Halaman

Ahad, 27 Mei 2012

Beca basikal tiada lagi .... (2)

Tidak perlu memikirkan apa makanan untuk tengah hari. Kalau sudah di Medan, makanan yang paling mudah didapati ialah nasi padang atau minang. Kedua duanya serupa sahaja dan mungkin sedikit berbeza dari makanan orang Negeri Sembilan. Mungkin masakan negori lebih pedas dari masakan di sini.
Terdapat deretan restoren dan rumah makan disepanjang jalan Singamanggaraja dimana aku menginap. lauk yang dipamirkan menyelerakan dan amat bersesuaian dengan selera kami sekeluarga. Anak aku yang lama menetap disini membuat pilihan di tempat sajian kerana tidak mahu pelayan menghantar lauk pauk mengikut cara biasa disini. Kalau kita terus duduk hanya satu soalan yang ditanya, "berapa orang?" dan kemudian meja akan dipenuhkan dengan segala jenis lauk yang terdapat direstoren tersebut.
Untuk lauk ayam sahaja sekurang kurang empat atau lima jenis masakan termasuk rendang ayam, gulai masak lemak, masak lemak kari, ayam gorang dan ayam pandan. Jenis ulaman dan sayuran nampak ringkas tetapi enak bila dicecah dengan yang disediakan.
Jangan terkejut kerana kita akan hanya di caj lauk yang diambil sahaja. Jika terdapat dua ketul ikan didalam piring dan kita hanya mengambil satu, hanya satu sahaja yang akan dikira. Untuk sesetengah orang ia merupakan ujian kepada selera kita. Silap masa, semua kita nak rasa dan akhirnya berat pada poket untuk membayar.
Untuk tiga orang makan tengah hari, hanya lebih kurang 70,000 rupiah (RM20.00) termasuk air. Boleh tahan juga.
Selepas makan kami berjalan dikawasan berdekatan dan terus kesebuah supermarket berhampiran Masjid Raya bandar Medan untuk membeli beberapa barangan keperluan seperti pencuci muka orang perempuan serta peralatan toileteries lain. Barangan tersebut tidak boleh dibawa dari rumah kerana larangan dalam penerbangan.
Satu perkara yang berbeza dengan lawatan aku dua tiga tahun yang lalu adalah ketiadaan (mungkin ada satu atau dua) beca basikal yang menggunakan tenaga. Kalau dahulu jalan utam di Medan ini dipenuhi dengan beca jenis ini bersaingan dengan beca motorsikal, kini jarang sekali dapat melihatnya.
Aku cuba mendapat penjelasan dari seorang pemandu beca bermotor yang berhenti untuk mengajak aku menyewa becanya. Pengayuh beca basikal tidak lagi mampu berasing dengan bermotor dan mungkin kerana standad of living yang meningkat membolehkan masyarakat bandar ini mampu untuk menaiki beca bermotor atau teksi. Semua orang kini mahu cepat dan lekas sampai ke destinasi yang tidak boleh diberikan oleh beca basikal. Juga masyarakat tidak lagi mahu berpanas lebih lama dari sepatutnya.
Kali pertama aku kesini lima tahun lalu memberikan scenario amat berbeza, dengan beca basikal ini memenuhi jalan pada setiap waktu dan masa. Hingga awal pagi mereka masih banyak dijalanan. Keadaan jalan yang rata di bandar ini membolehkan mereka mencari rezeki untuk memberi keluarga keperluan harian. Mereka boleh menyelit ditengah kesibukkan kenderaan dan boleh mengayuh melawan arus di jalan utama.
Aku bagaikan merindui pemandangan tersebut. Lelaki yang kebanyakkan berbadan kecil tetapi perkasa mengayuh basikal sepanjang hari menghantar penumpang kedestinasi masing masing. Mungkin kebanyakkan mereka kini masih menjadi pemandu beca tetapi beca yang bermotor.
Masih ramai juga yang mengayuh basikal dibandar ini dan kini sudah banyak kelihatan roadbikes dan mountain bike menyusuri jalan. Mereka pula seolah olah mengambil tempat beca basikal yang kini sudah amat jarang kelihatan,
Kalau dibandingkan dengan tempat kita terutama di Melaka dan Pulau Pinang, beca yang dikayuh menjadi tarikan pelancong. Beca tersebut dihasi dengan pelbagai hiasan untuk menarik pelancong dan pengayuh beca dijadikan juga sebagai tourist guide atau pemandu pelancong. Ia dijadikan produk utama kepada pelancong dalam dan luar. Rasanya di Medan tiada usaha kearah itu dilakukan. Mungkin akan dibuat dimasa akan datang.
Aku melihat lihat kalau ada hotel yang menawarkan basikal untuk disewa oleh pelancong. Kecewa. Sering juga aku berangan angan jika boleh membawa basikal untuk meneroka negara jiran kita ini.

Untuk kali keempat aku terkena pada hari pertama di Medan. Bilik Hotel bajet atau murah yang ditawarkan kepada aku mengalami masalah penghawa dingin. Dengan cuaca panas masa kini, aku tidak dapat bertahan berada dalam bilik.  Walaupun pekerja hotel cuba membuat pembaikan tetapi agaknya gas air cond sudah habis. Aku terpaksa membuka pintu bilik. Isteri aku mengajak aku berpindah ke hotel lain tetapi aku sabar untuk melihat dahulu keadaan kalau kalau air cond akan berfungsi semula.
Aku berjanji untuk menukar bilik dan berpindah ke hotel lain sekiranya keadaan tidak berubah. Sementara itu kami keluar untuk pergi mencari makan malam. Tidak perlu heavy kerana banyak juga makan tengah hari tadi.
Setelah berjalan agak lama kami singgah disebuah gerai sementara yang didirikan pada waktu petang oleh peniaga. Dari menu yang diberikan, makanan yang disediakan agak pelbagai dan menarik. Kami memesan nasi goreng laut, iaitu nasi goreng yang disajikan dengan udang dan sotong. Sementara menunggu pesanan tiba kami memesan satay padang. Memang enak dan special. Keenakkan pada satay padang adalah pada kuahnya.
Kena kali kelima. Nasi goreng yang dihantar mengandungi seekor udang goreng bersaiz sederhana, beberapa potong sotong serta daun kobis dan potongan timun. Rasanya biasa sahaja. Kami terkejut semasa mebayar kerana harga nasi goreng tersebut ialah 20,000 rupiah (hampir RM7.00). Mahal bagi aku yang datang dari Sungai Petani. Kalau ditempat aku harga nasi tersebut tidak lebih dari RM5.00 sahaja.
Sudah tidak boleh tahan apabila keadaan air cond bilik hotel semakin teruk dan aku minta dipindahkan ke bilik lain. Walau bilik baru tersebut jauh lebih sejuk dan nyaman tetapi bunyi air cond yang kuat pula mengganggu tidur.
Moral of the story ................ fikirkan sendiri.

  

Beca basikal tiada lagi ......(1)

Isteri aku amat skeptical bila aku menempah tiket 'Firefly' dari Pulau Pinang ke Medan pada Ahad 27 Mei 2012. Kami belum pernah menaiki kapal terbang jenis 'turboprop' dan isteri aku memang tidak setuju dan tidak yakin. Tiada pilihan. Berkali kali aku memberitahu, ianya selamat seperti kapalterbang jet yang lain. Apatah lagi 'Firefly' menggunakan kapal terbang baru yang dibeli dari Perancis.
Lapangan terbang Pulau Pinang masih dalam proses upgrading. Kerja kerja menaiktaraf dan penambahbaikan telah bermula lebih satu tahun yang lalu. Skop kerja adalah untuk membesarkan dan menambah ruang lapangan terbang ini.  Disana sini banyak kawasan ditutup dan laluan penumpang diubah dan dialihkan.
Walau begitu ia tidak menjejaskan kelancaran operasi. Kerja kerja perlu dilakukan untuk menampung jumlah penumpang terutama pelancong yang meningkat dari masa kesemasa. Lapangan terbang ini akan berwajah baru apabila siap kelak sejajar dengan taraf lapangan terbang antarabangsa lain. 
Aku berjalan melalui balai ketibaan dan mendapati ruang dipenuhi penumpang terutama penumpang dari Indonesia. Kebanyakkan mereka kesini datang untuk mendapatkan rawatan perubatan di hospital hospital swasta yang ada di pulau ini.
Pelik juga, aku dan isteri ke Medan untuk menghadiri convokasyen ijazah kedoktoran anak sulung, Universitas Sumatera Utara di Medan menjadi salah satu pusat pengajian pilihan untuk pelajar kita belajar dalam bidang kedoktoran tetapi di penduduk dibandar tersebut dan kawasan sekeliling sebaliknya ke Pulau Pinang mendapatkan kemudahan rawatan.
Memang banyak hospital kerajaan dan swasta di Medan, tetapi apa yang aku tahu, kelengkapan masih ditahap lama dan masih banyak yang kekurangan. Itulah sebabnya kebanyakkan pesakit yang mampu mendapatkan rawatan dinegara kita.
Ah ... ubat ubatan yang dijula di farmasi di bandar ini masih jauh lebih muran berbanding dangan negara kita. Ubat keperluan harian termasuk penadol, ubat darah tinggi dan sebagainya hampir setengah harga.  Sekali lagi isteri aku mempersoalkan samada ubat ubat yang murah tersebut mempunyai kualiti yang sama. Aku terangkan bahawa syarikat pengeluar ubat ubatan adalah syarikat yang sama beroperasi di negara kita, malah banyak syarikat tersebut berpindah dari negara kita ke sini kerana kos buruh yang jauh lebih murah.
Dari sudut mana yang membuatkan dia tidak yakin, tidak lah pasti. Tatapi semuanya berubah apabila memasuki pesawat tersebut. Dengan keadaan yang kemas, baru dan nampak teguh. Walaupun laluan dan tempat duduk agak sempit tetapi amat selesa untuk penerbangan jarak dekat. Tempat duduk kamu No.5D betul betul bersebelahan dengan kipas turboprop enjin kapal terbang. Tiada gegaran kuat ketika take-off atau mendarat dan hanya sedikit gegaran semasa melalui kawasan cuaca buruk. Mungkin ini kerana saiz yang kecil.
Oleh kerana tempuh penerbangan pendek, minuman dan makanan ringan dihidangkan sebaik sahaja kapal terbang berada diudara. Sepotong kek dan secawan juice avacodo mencukupi untuk penerbangan yang mengambil masa kurang dari 50 minit.
Check in dan check out jelas lebih cepat kerana bilangan penumpang hanya 76 orang. Bukan sengaja aku menempah 'Firefly' tetapi apabila penerbangan terutama 'Air Asia' ke Medan telah penuh dan kos tiket melebihi RM400.00. Aku juga meninjau ninjau beberapa penerbangan negara jiran termasuk Lion Air tetapi kurang menarik dan sifat patriotik untuk mendahulukan syarikat penerbangan negara sendiri.
Sebaik turun dari perut pesawat,  isteri aku memberikan komen sekali lagi. Kenyataannya kalau orang perempuan idak berkata apa apa tentang sesuatu macam tidak sah atau lengkap. Apa yang dinyatakan agak mengejutkan juga. Seronok manaiki kapal terbang ini, lain kali kita naik kapal terbang ini. Dia mula merancang rancang untuk ke Padang dan ke Banda Acheh.
Aku telah mengingatkan diri untuk berhati hati bila berada di Medan supaya tidak ditipu atau dipujuk oleh ulat ulat yang menunggu di ruang ketibaan. Disebalik itu tidak dapat mengelakkan diri dari diambil kesempatan oleh pemandu beca yang berkeliaran. Sebaik keluar dari lapangan terbang, aku terus diekori oleh beberapa pemandu beca memujuk dan merayu untuk menaiki beca mereka.Aku berjaya tawar menawar dengan pemandu beca untuk ke jalan SM Singa dengan harga 20,000 rupiah walau dia meminta 25,000 rupiah. Teksi akan mengenakan sebanyak 50,000 rupiah. Aku menaiki beca motor kerana tiada begasi besar.
Terkena untuk kali kedua apabila sampai ke destinasi. Pemandu beca mengatakan tiada tukaran wang kecil apabila aku menghulurkan wang 50,000 rupiah. Dia mengambil wang dan mengatakan akan memulangkan baki sebentar lagi apabila mendapat menukar. Boleh percaya ke? Aku mengambil keputusan untuk menukar sendiri. Mulanya aku bertanya kepada peniaga kecil ditepi jalan dan kemudian ke sebuah restoren. Mereka enggan menukarkan wang ke denominasi kecil. Aku terpaksa ke sebuah mini market dan membeli sebotol air mineral dan membayar sewa beca tersebut.
Nampak perubahan air muka pemandu beca tersebut. Mengapa aku tidak pasti. Aku rasa hasratnya untuk mengambil kesempatan (atau mungkin menipu) keatas pelancong tidak kesampaian. Mungkin juga kegagalannya memujuk untuk terus menyewa becanya. Disepanjang perjalanan dia tidak berhenti menceritakan tempat tempat yang sering dilawati oleh pelancong Malaysia dan menyuruh aku membenarkan dia membawa aku ketempat tempat tersebut. Aku beritahunya aku pernah dan selalu ketempat tersebut kerana sudah beberapa kali datang ke Medan. Lagi pun aku ingin mencari hotel penginapan untuk dua malam.
Tidak sampai dua minit kemudian aku dihampiri oleh seorang lagi pemandu beca motor. Bagaikan tau tau sahaja kerana dia tidak menawarkan perkhidmatan beca sebaliknya bertanya samada aku memerlukan bilik hotel. Dia mengatakan mengapa menbazirkan wang 400,000 rupiah untuk satu malam bila aku boleh menginap selama empat malam dengan jumlah tersebut. Dia menawarkan bilik hotel satu perempat dari harga hotel Garuda yang ingin aku inapi. Betul juga. Aku hanya mahu bilik yang lengkap dengan penghawa dingin, bilik mandi dan katil yang selesa.
Aku terpedaya kali ketiga walaupun belum sampai satu jam berada di Medan. Aku mengambil bilik di hotel yang ditawarkan kepada aku oleh pemandu beca setelah melihat bilik hotel tersebut. Bilik sederhana dan kelengkapan memenuhi kehendak aku. Walau perabut agak usang tetapi memadai kalau setakat untuk berehat dan tidur.
Keseksalan dan rasa tertipu apabila masuk semula kebilik apabila pulang dari makan tengah hari ......


Jumaat, 25 Mei 2012

Oh Hujan .....

Banyak hikmah hujan yang turun setiap awal pagi tiga empat hari kebelakangan ini. Pastinya taburan hujan lebih tinggi pada tahun ini berbanding dengan tahun tahun sebelumnya.
Dua hari lalu aku merancang  untuk berkayuh ke Pantai Merdeka tetapi membatalkan kerana hujan turun pada awal pagi. Kelmarin pun begitu juga dan pagi ini hujan berlarutan dari tengah malam sehingga hari cerah. Walaupun hujan selalunya berhenti sebelum matahari naik tetapi tidak yakin untuk membuat kayuhan, takut takut hujan turun lagi. Lagi pun jalan basah dan takungan air akan membuatkan pakaian menjadi kotor oleh percikan dari tayar.
Sempat juga mencuri sedikit masa disebelah petang untuk membawa keluar basikal. Pergi ke bandar untuk menguruskan bayaran bil bil dan hutang credit card. Memang lebih sesuai berbasikal kerana ianya ternyata lebih cepat.
Terbaca satu komen dari salah seorang pembaca blog ini yang di pos dua hari lalu 23/5/2012 oleh abgteror. Beliau mohon pandangan tentang model dan kos basikal yang sesuai untuk dihadiahkan kepada orang tuanya.
Sebelum ini banyak komen dan pandangan yang diposkan oleh pembaca tetapi aku tidak berapa ambil berat kerana ianya tidak berkait secara direct dengan aktiviti kayuhan. Selalunya komen yang diterima lebih berbentuk komen terhadap rencana yang ditulis. Segala komen yang dibuat memberikan semangat dan keseronokkan untuk aku terus menulis. Ia juga menjadi penyebab aku melakukan kayuhan, maksudnya melakukan kayuhan untuk menulis dalam blog ini.
Rasanya aku bukan seorang pakar dalam basikal ataupun tentang aktiviti berkayuh yang melayakkan diri untuk memberi pandangan atau nasihat tentang soalan yang diajukan. Ramai diluar sana yang lebih arif dan berpengalaman. Jika hendak membeli basikal, tanya sahaja kepada tuan kedai basikal dan mereka akan memberikan penjelasan panjang lebar.
Untuk tidak menghampakan kepada pembaca abgteror aku hanya sekadar memberikan pandangan peribadi berdasarkan pengalaman lebih 10 tahun berbasikal. Ia boleh dipertikaikan dan dibakulsampahkan sahaja.
Aku anggap orang tuanya lebih kurang sebaya umur hampir mencecah 60'an dan tidak tinggal dibandar besar. Jika sebelum ini dia belum pernah melakukan aktiviti ini, pastinya akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Sebagai permulaan sebuah mountain bike amatlah sesuai.
Masa mula aku melibatkan diri dahulu, basikal pertama yang dibeli berharga lebih kurang RM600.00, tetapi perlu diingat ketika itu aktiviti masih dalam peringkat permulaan, tidak banyak pilihan dan harga tidak berapa mahal. Tidak sampai tiga tahun kemudian terpaksa membayar tiga empat kali ganda untuk basikal yang lebih elok kerana kemampuan berbasikal yang meningkat.
Rasanya entry level untuk sebiji mtb tidak kurang dari RM2,000.00 sekarang ni. Kalau beli yang murah sedikit takut tidak sampai satu tahun akan ditukar pula. Yang penting jangan beli mengikut orang.
Tentang jenama, apa pun boleh. Basikal bukan seperti kereta yang hanya boleh dipasang dengan alatganti atau barangan yang sama jenama sahaja. Alat ganti apa pun boleh dipasangkan pada basikal asalkan ukuran dan saiz sesuai.

Rabu, 23 Mei 2012

Surat LHDN

Perasaan aku sedikit terganggu apabila menerima surat dari LHDN Sungai Petani. Surat tersebut sebagai amaran kerana kegagalan aku mengembalikan borang BE untuk tahun 2010 dan tindakan mahkamah akan diambil terhadapa aku.
Baru seminggu lepas aku mendengar seorang peserta kursus tanaman cendawan yang di adakan di Charok Padang Sik yang aku hadiri pada 15 Mei 2012 bercerita tentang pengalamannya dengan Lembaga Hasil. Sebagai seorang perniaga (kontraktor) dia sering menghadapi masalah apabila membuat pengistiharan pendapatan dan jumlah cukai yang perlu dibayar. 
Sebelum ini seorang kawan lagi memberitahu bahawa dia tidak boleh lagi pergi keluar negeri. Namanya telah di'blacklist' kerana masalah pembayaran cukai syarikatnya. Dia perlu membayar hampir RM100 ribu kerana kegagalan mengistiharkan pendapatan dan membayar cukai syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan. Pihak LHDN menuntuk jumlah cukai berdasrkan cukai syarikat yang pernah dibayar.
Bagai satu kebetulan aku mendapt surat dari LHDN beberapa hari kemudian. Aku berpendapat apakah perlu aku mengisi dan menghantar borangkan BE tersebut sedangkan aku tidak lagi bekerja sejak tahun 2007. Pihak LHDN boleh mengetahu status pekerjaan dengan membuat semakan dengan jabatan jabatan dan agensi lain. Lagi pun kini usia aku telah melebihi 55 tahun.

 

Selasa, 22 Mei 2012

Medical Check-up

Aku menghadkan jarak kayuhan pagi ini kepada hanya setakat satu jam sahaja. Pada jam 09.00 pagi aku kena ke klinik kesihatan bandar (dahulunya Hospital Sungai Petani) untuk menghantar anak sulung membuat pemeriksaan kesihatan. Pemeriksaan kesihatan ini adalah salah satu syarat wajid untuk penjawat kerajaan.
Kelmarin aku telah kesana untuk melakukan pemeriksaan tersebut dan datang agak awal untuk mengelakkan beratur panjang dan kesesakkan pesakit yang mendapatkan rawatan. Tidak menduga permohonan untuk melakukan pemeriksaan ditolak kerana tidak membawa bersama surat tawaran jawatan yang dikeluarkan oleh JPA.
Kerana tidak mahu pulang kerumah mengambil surat tersebut, kami bercadang untuk datang keesokkan hari. Sebelum balik aku pergi berjumpa dengan salah seorang kawan yang bertugas sebagai MA Kanan di klinik tersebut dengan harapan kalau dia dapat menolong membantu. Memangnya surat tawaran tersebut diperlukan.
Sebelum membuat pendaftaran untuk pemeriksaan aku membawa anak untuk bertemu semula dengan MA yang kamu jumpa kelmarin. Ini adalah permintaannya dan dia membawa kami ketempat pendaftaran. Dia kemudian 'mengarahkan' supaya pihak pihak berkenaan untuk membantu kelancaran pemeriksaan untuk anak aku.
Keseluruhan pemeriksaan tidaklah mengambil masa yang lama, cuma ujian air kencing (dadah) mengambil masa dua minggu manakala X-ray mengambil masa satu minggu. Dengan pertolongan kawan tersebut, dapatlah keputusan ujian air kencang dipendekkan kepada hanya satu minggu.


Statistik :
   Mula .............. 7.20 pagi
   Tamat ............. 8.35 pagi.
   Jarak ............... 33 km
   Laluan ............ Lencongan Barat - Lencongan Timur

   Odometer 2012 : 02215
       

Isnin, 21 Mei 2012

Setelah 10 hari

Terpaksa memendekkan kayuhan pagi ini. Mendapat panggilan telefon setelah mencapai hampir 15 km dari anak saudara yang berada di Langkawi. Dia datang melancong ke Langkawi dari kampung di Bahau Negeri Sembilan bersama rombongan seramai 40 orang (satu bas). Anak saudara dan emaknya (kakak aku) ingin berjumpa di Pekan Rabu Alor Setar sebentar nanti. ketika menelifon mereka baru sahaja menaiki feri dari Kuah ke Kuala Kedah.
Cadangan untuk menghabiskan sekurang kurangnya 70 km pagi terpaksa dibatalkan. Aku habiskan satu pusingan jalan lencongan timur dan barat. Bali kerumah, berehat sebentar dan memandu ke Pekan Rabu Alor Setar. Dijangkakan rombongan tersebut akan sampai pada jam 11.30 pagi.
Hampir separuh dari meraka yang mengikuti rombongan tersebut mengenali aku. Walau ada sesetengah dari mereka tidak berjumpa dengan aku lebih dari 20 tahun. Perasaan aku menjadi sayu dan aku menitiskan air mata apabila bersua dengan mereka. 
Puas juga menjawap perbagai pertanyaan yang diajukan. Paling terusik hati ialah ramai yang mengajak aku berpindah ke kampung.

Sedikit pengorbanan yang dapat aku lakukan untuk mengiratkan tali persaudaraan dan siratul rahim dengan saudara mara yang datang dari jauh.

Statistik :
   Mula .............. 7.20 pagi
   Tamat ............. 8.45 pagi.
   Jarak ............... 33 km
   Laluan ............ Lencongan Timur - Lencongan Barat

   Odometer 2012 : 02182
       

Selasa, 15 Mei 2012

Seminar/Khursus di SIk

Isteri aku melenting bila aku beseloroh untuk berkayuh menghadiri khursus di Pusat Latihan Pertanian Charok Padang, Sik. Jarak pusat latihan tersebut hampir 60 km dari rumah dan akan mengambil masa lebih dua jam untuk sampai. Jika aku mulakan kayuhan pada jam 7.00 pagi aku akan sampai ketika kursus baru bermula.
Hanya imbasan dalam fikiran. Bagai yang aku katakan hanyalah berseloroh, tetapi tidak mustahil untuk melakukan.


Sabtu, 12 Mei 2012

Stage 5

Ingatkan hendak mencuri sedikit masa berkayuh lebih kurang 1 jam sebelum pergi ke Dataran Zero untuk menyaksikan permulaan stage 5 Jelajah Malaysia dari Sungai Petani ke Ipoh. Tetapi hujan awal pagi membatatkan rancangan dan terus memnbatalkan rancangan. Sementara menunggu jam 9.00 pagi untuk ke bandar, aku melihat dan meng'edit' gambar gambar yang aku ambil semasa perlumbaan stage 4 tamat kelmarin.
Masih belum ramai penonton dan orang awam disekitar lokasi permulaan semasa aku tiba. Pelumba basikal pun masih belum kelihatan. Khemah yang didirikan semuanya kosong.
Pemandangan yang menarik adalah deretan motorsikal kuasa tinggi kepunyaan Polis Diraja Malaysia disusun begitu kemas dan rapi. Jacket diletakkan pada handle depan motor. Mereka adalah pengiring perlumbaan bagi mengawal lalulintas. Motorsikal marshall berkuasa tinggi juga diparking bersebelahan dengan motorsikal traffik. Sambil menunggu masa bermula, ramai anggota polis trafik yang membuat senaman ringan. Maklumlah tugas mengiring pelumba pelumba basikal ini amat mencabar dan memerlukan tenaga dan kesihatan pada tahap tertinggi.

Dibahagian belakang tempat permulaan kereta sokongan pelumba telah mula berkumpul. Kereta membawa barang barang dan peralatan pelumba. Basikal spare juga dibawa diatas bumbung kereta. Apa yang diperhatikan jumlah motorsikal (polis dan marshal) kereta penganjur, pasukan dan lain lain kenderaan melebihi jumlah pelumba basikal yang mengambil bahagian. Kebanyakkan kenderaan yang mengiringi pasukan masing masing bergerak 30 minit sebelum perlumbaan bermula, manakala polis traffic dan marshall akan bergerak 10 minit sebelum.
Tidak kurang juga kenderaan persendirian yang mengikuti perlumbaan ini. Mereka terdiri dari ibu bapa, saudara mara dan rakan pelumbayang memberikan sokongan kepada para pelumba. Disamping itu mereka juga mengambil kesempatan bercuti dan melancong. Aku memerhatikan gelagat saudara mara dan kerabat pelumba pelumba tempatan, nampak begitu megah dan bangga dengan anak anak yang menyertai perlumbaan. Ramai yang mengambil kesempatan bergambar dengan berlatar belakangkan landmark tempatan.
Masa berlegar legar menunggu masa bermula aku ternampak muka pelawak 'Lan Pet Pet'. Dari tag yang dipakai dia menjadi selibriti yang ikut serta perlumba. Mungkin untuk tujuan menghiburkan dan menarik penonton. Aku berhenti sekajap mendengar celotehnya, dia sedang menunjukkan barang barang yang dipakainya. Jam Omega, kasut seluar, beg silang dan lain lain. Ada yang dibeli di Itali dan beberapa negara Eropah lain. Dia juga menerangkan cara dia terlibat dalam hiburan lawak dan berlakon filem. Dia dengan tegas dan bangga menyatakan tidak pernah terlibat dengan dadah seperti apa yang dilakukan oleh rakan rakan lain. Jika itu mesej yang mahu disampaikan dengan penglibatannya dalam perlumbaan ini, bagus sangatlah.
Masa untuk berlepas tidak lama lagi. Kereta dan motorsikal pengiring mula bergerak meninggalkan Sungai Petani. Para jemputan VIP sudah mula memenuhi khemah yang didirikan. Semua peserta perlumbaan sudah mendaftarkan diri dan berlegar legar untuk memanaskan badan. Pengacara mula mengarahkan pelumba untuk ke garisan permulaan. Penonton mula berasak asak dipagar besi untuk melihat pelumba dilepaskan.
Pelumba dilepaskan oleh Tuan Pegawai Daerah Kuala Muda tepat pada jam 10.00 pagi.Tidak sampai 1 minit kemudian kawasan menjadi lengang dari basikal, kenderaan dan orang ramai. Mungkin jalan dibuka apabila pepasangan dibuka dan dikemaskan.
Terima kasih kepada penganjur kerena memberikan peluang kepada penduduk Sungai Petani menyaksikan perlumaan berprestege ini. Semoga bandar ini terus menjadi venue untuk perlumbaan akan datang.

Jumaat, 11 Mei 2012

Dataran Zero - Jelajah Malaysia

Jalan Ibrahim lengang bila aku sampai pada jam 10.30 pagi. Dijangkakan peserta pelumbaan Jelajah Malaysia Stage 4 akan sampai sebentar lagi. Rasanya ini adalah stage yang paling pendek kerana hari Jumaat. Dua tiga hari lepas aku bayangkan perlumbaan akan ditamatkan di Sungai Petani selepas waktu Jumaat, mungkin 2.30 atau 3.00 petang. Aku merancang untuk ke bandar sebaik selesai menunaikan solat.
Aku diberitahu semasa menanti semasa menyaksikan stage 3 dari Kulim ke Chuping semalam. Biasanya hari Jumaat perlumbaan akan dipendekkan kerana memberi laluan untuk peserta menunaikan solat. Juga untuk menghormati. Alhamdulillah.
Aku parking kereta agak jauh, berhampiran Pejabat Pos kerana tidak mahu tersekat akibat penutupan jalan. Senang masa pulang nanti. Berjalan kaki ke Jalan Ibrahim untuk ke tempat tamat perlumbaan. Sekali lagi aku silap. Kerja kerja pembaikan jalan di hadapan Dataran Zero masih belum selesai. Kerja menggantikan batu bata bukannya untuk perlumbaan jelajah Malaysia ini. Mungkin untuk sambutan Hari Kemerdekaan / Hari Kebangsaan yang akan tiba tidak lama lagi.
Lokasi tamat dan mula perlumbaan dianjakkan lebih kurang 50 meter dari Dataran Zero dan pentas untuk penyampaian hadiah didirikan di hadapan H&S Bank. Kedua dua hala jalan ditutup. Masih belum ramai pengunjung datang. Dikawasan lapang yang digunakan sebagai tempat parking kereta pada hari biasa didirikan khemah dan terdapat aktiviti untuk kanak kanak. Aku tidak lansung teringin untuk meninjau apa yang berlaku tetapi ke lori dimana minuman Milo diberikan percuma.
Walaupun perlumbaan bermula dari sebelah Utara iaitu Kangar, tetapi pelumba akan memasuki Bandar Sungai Petani dari arah selatan. Berkemungkinan mereka mengikuti jalan lencongan barat dari Sungai Lalang atau jalan lencongan Timur.
Aku berpatah balik dijalan hala ke selatan. Ternampak sebah gerai yang menjual cenderhati perlumbaan terutama baju untuk cycling. Seorang rakan berada disana. Menurut rakan tersebut dia berminat untuk membeli sehelai baju tetapi harganya terlalu mahal. RM 100.00 sehelai lengan pendek. Bila diminta discount, penjual tunduk berbisik kepada kami menyatakan dia memberikan discount RM10.00 sehelai. Mungkin sebagai 'gimmik' sahaja konon discount tersebut hanya untuk kami sahaja. Kami tidak membeli pun. Buat apa membazir wang, beli saja di 'night market' di hadapan Bank Rakyat Sungai Petani.
Beberapa orang awam yang bernasib baik mendapat cenderamata yang diagihkan oleh pihak penganjur. Cendermata berupa botol air plastik dan beberapa helai brochure mengenai perlumbaan basikal Jelajah Malaysia. Aku melihat lihat jika ada lagi tetapi tidak bernasib baik.
Berjumpa seorang lagi rakan karib disana iaitu Zaidi Ismail. Dia memang peminat bsaikal dan berada menyaksikan pada  perlumbaan tahun 2010 yang lalu. Pagi esok dia akan berada disini untuk menyaksikan permulaan Stage 5 dari Sungai Petani ke Ipoh, Perak. Dia mengajak aku breakfasat pagi esok di restoren Nasi Kandar Pelita yang terletak betul betul dihadapan lokasi perlumbaan bermula.
Rasanya pelumba akan sampai tidak lama lagi kerana kereta dan motorsikal pengiring mulai memasuki kawasan parking dijalan bersebelahan. Pihak polis dan sukarelawan lain sibuk ke hulu kehilir mengawal penonton dan mengarahkan supaya tidak menghulurkan muka dan tangan melepasi pagar besi yang didirikan. Seorang bapa yang memegang payung untuk melindungi anak kecil yang sedang didukung diarahkan supaya menutup payung. Ia adalah langkah keselamatan kepada pelumba pelumba sekiranya payung ditiup angin keraha mereka.
Pengacara majlis mengumumkan dimana pelumba berada dan ETA pada setiap lima minit. Penonton semakin ramai dan mereka berpusu pusu dikedua dua belah jalan. Aku tidak sedar ada seseorang menghantar tiga SMS kepada aku dalam keadaan itu. Ia dari seorang rakan yang berada diseberang jalan yang nampak aku.



Penonton hanya berpeluang menyaksikan perlumbaan basikal ini kurang dari satu minit dan segala akan selesai. Berbezaa dengan menonton permainan bolasepak dimana penonton akan menyaksikan aksi sekurang kurangnya untuk 90 minit.
Satu kelebihan ialah penonton dapat melihat pelumba dari jarak dekat dan boleh berinteraksi dengan  mereka. Ada yang mengambil gambar pelumba atau bergambar dengan mereka, melihat dengan lebih dekat basikal yang digunakan.
Penduduk Sungai Petani bernasib baik kerana berpeluang menyaksikan perlumbaan basikal yang berprestige ini. Setiap tahun sekurang kurangnya satu perlumbaan melalui bandar Sungai Petani. Jika tidak Jelajah Malaysia, perlumbaan Le Tour de Langkawi akan lalu disin. LTdL tidak singgah tetapi kerap melalui bandar ini jika kayuhan diadakan disebelah utara ini. Jelajah Malaysia memang menjadikan Sungai Petani sebagai lokasi tamat dan permulaan jika perlumbaan melalui sebelah utara ini.


Khamis, 10 Mei 2012

Laluan ombak

Sekali sekala ada benda dan perkara yang tidak disangka akan berlaku, berlaku pada kita. Setelah mendapat tahu laluan perlumbaan Jelajah Malaysia 2012, aku berangan angan untuk pergi ke Kulim hari ini untuk menyaksikan permulaan Stage 3 dari Bandar Kulim ke Chuping Perlis. Tetapi bila difikirkan aku dakan dapat menyaksikan permulaan Stage 5 di Sungai Petani pada hari Sabtu 12 hb Mei nanti, aku ketepikan sahaja cadangan tersebut.
Aku mengikut arah Timur pagi ini ke arah Kuala Ketil. Kemudian aku akan ke selatan untuk pulang melalui Padang Serai. Cuaca amat baik dan tidak menolak kemungkinan akan menjadi panas terik menjelang tengah hari dan hujan pada sebelah petang nanti. Tidak berapa risau tentang panas terik matahari tetapi risau sedikit tentang angin yang akan melambatkan kayuhan bila hari bertambah panas.
Memang aku kerap mengikuti laluan ini dan tidak pernah pula aku fikirkan sangat tentang nama yang paling sesuai untuk mengambarkan keadaan jalan. Seorang rakan menyatakan jalan yang 'beralun atau berombak'. Bermula dari Petronas Taipan Square di Bandar Puteri Jaya hingga ke Persimpang Kuala Ketil dan seterusnya ke Pekan Merbau Pulas dan Padang Serai, jalan beralun alun dan berombak. Keadaan jalan ini menrangkumi jarak hampir 30 km.
Memang seronok untuk roadbike. Bagi yang muda dan kuat boleh maintain kelajuan antara 20 hingga 30 km dan bagi yang veteran seperti aku boleh maintain 20 hingga 24 km/j.
Sepanjang kayuhan aku tidak memikirkan lansung tentang perlumbaan Jelajash Malaysia yang bermula dari Kulim sebentar nanti sehingga sampai di Pekan Merbau Pulas. Aku melihat beberapa anggota polis bersama orang sukarela awam berbincang sambil menunjuk arah. Hati mula tergerak kemungkinan besar perlumbaan stage 3 ini akan menempuh laluan ini. Tergerak hati untuk berhenti bertanya tetapi aku tangguhkan sehingga berjumpa dengan kumpulan lain.
Tiada nampak lagi polis ditepi jalan. Agaknya mereka tadi berbincang pasal perkara lain kerana aku melihat banyak bendera parti politik dipasang disepanjang jalan. Aku berhenti untuk sarapan di persimpangan selepas pekan Sungai Karangan. Dua orang cylist mtb berada dalam gerai dan menegur aku. Aku memilih meja bersebelahan kerana tidak mahu menggangu mereka. Lagi pun tidak kenal dan tidak pernah berjumpa sebelum ini. Terdengar mereka berbual bahawa Jelajah Malaysia akan melalui jalan ini. Oh elok juga ... aku akan duduk di gerai ini sambil menyaksikan perlumbaan tersebut.
Sebaik menghabiskan roti telur dan teh O ais, dua lagi cyclist singgah. Mereka berdua ini menggunakan road bikes dan salah seorang mengunakan rb classic seperti kepunyaan aku. Dia mengangkat tangan kepada aku dan terus menegur. Rupanya 'Ee' dari Bandar Puteri Jaya. Pernah dua tiga kali berjumpa dan berkayuh dengan dia. Dia baru pulih dari eksiden dimana dia dilanggar dari belakang oleh sebuah motorsikal. Basikalnya rosak teruk dan tidak dapat digunakan lagi. Basikal classic yang dibawa ini baru dibeli dari Baling.
Aku telah berada disini hampir satu jam dan tiada tahu pukul  berapa mereka akan sampai. Dua cylist mtb tadi beredar kerana mereka dapat maklumat bahawa perlumbaan baru bermula pada jam 10.00 pagi. Jangkaan jarak hampir 20 km dan akan melintasi ditempat aku berehat kira kira jam 10.40 nanti. Masa ini kereta dan motorsikal polis. motorsikal marshal dan pasukan bantuan lain mulai sibuk dijaln ini.
Persoalannya berbalaikan duduk menunggu begitu lama dan melihat kelibat kumpulan pelumba dalam tempoh kurang dari satu minit. Mereka berlalu begitu pantas dan terus terang aku nyatakan aku tidak dapat mengenal seorang pun dalam kumpulan tersebut walau dalam surat khabar gambar mereka sering diperagakan.
Sempat aku mengambil video perlumbaan tersebut untuk dijadikan kenangan, jika boleh akan dimuatkan kedalam blog atau facebooks,
Mulakan kayuhan semula untuk pulang ke Sungai Petani sebaik jalan lengang semula bersama kedua cyclist tadi. Tidak menyangka berpeluang berjumpa dengan rakan berkayuh setelah hampir 1 tahun tidak berjumpa dan berpeluang menyaksikan secara 'live' perlumbaan Jelajah Malaysia 2012.

Statistik :
   Mula .............. 7.20 pagi
   Tamat ............ 12.15 pagi.
   Jarak .............. 74 km
   Laluan ............ Kuala Ketil - Merbau Pulas - Sungai Karangan
   Berhenti 1 jam 30 minit menunggu Pelumbaan Jelajah Malaysia di Pekan Sungai
    Karangan
   Odometer 2012 : 02149
        

Selasa, 8 Mei 2012

Jelajah 1 Malaysia - dah mula

Cuaca sebelah pagi kebelakang ini tidak mengizinkan aku membuat kayuhan. Hujan sering turun dari sebelum dinihari dan kadang kala berlarutan hingga siang. Kalau tidak hujan pun langit diselubungi awan hitam. Aku tidak mahu mengambil risiko atau mengadu nasib, takut kalau membuat kayuhan hujan akan turun. Nanti badan yang sihat diharapkan, deman atau selsema pula yang didapati.
Roadbike yang aku leraikan untuk dicat semula siap pada 04 Mei tetapi aku tidak berpeluang untuk mengayuhnya. Disamping mengecat aku juga menukar tengkok handle bar. Yang lama agak panjang dan aku terpaksa membongkok jauh kedepan apabila mengayuh. Kadang kala keadaan ini meletihkan terutama pada bahagian lengan hinggakan menjadi kebas. Menurut seorang rakan, basikal yang aku gunakan ini dibuat untuk orang barat yang tinggi dan mempunyai jangkauan lengan yang panjang.
Kayuhan pagi ini memberi peluang untuk menilai tindakan yang dibuat adalah betul. Memang rasa lebih selesa dengan tengkok yang pendek sedikit dari yang asal. Aku boleh bertahan mengayuh membongkok lebih lama berbanding dahulu dan bila memegang bahagian handle yang lurus, badan lebih menegak.
Sedikit masalah tentang kelajuan. Rasanya kurang sedikit dari biasa. Adakah disebabkan basikal? Bahagian mekanikal tidak diusik lansung. Memangnya disebabkan keupayaan aku sendiri kerana sudah hampir  9 hari tidak melakukan kayuhan jauh. Kena pulihkan semula otot otot peha dan betis.
Kekejangan otot peha sebelah kiri masih belum pulih sepenuhnya walaupun sudah dua minggu aku mengalaminya. Aku berasa lega bila aku berjumpa dengan pakar urat / tukang urut yang mengatakan tiada masalah dengan urat atau tulang. Hanya otot tergeliat dan mengambil masa untuk pulih. Aku berjumpanya pada hari Jumaat lepas dan dia menasihatkan aku supaya tidak melakukan aktiviti yang berat, tetapi kena melakukan senaman kaki agar otot pulih seperti sedia kala.
Oh seronok sungguh merasa tiupan kencang angin ke muka. Sudah agak lama tidak merasakan sebegini. Bukan setakat meraskan angin dibadan tetapi bunyi deruan angin yang agak kuat juga menambah nikmat kayuhan pagi ini. Angin kencang terasa mula bertiup sebaik sahaja melepasi Pekan Singkir menuju ke Tanjung Dawai. Walaupun masih awal pagi lagi tetapi angin sudah kuat.
Aku tidak akan berada lama di Tanjung Dawai kerana tidak mahu melawan angin dalam perjalanan balik nanti. Pengalaman sudah, angin akan bertiup lebih kencang bila menjelang tengah hari dan petang. Elok berpatah balik awal untuk mengelakkan kayuhan melawan tiupan angin. Mungkin aku akan breakfast berhampiran dengan rumah.
Ini bermakna rancangan untuk mengikuti jalan tengah bendang melalui Sungai Pial dan Sungai Derhaka juga dibatalkan. Ketiadaan pokok besar di kiri kanan jalan tersebut akan menyukarkan kayuhan dengan tiupan kencang angin.
Di jalan yang sangat kurang kenderaan dari Singkir ke Tanjung Dawai, aku melihat jauh dihadapan kelibat seseeorang. Jaraknya lebih 500 meter. Tidak pasti samada penunggang motorsikal atau mengayuh basikal. Beberapa minit kemudian dia hilang dari pandangan kerana selekoh jalan. Aku tidak ambil peduli sangat. Lima minit kemudian orang tadi berada dihadapan aku. Seorang rider mtb. Rider yang pertama aku lihat sepanjang kayuhan pagi ini.
Rasanya menjadi satu 'tabii' semula jadi aku dan mungkin kepada ramai orang diluar sana. Bila melihat ada orang dihadapan, menganggap ia sebagai satu cabaran yang mesti disahut. Misi cabaran tersebut adalah untuk mengejar dan kalau boleh memotong dan mendahului. Walau aku juga sudah sedikit keletihan setelah hampir satu jam berkayuh, aku 'pulun' dan berjaya menghambat dan memotong rider tersebut. Ahhh ... memang tidak begitu sukar kerana aku menggunakan rb dan dia menggunakan mtb. Sempat aku menegur dan terus berlalu. Rider tersebut masih muda dan mungkin baru dalam aktiviti ini.
Siri perlumbaan basikal 'Jelajah 1 Malaysia' bermula pagi ini. Negeri Kedah beruntung kerana perlumbaan akan berada di Kedah selama dua hari. Stage 2 akan tamat di Kulim pada 09 Mei dan bermula keesokkan harinya dari Kulim. Stage 4 akan tamat di Sungai Petani pada 11 Mei dan dan Stage 5 bermula pada 12 Mei . Tahun lepas aku tidak berpeluang untuk menyaksikan kerana route tidak masuk ke utara. Kali terakhir aku menyaksikan adalah pada tahun 2010.
Berpeluang untuk menyaksikan upucara penyampaian hadiah untuk Stage 4 dari Kangar dan upucara permulaan Stage 5 ke Ipoh.
Patutlah sebahagian jalan utama dihadapan Dataran Zero Bandar Sungai Petani ditutup dan dilencongkan untuk diperbaiki bermula sejak satu bulan yang lalu. Ramai pengguna jalanraya merungut kerana kesesakkan lalulintas terutama pada awal pagi dan sebelah petang. Jambatan lintasan kereta api dihujung bandar dihadapan balai polis juga sudah dibuka separuh (laluan ke utara). Ini adalah  untuk digunakan oleh pelumba Jelajah 1 Malaysia ini.

Statistik :
   Mula .............. 7.40 pagi
   Tamat ............ 10.15 pagi.
   Jarak .............. 61 km
   Laluan ........... Lencongan Barat - Merbok - Tanjung Dawai
   Odometer 2012 : 02075