Halaman

Ahad, 13 Mac 2011

Three little sisters

'Three little sisters' hanyalah gelaran atau code untuk tiga bukit kecil di Tanjung Jaga yang terletak di jalan Sungai Petani-Yan selepas Pekan Singkir Darat. Pertama kali aku mendengarnya dari seorang sahabat dari di Kepala Batas, Pulau Pinang.  Dia memberi nama atau  gelaran tersebut semasa membuat kayuhan dari Kepala Batas, Pulau Pinang ke Kuala Kedah  dan menaiki feri ke Langkawi pada tahun 2007. Nama itu mungkin bermaksud  atau mengambarkan  pendakian tiga bukit yang sederhana tinggi tetapi agak mencabar terutama kepada pengayuh baru.
Tanjung Jaga - bukit kecil di sebelah kiri
Aku mengalami sakit perut sejak dua hari yang lepas. Agaknya kerana makan satu biji nanas sederhana besar dari kebun nanas aku di Kampung Seberang Tok Soh, Pinang Tunggal dan kemudian makan satu biji limau besar. Terlalu banyak asid di dalam perut. Setelah memakan ubat, pedih perut semakin lega dan rasanya boleh membuat kayuhan pada pagi ini. Hanya 5km dari rumah perut memulas kembali tetapi tidak mahu berpatah balik. Aku mencari tempat untuk 'melepaskan' dan meneruskan kayuhan.
Aku memberi salam kepada seorang rider MTB di lencongan Barat sebelum traffic light simpang ke Semeling. Dia, seorang lelaki awal tiga puluhan, berbadan tegap dan sasa,  betul betul terkejut dan menjerit. Mungkin dia sedang melayan fikiran dan berangan angan sambil mengayuh secara santai. Sebelum memotongnya aku berfikir untuk berkayuh bersamanya. Tetapi bila melihat dia terkejut begitu, aku batalkan hasrat tersebut. Aku meminta maaf  kerana membuatkan dia terkejut dan terus memecut ke arah jambatan Semeling. Aku tidak menoleh kebelakang untuk melihat samada dia masih ada dibelakang atau tidak.
Ditepi jalan sebelum Pekan Singkir, bunga durian luruh bertaburan ditepi jalan. Tiga empat bulan lagi akan tiba musim durian pulak. Durian disebelah Singkir kira bermutu baik juga. Itu pun mengikut kata kawan kerana aku sendiri kurang makan durian dan tidak dapat membezakan durian dari kawasan mana yang sedap. Bagi aku dapat merasa dua tiga ulas pada setiap musim sudah memadai.
Pada awal rancangan aku hanya ingin berkayuh ke pengkalan nelayan Singkir laut dan kemudian berpatah balik. Kena balik awal kerana aku ada tetamu dirumah. Sepupu aku dari Negeri Sembilan baru sampai menaiki bas malam satu jam yang lalu. Aku tinggalkan dia dirumah supaya dia berehat untuk  menghilangkan rasa mengantuk dan letih. Dia datang ke Sungai Petani untuk menghadiri sambutan ualngtahun syarikat MLM TVI Express yang diadakan di SP Inn, Sungai Petani. Dia mengajak aku ikut serta dan telah pun membeli satu  tiket untuk aku. Walaupun tidak berminat dalam skim MLM, aku akan ikut serta kerana hendak menjaga hatinya.
Pemandangan dari Tanjung Jaga
Sebenarnya aku tidak merasa yakin samada boleh menghabis pendakian ketiga bukit Tanjung Jaga. Ini adalah percubaan pertama menggunakan Roadbikes. Menurut Juan, dia gagal dalam percubaan kali pertama dan kedua menghabiskan pendakian terutama pada bukit yang terakhir. Terpaksa menolak basikal untuk menghabiskan pendakian. Dapat melepasi bukit yang pertama dan kedua tanpa sebarang masalah. Lebih senang dari yang aku sangkakan.
Aku bersedia awal untuk pendakian bukit terakhir dengan menggunakan gear paling rendah. Freewheel semasa menurun dan memulakan kayuhan sebaik sahaja pendakian bermula. Aku rasa tidak menghadapi masalah dan lebih  tangkas dari mengunakan MTB. Pada setengah  pendakian seorang rider menghampiri dari belakang tanpa disedari dan menegur aku. Konsentrasi aku hilang sedikit kerana menjawab soalan soalan yang diajukan. Terpaksa menggunakan tenaga lebih untuk menghabiskan pendakian. Rider yang menggunakan MTB mendahului dan aku berpatah balik apabila setelah tamat pendakian.
Walaupun kerap kali melalui jalan ini aku tidak perasan tentang penjual surat khabar dipersimpangan Taman Pengkalan Bujang. Dahulu dia menggunakan perhentiaan bas untuk menjual surat khabar, sedikit majalah dan beberapa botol air minuman yang diletakkan diatas meja kecil. Dua tiga bulan kebelakangan ini aku perasan ada sebuah kereta bersebelahan jalan tempat dia berniaga yang juga menjual surat khabar. Surat khabar diletakkan dan digantung di dalam bonet kereta. Satu tanda 'Layan Diri' digantung bermaksud sesiapa yang membeli surat khabar tersebut mengambil surat khabar yang diperlukan dan meletakkan duit dalam bekas yang disediakan. Tiada peniaga disitu. Hari ini aku menyedari bahawa ia kepunyaan orang yang sama.
Satu idea dan cara yang amat enterprising. Pemandu/pelanggan yang memerlukan surat khabar dari arah bertentangan tidak perlu berhenti dan melintasi jalan.   Ambil dan letakkan wang bayaran didalam bekas. Persoalan bagaimana jika pelanggan mengambil akhbar tanpa meletakkan duit bayaran atau bagaimana jika pelanggan tidak wang secukupnya dan perlukan baki.

Statistik :
   Mula ............ 7.55 pagi
   Tamat ...........10.30 pagi
   Jarak ............ 54 km
   Cuaca ........... Redup
   Laluan .......... Merbuk - Singkir - Tanjung Jaga
    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan