Halaman

Rabu, 16 Mac 2011

Kayuh henti henti ....

Kali terakhir aku membuat kayuhan bersama Juan adalah kayuhan Mahang - Selama bulan Feb lepas. Kelmarin dia datang ke rumah dan mengajak aku berkayuh ke Yan dan pulang  melalui Guar Cempedak. Kami memulakan kayuhan tepat pada jam 7.45 pagi menuju ke Semeling dan Merbuk. Banyak tumpokan air di atas jalan kerana hujan lebat sebelah malam tadi. Kami menggunakan roadbikes dan Juan menggunakan roadbikes classic yang baru disiapkan. Dia membeli roadbikes terpakai dan membina semula menggunakan barang yang ada dalam simpanan.
Seperti biasa kami singgah  di gerai roti canai di persimpangan sebelum pekan Merbuk. Sebelum duduk aku ditegur oleh seorang pelanggan. Apabila menoleh aku dapati dia adalah seorang kawan yang aku kenal semasa menghadiri khursus pelancongan yang diadakan di SP Inn, Sungai Petani pada Nov 2009. Dia bekerja di Pertubuhan Peladang Merbok yang tidak jauh dari gerai roti canai ini. Dia juga agak terkejut melihat aku disini. Walau kebiasaannya aku akan berhenti di gerai ini apabila membuat kayuhan, ini adalah pertama kali aku berjumpa dia sarapan pagi. 
Hamdan Awang - Nov 2009
En Hamdan Awang juga berasal dari Negeri Sembilan tetapi telah berkahwin dan bermastautin di Merbuk. Dia masih mempunyai keluarga dan saudara mara di Negeri Sembilan dan seperti aku kerap pulang ke sana terutama ketika musim perayaan. Dia seolah tidak percaya aku membuat kayuhan dari Sungai Petani dan akan balik melalui Guar Cempedak dan Gurun. Melihat susuk tubuh aku dia berkata akan turut melakukan aktiviti kayuhan juga. Aku mengucapkan Alhamdullillah kerana kesedaran menjaga kesihatan badan. Kalau hendak diikutkan, dia mempunyai 'double spare tyre', phrasa orang putih yang merujuk kepada perut yang boroi berlebihan. Jika benar dia ingin melakukan aktiviti ini, akan mendatangkan kebaikan dan manafaat kepada dia.
Kebanyakkan pelanggan di gerai tersebut selalu melihat aku dan Juan di sini. Mereka juga tahu kami berkayuh dari Sungai Petani. Seorang pelanggan yang duduk semeja dengan Hamdan memberitahunya bahawa Juan telah berumur 77 tahun dan masih mampu melakukan kayuhan jarak jauh. Pelanggan  lain disekeliling yang mendengar juga kelihatan kagum dan seperti tidak percaya. 
Apabila kami bangun untuk meruskan kayuhan, Juan tersentuh cawan air yang digunakannya semasa mencapai sarung tangan. Cawan tersebut jatuh ke lantai dan pecah berderai. Aku meminta maaf kepada tuan kedai yang mengatakan tidak mengapa.
Kedai Basikal - Pekan Yan Kecil
Kami meneruskan kayuhan melalui pekan Merbuk, Singkir Darat dan ke Tanjung Jaga. Aku berkata kepada Juan besar kemungkinan aku tidak dapat menghabiskan kayuhan mendaki bukit. Aku tidak memberitahunya yang aku membuat kayuhan disini tiga hari lepas. Dia kata akan menunggu aku.
Hentian kedua kami ialah di kedai basikal di Jalan Perigi, Pekan Yan Kecil. Ketika kami sampai kedai masih belum dibuka walaupun sudah jam 9.30 pagi. Kami kemudian ke kedai basikal dihadapan lampu isyarat dan Juan sempat berbual dengan tuanpunya sementara aku sekadar mencelah sekali sekala. Dihentian ketiga iaitu Pengedar Basikal 'Sin Boon Seng' yang terletak 2km sebelum Pekan Guar Cempedak. Aku melihat Dahlan Md Nor dari kedai basikal D'Nia Bikes, Pinang Tunggal sedang membeli barangan untuk stok kedai basikalnya. Juan membeli tiub basikal roadbikes sementara aku berbual dengan dua orang pelanggan dari Ipoh yang ingin melihat lihat basikal yang dijual. Aku memberitahu mereka bahawa harga basikal yang dijual disini adalah sama dengan harga yang dijual di kedai luar cuma terdapat banyak pilihan.
Kedai Basikal - Pekan Gurun
Kami berhenti di pekan Guar Cempedak kerana Juan ingin makan di restoren ikan bakar kegemarannya. Hari Rabu ada pasar minggu di pekan ini dan restoren masih belum  memulakan perniagaan. Kami meneruskan kayuhan dan singgah untuk makan nasi di sebuah gerai berhampiran  dengan kaki Gunung Jerai. Hentian ke tujuh adalah kedai basikal di pekan Gurun. Sekali lagi Juan memberi sesuatu, kali ini  brake-shoe untuk roadbikes. Hentian terakhir adalah di sebuah gerai sebelum persimpangan Tol Sungai Petani Utara, Lebuhraya Utara Selatan untuk minum.
Kalau aku berkayuh seorang diri, mungkin hanya berhenti dua tiga kali berbanding dengan lapan kali pada kayuhan hari ini. Sampai kerumah aku kehabisan tenaga kerana cuaca agak panas. Mungkin hujan lebat akan turun disebelah petang. Aku diberitahu oleh seorang rakan supaya berteduh sekiranya hujan turun kerana takutkan kesan radiasi dan hujan toksik akibat tsunami, gempa bumi dan kerosakkan loji janakuasa nuklear di Jepun beberapa hari yang lalu.
......................................Boleh percaya ke ni?

Statistik :
   Mula ............ 7.55 pagi
   Tamat ...........12.30 pagi
   Berhenti ...... (15 + 3 + 10 + 10 + 2 + 15 + 10 + 5) min
   Jarak ............ 80 km
   Cuaca ........... Panas
   Laluan .......... Merbuk - Yan - Guar Cempedak - Gurun - Sungai Petani
               

Tiada ulasan:

Catat Ulasan