Halaman

Jumaat, 18 Februari 2011

Tiga bukit

Rancangan awal hanyalah untuk membuat kayuhan ke Rekreasi Tupah dengan roadbikes. Pada persimpangan MRSM Merbok aku membelok ke kanan untuk membuat pendakian dibelakang UiTM Merbok. Walaupun pendek aje tetapi mencungap juga untuk sampai keatas. Pendapat aku sekiranya aku tidak menghadapi sebarang masalah pada bukit ini aku pasti akan sampai ke penghujung jalan rekreasi Tupah. Ini adalah kali pertama aku menggunakan roadbike untuk ke Tupah.
Suasana nyaman, tenang dan damai melalui jalan dari Pekan Semeling ke Merbuk
Tiada berjumpa dengan mana mana rider pun pagi ini. Sesampai di atas aku menghilangkan penat dengan mengayuh dengan berpusing pusing dikawasan lapang sebelum kayuhan turunt. Aku terkejut apabila sekumpulan kera secara tiba tiba bertempiaran lari sambil menjerit apabila aku menghampiri mereka. Dulu pernah aku dikejar oleh seekor kera jantan.
Sekali lagi aku menukar fikiran. Sepatutnya aku berkayuh pulang tetapi membelok ke kanan untuk ke Merbuk dan berhasrat untuk membuat satu lagi pendakian ke Muzium Arkeologi.  Pagi masih awal dan cuaca begitu elok sekali. Di Pekan Merbuk aku mendengar hiruk pikuk bising dari kawasan pasar awam. Pasar minggu diadakan pada pagi Jumaat. Aku berhasrat untuk singgah meninjau kalau ada yang special yang di jual di pasar minggu ini.
Bagaikan tidak larat untuk meneruskan pendakian apabila sampai ke persimpangan Damai Resort. Disinilah kuasa mental mengalahi fizikal. Aku meneruskan kayuhan walaupun mahu sahaja berpatah balik. Apabila hampir dengan pintu masuk muzium aku nampak empat orang rider sedang berehat. Aku memberi salam dan menghabiskan pendakian di kawasan tempat letak kereta. Aku berpatah semula ke tempat mereka berehat untuk berkenalan dan berbual. 
Satu perkara yang aku sanjung ialah kebanyakkan orang Kedah mempunyai budi bahasa yang elok. Mereka semua memanggil aku 'Pak Long' sebagai tanda hormat kepada orang tua. Mereka kelihatan sangat letih dan telah kehabisan bekalan air setelah berkayuh dari Bandar Puteri Jaya.  Siap baring dan membuka baju dan kasut. Minggu lepas mereka membuat kayuhan ke rekreasi Tupah. Agak kagum bila aku katakan aku berada di Tupah sebentar tadi.
Seorang yang mungkin sebagai leader mengajak untuk bergambar di kawasan bangunan muzium untuk dijadikan bukti yang mereka telah sampai disini. Aku mencadangkan supaya mereka terus naik ke kawasan tapak candi. Dia juga sempat mempelawa aku untuk mengunjungi lama web kumpulan mereka 'gerekbasikal.blogspot.com'.
Satu nasihat yang aku berikan sebelum berpisah adalah untuk meneruskan aktiviti ini untuk menjamin kesihatan diri. Lupakan saja untuk mengempiskan perut yang boroi atau  untuk menguruskan badan, apa yang penting adalah kesihatan dan 'have fun'. Minda yang sihat bermula dari fizikal yang sihat  dan vice versa.
Bagaikan tidak percaya bila diberitahu Milo kosong dan roti telur yang aku pesan sudah dibayar. Aku tidak kenal sesiapa pun yang minum digerai tersebut. Tuan kedai menyatakan seorang regular customer berhajat untuk bersedekah dan beredar tanpa disedari. Aku meninggalkan pesan kepada tuan kedai untuk mengucapkan terima kasih kepada hamba Allah tersebut bila dia datang lagi ke gerai tersebut. Ini kali kedua makanan dan minuman aku di gerai ini dibayar oleh orang yang tidak aku kenali. Pemurah sungguh orang orang kampung disini. Moga di murahkan dan ditambahkan rezeki mereka.
Sebenarnya aku tidak berapa selesa singgah minum pagi di gerai yang kerap aku kunjungi apabila membuat kayuhan disebelah sini. Aku tiada wang kecil. Takut tuan kedai tidak mempunyai wang tukar. Aku fikir kalau tiada mungkin aku akan minta tangguh bayar hingga aku datang semula. Alhamdullillah, masih ramai insan yang berhati mulia dan ingin mencari pahala dengan memberi sedekah dan membuat kenduri pada bulan kelahiran junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Statistik
   Mula ............... 7.55 pagi
   Tamat ............. 10.30 pagi
   Jarak .............. 47 km
   Cuaca ............. panas
   Laluan ............ Semeling - Rekerasi Tupah - Muzium Arkeologi
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan