Halaman

Selasa, 20 September 2011

Lemang Pak Teh

Hari ini aku membuat keputusan untuk membuat kayuhan pada sebelah petang walaupun tidak tahu samada hujan akan atau tidak. Jika hujan petang batal sahaja. Ada komitmen yang kena selesai pada sebelah pagi.
Memang kebelakangan ini aku jarang membuat kayuhan sebelah petang melainkan kayuhan pendek bawah 20km. Salah satu sebab ialah masalah cuaca. Jika mula awal matahari masih panas, dan kalau mula agak lambat bila pulak nak sampai kerumah. Perasaan jiran dan penduduk taman kena ambil kira juga. Jangan balik dekat atau lepas waktu Maghrib, tak pasal-pasal jadi sebutan atau buah mulut masyarakat sekeliling. Apatah lagi jika kita ada memegang apa apa jawatan dalam sebarang pertubuhan atau persatuan di taman kita tinggal.
Aku berkayuh melalui jalan yang kerap aku ikut menggunakan kereta. Pelik, banyak perkara yang kita tidak nampak apabila memandu kerana kita tumpukan perhatian kepada jalan dan kenderaan lain. Apabila menyusuri jalan yang sama kita melihat pemandangan yang amat berbeza, seolah olah tidak pernah melalui jalan tersebut. Segala butiran terperinci dapat dilihat. Kita melihat secara jelas penduduk, anak anak mereka, aktiviti yang dilakukan dan pelbagai lagi. Paling seronok dapat bertegur sapa dan bertanya khabar tanpa perlu memberhentikan basikal.
Aku menyusuri tebing Sungai Muda dan melihat projek tebatan banjir yang sedang rancak berjalan. Tidak kurang rancaknya projek laluan keretapi bekembar dari Bukit Mertajam ke Utara. Projek ini dijangka siap pada penghujung 2013.
Gunung Jerai dari Pinang Tunggal
Aku bekayuh perlahan melalui Kampung Pinang Tunggal, Pematang Kedondong dan Kampung Jawa. Pemandangan memang seronok dan mengasyikkan. Musim kesawah baru bermula dan kelihatan ramai petani berada dibendang sedang membajak. Kerja kerja membajak menggunakan traktor atau bajak kecil jenis Kobota. Disebelah kiri pula Sungai Muda, ramai juga kelihatan pemancing yang mencuba nasib di tebing sungai. Manakala dibelakang aku kelihatan pemandangan kegemaran aku iaitu Gunung Jerai.
Di Kampung Jawa kini kelihatan rumah yang lebih selesa dibina. Boleh dikatakan tahap kehidupan penduduk kini jauh lebih tinggi dari beberapa tahun lalu. Apa yang aku dengar ramai penduduk di tebing Sungai Muda mendapat pampasan  lumayan apabila tanah mereka diambil oleh kerajaan untuk projek tebatan banjir. Ramai yang menggunaka wang tersebut untuk membina rumah yang lebih selesa dan cantik. Ada juga yang lain menghabiskan duit pampasan dengan cara yang tidak berapa berfaedah dan kini telah habis dibelanjakan.
Aku singgah ditempat penyediaan, pembakaran dan penjualan 'Lemang Pak Teh' untuk berjumpa dengan rakan rakan disana. Disebelah utara kalau disebut Lemang Pak Teh Sungai Petani ramai yang sudah tahu keenakkan dan kelazatannya. Tempat jualan lemang terletak di Taman Sri Pinang di jalan utama Sungai Petani - Butterworth berhampiran Pekan Tikam Batu.
Perusahan Lemang Pak Teh ini bermula lebih 12 tahun lalu dan berniaga berterusan tiga bulan setiap tahun. Penjualan akan bermula satu minggu sebelum Hari Raya Aidil Fitri dan berterusan sehingga Hari Raya Haji. Mulai tahun ini lemang Pak Teh boleh didapati setiap hari sepanjang tahun, tetapi jumlah jualan hanya setakat 20 batang (5 kilo beras) sehari.
Aku kenal dan rapat dengan pemilik dan rakan kongsi ini, turut berbangga dengan pencapaian dan kejayaan mereka. Jualan pada setiap musim melebihi 250 ~ 300 ribu. Pada hari yang sibuk iaitu petang sebelum hari raya, jualan boleh mencecah hampir 10 ribu ringgit. Jualan berterusan disepanjang satu bulan selepas raya kerana banyak menerima tempahan dan pemintaan dari orang persendirian, jabatan, agensi kerajaan dan syarikat swasta yang mengadakan rumah terbuka.
Lebih membanggakan perusahaan ini memberi peluang pekerjaan kepada penduduk yang juga rakan dan jiran di taman tersebut. Semasa peak time (masa puncak), perusahaan lemang ini menggaji hampir 40 orang atau lebih pekerja. Ini tidak termasuk pembekal buluh lemang, daun pisang dan kayu api dan pembekal santan kelapa.
Pekerja di perlukan untuk membasuh beras dan buluh, memotong dan memasukkan daun pisang kedalam buluh, memasukkan beras pulut dan santan kedalam buluh, menyusun dan membakar lemang, pembakaran kayu dan menjaga bara api, memusingkan lemang yang sedang dibakar (ini kerja yang paling panas), membungkus dan menjual lemang.
Setiap pekerja dilengkapktan dengan T-shirt sebagai pakaian seragam.
Semua tenaga kerja terdiri dari penduduk tempatan. Aku difahamkan ada pekerja yang boleh membayar sewa rumah untuk satu tahun dari pendapatan bekerja disini untuk satu musim. Perbelanjaan lain pula dari kerja kerja lain yang dibuat. Perancangan ini amatlah baik sekali.
Sudah menjadi tradisi setiap tahun, Perusahaan Lemang Pak Teh akan mengadakan jamuan Hari Raya Aidilfitri pada hari Rabu 28 September 2011 mulai jam 08.15 malam. Ini adalah sebagai penghargaan kepada pelanggan, pekerja, penduduk taman berhampiran serta kawan, rakan dan sahabat andai, Semua dijemput.

Statistik
   Mula .............. 5.30 petang
   Tamat ............ 6.35 petang
   Jarak ............. 25 km
   Cuaca ............ nyaman
   Laluan ........... Pinang Tunggal - Taman Rhu
    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan