Halaman

Sabtu, 27 Februari 2010

Bukit Selambau


Setahu aku Bukit Selambau tu nama pekan bukan nama bukit. Ya lah, semua kaki  mountain bikes bila sebut bukit je atau jumpa bukit memang syok habih.  Bukit Selambau ni hanya pekan kecil je, tak lebih dari 30 kedai, tak de apa yang special  kat sini. Lebih kurang satu tahun lepas iaitu pada bulan April pekan kecil ini menjadi buah mulut orang dan menjadi berita hangat kerana pilihan raya kecil berikutan dengan perletakan jawatan oleh Adun bebas. Aku tak berkesempatan bertanya yang mana satu bukit yang menjadi nama pekan kecil ini.
Jalan ke Bukit Selambau melalui Sungai Lalang memang menyeronokkan kerana jalannya yang berbukit. Selepas membuat pendakian nampak pula satu lagi bukit dihadapan. Dikiri kanan jalan dipenuhi dengan ladang getah atau ladang kelapa sawit. Kelihatan pekerja ladang sedang menoreh getah atau membersihkan ladang sawit.
Yang kurang selesa adalah jalan yang agak sempit dan terlalu banyak kenderaan berat melalui jalan ini. Lori besar membawa muatan kayu menuju ke pekan Semeling kerana kebanyakkan kilang papan sekitar Sungai Petani telah berpindah ke kawasan ini. Banyak juga lori pasir dan lori tanah melalui jalan ini.
Aku masih ingat kemalangan yang aku alami pada bulan Ogos 2008 semasa menuruni salah satu bukit. Sebuah kereta memotong basikal aku dan tiba tiba berhenti mengejut dihadapan aku. Aku terkerut dan membuat emergency brake, mungkin aku terlebih menggunakan brake depan, basikal aku terjongkek kedepan dan menyebabkan aku jatuh. Dengan kelajuan melebihi 35km/j semasa menurun, aku tercampak dan ditimpa oleh basikal. Tulang rawan bahu aku patah dan kecederaan pada sisi peha aku. Ramai yang tolong masa tu, aku ucapkan terima kasih. Empat bulan aku tak kayuh akibat kemalangan tersebut.
Pendakian akhir sebelum simpang Bukit Selambau-Jeniang tidak menjadi masalah kali ini kerana aku baru sahaja memasang crank Diore baru. Tidak perlu menukar gear rendah.
Pekan Semeling tidak berapa sibuk. Ia adalah pekan menampung kawasan pertanian di sekitarnya, hanya kebelakangan ini terdapat beberapa kilang  kayu didirikan. Tak tahu kenapa aku tidak berselera untuk berhenti minum pagi dan pekena nasi lemak atau roti canai. Aku berhenti sebentar sahaja untuk mengambil beberapa shot gambar dan meneruskan perjalanan kearah Kuala Ketil. Cuaca pagi yang redup dan ketiadaan angin bertiup membuat kayuhan tidak meletihkan.



Statistik
   Mula :          07.30 pagi
   Tamat :        10.10 pagi
   Jarak :          62.5 km
   Cuaca :        Redup
   Route  :       Sg Petani - Sungai Lalang - Bukit Selambau - Kuala Ketil - Sungai Petani

.
 

Rabu, 24 Februari 2010

Candi Pengkalan Bujang

 
Kayuhan pagi ini lebih kepada untuk menguji hollow crank 'Shimano Diore' yang aku tukar kelmarin. Tiada alasan atau sebab kukuh untuk aku menukar crank tersebut. Yang original melebihi usia 5 tahun masih elok dan berfungsi dengan baik, tetapi kerana terkena ‘racun’ aku membuat keputusan untuk menggantikan crank. Kata kawan aku, crank Diore ini lebih ringan dan mempunyai gigi 44-32-22 berbanding dengan 42-34-24 crank lama. Seperkara lagi, crank baru ini diperbuat dari alloy sepenuhnya berbanding dengan besi (steel), jadi beratnya lebih ringan.
Pada mulanya aku merasakan hujan akan turun pagi ini, tetapi aku bertekad untuk meneruskan kayuhan. Kenderaan agak banyak di jalan Lencongan Barat dan beberapa tempat terdapat air bertakung di jalan. Aku meredah juga takungan air hinggakan basah dan kotor baju dan seluar kena percikan air.
Memang ketara perbezaan  pada kelajuaan dan berat kayuhan. Patutlah basikal yang menggunakan crank jenis ini susah nak hambat. Aku mencari jalan yang berbukit iaitu jalan Semeling-Merbok. Aku membelok kekanan dari Pekan Merbok untuk membuat pendakian ke Mezium Arkelogi Lembah Bujang. Pendakian lebih mudah dari biasa walaupun pada peringkat 500 meter terakhir, kelajuan basikal hanya 6 km/j. Kali ini aku terus keatas bukit dimana terdapat candi. Pada mulanya aku tidak yakin samaada basikal dibenarkan melalui kawasan ini atau tidak, tetapi pengawal keselamatan yang berada disana tidak  berkata apa-apa.
Sememangnya tempat ini mempunyai sejarah tersendiri dan terdapat banyak kesan sejarah disini. Aku akan kesini lagi dan menghabiskan lebih banyak masa. Kata pepatah orang putih 'killing two birds with one stone'. Sambil beriyadah/berbasikal sambil menambah pengetahuan dan pelajaran. Selain dari mezium terdapat juga headwork, iaitu loji penapisan air untuk penduduk kawasan Merbok dan tempat perkelahan yang menarik. Aku menghabiskan hampir 40 minit disekitar kawasan ini.
Semasa turun dari mezium aku singgah di kawasan Penginapan, Rekresi dan Kem Latihan 'Damai Park Resort'. Aku hanya melihat dari luar sahaja. Resort ini memang cantik dan nyaman kerana mempunyai backdrop berbukit dan sungai yang mengalir jernih di jalan masuk.


Statistik
Mula :                    7.30 pagi
Tamat :                  10.30 pagi
Jarak  :                  45 km
Cuaca :                  Redup
Route :                  Sg Petani - Semeling - Merbok - Candi Pengkalan Bujang

Selasa, 23 Februari 2010

Taman Rekreasi Pantai Kamloon

Selang beberapa hari aku menjelajah/berbasikal ke Taman Rekreasi Pantai Kamloon Bumbung Lima, hari  ini (23 Feb 2010) terdapat satu lapuran tentang tempat tersebut didalam Berita Harian edisi utara. Aku sertakan lapuran tersebut sebagai kesenimbungan catatan yang aku buat pada 19 Feb 2010 yang lalu.
       


Ahad, 21 Februari 2010

Kayuhan Pulau Sayak

Pulai Sayak, Kuala Muda terkenal kerana ia adalah salah satu tempat melihat anak bulan. Namanya sering tersiar di akhbar, radio dan TV sekurang kurangnya tiga kali setahun iaitu semasa melihat anak bulan Ramadhan, anak bulan Syawal dan semasa menentukan tarikh hari raya haji/korban. 
Pulau Sayak bukanlah sebenarnya sebuah pulau. Ia adalah satu kawasan persisiran pantai yang terletak di tepi pantai antara Pantai Merdeka dan Kuala Sungai Muda. 
Bagi penduduk di kawasan persekitaran Sungai Petani, Pulau Sayak juga terkenal dengan 'mee udang' yang enak, lazat dan murah. Kedudukan kedai yang menjual mee udang tersebut di tepi pantai membuatkan pelanggan dapat menjamu selera sambil menikmati pemandangan yang menarik. Lebih lagi pada waktu senja, dapat melihat matahari terbenam.
Aku juga merasa hairan kerana dua orang dalam group kayuhan pagi ini belum pernah lagi ke Kuala Sungai Muda walaupun satu ketika dahulu ianya menjadi terkenal kerana terbabit dalam malapetaka 'tsunami' yang melanda Acheh, Sumatera pada 26hb Dec 2004. Banyak nyawa terkorban dan banyak harta benda musnah. Kerajaan telah mendirikan satu tempat peringatan trajedi teersebut.
Kami bertolak pada jam 0800 pagi dan sampai ke Kuala Sungai Muda pada jam 0845. Setelah berhenti rehat dan mengambil beberapa shot gambar bertolak menuju ke Pulau Sayak. Jalan menuju ke sana agak teruk berbanding dengan dua bulan lepas. Banyak tempat dimana jalan pecah, rosak, tidak rata walaupun ada usaha memperbaiki dilakukan. Ini adalah kepada pembangunan yang terpaksa dibayar oleh penduduk. Lori tanah banyak melalui jalan ini yang mana jalan tersebut tidak boleh menampung berat lori.
Kami mencari kedai makan di penghujung jalan Pulau Sayak. Terdapat sebuah kedai makan yang mungkin menyediakan makanan untuk nelayan dikawasan tersebut. Lokasi cukup menarik kerana ia terletak ditebing pantai dan menghadap kelaut. Kata salah seorang kawan aku, makan dikedai tersebut seperti berkelah. Pada mulanya aku mengambil kueh mueh tetapi keletakkan semual apabila aku dapat tahu terdapat lauk gulai ikan sembilang. Wah enak juga. Menurut tuanpunya kedai, geng basikal dari Kepala Batas, Pulau Pinang sering singgah makan disana.
Kami bertolak balik setelah makanan dalam perut enap, melalui jalan utama Pantai Merdeka/Kota Kuala Muda. Kayuhan terhenti di Kota Kuala Muda kerana dua orang pengayuh komplain sakit punggung. Setelah embuat sedikit pembetulan kepada saddle kami meneeruskan kayuhan balik ke Sungai Petani. Kayuhan balik sedikit pelahan kerana angin telah mula bertiup kencang.
Semasa melalui jalan utama Butterworth Alor Setar, kami melihat empat orang Eropah mengayuh basikal menuju ke utara. Hanya sempat mengucapkan selamat pagi kepada mereka kerana semua kelihatan letih dan termengah mengayuh melawan angin.

Statistik
  Cyclist :         Zaidi, Dahalan, Amran dan aku
  Mula :           0800 pagi
  Tamat :         1115 pagi
  Jarak :          62 km
  Cuaca  :        Panas
  Angin  :         Kencang
  Route :          Sungai Petani - Tikam Batu - Kota Kuala Muda - Pulau Sayak


Sabtu, 20 Februari 2010

Kayuhan Santai Pantai Kamloon



'Near Yet Far', begitulah selalunya. Kerap kali bila melalui lebuhraya PLUS arah selatan dari Sungai Petani kita melihatnya disebelah kiri lebuhraya, tetapi aku belum pernah kesana. Pusat Rekreasi Pantai Kamloon nampak indah dengan tasik, tempat berihat, gazebo dan paling menarik laluan jalan kaki diperbuat dari kayu dengan hiasan pasu bunga. Hari ini aku mengayuh keselatan melalui Pekan Tikam Batu. Setelah melintasi Jambatan Merdeka, membelok kekiri ke Pekan Bumbung Lima ke Taman Rekreasi Pantai Kamloon. Pusat rekreasi ini terletak bersebelahan tebing Sungai Muda.
Oh ya.. Jambatan Merdeka yang merintasi Sungai Muda telah menjadi dua hala semenjak akhir tahun 2009. Ucapan tahniah kepada pihak JKR yang membina satu lagi jambatan bersebelahan jambatan asal dengan mengekalkan rekabentuk asal jambatan lama. Sekali gus menampakkan keharmonian. Bagi pemandu yang tidak biasa melalui jalan ini, tidak akan perasan jambatan ini dibina dalam dua fasa.
Pekan Bumbung Lima masih lagi belum memulakan perniagaan semasa aku melalui, hanya beberapa kedai yang dibuka iaitu kedai makan dan pasar kecil menjual ikan. Tiada apa yang menarik tentang kedai kedai di pekan kecil ini, kebanyakkan kedai adalah campuran bata dan papan dan beratapkan zink. Beberapa gerai perniagaan baru terletak dipenghujung pekan disebelah depan rumah pam JPS Bumbung Lima. Rumah pam ini mendapat persijilan ISO 14001 dan bertulisan Jawi.
Masih tiada orang semasa aku sampai ke pusat rekreasi tersebut. Aku membuat kayuhan diatas jambatan kayu menjelajahi pusat tersebut. Dengan tasik tasik dan pokok pokok kecil ditebing tasik tersebut, pemandangan dan suasana memang damai dan menenangkan. Tetapi deruman kenderaan di lebuhraya PLUS yang merosakkan sedikit ketenangan tempat ini. Aku menjangkakan pada sebelah petang dan malam, tempat ini akan dipenuhi oleh pengunjung.
Aku menghabiskan lebih setengah jam disini dan mengayuh menyusuri tebing Sungai Muda hingga sampai semula ke pekan Bumbung Lima. Seperti tau tau saja, perut mula berbunyi dan aku berhenti untuk mengisi perut di sebuah kedai yang menjual pelbagai kueh mueh. Secawan Milo O kosong, sebungkus nasi lemak dan sekeping apam lenggang berharga RM1.60 cukup mengenyangkan. Penduduk cina di pekan tersebut ramai membeli kueh di kedai tersebut dan ternampak kemesraan pengunjung kedai tersebut.
Aku membelok ke Jalan Paya Keladi - Padang Serai dan terus ke Pinang Tunggal. Semasa kayuhan dijalan tersebut aku sempat mengekori dua orang cyclist. Mereka agak perlahan  Semasa memotong aku memberi salam, aku tergamam apabila salah seorang dari mereka terkejut dan melatah dan hampir jatuh dari basikal. Aku minta maaf dan terus berlalu meninggalkan mereka. Walaupun angin mula bertiup kencang, aku berupaya membuat kelajuaan purata 28km/j.
Dari sini aku membelok ke Sungai Petani dan berhenti minum sekali lagi di Taman Kempas. Aku terserempak dengan geng basikal Pinang Tunggal dan berhenti minum sambil berbual hampir satu jam. Mereka mencadangkan kayuhan ke Pantai Merdeka esok Ahad 21 Feb 2010.
  Statistik Kayuhan
   Kayuhan :          Solo
   Mula :                7.25 pagi
   Tamat :              11.15 pagi
   Jarak kayuhan : 54 km
   Berhenti rehat :  35 minit di rekreasi Pantai Kamloom
                              minum  10 minit
                              santai dengan geng Pinang Tunggal  : 50 minit
   Topograpi :         jalan mendatar, tiada bukit

Sabtu, 13 Februari 2010

Tanjung Jaga dan Singkir laut


Semasa melalui lencongan barat, jalan kelihatan lengang, tidak seperti biasa. Hari ini bermula cuti panjang sempena dengan sambutan Tahun Baru Cina yang jatuh pada esok hari iaitu 14 Feb 2010. Aku mengambil kesempatan ini mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada semua kaum cina

Tiada tujuan destinasi kayuhan hari ini. Aku ikut gerak hati dan akan membuat keputusan kemana hendak pergi semasa kayuhan nanti. Dari lencongan barat aku menyeberangi jambatan Semeling dan memasuki jalan Bidong dan terus ke Merbok. Sempat mengambil beberapa shot gambar mercu tanda pekan Merbok sebelum meneruskan perjalanan ke Singkir. Dari Singkir Darat aku membelok kekanan menuju ke Yan melalui Sinngkir Laut. Kali ini pendakian tiga bukit di Tanjung Jaga agak lancar dari biasa. Sampai kepuncak fikiran aku berbelah bagi samada untuk:
a. Teruskan ke Yan
b. Belok kekiri kearah laut
c. Membelok kekanan, keatas bukit.
Pilahan 'c' agak menarik tetapi tidak berani kerana aku seorang diri. Lagipun aku belum pernah melalui jalan bukit tersebut. Hanya mendengar dari rakan wujudnya jalan mini tar. Basikal aku pula tidak dipasang dengan tayar yang sesuai
Aku mengambil keputusan untuk membelok kekiri menuju kearah laut. Laluan hanyalah jalan tanah biasa. Terdapat sebuah banglo besar yang telah ditinggalkan sebaik saja aku memasuki laluan tersebut. Agaknya kepunyaan orang kaya yang mungkin membina sebagai tempat persinggahan. Sayang, dengan kedudukan yang agak strategik dan menarik ia ditinggalkan begitu sahaja. Aku meneruskan kayuhan hingga mulai terdengar desiran ombak yang semakin kuat. Sampai kepenghujung jalan, terdapat tebing yang agak tinggi. Dari sini aku dapat melihat pantai Murni Yan dan Pulau Bidan. Disebelah kiri pula boleh kelihatan pantai Singkir Laut.
Dalam perjalanan balik kelihatan beberapa orang dengan deretan tong mengambil air bukit yang mengalir jernih di Tanjung Jaga. Dulu pernah keluar berita tentang kebersihan air tersebut dan pihak Pejabat Kesihatan membuat ujian parameter bakteria. Aku membelok kekanan kearah Pantai Singkir Laut. Belum pernah melalui jalan atau kawasan ini. Kelihatan kekunci air dan air laut surut. Pantai dipenuhi dengan slut sepanjang kira kira 200 meter kearah laut.
Aku mengambil masa kira kira setengah jam menjelahi kawasan ini, tiada apa yang special dan akhirnya keluar kejalan utama Tanjung Dawai. Aku mesti cepat kerana angin mulai bertiup kencang dan cuaca mulai panas.

Statistik
Mulai kayuhan : 7.30 pagi
Tamat : 11.30 pagi
Jarak : 58 km
Cuaca : Berangin dan panas
Kayuhan solo


.

Jumaat, 5 Februari 2010

Cycling into the Sunrise

Bunyi macam dialog dalam filem koboi lakonan John Wayne je yang banyak diterbitkan sebelum tahun 70an... 'kayuhan menuju matahari terbit' mungkin la secara kebetulan kot. Aku maksudkan kayuhan pagi ini menghala ke timur arah matahari terbit. Bermula pada jam 7.30 pagi dari rumah,  tetapi suasana pagi rasa lain sedikit kerana minggu lepas waktu ini masih gelap, tidak nampak tanah lagi, Tidak perlu menggunakan lampu belakang tambahan pula aku memakai baju putih.
Matahari mulai kelihatan semasa aku sampai ke Taman Perdana melalui Lencongan Timur. Walaupun cahaya matahari masih belum kuat tetapi sedikit sebanyak menganggu kayuhan kerana ketinggian matahari ketika itu betul betul sama paras dan betul betul dihadapan mata aku. Waktu inilah aku mengkagumi keindahan alam dengan warna kekuningan pancaran matahari dari celah celah pokok.
Aku sampai kepersimpangan Sungai Petani - Kuala ketil (berhampiran JPJ dan Puspakom) setelah berkayuh selama 30 minit. Aku terus menuju ke Kuala Ketil. Ketika ini walaupun matahari sudah agak tinggi tetapi menyilaukan pandangan. Selepas traffic light persimpangan tersebut, aku nyaris terlanggar atau dilanggar oleh sebuah motorsikal yang datang dari arah Kuala Ketil. Aku bernasib baik kerana tiada kejadian buruk berlaku. Ketika itu lampu isyarat merah dan semua kenderaan berhenti atau perlahan. Aku cepat minta maaf untuk tidak memburukkan keadaan walaupun aku yakin yang penunggang motorsikal itu yang bersalah.
Yang seronoknya melalui jalan ini ialah keadaan jalan yang berbukit bukit sehingga ke Kuala Ketil. Disepanjang jalan di penuhi dengan kebun kelapa sawit atau kebun getah. Selepas melepasi persimpangan ke Taman Puteri Jaya aku melihat sebuah jengkaut atau backhoe tidak jauh dihadapan menuju ke Kuala Ketil. Aku sedar bahawa jentera ini tidak boleh dipandu laju dan berazam untuk memotong. Aku melajukan kayuhan. Pemandu jengkaut tersebut menyedari aku mengikutinya dibelakang dan cuba untuk memotong, kerana dia melajukan jentera tersebut. Kelihatan asap hitam tebal  keluar dari eksos diiringi bunyi enjin yang kuat. Oleh kerana keadaan jalan yang agak sibuk dan berbukit aku hanya mampu mengekori jengkaut tersebut hingga ke persimpangan Sedim/Kulim dimana jentera tersebut membelok.
Beberapa kilometer dihadapan aku mula menyedari kehadiran  bau yang kurang menyenangkan. Aku tahu  bau itu adalah  bau getah. Selepas simpang Ladang Bousted terlihat sebatang anak sungai, air yang mengalir berwarna kehitaman dan berbuih. Ini adalah punca bau busuk. Kendaraan lalu lalang disini mungkin tidak menyedari bau tersebut apabila berada dalam kenderaan, atau tidak ambil peduli.
Dari pengalaman kerja, air sungai kecil ini dicemari oleh air kumbahan kilang getah. Aku kesal kerana tiada tindakan oleh pihak berwajib untuk mengatasi masalah ini dan kesal sikap syarikat perladangan tersebut yang membiarkan keadaan sedemikian berlaku. Ingin rasanya aku membuat aduan, setakat ini aku hanya berharap ada pihak yang menyedari perkara ini dan mengambil tindakan segera. Aku sedar air sungai ini akhirnya akan memasuki sungai utama iaitu Sungai Muda dimana menjadi punca air minuman untuk penduduk daerah Kuala mMuda dan penduduk Pulau Pinang.
Aku sampai ke pekan Kuala Ketil pada jam 8.35 pagi dengan jarak kayuhan 23km. Aku terus kepenghujung pekan. Walaupun banyak kereta lalu lalang di jalan utama pekan ini, tetapi kebanyakkan kedai masih belum dibuka dan belum memulakan perniagaan kecuali dua kedai makan mamak. Aku menjelajah kebelakang pekan dimana terdapat banyak lagi kedai kedai yang selama ini aku tidak tahu wujud. Kebanyakkan kedai di belakang adalah kedai untuk penduduk Cina dan agak rancak menjalankan perniagaan. Aku nampak papan tanda tunjuk arah ke Pasar Baru Kuala Ketil dan mengayuh kearah tersebut.
Pasar ini nampaknya baru siap pembinaan, masih banyak gerai yang belum mula berniaga. Papan tanda pasar masih belum siap. Walaupun bangunan utama iap, masih terdapat banyak peniaga menjual di luar, di khemah sementara. Agaknya peniaga ini masih belum atau tidak dapat peruntukkan gerai didalam pasar. Aku sempat mengambil beberapa shot gambar disekitar pekan Kuala Ketil sebelum berhenti minum dan meneruskan perjalan pulang ke Sungai Petani. Aku melalui INTAN dan Maktab Penguruan Sultan Abdul Halim dan Pekan Lama sebelum membelok ke Taman Intan.
Pada suatu tempat sebelum Taman Sutera aku menjerit kepada pemandu teksi yang terlalu hampir dengan aku. Aku hilang kesabaran. Mungkin kerana terkejut. Ini adalah risiko dan kenyataan apabila mengayuh di jalan yang sesak dan sibuk. Kena lebih berhati hati dan berwaspada. Mungkin pemandu tersebut telah membuat perhitungan dan aggaran jarak keretanya dengan basikal aku. Mungkin aku juga bagitu jika aku memandu. Sampai dirumah isteri aku telah menydiakan nasi lemak kegemaran aku.

Statistik
Mula :        0730 pagi
Tamat :      10.10 pagi
Jarak :       52 km
Cuaca :      Baik, panas
Keadaan jalan : berbukit
Kayuhan solo