Halaman

Isnin, 28 Februari 2011

Bukit Semarak

Hidup menjadi lebih senang apabila kita ada pilihan. Kesibukkan dua hari yang lalu menjadikan badan rasa tidak begitu bermaya terutama apabila hendak bangun pagi. Dua hari tidak membuat kayuhan membuat badan begitu susah untuk memulakan semula. Berbagai alasan yang terlintas dikepala. Musim panas la, angin kuat la, sudah lambat la, ada perkara yang perlu dibuat hari ini. Itu adalah antara berberapa alasan yang bermain difikiran.
Semangat yang kuat mengasak aku untuk mengenakan pakaian sukan selepas menjamah sarapan pagi.  Dengan cara ini mahu tidak mahu aku akan membuat aktiviti senaman.  Jika diikutkan tidak jadi kerja. Walaupun  tidak mahu berkayuh aku masih mempunyai pilihan lain iaitu berjogging di Bukit Semarak. 
Tempat rehat dan berteduh dipertengahan pendakian
Peringkat awal pendakian amatlah memenatkan, mungkin kerana otot otot betis dan peha menyesuaikan keadaan. Sepatutnya sebelum apa apa senaman kita perlu membuat aktiviti memanaskan badan dan melonggarkan otot apabila melepasi tahap ini ia akan menjadi lebih mudah dan kurang membebankan. Biasanya aku akan berjalan dan apabila sampai ke bahagian pertengahan dimana slope atau kecerunan tidak begitu tinggi aku akan berjogging mengelilingi bukit dan menuruni sehingga sampai ditempat permulaan. Dahulu aku mengambil masa hampir 90 minit tetapi kini hanya 50 minit.
Seorang rakan berbangsa cina memberitahu apa yang dibaca didalam akhbar. Jika seseorang itu melakukan senaman berjogging ia memerlukan hanya 30 minit berbanding dengan 1 jam jika berjalan  kaki atau mengayuh basikal untuk mendapat manafaat yang sama. Mungkin ia bermaksud membakar lemak atau kalori yang sama  banyak.
Tergaman apabila ditegur oleh seorang rakan yang tidak pernah aku jumpa berjogging di bukit sebelum ini sehingga sukar untuk aku mengingati namanya. Bila aku teringat nama dan memanggilnya dia sudah agak jauh. Aku gembira kerana bertambah kawan kawan yang membuat aktiviti senaman. 
Teringat program explorasi yang ditayang semula oleh RTM 1 pada hari Jumaat lepas dimana ditunjukkan pendakian Gunung Stong, Kuala Krai, Kelantan. Expedisi di ketuai oleh bekas Ahli Parlimen Jempol Negeri Sembilan iaitu Dato' Khalid Yunus. Beliau berusia linkungan 70 tahun dan pernah membuat pendakian di Gunung Everest. Semasa pendakian gunung di Stong, beliau sering memberi nasihat kepada ahli expedisi yang jauh lebih muda bagaimana cara membuat pendakian. Nasihat yang diucapkan berulangkali ialah, "teruskan pendakian perlahan lahan, elakkan dari berhenti" dan "terus menapak".

Jumaat, 25 Februari 2011

Pulau Sayak 01/2011

Tiga hari tidak berkayuh kerana agak sibuk  dengan kerja kerja amal. Hari Selasa 22 Feb, aku menghadiri taklimat mengenai Agro Pelancongan di Alor Setar. Hari Rabu 23 Feb aku menghadiri konvensyen aktiviti panel penasihat klinik kesihatan  peringkat Negeri Kedah di Jitra.Hari Khamis pula menolong kawan untuk membeli computer di Kepala Batas.
Kayuhan pagi ini bagaikan melunaskan tiga hari tanpa aktiviti senaman. Aku ingin ke Pantai Merdeka tetapi menukar fikiran untuk ke Pulau Sayak melalui jalan menuju  ke kuala Sungai Muda.
Seronok berkayuh di jalan dari Tikam Batu ke Kota Kuala Muda kerana jalan yang baru diturap. Walaupun jalan agak sibuk tetapi dapat membuat kayuhan dengan lancar tanpa lubang dan  jalan yang tidak rata. Apabila sampai di Kampung Pematang Pasir baru aku perasan kenapa jalan diturap. Sultan Kedah datang ke Kampung Pematang Pasir pada minggu lepas untuk merasmikan pembukaan Masjid baru kampung yang dibina dengan pembiayaan Datok Khalid dan Datok Siti Norhaliza.
Projek tebatan banjir sedang rancak berjalan. Tebing sungai yang sempit atau terlalu hampir dengan jalan utama di tambak dan dilebarkan. Banyak kawasan yang diratakan untuk projek tersebut. Jalan selepas pekan Kota Kuala Muda banyak yang rosak akibat lori mengangkut tanah yang lebih muatan untuk menambak tebing sungai Muda. Ini adalah akibat yang terpaksa ditempuh untuk kesenangan dan kemudahan dimasa hadapan.
Hutan paya yang dipenuhi dengan pokok nipah bersebelahan dengan taman penempatan mangsa tsunami tahun 2006 telah digondolkan, diratakan dan ditambak. Mungkin tapak tersebut akan digunakan untuk mendirikan lebih banyak tempat kediaman. Bagi aku agak merugikan kerana terpaksa mengorbankan alam semula jadi dan eco-system. Banyak lagi tempat lain yang boleh dijadikan kawasan penempatan.
Oh .... Pulau Sayak bukanlah sebuah pulau seperti namanya. Ramai orang luar menyangka ialah terletak ditengah laut. Laut disebelah sini dipenuhi dengan lumpur dan tiada kawasan untuk berkelah atau mandi. Cuma terdapat sedikit kawasan untuk beriyadah disebelah tanjung menghadap laut berhampiran dengan kawasan ternakan udang.
Tempat melihat anak bulan
Umum mengetahui Pulau Sayak adalah salah satu satu tempat yang digunakan oleh  Majlis Agama Islam untuk melihat anak bulan bagi menentukan permulaan Ramadhan dan Syawal. Sayang  sekali  tempat tesebut agak terbiar dan rosak. Mungkin kerana  Negeri Kedah kini mempunyai tempat yang lebih elok untukmelihat anak bulan iaitu  'Menara Alor Star' selain dari Langkawi. 
Terdapat beberapa chalet penginapan dan salah satu ditinggalkan oleh pemilik. Keadaan pantai yang dipenuhi dengan batu menjadikan ia dipenuhi dengan kaki pancing terutama pada sebelah petang dan malam. Tidak kurang juga yang menjadikan kawasan ini tempat melepaskan gian penyalahgunaan dadah.
Tempat berkelah dan mandi laut
Aku rasakan Pulau Sayak boleh dibangunkan dan dijadikan kawasan pelancongan yang menarik. Ini mempunyai prasarana yang menarik. Disebelah malam Pulau Pinang kelihatan amat jelas dan menarik dengan kilauan lampu. Aktiviti eco-tourism seperti menyusuri hutan bakau disepanjang persisiran pantai boleh dilakukan juga menjelajahi Sungai Muda atau Sungai Merbok menggunakan bot sambil melawat kesan sejarah di lembah Bujang. Aktiviti air seperti berkayak dan bermain jet ski juga boleh dilakukan kerana kawasan ini kurang sibuk. Diharapkan ada pihak pihak yang akan membangunkan kawasan ini.
Aku berkayuh pulang melalui jalan utama Pantai Merdeka - Sungai Petani. Di Bukit Meriam aku terserempak dengan kumpulan anak muda yang mengayuh roadbikes. Dari pakaian mereka, mungkin mereka adalah kumpulan kelab basikal yang melakukan sessi training harian.

Statistik :
   Mula ............ 7.45 pagi
   Tamat ...........10.40 pagi
   Jarak ............ 68 km
   Cuaca ........... panas
   Laluan .......... Tikam Batu - Kota Kuala Muda - Pulau Sayak
    

Isnin, 21 Februari 2011

Dah tunaikan janji ......

Beberapa hari lepas aku membuat kayuhan di lencongan timur dan barat dan timbul idea untuk membuat dua atau lebih pusingan pada laluan tersebut. Sama seperti orang berjogging dalam taman, berpusing banyak kali dilaluan yang sama. Dengan cara ini aku dapat membuat dua kali ganda jarak tanpa perlu pergi jauh dari sekitar Sungai Petani.
Hari ini aku telah menyempurnakan idea tersebut. Tiada rasa janggal atau jemu melalui jalan yang sama dua kali berturut turut. Walaupun permandangan disepanjang laluan adalah sama tetapi berbeza.
Cuaca pagi ini sungguh baik untuk membuat kayuhan. Biasanya, apabila memulakan kayuhan matahari sudah naik lebih satu galah. Pinjam phrasa orang tua-tua dulu untuk menandakan hari telah pagi. Langit diselubungi awan mendong tetapi aku yakin hujan tidak akan turun. Keadaan cuaca berterusan sedemikian sehingga aku menamatkan kayuhan.
Kita selalu  mengambil sikap laluan kayuhan pergi mesti berlainan dengan kayuhan pulang (sebenarnya aku tidak tahu bagaimana hendak express ayat ini). Maksud aku untuk kayuhan jarak melebihi 50km atau lebih mestikah kita perlu pergi jauh. Adakah kayuhan yang mengelilingi sesuatu kawasan yang jumlah jarak keseluruhan melebihi 50km berbeza? Kita sering terlepas pandang perkara sebegini.
Pada mulanya aku merancang untuk berkayuh melalui lencongan timur dan apabila sampai ke tempat mula akan membuat U-turn dan berkayuh melalui lencongan barat. Terpaksa membatalkan rancangan tersebut kerana terdapat kerja kerja maintenance dilakukan di jalan berhampiran Hospital Sultan Abdul Halim. Satu lorong laluan ditutup untuk kerja tersebut dan membahayakan kayuhan kerana kesesakan jalan. Terpaksa mengikut laluan pusingan pertama tadi.
Aku tidak mahu berhenti disepanjang kayuhan tersebut tetapi diganggu oleh beberapa panggilan telefon. Dapat merehatkan kaki dan menghilangkan penat semasa berhenti pada traffic light. Dihujung kayuhan aku singgah di kedai makan seorang rakan dan menjamu selera dengan nasi lauk gulai sembilang.
Oh.. ya, sepanjang kayuhan aku hanya berjumpa dengan seorang rider yang menggunakan mountain bikes berhampiran kawasan perindustrian Taman Ria dan sepasang warga emas yang menggunakan basikal biasa. Nampak kemesraan mereka ketika berkayuh, hati hati abang dan kakak... kereta banyak dan laju dikawasan ini. Mungkin kayuhan pendek sahaja untuk kesihatan, mungkin dari Sungai Jagong menyusuri lencongan barat.
Berpuas hati dengan kayuhan ini dan gembira dengan idea tersebut. Dimasa akan datang aku akan cuba membuat tiga atau empat pusingan yang menyamai kayuhan 100 dan 130 km.

Lencongan Timur
Lencongan Barat
Statistik :
   Mula ............ 7.45 pagi
   Tamat ........... 10.20 pagi
   Jarak ............ 64 km
   Cuaca .......... redup, overcast
   Laluan .......... Lencongan Timur - Barat   (2 X)
    

Jumaat, 18 Februari 2011

Tiga bukit

Rancangan awal hanyalah untuk membuat kayuhan ke Rekreasi Tupah dengan roadbikes. Pada persimpangan MRSM Merbok aku membelok ke kanan untuk membuat pendakian dibelakang UiTM Merbok. Walaupun pendek aje tetapi mencungap juga untuk sampai keatas. Pendapat aku sekiranya aku tidak menghadapi sebarang masalah pada bukit ini aku pasti akan sampai ke penghujung jalan rekreasi Tupah. Ini adalah kali pertama aku menggunakan roadbike untuk ke Tupah.
Suasana nyaman, tenang dan damai melalui jalan dari Pekan Semeling ke Merbuk
Tiada berjumpa dengan mana mana rider pun pagi ini. Sesampai di atas aku menghilangkan penat dengan mengayuh dengan berpusing pusing dikawasan lapang sebelum kayuhan turunt. Aku terkejut apabila sekumpulan kera secara tiba tiba bertempiaran lari sambil menjerit apabila aku menghampiri mereka. Dulu pernah aku dikejar oleh seekor kera jantan.
Sekali lagi aku menukar fikiran. Sepatutnya aku berkayuh pulang tetapi membelok ke kanan untuk ke Merbuk dan berhasrat untuk membuat satu lagi pendakian ke Muzium Arkeologi.  Pagi masih awal dan cuaca begitu elok sekali. Di Pekan Merbuk aku mendengar hiruk pikuk bising dari kawasan pasar awam. Pasar minggu diadakan pada pagi Jumaat. Aku berhasrat untuk singgah meninjau kalau ada yang special yang di jual di pasar minggu ini.
Bagaikan tidak larat untuk meneruskan pendakian apabila sampai ke persimpangan Damai Resort. Disinilah kuasa mental mengalahi fizikal. Aku meneruskan kayuhan walaupun mahu sahaja berpatah balik. Apabila hampir dengan pintu masuk muzium aku nampak empat orang rider sedang berehat. Aku memberi salam dan menghabiskan pendakian di kawasan tempat letak kereta. Aku berpatah semula ke tempat mereka berehat untuk berkenalan dan berbual. 
Satu perkara yang aku sanjung ialah kebanyakkan orang Kedah mempunyai budi bahasa yang elok. Mereka semua memanggil aku 'Pak Long' sebagai tanda hormat kepada orang tua. Mereka kelihatan sangat letih dan telah kehabisan bekalan air setelah berkayuh dari Bandar Puteri Jaya.  Siap baring dan membuka baju dan kasut. Minggu lepas mereka membuat kayuhan ke rekreasi Tupah. Agak kagum bila aku katakan aku berada di Tupah sebentar tadi.
Seorang yang mungkin sebagai leader mengajak untuk bergambar di kawasan bangunan muzium untuk dijadikan bukti yang mereka telah sampai disini. Aku mencadangkan supaya mereka terus naik ke kawasan tapak candi. Dia juga sempat mempelawa aku untuk mengunjungi lama web kumpulan mereka 'gerekbasikal.blogspot.com'.
Satu nasihat yang aku berikan sebelum berpisah adalah untuk meneruskan aktiviti ini untuk menjamin kesihatan diri. Lupakan saja untuk mengempiskan perut yang boroi atau  untuk menguruskan badan, apa yang penting adalah kesihatan dan 'have fun'. Minda yang sihat bermula dari fizikal yang sihat  dan vice versa.
Bagaikan tidak percaya bila diberitahu Milo kosong dan roti telur yang aku pesan sudah dibayar. Aku tidak kenal sesiapa pun yang minum digerai tersebut. Tuan kedai menyatakan seorang regular customer berhajat untuk bersedekah dan beredar tanpa disedari. Aku meninggalkan pesan kepada tuan kedai untuk mengucapkan terima kasih kepada hamba Allah tersebut bila dia datang lagi ke gerai tersebut. Ini kali kedua makanan dan minuman aku di gerai ini dibayar oleh orang yang tidak aku kenali. Pemurah sungguh orang orang kampung disini. Moga di murahkan dan ditambahkan rezeki mereka.
Sebenarnya aku tidak berapa selesa singgah minum pagi di gerai yang kerap aku kunjungi apabila membuat kayuhan disebelah sini. Aku tiada wang kecil. Takut tuan kedai tidak mempunyai wang tukar. Aku fikir kalau tiada mungkin aku akan minta tangguh bayar hingga aku datang semula. Alhamdullillah, masih ramai insan yang berhati mulia dan ingin mencari pahala dengan memberi sedekah dan membuat kenduri pada bulan kelahiran junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Statistik
   Mula ............... 7.55 pagi
   Tamat ............. 10.30 pagi
   Jarak .............. 47 km
   Cuaca ............. panas
   Laluan ............ Semeling - Rekerasi Tupah - Muzium Arkeologi
.

Khamis, 17 Februari 2011

LTLB - Lencongan timur lencongan barat

Gambar Hiasan.
Lebih 6 hari tidak mengayuh roadbike selepas kayuhan Mahang-Selama dan kayuhan Tanjung Dawai. Terasa begitu lama kerana pada Ahad lepas aku menggunakan Mountain Bikes membuat  pendakian Gunung Jerai atas pelawaan Geng D'Nia Bikes Pinang Tunggal. Mereka rasa tidak pada kayuhan minggu lepas. Kali ini lapan rider ikut serta berbanding dengan empat pada kayuhan terdahulu.  Dua hari selepas itu aku tidak berkayuh tetapi berjogging di Bukit Semarak.
Pagi ini betis dan peha terasa sengal bila mengayuh roadbikes. Sudah beberapa hari aku berfikir untuk membuat dua atau tiga pusingan mengikuti lencongan Timur dan  lencongan Barat. Bermakna akan melebihi jarak 66 km untuk dua pusingan atau 100 km untuk tiga pusingan. Dan masih berada di kawasan Sungai Petani. Seperti orang berjogging di taman taman permainan atau taman perumahan dengan mengelilingi sesuatu kawasan hingga sepuluh kali atau lebih. Bezanya setiap pusingan tidak lebih dari setengah km atau kurang.
Aku dapat merasakan kelajuan kurang sedikit dari kayuhan terdahulu, bagaikan kekurangan tenaga. Pada akhirnya aku dapati purata kayuhan pagi ini hanyalah 28.3 kmj.
Petang kelmarin aku singgah di Kedai Basikal Soon Lee Taman Intan. Terdapat ramai geng basikal berkumpul disana. Secara tidak rasmi kedai basikal tersebut menjadi tempat untuk geng basikal Taman Intan berkumpul, bersembang, berbincang, bertukar idea, pendapat, memberi nasihat dan mengatur rancangan kayuhan. Seronoknya geng basikal terdiri berbagai kaum, yang ramai kaum Cina, Melayu dan India dan berbagai peringkat umur.
Aku pernah berkata Azbel Singh tidak akan berpuas hati dengan 'touring bikes' yang dibelinya pada awal bulan. Walaupun saiz tayar basikal tersebut sama dengan saiz roadbikes, tetapi pengendalian berbeza. Atas nasihat William dan Juan, dia menukar fork depan dengan rigid fork. Stem untuk handle bar pun ditukar. Jadi rider lain tidak merasa bersalah mengajaknya berkayuh sama. Selepas ditukar, berat basikalnya ringan lebih 1 kilo. Boleh kayuh laju dari biasa. Malam ini mereka akan membuat kayuhan ke Tanjung Dawai. Aku tidak ikut serta.
Sebentar tadi aku menghantar e-mail kepada Azbel untuk berkongsi gambar yang diambil semasa kayuhan ke Mahang minggu lepas. Dia akan menghantar gambar tersebut untuk dicetak dan mengagihkan kepada rakan lain yang ikut serta.
Mungkin aku akan menyempurnakan rancangan aku untuk membuat dua atau tiga pusingan melalui lencongan timur dan barat dalam masa terdekat ini.

Statistik
   Mula .............. 8.00 pagi
   Tamat ............ 9.10 pagi
   Jarak ............. 33 km
   Cuaca ............ panas
   Laluan ........... Lencongan Timur - Lencongan Barat
.

Ahad, 13 Februari 2011

Gunung Jerai 02/2011

Siapa kata senang. Lebih-lebih lagi pada usia aku sekarang. Aku mengucapkan tahniah kepada diri aku sendiri kerana berjaya sampai pintu masuk ke Jerai Resort Gunung Jerai tanpa henti dan mengambil masa kurang sedikit dari dua jam. Ini adalah azam yang aku buat selepas kayuhan pertama 10 hari lepas. Pada kayuhan tersebut aku berazam untuk sampai ke puncak tanpa behenti  tetapi terpaksa turun dari basikal sebentar di KM4 untuk memberi pertolongan kepada seorang rider yang mengalami masalah pada rantai yang terkeluar dari rear derailer.
Beberapa kali aku hampir mengaku kalah dan terasa tidak mampu lagi meneruskan kayuhan, tetapi aku kuatkan semangat dan berkata akan turun dihadapan sana. Apabila hendak berhenti, aku rasa mempunyai tenaga untuk meneruskan. Pada pondok hentian di Muzium Perhutanan aku nyaris berhenti rehat tetapi setelah aku membuat beberapa pusingan di tempat yang rata, keletihan berkurangan dan aku meneruskan kayuhan yang hanya tinggal dua kilometer. Tiga orang rider muda yang memotong aku sedang berehat.
Bagaimana aku hendak menerangkan keadaan fizikal semasa membuat pendakian ini. Peluh dari kepala mengalir tanpa henti terutama dari kepala dan rambut. Terpaksa menghembus dengan kuat setiap  10 saat supaya peluh tidak masuk ke mulut. Aku juga menggunakan sarong tangan dan lengan baju untuk mengelap peluh. Selepas 1 jam peluh berhenti mengalir, agak sudah habis keluar. Otot pada peha dan betis terasa keras, kejang dan berat. Yang amat menyiksakan ialah punggung terasa pedih kerana geselan pada seat basikal. Anu aku terasa mengecut dan hilang, disebabkan kebas. Denyutan jantung amat laju dan menyebabkan tercungap cungap. Tekak menjadi kering hinggakan terasa pedih untuk menelan air liur. Kelajuan pada tahap minima. Kecuraman nampak seperti menegak, basikal pun terhuyung hayang. Batu kecil yang dilanggar bagaikan sebesar buah apple.
Aku sedikit kecewa kerana ketiadaan orang menjual air tempat letak kerata muzium tersebut. Semasa cuti tahun baru cina yang lepas, ada yang menjual air dan makanan ringan dari dalam kereta kancil. Barangan jualan di letakkan di dalam but kereta dan bonnet belakang kereta dibuka luas mempamirkan barangan jualan. Sama seperti 'Car Boot Sale'. Idea yang sangat enterprising. Aku berkira kira untuk membeli air 100 Plus yang disejukkan.
Kumpulan kali ini seramai lapan orang. Empat orang belum pernah membuat kayuhan mendaki gunung sebelum ini. Masing masing menyatakan tidak pasti boleh menghabiskan kayuhan. Tetapi mereka semua masih muda dan banyak tenaga. Kali pertama membuat pendakian pada awal tahun 2010, aku boleh sampai.
Aku bermula terkemudian sekali kerana beberapa perkaran kecil yang kena diperbetulkan seperti memasang meter (yang penting adalah jam), memeriksa brake dan menanggalkan helmet. Semasa pendakian helmet tidak diperlukan kerana kelajuan yang kurang dari 7 kmj. Kumpulan jauh meninggalkan aku dibelakang tetapi aku yakin akan dapat bersama mereka semasa pendakian.
Oh... di kaki gunung tadi aku nampak Cik Gu Ya (Pak Ya) dan sempat bertanya khabar. Menurutnya dia seperti aku sudah agak lama tidak membuat kayuhan mendaki Gunung Jerai. Dia sedang menunggu kawan di tempat letak kereta. Sibuk dengan kenduri di musim cutiyang lalu. Dia bermula kayuhan bersama aku tetapi aku tahu sebentar nanti dia akan meninggalkan aku. Dia ada power.
Dua orang dari kumpulan aku berehat pada pondok pertama sebelum KM9, yang lain berehat di pondok ketiga selepas KM7. Aku meneruskan kayuhan dan berjanji untuk berjumpa diatas. Keadaan masih berkabus di Jerai Resort walaupun telah hampir 10.30 pagi. Ini menyebabkan suhu cuaca amat sejuk dan dapat menyejukkan badan. Beberapa orang rider yang sampai dahulu dari aku sedang berehat dengan membuka baju.
Semasa turun, aku berjumpa dengan kumpulan 5 orang pertama di pondok rehat muzium dan dua orang lagi di KM4. Masih ramai yang sedang membuat pendakian dan baru bermula. Kesihan, aku nampak dua orang sedang menolak basikal kearah pondok rehat KM6. Mungkin kali pertama membuat pendakian. Well .... sekurang kurang mereka berani mengambil cabaran.

 
 

Statistik
   Mula ............ 8.25 pagi
   Tiba ............. 10.20 pagi (dipuncak)
   Tamat .......... 11.20 pagi
   Cuaca .......... sejuk. Kabus di puncak. Suhu 20 C
.

Jumaat, 11 Februari 2011

Pengkalan Ikan Bilis Tanjung Dawai

Arked Tanjung Dawai
Secara tidak sengaja aku memasuki lorong kecil diantara rumah papan di Pekan Tanjung Dawai dan tidak sangka sampai ke jeti bot ikan bilis. Terdapat pintu pagar besi yang dikunci melarang orang awam memasuki kekawasan jeti, tetapi semasa aku disana ianya  terbuka kerana nelayan sedang melakukan kerja kerja diatas bot. Tidak pasti samada mereka baru pulang dari laut atau membuat persiapan untuk ke laut. Mereka menyusun longgokan jaring dan pukat ikan bilis menggunakan sistem mekanikal.
Aku dalam perjalanan pulang dari Tanjung Dawai dan berkayuh perlahan lahan sambil memerhatikan aktiviti aktiviti pekan tersebut. Juga  meninjau tempat tempat menarik untuk mengambil gambar. Selama ini aku tidak terfikir bahawa jeti pendaratan ikan bilis terletak dibahagian belakang rumah kedai pekan Tanjung Dawai.
Memang Tanjung Dawai terkenal dengan produk ikan bilis sejak dari dahulu. Kebanyakkan kedai dan kedai bangunan arked pekan tersebut menjual ikan bilis. Beberapa kedai baru yang dibina setengah kilometer sebelum sampai ke pekan juga menjadikan ikan bilis serta produk lain berasaskan ikan menjadi komoditi dagangan utama. Ia termasuk ikan kering, ikan jeruk dan keropok ikan. Waktu hujung minggu dan cuti umum, kawasan ini dipenuhi dengan pengunjung dan pembeli dari dekat dan jauh hingga menyebabkan jalan penuh sesak. Terdapat banyak tempat makan yang juga mashyur dikalangan penduduk tempatan dan luar. Biasanya resteron di tepi laut akan dikunjungi pada lewat petang dan sebelah malam.
Aku datang ke Tanjung Dawai mengayuh roadbikes untuk kali pertama seorang diri. Mengambil masa tepat 1 jam untuk jarak 30.3km. Bermakna kelajuan ialah 30kmj. Aku jangka dapat  mengurangkan lagi masa tersebut dimasa hadapan. Seorang rakan pernah menyatakan dia mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk sampai kesini dari Bandar Sungai Petani menggunakan roadbikes. Rasanya aku tidak akan dapat menyamakan masa tersebut.
Perasaan aku sayu dan tidak tenteram apabila aku melihat orang melakukan kerja membersihkan kawasan dalam dan luar masjid ketika melalui perkampungan sebelum Pekan Merbuk. Walaupun tidak ramai tetapi mereka bersungguh sungguh membersihan sawang labah labah, menyapu dan mop lantai masjid, menyapu halaman masjid dan memesin rumput disekitar masjid. Sememangnya beberapa kerat ahli kariah ini melakukan kerja kerja tersebut setiap minggu sebagai persediaan untuk solat Jumaat beberapa jam dari sekarang. Sepatutnya aku juga seperti mereka membuat kerja pembersihan masjid kariah taman aku. Aku berdoa semoga dibukakan hati untuk berbuat demikian............
Kelmarin aku terkejut apabila diberitahu bahawa seorang rakan iaitu Shokri Hashim dimasukkan ke hospital Sultan Abdul Halim kerana kemalangan basikal. Aku singgah untuk menziarahnya pada sebelah petang. Dia terjatuh dari roadbikes ketika mengambil 'selekoh U' tidak berapa jauh dari rumahnya pada jam 6.00 petang.  Dia sedang menguji meter yang baru dipasang pada basikal tersebut. Menurutnya dia mengayuh ketika membuat pusingan U dan pedal tersangkut dipermukaan jalan menyebabkan basikal jatuh.
Shokri mengalami kecederaan pada bahagian kepala tetapi tidak begitu serius. Terdapat  luka dibahagian kening sebelah mata kiri dan sedikit luka dibahagian belakang kepala.  Ditakuti ada pendarahan dalaman atau terdapat darah beku. Doktor klinik swata menasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sungai Petani jika mengalami muntah muntah. Dia dimasukkan ke wad untuk pemeriksaan lanjut dan hanya di dischaj pada selepas 12 jam kemudian.
Apa yang mengejutkan ialah kehilangan ingatan sementara (temporary loss of memory). Menurut Shokri dia tidak ingat bagaimana dan dimana kemalangan berlaku, siapa yang menolong membawanya pulang kerumah, membawa basikalnya balik, menghantar ke klinik dan kemudian membawanya ke hospital. Dia hanya dapat mengingatkan apa yang berlaku selepas hampir 18 jam kemudian. Pihak hospital memberikan MC selama 12 hari.
Tidak sangka kemalangan membabitkan basikal boleh jadi begitu teruk sekali. Lebih-lebih lagi tidak mengenakan peralatan keselamatan. Tidak boleh mengambil mudah tentang ciri keselamatan walaupun berkayuh berhampiran rumah dalam kawasan taman. Juga perlu tahu 'the Do's and Don't' menggunakan basikal. Semoga dia cepat sembuh.
Statistik
   Mula ........... 7.45 pagi
   Tiba ...... ..... 8.45 pagi di pekan Tanjung Dawai
   Tamat ......... 10.30 pagi
   Jarak .......... 59.8 km
   Cuaca ......... redup
   Laluan ......... Semeling - Merbok  - Singkir - Tanjung dawai
.

Ahad, 6 Februari 2011

154 km ..... melalui 3 negeri

Aku mengalami sakit perut (mungkin keracunan makanan) selama dua hari dan bernasib baik kerana pulih malam tadi. Rancangan telah diatur untuk kayuhan hari Ahad 06 Feb oleh rakan rakan sejak sebelum Tahun baru Cina untuk membuat kayuhan ke Mahang, Selatan Kedah. Tengah hari kelmarin iaitu satu hari sebelum tarikh kayuhan, Juan dan William telah pergi membuat tinjauan jalan yang akan diikuti menggunakan kereta. Dilapurkan jarak dari Sungai Petani ke Mahang ialah 60 km sehala.
Pada jam 10.00 malam John datang kerumah untuk mendapat pengesahan aku akan ikut serta. Aku berharap perut aku akan pulih sepenuhnya manakala aku juga berharap aku tidak pulih. Pelik sangat bunyinya..... Aku ingin mengikuti kayuhan tersebut tetapi dalam masa yang sama aku ingin mengelakkan kerana tidak yakin samada aku larat menghabiskan.
Aku bertolak pada jam 6.45 pagi menuju ketempat rendevous iaitu menara jam Bandar Sungai Petani. Tiga rider mengekori aku ketika aku sampai ke Pekan  Baru. Juan dan William sebagai organiser telah  berada di 'dataran zero' menunggu rider yang lain sampai. Tiga orang yang bersama aku sempat mengambil breakfast di KFC 24 jam bertentangan tempat kami menunggu. Wah .. basikal yang dibawa hebat belaka. Roadbike aku yang paling sengket ... agaknya.
Semuanya 13 orang rider menyertai kayuhan ini termasuk Ibrahim (bekas anggota TLDM). Ini kali pertama aku akan berkayuh bersama walaupun telah lama kenal. Sebelum ini kami hanya berjumpa semasa kayuhan dan aku tidak berani berkayuh dengannya kerana dia geng roadbikers. Kumpulan pagi ini terdiri 3 orang Melayu, 8 orang Cina, seorang India (Singh) dan seorang Jepun (sudah bersunat). Boleh dianggap kayuhan 1 Malaysia...... Kayuhan dimulakan hampir 7.30 pagi menuju ke arah Kuala Ketil melalui Pekan Lama dan Bandar Puteri Jaya dan membelok ke Sidam Kiri menuju ke Sungai Karangan. Kami melintasi Jalan Butterworth Baling menuju ke Labu Besar hingga ke Pekan Karangan. Dari sini berkayuh melalui ladang kepala sawit sejauh 20km ke Pekan Mahang.

Cuaca amat baik hari ini kerana redup sepanjang jalan setakat kayuhan hingga jam 10.30 pagi. Kebanyakkan jalan berbukit bukit tetapi tidak begitu memeritkan. Jalan dipenuhi dengan selekoh selekoh panjang yang menyeronokkan. Tidak banyak kenderaan melalui jalan ladang ini dan  kayuhan kami tidak banyak terganggu. Perkara yang kurang menyeronokkan ialah jalan yang tidak begitu baik kerana banyak rekahan dan lubang. Mana-mana tempat yang diturap semula tidak rata dan dengan roadbikes yang sememangnya tidak dipasang absorber, getaran dan hentakan agak tidak berapa selesa.
Sesuatu yang diluar jangkaan aku ialah rasa tanggungjawap dan sikap kerjasama yang ditunjukkan oleh ahli kumpulan. Walaupun ada yang berkayuh laju dan menjadi 'leader' pada kelompok 'pelaton', mereka akan berhenti pada setiap simpang menunggu kumpulan dibelakang sampai sebelum meneruskan kayuhan. Ini memastikan tiada siapa yang tercicir atau tersesat memasuki jalan lain. Dalam kumpulan tersebut ada seorang rider baru yang tidak pernah membuat kayuhan jarak jauh, dia sering ketinggalan dibelakang. Ahli kumpulan bergilir-gilir berkayuh dengannya dan memberi kata peransang dan semangat agar dia dapat menghabiskan kayuhan. Ini adalah semangat kesukanan yang tulin dan disanjung.
Walaupun pernah melalui jalan jalan ini dengan kereta, aku tidak ingat lagi tempat tempat tersebut. Aku tertarik dengan nama Ladang Dingin, Ladang Dublin, Felda Gunung Bongsu dan beberapa nama yang aku tidak dapat mengingati. Pekan Mahang lebih kurang sama besar dengan Pekan Semeling dan kami semua singgah disebuah gerai menjual nasi. Sebelum kami bertolak semula aku perhatikan tuan kedai tersenyum lebar kerana semua jualan pagi telah habis. Harga makanan, tidak perlu dicatatkan. Murah.
Dari Mahang kami sepakat untuk terus ke Selama. Diluar laluan yang dirancang. Sekali lagi melalui kawasan ladang kelapa sawit yang berbukit  tetapi menyamankan dan pemandangan yang cantik. Aku diikuti oleh beberapa penunggang motorsikal muda tanpa topi keledar yang mengacukan pelbagai soalan mengenai basikal yang aku tunggang. Ada yang bertanya samada aku mempunyai bekalan air yang mencukupi.
Kumpulan kami memasuki Selama Perak sebelum membelok semula Selama Kedah menuju ke Kulim. Terdapat pendakian yang panjang sebelum sampai di persimpangan Terap/Serdang - Kulim. Kumpulan kami menyerbu kedai makanan di simpang tersebut untuk mendapatkan air minuman. 100 Plus sejuk menjadi pilihan kebanyakkan riders. Setakat ini kami telah berkayuh sejauh 95km dari Sungai Petani dan masih ada lebih 50 km sebelum menamatkan.
Di jalan Kulim - Lunas di kawasan Kelang Lama, aku terdengar satu letupan kecil yang aku sangkakan letupan mercun tahun baru Cina. Tayar depan basikal Ibrahim meletup dan kedengaran walaupun aku berada 60 meter dibelakang. Ramai diantara kami yang membawa 'tiub spare' tetapi tayar spare? macam ada yang tidak kena saja. Keputusan yang dicapai ialah bagi Ibrahim menunggu sehingga anaknya datang dari Sungai Petani dan pulang dengan kereta. Yang lain meneruskan perjalanan. Kumpulan pertama seramai 6 orang terus berkayuh ke Pekan Lunas manakala 6 yang lain membelok ke arah Sungai Seluang. Kurang kesefahaman membuat kumpulan berpecah dua.
Kami menunggu di Restoren Nasi Kandar Maju di Pekan Padang Serai tetapi kumpulan pertama tidak sampai. Setelah mengisi perut kami meneruskan peringkat akhir kayuhan ke Sungai Petani melalui Ekor Kucing dan Pinang Tunggal.
Dalam perjalanan ini aku mendengar handphone aku menerima dua atau tiga SMS. Tetapi aku buat tidak peduli kerana tidak mahu ia mengganggu kayuhan rakan yang lain. Apabila tiba  di persimpangan Pinang Tunggal Penang dan Pinang Tunggal Kedah, aku membaca SMS tersebut dihantar oleh rakan  menyatakan seorang bekas kakitangan syarikat aku bekerja dahulu meninggal dunia pada jam 2.00 petang. Arwah mengalami 'Barah Usus' sejak lebih empat tahun yang lalu. Beliau dinasihatkan berhenti kerja setelah mendapat pencen Socso. Arwah baru berusia 45 tahun dan meninggalkan 6 orang anak yang masih kecil. Seorang rakan mengajak aku menziarahi menaiki keretanya. Alhamdullilah kerana aku sudah tidak larat selepas kayuhan sebentar tadi.

Statistik
   Mula .............. 7.30 pagi
   Tamat ............ 3.15 petang
   Jarak ............. 154 km (standard jarak LTdL)
   Cuaca ............ redup
   Laluan ........... Sungai Petani - Sidam Kiri - Sungai Karangan - LabuBesar - Karangan - Mahang - Selama (Perak) - Selama (Kedah) - Kulim - Padang Serai - Ekor Kucing (Kedah) - Ekor Kucing (Penang) - Pinang Tunggal (Penang) - Pinang Tunggal (Kedah)
.

Khamis, 3 Februari 2011

Kayuhan 'Gong Xi Fa Cai'. Gunung Jerai 01/2011

Tahun Arnab
Terlebih dahulu aku mengambil kesempatan mengucapkan 'Selamat Tahun Baru Cina' kepada MTBikers dan Roadsters yang menyambut Tahun Baru Cina. Xin Nian Kuai Le.
Rancangan kayuhan pagi raya ini telah dibuat dua tiga hari lepas tetapi ada perubahan terpaksa dibuat kerana beberapa rakan lain ada perkara yang lebih penting. Rancangan awal ialah membuat kayuhan ke Pantai Merdeka dan kemudian menaiki bot menyeberang Kuala Sungai Merbok untuk ke Tanjung Dawai dan pulang melalui Merbok. Rancangan kemudian di tukar untuk membuat pendakian Gunung Jerai.  
Aku memang seronok kerana sehingga hari ini hampir enam bulan aku tidak membuat pendakian Gunung Jerai. Itu sebabnya apabila Dahalan memberitahu ramai yang tidak dapat bersama aku akan tetap ke Gunugn Jerai walaupun seorang diri. Aku tidak berapa yakin samada aku mampu sampai ke puncak. Badan pun rasa kurang selesa kerana perut meragam sedikit. Kelmarin satu hari tidak menjamah nasi, hanya makan me dan buah.
Malam tadi tidur lewat dari biasa. Bukan kerana apa. Masuk bilik tidur macam biasa tetapi tepat jam 12.00 tengah malam bunyi mercun dan bunga api menyambut tahun baru cina memekakkan telinga dan terus tidak boleh tidur hingga semua reda stu jam kemudian. Dari mana datangnya mercun dan bunga api dalam  kuantiti bagitu banyak amatlah menghairankan. Tidak nampak mercun dijual dimana mana kedai pun. Satu lagi perkara yang menghairan ialah tidak pula lapuran atau berita anak anak cedera atau putus jari akibat bermain mercun pada musim sambutan tahun baru cina.
Dalam perjalanan menuju ke Gurun aku ternampak tidak kurang tujuh lapan riders di jalan lencongan barat. Salah seorang adalah rakan aku John. Mereka bermula agak awal. Agaknya sebentar lagi lebih ramai riders kerana cuti am. Sempat membeli sebungkus nasi lemak di Pekan Bedong untuk dimakan sebelum memulakan kayuhan. Harganya masih murah, cuma RM0.50, kebanyakkan tempat kini menjual dengan harga RM0.70 atau lebih. Terpaksa menunggu lama di lintasan keretapi Pekan Bedong kerana keretaapi membawa gerabak menuju keselatan. Apa yang lain mengenai keratapi ini ialah jumlah gerabak yang begitu banyak dan aku melihat satu lagi locomotive (kepala keretapi) dibahagian tengah. Rasa gebarak melebihi satu ratus unit.
Aku sama sekali tidak menduga rakan yang lain dari Pinang Tunggal akan datang. Jadi sebaik sampai di kaki gunung aku menurunkan basikal dan bersiap untuk membuat kayuhan. Terdapat ramai rider yang berkumpul untuk membuat pendakian. Setelah mengayuh hampir 2 km aku menerima panggilan telepon mengatakan ada empat orang rakan yang baru sampai.Aku menreuskan kayuhan dan menunggu mereka di luar resort nanti.
Sesiapa nak komen ?
Setelah enam bulan tidak membuat kayuhan disini ternyata amatlah memeritkan. Aku hampir give up dipendakian pertama antara Km 11 dan Km 10. Sebelum KM 9 seorang rider memotong, aku hanya mampu berkata "jom lah dulu". Aku berfikir, wah kuat juga rider ni kerana mampu memotong aku dengan kelajuan 2 atau 3 km/j lebih dari kelajuan aku. Sesampai dihentian rehat pertama  di KM 9, aku nampak rider tersebut berhenti rehat. Macam cerita kanak kanak 'arnab berlumba dengan kura-kura'. Aku terus membuat kayuhan dan itulah kali terakhir aku melihat rider tersebut.
Marker kayuhan aku adalah batu penanda KM. Pada kayuhan terdahulu aku akan  berhenti rehat sebentar di KM 7. Apabila sampai aku merasakan masih bertenaga untuk berkayuh dan rasanya boleh sampai di hentikan rehat KM6. Disini juga aku tidak berhenti dan aku bertekad untuk meneruskan kayuhan dan akan berehat di KM3 iaitu di tempat rehat Muzium Perhutanan. Kira 1km sebelum sampai aku melihat seorang rider cina bersama rakannya mengalami kerosakkan basikal, rantai basikal melompat ke bahagian sebelah dalam diantara hub dan cassette. Aku terpaksa berhenti untuk memberi cadangan cara membaiki. Aku sendiri tidak membawa tools yang diperlukan.
Agak terkejut juga kerana aku masih bertenaga meneruskan kayuhan tetapi terpaksa berhenti pada pendakian terakhir iaitu lebih kurang 200 meter sebelum puncak untuk meneguk air. Tekak dan mulut terasa amat kering. Ini adalah satu kejayaan besar untuk diri aku kerana aku hampir hampir berjaya membuat pendakian tanpa berhenti. Aku tidak turun dari basikal tetapi mengayuh perlahan-lahan sebelum mengayuh turun. Sebelum muzium perhutanan tiga orang rider sedang membuat pendakian dan terdapat beberapa orang lagi sedang berehat.
Pada KM4 aku disekat oleh rakan dari Pinang Tunggal yang tengah duduk berehat. Mereka masih ada lagi 3 km sebelum sampai kepuncak gunung. Aku berhenti dan bersembang.

Zaidi "saya masih belum sihat lagi ni. Lepas ni nak datang dua minggu sekali",

Dahlan "hari ini sessi mengambil gambar sahaja, untuk facebook",

Kuori "peluh dalam badan dah habis keluar dah, kering"

Jat, aku tidak ingat apa dia komen .

Kemudian aku mengikut mereka untuk berehat di muzium. Pekena 1 tin 100 plus sejuk. RM2.00 se. Mereka meneruskan pendakian sementara aku turun untuk pulang.
Jalan di Gunung Jerai agak sibuk waktu aku mengayuh turun. Orang ramai mengambil kesempatan untuk mengunjungi tempat peranginan tersebut sempena cuti hari ini. Ramai juga orang berjalan kaki ke atas. Beberapa biji kereta mini tidak pasti dari kelab mini mana menuju keresort. Sampai dikaki gunung aku melihat ramai rider menunggang roadbikes sedang berehat. Aku tidak pasti samada mereka telah membuat pendakian atau belum kerana aku tidak berselisih dengan mereka semasa mendaki dan menurun gunung.


Statistik :
   Mula .......... 8.15 pagi
   Sampai ...... 10.10 pagi
   Tamat ........ 11.20 pagi
   Cuaca ........ nyaman
.