Halaman

Isnin, 4 Mac 2013

Kubang Menarong

Sejak memulakan kayuhan pagi ini, fikiran asyik berbalah balah, kejap hendak berkayuh ke Butterworth, kejap hendak ke Tasik Gelugor, sekejap hendak pendekkan kayuhan dari Kepala Batas ke Pinang Tunggal. Ada sahaja alasan yang difikirkan. 
Sejak beberapa minggu yang lalu aku berminat sangat untuk berkayuh ke George Town tetapi hingga kini masih tidak kesampaian. Banyak perkara yang difikirkan terutama tentang kesesakkan jalan raya di bandaraya tersebut. Belum pernah membawa basikal naik feri Pulau Pinang. Keadaan cuaca yang tidak menentu juga menjadi penyebab kayuhan ditangguhkan.
Satu lagi projek ialah untuk membuat kayuhan ke Taiping Perak. Aku mengangarkan jarak dari Sungai Petani hampir 140 km. Boleh sampai dalam 5 atau 6 jam. Kena bermalam disana sebelum bertolak pulang keesokkan harinya. Kalau jadi projek ini aku kena fikirkan jalan yang akan diikuti, samada melalui Kulim, Serdang, Selama dan Kemunting atau melalui jalan persekutuan N1 melalui Butterworth, Juru dan Nibong Tebal.
Satu lagi projek ialah untuk membuat kayuhan ke negara jiran Thailand. Masih tidak tentu untuk ke pantai barat atau ke pantai timur Thailand.
Minggu yang berlalu banyak aktiviti sosial yang dilakukan. Ada dua mesyuarat yang aku pengerusikan pada minggu lalu. Satu mensyuarat dengan pejabat kesihatan daerah dengan 12 orang kakitangan dari seluruh negeri Kedah. Mereka ingin mendapatkan maklumat tentang penduduk Taman Intan Sungai Petani. Tujuan mereka adalah untuk menubuhkan "Komuniti Sihat" dikalangan penduduk taman. Komuniti tersebut akan diberi taklimat, pengetahuan dan latihan dalam menjaga kesihatan sendiri serta jiran jiran didalam taman. Disamping itu mereka juga akan melakukan kerja kerja gotong royong membersihkan taman.
Satu lagi adalah nesyuarat dengan AJK Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Intan untuk menganjurkan jamuan Tahun Baru Cina yang baru lalu. Jamuan sederhana yang dirancang diadakan pada Sabtu 02 Mac 2013. 
Senaman sebelum Taklimat Bengkel Insulin
Hari sabtu dua hari lepas sahaja ada dua aktiviti serentak. Satu aktiviti panel penasihat Daerah Kuala Muda iaitu bengkel suntikan insulin bagi pesakit dibetis. Peserta terdiri dari orang awam yang menghidap diabetis dan juga ahli panel penasihat klinik kesihatan dalam daerah Kuala Muda.
Pada bengkel tersebut peserta diberi taklimat tentang penyakit diabetik, demostrasi dan latihan penggunaan Glucometer dan suntikan insulin. Satu yang menarik ialah peserta dijemput melakukan senaman ringan sebelum bermula taklimat.
Dalam masa yang sama KRT Taman Intan mengadakan jamuan Tahun Baru Cina seperti yang dirancang. Aku adalah orang yang pertama sampai didewan, lokasi majlis diadakan kerana menurunkan pekakasan dan kelengkapan jamuan. Kemudian aku bergegas ke Klinik Bandar Sungai Petani dimana aktiviti panel penasihat diadakan. Aku terpaksa meninggalkan program tersebut pada jam 10.00 pagi dan bergegas pulang ke majlis jamuan Gong Xi Fa Cai.
Malam tadi 03 Mac 2013, aku dijemput menghadiri jamuan makan malam sempena mesyuarat JKKKP Kolam Air Pinang Tunggal yang diadakan di Hotel Emerald Puteri Taman Sejati Sungai Petani. Bukannya aku terlibat dengan JKKK tetapi aku dijemput untuk mengambil gambar ahli JKKKP kawasan tersebut. Aku juga mengendalikan blog aktiviti mereka. Dapat juga makan free dan cenderahati berupa sehelai tuala mandi yang diberikan oleh setiausaha JKKKP.
Kurangnya aktiviti kayuhan kebelakang ini menyebabkan rasa liat dan letih pada kayuhan pagi ini. Oleh kerana semangat yang kuat dan memikirkan kesihatan diri aku terus layan juga kayuhan. Semasa jamuan malam tadi ada peserta yang memuji keterampilan aku, kelihatan sihat dan cergas. Ini menguatkan semangat untuk aktiviti kayuhan.
Aku ingin berkayuh ke Tasik Gelugur dan pulang ke Pinang Tunggal melalui Kampong Selamat. Apabila sampai di Kampung Kubang Menarong, aku curious persimpangan jejantas keretapi yang baru siap dan terus mengikut jalan tersebut tanpa memikirkan dimana jalan tersebut membawa aku. Jalan tersebut pendek sahaja kerana ia menyambungkan ke jalan Kampung Selamat ke Pinang Tunggal. Ia memendekkan perjalan sejauh hampir 15 km berbanding jika aku mengikuti Pekan Tasik Gelugor.
Dari awal aku merancang untuk singgah dikedai makanan di Pinang Tunggal untuk sarapan. Sarapam kegemaran ialah roti canai bom dan nescafe O. Hampa kerana gerai roti canai tidak berniaga. Aku meneruskan kayuhan untuk ke gerai di Pinang Tunggal sebelah Kedah. Sekali lagi kecewa kerana gerai tersebut juga tutup.
Singgah di loji air Pinang Tunggal untuk bertanya khabar kawan kawan lama disana. Berkesempatan bertemu dengan Ng Seng Keat yang kini menjawat Pengurus Teknikal selepas aku meninggalkan syarikat ini hampir enam tahun lalu. Dia kesini untuk menyelesaikan masalah pam dengan pihak kontraktor. Dahulu dia juga bergiat dalam aktiviti kayuhan semasa aku berkerja ditemapt sama tetapi kini amat kurang melakukan kayuhan. Disamping sibuk dengan tugasan jika juga komited menjaga kedua orang tuanya yang uzur.
Md Zain Abdullah yang pernah menjadi rakan dan pekerja aku membuat projek pertanian. Selama aku membuat kerja bersamanya dia menjadi pengawal keselamatan di loji air Pinang Tunggal. Dia memberi tahu bahawa anak sulungnya akan melansungkan perkahwinan pada akhir bulan ini. Atas rundingan dengan bakal besannya dia akan membuat kenduri bersama di Taiping selepas hari raya nanti. Zain akan berkongsi kos kenduri dengan bakal besannya. Tiada kenduri akan diadakan di rumahnya di Taman Kempas.
Aku tidak bersetuju dengan rancangan tersebut kerana memikirkan jiran serta sahabat handainya. Ia mungkin akan menimbulkan rasa tidak puas hati, syak wasangka dan fitnah. Aku  menasihatkan dan mencadangkan agar dia membuat kenduri kesyukuran dan tahlil sebagai ganti, khas untuk jiran serta kawan kawan. Tidak perlu ramai, mungkin dibawah 200 jemputan. Aku juga mencadangkan supaya dia tidak menempah makanan melalui kotraktor tetapi sebaliknya memasak sendiri secara gotong royong bersama jiran dan rakan. Ia akan mengurangkan kos dan perbelanjaan kenduri. Juga, tidak perlu menempah kad kahwin.
Singgah untuk menghilangkan haus dan lapar di gerai cendul di Taman Kempas sebelum pulang kerumah. Jika tidak ada halangan esok akan membuat kayuhan lagi.

Statistik :
    Mula ............... 8.05 pagi 
    Tamat ............. 10.45 pagi
    Jarak ............... 54 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Kepala Batas - Bertam - Pinang Tunggal
    Odometer 2013 : 00888   (ohhhh....... nice number !)
      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan