Halaman

Selasa, 29 Mac 2011

Kalau hujan nak turun.... hujun akan turun

My other half (isteri aku lah tu) mengerakkan aku dari tidur awal dan bertanya samada aku mahu membuat kayuhan basikal pagi ini. Katanya anak kami yang kini menjalani latihan akhir kedoktoran di hospital Kangar mengatakan aku dalam keadaan stress semasa berbual dengannya melalui telefon malam tadi. Dia menyuruh aku melakukan exercise agar dapat mengurangkan stress. Entahlah, aku sendiri tidak perasan yang aku mengalami stress. 
Punca stress yang aku alami. Kelmarin 28 Mac 2011 hampir sehari suntuk aku berada di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani. Bukannya aku atau mana ahli keluarga yang mengalami masalah kesihatan tetapi aku kesana membawa seorang kenalan yang juga saudara jauh (sebelah nenek atau moyang dulu) yang mengalami masalah tekanan mental (skizofrenia) yang agak kronik. Penyakit ini disebabkan antara lain kerana tekanan, stress, masalah dan pelbagai lagi. Pesakit sering mengalami halusinasi, nampak makluk halus, mendengar suara, fikiran yang bercelaru, mencederakan diri, murung, syak wasangka dan pelbagai lagi.
Penyakit ini mula dialami sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Malang kerana selama ini dia mengubati penyakit tersebut secara traditional. Kebanyakkan pengamal perubatan tradional mengatakan penyakit tersebut disebabkan gangguan mahluk halus tetapi semuanya gagal menyembuhkan penyakit tersebut. Ratusan ringgit telah dibelanjakan sebagai hadiah dan pengeras untuk perubatan traditional tersebut. Sedihnya sesetengah pengamal perubatan tersebut mengenakan upah yang menjangkau ribuan ringgit untuk menghalau dan membuang makluk halus dari tubuh badan pesakit.
Aku berjaya memujuknya untuk mendapatkan perubatan moden iaitu berjumpa dengan bahagian psikiatri di hospital. Kaunseling oleh pihak hospital dan ubat penenang dapat meredakan tekanan mentalnya dan tidak sampai sehari telah menunjukkan kesan yang amat positif. Pihak hospital juga ambil berat dengan menelipon bertanyakan keadaan pesakit keesokkan harinya. Mereka juga membuat lawatan kerumah. Hari khamis nanti aku kena membawa pesakit untuk rawatan lanjut.
Walaupun langit diselubungi awan hitam tetapi isteri aku yakin hujan tidak akan turun atau sekurang kurangnya tidak akan turun sehingga aku sampai kerumah. Katanya hujan mungkin akan turun pada lewat pagi. Sempat untuk membuat kayuhan pendek, mungkin sejauh 30km. Setelah berfikir berkali kali aku mulakan kayuhan hampir jam 9.00 pagi. Aku mungkin tidak akan terkena hujan jika aku terus pulang melalui lencongan timur tetapi aku meneruskan kayuhan. 
Hujan mulai turun semasa aku sampai di Padang Buloh, Pantai Perai. Malang tiada gerai atau tempat berteduh. Gerai paling hampir lebih dari 1.5km, jadi aku terpaksa berteduh dibawah pokok kelapa sawit di ladang Kuala Jerong. Aku berdiri rapat dengan pokok sawit. Dengan cara ini aku tidak terkena air hujan dan pakaian aku masih kering apabila hujan reda setengah jam kemudian. 
Hujan tidak berapa lebat tetapi ianya berterusan. Apabila aku meneruskan kayuhan setelah hujan reda, hujan menjadi lebat semula selepas beberapa minit. Aku berasa lega apabila sampai ke sebuah gerai sebelum hujan turun lagi. Disini aku menjamu selera untuk mengisi perut dan memanaskan badan dengan air panas. Masih ada lebih kurang 10 km dari rumah.

Statistik
   Mula .............. 8.50 pagi
   Tamat ............ 12.00
   Berteduh ........ 35 minit
   Rehat ............. 15 minit
   Jarak............... 50 km
   Cuaca ............. hujan
   Laluan ............ Lencongan Barat - Jalan Kuala Ketil - Sidam Kiri - Pinang Tunggal
   

Ahad, 27 Mac 2011

Earth Hour 2011 - Sumbangan Cyclers

      

Earth hour untuk 2011 jatuh pada 26 Mac. Aku tidak sedar ianya jatuh pada malam tadi sehinggalah seorang kawan menghantar SMS mengucapkan 'Happy Earth Hour'.  Aku gembira kerana pihak kerajaan dan swasta mengambil langkah menyahut seruan untuk berbuat sesuatu untuk menyelamat dunia. Walaupun dengan bergelap selama satu jam bermula dari jam 8.30 malam tidak akan mengubah atau memberi kesan secara ketara, tetapi ianya bertujuan untuk memberi mesej dan kesedaran kepada masyarakat sejagat.
Orang ramai, pihak kerajaan, pihak swasta serta organisasi bebas di 134 negara didunia mengambil bahagian untuk memadamkan lampu dan lain peralatan elektrik ditempat kediaman, bangunan, jalan raya, kilang serta lain lain tempat mulai pada tepat jam 8.30 malam selama satu jam pada malam Sabtu terakhir bulan Mac setiap tahun. Ia dimulakan pada tahun 2006 oleh WWF sebagai usaha untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik seluruh dunia.
Bagi kita yang menjadikan aktiviti berkayuh sebagai pilihan utama untuk menjaga kesihatan, secara tidak langsung juga menyumbang kepada kesejahteraan dunia masakini. Dengan berkayuh kita tidak menggunakan bahan api untuk bergerak dan ini akan mengurangkan penggunaan fossil fuel disamping mengurangkan pencemaran alam sekitar. Sebenarnya banyak lagi yang boleh diselamatkan jika kita perhalusi.
Kepada semua cyclers semua, teruskan aktiviti kayuhan. Jika boleh bukan setakat untuk beriyadah dan bersukan tetapi gunakan basikal untuk ketempat kerja atau untuk urusan lain seperti pergi membeli belah, ke pasar, mengunjungi rakan dan lain lain.
       

Khamis, 24 Mac 2011

SP's Ring Road

Cuaca tidak mengizinkan untuk membuat kayuhan beberapa hari kebelakangan ini. Rata rata orang ramai banyak berbicara tentang keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang ini. Kebiasaan disebelah utara pada bulan Mac ini masih lagi cuaca panas dengan berakhirnya musim sejuk di hemisfera utara dan bermulanya musim bunga. Hujan selalunya akan turun pada suku akhir tahun dengan datangnya angin timur. Tetapi sejak beberapa hari yang lalu kawasan utara menerima hujan yang banyak hingga menyebabkan beberapa tempat di Sungai Petani mengalami banjir dan lebih dua ratus orang dipindahkan.
Mungkin ada hikmah dan rahmatnya kedatangan hujan yang diluar musim. Sejak berpindah ke Sungai Petani pada tahun 1991, ini adalah  kali pertama kawasan ini dilanda banjir pada bulan Mac. Terdapat beberapa kawasan yang masih di penuhi air.
Badan menjadi agak lemah kerana empat hari tidak berkayuh. Kali terakhir adalah kayuhan ke Betong, Selatan Thailand pada Ahad lepas. Aku hanya ingin membuat kayuhan melonggarkan lutut dan otot kaki. kayuhan dari rumah ke Tol Sungai Petani Utara dan akan berpatah balik. Jarak 20km sahaja. Tetapi apabila sampai ke destinasi yang dituju cuaca menjadi bertambah baik dan matahari mula menyinar. Terasa rugi pula untuk berpatah balik. Aku mengambil keputusan untuk meneruskan kayuhan melalui lencongan timur.
Semasa melalui di hadapan Hospital Sultan Abdul Halim aku terpaksa berhati hati. Aku perlu mengelakkan dari mengharungi lopak air di atas jalan. Ketika berbuat demikian terpaksa memasuki tengah jalan. Kenderaan agak sibuk waktu pagi ini. Ketika itu aku berfikir apa akan jadi di Bandar Sungai Petani sekiranya lencongan timur dan barat ini tidak dibina. Bayangkan kesesakkan yang berlaku di tengah bandar pada setiap persimpangan dan lampu isyarat.
Sekarang walaupun dengan kewujudan kedua dua lencongan, aku mengelakkan dari pergi ke bandar pada waktu tengah hari dan petang. Kesesakkan kadang kala menjadi begitu membosankan, ditambah lagi dengan sikap pemandu yang kadangkala tidak menghiraukan pemandu lain atau tidak mengikuti peraturan lamput isyarat. Walaupun lampu telah bertukar merah mereka sering tidak memperdulikan dan terus memandu. Tidak kurang pula yang memberhentikan kenderaan atau meletakkan kereta bukan ditempat parking.
Jalan lencongan (diversion) mengikut pendapat aku bukanlah perkataan betul digunakan. Selalunya lencongan digunakan apabila jalan dihadapan ditutup dan kenderaan diberi lalauan lain. Terma yang sesuai mungkin 'Ring Road' seperti yang digunakan di Butterworth iaitu 'Butterworth Outer Ring Road' atau BORR. Dinegara maju seperti di Eropah ia telah lama wujud untuk mengelakkan kesesakkan dibandar dan untuk memberikan pemandu keselesaan dan dapat sampai kedestinas dengan lebih cepat.

Statistik
   Mula ............... 8.10 pagi
   Tamat ............. 9.25 pagi
   Jarak .............. 33 km
   Cuaca ............. mendung
   Laluan ............ lencongan barat - lencongan timur

Sabtu, 19 Mac 2011

Piyamit Tunnel

Agaknya ramai yang telah sampai ke destinasi aku pagi ini. Tetapi mungkin tidak ramai yang sampai menggunakan basikal. Ini trip pertama walaupun telah beberapa kali datang ke Betong. Oh ..  nama  pekan Betong adalah dari perkataan Melayu iaitu 'buluh betong'.
Tidak tahu bagaimana aku boleh terfikir untuk berkayuh di Betong (....... bukan berkayuh ke Betong). Aku hantar SMS kepada beberapa orang rakan untuk mempertimbangkan cadangan berkayuh di Pekan Betong, Selatan Thailand pada pagi ini 19 Mac 2011. Ham**h ..... tidak ada reaksi atau jawapan dari sesiapa yang ingin turut serta. Aku teruskan niat walaupun berkayuh secara solo. Bukan tidak biasa, pada 25 Mac 2010, kurang  4 hari satu tahun, aku membuat kayuhan solo pertama kali di Pekan Betong. Rancangan kayuhan kali ini ialah pergi diluar pekan ke tempat tarikan pelancongan seperti  Hot Spring dan terowong komunis 'Piyamit Tunnel'.
Bertolak dari rumah jam 7.15 pagi dan singgah di mesin ATM Sungai Petani untuk menambah kantong, manalah tahu kalau hendak beli apa apa yang berkenan dihati. Semasa menuruni Gunung Inas berhampiran komplek PGA yang baru siap, aku nampak seorang rider yang aku kenal. Pegawai Polis berpangkat ASP yang pernah belanja aku makan di Pengkalan Hulu semasa kayuhan pendakian Gunung Inas tahun lepas.  Dia berkayuh sendirian ke arah Baling. Mungkin ada rakan yang menunggu untuk kayuhan bersama.
Singgah untuk sarapan nasi lemak dan teh O di gerai di Kampung Bukit Serdang lebih  kurang 4km sebelum complex CIQ Betong dan sebelum simpang ke Felda Nering. Rasanya di Betong tidak ada jual nasi lemak atau roti canai. Kueh disana juga agak berlainan dari kita. Kena isi perut di sebelah ini dulu. Adik yang jaga gerai confuse bila air minta teh O kosong.....
Semasa bersiap menyalin baju dan kasut ditempat parking kereta, seorang mat motor datang bertanya samada aku perlukan kenderaan untuk ke Pekan Betong. Dia caj RM10.00. Mahal aku kata. Dia kata kereta/teksi caj RM25.00 untuk perjalanan tidak sampai 10km. Dia terkejut apabila aku katakan aku ke Betong menaiki basikal. Agaknya dia tidak pernah melihat MTB dari dekat, kerana dia membelek depan belakang, kiri dan kanan. Kemudian dia meminta izin untuk mencuba 'Scott' aku. Dia amat kagum dan berpuas hati berkayuh selama hampir 5 minit. Sibuk tanya berapa harga basikal tu.
Komplek imigresen Thailand yang baru telah siap dan kini telah digunakan. Lebih teratur dari komplek lama. Dahulu laluan masuk dan keluar adalah sama tetapi kini telah dipisahkan. Begitu juga booth kastam dan imigresen kini di asingkan. Cuma masalah borang embarkation / borang imigresen masih diisikan oleh dua orang awam dan dikenakan caj RM2.00 untuk passport. Sementara di Bukit Kayu Hitam borang tersebut diberi percuma dan diisi sendiri oleh pengunjung.
Jalan dari kompleks imigresen ke Pekan Betong menuruni bukit, jadi tidak perlu guna banyak tenaga berkayuh. Awas kena jaga kelajuan kerana  jalan agak berbelok belok. Sebelum setiap selekoh jalan dibubuh garisan garisan bercat tebal untuk memperlahankan kenderaan. MTB pun begetar kuat apabila melanggar garis cat tebal tersebut.
Brek hadapan basikal buat ragam dan aku terpaksa disengaged. Ia mengeluarkan bunyi kerana bergeser dengan tayar. Aku tidak membawa Allen Key No.5 untuk buat adjustment. Guna brek belakang saja sepanjang kayuhan. Aku singgah di sebuah worksyop motorsikal dan meminjam spanner dan plier tetapi tools yang tidak betul tidak dapat membaiki masalah itu. Mekanik worksyop  tidak mahu  membantu kerana sibuk.
Di pekan Betong aku mengikuti terowong Mongkollit dan tidak tahu pula disebelah sana adalah kawasan 'red light area'. Terkejut kerana seawal jam 9.30 pagi (8.30 waktu Thailand) pusat koreoke dan tempat 'itu' sudah memulakan perniagaan. Malang dan sedih hati kerana kebanyakkan, tidak keterlaluan jika aku katakan semua, pengunjung adalah orang kita. Aku cepat berlalu meninggalkan kawasan tersebut. Aku berkayuh melihat aktiviti pagi di lain lokasi pekan termasuk menara jam, pasar basah, kedai dan tidak lupa peti surat (post box) terbesar dan tertinggi di dunia. Kemudian aku mencari Route 410 Betong-Yala untuk ke Hot Spring yang terletak 8km jauhnya dari Betong. Terowong komunis juga terletak dijalan yang sama lebih kurang 20 km dari Betong. Ramai juga pelancong dari negara kita dengan kehadiran kereta dan bas persiaran dengan plat no. putih.
Tidak ada apa yang istimewa di Betong Hot Spring ini. Komplek Air Panas Ulu Legong, Baling lebih menarik kerana terdapat kolam mandi untuk dewasa dan kanak kanak serta mempunyai fasiliti yang lebih bagus. Air panas Ulu Legong dan air panas Betong ini adalah satu rangkaian yang sama, hanya dipisahkan oleh sempadan negara dan gunung ganang. Aku menghabiskan hampir 15 minit sebelum meneruskan kayuhan ke Piyamit.
Tidak disangka sama sekali laluan ke Piyamit Tunnel  ini amat mencabar. Terowong Piyamit terletak di kawasan Gunung ganang (sudah semestinya ...) dan aku hampir tewas. Nasib baik gunakan  MTB kerana pada mulanya aku ingin membawa Roadbikes. Walaupun selalu membuat kayuhan pendakian Gunung Jerai, 2km sebelum sampai ke lokasi adalah pendakian yang agak curam. Aku tidak berpeluang masuk ke terowong  tersebut kerana masalah sekuriti (siapa nak jaga basikal dan basikal MTB tidak dilengkapi kunci), mungkin kedatangan lain aku tidak akan lepaskan peluang. Satu hal lagi langit dipenuhi awan gelap dan aku terpaksa bergegas untuk pulang ke pekan Betong.
Tempat tersebut dikunjung ramai orang Cina untuk tujuan bersembayang. Terdapat satu patung dewi yang berwarna putih dan dikelilingi oleh belasan patung kecil. Tiada perkhidmatan bas dari pekan Betong ke sini. Pelawat datang menggunakan lori yang diubahsuai, sama seperti lori tentera mengangkut kanak kanak sekolah ditempat kita. Lori yang digunakan lebih besar dan panjang.
Ada tiga orang rider yang aku nampak, tidak pasti samada mereka local atau dari Malaysia. Mereka tidak singgah lama dan beredar meneruskan kayuhan. Tetapi dari gaya basikal yang digunakan aku berpendapat mereka adalah orang tempatan, siap dengan carrier untuk beg di belakang. Basikal rider kita lebih canggih, mahal dan elok dari yang mereka gunakan. Mereka bertiga menggunakan jersey berwarna merah yang sama.
Aku sempat sampai di Betong sebelum hujan turun. Masa untuk makan tengah hari dan aku mencari restoren yang pernah aku singgah tahun lepas. Tetapi kedai tersebut tutup dan aku singgah di kedai sebelah. Pesan sup tulang, sayur campur dan ais kosong. Air minum kosong diberi percuma.  Potongan timun ais dan sambal belacan dua piring. Sup yang dihantar cukup untuk dua atau tiga orang, begitu juga sayur campur. Sup terlalu pedas hinggakan pedih kerongkong tetapi enak. Minta janganlah sakit perut. Licin semua bekas. Semuanya untuk 100 baht.
Aku terus bertolak ke border sebaik habis makan dan berkayuh perlahan lahan kerana perut sudah penuh. Laluan balik akan menempuh banyak pendakian, terbalik semasa datang tadi. Tiada masalah di kedua dua komplek imigresen dan dapat keluar dengan cepat. Letih tetapi puas. Segala berjalan lancar tetapi dirosakkan oleh Persatuan Pemandu Teksi yang meminta RM5.00 untuk tempat letak kereta. Setahu aku caj parking hanya dikenakan jika meletak kereta untuk semalaman. Pula, aku parking hanya untuk lima jam
Jalan menghala ke timur agak sesak dengan kenderaan semasa aku balik ke SP, hari ini cuti persekolahan sessi pertama berakhir. Mengambil masa agak lama untuk sampai ke rumah.

Statistik :
   Mula ........... 9.00 pagi (dari komplek imigresen)
   Tamat ......... 14.30 petang (tempat parking kereta)
   Jarak .......... 55 Km
   Cuaca ......... panas kemudian hujan
   Laluan ........ Pekan Betong - Hot Spring - Piyamit Tunnel

Jumaat, 18 Mac 2011

Bukit Semarak

Trek yang lapang dan luas
Rancangan awal adalah membuat kayuhan LTLB (lencongan timur - lencongan barat) pada pagi Jumaat ini tetapi aku batalkan kerana sudah lebih dua minggu  aku tidak berjogging di Bukit Semarak. Aku mengenakan pakaian trek sukan dan memandu ke Taman Semarak.
Sebaik sahaja aku memulakan pendakian aku dapati laluan mendaki bukit telah dibaiki dan dibesarkan. Sebelum ini keadaan jalan agak teruk dengan lubang dan longkang akibat hakisan dan laluan air ketika musim hujan yang baru lalu. Permukaan jalan juga berbongkah dengan ketulan batu laterite. Jalan juga semak dan menjadi sempit kerana anak anak pokok, rumput  dan lalang yang tumbuh dengan subur dikedua belah jalan.
Sekarang jalan tersebut menjadi lebih selesa untuk pendaki bukit. Leeway kabel High Tension TNB juga disenggarakan dengan baik dan tiada pokok besar yang tumbuh. Laluan dan pendaki boleh dilihat dengan jelas dari bawah dan dari atas bukit. Keadaan ini menjamin keselamatan pendaki dari binatang berbisa atau dari perkara yang tidak di ingini.
Seingatan aku, setiap tahun jalan dan laluan di bukit ini diratakan dan dibaiki menggunakan bulldozers untuk kemudahan pendaki. Terdapat individu yang bermurah hati menghantar jentolak untuk kerja kerja tersebut. Mungkin individu tersebut dan keluarganya kerap datang beriyadah dibukit ini. Kalau diikutkan kos atau perbelanjaan agak banyak dan mungkin mencecah ratusan ringgit. Pernah satu ketika dulu diletakkan  tong di tengah jalan untuk sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan. Tidak pasti samada ia mendapat sambutan atau tidak. Kini tiada  lagi tong kutipan seumpama itu disediakan.
Pihak berkuasa tempatan sepatutnya membuat kerja kerja senggaraan di tempat sebegini atau sekurang kurangnya menyediakan prasarana yang lebih baik. Aku dapat tahu  dari rakan bahawa orang awam yang membuat pendakian Bukit Bendera Pulau Pinang dari arah Botanical Garden boleh mendapatkan air minuman percuma yang disediakan oleh 'good samaritan' (orang biasa terutama Kristian atau Budha yang berbuat amal) pada beberapa lokasi lokasi tertentu. Bagi aku sepatutnya ada usaha yang dibuat untuk mengadakan tempat orang menghilangkan dahaga atau membasuh muka di bahagian bawah bukit ini. Mungkin punca boleh diambil dari bawaah tanah atau sungai kecil ditepi bukit.
Pada pertengahan pendakian, kelihatan sekumpulan remaja membuat pendakian ke puncak melalui laluan dibawah high tension cable, tidak mengikut jalan biasa.  Dahulunya tiada laluan disitu kerana semak dan curam. Sudah beberapa lama aku tertanya samada ada pendaki yang melalui jalan tersebut dan aku teringin mencubanya.
Pendakian agak sukar dengan kecerunan melebihi 45 darjah. Ada beberapa tempat dimana kecerunan melebihi 75 darjah dan ada ketika terpaksa memanjat menegak. Pokok pokok kecil, rumput atau akar kayu dijadikan tempat berpaut dan supaya tidak tergelongsor kebelakang. Ya .. ada tempat berpijak seperti tangga yang dibuat membolehkan pendakian lebih mudah.
Walau jarak pendakian tidak melebihi 200 meter, tetapi ia benar benar menguji kekuatan fizikal  dan mental seseorang. Itu sebabnya tidak ramai yang mengikuti laluan tersebut. Aku terpaksa berhenti setiap beberapa meter untuk mengembalikan tenaga dan untuk memperlahankan degupan jantung. Peluh menitik dengan banyak.
Dihadapan aku seorang gadis bersama bapanya yang membuat latihan ketahanan. Menurut bapanya  dia akan mengambil bahagian dalam sukan sekolah peringkat Negeri Kedah yang akan diadakan minggu hadapan. Baju T yang dipakai oleh bapanya mempunyai lambang Negeri Sembilan dan itu menjadi modal aku untuk berkenalan dan bersembang. Dia pernah berkerja di Seremban selama sembilan tahun sebelum ditukarkan ke Kedah.
Aku berasa amat puas dan gembira kerana dapat menghabiskan pendakian tersebut. Kesal sedikit kerana tidak membawa kamera bersama untuk merakamkan pemandangan dari perrtengahan pendakian. Pasti aku akan mengikut laluan ini dimasa akan datang.

Rabu, 16 Mac 2011

Kayuh henti henti ....

Kali terakhir aku membuat kayuhan bersama Juan adalah kayuhan Mahang - Selama bulan Feb lepas. Kelmarin dia datang ke rumah dan mengajak aku berkayuh ke Yan dan pulang  melalui Guar Cempedak. Kami memulakan kayuhan tepat pada jam 7.45 pagi menuju ke Semeling dan Merbuk. Banyak tumpokan air di atas jalan kerana hujan lebat sebelah malam tadi. Kami menggunakan roadbikes dan Juan menggunakan roadbikes classic yang baru disiapkan. Dia membeli roadbikes terpakai dan membina semula menggunakan barang yang ada dalam simpanan.
Seperti biasa kami singgah  di gerai roti canai di persimpangan sebelum pekan Merbuk. Sebelum duduk aku ditegur oleh seorang pelanggan. Apabila menoleh aku dapati dia adalah seorang kawan yang aku kenal semasa menghadiri khursus pelancongan yang diadakan di SP Inn, Sungai Petani pada Nov 2009. Dia bekerja di Pertubuhan Peladang Merbok yang tidak jauh dari gerai roti canai ini. Dia juga agak terkejut melihat aku disini. Walau kebiasaannya aku akan berhenti di gerai ini apabila membuat kayuhan, ini adalah pertama kali aku berjumpa dia sarapan pagi. 
Hamdan Awang - Nov 2009
En Hamdan Awang juga berasal dari Negeri Sembilan tetapi telah berkahwin dan bermastautin di Merbuk. Dia masih mempunyai keluarga dan saudara mara di Negeri Sembilan dan seperti aku kerap pulang ke sana terutama ketika musim perayaan. Dia seolah tidak percaya aku membuat kayuhan dari Sungai Petani dan akan balik melalui Guar Cempedak dan Gurun. Melihat susuk tubuh aku dia berkata akan turut melakukan aktiviti kayuhan juga. Aku mengucapkan Alhamdullillah kerana kesedaran menjaga kesihatan badan. Kalau hendak diikutkan, dia mempunyai 'double spare tyre', phrasa orang putih yang merujuk kepada perut yang boroi berlebihan. Jika benar dia ingin melakukan aktiviti ini, akan mendatangkan kebaikan dan manafaat kepada dia.
Kebanyakkan pelanggan di gerai tersebut selalu melihat aku dan Juan di sini. Mereka juga tahu kami berkayuh dari Sungai Petani. Seorang pelanggan yang duduk semeja dengan Hamdan memberitahunya bahawa Juan telah berumur 77 tahun dan masih mampu melakukan kayuhan jarak jauh. Pelanggan  lain disekeliling yang mendengar juga kelihatan kagum dan seperti tidak percaya. 
Apabila kami bangun untuk meruskan kayuhan, Juan tersentuh cawan air yang digunakannya semasa mencapai sarung tangan. Cawan tersebut jatuh ke lantai dan pecah berderai. Aku meminta maaf kepada tuan kedai yang mengatakan tidak mengapa.
Kedai Basikal - Pekan Yan Kecil
Kami meneruskan kayuhan melalui pekan Merbuk, Singkir Darat dan ke Tanjung Jaga. Aku berkata kepada Juan besar kemungkinan aku tidak dapat menghabiskan kayuhan mendaki bukit. Aku tidak memberitahunya yang aku membuat kayuhan disini tiga hari lepas. Dia kata akan menunggu aku.
Hentian kedua kami ialah di kedai basikal di Jalan Perigi, Pekan Yan Kecil. Ketika kami sampai kedai masih belum dibuka walaupun sudah jam 9.30 pagi. Kami kemudian ke kedai basikal dihadapan lampu isyarat dan Juan sempat berbual dengan tuanpunya sementara aku sekadar mencelah sekali sekala. Dihentian ketiga iaitu Pengedar Basikal 'Sin Boon Seng' yang terletak 2km sebelum Pekan Guar Cempedak. Aku melihat Dahlan Md Nor dari kedai basikal D'Nia Bikes, Pinang Tunggal sedang membeli barangan untuk stok kedai basikalnya. Juan membeli tiub basikal roadbikes sementara aku berbual dengan dua orang pelanggan dari Ipoh yang ingin melihat lihat basikal yang dijual. Aku memberitahu mereka bahawa harga basikal yang dijual disini adalah sama dengan harga yang dijual di kedai luar cuma terdapat banyak pilihan.
Kedai Basikal - Pekan Gurun
Kami berhenti di pekan Guar Cempedak kerana Juan ingin makan di restoren ikan bakar kegemarannya. Hari Rabu ada pasar minggu di pekan ini dan restoren masih belum  memulakan perniagaan. Kami meneruskan kayuhan dan singgah untuk makan nasi di sebuah gerai berhampiran  dengan kaki Gunung Jerai. Hentian ke tujuh adalah kedai basikal di pekan Gurun. Sekali lagi Juan memberi sesuatu, kali ini  brake-shoe untuk roadbikes. Hentian terakhir adalah di sebuah gerai sebelum persimpangan Tol Sungai Petani Utara, Lebuhraya Utara Selatan untuk minum.
Kalau aku berkayuh seorang diri, mungkin hanya berhenti dua tiga kali berbanding dengan lapan kali pada kayuhan hari ini. Sampai kerumah aku kehabisan tenaga kerana cuaca agak panas. Mungkin hujan lebat akan turun disebelah petang. Aku diberitahu oleh seorang rakan supaya berteduh sekiranya hujan turun kerana takutkan kesan radiasi dan hujan toksik akibat tsunami, gempa bumi dan kerosakkan loji janakuasa nuklear di Jepun beberapa hari yang lalu.
......................................Boleh percaya ke ni?

Statistik :
   Mula ............ 7.55 pagi
   Tamat ...........12.30 pagi
   Berhenti ...... (15 + 3 + 10 + 10 + 2 + 15 + 10 + 5) min
   Jarak ............ 80 km
   Cuaca ........... Panas
   Laluan .......... Merbuk - Yan - Guar Cempedak - Gurun - Sungai Petani
               

Ahad, 13 Mac 2011

Three little sisters

'Three little sisters' hanyalah gelaran atau code untuk tiga bukit kecil di Tanjung Jaga yang terletak di jalan Sungai Petani-Yan selepas Pekan Singkir Darat. Pertama kali aku mendengarnya dari seorang sahabat dari di Kepala Batas, Pulau Pinang.  Dia memberi nama atau  gelaran tersebut semasa membuat kayuhan dari Kepala Batas, Pulau Pinang ke Kuala Kedah  dan menaiki feri ke Langkawi pada tahun 2007. Nama itu mungkin bermaksud  atau mengambarkan  pendakian tiga bukit yang sederhana tinggi tetapi agak mencabar terutama kepada pengayuh baru.
Tanjung Jaga - bukit kecil di sebelah kiri
Aku mengalami sakit perut sejak dua hari yang lepas. Agaknya kerana makan satu biji nanas sederhana besar dari kebun nanas aku di Kampung Seberang Tok Soh, Pinang Tunggal dan kemudian makan satu biji limau besar. Terlalu banyak asid di dalam perut. Setelah memakan ubat, pedih perut semakin lega dan rasanya boleh membuat kayuhan pada pagi ini. Hanya 5km dari rumah perut memulas kembali tetapi tidak mahu berpatah balik. Aku mencari tempat untuk 'melepaskan' dan meneruskan kayuhan.
Aku memberi salam kepada seorang rider MTB di lencongan Barat sebelum traffic light simpang ke Semeling. Dia, seorang lelaki awal tiga puluhan, berbadan tegap dan sasa,  betul betul terkejut dan menjerit. Mungkin dia sedang melayan fikiran dan berangan angan sambil mengayuh secara santai. Sebelum memotongnya aku berfikir untuk berkayuh bersamanya. Tetapi bila melihat dia terkejut begitu, aku batalkan hasrat tersebut. Aku meminta maaf  kerana membuatkan dia terkejut dan terus memecut ke arah jambatan Semeling. Aku tidak menoleh kebelakang untuk melihat samada dia masih ada dibelakang atau tidak.
Ditepi jalan sebelum Pekan Singkir, bunga durian luruh bertaburan ditepi jalan. Tiga empat bulan lagi akan tiba musim durian pulak. Durian disebelah Singkir kira bermutu baik juga. Itu pun mengikut kata kawan kerana aku sendiri kurang makan durian dan tidak dapat membezakan durian dari kawasan mana yang sedap. Bagi aku dapat merasa dua tiga ulas pada setiap musim sudah memadai.
Pada awal rancangan aku hanya ingin berkayuh ke pengkalan nelayan Singkir laut dan kemudian berpatah balik. Kena balik awal kerana aku ada tetamu dirumah. Sepupu aku dari Negeri Sembilan baru sampai menaiki bas malam satu jam yang lalu. Aku tinggalkan dia dirumah supaya dia berehat untuk  menghilangkan rasa mengantuk dan letih. Dia datang ke Sungai Petani untuk menghadiri sambutan ualngtahun syarikat MLM TVI Express yang diadakan di SP Inn, Sungai Petani. Dia mengajak aku ikut serta dan telah pun membeli satu  tiket untuk aku. Walaupun tidak berminat dalam skim MLM, aku akan ikut serta kerana hendak menjaga hatinya.
Pemandangan dari Tanjung Jaga
Sebenarnya aku tidak merasa yakin samada boleh menghabis pendakian ketiga bukit Tanjung Jaga. Ini adalah percubaan pertama menggunakan Roadbikes. Menurut Juan, dia gagal dalam percubaan kali pertama dan kedua menghabiskan pendakian terutama pada bukit yang terakhir. Terpaksa menolak basikal untuk menghabiskan pendakian. Dapat melepasi bukit yang pertama dan kedua tanpa sebarang masalah. Lebih senang dari yang aku sangkakan.
Aku bersedia awal untuk pendakian bukit terakhir dengan menggunakan gear paling rendah. Freewheel semasa menurun dan memulakan kayuhan sebaik sahaja pendakian bermula. Aku rasa tidak menghadapi masalah dan lebih  tangkas dari mengunakan MTB. Pada setengah  pendakian seorang rider menghampiri dari belakang tanpa disedari dan menegur aku. Konsentrasi aku hilang sedikit kerana menjawab soalan soalan yang diajukan. Terpaksa menggunakan tenaga lebih untuk menghabiskan pendakian. Rider yang menggunakan MTB mendahului dan aku berpatah balik apabila setelah tamat pendakian.
Walaupun kerap kali melalui jalan ini aku tidak perasan tentang penjual surat khabar dipersimpangan Taman Pengkalan Bujang. Dahulu dia menggunakan perhentiaan bas untuk menjual surat khabar, sedikit majalah dan beberapa botol air minuman yang diletakkan diatas meja kecil. Dua tiga bulan kebelakangan ini aku perasan ada sebuah kereta bersebelahan jalan tempat dia berniaga yang juga menjual surat khabar. Surat khabar diletakkan dan digantung di dalam bonet kereta. Satu tanda 'Layan Diri' digantung bermaksud sesiapa yang membeli surat khabar tersebut mengambil surat khabar yang diperlukan dan meletakkan duit dalam bekas yang disediakan. Tiada peniaga disitu. Hari ini aku menyedari bahawa ia kepunyaan orang yang sama.
Satu idea dan cara yang amat enterprising. Pemandu/pelanggan yang memerlukan surat khabar dari arah bertentangan tidak perlu berhenti dan melintasi jalan.   Ambil dan letakkan wang bayaran didalam bekas. Persoalan bagaimana jika pelanggan mengambil akhbar tanpa meletakkan duit bayaran atau bagaimana jika pelanggan tidak wang secukupnya dan perlukan baki.

Statistik :
   Mula ............ 7.55 pagi
   Tamat ...........10.30 pagi
   Jarak ............ 54 km
   Cuaca ........... Redup
   Laluan .......... Merbuk - Singkir - Tanjung Jaga
    

Sabtu, 12 Mac 2011

Walimatul urus ....

Cuti sekolah untuk sessi pertama tahun 2011 untuk Negeri Keah bermula pada hari Jumaat 10 Mac . Seperti lazimnya bila cuti sekolah bermula majlis kenduri kahwin menjadi aktiviti utama. Alasan senang. Kebanyakkan orang akan bercuti dan saudara mara serta sahabat handai dari jauh dan dekat boleh datang ke majlis tersebut. Ini bermakna hujung minggu akan dipenuhi dengan jemputan kenduri. Kad jemputan mula diterima sejak satu bulan lepas. Tidak dapat membuat kayuhan jauh. Itu pun ada jemputan untuk majlis Tahlil pada jam 11.00 pagi.

Kad jemputan kahwin - menjadi terlalu komersial
Jam 6.20 pagi aku mengintai diluar rumah untuk melihat keadaan cuaca. Dapati hujan rintik mulai turun. Aku cuba mencuri sedikit masa sebelum pergi kenduri untuk membuat kayuhan pendek. Nampak gaya aku akan kecewa sedikit pagi ini.
Aku mengambil keputusan untuk ke Pajabat Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional JPNIN Kuala Muda di tengah Bandar Sungai Petani untuk menentukan lima orang remaja dari KRT Taman Intan yang dihantar untuk meyertai Program Remaja menjelajah Taman Rimba Telok Bahang Pulau Pinang pada hari ini 12 Mac 2011. Sebagai pengerusi KRT Taman Intan Sungai Petani aku bertanggung jawap terhadap remaja tersebut agar semua berjalan lancar.
Program ini adalah initiatif KRT Taman Jenaris Tikam Batu dan amatlah bersesuaian pada waktunya kerana cuti sekolah telah bermula. Jemputan di panjangkan kepada  remaja dari KRT lain di Daerah Kuala Muda untuk menyertai aktiviti tersebut. Kesemua peserta berjumlah hampir  200 orang termasuk staf JPNIN dan AJK KRT penganjur. Program turut disertai oleh anggota tentera dari kem diSungai Besi yang bertindak sebagai jurupandu dan menjaga keselamatan peserta.
Semua peserta dibekalkan dengan T-shirt, makanan dan minuman secukupnya. Empat biji bas disediakan sebagai pengangkut peserta ke Teluk Bahang. Terbayang kegembiraan dan keseronokkan pada setiap wajah remaja yang menyertai aktiviti tersebut. Walaupun hujan turun mereka tidak memperdulikan langsung keadaan tersebut. Mereka tidak sabar untuk menaiki bas dan mahu bertolak awal. Mereka mulai resah apabila mereka diarahkan berkumpul untuk pendaftaran dan taklimat pendek.
Pendedahan dan pengalaman sedemikian amatlah berfaedah kepada remaja kita. Remaja sepatutnya diberi keutamaan pada program dan aktiviti yang berfaedah dan bermanafaat.
Aku sendiri telah lama merancang untuk membawa remaja membuat kayuhan basikal. Mungkin ke Rekrasi Tupah atau ke Muzium Arkeologi. Setakat ini masih belum dapat direalisasikan. Perlu berkerja keras dan mendapat sokongan rakan rakan lain.

         

Rabu, 9 Mac 2011

Merbau Pulas - Padang Serai

Bermula agak lewat kerana mahu betul betul pasti hujan tidak akan turun pagi ini. Musim hujan  sudah bermula kembali dan kelmarin hujan turun agak lebat. Hari ini beberapa tempat di pantai Timur dilapurkan mengalami banjir. Kelihatan langit disebelah selatan mulai cerah walau pun di tempat lain dipenuhi awan hitam tebal. Kedengaran sekali sekala bunyi titisan hujan pada awning rumah aku. Aku teringin sungguh untuk membuat kayuhan pagi ini setelah enam hari tidak memegang basikal.
Apa yang anda fikirkan ketika membuat kayuhan selain dari meng'anticipate' apa yang bakal berlaku didepan dan dibelakang. Lebih lebih lagi ketika melalui jalan yang sama dan sudah biasa dengan pandangan dikiri dan kanan laluan. Bagi aku sentiasa memikirkan hal-hal berkenaan dengan basikal, dimana akan membuat kayuhan yang akan datang, memikirkan apa yang akan dibuat (upgrading) pada pada basikal, geng basikal dan lain lain.
Satu perkara yang sering bermain difikiran ialah tentang hajat untuk memiliki basikal yang lebih canggih dan terkini. Bukan tidak mampu tetapi takut tidak mampu untuk membuat kayuhan setara dengan keadaan basikal. Takut basikal sahaja yang mahal dan canggih tetapi tahap kayuhan masih tidak seberapa. Jangan sampai kata-kata geng basikal jadi kenyataan, basikal mahal tetapi bila mendaki bukit terpaksa tolak. Atau mengikut kata seorang kawan karib 'basikal untuk social dan ceremonial'. Mungkin dia bermaksud basikal untuk peragakan kepada pemilik basikal lain apabila kita menyertai jamboree atau semasa fun ride.
Itu sebabnya jika mempunyai modal atau wang dan ingin membeli basikal, kita terus beli basikal yang agak mahal agar tidak perlu untuk membuat upgrading pada parts atau  menukar  kepada basikal lain. Bagi aku, canggih mana pun hak kita, ada hak orang lain  lebih  canggih. Mahal mana pun, ada orang yang beli lebih mahal, laju mana pun ada yang lebih laju.
Tinggal kulit saja .. Kucing 06 Mac 11
Setelah melalui enam pendakian sederhana dari Pekan Merbau Pulas ke Pekan Sungai Karangan dan berkayuh selama 1 jam 30 minit, aku berhenti rehat untuk mengisi perut dan menghilangkan haus tekak. Gerai yang aku  singgah terletak dipersimpangan menghala ke Jalan Timur Barat sebelum Padang Meha. Terdapat banyak lori berhenti disitu. Mengikut pengalaman, jika gerai tersebut dikunjungi ramai pemandu lori, harga makanan dijual agak murah dan lauk yang sedap dan lauk kampung biasa. Aku minta nasi dan kari kepala ikan yang sederhana besar. Wah ... betapa enaknya rasa lauk kari tersebut. Aku kata begitu kerana ketika berada di Kucing Sarawak selama empat hari dari 04 Mac hingga 07 Mac, aku tidak merasa masakan seperti ini. Harga kira ok juga. RM5.50 termasuk teh O.
Aku rasa lebih bertenaga membuat kayuhan pulang ke Sungai Petani. Selalunya aku akan mengikuti jalan Sidam Kiri tetapi terus ke Padang Serai kerana ingin singgah di Pinang Tunggal untuk berjumpa dengan kawan lama. Baru kelmarin aku  berbincang dengan Juan tentang pentingnya pemakanan semasa membuat kayuhan. Dahulu semasa kayuhan ke Baling kami mengabaikan waktu makan tengah hari sehinggakan kami kehabisan tenaga dan terpaksa berhenti rehat lama untuk mendapat tenaga semula. Apabila berhenti makan, tidak banyak pilihan kerana waktu makan tengah hari telah berlalu. Kebanyakkan kedai/restoren telah kehabisan lauk. Terpaksa makan apa yang tinggal.
Semasa menonton Berita Perdana jam 8.00 malam tadi aku dapati kayuhan basikal 'Jelajah 1 Malaysia' telah bermula di Kulai Johor. Sayang ia tidak melalui Sungai Petani pada tahun ini seperti tahun lepas. Mungkin memberi peluang rakan di Johor untuk menyaksikan perlumbaan tersebut kerana LTDL yang baru lepas tidak sampai ke sana. Walau apa pun aku mendoakan kejayaan kepada pelumba kebangsaan kita menunjukkan kemampuan mereka.

Statistik :
   Mula ............ 8.15 pagi
   Tamat ...........11.00 pagi
   Jarak ............ 71 km
   Cuaca ........... Redup
   Laluan .......... Kuala Ketil - Merbau Pulas - Padang Serai - Pinang Tunggal
    

Isnin, 7 Mac 2011

Kucing

Dalam perjalanan dari Kucing ke Santubung pada hari Sabtu 05 Mac 2011, aku melihat satu kumpulan hampir 30 orang roadbikers sedang membuat kayuhan di luar Bandar Kucing. Mungkin ini adalah organised ride kerana terdapat marshall dan pengendali traffic dipersimpangan jalan. Rasanya aku seorang sahaja yang memberikan tumpuan kepada event tersebut kerana yang lain didalam bas tersebut tidak langsung memberikan sebarang reaksi.
Semasa bergerak keluar dari Bandar Kucing aku juga melihat beberapa kumpulan kecil yang sedang bersedia membuat kayuhan. Suasana sama sahaja dengan disebelah sini. Ada yang sedang menikmati breakfast sebelum kayuhan, ada yang sedang menunggu rakan rakan lain dan ada yang memeriksa basikal. Basikal yang digunakan sama seperti yang ada di semenanjung.
RM60.00 untuk satu jam
Alangkah seronoknya jika aku ada basikal disini. Pada hari pertama pada Jumaat 04 Mac 2011, aku menghabiskan lebih lima jam berjalan kaki menjelajah Bandar Kucing. Aku sempat menunaikan solat jumaat di Masjid Kota Kucing yang terletak di atas bukit di tebing Sungai Kucing. Kemudian menyusuri waterfront sungai melihat kesan kesan sejarah, landmark, kedai dan pasar sebelum menamatkan dengan menaiki bot menyusuri Sungai Serawak selama lebih satu jam. Setelah keletihan aku pulang ke Merdeka Palace Hotel.
Hari kedua Sabtu 05 Mac 2011 menaiki bas untuk jam 9.00 pagi untuk ke Pasar Tani Satok. Sepatutnya kami melawati Muzuim negeri yang terletak bersebelahan Merdeka Palace Hotel tetapi ramai diantara ahli rombongan terutama yang perempuan mahu terus ke pasar tani. Tujuan mereka ialah membeli 'ikan terubok masin' untuk dibawa pulang. Aku dapat tahu ikan terubok tersebut bukannya ikan tempatan tetapi ikan yang di import dari India atau Bangladesh.
Kemudian kami ke kilang kek Dayang Salhah yang terletak diseberang sungai dari Bandar Kucing. Kami disambut dengan cara yang agak istimewa, diberi pelekat yang di tampal pada baju, kononnya akan mendapat diskaun apabila membuat pembelian. Dihidangkan dengan sampel semua jenis kek yang di buat disini. Apa lagi aku makan hingga kenyang sebelum membeli dua potong kek berharga RM10.00 setiap satu. Oh diskaun... beli 10 dapat satu percuma.
Kemudian kami bergerak ke bangunan Dewan Undangan Negeri, tidak dapat masuk kerana ditutup pada hujung minggu. Sempat ahli rombongan bergambar di tebing sungai dan di luar bangunan. Bersebelahan adalah Astana Negeri, kediaman yang Dipertua Negeri?
Satu lagi persinggahan ialah muzium kucing yang terletak di Petra Jaya. Disini kita dapat mengetahui serba  serbi pasal kucing. Aku tidak masuk kedalam muzium kerana kurang minat. Hanya berada diluar bangunan. Aku tidak dapat menikmati pemandangan semasa perjalanan ke Santubung kerana tidur, keletihan semalam maih belum hilang.
Bersama kaum Penan
Aku agak keberatan untuk masuk ke Taman / Kampung Budaya Serawak yang terletak di kaki Gunung Santubung kerana pening kepala akibat tidur di dalam bas. Rasa aku akan menyesal tidak habis sekiranya tidak melawat kampung budaya tersebut. Caj masuk agak mahal iaitu RM60.00 untuk dewasa dan RM30.00 untuk kanak kanak. Dapat diskaun sebanyak RM5.00 kerana datang berkumpulan. Menghabiskan hampir dua jam melawat setiap rumah etnik Sarawak dan diakhiri dengan pertunjukkan kebudayaan selama 30 minit.
Terpancar kepuasan pada wajah wajah ahli kumpulan semasa menaiki bas untuk pulang ke Kucing. Mungkin keletihan kerana tidak banyak kedengaran mereka bersembang. Kelebihan kepada kita yang  kerap melakukan senaman dan kayuhan. Sebelah malam adalah acara bebas. Tidak ramai yang keluar dari hotel, mungkin kerana keletihan atau mungkin ketiadaan aktiviti yang menarik di bandar ini pada sebelah malam. Tumpuan adalah di Water Front dengan aktiviti berjalan jalan, manakala gerai makanan dan pasar malam terletak di kampung Melayu seberang Sungai Sarawak. Banyak juga gerai dibuka di diwaterfront tetapi harga makanan agak lebih  sedikit. Maklum lah untuk pelancong.
Program hari ketiga Ahad 06 Mac 2011 ialah ke pasar minggu Serikin yang terletak di sempadan Sarawak dan Kalimantan. Difahamkan kebanyakkan peniaga adalah warga Indonesia yang membawa masuk barangan untuk di jual disebelah Malaysia. Ia lebih kurang sama seperti yang ada di Wang Kelian Perlis. Aku tidak berhasrat untuk membeli apa apa, cuma sekadar melihat lihat sahaja. Cuaca hari ini amat baik kerana hujan pada sebelah pagi dan mendung hingga ke petang. Agak sesuai untuk berjalan jalan.
Sebelum sampai ke Kucing rombongan singgah di kilang membuat pasu atau tembikar. Sekali lagi aku tidak berminat dan hanya melihat dari dalam bas sahaja. Acara bebas disebelah petang membolehkan ahli rombongan untuk menjelajahi Bandar Kucing secara kumpulan kecil.
Terubuk masin Sarawak
Hari akhir disini pada Isnin 07 Mac 2011, aku keluar bersama Pak Long Khassim sebaik sahaja tanah mulai terang. Kami tinggalkan yang lain kerana masih ada yang berdengkur tidur. Kami menuju kearah Pasar Satok yang kami lawati dua hari lepas. Rupanya pasar tersebut hanya 10 minit berjalan kaki dari hotel dimana kami menginap. Kami mencari kedai untuk breakfast. Coffe 'O' corner menyajikan berbagai jenis makanan dan menyediakan tempat yang agak cozy. Harga makanan agak berpatutan dan restoren amat bersih dan teratur.
Di pasar tani aku membeli ikan terubok masin untuk dibawa pulang  untuk dihadiahkan kepada rakan rakan dan jiran. Sempat singgah di kawasan tugu bersebelahan dengan muzium negeri.
Pada keseluruhan lawatan di Kucing amatlah menyeronokkan dan besar kemungkinan akan datang lagi pada masa terdekat. Akan lebih menyeronokkan jika aku membawa basikal kesini.
      

Selasa, 1 Mac 2011

LTLB 06/2011

Juan mengetok pintu pagar rumah aku semasa aku sedang berehat dan membaca akhbar 40 minit selepas sampai kerumah dari kayuhan. Dia nampak aku mengayuh balik di persimpangan Sungai Layar. Dia berada disebelahan jalan diarah bertentangan. Aku tidak perasan kerana banyak kenderaan ketika itu.
Banyak perkara yang kena bereskan disebelah pagi hari ini manakala sebelah petang kena hadir mesyuarat panel penasihat kelinik kesihatan sebagai persiapan terakhir sebelum aktiviti / program perasmian klinik desa Pantai Prai yang akan diadakan pada pagi Khamis 03 Mac.
Hari Jumaat nanti aku akan pergi ke Kucing Serawak selama empat hari. Bermakna cuma ada satu hari sahaja lagi iaitu esok untuk aktiviti kayuhan. Akan simpan basikal sehingga hari Selasa atau Rabu minggu hadapan.
Petang kelmarin aku singgah di kedai basikal D'Nia Bikes Taman Seraya, Pinang Tunggal. Ramai juga geng basikal disana. Mereka sering berkumpul dan menjadikan kedai basikal tersebut sebagai pejabat untuk berjumpa dan berbincang. Mereka terkejut kerana aku jarang singgah disebelah petang. Dua orang sedang bersiap untuk membuat kayuhan ke Bukit Birut, yang lain baru habis kerja dan datang hanya untuk berbual.
Mereka memberitahu bahawa kayuhan ke Hat Yai pada bulan Jun nanti. Kayuhan tersebut sudah agak lama tertunda dan mengharapkan kali dapat menjadi kenyataan.
Kebelakangan ini banyak kelab kelab basikal menganjurkan kayuhan ke Hat Yai. Setiap penganjuran mendapat sambutan hangat. Penganjur terpaksa menghadkan bilangan rider kerana masalah logistik termasuk hotel,  makanan dan keselamatan. Kebanyakkan kayuhan bermula samada di Kangar atau Padang Besar ke Hat Yai. Jalan ini lebih jauh jika dibandingkan melalaui Danok. Kayuhan melalui jalan kampung dan tidak sibuk.
Selalunya riders akan tidur satu malam di Hat Yai sebelum mengayuh pulang keesokkan harinya. Dengar cerita sambutan oleh kelab basikal di Thailand sangatlah meriah sekali. Mereka sememangnya mengalu-alukan kedatangan kumpulan berbasikal dan memberikan layanan istimewa dari segi tempat persinggahan, minuman, makanan dan penginapan. Mereka meyediakan banner sebagai sambutan.
Apa yang dirancang oleh geng Pinang Tunggal tidak begitu berskala besar. Kurang dari 10 orang rider yang akan mengambil bahagian. Kayuahan akan dimulakan dari sempadan Bukit kayu Hitm. Kayuhan santai sambil menjelajah pekan pekan kecil dan kampung. Akan  menghabiskan banyak masa menikmati dan mengecapi kelainan suasana dan cara hidup jiran kita. Sekiranya masa mengizinkan kayuhan hari pertama hingga ke Songkhla dan akan berpatah balik untuk  bermalam di Hat Yai. Akan pulang ke sempadan pada sebelah petang keesokkan harinya iaitu hari kedua.
Apa yang diharapkan rancangan ini menjadi kenyataan. Bagi aku jika tidak menjadi aku tetap akan membuat kayuhan tersebut walaupun seorang diri.

Statistik 
   Mula ............. 7.50 pagi
   Tamat ........... 9.10 pagi
   Jarak ............ 33 km
   Cuaca ........... Cerah
   Laluan .......... Lencongan Timur - Lencongan Barat