Halaman

Khamis, 29 September 2011

kayuhan nyahlemak ....

Sebaik sahaja aku keluar dari kawasan rumah menuju ke jalan besar, aku melihat John menghabiskan kayuhan dan pulang kerumah. Hanya sempat mengangkat tangan kepadanya. Sudah lama tidak berkayuh dengannya, kali terakhir ialah pada kayuhan ke Alor Setar bulan lalu. Mungkin kerana kesibukkan kebanyakkan geng aku sekarang lebih banyak membuat kayuhan solo.
Aku masih mencari rentak dan masih dalam proses memulihkan daya kayuhan selepas berehat pada bulan Ramadhan. Dua tiga hari kebelakang ini hujan turun pada awal pagi, tidak dapat menyempurnakan hajat untuk berkayuh.
Hari ini aku bercadang untuk ke Muzium Arkeologi Merbok. Pada mulanya aku bercadang untuk ke Yan dan pulang melalui Guar dan Gurun tetapi teringat ada lagi open house yang perlu dihadiri pada tengah hari dan malam nanti. Jadi terpaksa memendekkan kayuhan setakat muzium sahaja. Kayuhan tersebut memberikan peluang untuk menguatkan otot otot betis dan peha dengan pendakian sederhana. Juga aku ingin membakar lemak dan kolestoral dalam badan yang dikumpulkan akibat jamuan rumah terbuka.
Aku berasa bersalah betul kalau tidak membuat kayuhan. Terlalu banyak menjamah makanan yang berisko tinggi semasa menghadiri jamuan rumah terbuka, yang banyak mengandungi lemak dan kolestoral. Juga banyak meneguk air yang mengandungi terlalu banyak gula. Diharapkan exercise yang dilakukan sedikit sebanyak mengurangkan kandungan lemak dan gula dalam badan.
Sepanjang kayuhan pagi tadi aku tidak dapat mengelakkan dari memikirkan tentang beberapa jamuan rumah terbuka yang sempat aku hadiri selepas hari raya tahun ini. Lebih lebih lagi aku tidak dapat mengnyahkan apa yang dilihat pada jamuan raya Lemang Pak Teh yang pernah aku catatkan dalam blog ini minggu lepas. Jamuan atau rumah terbuka ini agak berbeza dengan jamuan rumah terbuka yang lain kerana ia 'benar benar terbuka' dalam ertikatanya. Sesiapa sahaja boleh hadir terutama kepada pelanggan dan penduduk berdekatan berbanding dengan jemputan ke rumah terbuka yang lain.
gulai daging batang pisang ... spesial dari Baling
Apa yang menyentuh sangat perasaan aku ialah sikap dan perangai orang yang datang untuk menjamu selera pada majlis tersebut. Aku menjadi mual dan menyampah melihat perangai kebanyakkan orang menjamu selera. Sudahlah mereka seolah oleh menyerbu meja dimana makanan diletakkan, berpusu pusu dan berebut rebut untuk mendapatkan makanan. Agaknya kalau lambat makanan akan kehabisan dan mereka tidak dapat makan.
Aku tidak dapat menahan rasa geram dan kesal melihat kuantiti makanan terutama lauk pauk yang diletakkan di pinggan. Rasanya boleh dikongsi tiga empat orang. Sudahlah semasa menceduk lauk mengambil masa lama kerana memilih bahagian yang sedap dan berdaging sahaja, menyebabkan orang yang dibelakang menjadi tidak sabar dan queue menjadi semakin panjang. Rasanya ada mengambil lauk daging lebih dari setengah kilo(!) untuk dimakan seorang. Kalau difikirkan mereka seperti tidak pernah makan lauk yang sedemikian.
Selepas mengambil makanan utama ambil pula makanan sampingan lain seperti laksa, mee hon, lemang atau ketupat. Hinggakan kedua dua belah tangan penuh dengan makanan. Seperti pelayan kedai makanan Minang aje dimana seorang pelayan mampu menyusun sehingga berbelas piring lauk diatas tangan untuk dibawa ke meja pelanggan. Bukan hanya kanak kanak yang membuat perangai sebegini tetapi yang telah berumur lelaki dan perempuan melebihi kanak kanak.
Apa yang boleh aku buat hanyalah meluahkan perasaan kepada beberapa rakan. Dia pun setuju dengan aku. Aku rasa sudah tiba masanya untuk penganjur jamuan terbuka seperti ini 'mengaturkan' cara orang ramai mengambil makanan. Contohnya menugaskan orang untuk membubuh lauk pauk ke dalam pinggan.
Aku sempat menikmati pemandangan yang air mengalir pada hamparan sungai Batu Pahat bersebelahan dengan muzium arkeologi. Kedatangan kali ini  mendapati air sungai agak banyak berbanding pada waktu lain aku datang kesini. Aku bersiar siar dikawasan perkelahan dan sempat mengambil beberapa shot gambar. Masih tiada pengunjung di kawasan ini melainkan beberapa orang kakitangan muzium yang sedang melakukan kerja kerja senggaraan dan pembersihan.
Aku juga mengambil kesempatan untuk mengikuti laluan ditepi pangar muzium menuju ke sungai di luar kawasan perkelahan. Belum pernah aku ke sini sebelum ini. Semasa menuruni bukit aku melihat seekor kucing kutan yang agak besar dan dalam sekelip mata menghilangkan diri kedalam semak hutan apabila menyedari kehadiran aku disitu. Aku bersedia dengan kamera kalau kalau dia muncul semula tetapi terpaksa berkayuh pulang setelah menunggu hampir 10 minit. Kucing hutan yang agak besar dan nampak 'brutal' tidak kelihatan.
Gerai roti canai yang sering aku langgani berubah wajah. Tambahan dibuat untuk membolehkan lebih banyak meja untuk pelanggan. Pokok ceri dimana aku sering menyandarkan basikal telah ditebang untuk bangunan tambahan. Aku tercari cari tempat untuk meletakkan basikal. Walau masih belum sempurna kerana lantai hanya dibubuh batu kelikir tetapi ia menyediakan ruang yang selesa.
Menu makanan juga ditambah. Kini gerai tersebut menjual nasi dengan beberapa jenis lauk pauk kampung. Nampak menyelerakan tetapi aku masih belum dapat membiasakan diri dengan memakan nasi sebelum tengah hari.
Satu tidak berubah digerai tersebut. Harga makanan dan minuman. Ketika membuat bayaran untuk sekeping roti canai dan secawan Milo 'O', masih pada harga lama lagi. Kebanyakkan kedai makana di bandar Sungai Petani menaikkan harga makanan selepas hari raya yang lepas. Minggu lepas aku terkejut apabila harga semangkuk cendul menjadi RM2.00 berbanding dengan RM1.50 sebelum bulan puasa. Sebagai protes aku berjanji akan mengelakkan minum cendul digerai tersebut. Cendul mamak berhampiran stesyen bus lebih enak dan masih pada harga lama.

Statistik
   Mula .............. 7.45 pagi
   Tamat ............ 10.00 pagi
   Jarak ............. 42 km
   Cuaca ............ Redup
   Laluan ........... Pekan Semeling - Pekan Merbuk - Muzium Arkeologi
     

Ahad, 25 September 2011

Hilir mudek .. Sungai Muda


Mengapa akhir akhir ini aku kerap mengikuti laluan Pinang Tunggal? Ada dua sebab utama. Pertama kerana aku singgah di bangsal cendawan yang aku usahakan bersama dengan seorang rakan yang terletak di Kampung Seberang Tok Soh Pinang Tunggal lebih kurang 13 km dari rumah. 
Selalunya rakan aku akan sampai jam 07.00 pagi, mengutip cendawan yang telah matang, memproses, membungkus dan menimbang. Kemudian pada jam 8.00 pagi dia akan menghantar cendawan kepada peruncit. Aku pula membersihkan bongkah yang baru dituai dan menutup untuk merehatkan bongkah tersebut untuk dua minggu, membuka bongkah bongkah baru, membersihkan lantai dan menyiram air.
Selepas siap tugas yang mengambil masa hampir 45 minit, aku akan meneruskan semula kayuhan. 
Pagi ini aku menyusuri iaitu mudik kehulu Sungai Muda melalui Kampung Padang Buluh dan Padang Saga sehingga jambatan Sidam. Dikiri kanan jalan kelihatan petani sedang sibuk mengerjakan bendang untuk musim baru. Aku seronok melalui rumah rumah rumah kampung dikiri kanan jalan. Suasana dan pemandangan kampung menimbulkan nostalgia. Kampung disini sama saja dengan kampung halaman aku di Negeri Sembilan. Redup kerana dikelilingi pokok pokok buah-buahan, halaman yang luas dan bersih, disapu hari, ternakan ayam dan itik berkeliaran di keliling rumah bersama anak anaknya, pokok bunga ditanam ditepi sebagai penyeri dan beza utama kehadiran kenderaan termasuk kereta dan motorsikal.
Hidung aku menghidu bau ikan masin goreng dari salah sebuah rumah. Bunyi ikan yang sedang digoreng jelas kedengaran. Terbuka selera aku tapi ndak buat macam mana. Sekadar sahaja. Mungkin penghuni akan makan ikan masin dengan pulut atau nasi yang baru masak dan berasap.
Kemudian menyeberang jambatan ke Sidam Kanan dan menyusur ke hilir sungai hingga ke jambatan Pinang Tunggal. Sidam Kanan terletak di Daerah Kulim manakala Sidam Kiri terletak dalam Daerah Kuala Muda. Sungai Muda memisahkan kedua dua Sidam.
Terlalu banyak perubahan yang berlaku semenjak kali terakhir aku melalui jalan ini lebih 15 tahun lalu. Selain dari projek tebatan banjir yang mengubah landscape kawasan ini, kampung ini banyak membangun memandangkan ia hanya 4 km dari Pekan Padang Serai. Selain dari kawasan pertanian banyak juga industri kecil dibangunkan di kawasan ini.
Teringin juga untuk aku melalui lorong lorong kecil yang banyak menyimpang dari jalan utama. Tetapi kerana kesuntukkan masa dan telah agak lama berkayuh, maka hasrat tersebut ditangguhkan dahulu. Jika semua dibuat pada satu kayuhan, akan kehabisan tempat untuk di lawati dimasa akan datang.

Statistik
   Mula ................. 7.45 pagi
   Tamat ............... 10.15 pagi
   Jarak ................. 51 km
   Cuaca ............... Jerubu
   Laluan .............. Pinang T unggal - Sidam - Padang Serai - Ekor Kucing
     

Sabtu, 24 September 2011

kawan seperkayuhan ... lama tak jumpa

Perut dah kempis dan terasa lapar sangat. Walau baru memulakan kayuhan semula, aku sudah planning gerai mana, apa yang hendak dimakan dan diminum. Singgah sebentar di pintu utama Loji Pembersihan Air HiTech, Pinang Tunggal untuk berjumpa seorang kawan bekerja sebagai Pegawal Keselamatan. Malangnya di baru tamat kerja shift malam pada jam 7.00 pagi tadi. Dia baru beberapa bulan bekerja semula sebagai pengawal keselamatan di loji tersebut setelah hampir 18 bulan berhenti kerana mengidapi penyakit barah usus. Kini telah sembuh dan boleh bekerja semula.
Dari jauh aku melihat seorang rider bersendirian sedang minum di gerai dihadapan loji tersebut, aku memperlahankan basikal untuk melihat kalau kalau aku kenal dengan rider tersebut. Dengan sponstan aku membelok masuk kerana dia adalah kawan yang aku kenal tiga tahun dahulu. Pertama kali aku berjumpa dan berkenalan dengannya digerai yang sama. Ketika dia singgah untuk berehat selepas turun berkayuh dari Bukit Birut Pinang Tunggal. Beberapa kali aku berkayuh dengan Johari termasuk ke Sik, Gunung Jerai dan Pengkalan Hulu. Kami bersembang hampir 1 jam.
Hari ini memang ramai yang melakukan aktiviti berbasikal. Semasa kayuhan pagi tadi aku terserempak dengan beberapa rakan yang selalu bersama beberapa bulan lalu. Mereka (Dahlan dan Izat dari D'Nia Bikes Pinang Tunggal) mengajak aku untuk ikut serta membuat pendakian Bukit Birut, tetapi terpaksa menolak kerana aku sedang berkayuh ke bangsal tanaman cendawan untuk membantu rakan.
Dalam surat khabar hari ini ada rencana tentang basikal yang menjadi kegemaran anak anak muda masakini. Basikal 'Fixie' ini yang paling sempoi (simple) kerana tidak mempunyai gear atau brek. Murah dan mempunyai warna yang menarik. Ramai juga rakan rakan yang seangkatan berminta dengan basikal ini tetapi 'mampuih' tidak akan membelinya kerana tidak mahu kelihatan terlalu ranggi. Biarkan sahaja anak anak muda memonopoli basikal jenis ini.


Sebaik sahaja aku membelok masuk ke lorong rumah aku nampak SK Juan berkayuh untuk balik. Dia datang untuk berjumpa dan menunjukkan basikal barunya kepada aku. Patutlah sudah beberapa hari aku tidak berjumpa dengannya. Rupanya dia sibuk dengan projeknya. 

one of a kind ... buatan Sg Petani.

Basikal ini akan dihantar ke Sydney untuk cucunya ...

      

Jumaat, 23 September 2011

Sambil menyelam minum air

Semasa mengemaskan khazanah lama yang disimpan dibilik belakang aku terjumpa radio kecil dalam salah sebuah kotak menyimpan fail lama. Nampak masih elok dan aku tidak ingat yang aku pernah memilikinya. Kemudian aku teringat bahawa radio tersebut diberikan oleh seorang rakan sekerja yang membeli bateri AA dan mendapat radio tersebut sebagai hadiah.
Radio ini simple sahaja. Punat ON/OFF dengan sekali dengan volume control. Tiada display untuk frequency dan stesyen radio dicari di engan menggunakan satu butang scan. Walau kecil kualiti bunyi amat bagus sekali. Tiada aerial, ia menggunakan kabel headphone sebagai aerial. Tiada speaker, bunyi hanya boleh didengar menggunakan headphone. Kuasa dari batteri kering AAA.
Aku bubuh bateri dan meminjam headphone kepunyaaan anak remaja aku dan bunyinya begitu jelas. Headphone memainkan peranan penting mengeluarkan bunyi yang bertaraf HiFi. 
Pada kayuhan pagi ini aku teruja untuk mencuba radio tersebut. Memang seronok berkayuh sambil mendengar lagu sambil membuat kayuhan. Stesyen kegemaran ialah 'Light FM' dan 'Classic FM'. Kedua dua stesyen ini memutarkan lagu lagu zaman aku muda dahulu.
Beberapa perkara perlu dipraktiskan jika mendengar radio ketika kayuhan. Tentukan volume tidak begitu kuat sehingga tidak mendengar bunyi lain terutama bunyi kenderaan dibelakang kita. Jika ini berlaku ia akan membahayakan diri. 
Aku tidak mendengar secara radio berterusan atau terlalu lama. Aku akan menutup radio selepas satu jam dan merehatkan telinga aku selama 15 hingga 30 minit. Kadangkala aku hanya menggunakan sebelah telinga sahaja.
Apa kelebihan selain dari terhibur. Bukan hanya mendengar lagu tetapi banyak celoteh celoteh DJ yang dapat memberi pengetahuan kepada kita. Dapat juga meng'update' dengan berita semasa samada dalam atau luar negara, ceramah ceramah radio dan kuiz.
Kadangkala irama muzik menjadi penggalak kepada kayuhan. Semakin rancak irama lagu dimainkan semakin rancak pula kayuhan, mengikut rentak dan gendang lagu yang berkumandang. Boleh naik 'syeikh'. Tak percaya. Cuba sendiri. Pernah menari tanpa muzik? Kan rasa ganjil dan pelik. Bolehkah menari kuda kepang tanpa gendang?.
Ia hanya sekadar pembaharuan dalam aktiviti kayuhan, lebih lagi kalau berkayuh secara solo. Nawaitu betul. Bukan untuk mengasyikan atau melalaikan tetapi sebagai menjadi teman dan tidak menjemukan. Boleh buat kita lupa pada keletihan, dahaga atau lapar. Kadangkala perjalan jauh tidak begitu terasa, tau tau sudah sampai kedestinasi.

Statistik
   Mula ..............7.45 pagi.
   Tamat ........... 10.00 pagi
   Jarak ............. 44 km
   Cuaca ............ redup
   Laluan ........... Pinang Tunggal - Pantai Prai - Sidam Kiri - Bandar Puteri Jaya
    

Selasa, 20 September 2011

Lemang Pak Teh

Hari ini aku membuat keputusan untuk membuat kayuhan pada sebelah petang walaupun tidak tahu samada hujan akan atau tidak. Jika hujan petang batal sahaja. Ada komitmen yang kena selesai pada sebelah pagi.
Memang kebelakangan ini aku jarang membuat kayuhan sebelah petang melainkan kayuhan pendek bawah 20km. Salah satu sebab ialah masalah cuaca. Jika mula awal matahari masih panas, dan kalau mula agak lambat bila pulak nak sampai kerumah. Perasaan jiran dan penduduk taman kena ambil kira juga. Jangan balik dekat atau lepas waktu Maghrib, tak pasal-pasal jadi sebutan atau buah mulut masyarakat sekeliling. Apatah lagi jika kita ada memegang apa apa jawatan dalam sebarang pertubuhan atau persatuan di taman kita tinggal.
Aku berkayuh melalui jalan yang kerap aku ikut menggunakan kereta. Pelik, banyak perkara yang kita tidak nampak apabila memandu kerana kita tumpukan perhatian kepada jalan dan kenderaan lain. Apabila menyusuri jalan yang sama kita melihat pemandangan yang amat berbeza, seolah olah tidak pernah melalui jalan tersebut. Segala butiran terperinci dapat dilihat. Kita melihat secara jelas penduduk, anak anak mereka, aktiviti yang dilakukan dan pelbagai lagi. Paling seronok dapat bertegur sapa dan bertanya khabar tanpa perlu memberhentikan basikal.
Aku menyusuri tebing Sungai Muda dan melihat projek tebatan banjir yang sedang rancak berjalan. Tidak kurang rancaknya projek laluan keretapi bekembar dari Bukit Mertajam ke Utara. Projek ini dijangka siap pada penghujung 2013.
Gunung Jerai dari Pinang Tunggal
Aku bekayuh perlahan melalui Kampung Pinang Tunggal, Pematang Kedondong dan Kampung Jawa. Pemandangan memang seronok dan mengasyikkan. Musim kesawah baru bermula dan kelihatan ramai petani berada dibendang sedang membajak. Kerja kerja membajak menggunakan traktor atau bajak kecil jenis Kobota. Disebelah kiri pula Sungai Muda, ramai juga kelihatan pemancing yang mencuba nasib di tebing sungai. Manakala dibelakang aku kelihatan pemandangan kegemaran aku iaitu Gunung Jerai.
Di Kampung Jawa kini kelihatan rumah yang lebih selesa dibina. Boleh dikatakan tahap kehidupan penduduk kini jauh lebih tinggi dari beberapa tahun lalu. Apa yang aku dengar ramai penduduk di tebing Sungai Muda mendapat pampasan  lumayan apabila tanah mereka diambil oleh kerajaan untuk projek tebatan banjir. Ramai yang menggunaka wang tersebut untuk membina rumah yang lebih selesa dan cantik. Ada juga yang lain menghabiskan duit pampasan dengan cara yang tidak berapa berfaedah dan kini telah habis dibelanjakan.
Aku singgah ditempat penyediaan, pembakaran dan penjualan 'Lemang Pak Teh' untuk berjumpa dengan rakan rakan disana. Disebelah utara kalau disebut Lemang Pak Teh Sungai Petani ramai yang sudah tahu keenakkan dan kelazatannya. Tempat jualan lemang terletak di Taman Sri Pinang di jalan utama Sungai Petani - Butterworth berhampiran Pekan Tikam Batu.
Perusahan Lemang Pak Teh ini bermula lebih 12 tahun lalu dan berniaga berterusan tiga bulan setiap tahun. Penjualan akan bermula satu minggu sebelum Hari Raya Aidil Fitri dan berterusan sehingga Hari Raya Haji. Mulai tahun ini lemang Pak Teh boleh didapati setiap hari sepanjang tahun, tetapi jumlah jualan hanya setakat 20 batang (5 kilo beras) sehari.
Aku kenal dan rapat dengan pemilik dan rakan kongsi ini, turut berbangga dengan pencapaian dan kejayaan mereka. Jualan pada setiap musim melebihi 250 ~ 300 ribu. Pada hari yang sibuk iaitu petang sebelum hari raya, jualan boleh mencecah hampir 10 ribu ringgit. Jualan berterusan disepanjang satu bulan selepas raya kerana banyak menerima tempahan dan pemintaan dari orang persendirian, jabatan, agensi kerajaan dan syarikat swasta yang mengadakan rumah terbuka.
Lebih membanggakan perusahaan ini memberi peluang pekerjaan kepada penduduk yang juga rakan dan jiran di taman tersebut. Semasa peak time (masa puncak), perusahaan lemang ini menggaji hampir 40 orang atau lebih pekerja. Ini tidak termasuk pembekal buluh lemang, daun pisang dan kayu api dan pembekal santan kelapa.
Pekerja di perlukan untuk membasuh beras dan buluh, memotong dan memasukkan daun pisang kedalam buluh, memasukkan beras pulut dan santan kedalam buluh, menyusun dan membakar lemang, pembakaran kayu dan menjaga bara api, memusingkan lemang yang sedang dibakar (ini kerja yang paling panas), membungkus dan menjual lemang.
Setiap pekerja dilengkapktan dengan T-shirt sebagai pakaian seragam.
Semua tenaga kerja terdiri dari penduduk tempatan. Aku difahamkan ada pekerja yang boleh membayar sewa rumah untuk satu tahun dari pendapatan bekerja disini untuk satu musim. Perbelanjaan lain pula dari kerja kerja lain yang dibuat. Perancangan ini amatlah baik sekali.
Sudah menjadi tradisi setiap tahun, Perusahaan Lemang Pak Teh akan mengadakan jamuan Hari Raya Aidilfitri pada hari Rabu 28 September 2011 mulai jam 08.15 malam. Ini adalah sebagai penghargaan kepada pelanggan, pekerja, penduduk taman berhampiran serta kawan, rakan dan sahabat andai, Semua dijemput.

Statistik
   Mula .............. 5.30 petang
   Tamat ............ 6.35 petang
   Jarak ............. 25 km
   Cuaca ............ nyaman
   Laluan ........... Pinang Tunggal - Taman Rhu
    

Ahad, 18 September 2011

seromban pun tak sampai ...

Kelmarin aku cuti satu hari dari membuat kayuhan. Aku merancang untuk ke Kuala Ketil pada hari Ahad walaupun roadbike mengalami sedikit kerosakkan. Boleh guna mtb.
Semasa sembayang subuh hujan pulak turun. Rasa hampa juga hati kerana mungkin kena kansel kayuhan pagi ini. Aku melayari internet sementara menunggu hari cerah dan hujan mulai reda dan berhenti. Biasanya kalau dah hujan pada sebelah pagi, aku terus membatalkan rancangan untuk berkayuh tetapi entah kenapa pagi ini aku berharap cuaca akan terus cerah dan ingin meneruskan rancangan. Mungkin kalau tidak dapat mengikuti rancangan asal aku akan mengikuti jalan kegemaran iaitu melalui lencongan barat dan timur.
Mungkin artikel dibawah yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 16 Sept 2011 ada kaitan dengan semangat untuk berkayuh. Syabas Cikgu Adnan, moga selamat sampai dan pulang.
Aku telah lama memasang niat untuk balik kampung dengan basikal. Masih belum kesampaian.


Satu lagi perangai aku, kalau sudah melebihi jam 08.00 pagi, memang sah tidak pergi dan sah kansel kayuhan. Sepanjang kayuhan aku terpaksa mengelak banyak tompokan air yang bertakung diatas jalan. Lebat juga hujan sebentar tadi. Ramai juga rider di jalan pagi ini.
Dengar khabar rakan rakan SP ke Cameron Highland membuat kayuhan di 'Thomson Trail'. Tidak pasti siapa yang menganjurkan. Aku tidak rasa kecil hati pun mereka tidak pelawa aku ikut serta. Sudah lama aku tidak berkayuh bersama, mereka tahu aku lebih banyak menggunakan roadbikes sekarang. sebab itulah mereka jarang mengajak aku bersama. 

Statistik ;
   Mula ............ 08.15 pagi
   Tamat .......... 09.40 pagi
   Jarak ........... 33 km
   Cuaca .......... panas lepas hujan
   Laluan ......... Jalan lencongan timur - lencongan barat
 

Jumaat, 16 September 2011

Selamat Hari Malaysia

Hari ini ulang tahun penubuhan Malaysia dan sambutan hari Malaysia tahun ini dibuat serentak dengan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke 54 kerana 31 Ogos lalu jatuh serentak dengan tarikh hari Raya Aidil Fitri. Dalam ucapan rasmi PM malam tadi, di istiharkan pemansuhan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri).
Pagi ini hari ketiga aku berkayuh tiga hari berturut turut. Aku tidak berhajat untuk pergi jauh kerana tidak mahu keletihan untuk solat Jumaat. Ada jemputan untuk membuat kayuhan melalui Gurun - Sedaka - Yan - Merbuk, lebih kurang 80km pagi ini tetapi aku menolak.
Aku mengikuti jalan Sungai Pasir ke Batu Lintang dan Tikam Batu dan berpatah balik ke Sungai Petani. Pada setengah perjalan antara Batu Lintang - Tikam Batu aku melihat sebuah gerai menjual 'mee udang' yang dihiasi indah sempena Hari Kebangasaan. Walaupun kerap melalui jalan ini dan gerai tersebut memang sentiasa dihiasi dengan bendera dan replika mercu tanda yang menjadi kebanggaan negara, aku tidak ambil peduli sangat. Setakat memerhatikan dan tanpa memberikan pandangan kedua.
Entah kenapa hari ini aku berhajat untuk berhenti dan melihat secara lebih dekat. Mungkin hari ini jatuh pada hari sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Sekurang kurangnya lepas tanggungjawap sebagai seorang warga negara untuk mengimarakkan dan memeriahkan sambutan hari kebangsaan dan hari Malaysia.
Aku kagum dengan tuan punya gerai dan  kediaman tersebut. Begitu tinggi semangat yang ditunjukkan dan sanggup menghabiskan wang ringgit dan masa untuk menghias kawasan perniagaannya. Aku difahamkan usaha tersebut selalu mendapat liputan media termasuk surat khabar dan media elektronik. Selain dari mendapat publisiti, ia juga menjadi daya tarikan kepada pelanggan. Aku puji usaha tersebut akan tetapi ada sedikit komen yang bermain dikepala aku. Aku rasa beliau terlalu ghairah untuk  menghiasi hinggikan ia menjadi semak dan kalu tidak keterlaluan bendera dan perhiasan yang dipasang menjadi berserabut.
Rasanya perancangan perlu untuk menyusun supaya hiasan kelihatan kemas, tersusun rapi dan sedap dipandang. Mungkin beliau perlu mendapatkan pandangan dan nasihat orang lain. Jangan terlebih hias sehinggakan menjadi bagaikan 'ikut dan saje' kata orang Kedah.


Selain dari tempat ini tidak kelihatan pula lain lain tempat yang dihias begitu rupa. Hanya sesebuah rumah yang memasang bendera sempena menyambut hari Kebangsaan. Kedai atau tempat perniagaan juga begitu lesu untuk memasang bendera. Tidak seperti dahulu dimana kebanyakkan kedai di pekan memasang sekurang kurangnya dua bendera. Pemandu juga kini jarang memasang atau melekatkan bendera pada kenderaan mereka. Kenapa ya !
Sebelum sampai ke Pekan Tikam Batu aku ditegur oleh seseorang dari seberang jalan. Tidak pasti apa yang dikatakan. Bila aku memandang kelihatan dua orang rider sedang berdiri ditepi jalan dan aku menuju kearah mereka. Tanpa salam pengenalan mereka bertanyakan arah kayuhan dan dari mana. Mereka pula sedang menunggu seorang lagi rakan untuk berkayuh ke Pantai Merdeka dan mengajak aku ikut serta. Sekali lagi aku menolak pelawaan tersebut kerana aku sememang tidak berhasrat untuk berkayuh lama.
Sempat juga salah seorang rider tersebut meminta aku membetulkan meter basikal kerana meter tersebut tidak berfungsi. Cuma contact tidak kena mungkin secara tidak sengaja dia menyentuhnya. Bagai kebanyakkan rider lain, seorang rider tersebut mula berceloteh tentang basikalnya, tempat yang pernah dia pergi, geng nya dan yang paling aku tidak tahan tentang dirinya. Aku cuma mendiamkan diri dan berpura pura mendengar. Dia bekas seorang pensyarah dalam kesasteraan di UKM dan setelah bersara balik ke kampung asal di Kuala Muda sembilan bulan yang lalu. Bila dia bertanyakan pekerjaan aku, hanya pekerja biasa dalam loji rawatan air.
Setelah hampir 20 minit bersama mereka, rakan yang ditunggu menghubungi mereka menyatakan tidak dapat ikut serta. Aku berasa lega kerana akhir dapat memulakan kayuhan semula.  Kami berkayuh kearah pekan Tikam Batu yang agak sibuk kerana terdapat pasar minggu sedang beroperasi. Apabila sampai ke persimpangan kami berpecah, aku membelok kekiri untuk pulang ke Sungai Petani manakala mereka membelok kekanan untuk ke Pantai Merdeka.

Statistik
   Mula ............ 8.00 pagi
   Tamat .......... 9.30 pagi
   Jarak ........... 24 km
   Cuaca ......... cerah
   Laluan ........ Sungai Pasir - Batu Lintang - Tikam Batu

Khamis, 15 September 2011

Ke kebun naik basikal ...

Cuaca pagi ini sungguh ceria dan nyaman selepas beberapa hari hujan. Walaupun beberapa tempat di negeri jiran Perlis mengalami banjir, ia tidaklah berapa teruk seperti musim hujan yang lalu. Tidak ramai yang dipindahkan dan yang berpindah pun hanya untuk satu dua hari sahaja.  
Aku mengambil keputusan untuk berkayuh ke kebun pagi ini. Aku mengusahakan sedikit tanaman cendawan tiram kelabu bersama seorang rakan untuk mengisi masa. Setakat ini hasilnya Alhamdulillah ... mungkin dalam masa terdekat kami akan menambah bilangan atau kuantiti untuk menampung permintaan. Bangsal yang sedia ada mampu menampung tiga kali ganda kuantiti yang kami usahakan kini. Setakat ini segala usaha kami lakukan sendiri tanpa perlu mengupah pekerja.
hasil pertama ..
Usaha kami ini juga mendapat sokongan dari Pertubuhan Peladang Kawasan yang berjanji akan membantu dan membesarkan lagi perusahaan tersebut. Soalan cepumas yang diutarakan kepada kami adalah kami sanggup atau mampu mengusahakan. Jawapan kami mudah... usaha dahulu, jika tidak mampu gajikan pembantu.
Projek tanaman cendawan ini kami usahakan tanpa ilmu,  pengalaman atau tanpa menghadiri mana mana kursus dan latihan. Sedikit ilmu yang kami gunakan diperolehi dari rakan rakan dan pengusaha cendawan di sekitar Sungai Petani. Kami membuat beberapa lawatan ke bangsal cendawan dan dari penerangan dan perbualan dengan pemilik kami yakin boleh meneruskan projek tersebut. Yang paling banyak membantu adalah kemudahan internet. Pelbagai maklumat dan penerangan diperolehi darinya.
Projek tanaman cendawan ini tidaklah susah. Malah ianya lebih selesa kerana tidak perlu berjemur dibawah panas matahari di ladang seperti mengusahakan tanaman lain. Tidak ada kerja berat seperti menyiram air, meracun atau membaja. Tiada pagar diperlukan kerana ianya didalam bangunan. Tidak banyak musuh termasuk binantang liar seperti kera, babi, lembu atau kambing yang merosakkan tanaman.
Bukanlah aku hendak mencari publisiti dengan merekodakan didalam blog basikal ini, tetapi sedikit sebanyak usaha ini mendatangkan hasil lumayan dan berfaedah. Ia juga menjejaskan sedikit sebanyak aktiviti kayuhan.
Itu sebabnya aku berhasrat untuk menggunakan basikal untuk ke tempat projek cendawan. Ia hanya mengambil masa kurang dari 30 minit untuk sampai. Dengan cara ini aku dapat dua manafaat, berkayuh dan berkerja.
Agak risau berkayuh melalui jalan Taman Kempas ke Pinang Tunggal kerana bilangan kenderaan yang banyak melalui jalan ini. Jalan ini menghubungkan selatan Negeri Kedah dan Utara Negeri Pulau Pinang dengan Sungai Petani dan utara Kedah. Kehadiran lori lori besar mengangkut pasir sungai dan tanah memburukkan lagi keadaan. Umum tahu lori tersebut mementingkan masa mereka dan kurang prihatin kepada pengguna lain. Lori dipandu laju dan kadangkala dengan muatan lebih yang mendatangkan bahaya kepada kenderaan lain.


Statistik
   Mula .............. 7.15 pagi
   Sampai .......... 7.45 pagi
   Jarak .............. 28 km
   Cuaca ............. panas
   Laluan ............ Taman Kempas - Pinang Tunggal

Rabu, 14 September 2011

Tanjung Dawai

"Nak kayuh kemana hari ini ... " terkejut aku apabila Cikgu Jamaludin menegur dari luar pintu pagar rumah aku. Ketika itu aku sedang menyarungkan kasut untuk memulakan kayuhan. Aku sendiri tidak tahu arah mana tujuan kerana tidak mempunyai rancangan. Ikut mana dan... kata orang Kedah.
Aku beri salam dahulu sebelum menjawap, "tidak tahu kemana cikgu, mungkin pergi ke Tanjung Dawai". Sempat juga berbual sekejap sebelum memulakan aktiviti. Cikgu Jamaludin tinggal dilorong bersebelahan dan telah lama bersara.  Dia tinggal seorang diri kerana isterinya telah meninggal dunia lebih 10 tahun lalu. Anak perempuannya bekerja dalam satu firma dengan aku dan masih lagi disana. Anak bongsunya  sebaya dengan anak sulung aku tetapi telah meninggal dunia  pada tahun 2004. Dia menduda sehingga kini. Untuk mencari rumahnya di Taman Intan tidaklah sukar kerana rasanya hanya satu satunya ada dipasang bendera PAS dan DAP. Dahulu hanya bendera PAS sahaja tetapi selepas PRU 12 bendara DAP turut dipasang tetapi lebih rendah. Dengar cerita dia pernah menjadi calon wakil Rakyat parti PAS pada PRU 7 dahulu.   
Hari ini cuaca mendung dan aku memulakan kayuhan lewat. Jawapan kepada soalan Cikgu Jamaludin menjadi destinasi kayuhan aku pagi ini. Aku melalui Pekan Semeling ke Merbuk kerana jalan tersebut mempunyai beberapa pendakian. Hanya berjumpa dengan seorang rider berhampiran dengan UiTM Merbuk.
Signboard baru
bumbung jeti kemana ?
Terdapat beberapa perubahan di Jeti Tanjung Dawai. Signboard jeti yeng rosak telah digantikan dengan yang baru, tetapi apa yang memeranjatkan ialah bumbung jalan jeti telah tiada dan beberapa pagar konkrit telah pecah dan  patah. Tidak pasti samada akibat vandalisma atau disebabkan ribut. Tiada siapa berada disana untuk aku bertanya. Satu lagi perkara yang bermain dikepala aku adalah samada jeti tersebut masih lagi digunakan atau tidak kerana terdapat banyak serpihan kayu dan batu di laluan jalan tersebut. Juga hanya sebiji bot yang tertambat dijeti tanpa pemandu.
Dalam perjalanan pulang aku berkayuh perlahan-lahan  di Pekan Tanjung  Dawai sambil memerhatikan aktiviti yang sedang berlaku. Masih awal. Sebuah bas penumpang sedang bersiap sedia untuk bergerak menuju ke Sungai Petani. Hanya satu bas sahaja yang keluar dari pekan ini dan penumpang ke destinasi lain akan menyambung atau menaiki bas lain di Bandar Sungai Petani. Hanya terdapat seorang penumpang didalam bas yang boleh memuatkan 40 penumpang. Mungkin bas tersebut akan mengutip penumpang di sepanjang perjalanan hampir 35 km ke Sungai Petani sebentar nanti.
Gerai atau kedai dibangunan Arked yang banyak menjual produk dan hasil laut laut masih belum dibuka. Jika dibuka awal pun tiada pelanggan. Dua buah restoren dibahagian bawah beroperasi tetapi tiada pelanggan kelihatan.
Aku singgah dihadapan sebuah kedai apabila melihat seoroang pak cik tua sedang menyusun ikan untuk dijemur. Dia sedang menyusun ikan gelama masam kecil. Aku menegur kalau keadaan cuaca yang mendong ini bila akan kering. Aku ingatkan ikan gelama tersebut kepunyaannya, tetapi kemudian aku mendengar suara dari dalam kedai yang menerangkan kepada berapa hari diperlukan untuk mengeringkan ikan tersebut. Bila aku mendongak kelihatan seorang apek tua yang sedang menikmati makan pagi.
Aku teringin untuk mengambil gambar pak cik tersebut tetapi kerana tersentak oleh apek tadi, aku menukar fikiran. Mungkin lain kali. Aku meneruskan kayuhan sambil memerhatikan disekeliling. Aku singgah di sebuah kedai kecil yang menjual belacan. Aku memberi salam kepada seorang pakcik yang berusia dalam lingkungan 65 tahun yang sedang membuat bongkahan belacan. Walaupun tidak berapa senang dengan bau belacan yang sedang diproses, aku memerhatikan dia dengan gigih melakukan kerja itu sendirian.
Naik Haji hasil perusahaan belacannya ...
Dia bertanyakan aku dari mana. Menurutnya hari sebelumnya seorang pengayuh berhenti di kedainya untuk melihat proses pembuatan belacan. Sambil bercerita tentang proses, harga dan jualan harian, pak cik tersebut dengan bangganya menunjukkan keratan akhbar yang di frame dan digantung di dalam kedainya. Rencana yang ditulis pada tahun 2009 menaikkan jualannya dan kini pelanggan juga dari Kuala Lumpur dan Johor.
Aku tidak singgah untuk minum pagi di Pekan Tanjung Dawai kerana masih awal. Malangnya disepanjang jalan pulang aku tidak jumpa kedai atau gerai yang sesuai untuk berhenti minum. Banyak gerai yang selalu aku singgah masih lagi ditutup sempena Hari Raya. Oleh kerana tiada pilihan aku terpaksa membeli roti krim dan minuman sejuk dari sebuah mini market dan menikmati sarapan ditepi jalan.
Lima km lagi sebelum sampai kerumah isteri aku menelipon kerana ada tetamu yang datang kerumah. Aku melajukan kayuhan untuk berjumpa tetamu tersebut.

Statistik
   Mula ............... 7.45 pagi
   Tamat ............. 11.00 pagi
   Jarak .............. 61 km
   Cuaca ............ Mendong
   Laluan ........... Semeling - Merbuk - Tanjung Dawai


Ahad, 11 September 2011

hujan oh hujan ....

Hujung minggu ini terlepas lagi peluang membuat kayuhan. Aku telah merancang route yang telah lama tidak dilalui. Manalah tahu jika ada perkembangan terbaru. Ada juga rancangan untuk berkayuh sehingga ke Kulim dan mengambil kesempatan untuk berhari raya sambil berkayuh, menziarahi rakan rakan disana.
Hujab turun sepanjang minggu dan kalau tidak pun langit mendung sepanjang hari. Ia menjadikan keadaan seba salah samaada melakukan kayuhan atau tidak. Tetapi mulai hari Jumaat dan berlarutan ke hari ini hujan turun dengan lebatnya dibeberapa kawasan. Musim ini musim tengkujuh tiba lebih awal dari tahun sebelum nya.
Biasa lah, beberapa tempat seperti Perlis kini menghadapi masalah banjir. Ada berita tiga orang penumpang sebuah van maut akibat ditimpa oleh pokok semasa hujan lebat.
Hari ini dijadualkan kayuhan 'round Island' di Pulau Pinang. Tidak pasti samada kawan kawan aku dari Sungai Petani yang mendaftar untuk mengambil bahagian sejak tiga bulan lalu ikut serta atau tidak.
Walauapa pun hari ini rakyat Amerika Syarikat memperingati 'tragedi bulan September' yang berlaku pada tahun 2001 dimana pusat dagangan dunia diletupkan. Ia menjadi sejarah hitam kepada negara tersebut pada kurun ke 21 ini. Ada yang menyatakan ia adalah konspirasi di sebalik serangan pengganas.


Di negara kita pula heboh dengan sejarah juga iaitu peristiwa yang berlaku di Bukit Kepong sebelum Merdeka. Ada pihak yang menggangap serangan yang dilakukan keatas balai polis Bukit Kepong adalah satu serangan untuk membebaskan atau memerdekan Tanah Melayu dari jajahan British. Mereka yang melakukan serangan dianggap wira negara bukannya pengganas atau komunis seperti apa yang kita tahu.

Selasa, 6 September 2011

tiga kali tiub pecah ...


Juan datang kerumah aku tengah hari tadi. Sepanjang bulan ramadan lalu hanya sekali dia singgah. Itu pun kerana ingin menunjukkan basikal yang baru disaipkan.
Juan datang kerana meminta tiub dalam untuk road bikes.
Pagi tadi dia berkayuh ke Kepala Batas melalui Pinang Tunggal. Apabila sampai di jambatan Sungai Muda Pinang Tunggal, basikalnya mengalami kebocoran. Mengikutnya tayar tersebut bocor akibat terlanggar batu kecil tajam. Malangnya dia tidak membawa spare tiub serta peralatan lain yang untuk menukar tayar. Dia terpaksa menolak basikal sejauh hampir 10 kilometer kerumah.
Kenapa dia tidak menalipon aku. Katanya dia menolak basikal sambil berlari (joggging).
Dia menukar tiub basikal tetapi sebaik sahaja dia selesai mengepam tayar pada pressure hampir 100 psi, tayar tersebut bocor dengan bunyi yang agak kuat dan  nyaring. Apabila di buka dan diperiksa tiada pula kesan lain.
Kali kedua dia menukar tayar perkara yang sama berlaku.
Dia gave up dan membawa basikal ke kedai basikal. Setelah memasang tiub yang ketiga oleh kedai basikal, sekali lagi tiub meletup. Setelah diteliti, ketiga tiga kebocoran berlaku kerana tiub yang di pam dengan pressure yang tinggi mengembung melalui lubang kecil tempat yang terkenan batu.
Tayar yang digunakan adalah tayar lembut
Aku ada menyimpan sapre tiub kerana semasa aku mula menggunakan roadbike dahulu aku menyimpan tiga sapre tuib kerana memikirkan kesukaran mendapatkan gantian. Lagi pula aku membeli direct dari agen dan mendapat harga yang baik.
Pengalaman tersebut menjadikan pengetahuan penting kerana selama ini tidak pernah berlaku. Tayar road bikes dan tayar mountain bikes bebeza. Mountain bikes menggunakan tekana setakat 45 atau 50 psi sahaja tetapi untuk roadbikes, tekanan udara untuk tayar hampir dua kali ganda nilai tersebut.



Sabtu, 3 September 2011

kayuhan pembukaan musim baru.....

Phew ...... setelah satu bulan (29 hari) berpuasa dicampur dengan tiga hari sebelum puasa bermula dan enam hari beraya ... akhirnya aku menurunkan roadbike dan membuat 'quick check-up' sebelum aku memulakan kayuhan. Tidak berhasrat untuk pergi jauh, sekadar melonggarkan otot otot dan sendi yang sudah lama berehat. Tahu, akan mengambil sedikit masa untuk membiasakan dan menyesuaikan badan untuk berkayuh semula.
Basikal terasa berat juga pada satu dua kilometer pertama kayuhan. Seperti otot dan sendi badan, bahagian basikal juga memerlukan masa untuk berfungsi seperti asal. Mungkin gris atau pelicir aci, rantai, cassette, crank dan banyak bahagian bergerak lain sudah berkarat sedikit atau jammed. Apabila pergerakan sudah lancar barulah basikal dan pengayuh dapat keserasian.
Lencongan barat sejauh 25 km pergi balik menjadi pilihan untuk kayuhan pembukaan ini. Jalan ini disedikan lorong motorsikal dan tidak membahayakan penunggang basikal. Deruan enjin kereta dan motorsikal, bau asap yang dikeluarkan oleh enjin enjin kenderaan yang berlalu laju di sebelah basikal bagaikan memberikan aku semangat baru untuk memulakan musim baru berbasikal. Tetapi sebelum aku berkayuh pada jarak kebiasaan, mungkin memerlukan dua atau tiga latihan.
Oh.. besok adalah hari permulaan bekerja untuk Negeri Kedah, semua pejabat dan ajensi kerajaan akan dibuka, walaupun kebanyakkan kilang dan syarikat swasta lain termasuk bank akan hanya dibuka pada hari Isnin 5 Ogos. Jalan sibuk dengan kenderaan dan memang dijangkakan jambatan Sungai Merbok di Semeling menjadi sesak dari persimpangan lampu isyarat Sungai Jagung. Nasib baik ada dua orang pegawai polis mengendalikan traffik, jika tidak kesesakkan akan menjadi begitu teruk seperti yang aku alami ketika beraya di Negeri Sembilan.
Seperti raya tahun tahun sebelum ini, aku sekeluarga memulakan perjalanan 'balik kampung' selepas selesai mengerjakan Solat Eidil Adha dan setelah menziarahi jiran terdekat di taman tempat aku tinggal. Aku tidak perlu risau tentang kesesakkan lebuhraya kerana arah selatan adalah bertentangan dengan arus. Selalunya jalan menghala keselatan lenggang berbanding dengan laluan hala ke utara. Jika ada pun kendaraan di lebuhraya, mereka adalah 'holiday maker'.
Raya tahun ini jatuh sehari sebelum negara menyambut hari ulang tahun kemerdekaan atau hari kebangsaan yang ke 54 pada 31 Ogos. Sambutan kemerdekaan tahun ini di tangguhkan kepada 16 Sept iaitu pada hari ulangtahun penubuhan Malaysia. Ini kali ketiga sambutan Hari Kebangsaan ditangguhkan disebabkan bulan puasa.
Tiada masalah untuk aku sampai ke Seremban melalui lebuhraya Plus. Aku mula mengalami kesesakan jalan raya pada hari raya kedua dari Seremban ke Kuala Pilah.