Halaman

Rabu, 31 Mac 2010

Kayuhan Lepas Hujan


Dua petang kebelakangan ini hujan turun dengan lebatnya menamatkan kemarau panjang yang bermula pada akhir tahun 2009. Kalau hujan masih tidak turun, kawasan ini akan menghadapi masalah bekalan air seperti yang dialami di negeri selatan tanah air dimana catuan air dilakukan. Di Sabah juga menghadapi kekurangan air. Semasa hujan lebat aku menghabiskan masa di veranda rumah melihat hujan yang lebat dan rasanya begitu lama tidak melihat keadaan demikian. Air melimpah longkang depan rumah dan jalan depan rumah kelihatan seperti sungai.
Beberapa rumah di Daerah Kuala Muda diberitakan mengalami kerosakkan kerana angin kencang yang datang bersama hujan lebat. Keadaan begini sering berlaku di sebelah sini.
Kayuhan pagi ini aku rasakan udara begitu nyaman dan rasa segar kerana dibersihkan oleh hujan yang turun. Gunung Jerai yang selalunya kelihatan samar kerana diselubungi debu dapat dilihit dengan jelas dan terang. Jalan raya kelihatan bersih kerana kebanyakkan batu batu kecil dan sampah sarap ditepi jalan dihanyutkan oleh air hujan.
Aku membuat kayuhan melalui pekan Semeling menuju ke Taman Perkelahan / Taman Rekreasi Tupah. Sengaja melalui jalan ini kerana ianya berbukit, dapat juga menegangkan otot otot kaki. Member dari Pinang Tunggal ada menyatakan hasrat untuk buat kayuhan ke Gunung Jerai pada hari Sabtu 03 April yang akan datang. Sekurang kurangnya dapat juga aku jadikan kayuhan hari ini sebagai persediaan. Jalan masih lembab dan aku kena berhati ketika menuruni kawasan rekreasi ini. 
Kemudian aku berhasrat untuk membuat kayuhan ke Makam Muzaffar Shah yang terletak di belakang MRSM Merbok. Jalan ke makam tidak bertar dan kerana ketiadaan tanda arah aku tersasar hingga sampai ke kuala Sungai Batu Besi. Aku belum pernah sampai ketempat ini. Disini terdapat sebuah restoren yang agak besar dan mengikut penduduk disitu, restoren itu hanya dibuka disebelah petang hingga ke malam. Semasa menikmati  pemandangan disini, aku perasan bahawa restoren ini boleh dilihat dari atas jambatan Semeling. Berdekatan dengan kuala sungai ini terdapat dua kilang ikan bilis yang sedang menjalankan operasi.
Aku menyusuri jalan kampong pelahan sambil memerhatikan suasana dan keadaan orang kampung. Walaupun rumah jauh kependalaman tetapi kelihatan setiap rumah mempunyai kelengkapan asas dan tidak kurang juga yang mempunyai kereta dan motor. Ditebing sungai aku berjumpa sesaorang yang bersiap untuk menangkap ketam dihutan bakau di tebing sungai.  Sempat berbual dengannya. Aku bertanyakan berapa tangkapan harian. Mengikutnya dapat tangkapan sehingga lebih lima kilo ketam, harga borong antara RM8 hingga RM10 sekilo. Menurutnya lagi masalah utama yang dihadapi ialah kera yang mencuri umpan didalam bubunya. Semasa bebual sebiji motor yang dinaiki oleh anak muda lalu dan aku diberitahu penunggang motorsikal itu seorang penagih dadah, baru keluar dari pusat serenti dan sering mendatangkan masalah pada penduduk.
Disatu kawasan aku melihat satu bangunan tidak berdinding dan pagar besi yang di cat kuning. Terus aku buat keputusan itulah Makam Muzaffar Shah yang aku cari. Kerja senggaraan kawasan sudah agak lama tidak dilakukan kerana rumput dan lalang memenuhi kaawasan tersebut. Aku memasuki kawasan berpagar yang tidak berkunci dan melihat ada empat makam dalam komplek tersebut. Satu besar dan tiga lagi kecil. Juga tiada keterangan berkenaan kubur kubur tersebut. Aku mengambil beberapa keping gambar dan kemudian beredar untuk meneruskan perjalan pulang.
Aku singgah di komplek Arkealogi Sungai batu Besi sebelah kiri jalan, bahagian ini belum pernah aku lawati. Pada lokasi yang mula aku lawati, ada enam orang pekerja sedang menjalankan kerja menggali tapak arkealogi dan seorang di tempat ayakan. Dua orang lagi sedang membuat kerja dan memasukkan data ke dalam komputer. Apa yang dapat dilihat adalah longgokkan batu batu yang digunakan oleh manusia zaman dulu. Kemudian aku ke lokasi lain yang terletak lebih kurang 200 meter.
Tempat ini lebih menarik kerana disinilah tempat dimana kilang membuat besi ditemui. Petugas disitu memberikan penerangan mengenai tempat tersebut. Tiada lagi aktiviti penggalian dan pencarian dilakukan disini. Khemah sementara ini akan digantikan dengan bangunan kekal untuk dijadikan muzium. Aku sempat bertanyakan soalan soalan yang selama ini tidak terjawab.
a.   Siapa yang mula jumpa tempat ini
b.   Kenapa semasa pembersihan untuk tanaman  sawit atau getah dahulu tidak jumpa
c.   Siapa punya ladang, status tanah sekarang
d.   Siapa pekerja
e.   Adakah lagi tempat lain seperti ini
f.   MACAM MANA TAPAK INI TERKAMBUS ?
g.   Apa masalah yang dihadapi untuk kerja kerja ekskavasi ini
Sebelum sampai kerumah aku berhenti untuk menjamu selera nasi gulai ikam sembilang di restoren kepunyaan bekas rakan sekerja aku dahulu. Aku kagum dengan usaha gigihnya, walaupun kakinya cacat kerana di potong sedikit akibat kencing manis,  beliau mengusahakan bendang padi seluas 30 relong, lembu feedlots tidak kurang 20 ekor dan mengusahan kedai makan ini.

Statistik :
  Mula : ................... 8.00 pagi
  Tamat : ................. 10.30 pagi
  Jarak : ..................  38 km
  Cuaca : ................ Nyaman, panas

.

Khamis, 25 Mac 2010

Kayuhan Betong Thailand


Puncanya fork Dart 2 basikal Scott aku rosak, minyak meleleh keluar dari oil seal. Rasanya boleh pakai lagi tetapi tidak berapa seronok. Tidak boleh atau susah jika hendak repair. Nampaknya kena beli lain. Harga pun boleh tahan juga, hampir RM600.00. Itu pun susah hendak dicari sebab Dart 3 sudah keluar. Bila sembang dengan geng mereka menyatakan disebelah sana murah sikit. Ingatkan hendak pergi ke Hatyai cari gantian, bukan apa, tiket keretapi dari Sungai Petani ke Hatyai hanya RM28.00 pergi balik. Jadi kalau harga di sana murah, kira bebaloi juga. Dapat juga berjalan dan menikmati makanan murah dan sedap sambil membeli alat ganti basikal. Sambil menyelam sambil minum air.
Aku buat keputusan pergi ke Betong, check harga dahulu. Memang tiada niat nak beli. Kiranya dari Sungai Petani ke Betong hanya lebih 5km sahaja kalau dibandingkan dengan jarak Sungai Petani ke Alor Setar. Aku tidak bawa banyak wang, hanya sekadar cukup untuk makan minum sahaja, itu pun aku tidak tukar duit siam. Member kata kebanyakan kedai (kalau tidak semua) menerima wang Malaysia.
Mula dari rumah lambat sedikit sebab tidak mahu sampai terlalu awal, maklumlah jam mereka lambat 1 jam. Selepas parking 4x4 Rocsta aku di Pengkalan Hulu, turunkan basikal, assemble dan terus kayuh ke border. Aku terlupa di komplek imegresen Thailand, ada perempuan yang isikan borang dengan bayaran RM2.00 untuk passport (RM1.00 untuk border pass). Oleh kerana hari ini hari Khamis tidak ramai orang yang keluar masuk. Tidak sampai tiga minit aku melepasi check-point. Waktu baru jam 0900 pagi waktu Thailand.
Memang jalan ke Betong ini berbukit, tetapi tidak lah teruk atau tinggi sangat. Daerah Betong di kelilingi oleh bukit bukau dan semua jalan masuk atau keluar berbukit. Di pekan pun jalan berbukit. Sebaik sahaja melepasi  check point, jalan agak lebar, mempunyai dua lorong tetapi banyak selekoh tajam, mendaki dan menurun. Nasib baik pekan Betong hanya lebih kurang 6km sahaja dari border. Aku mengambil masa kurang 20 minit untuk sampai ke pekan Betong, itu pun kayuh pelahan kerana menikmati pemandangan disepanjang jalan.
Aku pernah datang ke Pekan Betong ini dua kali sebelum ini, lebih sepuluh tahun yang lalu. Kini keadaan telah banyak berubah. Lebih teratur dan 'bersih'. Banyak kedai kedai baru, dengan pejabat dan bangunan berkaitan kerajaan mendominasi  landscape bandar ini. Terdapat banyak juga kuil yang besar. Ada tiga buah masjid besar disini. Ada dua hotel bertaraf tiga bintang keatas yang agak baru. Aku berkayuh tanpa tujuan, pergi kemana sahaja jalan yang ada kedai dan patah balik jika telah terlalu jauh dari pekan. Aku memasuki lorong kecil dan lorong belakang. Tidak perlu cerita lah apa yang ada dilorong sebegini.
Pada satu tempat aku melihat banyak kenderaan, bila sampai baru perasan tempat itu adalah pasar pagi. Sempat aku meninjau jualan dipasar tersebut. Nyata harga sayuran dan ikan jauh lebih murah berbanding di Sungai Petani.
Aku sempat masuk ke kawasan Hospital Betong. OK juga. Aku ingin mengambil gambar hospital, baru satu snap, pengawal keselamatan datang memberitahu mengambil gambar tidak dibenarkan. Aku padamkan semula gambar yang diambil didepan pengawal tersebut. Kemudian aku mencari jalan ke komplek sukan dan stadium Betong. Terdapat ramai polis disetiap simpang dan di setiap lampu isyarat jalan di pekan ini. Sesiapa yang pasti melakukan kesalahan terutama tidak mematuhi lampu isyarat ditahan. Tidak tahu lah pula mereka disaman atau tidak.
Aku tercari cari 'post-box' besar setinggi 6 meter. Dahulu aku pernah melihatnya dan kerap melihat dalam rancangan kembara di TV. Ia terletak di jalan utama Betong-Ya La. Ia menjadi mercu tanda pekan ini dan terdapat sebuah pintu gerbang bersebelahannya juga amat menarik. Aku menyusuri jalan ke Ya La ini tetapi berpatah balik selepas 5 km. Semasa berpatah balik aku terpaksa singgah untuk panggilan semula jadi (nak kencing) di satu taman permainan kerana terdapat tandas awam disana. Sama juga seperti ditempat kita, tidak terjaga, pintu terkopak, lubang tandas dipenuhi dengan plastik, botol, tiada air, dan macam macam lagi. Terpaksa guna juga lah dengan menutup hidung.
Kedai yang menjual basikal mountain terletak di sebelah kiri jalan Betong-Ya La, sebelum pejabat pos dan balai bomba. Basikal yang dijual disini berjenama macam tempat kita juga. Harga murah sedikit. Tetapi keseluruhan ada barang yang murah dan ada barang yang mahal jika dibandingkan dengan di Sungai Petani. Pemilik kedai ini budak Melayu Siam, bekerja sebagai ahli bomba, fasih berfahasa Melayu, juga seorang yang serius berbasikal. Sering membuat kayuhan disebelah kita kerana jalan kita lebih 'cycle-friendly' berbanding jalan di Betong. Sering menjadi host untuk cyclist dari Baling dan Sungai Petani. Dia kenal semua geng geng basikal dari Malaysia. Dia akan menganjurkan kayuhan Betong ke Yala sejauh 140km tidak lama lagi. Kebanyakkan peserta dari belah kita.
Barang yang aku cari ada dikedai basikal tersebut tetapi aku tidak membelinya. Mungkin aku akan datang semula dalam masa terdekat selepas membuat perbandingan harga disini.
Aku berpatah balik ke border selepas menikmati nasi goreng special dan sup ekor yang berharga  jauh lebih murah dibandingkan dengan harga di Sungai Petani. Walaupun aku ingin menghabiskan  masa lebih lama disini tetapi keadaan cuaca tidak mengizinkan. Aku sampai dirumah pada jam 3.00 petang kepanasan dan kepenatan.
Kepada rakan yang takut atau berasa was-was tentang keselamatan disini, tidak perlu risau.  Datang sendiri dan alami keadaannya.
Hasrat aku seterusnya ialah untuk membuat kayuhan solo ke Hatyai.

      

Sabtu, 20 Mac 2010

Kayuhan Gunung Jerai - Bersama Geng Lama


Sementara menunggu member sampai dari Jitra, aku berbual dengan beberapa kakitangan Pejabat  Kesihatan Alor Setar yang ada membuat aktiviti riyadah dan hari keluarga di Taman Rekreasi Sungai Teroi bersebelahan dengan Muzium Perhutanan. Baru aku tahu yang kebenaran perlu diperolehi dari Jabatan Perhutan untuk mengadakan aktiviti di kawasan perkelahan tersebut. Banyak syarat syarat yang perlu patuhi seperti syarat untuk memasak, menggunakan peralatan, mendirikan khemah dan sebagainya.
Hari Sabtu memang ramai pengunjung dan jabatan kerajaan yang melakukan aktiviti riyadah disini. Kadangkala lebih dari  lima kumpulan yang membuat aktiviti disana. Terpaksa berkongsi kawasan, siapa sampai dahulu, mereka akan dapat tempat yang elok. Aku difahamkan kebanyakkan kakitangan akan membuat pendakian berjalan kaki bersama keluarga untuk sampai ketempat perkelahan.
Mereka yang berbual dengan aku berasa kagum kerana ramai yang membuat kayuhan berbasikal ke puncak gunung. Belbagai soalan yang diajukan untuk mengetahu lebih lanjut sukan ini. Sempat juga aku terangkan serba sedikit sejarah berbasikal aku, bila mula, kenapa, bagaimana mula berkayuh, harga basikal, kelengkapan, kenapa perlu memakai glove, helmet, apa yang perlu dibawa dan lain lain. Dalam masa sama sempat juga aku 'racun' mereka untuk melakukan apa saja jenis sukan untuk kesihatan terutama berbasikal. Aku tengok badan masing masing 'tidak begitu sihat'.
Tengah syok berbual member aku sampai, lambat sedikit dari masa yang dijanjikan. Aku faham. Member dari Pinang Tunggal lansung tidak nampak batang hidung. Tidak jadi datang. Aidil agak terkejut nampak aku kerana berat badan aku telah turun begitu ketara. Mungkin kerana sudah lebih dua tahun tidak berjumpa.
Beberapa riders lain berkumpul di kedai makan, agaknya menunggu yang lain. Nampak gaya mereka ni sudah selalu membuat kayuhan pendakian Gunung Jerai ini. Mereka memulakan kayuhan 10 minit awal.
Aku kira secara tidak rasmi menjadi 'si-fu' atau 'marshall' kepada member dari Jitra kerana mereka belum pernah berkayuh disini. Pulak tu dua dari tiga orang member telah lama tidak membuat kayuhan kerana kesibukkan kerja. Tidak pasti samada mereka boleh menghabiskan kayuhan atau tidak. Bagi aku yang penting ialah semangat dan azam. Jangan cepat mengaku kalah dan jangan pula terlalu confident. Kayuh ikut keupayaan diri sendiri, jangan ikut orang lain. Biar lambat asalkan sampai. Berehat jika letih. Aku diberitahu mereka tidak sempat untuk sarapan pagi. Ini agak mendukacitakan kerana persiapan seperti makanan dan minuman penting untuk kayuhan sebegini.
Pada mula aku ikut bersama mereka, tetapi kemudian aku teruskan kayuhan mendahalui mereka. Aku berhenti di Muzium Perhutanan dan menunggu mereka sampai. Sebelum berhenti aku memotong dua tiga pengayuh kumpulan yang aku jumpa dibawah tadi. Mereka juga berehat di kawasan muzium sebelum meneruskan pendakian.

Apabila sampai di atas kami melawati sekitar resort, semua setuju yang resort ini mengalami banyak perubahan.  Terdapat ramai pengunjung hari ini kerana hujung ,minggu dan musim cuti sekolah. Pada mulanya kami berminat untuk menjamu selera di hotel tersebut tetapi terpaksa dibatalkan. Kami keluar dari resort menuju ke satu-satunya gerai makanan di puncak gunung. Tiada banyak pilihan minuman dijual dan tiada lansung makanan melainkan mee maggi dan sedikit snek. Tetapi satu yang pasti ialah suasana dan udara yang nyaman. Kumpulan basikal yang mendahului kami tadi juga berada disana. Sempat berkenalan dan berbual.
Tahu apa topik perbualan..... tentunya pasal basikal. Salah seorang ingin menjual basikal Giant nya kerana hendak membeli basikal yang lebih canggih. Katanya basikal tyersebut dibeli dengan harga RM 2 ribu tetapi telah membuat upgrading lebih dari RM1,000.  Ini yang aku paling tidak suka. Senang berkawan dengan rider lain tetapi topik semua pasal basikal. Harga, part yang canggih, barang yang ditukar .... oh fed up lah.

Kami singgah di Taman Rimba/Taman Rekreasi Sungai Teroi semasa perjalanan pulang, kerana seorang member aku adalah kakitangan Jabatan Kesihatan dan terlibat dengan aktiviti yang dianjurkan. Beliau menjemput untuk makan tengahari bersama mereka. Pada mula kami setuju tetapi menjadi malu pula kerana terlalu ramai orang. Kami turun ke kaki gunung menaiki 'SUT Nissan Frontier' member. Sebelum pulang kerumah kami makan tengahari di restoren nasi kandar di Komplek Jerai, Gurun.
Personally, ini adalah kayuhan ketiga buat aku. Aku lebih berkeyakinan dan lebih bertenaga berbanding dengan kayuhan sebelumnya. Member kagum keatas keupayaan aku. TQ.

Statistik :
Member : ............... Ramlan, Rozy dan Aidil
Mula : ..................... 8.30 pagi
Sampai : ................. 10.15 pagi
Berhenti : ............... 15 minit
Cuaca : ................... cerah
Jarak : .................... samalah macam dulu

 .

Jumaat, 19 Mac 2010

Kayuhan Santai - Sekitar Bandar Sungai Petani


Hari dah tinggi, kata orang tua tua dahulu. Jadi terpaksa kansel rancangan untuk buat kayuhan jauh. Aku ingat hendak pusing pusing di sekitar bandar Sungai Petani sahaja. Aku gunakan basikal lama aku 'Montanna Dakar" yang dibeli pada tahun 2001 tetapi masih dalam keadaan baik. Rasanya harga lebih kurang RM600.00 pada masa tu dah cukup mahal. Lagi dah banyak parts sudah ditukar.
Aku tidak pakai full suit pun, berseluar jeans biasa, pakai cap dan tanpa sarong tangan. Bawak kamera digital compact kegemaran. Aku bercadang untuk berkayuh di lorong lorong belakang, ditempat atau taman perumahan yang aku tahu wujud tetapi belum pernah sampai, ingin mengambil gambar gambar tempat yang tiada dalam koleksi aku atau menggantikan gambar yang dah outdated.
Persinggahan pertama aku ialah Klinik Kesihatan Bakar Arang di Lebuh Intan. Klinik ini baru saja beroperasi kira kiran enam bulan yang lalu, setelah berpindah dari bangunan kedai di Jalan Bakar Arang. Klinik ini agak besar dengan kemudahan yang terkini dan lengkap dengan kuarters staf. Semuanya masih baru dan bersih. Hari ini klinnik ditutup kerana cuti hujung minggu. Oh.. Aku telah dilantik menjadi salah seorang Ahli Panel awam klinik ini untuk sessi 2010 dan 2011. Aku sebenarnya masih samar samar tentang tugas dan tanggungjawab ahli panel. Mesyuarat pertama akan berlansung pada hari Isnin 22 Mac 2010. Ini adalah salah satu kerja sukarela sumbangan aku kepada masyarakat. Selain itu aku juga adalah Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Intan.
Aku teruskan kayuhan ke pekan dan membelok ke jalan Kuala Ketil. Pada lintasan keretapi terpaksa berhenti kerana memberi laluan kepada keretapi barang dari Alor Setar. Pembinaan landasan berkembar sedang rancak, aku difahamkan iannya akan siap pada tahun 2013.
Dihadapan lintasan keretapi pembinaan stesyen bas express juga sedang rancak. Buat masa ini bus express menggunakan tempat sementara di belakang bangunan kedai MPSP di tepi sungai.
Pekan Rabu Sungai Petani nampaknya sunyi sahaja seperti dahulu walaupun telah siap beberapa tahun yang lalu. Masalah tiada pelanggan atau orang datang untuk berurusan disana. Berbeza dengan Pekan Rabu Alor Setar. Ia dibina dengan konsep yang sama iaitu untuk memberi peluang kepada peniaga peniaga bumiputra. Tetapi tidak mendapat sambutan dan gagal mencapai matlamatnya. Dua malam yang lalu nama Pekan Rabu Sungaio Petani menjadi tajuk berita bulitin utama TV3 kerana kegiatan pelacuran didalam semak dibelakang bangunannya.
Pekan Lama Sungai Petani dari dahulu sememangnya sibuk diwaktu pagi. Kebanyakkan masyarakat Cina membeli keperluan harian disini. Pasar pagi yang ada disini adalah sambungan dari pasar besar Sungai Petani. Disini juga terdapat beberapa kuil masyarakat India, To' Kong orang Cina, Kuil masyarakat Singh, gereja dan Masjid Kampung Raja. Semuanya berhampiran antara satu dengan lain.
Dari Pekan Lama aku membelok ke kiri ke arah Taman Selasih dan seterusnya ke Perumahan Rakyat Paya Nahu. Tempat ini dipenui dengan rumah pangsa atau flat menempatkan keluarga kelas bawahan (sori....) dan tempat setinggan di sepanjang sungai yang mengalami kebakaran pada lewat 90'an dahulu. Flat Paya Nahu sememangnya mempunyai kadar jenayah tertinggi di daerah Kuala Muda. Pelbagai usaha dilakukan untuk mengurangkan kadar jenayah sehinggalah hari ini.
Semasa aku melalui kawasan perumahan ini keadaan tidaklah seteruknya yang aku bayangkan. Anak anak bermain dikawasan permainan dan banyak gerai dibina di sepanjang jalan. Kebersihan juga dijaga. Banyak juga kerata yang diletakkan ditepi jalan menunjukkan penghuni flat tersebut juga mempunyai pekerjaan yang baik. Ok ini adalah kali pertama aku sampai disini.
Destinasi seterusnya ialah Taman Ria Jaya dan Kawasan Perindustrian Sungai Petani. Tak banyak yang dapat dicatatkan disini kerana kawasan ini adalah salah satu kawasan perumahan golongan pertengahan. Ini dapat dibuktikan dengan pengubahsuaian rumah kediaman mereka. Di jalan utama terdapat banyak gerai makanan. Bersebelahan tapak lapang (tempat yang selalu di adakan circus) terdapat pasar pagi menjual pakaian dan peralatan lain. Terdapat ramai orang berada diluar masjid Sultan Abdul Halim, Taman Ria Jaya, tidak pasti pula apakah majlis yang sedang berlaku.
Aku membelok ke jalan Cinta Sayang ke arah Taman Ria. Berhenti menghilangkan dahaga tekak disalah satu gerai di tepi jalan dan mekan dua bungkus pulut inti. Kemudian aku berlegar di kawasan pasar dan pekan Taman Ria. Cuma melihat jenis jualan dikedai kedai tersebut.

Aku melintas keseberang jalan ke Lagenda Height. Ini adalah kawasan komersial baru. Kedai  kedai disini agak berbeza sedikit kerana lebih canggih dan boleh dikira up-town. Terdapat banyak kedai makan yang klas termasuk tiga restoren nasi kandar, restoren menjual makanan western, restoren cina dan dua restoren HPA iaitu Chicken Radix dan Pizza. Pasaraya Tesco yang pertama di Sungai Petani bersebelahan dengan pusat membeli belah Village Mall. Pelabagi jenis perniagaan terdapat dikawasan ini.
Aku berpatah balik ke Bandar Sungai Petani melalui IKM, Hospital, Penjara,  Stesyen Keretapi, pekan (ingin minum cendol,  tapi belum berniaga), pekena air tebu di depan komplek caymen, tayar basikal pancit, isi angin dan kayuh laju pulang kerumah.


Statistik :
Mula : .................8.30pagi
Tamat : ...............11.00 pagi
Cuaca : ...............Panas
Jarak : ................19 km
Trek/Route : .......Bandar Sungai Petani

Sabtu, 13 Mac 2010

Baling - Pengkalan Hulu


Setelah dua kali berjaya membuat kayuhan pendakian Gunung Jerai, aku berazam untuk menawan Gungung Inas pula. Gunung Inas terletak di perjalanan antara Baling dan Pengkalan Hulu, Perak. Aku kerap membaca dalam blog kelab basikal tentang susahnya kayuhan ini, sampai ada yang mengelarkan gunung neraka (???...) tetapi ada pula yang menulis mengatakan laluan ini menjadi laluan biasa mereka.
Pada mulanya aku ingin membuat kayuhan solo je sebab rakan rakan lain kebanyakkan akan pergi ke Kayuhan Jamboree Perlis yang berlansung esok, Ahad 14 Mac 2010. Aku tidak kisah sangat kayuh seorang pun kerana aku sudah biasa dengan kayuhan solo.
Secara kebetulan aku teringat kepada kawan lama aku Johari yang sudah lebih enam bulan tidak berjumpa dan berjayuh sama. Kali terakhir berkayuh dengan Johari ialah kayuhan ke Sik melalui Kuala Ketil, Parit Panjang, Batu Lima Sik, Sik, Jeniang, Gurun, Sg petani sejauh 130km pada tahun 2009. Aku telefon dia dan ajak untuk buat kayuhan Baling-pengkalan Hulu. Dia setuju. Setengah kemudain dia call pula mengatakan ada seorang member hendak ikut serta. Aku amat mengalu alukan kehadiran rakan lain.
Kami sampai di Pekan Baling pada jam 8.20 pagi dan parking kereta di perkarangan Masjid Pekan Baling. Memulakan kayuhan sebaik sahaja siap memasang basikal melalui tengah Pekan Baling, masa itu kebanyakkan kedai masih belum dibuka.
Dua kilometer pertama jalan agak landai (rata) dengan sedikit pendakian. Selepas simpang tiga ke Rembong pendakian bermula hinggalah ke kawasan Rehat dan Rawat, R&R  Gunung Inas. Pendakian ini sejauh 6 km dengan gradient yang akan tinggi. Tetapi tidak boleh dibandingkan dengan kayuhan pendakian Gunung Jerai yang lebih mencabar. Speed aku masa tu kurang dari 7km/j, tetapi kira OK lah untuk kali pertama. Aku mendapat tahu ketinggian pendakian hanyalah lebih kurang 380 meter.
Semasa pendakian ada seorang rider menuruni bukit, sempat mengangkat tangan. Aku berhenti di R&R dan sedih  melihat keadaan tempat tersebut. Dipenuhi semak samun, tempat permainan kanak kanak penuh dengan semak, tidak diurus dan dibersihkan. Gerai gerai makanan semuanya tutup. Tidak seperti beberapa tahun lalu. Hanya satu yang menceriakan iaitu cuaca dan angin bertiup yang sejuk.
Diperhentian tersebut dua rakan aku sedang menunggu dan ada lagi dua orang riders. Mereka adalah dari balai polis Pengkalan Hulu. Seorang pegawai dan seorang lagi berpangkat sarjan. Mereka mengajak kami turun ke pekan Pengkalan Hulu untuk minum. Mereka juga mempelawa kami berkayuh ke Betong, Thailand yang jaraknya hanya tujuh km dari Pekan Pengkalan Hulu. Tidak perlu passport atau border pass kerana pihak Thailand memang mengalu-alukan pengayuh basikal. Syarat utama adalah berpakaian basikal penuh dan basikal yang sesuai seperti moutntain bike atau road bikes. Oleh kerana kesuntukkan masa kami menolak tawaran tersebut dan  berjanji akan datang lagi dalam masa terdekat. Kayuhan pulang ke Baling hanya mengambil masa 15 minit untuk jarak 12 km kerana menuruni bukit. Sampai kerumah pada jam 12.15.
Keseluruhannya aku amat berpuas hati dengan kayuhan ini kerana mencapai matlamat untuk membuat pendakian Gunung Inas. Seronok kerana membuat kayuhan bersama rakan rakan yang faham,  mempunyai semangat kesukanan dan amat menghormati erti persahabatan. Gembira kerana dapat berkenalan mesra dengan geng basikal dari Pengkalan Hulu. Kepada rakan baru, kami akan berikan sambutan yang sama jika berkunjung  dan berkayuh di Sungai Petani.



Statistik Kayuhan :
Mula : ........................8.30 pagi Baling
Tamat : ......................9.30 pagi Pengkalan Hulu
Jarak : .......................12 km oneway
Cuaca : ......................Nyaman
Trek : ........................ Baling - Pengkalan Hulu - Baling

.

Rabu, 10 Mac 2010

Tanjung Dawai

Tempat ini mempunyai potensi sebagai salah satu tempat pelancongan jika ianya dipakejkan dengan aktiviti lain termasuk melawat kampung nelayan, kilang memproses ikan bilis, proses belacan, keropok, ikan masin, tempat menjual hasil laut dan yang telah bertapak adalah restoren masakan laut dan ikan bakar.
Sepatutnya aku membuat kayuhan ke Gunung Jerai bersama seorang rakan cina bernama John. Tetapi terpaksa dibatalkan saat akhir. Jadi aku mengambil keputusan untuk membuat kayuhan ke Tanjung Dawai seorang diri.  Sudah lebih lima bulan  aku tidak berkayuh kesini.   Aku memilih jalan lama kerana jalan yang berbukit melalui Pekan Semeling ke Merbok.
Apabila sampai ke kawasan Sungai Badong 2km sebelum Singkir, jalan sedang dibaiki. Permukaan jalan dicakar agak dalam dan  menyukarkan kayuhan, bagaikan laluan jalan dipenuhi batu kelikir. Nasib baik keadaan itu hanya sepanjang 1km sahaja.
Satu km sebelum sampai ke Tanjung Dawai aku membelok ke kiri ke Kampung Nelayan dan Kampung Keda Tanjung Dawai, untuk meninjau keadaan kampung dan kehidupan masyarakat disini. Dipenghujung jalan terdapat kilang/pusat Lembaga Kemajuan Ikan LKIM, beberapa kilang ikan bilis. Aku sempat berbual dengan nelayan yang sedang membaiki/ menampal bot dan melihat pekan Tanjung Dawai dari sebelah timur.
Pekan Tanjung Dawai adalah salah sebuah dari banyak 'one street town' di Kedah. Walau begitu ia mempunyai kemudahan asas yang lengkap. Kedai kedai menjual barangan keperluan harian penduduk khasnya nelayan. Terdapat satu arked penjaja melayu yang menjual produk hasil laut seperti ikan bilis, ikan masin, sotong kering, belacan, keropok dan lain lain.
Terdapat sebuah jeti untuk penumpang menaiki bot menyeberangi kuala Sungai Merbok ke Pantai Merdeka. Jeti ini selesa dan bersih, semasa aku disana hanya terdapat sebuah bot di jeti dan tiada penumpang menunggu. Beberapa orang sedang duduk berbual sambil menikmati bayu laut. Mungkin jeti ini akan sibuk bila tiba hujung minggu atau pada cuti umum.
Disepanjang jalan keluar teredapat deretan kedai makan makanan laut yang mempunyai lanskap yang menarik. Selepas itu terdapat tiga kedai besar yang menjual hasil laut terutama keropok dan ikan masin.
Aku balik melalui jalan bendang Sungai Pial ke Pengkalan Bujang. Aku tahu aku tersilap membuat keputusan kerana dengan bendang yang luas dikiri dan kanan jalan, aku tidak dapat mengayuh kerana tiupan anging yang begitu deras. Apa nak dibuat terpaksa kayuh juga lah.
Aku singgah di kawasan Arkealogi Sungai Batu, Semeling. Kawasan Arkeologi ini baru ditemui dan masih dalam proses excavation oleh pelajar pelajar dari universiti tempatan. Ianya sebahagian dari arkealogi Lembah Bujang. Dari gambar yang dipamerkan, excavasi ini mendapat kunjungan oleh pelbagai pihak dari merata dunia.
Dalam berita jam 1.30 tengah hari tadi, terdapat liputan lawatan oleh YB Datuk Rais Yatim,  Menteri  Penerangan, Kumunikasi dan Kebudayaan.   Berita itu turut menyebut excavasi akan mengambil masa selama 10 tahun untuk disiapkan. Kawasan ini akan dijadikan salah satu mercu pelancungan negara.

Statistik :
  Mula : ..............7.30 pagi
  Tamat : ............10.50 pagi
  Jarak : ..............58 km
  Cuaca : ............panas
  Angin : .............Kencang
  Laluan : ...........Sungai Petani - Semeling - Merbok - Singkir - Tanjung Dawai

.

Sabtu, 6 Mac 2010

Gunung Jerai - Here I go again .....


Rancangan untuk membuat kayuhan Gunung Jerai pada pagi ini 06 Mac 2010 bersama enam orang rakan lain tidak kesampaian kerana masalah peribadi. Oleh kerana aku sudah bertekad aku teruskan juga niat walaupun seorang diri. Aku bertolak awal dari rumah menaiki kereta dan sampai dikaki bukit pada jam 0800 pagi. Sebaik saja aku parking kereta kelihatan tidak kurang enam atau tujuh rider lain mundar mandir, mungkin menunggu rakan rakan lain sebelum memulakan kayuhan.
Selesai memasang dan membuat pemeriksaan pada basikal , aku terus membuat kayuhan. Ini adalah pendakian aku kali kedua, yang pertama lima hari lepas. Semasa pendakian km pertama kelihatan ramai orang berjogging samada turun atau naik. Dihadapan aku ada seorang pengayuh dan aku maintain jarak aku, tidak mahu memotong dia. Kelihatan dia tidak berapa upaya dan ia meneruskan kayuhan mungkin kerana aku ada dibelakang. Selepas 4 km pendakian, dia give-up dan terus berhenti. Aku meneruskan kayuhan setelah memberi salam kepadanya.
Dua pengayuh berumur lingkungan tiga puluhan memotong aku. Kelihatan mereka sudah biasa dan sangat bertenaga membuat pendakian. Basikal yang mereka gunakan pun nampak 'high end'. Tak mengapa lah aku ikut phase aku bertekad untuk sampai kepuncak. Aku berhenti rehat selama 5 minit sebelum meneruskan perjalanan.
Angin sejuk mulai bertiup setelah melepasi 5 km. Aku tidak tahu berapa ketinggian ketika itu. Aku harap aku ada meter yang boleh mengukur ketinggian. Tiupkan angin yang sejuk amat  menyeronokkan.
Semasa melepasi km 6, dua pengayuh yang memotong aku tadi menuruni bukit dengan laju. Cepatnya mereka sampai keatas.
Aku sampai dipuncak hampir jam 1000 pagi. Kali ini aku tidak masuk kawasan resort tetapi cuma berehat diluar pintu masuk utama. Setelah berehat selama 5 minit aku memulakan kayuhan menuruni gunung.
Beberapa kumpulan kecil terdiri dari murid sekolah dan orang dewasa sedang mendaki gunung, mungkin mereka dalam perjalanan kekawasan perkelahan dan air terjun. Disuatu kawasan rehat pada Km6, kelihatan sekumpulan pengayuh basikal sedang berehat. Oh.. rupanya kumpulan yang aku nampak sebelum memulakan kayuhan tadi sedang berehat. Patutlah aku tidak berjumpa mereka di puncak gunung tadi.
Kemajuan dari kayuhan lepas :
a.  Aku berasa lebih confident/berkeyakinan dengan kayuhan kali ini kerana sudah tahu selok belok jalan.
b. Kali ini aku lebih banyak menggunakan gear, menukar kepada gear lebih tinggi dimana boleh. Ini meningkatkan kelajuan sedikit.
c. Tempat berhenti pertama lebih jauh dari dulu, maknanya aku mampu membuat kayuhan lebih jauh sebelum berhenti.
d.  Kekerapan berhenti berkurangan. Pada kayuhan pertama dahulu aku berhenti empat kali sebelum sampai ke puncak. Kali ini aku berhenti cuma dua kali.
e.   Kantung air lebih pada setengah semasa sampai kepuncak.
f.   Lebih dapat mengawal (control) dengan lebih baik semasa menuruni gunung.
g.  Masih bertenaga bila sampai kebawah.

Aku akan jadikan kayuhan gunung ini sebagai kayuhan berkala.

.

Jumaat, 5 Mac 2010

LTdL ke 15 - Tahniah Anuar Manan

Sebagai seorang yang giat berbasikal, aku sentiasa mengikuti perkembangan sukan basikal terutama sukan basikal tempatan Le Tour de Langkawi yang kini masuk ke tahun 15. Sebentar tadi aku melayari internet untuk membaca berita semasa dan terkejut melihat tajuk berita kemenangan Anuar Manan pada peringkat ke lima dari Muar ke Port Dickson sejauh 111.5km dalam masa 2 jam 23 minit 11 saat. Beliau juga berjaya merampas semula jersi hijau hari ini dan pemegang jersi biru.
Akhirnya Anuar Manan 24 tahun, yang berasal dari Terengganu berjaya dalam usaha beliau untuk memenangi perlumbaan LTdL. Diucapkan tahniah kepada beliau dan rakan rakan. Kejayaan ini begitu besar kepada sukan basikal negara kita. Semoga beliau terus berjaya pada perlumbaan seterusnya iaitu dari Putra Jaya ke Genting Highland dan perlumbaan akhir Kuala Lumpur.
Dijangkakan esok akan tersiar dimuka depan atau muka belakang akhbar harian mengenai kejayaan ini. Agak kesal juga kerana selama lima hari LTdL bermula betapa kurangnya berita yang disiarkan didalam akhbar dan media elektronik. Kalau ada pun sedikit sahaja berita, itu pun tersorok di muka dalam dan mempunyai satu atau dua column beserta gambar kecil. Kalau di TV pula, lapuran yang mengambil masa tidak sampai 10 saat. Aku rasa semua akan berubah pada malam ini dan esok pagi.
Sejak dua tahun yang lepas, penganjur tidak memasukkan Kedah (Langkawi khasnya) dalam laluan LTdl. Kenapa ye?.
Tahniah sekali lagi dari peminat sukan basikal di Malaysia. Diharapkan lebih ramai lagi anak muda  kita menceburi bidang sukan ini dan mengharumkan nama Malaysia.

.

Rabu, 3 Mac 2010

Apa Ada Pada Nama

Sudah agak lama aku memikirkan untuk menukar nama URL blog ini dan akhirnya aku membuat keputusan pada malam ini. Blog asal adalah blog pertama aku, pada masa itu aku tidak berfikir panjang tentang penting nya nama, atau bagaimana nama akan membuatkan blog tersebut senang dilayari.
Biasa lah, buat dahulu baru nak belajar.
Rasanya nama baru iaitu 'Kayuh sorang je' lebih glamour. Aku terfikir mahu menggunakan nama tersebut pada kayuhan terakhir aku ke Gunung Jerai. Beberapa orang termasuk pengawal resort, pekerja dan kakak yang berniaga diluar resort menegur aku dan bertanya "kayuh seorang sahaja ke, mana yang lain?". 
Kayuh seorang pun bolehkan, mungkin kurang seronok tetapi tidak sedikit pun menjejaskan kayuhan. Kayuah secara solo banyak kelebihan, boleh mula pada bila masa, boleh kemana sahaja, boleh ambil masa tersendiri, bila hendak berhenti, apa hendak buat dan banyak lagi lah. Kesimpulannya tidak terikat pada mana-mana atau sesiapa.
Jadi tajuk blog 'kayuh sorang je' ini sesuai untuk blog ini. Bukanlah aku anti social, aku akan terus berbasikal  dengan mana mana individu atau kumpulan pada bila bila atau bila mendapat pelawaan atau dijemput, tetapi aku lebih kepada kayuhan solo.
Antara sebab lain aku memilih tajuk ini ialah :
-   sebutan yang selamba
-   boleh ditafsirkan sebagai soalan, kenyataan atau pemula
-   lebih menggambarkan kandungan blog
-   tidak terlalu khusus
-   senang untuk diingat
Kepada semua rakan, sahabat dan semua yang melayari dan mengikuti blog yang lepas iaitu 'http://zinbicycles.blogspot.com' diucapkan ribuan terima kasih dan diharapkan terus mengikuti URL baru ini.

.

Isnin, 1 Mac 2010

Gunung Jerai


  ' Oopps.... ... I'll do it again....' phrase ini aku cedok dari lagu Britney Spear, penyanyi America yang penuh kontraversi dan aku ubah sikit. Tapi lebih kurang itulah yang aku fikirkan sebaik saja selamat sampai semula ke kaki Gunung Jerai dimana aku parking 4x4 aku.
Walaupun aku mengambil masa dua jam untuk sampai ke puncak Gunung Jerai aku berbangga dengan kejayaan cubaan pertama. Dengan umur yang sudah mencecah 55 tahun,  aku berasa  megah dapat menghabiskan kayuhan hingga ke puncak dan kembali ke kaki gunung.
Aku sengaja memilih hari Isnin untuk membuat kayuhan kerana aku 100% pasti tiada pengayuh basikal lain,  manalah tahu mereka akan tertawakan aku kalau aku tidak berupaya menghabiskan pendakian. Tambahan pula  kenderaan kurang melalui jalan tersebut pada hari bekerja.
Semasa kayuhan ke puncak, suasana, cuaca dan keadaan sekitar mengingatkan pendakian/kayuhan Bukit Fraser pada April 2008 bersama team Kepala Batas Cycling Club KBCC, Pulau Pinang. Kayuhan Gunung Jerai  ini jauh lebih mencabar walaupun jaraknya hanya 12 km berbanding dengan 30 km di Bukit Fraser.
Bagi aku sebagai penduduk Sungai Petani, Gunung Jerai samalah seperti Petronas Twin Tower KLCC di Kuala Lumpur. Dimana sahaja kita berada di Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan kita akan nampak dua menara buatan manusia tersebut. Gunung Jerai begitu juga, jelas kelihatan dari selatan sejauh Seberang Jaya, dari Kuala Ketil sebelah timur (mungkin terlindung oleh bukit bukau lain), dari Jitra sebelah utara dan sudah tentunya jelas kelihatan dari Selat Melaka dan Teluk Benggala disebelah Barat. Oleh sebab itu ianya digunakan sebagai panduan oleh pelayar dahulu dan menyebabkan kewujudan temadun di Lembah Bujang yang lebih lama dari Sejarah Melaka.
Kayuhan ke puncak mencapai ketinggian 1,200 meter (3,990 kaki) dimana terdapat sebuah resort pelancongan. Puncak sebenar Gunung Jerai ialah pada paras 1,380 meter (4,140 kaki) dan  disinilah terletaknya pemancar-pemancar peralatan komunikasi penting. Kawasan Gunung Jerai diwartakan sebagai 'recreational park' merangkumi kawasan resort, Taman Rimba Sungai Teroi, Tangga Kenari dan Kawasan Mezium Arkeologi Lembah Bujang.
Dua kilometer sebelum sampai ke hill resort terdapat Muzium Perhutanan. Muzium ini ditutup sementara untuk kerja menaiktaraf. Aku juga pernah terbaca tentang ladang Strawberry di puncak gunung tetapi tidak berkesempatan kesana dan tidak tahu sama ada ia masih beroperasi.
Kali terakhir aku datang ke resort ini adalah pada akhir tahun 2004, pada hari tsunami melanda Acheh  di Sumatera Utara dan Pantai Kuala Muda. Dalam tempoh lima tahun resort tersebut telah mengalami banyak perubahan,  banyak bangunan di ubahsuai dan ditambah. Pengendali resort pon telah bertukar  dan taraf resort pun  meningkat. Walaupun begitu, aku perhatikan tiada pengunjung pada hari ini dan aktiviti yang ada ialah pekerja Indonesia yang membuat kerja kerja penambahbaikan pada bangunan dan taman. Resort  ini hanya dipenuhi pelawat pada hari-hari cuti umum dan cuti sekolah.
Akses talian handphone masih pada tahap lama, aku cuba membuat beberapa panggilan kepada rakan rakan yang lain untuk berkongsi pengalaman kayuhan tetapi talian amatlah menghampakan.
Semasa menuruni gunung, aku amat memberi tumpuan lebih kepada kelajuan. Basikal aku tidak dipasang dengan disc brake. Aku hanya berani mencecah kelajuan tidak melebihi 25km/j. Alhamdullillah aku selamat sampai kebawah tanpa sebarang kejadian yang tidak di ingini.
Aku pasti akan kembali membuat pendakian dalam masa terdekat. Mungkin bersama rakan rakan yang lain.


Statistik
    Pendakian
    Mula :          08.30 pagi
    Tiba :           10.35 pagi
    Berhenti :     3 x  (lebihkurang 15 minit)
    Cuaca :        Redup. Sejuk.
    Jarak :         12 km

p.s.  Hari ini bermula LTdL siri 2010 (yang ke 15) di Kota Baru Kelantan
.