Halaman

Ahad, 13 Februari 2011

Gunung Jerai 02/2011

Siapa kata senang. Lebih-lebih lagi pada usia aku sekarang. Aku mengucapkan tahniah kepada diri aku sendiri kerana berjaya sampai pintu masuk ke Jerai Resort Gunung Jerai tanpa henti dan mengambil masa kurang sedikit dari dua jam. Ini adalah azam yang aku buat selepas kayuhan pertama 10 hari lepas. Pada kayuhan tersebut aku berazam untuk sampai ke puncak tanpa behenti  tetapi terpaksa turun dari basikal sebentar di KM4 untuk memberi pertolongan kepada seorang rider yang mengalami masalah pada rantai yang terkeluar dari rear derailer.
Beberapa kali aku hampir mengaku kalah dan terasa tidak mampu lagi meneruskan kayuhan, tetapi aku kuatkan semangat dan berkata akan turun dihadapan sana. Apabila hendak berhenti, aku rasa mempunyai tenaga untuk meneruskan. Pada pondok hentian di Muzium Perhutanan aku nyaris berhenti rehat tetapi setelah aku membuat beberapa pusingan di tempat yang rata, keletihan berkurangan dan aku meneruskan kayuhan yang hanya tinggal dua kilometer. Tiga orang rider muda yang memotong aku sedang berehat.
Bagaimana aku hendak menerangkan keadaan fizikal semasa membuat pendakian ini. Peluh dari kepala mengalir tanpa henti terutama dari kepala dan rambut. Terpaksa menghembus dengan kuat setiap  10 saat supaya peluh tidak masuk ke mulut. Aku juga menggunakan sarong tangan dan lengan baju untuk mengelap peluh. Selepas 1 jam peluh berhenti mengalir, agak sudah habis keluar. Otot pada peha dan betis terasa keras, kejang dan berat. Yang amat menyiksakan ialah punggung terasa pedih kerana geselan pada seat basikal. Anu aku terasa mengecut dan hilang, disebabkan kebas. Denyutan jantung amat laju dan menyebabkan tercungap cungap. Tekak menjadi kering hinggakan terasa pedih untuk menelan air liur. Kelajuan pada tahap minima. Kecuraman nampak seperti menegak, basikal pun terhuyung hayang. Batu kecil yang dilanggar bagaikan sebesar buah apple.
Aku sedikit kecewa kerana ketiadaan orang menjual air tempat letak kerata muzium tersebut. Semasa cuti tahun baru cina yang lepas, ada yang menjual air dan makanan ringan dari dalam kereta kancil. Barangan jualan di letakkan di dalam but kereta dan bonnet belakang kereta dibuka luas mempamirkan barangan jualan. Sama seperti 'Car Boot Sale'. Idea yang sangat enterprising. Aku berkira kira untuk membeli air 100 Plus yang disejukkan.
Kumpulan kali ini seramai lapan orang. Empat orang belum pernah membuat kayuhan mendaki gunung sebelum ini. Masing masing menyatakan tidak pasti boleh menghabiskan kayuhan. Tetapi mereka semua masih muda dan banyak tenaga. Kali pertama membuat pendakian pada awal tahun 2010, aku boleh sampai.
Aku bermula terkemudian sekali kerana beberapa perkaran kecil yang kena diperbetulkan seperti memasang meter (yang penting adalah jam), memeriksa brake dan menanggalkan helmet. Semasa pendakian helmet tidak diperlukan kerana kelajuan yang kurang dari 7 kmj. Kumpulan jauh meninggalkan aku dibelakang tetapi aku yakin akan dapat bersama mereka semasa pendakian.
Oh... di kaki gunung tadi aku nampak Cik Gu Ya (Pak Ya) dan sempat bertanya khabar. Menurutnya dia seperti aku sudah agak lama tidak membuat kayuhan mendaki Gunung Jerai. Dia sedang menunggu kawan di tempat letak kereta. Sibuk dengan kenduri di musim cutiyang lalu. Dia bermula kayuhan bersama aku tetapi aku tahu sebentar nanti dia akan meninggalkan aku. Dia ada power.
Dua orang dari kumpulan aku berehat pada pondok pertama sebelum KM9, yang lain berehat di pondok ketiga selepas KM7. Aku meneruskan kayuhan dan berjanji untuk berjumpa diatas. Keadaan masih berkabus di Jerai Resort walaupun telah hampir 10.30 pagi. Ini menyebabkan suhu cuaca amat sejuk dan dapat menyejukkan badan. Beberapa orang rider yang sampai dahulu dari aku sedang berehat dengan membuka baju.
Semasa turun, aku berjumpa dengan kumpulan 5 orang pertama di pondok rehat muzium dan dua orang lagi di KM4. Masih ramai yang sedang membuat pendakian dan baru bermula. Kesihan, aku nampak dua orang sedang menolak basikal kearah pondok rehat KM6. Mungkin kali pertama membuat pendakian. Well .... sekurang kurang mereka berani mengambil cabaran.

 
 

Statistik
   Mula ............ 8.25 pagi
   Tiba ............. 10.20 pagi (dipuncak)
   Tamat .......... 11.20 pagi
   Cuaca .......... sejuk. Kabus di puncak. Suhu 20 C
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan