Halaman

Jumaat, 28 Jun 2013

Pasar bisik Kuala Muda

Tidak kuasa hendak fikirkan bilakah kali terakhir aku ke Kuala Muda, tetapi sudah agak lama juga. Aku tetapkan untuk berkayuh kesana hari ini. Ada beberapa sebab kenapa aku berkayuh kesana.
Pertama kerana hari Jumaat, tidak ingin berkayuh jauh. Bukannya takut terlambat pulang untuk solat tetapi takut tidak cukup masa untuk berehat. Ia boleh mengakibatkan terlelap mata ketika katib membaca khutbah terutama kalau topik, kandungan dan cara penyampaian kurang menarik. 
Kalau kurang masa untuk suhu badan kembali normal, boleh basah dek peluh baju melayu semasa berjalan kaki dari rumah ke kasjid yang hanya lebih kurang 200 meter. Walaupun Masjid Taman Intan dilengkapi dengan alat penghawa dingin, 6 unit 5 HP setiap satu, tetapi suhu dalam masjid pada waktu sembahyang jumaat tidaklah sedingin yang sepatutnya. Mungkin jumlah bilangan 'air cond' di masjid Taman Intan perlu di tambah untuk ia betul betul berkesan.
Kedua aku ingin melihat bagaimana projek tambatan banjir yang pada kali terakhir aku kesini sedang rancak berjalan. Agaknya semuanya hampir siap. Jentera berat di sepanjang kedua dua belah Sungai Muda tidak lagi kelihatan dan tiada lagi pekerja berada ditebing sungai. Namun masih ada lagi yang nampak belum sempurna. Banyak tebing yang di tanam rumput, cuma jalan jalan akses ke tebatan masih belum siap.
Aku amat teringin untuk berkayuh di atas tebing tebatan disepanjang kedua dua belah sungai. Ada jalan dibina diatas tebing membolehkan kenderaan kecil dan motorsikal melaluinya. Setakat yang aku nampak jalan yang dahulunya batu merah 'laterite' kini sudah di bubuh batu crusher run. Tidak pasti samada jalan tersebut akan di turap tar kelak. Alangkah seronoknya berkayuh jika laluan atas benteng diturap, tiada gangguan kenderaan lain dan dapat menikmati suasana dan pemandangan yang cantik.
Sebab ketiga aku kesini bukanlah untuk membeli ikan atau hasil laut lain di 'pasar bisik'. Susah hendak bawak ikan balik dengan basikal kerana kalau 'berbisik', bukan satu atau dua kilo ikan. Lebih dari 5 kilo. Lagi pun aku jangka akan sampai ke pasar bisik sebelum jam 9.00 pagi. Nelayan akan mula pulang paling awal pun selepas 10.30 pagi. 
Aku mengintai kalau kalau bernasib baik terserempak dengan seorang bekas pekerja dibawah aku yang pernah bertugas di Loji Pembersihan Air Pinang Tunggal. Dia berkahwin kali kedua setelah bercerai dengan isteri pertama dengan orang Kuala Muda dan menetap disini. Dia berhenti berkhidmat beberapa tahun lalu kerana masalah kecederaan kaki akibat kemalangan jalan raya ketika menunggang motorsikal. Kecederaan yang dialami tidaklah berapa teruk atau serius tetapi dia ada menghidap kencing manis (diabetis) yang memburukkan keadaan.
Mengikut beberapa orang teman sekerjanya, Mokhtar Bin Mohd Noor kini tidak berupaya berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda. Sedih juga mendengarnya. Lebih menyedihkan apabila aku diberitahu bahawa wang pampasan yang diterima semasa berhenti kerja telah habis dilaburkan dalam 'Skim Pelaburan Emas Geneva'. Dia melaburkan hampir 60 ribu ringgit dalam skim ini dengan harapan mendapat pulangan yang dapat dijadikan sumber untuk saraan hidup harian. Tindakan yang diambil oleh kerajaan membekukan skim tersebut adalah tamparan paling dasyat kepadanya. Nasib baik isterinya masih bekerja.
Nasib tidak menyebelahi aku kerana rumah yang dia tinggal kelihatan tutup dan tiada orang yang boleh aku bertanya. Rumahnya betul betul dihadapan masjid Kuala Muda. Ingin sangat aku berjumpa dengannya. Mungkin dimasa lain.
Aku terus ke kuala sungai dan mendapati terdapat pembinaan pasar bisik yang baru bersebelahan. Kawasan ini lebih luas, dilengkapi dengan tempat parking yang luas dan selesa, gerai dan kedai sokongan dan tandas. Sesuai dengan masa kerana kawasan yang sedia ada agak sempit sukar untuk sampai dan tidak selesa. Apabila siap nanti komplek pasar bisik ini bukan sahaja merancakkan aktiviti tetapi dapat dijadikan sebagai salah satu lokasi tarikan pelancong.
Aku singgah di Tikam Batu untuk sarapan sebelum balik kerumah.

Statistik : 
    Mula ............... 7.55 pagi
    Tamat ............  10.20 pagi
    Jarak ............... 52 km
    Cuaca .............. Panas (jerubu)
    Laluan ............. Kuala Muda
   Odometer 2013 : 02729 

Rabu, 26 Jun 2013

Apa nak buat agar kayuhan menyeronokan ....

Aktiviti kayuhan boleh jadi membosankan. Lebih lagi untuk orang seperti aku yang kebanyakkan masa berkayuh secara solo. Apa tidaknya, dua jam atau lebih tanpa ada sesiapa untuk berbual, membuat lawak jenaka atau memberikan komen pada sesuatu. Kalau adapun kawan seperkayuhan dihadapan atau belakang tidaklah boleh bersembang macam sembang dikedai kopi. Jenuh mengeluarkan suara kuat atau menjerit suipaya didengari. Kalau bersaing terlalu rapat dan lama akan mendatangkan masalah keselamatan pula.
Secara tidak lansung, perlu memikirkan atau berbuat sesuatu untuk menghabiskan masa kayuhan supaya masa yang berlalu tidak terasa begitu lama. Ada beberapa cadangan yang aku fikirkan termasuk :
  • Memainkan musik 
  • Mendengar ceramah agama
  • Mendengar bacaan alquran
  • membaca ?!
  • mengambil gambar atau video
  •   
  •   
  •   
  •   

Ada sesiapa yang hendak beri idea atau komen.


Statistik : 
    Mula ............... 7.55 pagi
    Tamat ............  9.40 pagi
    Jarak ............... 43 km
    Cuaca .............. Panas (jerubu)
    Laluan ............. Lencongan Timur (pergi balik)
   Odometer 2013 : 02677 
            



Isnin, 24 Jun 2013

Pak Ngah balik ....

Lepas subuh tadi secara tidak sengaja terlihat bulan purnama penuh apabila aku meninjau keadaan cuaca samada boleh membuat kayuhan atau tidak. Bulan yang akan menghilang sebentar lagi nampak jelas, kelihatan kemerahan berbanding warna biasa kekuningan. 
Tidak ada apa yang pelik sehingga aku membuka komputer menjengok kalau ada sesiapa yang hantar e-mail atau mesej dalam facebook. Menurut berita dalam Yahoo malam tadi bulan kelihatan paling terang dan paling besar untuk tahun ini. Bulan kelihatan 14% lebih besar dari biasa kerana ia berada pada jarak paling dekat dengan bumi.
Sayang dinegara kita tidak dapat menikmati keindahan bulan pada jarak dekat kerana masalah jerubu yang melanda sekarang ini. Beberapa negeri di sebelah selatan di istyiharkan darurat kerana indek pencemaran melebihi 400 dan ada tempat yang mengalami IPU melebihi 500.
Kalau aku melakukan aktiviti kayuhan pagi ini adakah kesihatan akan terjejas. Tanpa disedari dua tiga hari kebelakangan ini aku sering terbersin (sneeze), kerap dari biasa. Nasib baik ia tidak berpanjangan dan nasib baik juga tidak perlu ke klinik untuk rawatan atau mengambil ubat. Adakah ia bermungkinan disebabkan akibat asap jerubu yang aku sedut ketika kayuhan.
Semasa kayuhan pulang tadi, sempat singgah di stesyen KTM Gurun yang baru. Masih belum siap sepenuhnya. Dari jalan utama nampak gah dan cantik. Tidak upaya menahan diri untuk melihat dengan lebih dekat.
Penumpang KTM masih menggunakan stesyen sementara yang terletak dihujung sebelah kanan stesyen ini.



Pembinaan jalan baru di Kampung Sungai Tok Pawang juga hampir siap. Kenderaan masih tidak dibenarkan menggunakan jalan. Mungkin pihak kontraktor sedang membuat touching-up sebelum dibuka. Pembinaan jalan ini untuk meluruskan jalan asal yang agak merbahaya dan dikatogarikan sebagai kawasan banyak kemalangan.


Statistik : 
    Mula ............... 7.55 pagi
    Tamat ............  11.30 pagi
    Jarak ............... 74 km
    Cuaca .............. Panas (jerubu)
    Laluan ............. Gurun - Guar Cempedak
   Odometer 2013 : 02634 
            

Sabtu, 22 Jun 2013

Mana basikal fixie ?

Bukannya bagi salam atau tegur dengan budibahasa yang baik tetapi apa yang aku dengar ialah, "wah... pak cik dah tua pun boleh kayuh bukit ini". Ok memang aku dah tua tapi tidak payah cakap atau peringat la. Budak budak zaman ini tidak tahu lansung sopan santun bila menegur atau berbicara dengan orang tua.
Dari jauh aku nampak bayangan seseorang menolak basikal pada pendakian di taman rekreasi Tupah. Rasanya pendakian tidaklah berapa teruk, boleh saja kayuh dengan perlahan. Mungkin basikalnya rosak tetapi kalau rosak kenapa menolak kearah pendakian atau sepatutnya berhenti menanti bantuan. Bila aku sampai berhampiran dengan nya, hanyalah seorang remaja yang berusia tidak lebih dari 16 tahun tetapi sayang agak obes, BMI melebihi 30. Lebih berat dari aku. Patutlah menolak basikal sebab tidak larat untuk berkayuh.
Dihadapan dua orang lagi juga sedang menolak basikal tetapi yang  ini boleh dimaafkan kerana dua orang anak gadis yang masih kecil dengan basikal 20 inci biasa. Seorang rider wanita sedang menuruni bukit memberi kata kata peransang "jangan dok tonton basikal, kayuh".

Beberapa orang rider sedang berehat bersebelahan pintu masuk ke loji pembersihan air Tupah. Aku singgah dan bersalaman dengan mereka dan minta diri untuk meneruskan kayuhan bukit ketiga ke Muzium Arkeoloji Lembah Bujang. Tak kuasa nak bersembang, nanti ganggu masa kayuhan.
Ada lagi kenduri kahwin hari ini dan esok walaupun cuti sekolah sudah dua minggu berlalu. Isteri aku mengingatkan jangan berkayuh jauh dan pulang awal kerana ingin menyempurnakan hajat orang menjemput ke majlis kenduri mereka.
Dimana remaja remaja yang ramai ke Tupah setiap hujung minggu menggunakan basikal 'fixie'. Dua tiga kali aku ke sini tidak lagi nampak mereka. Selalunya Tupah memang menjadi favourite untuk fixie kerana pendakian tidak begitu tinggi dan mencabar, boleh dilepasi dengan basikal fixie.
Dijalan raya atau di taman perumahan juga sangat bekurangan fixie dikayuh. Rasanya penjualan fixie juga jauh berkurangan jika dibandingkan apabila ia mula muncul dua tiga tahun lalu. Murid murid sekolah masih ramai yang mengayuh fixie kesekolah cuma jarang melihat mereka mengayuh untuk tujuan aktiviti senaman dan kesihatan.
Kata pepatah, 'hangat hangat tahi ayam'.
Oh .. masa aku keluar tadi terserempak dengan Ibrahim bersama anaknya dalam perjalanan pulang dari kayuhan lencongan barat. Berhenti berbual sekejap. Dia telah meng'upgrade' basikal roadbikenya. Rasa tergoda juga dengan jenteranya tetapi rasanya aku tidak upaya untuk mengayuh basikal yang begitu canggih. Cukuplah dan memadailah dengan apa yang aku ada sekarang.

Statistik : 
    Mula ............... 8.00 pagi
    Tamat ............  10.30 pagi
    Jarak ............... 47 km
    Cuaca .............. Redup (jerubu)
    Laluan ............. Rekreasi Tupah - Muzium Arkeologi Bujang
   Odometer 2013 : 02560 
            

Jumaat, 21 Jun 2013

Kesenimbungan ...

Satu perkara yang tidak dapat dihindari dalam sesuatu projek ialah menentukan kesinambungan. Seronok ada blog untuk mencatatkan aktiviti harian supaya ia menjadi rekod yang boleh dibaca dan dinilai pada masa lapang atau pada masa yang agak jauh kehadapan nanti. Bagaikan 'time kapsul'. Blog juga membolehkan orang lain termasuk sahabat handai, kenalan baru dan sesiapa sahaja di planet ini yang berminat untuk membaca. Banyak yang boleh dipelajari dan boleh dicontohi. Banyak juga yang boleh dijadikan tauladan dan ada juga yang perlu dijadikan sempadan.
Masalah utama adalah kadang kala kehabisan idea. Menjadikan satu tekanan kepada penulis kecil kecilan bukan sepenuh masa memikirkan apakah tajuk dan isi sesuai yang akan dicatatkan pada setiap kayuhan. Ok ... tidak dinafikan banyak yang boleh dicatatkan tetapi oleh kerana kita tidak dilatih dalam seni penulisan atau komunikasi, topik atau rencana terlalu terhad. Banyak bergantung kepada kemahiran yang dipelajari sendiri dan pengalaman.
Seperfti kayuhan pagi ini melebihi 40 km, tidak ada apa yang hendak dicatatkan pada laluan yang kerap dilakukan. Apa yang ada telah dituliskan pada blog terdahulu. Hampir berputus asa untuk mencatatkan sesuatu. Mungkin hanya menyimpan rekod 'statistik' yang diletakkan pada akhir setiap catatan dibawah.
Sebaliknya kadang kala idea tentang datang secara tiba tiba atau spontan, dimasa dan tempat yang tidak dijangkakan. Bila ini berlaku, menjadi tanggungjawap pula untuk berusaha bersungguh sungguh untuk mengingati idea tersebut supaya tidak terlupa apabila sampai dirumah nanti. Tiada masa untuk memberhentikan basikal dan mencatatkan pada sehelai kertas, itu pun kalau kita ada membawa kertas atau buku kecil bersama pen atau pensil. Terlintas juga untuk menggunakan gadjet yang disertakan pada alat komunikasi terkini iaitu merakamkan pada recorder handphone!
Agaknya aku berjaya mencapai satu tahap dimana aku sering berjaya mengingati kebanyakkan kalau tidak keseluruhan tentang idea idea yang terfikir semasa membuat kayuhan. Kalau ada kesempatan aku akan mencatatkan dalam buku kecil apabila berhenti untuk menghilangkan penat lelah atau untuk sarapan. Menjadi kelaziman aku membawa kertas A4 yang dilipat menjadi buku nota kecil dan membawa pensil 'kontot' (dipinjam dari dialog pendekar Mustar mengajar jampi serapah berdamping dengan mambang kepada pelajar silat Ramli, Sudin dan Aziz dalam filem Pendekar Bujang lapuk).
Selalunya aku tidak terus mendapatkan komputer untuk mengemaskinikan blog sebaik sampai dirumah. Aku hanya akan membuka dan meng'update' blog basikal pada sebelah petang atau malam. Disini aku perlu mengingati apa yang akan aku taipkan.
Kebanyakkan idea datang semasa menaip. Idea yang datang semasa kayuhan hanya sebagai tajuk utama, isi kandungan lain akan datang semasa penulisan.
Well ... hari ini aku terselamat lagi kerana ada idea untuk catatan blog kayuhan pagi ini.

Statistik : 
    Mula ............... 8.00 pagi
    Tamat ............  9.40 pagi
    Jarak ............... 42 km
    Cuaca .............. Redup (jerubu)
    Laluan ............. Jalan Lencongan Timur (pergi-balik)
   Odometer 2013 : 02513 
            

Khamis, 20 Jun 2013

Jerubu datang lagi .....

Cuaca mendong pagi ni membuat hati berbelah bagi samada untuk melakukan aktiviti kayuhan atau tidak. Hendak keluar takut hujan turun, tidak keluar pula rasa rugi.  Langit dipenuhi tompok tompok awan hitam. Akhirnya aku membuat keputusan untuk keluar berkayuh. Apa ndak jadi jadi lah ... keperluaan jasmani perlu di penuki.
Sepanjang hari hingga ke  malam keadaan cuaca tidak berubah... baru terperasan. Negara kita sedang dilanda 'jerubu' seperti setiap pertengahan tahun.
Disebelah utara tidak lah berapa teruk. Bahagian selatan terutama Negeri Johor dan negara jiran Singapura mengalami jerubu paling teruk sejak 20 tahun lalu dengan catatan IPU melebihi 200. Jerubu berpunca dari pembakaran hutan di Sumatera dan asap ditiup angin monsoon barat daya ke negara kita. 
Bagai yang aku katakan, IPU di negeri Kedah masih dibawah paras 50. Ia tidak menjejaskan aktiviti kayuhan pagi ini. Diharapkan keadaan jerubu ini tidak berpanjangan dan akan hilang dalam masa terdekat. Susah juga dibuatnya jika inginr melakukan aktiviti kesihatan diluar rumah kerana asap jerubu akan menjejaskan kesihatan.
Petang kelmarin amu berkayuh ke tempat Ibrahim berniaga goreng pisang. Dua orang rakannya yang lain juga berada disana. Seorang selalu aku nampak menemani Ibrahim tetapi seorang lagi pertama kali aku lihat. Nampaknya mereka bertiga kawan karib.
Menurut Ibrahim kawan yang pertama kali aku nampak akan memulakan perniagaan 'frozen food' di Taman Delima, mengkin sebelum bulan puasa. Alhamdulillah dan syabas kerana berani menceburi diri dalam bidang perniagaan.
Mereka juga berbincang tentang kayuhan ke Hatyai pada sabtu 29 Jun 2013. Nampak semua persediaan sudah dibuat cuma beberapa perkara seperti jersey, sticker dan perkara kecil lain belum siap. Masih ada 10 hari lagi. Ibrahim seperti biasa setiap kali berjumpa aku akan mengajak ikut serta dan setiap kali juga aku akan memberi alasan yang hampir sama.
Tetapi hari ini setelah selesai kayuhan pagi, aku berfikir mungkin elok juga aku mengikuti kayuhan ke Hatyai tersebut. 

Statistik : 
    Mula ............... 7.55 pagi
    Tamat ............  10.00 pagi
    Jarak ............... 48 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Sungai Lalang - Bedong - Merbuk
   Odometer 2013 : 02471 
           

Selasa, 18 Jun 2013

Kayuhan 3 digit

Bila nak sampai kerumah ni .... sudah tidak tahan dengan panas dari pancaran terik matahari dan perut terasa berat dipenuhi air. Kalau dikira sudah lebih 5 jam aku berada dijalanan termasuk beberapa waktu kecederaan untuk mengalas perut dan menghilangkan dahaga. Ini kali pertama aku merasakan kayuhan 3 kilometer terakhir dari Gaint Sungai Petani ke Taman Intan terasakan kayuhan paling jauh dan lama.
Aku ingin memulakan kayuhan awal sedikit dari biasa tetapi bila difikirkan mungkin lebih selamat untuk   bertolak lewat memberikan laluan kepada kenderaan yang agak banyak di awal pagi. Ramai kawan kawan rider mengelak laluan dari Bandar Puteri Jaya ke arah Kuala Ketil kerana kerja pembesaran jalan kepada dua lorong. Aku mengambil risiko dan berharap kenderaan lain boleh berkongsi jalan dengan basikal aku. 
Mengikut mereka satu lagi sebab laluan tersebut tidak menjadi pilihan kepada pengayuh rb adalah kerana dipenuhi dengan batu batu halus yang dikatakan boleh menyebabkan kebocoran kepada tayar basikal terutama tayar kecil 23c yang digunakan untuk roadbikes. Tiada masalah kepada tayar besar yang dipasang pada mountain bikes. Tawakal sajalah kerana setakat ini aku telah beberapa kali melalui jalan ini tanpa sebarang tragedi.
Melepasi Pekan Kuala Ketil yang masih seperti orang baru bangun tidur. Kebanyakkan kedai masih ditutup tanpa apa apa aktiviti. Aku tidak tahu berapakah jarak dari pekan ini ke persimpangan Malau dan mula membuat nota bacaan meter 'cateyes'. Selang beberapa ratus meter kemudian aku melihat ada tanda jarak setiap 100 meter disamping penanda setiap kilometer.
Dari jauh macam OK je bukit nih ....

Pendakian pertama yang agak mencabar dapat dibuat tanpa sebarang masalah. Adakah ini disebabkan saiz tayar 700 atau 29 inci yang di pasang kelmarin? Bercadang untuk singgah di gerai makanan dipersimpangan untuk memulihkan tenaga tetapi kecewa kerana gerai tersebut hanya menjual nasi berlauk. Tiada roti canai, nasi lemak atau kuih muih. Ah .... mungkin ada gerai dihadapan sana.
Sangkaan aku meleset kerana walaupun banyak bangunan gerai didirikan disepanjang jalan Timur Barat, tiada satu pun yang menjalankan perniagaan. Banyak gerai yang ditinggalkan tanpa ada kesan aktiviti perniagaan dan yang lain hanya menjalankan perniagaan disebelah malam. Nasib baik ada beberapa gerai yang menjalankan perniagaan di kawasan perindustrian sebelum persimpangan Sungai Karangan. Hanya tinggal roti canai kosong dan sedikit kuih. Aku hanya memesan air kosong dengan roti canai kosong sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Lunas.
Kesilapan besar yang dilakukan. Biasanya aku akan membelok di persimpangan Sungai Karangan atau di kawasan perindustrian di hadapam kilang Inokom untuk ke Padang Serai. Kali ini aku terus mengikuti laluan hingga ke persimpangan Kulim Hi Tech Park dan membelok melalui Sungai Seluang. Jalan melebihi 6 km ini tidak menyediakan laluan motorsikal. Aku merasakan bagaikan menyabung nyawa melalui kawasan ini. Apa tidaknya kebayakkan kenderaan dipandu laju, ada yang memotong ditempat double line dan terlalu hampir dengan basikal aku. Tidak mahu lagi dah ...
Terpaksa berhenti mencari air mineral sejuk di Pekan Padang Serai untuk menghilang dahaga dan menggantikan air dalam badan yang telah hilang melalui peluh. Berehat sambil menikmati aktiviti pekan kecil ini. Hanya satu jam lagi untuk sampai kerumah. Betul kata orang tua minum air terlalu banyak (500 ml) sekali gus akan meletihkan badan. Aku rasakan begitu susah untuk meneruskan kayuhan yang hanya tinggal 22 km sahaja lagi.
Rasanya esok aku terpaksa bercuti dari kayuhan untuk memulihkan badan. Walau apa pun aku merasa puas dapat menghabis lebih sedikit dari 100 kilometer hari ini.


Statistik : 
    Mula ............... 7.55 pagi
    Tamat ............  1.00 petang
    Jarak ............... 100 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Kuala Ketil - Persimpangan Malau - KBE - Padang Serai
   Odometer 2013 : 02423 
           

Isnin, 17 Jun 2013

Transformasi lengkap ..... mtb ke touring


Sudah membuat beberapa enquiry di beberapa kedai basikal disekitar Sungai Petani termasuk di Taman Intan, Taman Delima dan Taman Suraya. Rata rata mereka tidak mempunyai wheel set untuk road bikes. Teringat SK Juan menyatakan ada kedai basikal di Sungai Lalang yang ada menyimpan satu set. Katanya lagi, harga yang diletakkan amat berpatutan dan mungkin boleh ditawar sedikit.
Pagi ini aku tidak melakukan kayuhan. Satu kerana cuaca agak muram selepas hujan pada sebelah malam. Kedua kerana masih merasa letih kerana baru pulang dari Kuala Lumpur setelah berada disana sejak hari Khamis lalu. Ketiga kerana bertekad untuk mencari wheel set untuk dipasang pada mtb yang telah diubahsuai pada fork depan. Setelah menyelesaikan urusan ke Sungai Lalang untuk mencari kedai basikal yang dikatakan oleh SK Juan. 
Tidak sangka walaupun kerap melalui jalan utama menghala ke persimpangan Sungai Lalang aku tidak perasan kedai basikal ini. Kepunyaan orang kita dan agak banyak barang yang dijual disini berbanding dengan kedai basikal lain. Sebab utama ia tidak begitu kelihatan kerana ia agak jauh dari jalan utama dan dilindungi oleh pokok besar ditepi jalan. Kedai ini juga menjual barangan dan membaiki motorsikal.
Nasib menyebelahi aku kerana wheel set 700 masih ada, tetapi aku terpaksa pulang kerumah untuk mengambil basikal rb untuk dipasang. Aku sampai semula setengah jam kemudian dan memasang wheel set beserta dengan tayar sekali. Aku hanya mampu memasang tayar Vee Rubber buatan Thailand. Teringin juga untuk membeli brand Kenda tetapi harganya hampir RM150 sepasang. Nampak agak profesional juga dia membuat kerja. 
Kos kesemuanya termasuk upah ialah RM320.00. Wheel set berharga RM240.00
Petang tadi kebetulan SK Juan datanbg kerumah untuk berbual. Agak lama juga kami berbual tetapi aku tidak beritahu dia tentang basikal yang aku modified. Dia sendiri telah membuat satu biji touring bikes. Pada mulanya dia bercadang untuk menggunakan frame Nexus lamanya tetapi kemudian mengubah fikiran dan membeli frame baru. Dia hanya mengambil group set, disc brake dan hub dari basikal lama. Menurutnya dia menghabiskan hampir RM1k untuk membuat basikal touring bikes tersebut. 
Dia juga membeli rigid fork dari Kedai Basikal Soon Lee seperti yang aku beli tetapi membayar harga yang jauh lebih murah. Bezanya hampir RM50. Mungkin kerana dia banyak membeli barangan dan telah lama berlanggan dan boleh dikatakan menghabiskan masa lapangnya di kedai tersebut setiap hari. 
Selepas Juan pulang aku keluar untuk mencuba wheel set yang aku beli pagi tadi. Wau .... boleh tahan juga. Aku rasa amat berpuas hati dengan transformasi yang aku buat kepada mtb. Aku membuat sedikit pengubahsuaian kepada sistem brake. Tidak mahu menukar kepada Disc Brake seperti yang dilakukan oleh SK Juan dan Ah Sean. Apa yang dilakukan hanya membuat extension plate untuk membolehkan brake pad dinaikan mengikut saiz roda yang lebih besar. Dengan ini jika aku ingin mengembalikan kepada asal tidak menjadi masalah. Setakat ini brake tersebut berfungsi dengan baik.
Aku merancang untuk membuat beberapa kayuhan jauh sebelum bulan puasa bermula tidak lama lagi.

Statistik : 
    Mula ............... 6.00 petang
    Tamat ............  7.00 petang
    Jarak ............... 25 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Lencongan Barat
   Odometer 2013 : 02323 
           

Ahad, 16 Jun 2013

Majlis perkahwinan anak saudara ...

Sungguh terharu dan seronok melihat ramai saudara mara sebaik sahaja aku sampai di tempat letak kereta di dewan TUDM Subang. Macam berjanji sahaja kerana hampir enam atau tujuh  keluarga sebelah aku berada disana dan kami bersalam salaman serta berpeluk pelukan (yang mana dibolehkan sahaja termasuk dua emak saudara), ada yang nampak menitis air mata tanda kegembiraan.
Keluarga yang lain adalah yang sudah sampai lama dan telah menjamu selera. Mereka berkumpul dikhemah diluar dewan sambil berbual sementara menunggu yang lain sampai. Kebanyakkan datang dari kampung di Negeri Sembilan.
Rasanya aku sekeluarga sahaja yang jauh di utara, yang lain boleh sampai dalam masa dua jam sahaja. Manakala kami kena bermalam di Kuala Lumpur atau di Seremban. Sempat juga menziarah adik beradik dan ibu sebelah isteri di Pantai Seremban.
Melihat kehadiran saudara mara pada majlis perkahwinan anak adik bongsu kami, aku berfikir dalam hati. Kalau dalam masa terdekat nanti aku mengadakan majlis perkahwinan anak, adakah saudara mara mampu datang memandangkan jarak melebihi 500 km dan lebih enam jam menaiki kereta. Samasa memandu pulang ke utara pada sebelah petang setelah selesai majlis tersebut, anak aku mencadangkan untuk menyewa bas meengangkut semua saudara mara dari kampung di Negeri Sembilan ke majlis yang akan diadakan nanti.
Idea yang bagus tetapi akan melibatkan kos yang tinggi, paling kurang satu dua ribu ringgit. KIV dulu cadangan hingga tiba masanya nanti.


           

Khamis, 13 Jun 2013

Turun ke KL

Tiada kayuhan pagi ini kerana selepas zohor nanti akan ke Kuala Lumpur bersama famili. Teringin juga berkayuh tetapi takut badan letih untuk memandu jauh. Aktiviti berbasikal akan terhenti untuk beberapa hari. Yang syoknya isteri aku menyuruh membawa basikal dalam X-Trail dan boleh berkayuh di Kuala Lumpur nanti. Ishhhh ... tak kuasa aku. Banyak masa lain untuk aktiviti kayuhan.
Terpaksa ke Kulim untuk menjemput anak sulung yang habis kerja di Hospital Kulim pada jam 2.00 petang. Harap dapat bertolak sebelum jam 3.00 petang kerana mungkin hari akan hujan pada sebelah  petang nanti. Tinggalkan kereta dia di Loji Air Sungai Ular Kulim untuk tiga empat hari, minta tolong kawan bekas sekerja untuk tolong menjaga kereta tersebut. Nasib baik dapat parking ditempat berbumbung.
Sampai ke destinasi selepas waktu maghrib. Bila sudah malam penglihatan agak kurang jelas hinggakan terlepas beberapa persimpangan dan tersasar agak jauh. Rasanya tidak pernah aku tersesat sebelum ini  hingga hampir 40 minit. Maklumlah sekarang jalan pun sudah banyak berubah dan bila terlepas simpang terpaksa mencari jalan keluar dan berpatah balik. Kalau masuk ke highway dimana ndak buat u-turn.



Alhamdulillah selamat sampai di apartment dengan selamat walaupun lambat sedikit.
       

Isnin, 10 Jun 2013

Gunung Jerai

Memang sudah lama aku tidak berbasikal ke Puncak Kedah atau lebih dikenali sebagai Gunung Jerai. Pagi tadi aku ke Gunung Jerai bersama Dr. Shahid, MA Jung Jut dan Sister Suria dari Klinik Kesihatan Bakar Arang menaiki kereta.... Kami kesana untuk membuat persediaan dan persiapan untuk Konvensyen Panel Penasihat Peringkat Negeri Kedah yang akan diadakan pada esok Selasa 11 Jun 2013. 
Jalan ke puncak gunung amat lembab kerana hujan lebat kelmarin dan mungkin hujan akan turun sepanjang hari hari ini. Jalan dipenuhi oleh daun kayu, ranting kecil dan tanah yang dibawa oleh air hujan.
Ada pokok tumbang menghalang laluan. Mujur ada pekerja yang membuat senggaraan jalan memotong dan membuang pokok yang membuang pokok tersebut dan kami dapat meneruskan perjalanan ke puncak gunung jerai tanpa banyak masalah. 
Sepanjang hari hujan turun dan matahari tidak lansung muncul. Keadaan dikawasan resort seolah olah seperti di kawasan tinggi pergunungan di Genting atau Cameron Highland ketika hujan. Kawan kawan lain menyatakan keadaan seperti musim sejuk di Eropah. Aku tidak mahu untuk komen apa apa tentang itu. Aku berada disana selama lima tahun hampir 40 tahun lalu dan masih boleh membayangkan lagi keadaan pada musim sejuk. Suhu di gunung Jerai disekitar 16 darjah dengan hujan sepanjang hari, kadang kadang lebat dan kadang kadang renyai.
Salah seorang kakitangan klinik kesihatan dari Guar Cempedak menegur aku seperti sudah kenal lama. Dia menerangkan terbaca blog aku secara tidak sengaja dan selepas itu sering mengikuti blog yang aku tulis. Dia kagum dengan aktiviti yang aku lakukan. Dia juga melibatkan diri dalam aktiviti berbasikal tetapi tidaklah serius kerana kekangakan tugas dan masa. 
Bila selesai tugas pada sebelah petang kami terasa bahang panas apabila turun ke bawah untuk pulang. Esok bagaimana agaknya cuaca di gunung ini?
          

Isnin, 3 Jun 2013

Loji Air Sungai Ular Kulim

Terharu. Itulah perasaan sebaik aku memasuki perkarangan Loji Air Sungai Ular Kulim menaiki  roadbikes. Kebetulan hampir semua kekuatan pekerja loji shift pagi dan kakitangan lain berada dihadapan pejabat loji. Tidak ramai hanya lima orang termasuk yang membuat OT mencuci tangki enapan. Mereka menyambut kedatangan aku dengan perasaan yang seronok. Maklum memang agak lama aku tidak singgah disini. Rasanya kali terakhir lebih dua tahun lalu.
Gambar lama Loji Air Sungai Ular
Hari ini termakbul hasrat hati untuk menziarahi rakan rakan sekerja dahulu. Sudah dua tiga minggu aku merancang untuk kesini tetapi kerana kesuntukkan waktu dan keadaan cuaca yang kurang baik. Kalau aku kesini biasanya tidak memadai untuk tempoh singkat, sekurang kurangnya dua jam. Jadi jika berkayuh kesini aku kena bertolak awal dari rumah dan bersedia untuk pulang ketika matahari sedang memancar terik diatas kepala.
Aku mengikut jalan Pinang Tunggal ke Padang Serai. Ada tiga pilihan untuk sampai ke Kulim dan kemudian ke loji Sungai Ular mengikuti jalan Serdang - Bandar baru. Tidak pasti jalan mana yang dekat atau jauh. Pertama jalan dari Sungai Seluang melalui jalan Kulim Hi Tech. Penghujung jalan ini sebelum persimpangan UniKL dan Politeknik ada sedikit pendakian yang agak panjang. Jalan kedua melalui pekan Lunas. Rata tetapi sibuk dengan kenderaan terutama ditengah pekan. Akhirnya jalan yang biasa aku ikuti iaitu melalui kawasan perindustrian Kulim iaitu Kilang Lama (disebut sebagai Kelang Lama).
Aku mengambil jalan pilihan terakhir. Mungkin masa balik nanti aku akan cuba untuk mengikuti lain. Ini untuk mengelakkan rasa bosan melihat pemandangan yang sama. Bukanya aku peduli sangat atau nampak sangat apa yang ada dikiri kanan ketika kayuhan.
Seronok berbual bertukar tukar cerita, bertanya khabar, bertanya tentang keluarga terutama anak anak dan lain lain. Sempat juga aku memberi sedikit nasihat untuk menjaga kesihatan diri dengan melibatkan diri dalam aktiviti bersenam, berenang atau berbasikal. Hampir semua kenalan telah melebihi umur setengah abad. Inilah masa yang penting untuk menjaga kesihatan badan.
Aku berada disana hampir 1 jam 45 minit dan terpaksa meminta diri untuk pulang. Aku menganggarkan kayuhan pulang akan mengambil masa lebih dari masa kayuhan kesini kerana tenaga semakin berkurangan dan badan pun sudah mula letih. Apatah lagi matahari akan memancar terang mengantikan kelmarin yang hampir satu hari hunan turun.

Statistik : 
    Mula ............... 7.30 pagilam
    Tamat ............  12.30 pagi
    Jarak ............... 93 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Loji Air Sungai Ular, Kulim
   Odometer 2013 : 02298 
           

Ahad, 2 Jun 2013

Tiga kenduri berterusan ....

Petang kelmarin terasa otot peha kaki kanan sengal dan sakit bila aku bangun dari duduk. Mesti disebabkan kayuhan yang dibuat pada sebelah pagi kerana tidak menukar kepada gear rendah apabila membuat beberapa pendakian kecil. Aku juga membuat beberapa pecutan sehingga melebihi kelajuan yang tidak pernah aku capai sebelum ini (kecuali ketika menuruni bukit .....!)
Aku menyapu krim untuk sengal otot yang aku beli di negara jiran dengan harga RM2.80. Krim ini macam minyak kuda disapukan pada kaki sebelum dan selepas bersukan. Pagi ini bila bangun tidur semua sengal otot hilang. Bagus juga krim ini, dahulunya ia menggunakan brand 'boxer' tetapi nama tersebut telah di'siam'kan. Elok disimpan dan dibawa ketika membuat kayuhan.
Pagi ini aku memang berhajat untuk membuat kayuhan lagi. Kalau boleh lebih kurang jarak yang dibuat hari sebelumnya. Rasa kecewa kerana hujan turun sebelum matahari muncul. Pada mulanya tidak lebat dan berhenti selepas 10 minit. Menaikan semangat untuk meneruskan cadangan untuk berkayuh. Hanya membunuh perasaan kerana hujan yang reda sebentar tadi disambung pula dengan hujan yang lebih lebat....
Aku dalam keadaan yang selalu kita alami. Bila hujan turun dengan lebat atau berpanjangan dan kita berada dirumah. Tiada apa yang menarik di TV. Perut tanpa disedari mula merasa lapar. Kecewa lagi apabila orang rumah rileks saje .. tidak masak untuk makan tengah hari.
Baru teringat ada tiga jemputan walimatul urus hari ini. Kami mula kerumah pertama yang terletak lebih kurang 300 meter dari rumah di Taman Emas Suria. Tetamu tidak berapa ramai kerana hujan dan mungkin tetamu ke rumah kenduri lain dahulu. Menu agak menarik kerana ia berbeza dengan menu biasa seperti tiga kenduri yang aku hadiri kelmarin. Menu utama ialah daging rebus dengan air asam.
Selepas itu kami terus kerumah kenduri kedua, juga tidak lebih setengah kilometer jarak dari rumah aku. Hanya ambil satu senduk kecil nasi dan lauk udang campur rebung. Rumah kenduri ketiga aku hanya ambil buah buahan dan satu mangkuk kecil ais batu kacang.
Rasa perut kencang sungguh apabila sampai dirumah. Hujan masih dan masa untuk berehat. Esok kalau tidak hujan mesti membuat kayuhan untuk mengimbangi makanan yang diambil hari ini.
         

Sabtu, 1 Jun 2013

Dua kali lencongan

Semalam semasa menghabiskan masa melayari facebook, tertarik dengan tulisan seorang rakan facebook tentang aktiviti berbasikal serta komen komen yang diberikan. 


Ingin membuat kayuhan jauh hari ini tetapi dibatalkan kerana faham faham sahajalah musim cuti sekolah pertengahan tahun. Kena hadir dua kenduri kahwin berhampiran dengan rumah. Walau apa pun aku fikirkan cara untuk pergi lebih 50 km di laluan jalan lencongan timur dan barat. Membuat pusing U dipenghujung lencongan timur dan meneruskan dilencongan barat sehingga ke persimpangan Titi Semeling dan membuat pusingan U sekali lagi.
Hampir dua jam berkayuh dan ingin mengisi perut di Restoren mamak di Taman Nilam Sari. Sebaik menuruni jambatan berhampiran Taman Pekan Baru seorang rider memotong dan menegur. ketika itu berkayuh agak santai. Bila menoleh aku perhatikan hebat juga rider dengan basikal rb Merida dan pakaian yang berpadanan. Aku menyaingi kayuhannya. Walaupun hanya 1km tetapi kayuhan tidak sehebat manapun. Bertepatan dengan tulisan dalam facebook yang aku sertakan diatas.
Dia membelok ke Taman Intan. Pernah ternampak sekali sekala.
Sedang termenung menunggu minuman dan chapati sampai, tiba terdengar bunyi enjin diudara. Aku duduk dibahagian tepi sekali jadi jelas kelihatan dua biji 'paraglider' sedang berlegar legar diudara saolah olah membuat peretunjukkan udara ... ala macam dekat LIMA diLangkawi tu. Siap dengan asap sekali. Mereka membuat dua pusingan.Aku asyik melihat tidak teringat untuk mencapai kamera yang sentiasa aku bawa bersama ketika membuat kayuhan. Hanya dapat snap dua keping sahaja kerena selepas itu mereka pergi ke tempat lain pula.




Bosan aku tunggu capati dan minuman yang aku pesan masih tidak dihantar lagi. Aku lihat pelanggan yang datang duduk 10 minit kemudian dari aku telah mendapat minuman. Datang pula seorang lagi pelayan bertanyakan samada aku sudah membuat pesanan ke belum. Aku memakai glove dan helmet aku dan terus berlalu. Ini kali kedua perkara ini berlaku disini. 
Tahu .. hari ini hujung minggu dan ramai pelanggan. Aku sabar untuk menunggu. Sekurang kurangnya dapat menghilangkan penat sebelum makan. Tetapi sabar hilang jika orang lain yang datang kemudian mendapat pesanan dan aku masih menunggu.  
Balik dan singgah di kedai runcit untuk membeli air 100 Plus dan roti cream. Tidak sampai 5 minit habis aku makan.

Statistik : 
    Mula ............... 7.50 pagilam
    Tamat ............  9.45 pagi
    Jarak ............... 53 km
    Cuaca .............. Panas tapi nyaman
    Laluan ............. Lencong Timur dan Barat
   Odometer 2013 : 02205