanti.
Percaya atau tidak, semasa membuat kayuhan disebelah pagi dan petang tersebut, aku tidak berselisih atau berjumpa dengan sesiapa yang juga membuat kayuhan. Mungkin dikawasan kampung dan pendalaman sukan berbasikal ini kurang mendapat sambutan. Aku tahu di Seremban terdapat beberapa buah kedai basikal yang menjual basikal sukan termasuk mountain dan road bikes dan juga beberapa kelab basikal. Ada juga ahli kelab basikal dari Seremban mengambil bahagian dalam jamboree basikal yang diadakan disebelah utara ini.

Untuk melepaskan gian kerana tidak dapat kayuh basikal untuk beberapa hari, aku membuat 'hiking' di Gunung Berembun. Aku bermula dari Pekan Pantai agak lewat kerana menghantar orang rumah kepasar. Gunung berembun agak tinggi dan aku hanya naik sampai sekerat jalan iaitu sampai penghabisan jalan bertar iaitu hingga ke Loji Air Pantai. Aku mengambil masa kerana menikmati keindahan hutan rimba, bunyi unggas dan deruan air sungai disepanjang jalan. Terdapat banyak tempat mandi dan berkelah disepanjang sungai tertsebut. Bila aku berpatah balik aku terjun dengan pakaian kedalam sungai yang sejuk kerana sudah tidak tahan melihat air yang jernih mengalir dicelah batu dan pokok pokok. Keseluruhan perjalanan pergi balik mengambil masa lebih empat jam. Lain kali aku balik kekampung aku akan kesana lagi, kali ini lebih jauh keatas. Aku juga bercita cita untuk mendaki Gunung Telapak Buruk iaitu gunung tertinggi di Negeri Sembilan. Tinggi gunung tersebut ialah 1193 meter (3913 kaki) kurang sedikit dari Gunung Jerai di Kedah. Itu pun kalau aku jumpa jalan ke gunung tersebut.
Kesimpulan aku adalah kawasan ini mempunyai jalan yang amat mencabar untuk berbasikal. Terdapat banyak jalan melalui bukit bukau yang menghidangkan pemandangan yang menarik dari puncak bukit, kawasan ladang kelapa sawit dan getah yang luasnya mencapai puluhan ribuan hektar dan kawasan laut yang tidak kurang cantik dan menarik.
Semoga aku akan dapat mencapai hasrat dan hajat untuk menawan dan mengelilingi kawasan negeri Sembilan, Pahang dan Melaka. Banyak yang hendak aku ceritakan tentang kampung aku disini tetapi mungkin dilain masa.

Jumaat, 4 Jun 2010

Muzium Arkeologi - Merbok


Baru dipasang - Pintu Masuk Utama
Hari ini aku menerima pelawaan Juan untuk membuat kayuhan ke Muzium Arkeologi. Juan kata dia ingin menguji pengubahsuaian kepada cessette gear belakang basikal SARS. Apa yang dilakukan ialah membuang spocket saiz 24 pada  freewheel cassettes 7 speed 14-34 dan digantikan dengan spocket saiz 28. Semua kerja ini dilakukan sendiri. Cuma untuk welding dia mengupah, kerana dia tidak boleh menggunakan welding set kerana masalah mata.
Juan mempunyai kepakaran untuk membuat pengubahsuaian dan membuat parts sendiri. Semasa aku mula kenal dia tiga tahun yang lalu, dia menerangkan dengan panjang lebar tentang gear ratio untuk basikal. Aku ingatkan dia temberang tetapi bila aku buat semakan apa yang dia kata adalah benar. Dia membuat pengubahsuaian mountain bikes kepada roadbikes, forks dibuat sendiri menggunakan carbon steel, modified brakes depan dan belakang, cranks. Pengubahsuaian spocket adalah project terakhir. Bila ditanya kenapa perlu diubahuai, dia kata basikal akan lebih effisien bila menukar speed ketika melakukan kayuhan bukit. 
Petang kelmarin 03 Jun aku membuat kayuhan santai ke Pinang Tunggal sejauh 24km. Aku fikirkan aku akan keletihan untuk membuat pendakian ke Tapak Muzium, tetapi ternyata aku lebih bertenaga.Muzium arkeologi terletak lebih kurang 2.5km dari Pekan Merbok dan ketinggian tidak melebihi 200 meter dari paras laut. Pendakian tidaklah begitu teruk dan dijangka mengambil masa hampir 10 minit.
Terdapat beberapa orang berjogging mendaki bukit tersebut. Aku sempat bertanya kepada salah seorang dari mereka, berapa kali turun naik. Biasanya hanya dua kali sahaja cuma kadangkala sampai tiga kali.
Musim buah sudah bermula dan kelihatan beberapa motorsikal menuruni bukit dengan raga yang dipenuhi dengan buah durian dan ada yang membawa petai. Tidak terlintas lansung untuk membeli durian. A
Shimano Cassette 14-34
Ujian basikal Juan berjaya kerana dia hanya mengambil masa lebih kurang enam minit untuk sampat ke komplek Muzium, manakala aku mengambil masa hampir 10 minit.
Kami berehat ditapak perkelahan Sungai Batu Pahat selama 10 minit. Air sungai kelihatan mengalir lesu, tidak banyak air yang mengalir. Loji air (headworks) yang bersebelahan bangunan muzium tidak berfungsi kerana ketiadaan air. Loji ini membekalkan air ke Pekan Merbok dan kawasan persekitaran. Dua minggu lepas tersiar berita TV mengenai masalah air di kawasan ini. Biasalah syarikat air dan kerajaan negeri dipersalahkan kerana gagal membekalkan air kepada pengguna. Dari segi perundangan memang betul tetapi keadaan semasa juga perlu diambil kira. Sekiranya sesuatu tempat mengalami kemarau panjang dan air tidak dapat dibekalkan mestikah pihak berwajib dipersalahkan.
Kami singgah digerai kebiasaan kami untuk menghilangkan dahaga dan lapar. Ramai pengunjung gerai memerhatikan kami dan ada yang menegur.

Statistik :
   Mula : .................. 6.55 pagi
   Tamat : ................. 9.00 pagi
   Jarak : .................. 38 km
   Cuaca : ................ nyaman
   Route : ................ Lencongan Barat - Pekan Semeling - Uitm - Merbok - Muzium

.

Rabu, 2 Jun 2010

Segantang Garam - Merbuk

* Entry ini sepatutnya bertarikh 01 Jun 2010. Disebabkan masalah streamyx di tempat aku, ianya hanya dimasukkan pada 02 Jun 2010

Aku tidak berapa berminat untuk membuat kayuhan pagi ini kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Juan telepon aku petang kelmarin ajak aku buat kayuhan disekitar Merbok, mungkin naik ke Rekreasi Tupah atau Muzium Arkeologi Merbok. Oleh kerana hendak menjaga hati kawan aku bersetuju dengan syarat masa tidak melebihi dua jam.
Bila Juan sampai, baru aku perasan basikal yang digunakan itu lain dari biasa. Bukan basikal baru tetapi basikal ini telah disimpan lama dan baru dibuat semula. Basikal mountain  jenis SARS ditukar menjadi roadbike. Tetapi beratnya lebih kurang 11 kilo, Dia kata nak uji kelajuan. Seperti yang selalu aku katakan syok atau tidak, laju atau tidak sesebuah basikal itu bergantung kepada orang yang mengayuh. Ini basikal No.4 pengayuh tua ini.

Bercakap pasal urusan pada setiap awal bulan, memang memeningkan juga bagi pesara.
Bil tetap seperti bil elektrik, bil air, bil telefon, internet, astro (op.. dah lama cancel)
Cukai pintu (dua kali setahun), cukai tanah (sekali setahun)
Kad Kredit. Ini yang memeningkan.

Setelah menikmati roti canai mak cik di simpang Merbok-Pengkalan Bujang dan Milo O kosong, kami bertolak pulang melalui jalan  lama Merbok Semeling. Gerai minuman Mak Cik ini adalah satu satunya gerai dimana roti canai dibuat oleh orang perempuan. Bukan satu perkara aneh, mungkin dimerata tempat pun ramai juga orang perempuan yang menyediakan roti canai, tetapi bilangan mereka boleh dikira. Ditempat yang selalu aku kunjungi hanya disini saja terdapat sedemikian. 
Pulak tu, selain dari rasa yang sedap dan enak, harga minuman dan makanan disini amat murah. Bayangkan dua set Milo O dan sekeping roti canai hanya RM3.00.
Semasa balik aku perhatikan  tidak banyak aktiviti yang berjalan di tapak arkeologi Sungai Batu. Hanya ada beberapa orang pekerja yang sedang membuat kerja kerja pembersihan kawasan. Kerja kerja di tapak baru yang berhampiran dengan jalan raya bermula. Terlihat berita ini  dalam akhbar Berita Harian 01 Jun 2010.



Statistik
   Mula : ..................... 7.00 pagi
   Tamat : ................... 9.10 pagi
   Jarak : ..................... 42 km
   Cuaca : ................... Nyaman
   Route : ................... Lencongan Barat - Semeling - Segantang Garam - Merbok

.