Halaman

Sabtu, 29 Oktober 2011

Kayuhan ke Sik

Serba tidak kena bila aku ingin memberikan tajuk untuk posting hari ini. Pada peringkat awal, aku ingin memberi tajuk 'kayuhan tiga daerah' tetapi kemudian selepas dua jam berkayuh aku menukar fikiran untuk menamakan 'kaki besi' dan pada peringkat akhir kayuhan aku ingin memberi tajuk 'sudah jatuh ditimpa tangga' atau 'double trouble' atau 'kayuhan malang'.
Kayuhan pagi berkumpulan, kayuhan yang jarang aku lakukan sejak kebelakangan ini. Aku lebih banyak membuat kayuhan solo atau sendirian. Bukan apa, pada tahap usia ini aku cuba mengelakkan kerenah, sikap dan perangai bila berkumpulan. Untuk mengelakkan rasa bengang, stress atau tension, lebih seronok bersendirian. 
Kumpulan kayuhan pagi ini hanya bertiga. Bermula agak awal dan kami berjumpa di tempat yang dijanjikan iaitu lampu isyarat persimpangan Taman Intan.  Apabila semua sudah berkumpul (lewat 5 minit) ada perubahan dibuat pada destinasi kayuhan. Destinasi kayuhan adalah Sik. Aku diberi penghormatan membuat keputusan tentang laluan samada melalui Kuala Ketil - Parit Panjang atau melalui Gurun - Jeniang. Aku memilih Gurun - Jeniang dengan alasan jalan pulang melalui Parit Panjang - Kuala Ketil nanti lebih teduh dan redup kerana banyak pokok pokok di tepi jalan.
Sebaik bermula sudah menjadi tidak ketentuan, aku memilih untuk melalui jalan bandar Sungai Petani kerana ini adalah laluan yang paling munasabah dari lokasi permulaan. Tetapi ada yang memberi alasan laluan tersebut sibuk dan membuat detour melalui lencongan barat. Mana ada sibuk kerana masih awal pagi dan pula hari ini cuti hujung minggu. Tambahan 5 km, mungkin baik untuk exercise tetapi perasaan aku mula berbalah dan tidak seronok.
pilih kuih ....
Baru 40 minit berkayuh, aku diberitahu untuk berhenti di Bedong tujuan sarapan pagi. Sekali lagi aku memendam perasaan. Kalau sudah tahu hendak melakukan kayuhan sepatutnya bersedia dengan sarapan yang bertenaga dirumah. Kebiasaan aku akan pekena semangguk Oat, telur rebus dan secawan nescafe. Boleh berkayuh lebih dua jam tanpa berasa lapar. Dalam poket baju aku ada dua tiga biji buah kurma untuk tenaga bila letih nanti.
Laluan dari Gurun ke Jeniang berombak ombak (berbukit bukit manja), syok layan jalan ini. Jalan pun luas dan terdapat laluan motorsikal yang memberikan keselesaan/keselamatan kepada pengayuh basikal. Aku tidak merasa kecil hati atau terkilan kerana rakan yang dua orang lagi memecut sehingga hilang dari pandangan aku. Rasanya laluan sepanjang hampir 22 km tersebut aku berada hampir 2 km dibelakang.
.. makan lagi. Jeniang
Ekkk .... baru satu jam lebih sarapan dah nak makan lagi. Sebaik aku memasuki pekan Jeniang dua orang sahabat sedang memesan makanan dan minuman disebuah gerai makanan. Kedua mereka makan nasi berlauk. Yang dimakan di Pekan Bedong sebentar tadi sudah kehabisan agaknya. Sebagai protes aku duduk semeja tetapi enggan minum atau makan. Aku menghilangkan rasa dahaga dan kering tekak dengan air yang dibawa. Oh ... aku bawa dua botol air. Sementara mereka menjamu selera aku keseberang jalan untuk ke tandas di satu satunya stesyen minyak di pekan Jeniang. Kami berhenti lebih kurang 20 minit.
Sesuatu yang agak lucu berlaku. Tuan kedai mengira makanan orang yang duduk satu meja dengan kami. Nasib baik kami perasan dan memberitahu tuan kedai yang orang tersebut tidak bersama dengan kami. Wang lebihan hampir RM4.00 dipulangkan semula. Tidak pasti orang tersebut telah membayar apa yang dimakan.
Sementara kami bersiap untuk memulakan kayuhan semula dua orang rider lalu dihadapan kami. Aku tidak memberikan perhatian kerana mungkin ramai rider lain yang berada di jalan pada hujung minggu ini. Kami berada dibelakang dua rider tadi lebih kurang 4 km dari Pekan Jeniang menuju ke Sik. Ketiga tiga kami terkejut ketika menghampiri mereka mendapati salah seorang dari rider tersebut mengunakan kaki besi pada peha sebelah kiri.
Salute .... aku terbaca dalam facebook dua hari lepas bahawa rider yang sama berjaya sampai ke puncak Gunung Jerai pada 26 Okt 2011 sempena cuti umum Deepavali. Rider tersebut kini berkayuh sama dengan aku. Sempat berbual pendek kerana keadaan tidak mengizinkan untuk bersembang panjang. Mereka berdua membuat kayuhan dari Gurun ke Sik. Banyak yang ingin aku pelajari dan ingin tahu mengenai dirinya. Agak sukar berbual dengan selesa kerana kelajuan hampir 25 km/j dan jalan yang agak mendaki.
KAGUM, itulah kesimpulan yang dapat aku katakan. Tidak ramai mereka kekurangan anggota terutama kehilangan satu kaki boleh melakukan apa yang sedang aku lihat sekarang. Dia berjaya keluar dari kepincangan dan melakukan sesuatu yang membuatkan orang yang cukup dan lengkap anggota malu. Kecacatan tidak mengongkong dan membataskan kehidupan sehariannya, dia masih mampu melakukan aktiviti berkayuh.
Dia baru sahaja bergiat dalam aktiviti ini dan kayuhan hari ini adalah satu latihan kerana dia akan menyertai jamboree berbasikal yang agak top dalam masa terdekat ini. Kami mengucapkan selamat berjaya dan selamat tinggal, semoga berjumpa lagi. Pasti aku tidak akan melepaskan peluang untuk berkayuh dengannya jika ada peluang.
Sebelum bertemu rider berdua ini, pada salah satu persimpangan selepas Pekan Jeniang terdapat berberapa kereta diletakkan ditepi simpang tersebut. Ada kereta polis, RELA dan PGA serta beberapa biji  motorsikal. Mereka menegur kami dan menyuruh kami berhenti untuk menunggu berbasikal yang akan sampai sebentar lagi. Mereka mengajak kami menyertai kumpulan tersebut. Mungkin ramai peserta berdasarkan persiapan dan bantuan ajensi kerajaan. Mungkin mereka dari utara samada Alor Setar atau Pendang dan akan berkayuh ke Sik.
Kayuhan ke Parit Panjang agak mencabar kerana keadaan jalan yang berbukit bukit. Keadaan ini memperlahankan kayuhan aku manakala dua rakan aku yang lain sekali lagi sudah tidak kelihatan. Tetapi tidak jauh dihadapan. Mungkin tidak lebih dari kurang lima minit dihadapan. Di salah satu pendakian bukit ini aku terdengar bunyi 'snap' dan serta merta aku tahu jejari (spoke) roda belakang telah putus. Kali kedua dalam masa satu minggu. Aku menelipon rakan rakan untuk memberitahu mereka tetapi panggilan tidak di jawap. Hanya lima minit kemudian apabila mereka sampai di 'round about' Parit Panjang mereka membalas panggilan.
Tiada pilihan melainkan mengayuh perlahan-lahan dengan pusingan roda belakang yang tidak seimbang. Aku sampai keletihan dan dengan moral yang begitu rendah sekali, lima minit kemudian ditempat mereka menunggu. Tiada apa yang dapat mereka bantu, kedai basikal yang paling hampir ialah 18 km jauhnya iaitu di Pekan Kuala Ketil. Selepas menghilangkan penat dan letih badan, kami meneruskan kayuhan ke Kuala Ketil. Kayuhan aku pada mula banyak terganggu tetapi dapat menyesuaikan dan berjaya sampai untuk makan tengah hari di sebuah restoren di pekan Kuala Ketil.
Semasa makan kami banyak berbincang tentang apa yang perlu dilakukan dan aku mengambil keputusan untuk menggantikan keseluruhan spoke roda belakang. Buat masa ini aku sanggup mengayuh pulang ke Sungai Petani dengan keadaan satu spoke putus. Hanya tinggal 20 km sahaja lagi.
Semuanya berjalan lancar sehingga kami berada di hadapan JPJ Sungai Petani berhampiran dengan simpang lencongan Timur. Pedal kanan menjadi ketat dan kemudian langsung boleh berpusing. Terpaksa berhenti untuk melihat sebabnya. Aku teruskan kayuhan dan hanya dapat lebih kurang 50 meter apabila pedal tersebut tertanggal dari crank. Peristiwa inilah yang dimaksudkan sudah jatuh ditimpa tangga. Dua kerosakkan dalam satu hari. Dalam keluhan secara tidak sengaja aku berkata dimana silapnya dan apa kesalahan aku telah aku lakukan.
Azbeel mencadangkan supaya dia menolak aku ke kedai basikal yang hanya 3 km sahaja dihadapan tetapi aku menolak cadangan tersebut. Aku menyuruh dia meneruskan kayuhan dan aku akan menyuruh anak aku datang dengan kereta.
Walau apa yang berlaku ia tidak mematahkan semangat untuk meneruskan aktiviti kayuhan ini. Mengalami kerosakkan semasa kayuhan adalah salah satu 'norm' atau kebiasaan. Akan lebih berhati hati melakukan senggaraan berjadual dan senggaraan pencegahan dimasa masa akan datang. Lebih elok .... tukar atau beli sahaja basikal baru !!!!


Statistikh
   Mula ........... 7.00 pagi
   Tamat ......... 1.00 tengah hari
   Jarak ........... 114 km
   Cuaca ......... Panas
   Laluan ........ Bedong - Gurun - Jeniang - Sik - Parit Panjang - Kuala Ketil - Sungai Petani

Rabu, 26 Oktober 2011

Selamat Hari Deepavali

Pagi ini sepatutnya ramai riders atas jalan tetapi sepanjang perjalanan sejauh hampir 50km hanya berselisih dengan dua rider di jalan lencongan timur. Kedua dua menggunakan mtb dan agaknya masih baru. Sepatutnya pada hari cuti umum seperti hari ini,  ramai rider yang berada di jalan jalan sekitar waktu aku memulakan kayuhan. Cuaca baik dan cerah. Apa yang berlaku?
OK tak kan semua rider menyertai kayuhan Gunung Jerai. Aku terbaca dalam facebook beberapa hari lepas tentang kayuhan ke puncak Gunung Jerai pada 26 Okt 2011 iaitu cuti umum hari Deepavali. Program ini adalah anjuran group dari Perwaja dan melibatkan beberapa group dari Sungai Petani. Mereka dijangka akan memulakan pendakian pada jam 7.30 pagi.
Tiada yuran pendaftaran, goodies atau jersey, lupakan flagoff ceremony, tiada hadiah, tiada makanan dan minuman disediakan dan rider perlu membawa keperluan sendiri. Sesiapa yang ingin turut serta hanya perlu datang di kaki gunung, lambat pun tidak mengapa, tidak semestinya berkayuh bersama sama. Jangan risau sesat jalan kerana hanya ada satu jalan menuju keatas ... lainlah kalau nak ikut dalam semak atau hutan.
Pada mulanya teringin juga untuk ikut serta walaupun kali terakhir aku kesana sepuluh hari lepas. Mungkin seronok berkayuh beramai ramai mendaki Gunung Jerai. Mungkin memberi aku peluang untuk melihat kemampuan rider lain. Bagus untuk EGO.
Ini kayuh syok syok sahaja, memberi peluang kepada rider yang jarang kesana untuk mengadu kudrat dan tenaga sendiri, menguji setakat mana kemampuan, kesabaran dan mencari kelemahan diri. Bagi yang belum ini pernah melakukan kayuhan inilah masa yang sesuai, peluang bersama otai dan rakan rakan lain. Walau apa pun keputusan dan kesudahan, pasti ia menjadi suatu pengalaman yang sukar dilupakan nanti. Mungkin selepas ini ramai yang akan datang kembali.
Tidak boleh membayangkan keadaan jalan jika ramai yang menyertai aktiviti ini. Pastinya akan menjadi kelam kabut, walaupun jalan agak luas tetapi dengan keadaan kayuhan mendaki akan menimbulkan masalah untuk memotong atau untuk maintain kelajuaan. Kayuhan pendakian amat berbeza dengan kayuhan jalan biasa.
Pihak penganjur perlu mengingatkan peserta untuk berhati hati semasa menuruni gunung. Banyak sangat selekoh maut. Jangan pula ada yang terbawa bawa atau keterlaluan dengan aksi 'korner baring'. Kelajuan semasa menuruni gunung boleh mencapai 70 km/j dan silap haribulan boleh tersangkut didahan dahan pokok ditepi lereng gunung. Disc brake boleh bertukar warna kemerahan atau kebiruaan.
Juga sesetengah jalan agak licin kerana musim hujan sekarang, ada juga kawasan terdapat lumut dan daun-daun yang reput. Awas boleh berlumba semasa pendakian tetapi jangan berlumba semasa penurunan. Aku ucapkan selamat membuat pendakian dan berseronok ... jika nasib baik akan dapat melalui kabus tebal atau awan di puncak gunung nanti.
Aku kansel hajat untuk menyertai mereka. Lebih selesa membuat kayuhan solo seperti kebiasaan. Aku akan kesana mungkin pada minggu hapadan kerana pada hujung minggu ini ada rancangan untuk berkayuh ke Sik sejauh hampir 120 km pergi balik.
Masih awal semasa aku sampai di Pekan Bedong dan aku masih mempunyai banyak masa sebelum cuaca bertambah panas. Aku membelok di kawasan perumahan di pekan tersebut. Belum pernah melawati kawasan ini. Banyak juga rumah kos rendah dan sederhana dikawasan ini. Terdapat ramai kanak kanak kaum India sedang bermain mercun dan bunga api sempena hari perayaan mereka. Suatu yang menarik perhatian aku ialah pakaian mereka.
Lebih dua jam berkayuh dan masih bertenaga. Masih belum terasa lapar atau haus. Tidak singgah dimana mana untuk makan atau minum kerana aku telah 'pasang niat' untuk pekena gulai ikan sembilang di gerai makan kawan aku di Kampung Teluk. Walau baru jam 10.00 pagi rasanya gulai sudah masak. Sebaik sampai kawan aku tersebut sedang bersedia untuk ke bendang, menabur baja katanya. Padi disawah sudah hampir dua bulan dan perlu dibaja. Tidak lama lagi akan berbuah.
Aku respek kawan aku seorang ini. Walaupun ada pekerjaan tetap sebagai pekerja di Loji Pembersihan Air, tetapi dia mengusahakan bendang padi yang keluasan hampir 30 relong. Dia mengusahakan restoren gulai ikan sembilang dan pengurusan diserahkan kepada isterinya sepenuhnya. Dia juga mengusahakan lembu feedlot.
Hari ini seketul gulai ikan sembilang berharga RM9.00, lebih dari biasa. Bekalan kurang. Nelayan kurang ke laut kerana musim hujan. Satu lagi sebab adalah kerana permintaan ikan sembilang laut yang tinggi dan pengusaha restoren berebut untuk mendapatkan bekalan dan sanggup membayar harga yang lebih.
Statistik
   Mula ............... 8.00 pagi
   Tamat ............. 10.20 pagi
   Jarak .............. 49 km
   Cuaca ............. Nyaman
   Laluan ........... Lencongan Timur - Bedong - Semeling
     

Ahad, 23 Oktober 2011

its a beautiful Sunday ...

Tidak kurang dari enam tujuh kali aku mendengar DJ radio mengatakan betapa indah nya pagi Ahad ini. Aku mendengar radio kecil sambil berkayuh. Muzik yang dimainkan memang syok habis pada cuti hujung minggu, DJ  radio tersebut mengajak pendengar keluar dari rumah untuk menikmati kesegaran pagi. Macam kat negara barat pula. 
Aku bersetuju 100%, kerana matahari bersinar terang walaupun masih banyak tompok tompok kabus yang masih belum hilang. Masa itu aku sudah berada lebih 20km dari rumah, sedang melayani jalan yang berbukit bukit ke Kuala Ketil. Tetapi pastinya hujan akan turun pada sebelah petang nanti.
Jalan Kuala Ketil - Kulim melalui Merbau Pulas adalah kawasan pertanian terutama estet kelapa sawit dan getah. Disetiap perhentian bus ada orang sedang menunggu bus untuk membawa mereka ke bandar. Perayaan Deepavali hanya beberapa hari sahaja lagi dan kebanyakkan pekerja ladang berbangsa India keluar ke pekan untuk membeli persediaan Deepavali mereka. Kebanyakkan mereka tidak pergi ke pekan Kuala Ketil, Merbau Pulas, Sungai Karangan atau Padang Serai, tetapi mereka pergi ke bandar besar termasuk Kulim atau Sungai Petani.
Rasanya kaum India macam orang kita juga berbelanja sakan menyambut hari perayaan. Mereka akan menghias rumah mereka dan menukar mana mana perabut dan perhiasan rumah ..... mereka juga banyak menyediakan juadah dan  minuman. Paling ketara adalah pakaian mereka terutama kaum wanita yang berwarna warni dengan assesori seperti rantai, anting anting, gelang tangan dan kaki.
Kelihatan wajah wajah ceria mereka terutama anak-anak untuk ke bandar.
Aku berkayuh hampir dua jam tanpa henti. Apabila betul betul keletihan dan betul betul lapar barulah aku mencari tempat untuk berhenti. Aku mencari gerai di Pekan Padang Serai, tetapi orang terlalu ramai kerana ada pasar minggu yang sedang rancak beroperasi. Aku singgah disebuah gerai yang agak jauh dari pekan di persimpangan jalan Ekor Kucing - Sidam. Penjual roti canai menegur kenapa sampai lambat sangat kerana sebentar tadi ada satu kumpulan lain yang singgah dan telah beredar. Aku kata mereka group lain, aku kayuh sendirian.

Statistik
   Mula ............ 8.00 pagi
   Tamat .......... 11.45 pagi
   Jarak ............ 70.5 km
   Cuaca .......... Panas
   Laluan .......... Kuala Ketil - Merbau Pulas - Padang Serai

Sabtu, 22 Oktober 2011

Potong steam ....

Satu kilometer sebelum sampai ke Jambatan Merdeka Sungai Muda, aku pada tahap kayuhan yang amat menyeronokkan. Kelajuan pada 33 ~ 36 km/j, walau hampir jam 08.00 pagi cuaca masih redup. Nampak bayangan matahari telah tinggi tetapi masih dilindungi kabus tebal. Kelihatan beberapa orang riders bersendirian dan berasingan dari arah bertentangan, mungkin ada yang dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani dari Kepala Batas atau Butterworth atau dari Seberang Prai ke arah Kuala Muda. Sempat mengangkat tangan dan ada yang menegur.
Lokasi  kerosakkan .. sempadan Kedah/P. Pinang
Tengah leka dan syok mengayuh, tiba tiba aku mendengar bunyi seperti ranting patah dari belakang basikal dan beberapa ketika kemudian basikal roadbikes menjadi berat. Aku turun untuk memeriksa dari mana datang bunyi tersebut. Aku pasti jejari (spoke) patah. tetapi tidak menjumpainya. Semuanya kelihatan OK. Apabila aku mengayuh semula, tayar belakang tidak boleh berpusing seolah-olah ada sesuatu yang tersekat. Aku mencari tempat sesuai untuk membuka wheel belakang. Teringat mungkin bearing yang dipasang minggu lepas yang menjadi masalah.
Aku menelifon SK Juan untuk bertanyakan punca tetapi dia tidak dapat memberikan jawapan. Dia menyuruh membawa basikal tersebut kerumahnya. Dia tidak membuat kayuhan pada pagi yang indah ini kerana sedikit masalah kesihatan. Kemudian aku menelifon rumah untuk meminta anak aku menjemput dengan kereta.
Hanya dapat berkayuh 14 km dan terpaksa pulang menaiki kereta. Rasanya ini pertama kali aku pulang sebegini pada sepanjang penglibatan dalam aktiviti berbasikal. Selalu kita dengar 'mesti ada kali pertama untuk segalanya'.
Pemeriksaan yang dilakukan oleh expert mendapati memang sebatang jejari patah dan menyebabkan pusingan roda belakang tidak seimbang dan tersekat pada brake. Kami membawa kekedai basikal untuk menggantikan, kos nya RM1.00 sahaja.
Di kedai basikal Soon Lee Taman Intan, ramai rider lain yang berhenti dalam perjalan pulang dari kayuhan. Kami berbincang dan bercadang untuk membuat kayuhan ke SIK pada hari Sabtu minggu depan.
Petang kelmarin aku dihubungi oleh seorang kawan lama. Kami tidak berjumpa hampir 30 tahun dan pertama kali menghubungi aku dua bulan lepas. Dia berjaya menjejaki aku melalui 'laman blog ini'. Tidak sia sia juga aku membuat blog ini.  Aku berjumpa untuk pertama kali sejak berpisah pada tiga hari sebelum bulan Ramadan yang baru lalu. Dia di Pulau Pinang kerana urusan kerja dan mengajak bertemu. Dia juga menghubungi seorang rakan kami yang lain iaitu KG Verghese yang kebetulan menetap di Pulau Pinang.
Apabila kami berada dalam kereta ke tempat makan di pantai berhampiran Queenbay, kami bersembang begitu mesra seolah hanya baru tiga bulan tidak berjumpa.

Statistik
   Mula ............... 7.45 pagi
   Tamat ............. 8.30 pagi  (berpatah pulang .. roda rosak)
   Jarak .............. 14 km
   Cuaca ............  Redup
   Laluan ........... Tikam Batu - Kepala Batas
    

Khamis, 20 Oktober 2011

Sg Gelam - Bendang Dalam

Dua hari aku 'miss' kayuhan. Cuaca pada awal pagi bagaikan hujan akan turun bila bila masa. Ambil keputusan untuk membatalkan kayuhan, tetapi satu jam kemudian matahari memancar terang. Hujan hanya turun pada sebelah petang.
Jadi pagi ini keadaan sama berlaku. Aku sudah bersedia untuk berkayuh. Kalau hujan kira nasib lah... lima hari berehat terasa begitu lama. Worst case dapat dua jam kayuhan sudah memadai lah.
Berbelah bagi juga  route atau laluan mana yang akan diikuti. Teringin juga untuk ke Kuala Ketil dan kemudian memasuki jalan raya Timur Barat dan kemudian ke BKE (Butterworth - Kulim Expressway) tetapi menurut ramalan cuaca hujan akan turun pada sebelah tengah hari atau awal petang. Jadi aku batalkan sahaja, mungkin bila cuaca berubah nanti akan aku ikut laluan tersebut.
Aku berkayuh melalui jalan yang paling kerap aku ikuti iaitu lencongan Barat dan kemudian ke melintasi jambatan Sungai Merbuk ke Semeling. Semasa melintasi jambatan tersebut aku teringat semasa mula mula berkayuh dahulu. Jambatan tersebut agak tinggi, oleh kerana jarak hampir 200 meter, sukar juga untuk melepasi bagi yang mula berjinak. Aku masih ingat ketika mula melalui jambatan, kelajuan hanya 7km/j dan rasa hendak putus urat betis. Pagi ini aku berbangga kerana pendakian jambatan ini dibuat dengan kelajuan melebihi 22 km/j.
Teringin betul untuk berkayuh dikawasan bendang melalui kampung, jadi aku membelok ke Jalan Segantang Garam. Sebaik melepasi MRSM Merbuk aku terpandang satu papan tanda yang bertulis "anda memasuk salah satu kampung tercantik ....... " tidak dapat melihat kesemua yang tertulis di papan tanda tersebut kerana sebahagian dari tulisan telah pudar. Bila agak jauh baru teringat kenapa tidak mengambil gambar papan tanda tersebut. Kampung Pengkalan Bujang terletak di jalan Sungai Gelam.
Suasana kampung memangnya mengasyikkan, walaupun hari ini hari bekerja terdapat ramai orang dengan melakukan pelbagai aktiviti. Tempat yang menjadi tumpuan adalah gerai gerai makanan yang banyak terdapat disepanjang jalan. Kelihatan ramai warga tua duduk bersembang sambil menjamu selera. Kebanyakkan mereka adalah petani dan musim menanam baru berlalu. Mungkin sekarang mereka berehat sementara menunggu benih tumbuh untuk dibaja dan meracun. Rumah disini dijaga dengan bersih dan dihiasi dengan berbagai jenis bunga dan pokok buah-buahan. Terdapat banyak kemudahan disediakan dikampung ini termasuk dewan, tempat permainan kanak kanak, pondok pondok rehat dan lain lain.
Mungkin yang dimaksudkan dengan kampung tercantik adalah pemandangan disekitar kampung. Sawah padi yang luas berlatar belakangkan Gunung Jerai di sebelah timur dan kawasan bakau disebelah barat.Ditengah bendang terdapat banyak 'pulau' yang menempatkan rumah petani petani dan dikeliling pokok buah buahan dan pokok kelapa.
Aku menyusur laluan di tepi kawasan bakau di sepanjang Sungai Merbuk. Satu lagi pemandangan yang menyeronokkan. (..Sayangnya....) disepanjang laluan tersebut, kawasan bakau tersebut kini dijadikan kawasan ternakan udang atau ikan. Berpuluh puluh hektar kawasan bakau telah ditebang, dibersihkan dan dikorek untuk dijadikan kolam ternakan.
Aku terpaksa berpatah untuk mencari simpang lain kerana jalan dihadapan amat lecak dan dihalang oleh pokok yang tumbang.
Dua minggu lepas SK Juan dan Azbel Singh mulai mengatur rider dari kawasan Taman Intan untuk  menyertai 'Kayuhan Amal' bersama sama dengan beberapa kelab basikal di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Kayuhan amal ini bertujuan mengutip dana untuk seorang pesakit Nur Azreen di Singkir Darat, Yan. Kayuhan dirancang pada pagi Sabtu 22 Oct 2011. Sebelum itu beberapa siri kayuhan telah diadakan oleh banyak kelab basikal disebelah utara ini.
Sebelum sempat aktiviti tersebut dilaksanakan 'Allah telah memanggil pulang adik Nur Azreen'. Pihak penganjur telah membatalkan kayuhan tersebut. Walau begitu penganjur telah menyerahkan dana yang telah dikutip setakat ini.
Aktiviti seperti inilah yang perlu diberi sokongan oleh semua pihak. Bukan sahaja terhad kepada penggiat basikal sahaja. 

Statistik 
   Mula .............. 8.10 pagi
   Tamat ............ 10.30 pagi
   Jarak ............. 43 km
   Cuaca ............ Redup
   Laluan ........... Lencongan Barat - Semeling - Segantang Garam - Bendang Dalam - Merbuk

p/s - hari ini berita memaparkan tamatnya riwayat pemimpin Libya - Kolenel Muamar Gaddafi

Sabtu, 15 Oktober 2011

Gunung Jerai .... dah lama dah

Memang dah lama dah aku tidak membuat kayuhan pendakian Gunung Jerai. Rasanya kali terakhir ialah bulan Mei 2011 lalu iaitu hampir lima bulan. Lepas itu aku tidak kesana kerana kerosakkan mtb. Walaupun kerosakkan dibaiki tetapi rasa malas membuat pendakian. Juga aku lebih concentrate pada kayuhan 'roadbikes'. Betul juga kata seorang rakan, jangan terlalu kerap sangat kerana boleh membosankan. Tiada apa yang berbeza yang boleh dilihat yang disepanjang jalan tersebut selain dari cabaran kayuhan setinggi hampir 1,400 meter sejauh 14 kilometer.
Idea untuk kesana tercetus semasa sedang berkayuh dengan roadbikes kelmarin. Aku perasan bila kayuhan kurang bertenaga dan lembab sedikit bila membuat pendakian jalan biasa. Jadi teringat untuk menguatkan semula otot otot kaki selepas bercuti panjang pada Ramadhan lepas. Cara yang paling sesuai ialah dengan berkayuh di Gunung Jerai.
Sampai awal dikaki gunung, mengambil masa hampir lima minit untuk menurunkan basikal dari kereta dan memasang semula tayar hadapan yang terpaksa ditanggalkan untuk dimasukkan kedalam kereta. Aku memulakan kayuhan sebelum jam 7.45 pagi. Masa itu masih ramai orang yang baru memulakan pendakian dengan berjalan kaki terutama orang Melayu manakala orang Cina sudah mulai turun. Memang menjadi budaya orang orang Cina datang awal sebelum jam 7.00 pagi. Samalah yang berlaku di Bukit Semarak berhampiran rumah aku. Orang Cina datang sebelum hari cerah manakala yang Melayu datang selepas cerah. Mungkin orang Melayu hendak selesaikan solat suboh dahulu dan sarapan pagi.
Aku rasa pelik sedikit kerana semua tempat parking dikaki gunung telah dipenuhi oleh kereta. Mungkin ada aktiviti diatas sana. Soalannya kalau aktiviti diadakan di resort, peserta akan memandu kereta keatas. Tidak mungkin orang berjogging kerana mereka juga akan membawa kereta ke kawasan rata di KM 11. Pedulikanlah, aku mencari parking di sebelah atas sahaja.
Pada pendakian bukit yang pertama aku hampir tidak berupaya dan nyaris berhenti. Kurang latihan dan tidak melakukan kayuhan disini terlalu lama menjadi penyebab. Keupayaan mental mengatasi keupayaan fizikal. Aku sabar dan berkayuh perlahan-lahan sehingga melepasi pendakian bukit pertama.
Belum ada nampak cyclist lain sehingga KM 6, seorang turun manakala seorang lagi sedang berehat di sebuah wakaf. Disepanjang jalan ramai orang yang berjogging sedang menuruni gunung. Terdapat satu kumpulan pelajar lengkap dengan pakaian seragam sukan sedang turun dari gunung. Ada yang berlari (berjogging) dan kebanyakkan berjalan secara santai sambil berbual dan bergurau senda. Keceriaan wajah meraka memberi kesimpulan mereka seronok, gembira dan had a good time. Dari barangan yang dibawa, mereka berkhemah dan tidur di tapak perkelahan.
Seperti kumpulan lain yang selalu aku jumpa pasti ada diantara mereka yang menegur pengayuh basikal, memberikan kata kata perangsang untuk pengayuh meneruskan pendakiaan. Hanya aku berharap anak anak gadis tersebut tidak perlulah sebut 'pak cik' kuat kuat sangat. Pelahan lahan cukup lah ...... melawak aje! Begitu juga pemandu kereta serta penunggang motorsikal yang lain yang sekurang kurannya mengangkat tangan kepada kami penunggang basikal.
Aku berhasrat untuk berkayuh tanpa henti ke atas seperti yang selalu aku lakukan sebelum ini walaupun kelajuan pada tahap rendah dan paling perlahan. Hasrat ini tidak kesampaian kerana keletihan amat sangat. Aku tewas pada KM5 dan berhenti untuk beberapa minit mengurangkan keletihan pada betis dan peha. Berhenti sekali lagi pada KM3 di muzium perhutanan untuk membasahkan tekak dan terus ke kawasan resort.
Sesuatu menarik perhatian aku ialah penanda aras ketinggian. Penanda aras yang baru dibina mnggunakan konkrit dan kelihatan lebih menarik dan cantik dari yang lama. Ada sekurang kurangnya tiga penanda ketinggian yang baru dipasang. Terdapat perbezaan hampir 210 meter pada aras penanda lama dan aras penanda baru. Penanda lam yang dipasang sebelum pintu masuk ke resort ialah 1200 meter manakala 974 meter pada penanda aras baru. Mana satu yang betul? Ikut lojik yang baru mungkin lebih tepat kerana kecanggihan peralatan masakini. Adakah ini akan menjejaskan ketinggian sebenar Gunung Jerai yang selama ini dicatatkan didalam buku kuku geografi atau sejarah atau lain lain dokumen?
Aku hanya lebih kurang 1km dari menghabiskan kayuhan ke puncak gunung tetapi terpaksa berpatah balik. Ketibaan aku disambut dengan dentuman guruh dan langit gelap berkemungkinan hujan lebat akan turun pada bila bila masa. Semasa menuruni jalan yang agak sempit aku juga terpaksa berhati hati kerana jalan masih basah dan lembat. Harap tiada kenderaan tentera atau telekom melalui jalan tersebut.
Sampai ditempat aku meletakkan kereta aku tidak membuang masa untuk menaikan basikal. Perut terasa amat lapar. Malam tadi aku tidak makan nasi tetapi western. Selepas meneguk satu tin 100 plus, selera makan terus hilang. Apa yang aku inginkan ialah beberapa biji pisang untuk mengembalikan tenaga. Mungkin aku akan singgah digerai dijalan utama untuk pekena nira nipah .... ehm yummmy !

Statistik
   Mula .............. 7.45 pagi
   Tamat ............. 11.30 pagi
   Jarak .............. 26 km
   Cuaca ............. sejuk berkabus
  

Jumaat, 14 Oktober 2011

Lewat tidak mengapa .....

Aku tidak terasa hendak berkayuh hari ini, kerana badan terasa letih dan tidak bermaya. Setelah sarapan pagi dan berehat sambil membaca akhbar, aku rasa bersalah pula duduk dirumah tanpa membuat apa apa. Juga terasa rugi sangat hari ini tanpa melakukan sesuatu. 
Walau sudah agak lewat sewaktu memulakan kayuhan, perasaan 'guilty'  hilang dan aku merasa seronok melalui kawasan sawah padi di Bukit Wang. Aku tidak berniat untuk pergi jauh atau berkayuh lama kerana tidak mahu keletihan untuk menunaikan solat Jumaat nanti. Target aku sekadar dua jam termasuk waktu minum pagi. 
Memang, ... selepas lebih kurang 10 minit segala sengal sengal badan dan rasa letih mulai hilang. Mungkin perasaan hanya di dalam kepala. Sempat juga aku singgah berjumpa beberapa orang rakan di Taman Rhu, tempat menjual lemang Pak Teh.


Statistik
   Mula ............. 9.10 pagi
   Tamat ........... 10.35 pagi
   Jarak ............. 27 km
   Cuaca ............ Panas
   Laluan ........... Batu Lintang - Simpor - Tikam Batu

Rabu, 12 Oktober 2011

tak mahu lepas peluang ....

Hari kedua hujan tidak turun pada sebelah pagi. Walau langit diliputi awan gelap tetapi aku mencuba nasib untuk berkayuh sebagaimana yang telah dirancang. Kayuhan hari sebelum tidak begitu meletihkan dan hari ini bercadang untuk pergi lebih jauh.
Sudah dua minggu tidak berkayuh kerana agak sibuk. Hari Khamis lepas 06 Okt 2011 aku membawa 42 penduduk Taman Intan Sungai Petani untuk lawatan ke Melaka. Lawatan tersebut adalah sebahagian dari aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh Kawasan Rukun Tetangga Taman Intan dimana aku menjadi Pengerusi. Kali terakhir lawatan ke Melaka ialah pada 2007 dan kali ini memberi peluang kepada penduduk lain yang tidak berpeluang mengikuti pada kali pertama dahulu.
Peserta terdiri dari 28 orang Melayu, 10 orang India dan 4 orang Cina. Kira bagus kerana disertai oleh semua kaum. Pesera dikena bayaran yang minima dan tiada unsur mengambil untung, malah KRT Taman Intan turut memberikan sumbangan dan subsidi kepada peserta. Selain dari melancong dan memberi peluang kepada peserta melawat tempat bersejarah di Bandar Melaka, lawatan ini juga memberi peluang singgah di Nilai 3 Negeri Sembilan, Putra Jaya dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan Masjid India).
Walaupun ramai dari peserta telah beberapa kali membuat lawatan ke Melaka, mungkin pergi bersama keluarga, pengalaman pergi dengan rakan dan jiran agak berbeza. Lawatan mengikut rombongan perlu memaktuhi jadual, disiplin dan mengambil berat tentang kerjasama dan kesefahaman sesama sendiri.
Sebagai ketua/penganjur aku risau dengan keadaan cuaca semasa dalam perjalanan pergi dan balik. Maklum sahaja, keselamatan peserta rombongan menjadi tanggungjawap aku. Selisihkan malaikat 44, diharapkan tiada sebarang kejadian buruk akan berlaku.
Kami bertolak dari tempat berkumpul dihadapan Masjid Taman Intan tepat pada jam 10.00 malam menaiki bas pelancongan sewa khas. Bas agak baru dan dalam keadaan memuaskan. Rupanya bas tersebut mempunyai 44 tempat duduk bermakna ada dua kerusi kosong. Ketepatan masa pada jadual utama menjadi satu petanda yang semua akan berjalan lancar. Semua peserta dalam keadaan 'high spirit', seronok dan teruja.
Perhentian pertama di Bukit Merah, kemudian di Behrang sebelum berhenti lama di R&R Air Keroh, Melaka pada 05.15 pagi. Mengikut pemandu, bas tiba lebih awal pada jangkaan kerana tidak banyak kenderaan di lebuhraya. Bas akan bergerak semula pada jam 8.00 pagi memberikan masa rehat hampir tiga jam kepada peserta rombongan. Bagi peserta Islam, mereka melakukan solat Subuh dan minum pagi sebelum memulakan lawatan. Rupanya tidak kurang dari 10 biji bas rombongan berhenti disini.

Statistik
   Mula ............. 8.15 pagi
   Tamat ........... 10.35 pagi
   Jarak ............. 51 km
   Cuaca ............ Redup
   Laluan ........... Lencongan Barat - Semeling - Bedong - Laluan Timur
      

Selasa, 11 Oktober 2011

Tukar bearing ....

Akhirnya dapat aku mencuri sedikit masa untuk melakukan maintenance pada roadbikes yang telah lama tergantung pada dinding rumah. Selalunya atau lazimnya begitulah. Asyik bertangguh jika kerja dibuat sendiri. Pelbagai alasan yang diberikan. Senangnya suruh orang lain buat dan bayar.
Ada beberapa sebab sudah sekian lama aku tidak menggunakan roadbikes tersebut.
Pertama, bearing pada rear wheel rosak. Sudah lama ia berlaku tetapi aku biarkan sahaja. Ini kerana kadang kala ia elok tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Kayuhan demi kayuhan yang dilakukan tidak pula mendatangkan sebarang masalah. Jadi aku biarkan sahaja hinggakan bunyinya menjadi 'unbearable' atau aku tidak lagi dapat menahan. Lalu aku gantung sehingga aku dapat masa yang sesuai untuk menghantar dibaiki. Sebenarnya ada beberapa benda yang perlu disenggarakan tetapi buat satu satu dahulu.
Kedua, ada pilihan lain. Bila terlalu syok dan kerap menggunakan roadbikes, mountain bikes pula tidak digunakan. Hinggakan ada bahagian yang berkarat dan pastinya angin dalam tayar kempis.
Ketiga, la ni musim hujan. Hampir setiap hari hujan dan telah berlarutan hampir dua minggu. Negara jiran di sebelah utara mengalami banjir teruk dan berita malam tadi menyatakan Bangkok hampir lumpuh akibat banjir. The worst is yet to come. Dilapurkan keadaan banjir akan menjadi lebih terus minggu hadapan. Negara lain termasuk Vietnam, Laos dan Kamboja dijangka akan dilanda banjir.
Kemalasan aku untuk membaiki kerosakkan bearing tersebut membuatkan SK Juan menjadi bengang kepada aku. Petang kelmarin dia datang kerumah dan menyuruh aku membuka wheel belakang dan membawa pulang kerumahnya. Dia dengan sukarela akan menggantikan bearing yang rosak.
Pagi tadi semasa aku sedang membuat kayuhan, SK Juan menelofon aku dari Kepala Batas Pulau Pinang. Dia sedang dalam perjalan pulang dari kayuhan ke Pantai Merdeka - Penaga. Dia mahukan aku datang ke rumahnya mengambil sampel bearing dan membeli yang baru. Bearing kecil untuk hub ada dijual dimana mana kedai alat ganti kenderaan atau kejuruteraan. Harga kurang dari RM10.00 sebiji. Itu pun minta brand yang terbaik yang dijual dikedai tersebut. Aku perlukan dua biji.
Tiga jam selepas menyerahkan sealed bearing yang diperlukan, SK Juan datang kerumah membawa wheel yang diambil hari sebelum. Kerosakkan siap dibaiki, yang rosak telah diganti. Dia buat sendiri. Saja seronok, selain dari dapat menjimatkan belanja dapat memenuhi masanya. Upah ... nanti belanja roti canai bila berkayuh dengannya.
Mana mau cari kawan macam ni ........ terima kasih daun keladi ... kalau boleh tolonglah lagi.
Sebagai pemanis mulut aku bertanyakan, adakah bearing ini selalu rosak. Dia membebel hampir lima minit. Sepatutnya tidak ia boleh tahan agak lama dalam kegunaan biasa. Tidak tahu bila kali terakhir bearing tersebut ditukar, kerana basikal tersebut bukan aku yang beli. Pemberiaan oleh seorang kawan. SK Juan juga mengeloh kerana kenaikkan harga barangan dan alatganti basikal. Mungkin kerana cukai dan kos yang tinggi atau kerana peniaga mengambil kesempatan. Aktiviti bersukan menjadi amat popular sekarang ini. Sempat juga dia menghentam kerajaan sekarang diatas kenaikkan harga barangan. Aku angguk saja, elakkan komen yang boleh menjejaskan persahabatan.
Esok pagi jika cuaca mengizinkan bolehlah aku berkayuh dengan roadbikes tersebut.