Halaman

Ahad, 31 Mac 2013

Ramai lagi diatas .. Bkt Semarak

Tidak mahu terkena panas terlampau .... aku mengambil keputusan untuk membuat pendakian di Bukit Semarak sahaja pagi ini. Sejak pulang dari kayuhan ke Songkhla pada hari selasa lepas aku tidak membuat kayuhan kerana walaupun letih badan telah hilang tetapi disebabkan cuaca dan suhu panas.
Aku ke sana lambat sedikit untuk mengelakkan kesesakkan kenderaan. Sekolah di Kedah dibuka semula hari ini selepas cuti penggal pertama selama satu minggu. Laluan aku ke bukit terpaksa menempuh sebuah sekolah rendah dan satu lagi sekolah menengah Sungai Pasir. Jadi biarkan kenderaan kenderaan selesai tugas menghantar anak anak kesekolah baru aku lalui jalan tersebut.
Seperti  biasa pada hari Ahad, ramai orang berjogging di bukit. Bila aku sampai ramai yang sudah turun kerana mereka datang se awal 6.30 pagi, lepas solat subuh. Ada orang tua cina yang datang lebih awal, sebelum 5.00 pagi. Tidak mengapa kalau orang tiada lagi yang naik. Lagi seronok berjogging. Apa yang hendak ditakutkan. Sudah biasa ... kadang kala sepanjang perjalanan tiada berjumpa sesiapa pun. Semasa aku turun ada juga yang baru naik tetapi hanya seorang dua sahaja.



Selasa, 26 Mac 2013

Kembali ke Danok ... hari ketiga

Mendapat rehat secukupnya di bilik 305, Hotel Indra, Thamanun Withi, Hatyai. Semasa bangun pagi semua rasa lengoh hilang. bersedia untuk memulakan kayuhan pulang ke sempadan. Keluar hotel jam 7.30 pagi waktu Malaysia. Aku gembira melihat basikal masih ada didalam pejabat hotel. Perkara pertama aku periksa ialah kunci kereta yang disimpan didalam beg yang digantung dibelakang basikal. Jalan raya masih lengang, belum ada kedai yang dibuka.
Hotel tidak menyediakan makanan pagi. Kena cari sendiri. Ingin membuat persediaan lengkap. Makan yang mengenyangkan. Teringin untuk ke restoren kelantan yang menjual nasi dagang dan roti canai. Terletak dibelakang hotel Regent. Nampak mudah tetapi aku terpaksa berpusing dua kali dan menjejaki jalan yang aku ikut hari sebelumnya sebelum berjumpa dengan restoren tersebut. Semasa bersiar siar petang semalam aku ternampak restoren ini buat kali pertama. Aku cuba mengecam lokasi berpandukan bangunan disekitar. Baangunan yang  utama ialah To Kong Cina setinggi empat tingkat dan hotel Lee Garden dibelakangnya. Nama jalan susah hendak ingat.
Hanya dua orang pelanggan berada dalam restoren dan seorang perempuan muda yang menunggu roti canai dimasak. Aku memesan nasi dagang dan teh susu. Apa rasanya nasi dagang kalau tidak dimakan dengan ikan tongkol. Aku minta tambahan sebiji telur goreng. Harganya 75 baht. Patut ke atau mahal ke. Ingat, ini ditempat orang.
Rasanya tidak ramai pelancong Malaysia terutama yang berbangsa Melayu tahu restoren ini. Kalau tidak tentu redtoren akan dipenuh pelancong. Restoren terletak agak kebelakang dari tempat tumpuan. Kalau boleh dibubuh papan iklan ditempat tumpuan pelancong Malaysia seperti di hotel.
Semasa mengenakan sarong tangan dan helmet aku sempat bertanyakan kepada perempuan pertengahan umur yang sedang menyediakan roti canai. Berapa harga sekeping roti. Tidak lansung terkejut apabila diberitahu RM2.00 sekeping. Bukan besar mana saiznya dan tidaklah nampak sedap sangat pun. Kalau dibandingkan dengan harga dan kualiti di Sungai Petani, tidak makan pun tidak rugi.
Berkayuh melalui jalan utama menuju ke stesyen bas untuk ke selatan. Rasanya pekan Hatyai mempunyai cukup tanda arah dan signboard. Aku tidak lansung mempunyai sebarang masalah mencari jalan ke Sadao - Danok.
Bagi aku tidak ada apa yang hendak dibuat di pekan Hatyai pada waktu siang. Aktiviti hanya bertumpu kepada pasar basah dan kawasan membeli belah. Mana lagi panas, kesesakkan jalan, trafik jam dan laluan kaki lima yang agak sempit. Sebenarnya kaku lima kedai luas tetapi dipenuhi dengan peniaga kecil kecilan ytang menjual berbagai jenis barangan.
Kalau hendak tengok kedai, dua jam pusing dengan basikal pun tidak boleh habis. Ndak tengok apa, bukan nak beli pun. Semua barangan sama saje. Hatyai mempunyai tarikan lain tersendiri.

Berhenti rehat di Khlong Ngae. Pekan kecil lebih kurang 30 km dari Hatyai dan berkayuh lebih sedikti 1 jam. Sebelum bwerhenti terkejut mendengar beberapa letupan macam mercun bom besar.
Ada perarakkan Ching Beng, patutlah ramai polis trafik dipekan.

Kesimpulan kayuhan kali ini.
Aku bersyukur kerana dapat menghabis perjalanan ini tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini. Bersyukur juga pada usia begini masih mampu dan mempunyai kudrat untuk mengharungi kayuhan yang begitu mencabar. Ramai rakan bertanya, tidakkah aku takut berkayuh seorang diri di negara jiran. Aku rasa lebih selamat disini berbanding tempat sendiri. Besar kemungkinan kalau diizinkan Allah aku akan datang berkayuh semula disini atau dilain lain tempat.

Statistik :
    Mula ............... 8.00 pagi 
    Tamat ............. 11.00 pagi
    Jarak ............... 65 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Hatyai - Danok
   Odometer 2013 : 01219
      

Isnin, 25 Mac 2013

Hatyai pada hari kedua ...

Lega sungguh sebaik memasuki bandar Hatyai pada jam 12.00 tengah hari. Pertama boleh berehat dari panas terik matahari yang menyebabkan badan rasa lekit dan muka dipenuhi garam akibat peluh yang keluar cepat kering. Kedua aku boleh menjamu selera. Bayangkan aku tidak makan apa apa lagi sejak pagi tadi kecuali beberapa biji pisang 'cavendish' yang aku beli di pasar Songkhla.
Tiada masalah untuk sampai ke tengah bandar dan aku terus ke stesyen keretaapi. berhampiran stesyen ada dua kedai makanan Islam yang sering aku kunjungi apabila datang ke Hatyai. Duduk berehat lebih setengah jam hingga hampir habis satu jug air kosong aku minum. Air free .... apabila pengunjung semakin ramai aku keluar beredar.
Tugas berikutnya adalah untuk mencari hotel murah disekitar pusat bandar. Tempat pertama ialah lodging atau rumah tumpangan bersebelahan supermarket Robinson. Macam tidak percaya apabila apek menjaga kaunter minta 600 baht untuk satu bilik atau 400 baht untuk bilik tanpa air cond.
Hotel yang kedua aku tanya terus jadi. Ia terletak hanya beberapa meter dari pusat tumpuan pelancong iaitu Lee Garden Hotel dan Central. Harga satu bilik pula hanya 550 baht satu malam. Walaupun bilik agak usang tetapi luas dan selesa. Ada air panas, air-cond sejuk dan TV siaran setellite. 
Aku tanya macam mana dengan basikal, boleh dibawa ke bilik. Tidak boleh ... tegas nyonya dikaunter. Dia menunjukkan aku tempat letak basikal dan motorsikal. Dia kata ok selamat simpan disana. Aku kata basikal jenis ini, tiada tongkat kena sandarkan ke dinding. Bila jumpa tempat sesuai aku masih tidak yakin kerana basikal tiada kunci. Aku kena sungut oleh perempuan cina itu. Akhirnya dia menyuruh aku meletakkan didalam bilik ofis dibelakang kaunter. Aku masih rasa tidak sedap hati lalu keluar untuk membeli padlock basikal.
Masuk ke bilik hotel untuk menyejukkan badan dan berehat menghilangkan penat lelah berkayuh ditengah panas terik. Tertidur hingga jam 6.00 petang. Bergegas keluar untuk mencari makan kerana perut sudah mula berlagu.
Aku ketempat sama dipasar malam untuk menikmati sepinggan nasi kuning dengan ayam goreng. Harga meningkat sedikit berbanding kali terakhir aku disini tahun lalu. Kenaikkan 5 baht menjadi 40 baht. Pelik sedikit kerana kakak yang bertudung hanya dibelakang. Yang menjadi tukang senduk adalah lelaki berseluar pendek yang aku pasti orang bukan Islam. Berbagai andaian bermain dikepala. Mengikut seorang rakan, gerai makanan bersebelahan pasar besar sudah dipindahkan ke tempat baru. Tidak tahu dimana.
Aku bersiar siar dengan berjalan kaki sambil memerhatikan gelagat orang ramai. Aku perasan restoren Hamid yang menjadi tumpuan pelancong Malaysia untuk menjamu selera. Terletak berhampiran hotel hotel utama. Bangunan bahagian bawah begitu cantik dengan lantai dan dinding marmar tetapi bahagian atas hanya ditutupi dengan kepingan zink yang sudah berkarat. Banyak pula kepingan zink yang sudak terkopak. Pekerja kelihatan anggun dengan uniform dan nampak sangat beradap dan bersopan santun. Aku serik makan disini kerana tujuh tahun lalu aku di caj terlalu mahal untuk hidangan makanan ala Thai.


Bandar Hatyai mulai hidup apabila gelap. Jalan mulai sesak dengan kenderaan dan pelancong. Dari percakapan yang aku dengar ada dari Singapura dan ada dari Indonesia (bermata sepet, berseluar pendek tetapi bertutur dalam bahasa yang 100% aku faham). Paling ramai pelancong dari Malaysia. Cina, India dan Melayu. Rasa macam berada di Chow Kit Road ??? Bezanya di tempat kita tiada kedai kedai urut kaki atau badan, tiada night club yang terang terang dan tempat persundalan.
Banyak untung waktu di Thailand lambat satu jam dari Malaysia. Walau sudah gelap tetapi baru jam 6.00 petang. Ini memberi peluang untuk peniaga kecil kecil memulakan perniagaan awal dan selesai lewat. Apa lagi ditempat ramai pelancong seperti di central Hatyai. Kalau di barat terutama Eropah ada 'Day Light Saving' dimana masa dicepatkan satu jam untuk memberikan waktu siang lebih panjang dan waktu malam pendek. Ia membolehkan penjimatan elektrik dan masa yang panjang untuk aktiviti luaran penduduk. Berbeza disini masa siang adalah pendek untuk memberikan lebih masa pada waktu malam.
Aku duduk dikawasan tersebut sendiri hampir tiga jam. Memerhati gelagat orang ramai samaada pelancong atau orang tempatan.
Satu lagi yang aku dapat ialah kebanyakkan orang Thai disini boleh berbahasa Melayu barang sepatah dua. Perkataan yang hampir semua peniaga tahumenyebut ialah "abang....... " disebut dengan nada begitu manja dan ghairah. Ada makna tu .. paling mesra menggunakan ayat tersebut ialah penjaga tempat urut yang begitu banyak dibandar ini.
Sebentar tadi aku ingin membuat 'window shopping' di komplek bawah Lee Garden Hotel. Rasa macam nak masuk menaiki pesawat. Semua pengunjung diimbas mengunakan peralatan seperti di airport. Ini dilakukan kerana peristiwa pengeboman dapur restoren Mc Donald tahun lalu. Aku beredar selepas berada tidak sampai 10 minit didalam shopping komplek tersebut.
Satu lagi diperhatikan ialah kini banyak makanan selera orang Malaysia dijual disini. Sudah ada roti canai, teh atau nescafe tarik, murtabak, nasi lemak dan ada juga stall Ramli Burger. Nasi kandar bila lagi ke Hatyai? Ini trend timbal balik, di tempat kita makanan thai begitu popular.
Bila sudah puas dan letih aku masuk ke hotel selepas menikmati secawan nescafe segera panas yang dibeli dari kedai 7 eleven.
Satu yang aku inginkan ialah membuat kayuhan sebelah malam disekitar bandar. Untuk melihat dengan lebih kuas aktiviti malam di bandar ini.

Statistik :
    Mula ............... 9.00 pagi 
    Tamat ............. 12.00 pagi (pusing pekan)
    Jarak ............... 50 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Songkhla - Hatyai
   Odometer 2013 : 01154
      

Keliling Songkhla ....

Tidak yakin aku menghabiskan hampir dua jam berkayuh di pekan, aku keluar pagi untuk sekali lagi melihat pekan Songkhla. Sambil itu boleh mencari tempat sarapan pagi. Aku keluar awal sebelum jam 8.30 pagi waktu Malaysia. Jalan masih lengang dan kanak kanak baru dalam perjalanan kesekolah.
Aku berkayuh tanpa arah tujuan, memperlahankan basikal bila melihat mercu tanda atau tempat tempat yang menarik. Kebanyakkan tempat yang aku lalu sudah aku lalui petang kelmarin semasa mula sampai. Pergi ke Fishing Village tetapi ketiadaan jalan sempurna untuk masuk ke kawasan tersebut. Aku hanya melihat dari jauh. Dua tiga kali pusing lebih kurang tempat itu juga.
Aku ke pasar basah (wet market) cuma melihat ianya ada pasar biasa orang cina. Membeli beberapa biji pisang berangan untuk dimakan kerana aku tidak makan apa apa sejak bangun tidur tadi. Pisang mengalas perut sehingga aku jumpa kedai makanan 'moslem'. Bila aku bertanya , orang itu menyruh aku menaiki motorsikal untuk ke kedai makan Islam. Tahan lapar sekejap.



Aku kemudian ke hujung tanjung dan sampai ke persisiran pantai dekat dengan pelabuhan Songkhla. Tidak banyak kapal dagang disana. Ada beberapa kapal kecil. Kemudian aku sampai ke jeti Songhkla dimana terdapat feri yang mengangkut penduduk ke tanah seberang sana. Tidak pasti itu adalah pulau atau sebahgian dari tanah besar. Kelihatan beberapa buah masjid disana. Aku agak banyak perumahan orang Islam di seberang sana. Penumpang feri yang turun ramai yang memakai serban (lelaki) dan tudung.


Aku berhajat untuk menyeberang ke sebelah sana tetapi takut tidak sempat. Sepatutnya aku 'check out' dahulu dari hotel sebelum bertolak tadi.
Aku sebenarnya ingin mencari jambatan yang merintasi tasek Songkhla. Pernah dahulu aku dibawa melalui jambatan tersebut menaiki bas. Rasa ada dua jambatan dan salah satu agak panjang merentasi tasek. Rasanya aku terpaksa berpatah balik lebih kurang 7 atau 8 km ke jalan 407 dan kemudian masuk ke jalan 408. Tidak mengapa. Ia akan dijadikan alasan untuk berkayuh lagi kesini dimasa akan datang. Mungkin aku akan bawa kereta ke pekan Songkhla dan kemudian berkayuh mengelilingi tasek.

.... miss simpang Tansulinon park untuk ke tasek !

Dua jam aku bersiar siar keliling pekan dan aku berpatah balik ke hotel. Niat asal untuk tinggal dua malam di sini dibatalkan kerana tiada banyak yang tempat yang menarik. Kebanyakkan kuil atau tokong cina. Aku bercadang untuk check out dan berkayuh balik ke Hatyai. Jika aku bertolak awal, mungkin dapat mengelakkan cuaca panas.
Aku jangkakan akan sampai ke Hatyai sebelum tengah hari.

Ahad, 24 Mac 2013

Sepetang di Songkhla

Kalau trip terdahulu (tahun lalu) aku terus ke Pantai Samila sebaik memasuki Songkhla, kini aku terus memasuki pekan. Tidak sangka pula pekan luas juga. Tetapi kebanyakkan kedai jenis lama kepunyaan orang orang cina. 
Dari mula memasuki pekan aku berkayuh hampir empat kilometer ke penghujung pekan. Sambil melihat keadaan pekan aku melihat kalau ada hotel yang sesuai untuk aku menginap. Mungkin aku terlepas pandang tetapi tidak kelihatan hotel seperti yang banyak kelihatan di Hatyai. Tahu ada dua tiga hotel bertaraf international yang terletak ditepi pantai tetapi aku hanya ingin tempat untuk bermalam, bukan untuk bercuti.
Begitu juga dengan restoren atau kedai makan. Susah mencari kedai makanan halal di pekan Songkhla. Ternampak satu dua gerai menjual nasi tetapi aku ingat mesti banyak yang lain. Jadi aku ingat jumpa yang lain nanti aku akan singgah untuk makan malam. Memang tiada lagi gerai muslim yang aku jumpa. Untuk mengisi perut kosong aku berhenti untuk minum air kepala disebuah kedai kecil yang diubahsuai. Terkejut aku bila membayar, sebiji kepala pandan berharga 13 baht. Ke ... peniaga silap. Kalau di Phuket sebiji kepala yang sama berharga 4 kali ganda iaitu 60 baht.
Pusing punya pusing aku sampai ke Samila Beach. Punyalah ramai orang hinggakan sesak disepanjang hampir 4 km pantai ini dengan kenderaan di parking dikedua dua belah jalan. Banyak juga kenderaan Malaysia kelihatan dan beberapa biji bas pelancongan Malaysia melalui jalan tersebut.
Nampak gaya setiap kali aku ke Songkhla, tidak dapat tidak mesti sampai ke tempat ini. Bukan apa, kat mana pun pergi akan berpatah balik ke tempat sama. Pekan Songkhla terletak seperti sebuah tanjung yang tirus, sebelah adalah laut Telok Siam manakala sebelah lagi adalah tasik. Teringat pada bulan Januari lalu ada 'ride around lake Songkhla'. Aku tidak menyertainya.
Disebelah pantai dimana ramai orang berkelah, lautnya tidak sesuai untuk mandi manda kerana ia agak dalam. Ia boleh dilihat keadaan warna air laut yang biru pekat menunjukkan kedalaman. Menakutkan. Satu perkara yang mengkagumkan aku ialah famili Thai yang santai, mereka membentang tikar dan meletakkan berbagai jenis makanan untuk keluarga mereka. Tidak perlu mandi manda. Mungkin anak anak boleh berlari lari ditepi pantai. Banyak gerai dibuka di seberang jalan untuk menjamu selera.
Oleh kerana perut sudah lapar dan memikirkan kalau tidak makan sekarang mungkin aku tidak akan dapat makan sebelah malam nanti. Aku singgah di kawasan yang terdapat kedai orang Melayu dan sebuah Masjid. Boleh bertutur bahasa Melayu. Mungkin orang Patani atau belah Golok. Pesan makanan kesukaan iaitu sup tulang dengan nasi. Itu pun harga boleh tahan iaitu 60 baht. 
Aku bertanya dimana hotel low budget untuk bermalam. Tukang masak restoren berkata kena pergi kearah pekan. Tidak pasti pula arah mana dan aku tercari cari dengan berkayuh hampir 3 km. Balik ketempat yang aku lalu sebentar tadi. Bertanya pula kepada seorang yang hanya tahu bahasa Thai ... dia juga menunjukkan arah pekan. berapa banyak pekan da.. Apa nak jadi pun aku kena keliling pekan lagi.
Sudah dua kali aku melalui jalan ini, macam mana boleh tidak perasan sebuah hotel disebelah kiri. Terus masuk untuk bertanyakan kadar harga bilik untuk satu malam. Aku bersetuju bila diberitahu harga sebanyak 500 baht, bilik sahaja. Pulak tu, bila aku terangkan bahawa basikal aku tiada kunci dan tidak percaya jika ditinggalkan ditempat parking kereta, dia membenarkan aku membawa masuk basikal kedalam bilik. Lega sungguh. Tidur ditemani basikal malam ini.


Bagai yang aku jangkakan tiada banyak night life di pekan ini berbanding dengan Hatyai .... hanya ada beberapa pasar malam kecil yang tidak ramai pengunjung tidak ramai penjual. Setelah mandi dan membersihkan diri, aku terus tidur dan bangun awal.
Tidak ramai cyclist dijalanan. Apatah lagi disepanjang route 407 dari Hatyai. Hanya diwaktu petang kelihatan beberapa cyclist tempatan mengelilingi kawasan pantai Samila. Macam di Malaysia, mereka juga mengangkat tangan apabila berselisih.
Aku seronok juga kerana menjadi perhatian orang ramai. Di restoren yang singgah makan petang, beberapa pekerja restoren (kesemuanya perempuan) terkejut apabila mendapat tahu aku berkayuh dari Bukit Kayu Hitam. Ada yang mengangak aku mengambil masa sekurang kurangnya dua tiga hari untuk sampai. Layan saja le ....

..... bersambung 


Kayuhan Songkhla... kali ke 2

Mengapa aku membuat keputusan mengejut dan dalam masa paling singkat untuk berkayuh ke negara jiran. Taklimat 'Komuniti Sihat untuk warga Taman Intan' yang dijadualkan pada hari ini Ahad 24 Mac 2013 bersama dengan Klinik Kesihatan Bakar Arang dibatal dan ditangguhkan . Pada petang sabtu aku mendapat panggilan telefon dari Dr. Shahid Pervez memberitahu minta tangguhkan taklimat tersebut kerana sebab yang tidak dapat dielakkan. Hah .. dah puas aku buat hebahan dan jemputan, program dibatalkan pula.
Pada rancangan awal, hendak pandu kereta masuk ke Hatyai kemudian kayuh basikal ke Songhkla dan sekitar Hatyai. Tetapi pada sebelah malam aku menukar fikiran. Aku rasa tidak gentlemen . Apa pula alasan yang akan ditulis kedalam blog nanti.
Aku mengambil keputusan untuk mengulangi sekali lagi kayuhan yang dibuat satu tahun lalu. Mungkin sedikit perubahan iaitu akan bermalam di Songkhla dan malam kedua di Hatyai. Rasanya banyak tempat yang aku tidak lawat semasa kayuhan yang pertama dahulu. 
Apabila melepasi tol PLUS Hutan Kampung aku menalipon sahabat lama Ramlan Bidin. Bila aku tanya samada kerja ke tidak, dia menjawap tengah kayuh gerek seorang diri. Dia ajak sarapan pagi di restoren Koperasi Kaum Ibu dan aku silap dengar kerana menunggu dia di restoren kaum ibu di Tanah Merah Jitra. Lengoh juga aku tunggu hingga Ramlan call aku semula. Dia agak terkejut apabila melihat aku dengan pakain berbasikal, tetapi dia cekap mengagak yang aku akan berkayuh dinegara jiran.
Sempat bertanya khabar dan bertukar tukar cerita serta pekembangan semasa tempat kerja. Aku ingin mendengar kenapa salah seorang pengarah memberi notis meletak jawatan 24 jam. Ramlan dengan pengarah tersebut amat akrab. Aku katakan tidak boleh lama kerana aku ingin masuk ke border sebelum jam 10.00 pagi. Kalau lewat nanti panas pula. Ramlan menyatakan tidak dapat untuk bersama tetapi sangat teringin untuk berkayuh ke Satun dimasa masa hadapan. Aku beritahu cakap sahaja bila. Dia perlu sedikit masa lagi untuk mengembalikan tahap kayuhan.
Parking kereta bersebelahan kawasan station teksi. Berpeluang bersembang dengan seorang brader yang tidak apa yang dibuat berada dikawasan itu. Adakah dia membawa teksi motor mengangkut orang yang perlukan perkhidmatan. Aku bertanya prosedur membawa kereta masuk ke Thailand. Tidak perlu kalau pergi setakat pekan Danok. Kenderaan perlu di daftar (declare) di pejabat kastam dan dapat surat izin yang perlu diserahkan semula semasa keluar nanti. Insuran. Tidak berapa perlu sangat.
Apabila melintasi post polis sempadan, seorang anggota berpangkat koperal (dari lencana dibaju) bertanya aku hendak berkayuh sampai kemana. Aku sekadar merendah diri dengan berkata cuma berkayuh dikawasan Danok sahaja. Tidak seperti trip tahun lalu, anggota bertugas bertegas untuk melihat passport dan macam macam yang ditanya. 
Terus berkayuh tanpa singgah di pekan Danok sebaik melepasi imegresen Thailand. Borang embarkation diisikan oleh penulis dengan bayaran RM2.00. Cepat. Malas hendak mengambil borang dipejabat imegresen dan mengisi. Tidak perlu singgah untuk sarapan kerana baru pekena nasi lemak dan teh tarik ketika bersama Ramlan sebentar tadi.
Cuaca mulai panas walaupun baru jam 10.00 pagi (09.00 waktu Thai). Kayuhan peringkat pertama sehingga ke pekan Sadao agak slow sedikit keseluruhan. Ini kerana jalan yang agak  berbukit bukit (rendah sahaja) disepanjang hampir 12 km. Suatu yang sukar dilupakan ialah bau 'getah sekerap' hampir disepanjang jalan.
Berhenti rehat setelah berkayuh selama 2 jam apabila ternampak sebuah restoren mempunyai lambang bulan sabit dan bintang. Ada tanda halal dipapan tanda. Restoren tersebut  terletak lebih kurang 10 km sebelum sampai ke Bandar Hatyai. Sebelum duduk aku capai se tin air 'coca cola' dari dalam peti sejuk dan meneguk sampai habis.
Menu makan tengah hari simple sahaja. Gulai ikan masak asam kuning dan seekor ikan temenung goreng. Tiada ayam atau daging. Ulam mentah (timun, kacang panjang, daun putat)  dan sambal pasti ada. Ais kosong. Yang sedap nasinya. Harga kesemua termasuk coca cola ialah 60 Baht.
Aku berehat selama dua jam selepas makan dan sempat melelapkan mata dihadapan masjid bersebelahan restoren. Siesta (tidur tengah hari) aku sering terganggu apabila kaki digigit semut. Bunyi bising kenderaan lalu lalang tidak lansung menjadi hal. Boleh tahan sibuknya jalan utama dari selatan ini.
Apabila cahaya matahari sudah kurang sedikit aku meneruskan kayuhan ke Songhkla yang hampir 40 km lagi. Suatu yang membantu melindungi aku dari kepanasan matahari ialah kabel letrik. Terdapat banyak kabel letrik disepanjang jalan dan ia memberikan sedikit perlindungan dari pancaran cahaya matahari.
Aku banyak mengalihkan pemikiran aku apabila berdepan dengan kesukaran. Contohnya, apabila memikirkan jarak kayuhan yang masih jauh seperti 40 km lagi, aku fikirkan bandingan jarak tersebut dengan laluan yang selalu aku ikut. Satu pusingan jalan lencongan Timur Barat Sungai Petani jaraknya ialah 33 km, jadi 40 km hanya beberapa km lebih dari laluan tersebut.
Bila terasa hangat dan panas sinaran matahari, aku memikirkan penumpang terutama kanak kanak yang duduk di bahagian belakang pick-up yang tidak berbumbung. Atau orang yang bekerja ditengah panas terik matahari untuk mencari rezeki. Apalah kepanasan yang aku rasai berbanding dengan mereka yang begitu hampir setiap hari.
Satu peristiwa yang membuatkan aku tergamam. Disuatu persimpangan lampu isyarat, aku berhenti seketika untuk terus tetapi kemudian mengmbil jalan susur kekiri dan kemudian membelok kekanan memasuki semula ke laluan asal. Dengan ini aku mengelakkan dari berhenti pada lampu merah. Bukan tidak biasa..... Ada  sebuah motorsikal yang berbuat perkara sama, tiba tiba seorang polis keluar betul betul dihadapan dan menahan. Wrauuuuu ... darah ku. Lega .... polis tersebut bukan menahan aku tetapi motorsikal tadi. Kemudian terdengar polis memarahi penunggang motorsikal tersebut. Tidak pasti apa kesudahan ... kalau di Malaysia boleh agak agak!
Sampai di Songhkla seperti masa yang dianggarkan.


Statistik :
    Mula ............... 10.00 pagi 
    Tamat ............. 17.00 pagi (termasuk berehat dan bersiar siar)
    Jarak ............... 105 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Bukit Kayu Hitam (Danok) - Songkhla
   Odometer 2013 : 01104
      


Isnin, 18 Mac 2013

2 x Lencongan Timur

Bagaimana yang aku rancangkan aku membuat pusingan 'U' apabila sampai ke penghujung jalan lencongan Timur dari sebelah selatan. Idea ini hanya tercetus dalam fikiran aku minggu lepas apabila mencari laluan lain yang agak jauh tetapi dekat dengan rumah..... Cara begini aku boleh membuat lebih dari 40 km dengan hanya melalui jalan lencongan timur.
Dahulu aku kerap melakukan kayuhan sebegini di lencongan Barat. Jaraknya hanya setengah atau hanya 20 km sahaja berbanding dengan jalan lencongan Timur apabila membuat pusingan 'U'. Pusingan 'U' dibuat dipersimpangan Tol Sungai Petani Utara. Beza paling ketara antara antara kedua dua jalan ialah ketiadaan laluan motorsikal atau basikal di jalan lencongan Timur.
Aku hendak komen tentang keadaan jalan lencongan timur. Keseluruhan agak baik kecuali pada penghujung dibawah lebuh raya PLUS bersebelahan Taman Ria. Jalan disini sudah banyak yang pecah dan tidak rata. Ada yang merekah dan banyak batu terkeluar. Ada sesetengah tempat dipenuhi dengan batu gravel merah yang dibawa air hujan dari tebing jalan.
Dulu aku tidak mahu komplain kerana basikal ada suspension. Bila aku tukar kepada rigid fork basikal aku tidak berupaya menyerap hentakan dan getaran apabila melalui jalan yang tidak rata dan dipenuhi ketulan batu. Hampeh betul .... cakap pasal kualiti dan standard. Ngabihkan boreh je. 

Statistik :
    Mula ............... 7.55 pagi 
    Tamat ............. 9.35 pagi
    Jarak ............... 45 km
    Cuaca .............. Jerubu
    Laluan ............. Lencongan Tmur (U - turn)
   Odometer 2013 : 00999 (another nice set of numbers) ...... see 04 Mac 2013
      

Khamis, 14 Mac 2013

suhu yang melampau .....

Dua tiga hari kebelakangan ini suhu sangatlah tinggi. Kemana aku pergi dan siapa sahaja (rakan rakan) yang aku jumpa akan sedikit sebanyak menyuarakan tentang keadaan cuaca masa kini. Ramai yang mengatakan amat panas sekarang. Memang sekarang musim panas dengan suhu diluar lebih tinggi dari biasa. Kadang kala langit tidak begitu cerah, terutama pada sebelah pagi. Terdapat jerubu nipis menyelubungi langit tetapi suhu yaang agak tinggi.
Aku cuba menahan diri tidak membuat kayuhan kerana panas. Pada awal pagi tadi aku membuat aktiviti berjogging di Bukit Semarak. Tidak melebihi satu jam dan sebelum jam 09.00 pagi aku telah selesai dan turun. Aku tidak terus pulang sebaliknya pergi mencari rakan rakan ditempat kerja lama untuk menemankan sarapan pagi.
Dalam keadaan cuaca yang panas dan suhu yang begini elok dikurangkan aktiviti luaran yang agak lewat dan banyakkan minum air. Aku tangguhkan sementara kayuhan hinggakan cuaca mengizinkan.


Selasa, 12 Mac 2013

Sama jauh ...

Walau hari bukan hujung minggu, terdapat beberapa rider berada dijalanan. Di Laguna Merbok sepangan 'mat saleh' sedang berkayuh menuju kearah selatan. Mungkin untuk ke Pulau Pinang sebelum meneruskan perjalan ke selatan, Kuala Lumpur dan Singapura. Yang menghairankan aku pagi masih awal. Adakah mereka bermalam di Alor Star dan belum lagi jam 08.00 mereka sudah berada di Sungai Petani. Atau mungkin mereka bermalam di Gurun. Ada ke Hotel di Gurun?
Aku cuba menyelami fikiran mereka. Apakah yang mereka fikirkan tentang keadaan jalan sedang mereka lalui. Apa yang mereka fikirkan tentang kawasan perkampungan dan pekan yang mereka lalui. Adakah mereka akan membandingkan dengan keadaan ditempat mereka? Entah dari bahagian mana didunia ini mereka datang. Atau tidak ada apa yang difikirkan cuma hanya menikmati pemandangan dikiri kanan jalan yang dilalui.
Pada masa ini iaitu bulan Mac hingga Mei, ramai pengayuh basikal dari luar negara akan memasuki negara kita. Mereka lari dari musim winter di negeri mereka. Sebentar tadi ditunjukkan dalam berita TV kawasan selatan England yang jarang menerima salji, menerima salji yang tebal hingga menyebabkan masalah dijalan dan lebuh raya.
Aku terkejut apabila seseorang memotong dari belakang dipersimpangan lampu isyarat dipenghujung jalan lencongan barat. Seorang penunggang muda yang sendirian seperti aku. Nampak bertenaga. Dia mengambil jalan ke arah Alor Setar. Dia memotong macam potong sayur je .... (mudah dan pantas). Aku anggarkan kelajuan rbnya dalam 30 ~ 35 km/j.
Aku yang selalunya memasuki jalan lencongan timur untuk membuat satu pusingan kayuhan mengambil keputusan untuk mengikuti rider muda tadi. Mungkin tidak pergi jauh dan akan berpatah balik apabila sampai ke Pekan Bedong. Ada temu janji dengan rakan, Azizan Md Isa  untuk membincangkan perkara penting berkenaan dengan PPK Unit 18 pada jam 11.00 pagi nanti. Kalau tidak mungkin aku akan meneruskan kayuhan ke Guar Cempedak dan pulang melalui Yan.
Apa yang kurang menyenangkan aku ialah sikap rider muda tadi. Selalunya apabila memotong seseorang, paling kurang aku akan memberi hormat dengan memandang dan menganggokkan kepala. Kalau aku yakin rider tersebut seorang Islam, aku akan memberi salam dan memohon untuk mendahului.  Jika nampak rider tersebut boleh dibuat kawan aku akan menegur dan berbual atau sekurang bertanya kayuh dari mana dan kemana. Atau paling lekeh pun mengangkat tangan sebelum belalu.
Anak muda tadi tidak lansung menunjukkan sebarang reaksi terhadap pengayuh lain. Apa dia ingat handal sangat ke, laju sangat ke? Peduli apa. Tidak hairan aku dengan basikal barunya yang mahal, dengan pakaian yang ketat dan sendat yang menjadi tempat iklan percuma, dengan kasut clipnya atau dengan keupayaan berkayuh laju. Cuma minta sedikit sopan dan hormat kepada seorang yang mempunyai minat dan hobi sama.
Bagai yang dirancang aku mengambil jalan ke Semeling dari Bedong untuk pulang. Apabila sampai dirumah aku melihat meter dan agak terkejut mendapati jarak laluan ini sama jauh dengan jarak melalui kedua dua jalan lencongan. 

Statistik :
    Mula ............... 7.55 pagi 
    Tamat ............. 9.15 pagi
    Jarak ............... 33 km
    Cuaca .............. Jerubu
    Laluan ............. Lencongan Barat - Sungai Lalang - Bedong - Semeling
    Odometer 2013 : 00954
      

Ahad, 10 Mac 2013

Lencongan Timur ....

Aktiviti berjogging kelmarin membantu menguatkan otot otot kedua belah kaki dan pagi ini aku bersedia untuk membuat kayuhan. Kali terakhir kayuhan adalah pada 03 Mac lalu. Tidak dapat melakukan kayuhan lebih kerap kerana keadaan cuaca dan ada komitmen lain yagn perlu dibereskan. 
Semasa kayuhan terlintas difikiran untuk membuat 'U-turn' dipenghujung jalan lencongan Timur dekat Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani. Kebiasaan aku meneruskan mengikuti laluan jalan utama Sungai Petani - Alor Setar sebelum memasuki jalan lencongan Barat untuk kembali ke Taman Intan. Jika aku melakukan begini aku akan dapat berkayuh sekurang kurangnya 45 km berbanding dengan jarak 33 km.
Mengapa aku tidak pernah memikirkan cara ini selama ini? Tidak dapat melakukan pada pagi ini kerana aku ada jemputan kenduri kahwin di Taman Pekan Baru pada tengah hari. Kemudian aku kena menghantar anak saudara ke stesyen bas untuk pulang ke Pekan Selama, Perak selepas berada dirumah aku sejak hari Khamis lalu. Bas ke Kulim tidak kerap dan ada dua jam lagi untuk bas berikutnya. Terpaksa mengambil bas ke Sik yang akan berhenti di Kuala Ketil, kemudian menaiki bas ke Kulim dan seterusnya ke Selama.
Sebelah petang ada mesyuarat bulanan panel penasihat Klinik Kesihatan Bakar Arang, Sungai Petani. 



Statistik :
    Mula ............... 8.25 pagi 
    Tamat ............. 9.45 pagi
    Jarak ............... 33 km
    Cuaca .............. Mendong
    Laluan ............. Lencongan Timur - Barat
    Odometer 2013 : 00921
      

Sabtu, 9 Mac 2013

Jogging Bukit Semarak

Tidak ingat tarikh terakhir bila aku memanjat bukit Semarak ini. Mungkin lebih dari 6 bulan lalu. Tiba tiba sahaja dua tiga hari kebelakangan ini aku teringat untuk melakukan aktiviti berjogging untuk sedikit kalainan dari berbasikal. Aku ingin sangat memanjat bukit ini tetapi hujan lebat sebelah petang beberapa hari pada minggu ini membuatkan rancangan terpaksa ditunda.
Pada hujung minggu ramai juga orang melakukan aktiviti memanjat bukit ini. Ramai muka muka baru dan anak anak muda. Orang yang biasa agaknya sudah selesai dan sudah balik kerumah kerana kebiasaannya mereka datang awal, sebelum jam 07.00 pagi. Aku pula tunggu hari cerah sedikit untuk memulakan panjatan.
Pada pertengahan jalan ternampak seorang sahabat lam yang pernah menjadi jiran aku beberapa tahun dahulu. Kini dia telah berpindah ke Taman Sejati Indah.

Isnin, 4 Mac 2013

Kubang Menarong

Sejak memulakan kayuhan pagi ini, fikiran asyik berbalah balah, kejap hendak berkayuh ke Butterworth, kejap hendak ke Tasik Gelugor, sekejap hendak pendekkan kayuhan dari Kepala Batas ke Pinang Tunggal. Ada sahaja alasan yang difikirkan. 
Sejak beberapa minggu yang lalu aku berminat sangat untuk berkayuh ke George Town tetapi hingga kini masih tidak kesampaian. Banyak perkara yang difikirkan terutama tentang kesesakkan jalan raya di bandaraya tersebut. Belum pernah membawa basikal naik feri Pulau Pinang. Keadaan cuaca yang tidak menentu juga menjadi penyebab kayuhan ditangguhkan.
Satu lagi projek ialah untuk membuat kayuhan ke Taiping Perak. Aku mengangarkan jarak dari Sungai Petani hampir 140 km. Boleh sampai dalam 5 atau 6 jam. Kena bermalam disana sebelum bertolak pulang keesokkan harinya. Kalau jadi projek ini aku kena fikirkan jalan yang akan diikuti, samada melalui Kulim, Serdang, Selama dan Kemunting atau melalui jalan persekutuan N1 melalui Butterworth, Juru dan Nibong Tebal.
Satu lagi projek ialah untuk membuat kayuhan ke negara jiran Thailand. Masih tidak tentu untuk ke pantai barat atau ke pantai timur Thailand.
Minggu yang berlalu banyak aktiviti sosial yang dilakukan. Ada dua mesyuarat yang aku pengerusikan pada minggu lalu. Satu mensyuarat dengan pejabat kesihatan daerah dengan 12 orang kakitangan dari seluruh negeri Kedah. Mereka ingin mendapatkan maklumat tentang penduduk Taman Intan Sungai Petani. Tujuan mereka adalah untuk menubuhkan "Komuniti Sihat" dikalangan penduduk taman. Komuniti tersebut akan diberi taklimat, pengetahuan dan latihan dalam menjaga kesihatan sendiri serta jiran jiran didalam taman. Disamping itu mereka juga akan melakukan kerja kerja gotong royong membersihkan taman.
Satu lagi adalah nesyuarat dengan AJK Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Intan untuk menganjurkan jamuan Tahun Baru Cina yang baru lalu. Jamuan sederhana yang dirancang diadakan pada Sabtu 02 Mac 2013. 
Senaman sebelum Taklimat Bengkel Insulin
Hari sabtu dua hari lepas sahaja ada dua aktiviti serentak. Satu aktiviti panel penasihat Daerah Kuala Muda iaitu bengkel suntikan insulin bagi pesakit dibetis. Peserta terdiri dari orang awam yang menghidap diabetis dan juga ahli panel penasihat klinik kesihatan dalam daerah Kuala Muda.
Pada bengkel tersebut peserta diberi taklimat tentang penyakit diabetik, demostrasi dan latihan penggunaan Glucometer dan suntikan insulin. Satu yang menarik ialah peserta dijemput melakukan senaman ringan sebelum bermula taklimat.
Dalam masa yang sama KRT Taman Intan mengadakan jamuan Tahun Baru Cina seperti yang dirancang. Aku adalah orang yang pertama sampai didewan, lokasi majlis diadakan kerana menurunkan pekakasan dan kelengkapan jamuan. Kemudian aku bergegas ke Klinik Bandar Sungai Petani dimana aktiviti panel penasihat diadakan. Aku terpaksa meninggalkan program tersebut pada jam 10.00 pagi dan bergegas pulang ke majlis jamuan Gong Xi Fa Cai.
Malam tadi 03 Mac 2013, aku dijemput menghadiri jamuan makan malam sempena mesyuarat JKKKP Kolam Air Pinang Tunggal yang diadakan di Hotel Emerald Puteri Taman Sejati Sungai Petani. Bukannya aku terlibat dengan JKKK tetapi aku dijemput untuk mengambil gambar ahli JKKKP kawasan tersebut. Aku juga mengendalikan blog aktiviti mereka. Dapat juga makan free dan cenderahati berupa sehelai tuala mandi yang diberikan oleh setiausaha JKKKP.
Kurangnya aktiviti kayuhan kebelakang ini menyebabkan rasa liat dan letih pada kayuhan pagi ini. Oleh kerana semangat yang kuat dan memikirkan kesihatan diri aku terus layan juga kayuhan. Semasa jamuan malam tadi ada peserta yang memuji keterampilan aku, kelihatan sihat dan cergas. Ini menguatkan semangat untuk aktiviti kayuhan.
Aku ingin berkayuh ke Tasik Gelugur dan pulang ke Pinang Tunggal melalui Kampong Selamat. Apabila sampai di Kampung Kubang Menarong, aku curious persimpangan jejantas keretapi yang baru siap dan terus mengikut jalan tersebut tanpa memikirkan dimana jalan tersebut membawa aku. Jalan tersebut pendek sahaja kerana ia menyambungkan ke jalan Kampung Selamat ke Pinang Tunggal. Ia memendekkan perjalan sejauh hampir 15 km berbanding jika aku mengikuti Pekan Tasik Gelugor.
Dari awal aku merancang untuk singgah dikedai makanan di Pinang Tunggal untuk sarapan. Sarapam kegemaran ialah roti canai bom dan nescafe O. Hampa kerana gerai roti canai tidak berniaga. Aku meneruskan kayuhan untuk ke gerai di Pinang Tunggal sebelah Kedah. Sekali lagi kecewa kerana gerai tersebut juga tutup.
Singgah di loji air Pinang Tunggal untuk bertanya khabar kawan kawan lama disana. Berkesempatan bertemu dengan Ng Seng Keat yang kini menjawat Pengurus Teknikal selepas aku meninggalkan syarikat ini hampir enam tahun lalu. Dia kesini untuk menyelesaikan masalah pam dengan pihak kontraktor. Dahulu dia juga bergiat dalam aktiviti kayuhan semasa aku berkerja ditemapt sama tetapi kini amat kurang melakukan kayuhan. Disamping sibuk dengan tugasan jika juga komited menjaga kedua orang tuanya yang uzur.
Md Zain Abdullah yang pernah menjadi rakan dan pekerja aku membuat projek pertanian. Selama aku membuat kerja bersamanya dia menjadi pengawal keselamatan di loji air Pinang Tunggal. Dia memberi tahu bahawa anak sulungnya akan melansungkan perkahwinan pada akhir bulan ini. Atas rundingan dengan bakal besannya dia akan membuat kenduri bersama di Taiping selepas hari raya nanti. Zain akan berkongsi kos kenduri dengan bakal besannya. Tiada kenduri akan diadakan di rumahnya di Taman Kempas.
Aku tidak bersetuju dengan rancangan tersebut kerana memikirkan jiran serta sahabat handainya. Ia mungkin akan menimbulkan rasa tidak puas hati, syak wasangka dan fitnah. Aku  menasihatkan dan mencadangkan agar dia membuat kenduri kesyukuran dan tahlil sebagai ganti, khas untuk jiran serta kawan kawan. Tidak perlu ramai, mungkin dibawah 200 jemputan. Aku juga mencadangkan supaya dia tidak menempah makanan melalui kotraktor tetapi sebaliknya memasak sendiri secara gotong royong bersama jiran dan rakan. Ia akan mengurangkan kos dan perbelanjaan kenduri. Juga, tidak perlu menempah kad kahwin.
Singgah untuk menghilangkan haus dan lapar di gerai cendul di Taman Kempas sebelum pulang kerumah. Jika tidak ada halangan esok akan membuat kayuhan lagi.

Statistik :
    Mula ............... 8.05 pagi 
    Tamat ............. 10.45 pagi
    Jarak ............... 54 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Kepala Batas - Bertam - Pinang Tunggal
    Odometer 2013 : 00888   (ohhhh....... nice number !)
      

Jumaat, 1 Mac 2013

Tiada pilihan ... kayuh

Genap satu minggu tidak melakukan kayuhan. Cuaca tidak menentu. Hampir setiap hari cuaca mendongdan hujun turun walaupun tidak lebat. Beberapa negeri di semenanjung mengalami banjir.
Dua tiga hari lalu aku aasyik menguap pada tengah hari.  Kawan ingat aku lapar atau keletihan. Pada mulanya aku pun ingat begitu tetapi baru dua jam sarapan pagi. Bila difikirkan semula, badan letih kerana sudah beberapa hari tidak melakukan aktiviti senaman dan kayuhan.

Statistik :
    Mula ............... 8.05 pagi 
    Tamat ............. 9.25 pagi 
    Jarak ............... 33 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Lencongan Timur - Barat
    Odometer 2013 : 00834