Halaman

Selasa, 31 Ogos 2010

Merdeka ....merdeka !!

.
Selamat Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke 53 diucapkan kepada semua rakyat Malaysia. 


Aku tidak membuat apa apa entry dalam blog ini sejak awal puasa  hingga ke hari ini kerana tiada membuat kayuhan. Terasa amat rindu untuk berkayuh. Terasa tidak sabar lagi walaupun hanya tinggal hanya sembilan hari sahaja lagi sebelum Hari Raya. Selepas itu bolehlah meneruskan semula aktiviti seperti biasa. 
Perlu beberapa hari untuk menyesuaikan semula supaya badan dapat beraksi sepeerti biasa. Aku sudah mula membuat beberapa perancangan kemana dan dimana akan berkayuh nanti.
Beberapa orang rakan Cina membuat kayuhan ke Hatyai dari Bukit Kayu Hitam pagi ini. Kesemuanya adalah pertama kali. Mereka akan membuat kayuhan pergi dan balik sejauh lebihkurang 130 km dan akan balik pada sebelah petang nanti. Aku menasihati mereka supaya berhati kerana kemungkinan jalan utama ke Hatyai akan sibuk dipenuhi kenderaan kerana cuti umum sempena hari Kebangsaan. Ramai rakyat Malaysia akan ke Hatyai hari ini untuk melancong dan membeli belah.
Beberapa hari lepas aku melihat pemberitahuan dalam laman blog tentang kayuhan 'KPLR - kayuhan pecah lemak' selepas Hari Raya. Kayuhan ini adalah kesinambungan dari kayuhan tahun lepas yang amat berjaya. Kayuhan akan diadakan pada 02 Oct 2010 bermula dari Kangar Perlis. Peserta akan bermalam di Hatyai sebelum berkayuh pulang keesokkan hari. Anggaran jarak kayuhan ialah 140 km pada hari pertama dan 80 km pada hari Kedua.
Teringin juga untuk turut serta tetapi bergantung pada keadaan. Sebenarnya aku juga merancang untuk membuat kayuhan ke Hatyai bersama seorang rakan yang lain. Tetapi tujuan kami lebih kepada melancong iaitu melihat tempat orang dan melihat kegiatan masyarakat setempat. Kami akan berkayuh secara leisure, sambil lewa, menikmati keaadan dan cara hidup masyarakat disebelah sempadan. Akan bermalam selama satu atau dua malam sebelum membuat kayuhan balik. Tarikh akan ditetapkan nanti dan tentunya pada pertengahan minggu untuk mengelakkan kesesakkan jalan raya.


Selasa, 10 Ogos 2010

Selamat Berpuasa


Selamat menyambut Ramadhan dan selamat bepuasa kepada semua bicyclist samada roadbikers, mountainbikers, BMXer, regulars dan semua yang beragama Islam. Tidak berkayuh selama satu bulan ini tidak bermakna kita tidak sihat atau semangat kayuhan akan pudar atau hilang. Ramai yang menyatakan apabila selesai bulan puasa nanti susah pula hendak mulakan kayuhan semula. Rasanya tidak.
Bulan puasa ini akan melengkapkan dan menyempurnakan semua latihan, senaman dan metabolism dalaman. Puasa akan menstabilkan semula aktiviti dalaman badan termasuk sistem pemakanan kita. Menurut sesetengah ulama, puasa memberi peluang untuk organ penghadaman berehat dari terus berfungsi.
Berkemungkinan selepas berpuasa kita akan dapat semangat baru untuk  berkayuh, akan lebih bertenaga dan lebih menikmati kayuhan yang bakal dilakukan. Berhenti sebulan akan membuat kita lebih seronok dan tidak sabar untuk melakukan semula kayuhan.
Saya mengingatkan diri saya dan rakan rakan yang tidak perlulah kita membuat kayuhan malam seperti yang dilakukan oleh sesetengah rakan kita yang lain. Elok kita tumpukan masa kita untuk melakukan ibadat dalam tempoh ini.
Mungkin ini masanya kita melakukan senggaraan dan membuat servising pada mesin kesayangan. Jangan dibiarkan berkarat atau berlumpur, periksa semua bahagian, gris mana part yang perlu, ketatkan mana screw yang longgar, ganti mana bahagian yang haus atau rosak dan kemudian gantung atau lebih extreme lagi selimutkan ia supaya tidak dilekati habuk dan kotoran lain.Tidak perlulah membuat upgrade atau ditukar basikal baru kalau ianya masih elok lagi. Menurut rakan baik aku, tukar basikal jika basikal tersebut tidak lagi mampu sedangkan kita masih berdaya untuk pergi lebih laju.
Oh ya...  jangan lupa dikunci dengan kemas kalau menyimpan diluar rumah, takut bila hendak digunakan, basikal sudah tiada. Kalau basikal dicuri kemudian digunakan sebagaimana kita gunakan, tidaklah rasa ralat, tetapi kebanyakkan basikal dicuri dijual sebagai besi buruk..... grrrrr...
Disamping beribadat pada bulan yang mulia ini janganlah lupa untuk menghayati erti puasa sebenarnya dan jangan pula membazir.
Petang tadi aku membersihkan mountain bike dan menyimpannya. Ini bukan bermakna aku akan berhenti terus dari mengayuh basikal pada bulan puasa ini tetapi akan dikurangkan sama sekali. Aku akan menggunakan basikal moutain bikes yang lama untuk berkayuh sekitar taman, ke pekan atau ke pasar ramadhan.

.

Rabu, 4 Ogos 2010

Dah Jatuh Ditimpa Tangga


Jangan ambil serius sangat dengan tajuk blog hari ini. Aku sedang bersiap untuk keluar rumah pada jam 09.00 pagi bila Juan menalifon aku, minta tolong aku datang ke Pekan Merbuk dengan kereta. Menurutnya kedua dua tayar roadbikenya bocor sedangkan dia hanya membawa satu spare. Satu satunya kedai basikal yang ada di Pekan Merbuk tiada tiub gantian untuk roadbikes. Terpaksalah basikal dibawa pulang ke Sungai Petani dengan kereta.
Membaiki tayar
Apalah malang kerana kedua dua tayar depan dan belakang bocor pada masa yang sama. Menurut Juan dia memeriksa rapi luar dan dalam kedua-dua tayar tetapi tiada kesan paku atau kawat terlekat. Mungkin kerana usia tayar yang telah lama. Kalau diambil kira tayar yang digunakan jenis berjenama dan berharga hampir RM100 setiap satu. Tayar roadbikes lebih cepat bocor atau rosak berbanding dengan tayar mountian bikes.
Pada bulan Julai yang baru empat hari berlalu, Juan mengalami kebocoran tayar roadbikes sebanyak tiga kali. Kayuhan dari Sungai Petani ke Baling pada hari Ahad 01 Ogos 2010 yang lalu, sebanyak lima kebocoran tayar roadbikes dialami oleh peserta yang hanya berjumlah seramai 8 orang.
Maksud aku dengan pepatah 'sudah jatuh ditimpa tangga' ialah, hari sebelum Juan gagal mendapatkan dan membeli tayar  roadbikes di Hat Yai, Thailand. Hari ini kedua dua tayar roadbikenya bocor. Sarung tangan yang di beli di Hat Yai, kedua dua belah kanan, macam mana nak guna. Terpaksa disimpan sehingga kami membuat kunjungan lain untuk menukarnya. Itu pun kalau kedai basikal tersebut mahu membuat pertukaran.
Kami berhenti minum pagi disebuah gerai di pinggir Pekan Merbuk. Ramai pelanggan di gerai menegur kami dengan rasa hairan. Selalunya kami singgah digerai tersebut semasa membuat kayuhan basikal tetapi hari ini kami datang menaiki kereta. Seorang pak cik tua datang duduk di meja kami dan bertanyakan umur Juan. Dengan selamba Juan menjawab yang dia abang, bermakna dia lebih tua dari pak cik itu.  Pak cik tersebut juga menaiki basikal tetapi tidaklah berkayuh untuk senaman, hanya setakat  guna sebagai pengangkutan dari rumah ke Pekan Merbuk dan untuk ke masjid setiap waktu. solat.  Itu amatlah memadai. Walaupun fizikalnya nampak tidak bertenaga tetapi dia sihat.  Sempat pula pak cik itu memberi nasihat kepada aku tentang kesihatan dan sedikit ceramah agama.Sesuatu tentang mandi tanpa pakaian walaupun didalam bilik air. Rupanya selama ini ramai orang yang memerhatikan kami tetapi tidak menegur atau menyapa.
Selepas sarapan aku menghantar Juan terus kerumahnya. Dia kata akan terus ke Pekan Lama Sungai Petani untuk menganti tayar basikal yang bocor.

Aku merasa hairan dengan Juan kerana dia masih bertenaga membuat kayuhan pagi ini. Kelmarin 03 Ogos kami menghabis lebih 16 jam perjalanan dan berada di Hat Yai, hari sebelumnya 02 Ogos kami membuat kayuhan hampir 80km ke Yan Kecil, 01 Ogos kayuhan 120 km Sungai Petani-Baling, 31 Julai kayuhan lencongan barat dan timur sejauh 32km. Dia masih mempunyai tenaga untuk kayuhan 30km pagi ini.
Sebagai kawan, aku risau dan takut dengan keaktifannya itu. Aku rasa dia terlampau memeras tenaga membuat kayuhan setiap hari. Takut sekiranya berlaku kejadian buruk atau kemalangan. Aku tidak pasti apa yang hendak dibuktikan, adakah dia merasakan dirinya hebat,  lebih kuat, lebih bertenaga dari orang lain. Sehebat mana, segagah mana dan selaju mana pun, pasti ada orang lain yang lebih hebat, lebih gagah dan lebih laju.
Bila aku menyatakan kerisauan tersebut kepada rakan yang lain, mereka bersetuju. Menurut pepatah orang cina, Juan 'bergigi besi'. Pada mulanya aku tidak faham apa maksudnya, tetapi kemudian aku sedar bahawa Juan seorang yang tidak mudah mengalah, tidak mahu mendengar pandangan orang dan tidak mahu orang lain melebihinya. Patutlah dia mempunyai empat biji basikal berbagai jenis dan kualiti. Setiap bulan dia membelanjakan ratusan ringgit untuk membeli alatganti basikal, menaiktaraf dan menukar bahagian yang masih elok. Bagaikan dia tahu bersaing dengan bayang bayang sendiri.
Dia mesti ingat bahawa pada usianya yang melebihi tiga suku abad, dia tidak perlu keterlaluan. Orang kata, badan manusia bukan mesin atau diperbuat dari besi. Bahagian organ dalaman sudah tidak secergas dulu. Kalau terlalu memaksa badan ia mungkin menadangkan lebih banyak keburukkan dan mudharat. Pada peringkat usia ini badan hanya memerlukan dan memadai melakukan aktiviti senaman yang sederhana. Badan perlukan masa rehat mencukupi untuk pergi lebih jauh atau hidup lebih lama.  Pada masa rehat tersebut, memadai dengan berbasikal keliling bandar atau pergi  berjumpa kawan menaiki basikal dengan jarak tidak melebihi 10 km sahaja.
Sekarang pun dia mengalami masalah penglihatan dan hanya boleh melihat jarak dekat. Sepatutnya dia menggunakan cermin mata tetapi enggan kerana hanya akan menyusahkan semasa membuat kayuhan. Dia juga tidak dapat mengimbangkan kayuhan dan sering keluar masuk dan tersasar dari laluan. Ini amat merbahaya kerana boleh mengakibatkan kemalangan.
Walau apa pun aku akan terus menasihatinya supaya mengambil mudah (take it easy), moga dia akan sedar perkara ini.


Selasa, 3 Ogos 2010

Hat Yai


Maaf..... aku bukan berkayuh ke Hat Yai tetapi Juan, John dan aku menaiki keretapi Senandung Langkawi dari Sungai Petani.  Tujuan kami kesana kerana ingin membeli alatganti basikal terutama tayar roadbikes. Kami diberitahu alatganti disana lebih murah dan senang didapati.
Selepas ketinggalan tren kelmarin, perjalanan pagi ini bagai serba tidak kena. Aku bangun pada jam 4.30 pagi dan aku teringat bahawa aku bermimpi tentang sahabat aku Ramlan Majid yang meninggal dunia awal bulan yang lalu. Alfatihah. Bukan hendak memfitnah tetapi kerosakkan hati disebabkan terlalu banyak menghisap rokok menjadi punca. Aku mohon jauhkan dari perbuatan sedemikian dan mengharapkan aku terus dapat membuat aktiviti berbasikal agar sihat. Aku tidak dapat melelapkan mata dan terus bangun dan bersiap.
Juan datang menjemput aku dirumah pada jam 5.10 pagi, maknanya tidak sempat  sembayang subuh. Pada pertengahan jalan ke stesyen KTM Sungai Petani, Juan menerima panggilan telefon dari  isteri aku mengatakan passport aku tertinggal. Kami terpaksa berpatah balik. Nasib baik aku sengaja meninggalkan handphone dirumah dan isteri aku dapat mencari no telepon Juan.
Harga tiket kereta api pula sudah naik serentak dengan pertukaran jadual perjalanan, dari RM16.00 sekarang menjadi RM20.00. Agaknya kerana kenaikan harga disel pada bulan lepas.
Keretapi tiba dari Kuala Lumpur tepat pada masa iaitu masa baru 5.40 pagi dan bertolak satu minit kemudian juga tepat mengikut jadual.  Dipertengahan jalan, rasanya selepas Pekan Gua Cempedak, keretapi diberhentikan ditengah kawasan hutan. Beberapa orang polis beruniform dan preman menaiki gerabak, terus ke gerabak depan iaitu pada enjin locomotive. Semua orang tertanya tanya. Rasa ada seorang yang bertanya kepada pegawai KTM. Aku tidak pasti benar atau tidak tetapi ada kemalangan menglibatkan motorsikal. Itu sahaja berita yang dapat aku dengar. Tren bertolak 10 minit kemudian.
Tidak ramai penumpang naik semasa tren berhenti di stesyen Gurun, Alor Setar dan Arau. Pada mulanya kami keliru kerana ETD Hatyai (masa jangkatiba) yang tercetak pada tiket ialah 9.10 pagi dan tren sampai ke Stesyen Padang Besar 5 minit sebelum 09.00 pagi. Bila teliti waktu yang dicetak pada tiket ialah waktu Thailand yang lambat satu jam dari waktu Malaysia. Walau apa pun, tren hanya bergerak dari Stesyen Padang Besar pada jam 10.00 pagi waktu Malaysia kerana membolehkan penumpang ke pejabat imegresen Malaysia, kemudian imegresen dan kastam Thailand.
Penumpang yang memasuki Thailand menggunakan passport perlu mengisi borang atau kad entry. Manakala penumpang yang menggunakan 'border pass' tidak perlu mengisi apa-apa borang. Masa yang diambil untuk proses imigresen lebih singkat berbanding dengan menggunakan passport. Bezanya ialah tempoh dibenarkan berada di Thailand adalah satu bulan berbanding dengan dua hari menggunakan border pass.
Tren berhenti hampir satu jam. Gerabak dari Kuala Lumpur ditanggalkan, hanya dua koc penumpang sahaja meneruskan perjalanan ke Hatyai. Kali ini gerabak barang disambungkan dengan gerabak penumpang. Tren sampai ke destinasi hampir 1 jam perjalanan. Sepanjang perjalanan dari Padang Besar ke Hatyai aku berdiri di tepi pintu untuk melihat permandangan disepanjang laluan. Aku amat berbesar hati tinggal di negara kita kerana apa yang dilihat disepanjang jalan keretapi terutama rumah-rumah setinggan tidaklah sesuatu pandangan yang ingin dilihat, diingati dan suatu memori yang peerlu dibawa pulang.
Sebaik turun dari koc keretapi, kedua rakan aku  Juan dan John, mengalami sesuatu yang mengejutkan, tren berhenti di platform luar.  Penumpang turun diatas landasan dan melintasi lima landasan keretapi untuk sampai kepintu keluar stesyen. Beberapa pelancung barat kelihatan tertawa dengan keadaan sedemikian. Sebelum keluar aku memeriksa jadual perjalan balik pada papan notis. Tiada apa perubahan masa dan jadual perjalanan keretapi ke Padang Besar.
Kami menghabiskan lebih tiga jam mengunjungi beberapa kedai basikal, tetapi kecewa kerana tidak banyak atau tiada lansung kedai yang menjual barangan yang dihajatkan, terutama barangan untuk roadbike. Kebanyakkan kedai basikal menjual peralatan dan alatganti mountain bikes. Keadaan hampir sama seperti di Pekan Betong, Selatan Thailand yang bersempadan dengan Pengkalan Hulu, Perak. Untuk tidak mahu dikecewakan rakan aku membeli beberapa assessories basikal.

Kedai Basikal di Pekan Hat Yai

Kami ke stesyen keretapi Hatyai untuk pulang  ke Sungai Petani satu jam sebelum masa yang tercatat pada papan jadual perjalanan. Aku seperti biasa menjadi ketua dan bertanggung jawab membeli tiket untuk semua orang. Agak pelik kerana harga tiket  dari Hatyai ke Sungai Petani urang RM6.00 berbanding harga tiket yang dibeli di Sungai Petani ke Hatyai. Seperkara lagi yang memeranjatkan kami ialah masa berlepas ialah jam 4.00 petang (5.00 petang Malaysia) berbanding dengan jam 2.40 petang yang tercatat pada jadual. Mengikut penjual tiket ini adalah perubahan jadual baru. Di sini tiada 'discount' harga tiket untuk warga emas. Perubahan masa bermakna kami ada masa hampir 3 jam lagi sebelum tren bertolak.
Perubahan masa tiba dan berlepas tren dari Malaysia bermakna penumpang mempunyai masa hampir tujuh jam berbanding dengan hanya 4 jam sebelum ini. Ia menguntungkan pihak Thai kerana rakyat Malaysia mempunyai masa yang mencukupi untuk berbelanja, melakukan aktiviti bisnes dan lain lain dan sempat balik pada sebelah petang.
Kami keluar dari stesyen setelah membeli tiket mencari kedai makan untuk melepak menghabiskan masa. Aku kena 'sup perut dan nasi' walaupun baru 2 jam makan nasi beriani ayam. Rakan yang lain hanya melihat dan minum air sahaja. Kemudian kami bersiar di kedai dan supermarket berhampiran stesyen keretapi. Kami ingin bersiar keliling bandar menaiki tut tut tetapi harga yang diminta oleh pemandu 'tut-tut' terlalu mahal. Juan berkata jumlah yang diminta lebih dari setengah dari kos tiket balik ke Sungai Petani untuk kami bertiga.
Kami berkesempatan melawat tapak expo yang diadakan berhampiran stesyen Hat Yai  berhadapan dengan pasaraya Robinson. Apa yang menarik perhatian kami ialah terdapat kereta buatan Malaysia iaitu Proton Exora, Proton Savvy dan Proton Satria Neo yang dipamirkan dan dijual oleh agen proton disana. Harga yang dijual lebihkurang harga di negara kita juga. Tiada barangan lain yang dipamerkan dan dijual yang special untuk dibeli dan dibawa pulang. Lawaknya aku membeli dua biji senduk nasi yang dibuat dari kayu batang nyior dengan harga RM10.00. John kata ia lebih elok dari menggunakan senduk plastik.
Tren yang kami naiki sampai di Padang Besar pada jam 5.45 petang dan hanya bergerak keselatan pada jam 6.40 petang. Sempat makan lagi di kantin yang terletak diparas atas stesyen padang Besar.  John meradang kerana dia kena bayar lebih untuk sepinggan nasi yang dibeli.  Didalam keretapi dipenuhi oleh penumpang berbangsa Thai (Muslim) yang menuju kemerata tempat di Malayisa untuk mencari rezeki. Kebanyakkan mereka adalah pekerja restoren masakan makanan Thai yang amat disukai oleh masyarakat kita. Kami tiba di Sungai Petani pada jam 9.30 malam, setengah jam lewat dari jadual.
Kami  akan pergi ke Hatyai lagi selepas raya puasa tetapi kali ini menggunakan basikal  dan memulakan kayuhan dari Bukit Kayu Hitam.
Kenyataannya ialah indah khabar dari rupa. Lebih mudah mendapatkan alatganti dan peralatan basikal di negara kita berbanding dengan negara jiran. Harga disini mungkin agak mahal sedikit tetapi ia lebih senang untuk dicari. Aku rasa bilangan kedai basikal di Sungai Petani  lebih banyak dari kedai basikal di Hatyai.

Isnin, 2 Ogos 2010

Yan Kecil


Pintu Masuk Stesyen KTM Sungai Petani
Sepatutnya Juan, John dan aku berada di pekan Hatyai pagi ini tetapi kami berkayuh ke Yan Kecil. Kami bertiga sampai ke Stesyen KTM Sungai Petani pada jam 0610 pagi. Belum sempat kami memasuki stesyen untuk membeli tiket ke Padang Besar, kami diberitahu oleh seorang pemandu kereta sewa diluar stesyen bahawa kami telah terlepas keretapi. Menurutnya keretapi ke utara telah berlepas pada jam 05.40 tadi. Aku tidak percaya kerana setahu aku keretapi dari stesyen Sungai Petani ke Padang Besar berlepas pada jam 0615 pagi. 
Apabila aku masuk kestesyen keadaan lengang sahaja, hanya ada seorang dua yang sedang duduk dikerusi. Kaunter tiket gelap dan aku melihat notis yang ditampal pada pintu  tentang perubahan jadual keretapi yang berkuat kuasa  mulai 01 Ogos 2010. Aku berada di stesyen pada hari Ahad minggu lepas dan tiada pula notis perubahan jaduan dipaparkan. Apa kan daya kami terpaksa keluar dan terpaksa membatal rancangan hari ini dan menunda perjalanan pada esok hari.
Terdapat beberapa perubahan disekitar stesyen tersebut dalam masa satu minggu, pondok mengutip parking telah tiada bermakna pemandu yang meletakkan kereta dikawasan stesyen tidak lagi lagi perlu membayar. Kedai sementara yang menjual barangan dan pekakasan harian juga telah dirobohkan membolehkan lebih banyak kereta boleh diletakkan dikawasan tersebut. Jalan raya diseberang berhampiran dengan pasar basah telah diperluaskan dan kesemua kedai sementara telah dipindahkan. Pemasangan double tracking sedang rancak berjalan. Tempat menunggu penumpang disebelah laluan keselatan juga telah siap. 
Aku gembira dengan pembangunan dan pemodenan perkhidmatan KTM, double tracking dijangka akan siap dan beroperasi pada tahun 2013, kurang dari tiga tahun lagi. Aku berharap KTM akan meningkatkan perkhidmatan termasuk menyediakan perkhidmatan yang lebih kerap ke utara dan selatan. Pada hujung minggu terdapat begitu ramai penumpang terutama murid dan pelajar IPT menggunakan perkhidmatan keretapi dan kebanyakkan terpaksa berdiri sepanjang perjalanan dari Sungai Petani ke Alor Setar dan juga ke Arau Perlis. Aku syorkan KTM sepatutnya menambah koc untuk menampung peningkatan penumpang.
Dari stesyen KTM kami pulang kerumah masing dan bersetuju berkumpul semula dalam masa 30 minit untuk membuat kayuhan ke Tanjung Dawai. Setiap orang dari kami telah lama tidak membuat kayuhan ke Tanjung Dawai. Cuaca pagi seolah olah menggamit kami berkayuh. Cuaca begitu nyaman dan sejuk. Dari kedaan langit cuaca nyaman ini akan berterusan sehingga tengah hari.

Pulau Bidan, Yan Kedah

Sebaik sampai di Singkir, Juan dan John mengubah fikiran. Mereka mengajak aku pergi ke kedai basikal di Yan Kecil. Aku ikut sahaja, terus terang aku lebih suka jalan ini kerana pendakian tiga bukit di Tanjung Jaga. Aku tahu antara kami bertiga aku pasti orang yang akhir sekali yang akan melepasi bukit tersebut. Tetapi aku teruja kerana bukit bukit tersebut akan menguji kekuatan otot kaki.
Kedai basikal tersebut masih belum dibuka bila kami sampai. Sementara Juan dan John berehat menunggu tuan kedai sampai aku pergi ke pasar minggu yang terletak bersebelahan jalan utama menuju ke Sungai Petani. Ramai orang berniaga dan belbagai jenis barangan yang dijual. Kebanyakkan barangan adalah berkaitan makanan termasuk sayur, ikan, daging dan buah-buahan tempatan seperti durian masih banyak dijual. Aku sudah serik makan durian kerana diserang batuk setelah menghabiskan satu biji durian seberat 2 kilo tiga minggu lepas. Sampai sekarang aku tidak mahu sentuh durian, rambutan atau langsat hingga musim tahun depan.
Juan membeli 'seat (saddle)' secondhand berharga RM15.00, ia kecil dan ringan. Aku tidak pasti pada basikal mana akan dipasang seat tersebut. Kami terus pulang kerana jam hampir 10.00 pagi dan perlu mengayuh 38km sebelum sampai kerumah.
Kereta yang kami jumpa berwarna hitam
Pada persimpangan jalan Tanjung Dawai John melihat sebuah SUV tanpa lambang (emblem) dan  jenama berhenti ditepi jalan. Lambang dan jenama kereta ditutup dengan tape hitam. Driver SUV tersebut turun untuk membeli buah-buahan. Sebagai seorang yang menjalankan bisnes berkaitan kereta (mengetuk, mengecat dan polishing) John dengan yakin mengatakan SUV itu adalah Kia Sportage model baru dan akan dibawa masuk untuk jualan di pasaran Malaysia. Ia nampak amat menarik. Apabila kami ingin melihatnya dengan lebih dekat, pemandunya menunjukkan pada jam tangannya dan menggerak tangan kanan, menunjukkan dia kesuntukkan masa. Dia memohon maaf kerana tidak dapat memberi kami peluang meneliti SUV tersebut. 
Kami terus berlalu untuk meneruskan kayuhan pulang.

Statistik :
  Mula : ................... 7.15 pagi
  Tamat : ................. 11.45 pagi
  Jarak : ................... 76 km
  Cuaca : .................. Cerah, tidak berapa panas
  Route : ................... Semeling - Merbuk - Yan - Yan Kecil
 
.

Ahad, 1 Ogos 2010

Kayuhan Gunung Jerai - cancelled


Gambar Hiasan
Bulan Julai 2010 amat mengecewakan kerana aku lansung tidak dapat membuat kayuhan ke Gunung Jerai. Setiap kali rancangan dibuat ianya terpaksa dibatalkan atas sebab sebab yang tidak dapat dielakkan. Faktor utama adalah kerana tempoh masa yang diambil untuk kayuhan tersebut.
Aku memerlukan 40 minit perjalanan menggunakan kereta dari rumah ke kaki gunung. Bermakna 1 jam 20 minit pergi dan balik. Sekurang kurangnya 10 minit persediaan iaitu menurunkan basikal dari kereta, memasang, menguji, mengenakan pakaian lain. Ini perlu diulangi sebanyak 4 kali, sekali dirumah, kali kedua dikaki gunung sebelum kayuhan dan 2 kali apabila selesai kayuhan. Kayuhan pendakian dan turun pula mengambil masa 2 jam 30 minit termasuk masa rehat. Jumlah masa yang diperlukan ialah hampir 5 jam.
Apabila sampai kerumah, aku memerlukan sekurang kurang 1 jam untuk menyejukkan badan dan 1 jam untuk menghilangkan penat badan. Selalunya jika membuat kayuhan ke Gunung Jerai, banyak perkara lain tidak dapat dilakukan.
Pagi ini juga aku sepatutnya mengayuh ke gunung tetapi terpaksa dibatalkan kerana seorang kenalan di Pinang Tunggal meninggal dunia. Walaupun tidak begitu rapat tetapi menjadi tanggung jawab untuk menziarahi. Beliau mempunyai sebuah makan dan aku sering singgah makan disitu bersama rakan rakan lain. Kebetulan anak perempuanya menjalani latihan PLKN di kem yang sama dengan anak aku. Kali terakhir aku berjumpa dengan arwah adalah ditempat pelawat di Kem PLKN Baling tiga minggu yang lepas. Dia kelihatan ceria dan sihat sahaja. Aku diberitahu beliau menghidap jangkitan paru-paru.
Kayuhan pagi ini  terpaksa dipendekkan untuk membolehkan aku pergi menziarahi. Pada mulanya aku merancang untuk ke Tanjung Jaga, Yan tetapi terpaksa dibatalkan kerana hujan dikaki bukit dan aku berpatah balik ke Sungai Petani.
Menurut cerita orang yang menziarah arwah, kelmarin dia melawat anak perempuannya yang menjalani latihan PLKN di Baling. Pada masa itu dia telah mengalami masalah kesihatan dan tidak berupaya keluar dari kereta untuk berjumpa anaknya. Dari situ arwah terus dibawa ke Hospital Sulatan Abdul Halim Sungai Petani, dimasukkan ke wad dan  meninggal dunia beberapa jam kemudian.
Mengimbas kembali aku teringat melihat seseorang berbaring dalam kereta yang diletakkan berhampiran pintu utama kem latihan tersebut. Aku tidak perasan kereta tersebut dan tidak perasan  yang berehat didalam kereta itu adalah arwah. Aku terus berlalu untuk pulang.
Kelmarin 31 Julai 2010 aku melawat anak yang menjalani latihan PLKN di Baling. Semasa perjalanan balik aku ternampak Zaidi Ismail bersama kawannya sedang berkayuh menuju Baling. Masa itu sudah melepasi 12.00 tengah hari dan cuaca agak panas. Aku membayangkan kayuhan  pulang nanti. Agaknya sampai kerumah lepas jam 5.00 petang. Zaidi ada menelipon aku pada hari Khamis lepas mengajak aku menyertai kayuhan tersebut. Aku menolak kerana ada komitmen lain. Aku teringat kayuhan pertama aku dari Sungai Petani ke Baling pada  tahun 2008 bersama Juan.

Hanya lebih kurang sepuluh hari lagi sebelum Ramadhan. Aktiviti kayuhan kenalah dikurangkan atau dihentikan sama sekali. Ada juga aku terbaca dalam laman blog, kelab basikal yang merancang menganjurkan kayuhan malam pada bulan Ramadhan ini. Mungkin selepas sembahyang sunat tarawikh. Dulu ianya dipanggil 'kayuhan terang bulan' dan mendapat sambutan luar jangkaan dan penganjur ingin mengulangi lagi pada Ramadhan tahun ini.
Secara peribadi, aku tidak setuju dengan penganjuran kayuhan tersebut. Kita hanya perpuasa selam 30 hari dan kayuhan basikal boleh ditangguhkan. Selesai puasa kita mulaikan  kayuhan semula.
Esok 02 Ogos, kawan aku Juan mengajak aku pergi ke Hatyai, Thailand untuk membeli alat ganti basikal. Kami akan ke sana menaiki keretapi dari Sungai Petani terus ke Hatyai. Tambang one-way hanyalah RM16.00. Aku tidak tahu dimana kedainya tetapi boleh cari dengan bertanya kepada orang. Aku tidak pasti samada disebelah sana senang mendapatkan barang basikal.

Statistik :
  Mula : ................... 07.30 pagi
  Tamat : ................. 08.45 pagi
  Jarak : ................... 26 km
  Cuaca : ................. Cerah, tidak berapa panas
  Route : ................. Semeling - Merbuk
.