Halaman

Khamis, 29 September 2011

kayuhan nyahlemak ....

Sebaik sahaja aku keluar dari kawasan rumah menuju ke jalan besar, aku melihat John menghabiskan kayuhan dan pulang kerumah. Hanya sempat mengangkat tangan kepadanya. Sudah lama tidak berkayuh dengannya, kali terakhir ialah pada kayuhan ke Alor Setar bulan lalu. Mungkin kerana kesibukkan kebanyakkan geng aku sekarang lebih banyak membuat kayuhan solo.
Aku masih mencari rentak dan masih dalam proses memulihkan daya kayuhan selepas berehat pada bulan Ramadhan. Dua tiga hari kebelakang ini hujan turun pada awal pagi, tidak dapat menyempurnakan hajat untuk berkayuh.
Hari ini aku bercadang untuk ke Muzium Arkeologi Merbok. Pada mulanya aku bercadang untuk ke Yan dan pulang melalui Guar dan Gurun tetapi teringat ada lagi open house yang perlu dihadiri pada tengah hari dan malam nanti. Jadi terpaksa memendekkan kayuhan setakat muzium sahaja. Kayuhan tersebut memberikan peluang untuk menguatkan otot otot betis dan peha dengan pendakian sederhana. Juga aku ingin membakar lemak dan kolestoral dalam badan yang dikumpulkan akibat jamuan rumah terbuka.
Aku berasa bersalah betul kalau tidak membuat kayuhan. Terlalu banyak menjamah makanan yang berisko tinggi semasa menghadiri jamuan rumah terbuka, yang banyak mengandungi lemak dan kolestoral. Juga banyak meneguk air yang mengandungi terlalu banyak gula. Diharapkan exercise yang dilakukan sedikit sebanyak mengurangkan kandungan lemak dan gula dalam badan.
Sepanjang kayuhan pagi tadi aku tidak dapat mengelakkan dari memikirkan tentang beberapa jamuan rumah terbuka yang sempat aku hadiri selepas hari raya tahun ini. Lebih lebih lagi aku tidak dapat mengnyahkan apa yang dilihat pada jamuan raya Lemang Pak Teh yang pernah aku catatkan dalam blog ini minggu lepas. Jamuan atau rumah terbuka ini agak berbeza dengan jamuan rumah terbuka yang lain kerana ia 'benar benar terbuka' dalam ertikatanya. Sesiapa sahaja boleh hadir terutama kepada pelanggan dan penduduk berdekatan berbanding dengan jemputan ke rumah terbuka yang lain.
gulai daging batang pisang ... spesial dari Baling
Apa yang menyentuh sangat perasaan aku ialah sikap dan perangai orang yang datang untuk menjamu selera pada majlis tersebut. Aku menjadi mual dan menyampah melihat perangai kebanyakkan orang menjamu selera. Sudahlah mereka seolah oleh menyerbu meja dimana makanan diletakkan, berpusu pusu dan berebut rebut untuk mendapatkan makanan. Agaknya kalau lambat makanan akan kehabisan dan mereka tidak dapat makan.
Aku tidak dapat menahan rasa geram dan kesal melihat kuantiti makanan terutama lauk pauk yang diletakkan di pinggan. Rasanya boleh dikongsi tiga empat orang. Sudahlah semasa menceduk lauk mengambil masa lama kerana memilih bahagian yang sedap dan berdaging sahaja, menyebabkan orang yang dibelakang menjadi tidak sabar dan queue menjadi semakin panjang. Rasanya ada mengambil lauk daging lebih dari setengah kilo(!) untuk dimakan seorang. Kalau difikirkan mereka seperti tidak pernah makan lauk yang sedemikian.
Selepas mengambil makanan utama ambil pula makanan sampingan lain seperti laksa, mee hon, lemang atau ketupat. Hinggakan kedua dua belah tangan penuh dengan makanan. Seperti pelayan kedai makanan Minang aje dimana seorang pelayan mampu menyusun sehingga berbelas piring lauk diatas tangan untuk dibawa ke meja pelanggan. Bukan hanya kanak kanak yang membuat perangai sebegini tetapi yang telah berumur lelaki dan perempuan melebihi kanak kanak.
Apa yang boleh aku buat hanyalah meluahkan perasaan kepada beberapa rakan. Dia pun setuju dengan aku. Aku rasa sudah tiba masanya untuk penganjur jamuan terbuka seperti ini 'mengaturkan' cara orang ramai mengambil makanan. Contohnya menugaskan orang untuk membubuh lauk pauk ke dalam pinggan.
Aku sempat menikmati pemandangan yang air mengalir pada hamparan sungai Batu Pahat bersebelahan dengan muzium arkeologi. Kedatangan kali ini  mendapati air sungai agak banyak berbanding pada waktu lain aku datang kesini. Aku bersiar siar dikawasan perkelahan dan sempat mengambil beberapa shot gambar. Masih tiada pengunjung di kawasan ini melainkan beberapa orang kakitangan muzium yang sedang melakukan kerja kerja senggaraan dan pembersihan.
Aku juga mengambil kesempatan untuk mengikuti laluan ditepi pangar muzium menuju ke sungai di luar kawasan perkelahan. Belum pernah aku ke sini sebelum ini. Semasa menuruni bukit aku melihat seekor kucing kutan yang agak besar dan dalam sekelip mata menghilangkan diri kedalam semak hutan apabila menyedari kehadiran aku disitu. Aku bersedia dengan kamera kalau kalau dia muncul semula tetapi terpaksa berkayuh pulang setelah menunggu hampir 10 minit. Kucing hutan yang agak besar dan nampak 'brutal' tidak kelihatan.
Gerai roti canai yang sering aku langgani berubah wajah. Tambahan dibuat untuk membolehkan lebih banyak meja untuk pelanggan. Pokok ceri dimana aku sering menyandarkan basikal telah ditebang untuk bangunan tambahan. Aku tercari cari tempat untuk meletakkan basikal. Walau masih belum sempurna kerana lantai hanya dibubuh batu kelikir tetapi ia menyediakan ruang yang selesa.
Menu makanan juga ditambah. Kini gerai tersebut menjual nasi dengan beberapa jenis lauk pauk kampung. Nampak menyelerakan tetapi aku masih belum dapat membiasakan diri dengan memakan nasi sebelum tengah hari.
Satu tidak berubah digerai tersebut. Harga makanan dan minuman. Ketika membuat bayaran untuk sekeping roti canai dan secawan Milo 'O', masih pada harga lama lagi. Kebanyakkan kedai makana di bandar Sungai Petani menaikkan harga makanan selepas hari raya yang lepas. Minggu lepas aku terkejut apabila harga semangkuk cendul menjadi RM2.00 berbanding dengan RM1.50 sebelum bulan puasa. Sebagai protes aku berjanji akan mengelakkan minum cendul digerai tersebut. Cendul mamak berhampiran stesyen bus lebih enak dan masih pada harga lama.

Statistik
   Mula .............. 7.45 pagi
   Tamat ............ 10.00 pagi
   Jarak ............. 42 km
   Cuaca ............ Redup
   Laluan ........... Pekan Semeling - Pekan Merbuk - Muzium Arkeologi
     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan