Halaman

Sabtu, 19 Mac 2011

Piyamit Tunnel

Agaknya ramai yang telah sampai ke destinasi aku pagi ini. Tetapi mungkin tidak ramai yang sampai menggunakan basikal. Ini trip pertama walaupun telah beberapa kali datang ke Betong. Oh ..  nama  pekan Betong adalah dari perkataan Melayu iaitu 'buluh betong'.
Tidak tahu bagaimana aku boleh terfikir untuk berkayuh di Betong (....... bukan berkayuh ke Betong). Aku hantar SMS kepada beberapa orang rakan untuk mempertimbangkan cadangan berkayuh di Pekan Betong, Selatan Thailand pada pagi ini 19 Mac 2011. Ham**h ..... tidak ada reaksi atau jawapan dari sesiapa yang ingin turut serta. Aku teruskan niat walaupun berkayuh secara solo. Bukan tidak biasa, pada 25 Mac 2010, kurang  4 hari satu tahun, aku membuat kayuhan solo pertama kali di Pekan Betong. Rancangan kayuhan kali ini ialah pergi diluar pekan ke tempat tarikan pelancongan seperti  Hot Spring dan terowong komunis 'Piyamit Tunnel'.
Bertolak dari rumah jam 7.15 pagi dan singgah di mesin ATM Sungai Petani untuk menambah kantong, manalah tahu kalau hendak beli apa apa yang berkenan dihati. Semasa menuruni Gunung Inas berhampiran komplek PGA yang baru siap, aku nampak seorang rider yang aku kenal. Pegawai Polis berpangkat ASP yang pernah belanja aku makan di Pengkalan Hulu semasa kayuhan pendakian Gunung Inas tahun lepas.  Dia berkayuh sendirian ke arah Baling. Mungkin ada rakan yang menunggu untuk kayuhan bersama.
Singgah untuk sarapan nasi lemak dan teh O di gerai di Kampung Bukit Serdang lebih  kurang 4km sebelum complex CIQ Betong dan sebelum simpang ke Felda Nering. Rasanya di Betong tidak ada jual nasi lemak atau roti canai. Kueh disana juga agak berlainan dari kita. Kena isi perut di sebelah ini dulu. Adik yang jaga gerai confuse bila air minta teh O kosong.....
Semasa bersiap menyalin baju dan kasut ditempat parking kereta, seorang mat motor datang bertanya samada aku perlukan kenderaan untuk ke Pekan Betong. Dia caj RM10.00. Mahal aku kata. Dia kata kereta/teksi caj RM25.00 untuk perjalanan tidak sampai 10km. Dia terkejut apabila aku katakan aku ke Betong menaiki basikal. Agaknya dia tidak pernah melihat MTB dari dekat, kerana dia membelek depan belakang, kiri dan kanan. Kemudian dia meminta izin untuk mencuba 'Scott' aku. Dia amat kagum dan berpuas hati berkayuh selama hampir 5 minit. Sibuk tanya berapa harga basikal tu.
Komplek imigresen Thailand yang baru telah siap dan kini telah digunakan. Lebih teratur dari komplek lama. Dahulu laluan masuk dan keluar adalah sama tetapi kini telah dipisahkan. Begitu juga booth kastam dan imigresen kini di asingkan. Cuma masalah borang embarkation / borang imigresen masih diisikan oleh dua orang awam dan dikenakan caj RM2.00 untuk passport. Sementara di Bukit Kayu Hitam borang tersebut diberi percuma dan diisi sendiri oleh pengunjung.
Jalan dari kompleks imigresen ke Pekan Betong menuruni bukit, jadi tidak perlu guna banyak tenaga berkayuh. Awas kena jaga kelajuan kerana  jalan agak berbelok belok. Sebelum setiap selekoh jalan dibubuh garisan garisan bercat tebal untuk memperlahankan kenderaan. MTB pun begetar kuat apabila melanggar garis cat tebal tersebut.
Brek hadapan basikal buat ragam dan aku terpaksa disengaged. Ia mengeluarkan bunyi kerana bergeser dengan tayar. Aku tidak membawa Allen Key No.5 untuk buat adjustment. Guna brek belakang saja sepanjang kayuhan. Aku singgah di sebuah worksyop motorsikal dan meminjam spanner dan plier tetapi tools yang tidak betul tidak dapat membaiki masalah itu. Mekanik worksyop  tidak mahu  membantu kerana sibuk.
Di pekan Betong aku mengikuti terowong Mongkollit dan tidak tahu pula disebelah sana adalah kawasan 'red light area'. Terkejut kerana seawal jam 9.30 pagi (8.30 waktu Thailand) pusat koreoke dan tempat 'itu' sudah memulakan perniagaan. Malang dan sedih hati kerana kebanyakkan, tidak keterlaluan jika aku katakan semua, pengunjung adalah orang kita. Aku cepat berlalu meninggalkan kawasan tersebut. Aku berkayuh melihat aktiviti pagi di lain lokasi pekan termasuk menara jam, pasar basah, kedai dan tidak lupa peti surat (post box) terbesar dan tertinggi di dunia. Kemudian aku mencari Route 410 Betong-Yala untuk ke Hot Spring yang terletak 8km jauhnya dari Betong. Terowong komunis juga terletak dijalan yang sama lebih kurang 20 km dari Betong. Ramai juga pelancong dari negara kita dengan kehadiran kereta dan bas persiaran dengan plat no. putih.
Tidak ada apa yang istimewa di Betong Hot Spring ini. Komplek Air Panas Ulu Legong, Baling lebih menarik kerana terdapat kolam mandi untuk dewasa dan kanak kanak serta mempunyai fasiliti yang lebih bagus. Air panas Ulu Legong dan air panas Betong ini adalah satu rangkaian yang sama, hanya dipisahkan oleh sempadan negara dan gunung ganang. Aku menghabiskan hampir 15 minit sebelum meneruskan kayuhan ke Piyamit.
Tidak disangka sama sekali laluan ke Piyamit Tunnel  ini amat mencabar. Terowong Piyamit terletak di kawasan Gunung ganang (sudah semestinya ...) dan aku hampir tewas. Nasib baik gunakan  MTB kerana pada mulanya aku ingin membawa Roadbikes. Walaupun selalu membuat kayuhan pendakian Gunung Jerai, 2km sebelum sampai ke lokasi adalah pendakian yang agak curam. Aku tidak berpeluang masuk ke terowong  tersebut kerana masalah sekuriti (siapa nak jaga basikal dan basikal MTB tidak dilengkapi kunci), mungkin kedatangan lain aku tidak akan lepaskan peluang. Satu hal lagi langit dipenuhi awan gelap dan aku terpaksa bergegas untuk pulang ke pekan Betong.
Tempat tersebut dikunjung ramai orang Cina untuk tujuan bersembayang. Terdapat satu patung dewi yang berwarna putih dan dikelilingi oleh belasan patung kecil. Tiada perkhidmatan bas dari pekan Betong ke sini. Pelawat datang menggunakan lori yang diubahsuai, sama seperti lori tentera mengangkut kanak kanak sekolah ditempat kita. Lori yang digunakan lebih besar dan panjang.
Ada tiga orang rider yang aku nampak, tidak pasti samada mereka local atau dari Malaysia. Mereka tidak singgah lama dan beredar meneruskan kayuhan. Tetapi dari gaya basikal yang digunakan aku berpendapat mereka adalah orang tempatan, siap dengan carrier untuk beg di belakang. Basikal rider kita lebih canggih, mahal dan elok dari yang mereka gunakan. Mereka bertiga menggunakan jersey berwarna merah yang sama.
Aku sempat sampai di Betong sebelum hujan turun. Masa untuk makan tengah hari dan aku mencari restoren yang pernah aku singgah tahun lepas. Tetapi kedai tersebut tutup dan aku singgah di kedai sebelah. Pesan sup tulang, sayur campur dan ais kosong. Air minum kosong diberi percuma.  Potongan timun ais dan sambal belacan dua piring. Sup yang dihantar cukup untuk dua atau tiga orang, begitu juga sayur campur. Sup terlalu pedas hinggakan pedih kerongkong tetapi enak. Minta janganlah sakit perut. Licin semua bekas. Semuanya untuk 100 baht.
Aku terus bertolak ke border sebaik habis makan dan berkayuh perlahan lahan kerana perut sudah penuh. Laluan balik akan menempuh banyak pendakian, terbalik semasa datang tadi. Tiada masalah di kedua dua komplek imigresen dan dapat keluar dengan cepat. Letih tetapi puas. Segala berjalan lancar tetapi dirosakkan oleh Persatuan Pemandu Teksi yang meminta RM5.00 untuk tempat letak kereta. Setahu aku caj parking hanya dikenakan jika meletak kereta untuk semalaman. Pula, aku parking hanya untuk lima jam
Jalan menghala ke timur agak sesak dengan kenderaan semasa aku balik ke SP, hari ini cuti persekolahan sessi pertama berakhir. Mengambil masa agak lama untuk sampai ke rumah.

Statistik :
   Mula ........... 9.00 pagi (dari komplek imigresen)
   Tamat ......... 14.30 petang (tempat parking kereta)
   Jarak .......... 55 Km
   Cuaca ......... panas kemudian hujan
   Laluan ........ Pekan Betong - Hot Spring - Piyamit Tunnel

Tiada ulasan:

Catat Ulasan